SyerLock : Villa Almairia

Aku menongkat dagu. Memikirkan tajuk cerita baru yang akan aku hantar ke Fiksyen Shasha. Sesekali aku menggaru mata, lengan dan belakang badan. Bukan sebab tidak mandi, tapi ini satu tabiat bila aku tiada idea nak berfikir.

Bunyi notifikasi Whatsapp mengganggu konsentrasi menggaru. Aku mencapai telefon di sebelah. Aplikasi Whatsapp aku buka. Fitri menghantar pesanan di dalam Whatsapp group.

“Cuti New Year ni kita pergi melancong nak?”

Cepat saja balasan diterima dari kawan-kawan yang lain. Asal bunyi melancong saja, semua laju membalas. Kalau tidak, hambar saja aku tengok group itu.

“Okay beres. Kira jadi la ya? Aku akan cuba cari homestay yang best. Tungguuuu…” Fitri menawarkan diri. Seronok benar aku melihat mereka. Mesti bersinar mata masing-masing bila dapat melancong.

Tiba-tiba saja aku mendapat idea. Aku tahu cerita apa yang aku bakal kongsikan. Aku segera membuka Microsoft Word. Idea datang dengan mencurah-curah. Laju saja tangan aku menaip. Bibir mula mengoyak senyum.


 

SyerLock : Villa Almairia

Bunyi notifikasi dari Facebook menghentikan kerja aku. Telefon pintar di sebelah aku capai dan aku terus membuka aplikasi itu. Aku menekan lambang notification. Ada beberapa notifikasi yang diterima tapi hanya satu yang menarik perhatian aku, iaitu kiriman yang dihantar ke dalam group Facebook.

Iza : Kalian! Jadi kan kita nak gathering minggu depan?

Aku menekan ruangan reply untuk membalas komen dari Iza.

Syer : Jadi. Semua wajib datang okey! No excuses!

Aku menekan butang send. Notifikasi berbunyi lagi. Kali ini adalah komen dari kawan-kawan yang lain.

Zatul : Kita buat bbq nak tak? Baru syok beb.

Kak Nas : Haa yang ini memang ngam! Nanti aku tempah satu villa yang ada sekali perkakas untuk bbq.

Danni : Cun! Aku nak bawa mulut je. Aku tolong makan! Hahahaha~

Iza : Ah kau Dan… tong sikit seorang lah.

Aku tergelak kecil. Iza dan Danni selalu saja bergaduh. Ibarat anjing dan kucing.

Faiz : Aku dah dapat cuti. Korang jangan cancel last minit pula. Ada yang aku kick nanti.

Maira : Lepas bbq kita main truth or dare. Hahaha…

Kak Nas : Okay cop! Sekarang ni aku akan private message semua orang barang apa yang perlu dibawa. Tidak ada alasan terlupa atau tertinggal. Faham? Perbincangan kita habis di sini.

Adzfar & Idham : Aku setuju! (memberi emoticon mengangkat tangan)

Hana : Aku pun jadi.

Iza : Korang bertiga lambat! Perbincangan dah habis. Balik semua, balik!

Beberapa minit kemudian, notifikasi aku senyap. Tiada lagi yang membalas komen. Mungkin masing-masing setuju dengan keputusan kak Nas. Aku membuka kiriman tadi dan membaca semula komen-komen mereka. Kadang-kadang aku tergelak sendiri. Terasa lucu dengan gurauan dan pergaduhan manja mereka.

Sebenarnya perkenalan kami bermula di Facebook. Disebabkan masing-masing mempunyai perangai yang ‘masuk air’, jadi hubungan persahabatan kami cepat akrab walaupun umur kami berbeza.

Aku meletakkan telefon di atas meja. Kerja yang tertangguh tadi aku sambung semula. Sesekali aku tersenyum, tidak mampu menahan rasa teruja untuk berjumpa dengan mereka nanti.


 

Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Aku memasukkan barang keperluan ke dalam bonet kereta. Kambing beku yang telah diperap aku masukkan ke dalam kotak polisterin. Aku melilit pita pelekat di sekeliling penutup polisterin supaya isi dalamnya tidak akan tergolek keluar.

Selesai memasukkan barang, aku masuk semula ke dalam rumah untuk memastikan semua suis di dalam rumah ditutup. Setelah berpuas hati, aku keluar dan mengunci pintu.

Dengan lafaz bimillah, aku bergerak menuju ke rumah Iza. Kami akan bergerak ke villa itu bersama kerana aku tidak biasa memandu sendirian. Sambil itu, bolehlah kami berborak sepanjang perjalanan. Tidaklah terasa bosan.

Sampai saja di rumah Iza, aku menekan hon. Memanggil Iza yang masih berada di dalam rumah.

Terkocoh-kocoh Iza keluar sambil membawa beg baju. Aku keluar dan membuka bonet kereta. Dia meletakkan begnya ke dalam bonet. Kemudian dia berlari anak masuk ke dalam rumah. Beberapa minit kemudian, dia keluar membawa sebungkus plastik berisi sosej di dalamnya.

“Kau bawa apa beb?” Iza meletakkan bungkusan plastik itu di sebelah kotak polisterin.

“Kak Nas suruh aku bawa kambing yang dah diperap.”

“Ish! Kambing mahal kot. Takkanlah kau seorang yang kena tong kambing?” Iza mencekak pinggang. Tidak puas hati.

“Tak lah. Kak Nas pun bawa kambing juga. Ikan pun dia nak tambah katanya.”

“Ohh… okay. Hehee.” Iza mengangguk. Dia mencubit pipi aku. Geram katanya sebab pipi aku macam pau. Aku hanya tersengih.

Tanpa membuang masa, kami masuk ke dalam kereta dan bergerak meninggalkan kawasan tersebut.

 


 

Setelah beberapa jam memandu, akhirnya kami masuk ke dalam satu kampung yang menempatkan villa yang ditempah oleh kak Nas. Suasana kampung ini agak sunyi, mungkin kerana baru lepas hujan.

“Ish… dah kenapa dengan GPS ni? Tak dapat kesan location pula.” aku memberhentikan kereta di tepi jalan. Alamat yang telah diberikan oleh kak Nas aku masukkan semula. Masih juga sama, gagal untuk mengesan lokasi.

“Dapat tak beb? Sini aku tolong.” Iza mula menekan-nekan pada GPS yang sedari tadi menunjukkan tanda seru menandakan tiada lokasi yang dapat dikesan.

Hampir 15 minit juga kami cuba tapi tidak juga berjaya. Aplikasi Maps di dalam telefon pintar aku juga tidak dapat mengesan lokasi villa tersebut. Aku fikir mungkin baru lepas hujan, jadi GPS susah untuk mengesan mana-mana lokasi.

“Nampaknya kita kena tanya orang kampung.” Aku masukkan ke gear D. Kereta perlahan-lahan bergerak menyusuri jalan kampung itu.

Jalan kampung yang kami lalui agak sunyi walaupun ada banyak rumah kampung di kiri dan kanan. Setelah 5 minit memandu, aku terjumpa sebuah kedai kopi. Ada beberapa orang pelanggan yang sedang bersembang sambil menikmati minuman panas. Aku memberhentikan kereta di tepi.

“Kau tunggu kejap.” aku memesan pada Iza. Iza hanya mengangguk sambil tangannya mendail nombor kak Nas.

Aku keluar dari kereta. Kaki mengatur langkah menuju ke arah kedai kopi itu. Mata aku menangkap pada seorang mak cik yang memakai apron. Aku kira mungkin dia adalah pemilik kedai kopi ini.

“Assalamualaikum mak cik.” aku bersalam dengan mak cik itu. Agakan aku umurnya mungkin sudah mencecah 60-an.

“Wa’alaikumussalam. Ya nak. Nak order apa?” mak cik itu berkata ramah. Manis saja senyumannya.

“Err… sebenarnya saya sesat, mak cik. Saya nak tanya arah ke Villa Almairia. Boleh mak cik tunjukkan jalan nak ke sana?” Aku bertanya dengan sopan.

Mak cik itu menunjukkan wajah yang serba salah. Teragak-agak mulutnya mahu memberitahu.

“Kau nak buat apa pergi kat tempat tu?” Salah seorang pak cik di situ menyampuk. Aku pusing ke belakang memandang pak cik yang bersuara tadi. Wajah garang itu merenung ke arah aku.

“Saya dan kawan-kawan saya menginap kat sana untuk beberapa hari.” Aku senyum sedikit. Tidak mahu nampak seperti kurang ajar dengan orang tua.

“Kau tahu tak tempat tu berpuaka? Kenapa gatal sangat nak pergi tempat-tempat macam tu?!” Pak cik itu mula menengking. Pelanggan-pelanggan di situ mula memandang ke arah aku.

“Dah. Kamu jangan layan si Suardi tu. Dia memang macam tu. Suka menakutkan orang luar.” mak cik itu bersuara. Tidak mahu mencetuskan pertelingkahan.

“Dari sini, kamu jalan terus sampai simpang tiga sana. Lepas tu kamu belok ke kiri. Nanti kamu akan jumpa papan tanda untuk masuk ke lorong ke villa sana.”

“Terima kasih mak cik. Saya minta diri dulu.” Aku menyalami mak cik itu.

“Sama-sama. Hati-hati ya nak.” Aku mengangguk. Kaki terus diatur menuju ke kereta.

“Hah! Nanti kalau ada puaka datang korang jangan mintak tolong kat orang kampung pula!” Pak cik itu menjerit ke arah aku. Aku langsung tidak menoleh ke belakang. Tidak mahu melayan pak cik itu.

Aku mendengar mak cik itu membebel pada pakcik tadi tapi tidak jelas butiran percakapannya. Aku masuk ke dalam kereta dan menghempas pintu kereta dengan kuat.

“Oi… Apesal tu?” Iza sedikit terkejut dengan bunyi hempasan pintu kereta.

“Entahlah pak cik tu. Nak marah-marah sebab kita nak pergi ke villa tu.” Aku berkata malas. Sebenarnya aku sedikit terkesan dengan kata-kata pak cik tadi. Macam mana kalau apa yang dikatakan oleh pak cik tadi adalah benar?

“Dia marah pasal apa?” Aku mengangkat bahu. Malas mahu berkata apa-apa.

Aku terus menekan minyak dan meninggalkan kawasan kedai kopi itu. Aku mengikut arah yang telah diberikan oleh mak cik tadi. Dalam 10 minit perjalanan, aku nampak papan tanda menuju ke Villa Almairia. Aku memberikan signal untuk masuk ke lorong.

Kedudukan villa itu agak jauh ke dalam. Lorong yang kami lalui pula semakin lama semakin kecil. Hanya memuatkan sebiji kereta sahaja. Mujur saja kereta aku kecil, tidaklah tercalar kalau terkena ranting yang sedikit terjulur keluar.

“Beb. Betul ke tak lorongnya ni?” Iza mula bersuara.

“Betullah kot. Sebab papan tanda memang dah tunjuk ke arah lorong ni.”

“Aku rasa tak sedap hatilah beb.” Iza mula risau. Tangannya mula bermain sesama sendiri.

“Ish! Jangan fikir bukan-bukanlah Iza.” Aku cuba menepis rasa takut. Sebenarnya sejak dari kedai kopi lagi aku sudah tidak sedap hati, tapi aku buat tidak tahu. Tidak mahu merosakkan mood bercuti dengan kawan-kawan.

“Haa tu! Itulah Villa Almairia kan?” Iza menunjukkan sebuah villa yang agak besar. Di hadapan pagarnya ada papan yang tertulis nama villa tersebut.

Aku masuk ke perkarangan villa itu. Aku lihat ada beberapa buah kereta yang diparkir di situ. Mungkin ada kawan-kawan yang sudah sampai sebelum kami.

Aku memakirkan kereta di sebelah Honda Concord berwarna hitam. Gear ditukar kepada P dan hand brake ditarik. Aku mematikan enjin kereta dan membuka bonet. Kami berdua keluar dari kereta.

Aku memandang kawasan sekeliling. Di kiri dan kanan villa penuh dengan pokok buah. Kebun mungkin. Aku memandang pula ke arah Villa Almairia. Kagum sebentar dengan seni binanya. Cantik dan klasik. Di bahagian kanan villa terdapat sebuah kolam renang dan tempat beristirehat. Kawasan luar villa juga sangat bersih dan dijaga rapi.

Aku lihat pintu utama dibuka. Seseorang sedang keluar dan menuju ke arah kami sambil tersenyum. Siapa lagi kalau bukan kak Nas. Kami bersalaman dan berpelukan. Sangat teruja kerana saling dapat berjumpa. Kak Nas membantu kami membawa barang-barang masuk ke dalam.

Sebaik saja kaki melangkah ke dalam villa, mulut aku sedikit ternganga melihat dekorasi dalaman yang cantik. Ada sebiji chandelier terletak di tengah-tengah ruang.

Ada dua bahagian di dalam villa ini, Part A dan Part B. Ruangan yang aku berdiri sekarang merupakan Part A di mana sebelah kiri aku adalah ruang tamu utama. Di hadapan aku pula adalah tangga untuk ke tingkat atas di mana bilik tidur berada. Di sebelah kanan adalah ruang untuk ke dapur dan pintu ke Part B.

Part A dan Part B dipisahkan oleh dapur. Di Part B juga mempunyai ruang tamu kecil dan 3 buah bilik. Sengaja kak Nas memilih villa ini memandangkan ada lelaki dan perempuan di antara kami. Bermakna bilik di part B adalah untuk lelaki, bilik di Part A pula adalah untuk perempuan. Jika ada yang mahu ke dapur, masing-masing mempunyai pintu di bahagian sendiri.

Setelah aku dan Iza meletakkan barang di bilik, kami menuju ke ruang tamu utama. Rupanya Adzfar, Danni dan Maira sudah sampai dulu sebelum kami. Kami berbual sementara menunggu yang lain tiba.

Setelah beberapa jam menunggu, maka berkumpullah kami seramai 10 orang di dalam villa ini. Segala barang dan bahan untuk bbq sudah kami siapkan. Selepas solat maghrib nanti kami akan mulakan parti bbq.


 

Aku mendekati Faiz yang sedang membakar daging kambing. Aku berdiri di situ sementara menunggu daging itu masak. Fokus benar aku memandang ke arah daging kegemaran aku itu, rasa tidak sabar menunggu untuk makan. Sesekali aku menjilat bibir.

“Syer. Masa kau datang sini tadi… GPS kau problem tak?”

Senyap.

“Syer!” Panggil Faiz dengan suara yang sedikit kuat.

Aku tersentak. “Hehee… sorry. Aku fokus sangat tengok daging kambing ni. Kau tanya apa tadi?” Aku menggaru kepala yang tidak gatal.

“GPS kau dapat kesan location kat villa ni ke tak masa masuk kampung ni tadi?” Faiz bersuara malas. Masam saja wajahnya. Merajuk kerana aku tidak mengendahkannya tadi. Aku tergelak.

“GPS aku tak dapat kesan langsung lokasi villa ni. Banyak kali aku dan Iza cuba. Alih-alih terpaksa tanya orang kampung.” Aku merampas penyepit di tangan Faiz dan membalikkan daging di atas pemanggang.

“Kadang-kadang aku rasa lain macam dengan villa ni…” Faiz bersuara perlahan.

“Beb. Jangan fikir bukan-bukan. Tu mainan perasaan kau je. Tolong jangan rosakkan mood kita kat sini okay.” Faiz hanya diam.

“Hey gaiss… borak apa?” Zatul datang ke arah kami.

“Ni haa… cerita pasal Faiz penakut. Hahaha.” Aku mengangkat beberapa keping daging kambing dan meletakkannya di atas pinggan.

“Okay lah. Aku nak pergi makan.” aku meninggalkan Zatul dan Faiz. Memberi peluang kepada mereka untuk berbual.

Aku duduk di sebelah kak Nas. Dari sini aku lihat Iza dan Dani tidak habis bergaduh sesama sendiri. Hanya perang mulut biasa. Lepas bergaduh, baik lah mereka.

Maira, Idham dan Adzfar juga aku lihat sedang rancak berbual. Sesekali kedengaran mereka tertawa bersama. Kak Nas pula sibuk dengan telefonnya. Katanya ada masalah dengan customer.

Hana yang duduk di hadapan aku hanya fokus pada makanan. Tunduk saja kepalanya. Sesekali matanya memandang sekeliling, seolah-olah takut dengan sesuatu.

“Hana. Kau okay?” Aku menegur Hana. Sambil itu aku mengoyak sedikit daging kambing lalu aku masukkan ke dalam mulut. Sedap!

“Okay je.” Hana menjawab perlahan. Kepalanya kembali menunduk.

Berkerut dahi aku melihat kelakuan Hana. Petang tadi tidak pula perangainya begini. Aku mengangkat bahu.

Selepas makan, kami berkemas. Sisa-sisa yang ada kami buang ke dalam tong sampah. Meja yang sudah tercalit dengan sos aku lap. Bergotong-royong kami malam itu. Selesai berkemas, kami merehatkan diri di ruang tamu sambil berbual kosong.

“Jom main Truth or Dare nak?” Maira memberikan cadangan.

“Cun! Mulakan dengan kau.” Iza menyampuk. Tangannya menunjuk ke arah Danni.

“Apesal pulak aku?” Danni merengus. Kecoh sebentar ruang tamu itu dengan pergaduhan Iza dan Danni. Sesekali yang lain menyampuk. Merancakkan lagi pergaduhan mereka. Aku dan Hana hanya diam memerhati.1

“Okay, diam semua.” Kak Nas mengangkat tangan untuk menenangkan keadaan. Serta-merta mereka senyap. Menghormati kak Nas yang paling tua di antara kami.

“Sekarang dah nak masuk tengah malam. Apa kata kita masuk rehat saja. Boleh?” kak Nas menyambung.

“Malam masih muda kak.” Adzfar menjawab.

“Betul. Alang-alang kita kat sini. Apa kata kita cerita kisah seram. Suasana kat villa ni pun boleh tahan. Sekeliling kita ni hutan.” Idham ketawa mengejek.

“Tak payahlah. Aku tak suka.” Hana mula bersuara.

“Kenapa Hana? Takut ke?” Zatul gelak kuat. Yang lain turut ketawa. Aku hanya tersenyum sedikit. Melawan rasa tidak enak di dalam hati. Entah kenapa rasa itu tiba-tiba muncul.

“Kalau hantu tu muncul kau juga yang lari tak cukup tanah nanti.” Kata-kata itu aku tuju pada Idham.

“Kalau hantu tu datang, kami silatkan aje hantu-hantu tu.” Faiz bersuara. Mereka tergelak besar mendengar kata-kata Faiz.

“Oii… Korang jangan suka-suka mencabar. Tak pasal-pasal nanti nyawa yang jadi taruhan.” kak Nas memberikan amaran.

“kami tengah cabar la ni kak. Mana oii hantu keluarlah kau.” Danni menjerit memanggil hantu. Kemudian mereka ketawa. Kecuali aku dan Hana. Langsung tidak merasakan hal itu sesuatu yang lucu.

Habis membincangkan topik hantu, mereka bertukar ke topik lain. Sedang rancak berbual, tiba-tiba lampu terpadam. Ada yang menjerit kecil kerana terkejut. Aku senyum sinis. Hana mula memeluk lengan aku. Aku dapat rasakan tangannya sedikit menggigil.

“Ayokk.. Hantu dah datang…” Adzfar ketawa mengekek. Bergurau.

Aku merengus. “Jangan main-mainlah. Korang pergi cari kotak suis cepat.”

‘”Korang semua tunggu sini. Biar aku dan Idham pergi cari.” Ujar Faiz.

“Aku nak ikut.” Zatul bergerak mengikuti Faiz dan Idham. Dengan hanya berbekalkan lampu telefon, mereka meninggalkan ruang tamu untuk mencari kotak suis.

Sudah 10 minit berlalu, lampu masih belum dibuka. Diluar pula tiba-tiba saja hujan lebat. Kilat pula memancar-mancar menerangi langit malam. Kami mula berbual untuk menghilangkan rasa bosan.

“Mana Maira? Senyap je. Ke dah tidur kat situ?” kak Yati bertanya.

Danni mula memasang flashlight di telefonnya. Seluruh ruang tamu disuluh tapi kelibat Maira tidak kelihatan. Beberapa kali juga Danni menyuluh di tempat yang sama. “Tak ada pun.”

Kami mula memekik memanggil nama Maira. Tiada sahutan dari Maira. Danni bangun. Ingin mencari Maira di dapur. Sedang Danni berjalan di ruang tengah, tiba-tiba dia tergelincir dan terjatuh. Aku mendengar dia mengerang sakit. Serentak itu lampu rumah menyala.

Tiba-tiba Iza menjerit nyaring. Dia menutup muka dengan lengannya. Tangannya pula menunjuk ke arah di mana Danni berada. Kami semua memandang ke arah yang ditunjuk. Terkejut kami melihat keadaan Maira yang tergantung pada chandelier.

Cangkuk yang berada di bawah chandelier itu menembusi leher Maira dan keluar melalui mulutnya. Mata Maira pula terbeliak memandang ke atas. Badannya ada kesan cakar yang agak dalam. Menitik darahnya ke atas lantai.

Danni yang baru sedar akan hal itu segera menjauhi mayat Maira. Bajunya penuh dengan darah Maira. Iza menangis teresak sambil menutup wajahnya. Hana pula pengsan sebaik saja melihat mayat Maira, mujur juga aku sempat menyambut.

Faiz, Idham dan Zatul kembali ke ruang tamu. Mereka bertiga juga terkejut melihat keadaan Maira. Zatul jatuh terduduk, terasa lemah kakinya untuk berdiri. Begitu juga Danni, hanya diam memeluk lutut.

“Apa yang dah jadi ni?” Faiz bertanya pada kami. Kami hanya menggeleng tanda tidak tahu. Berat mulut untuk bersuara kerana lagi masih terkejut dengan apa yang berlaku.

“Adzfar, Idham. Korang pergi cari tangga. Cepat!” Faiz memberi arahan. Mereka berdua mengangguk.

Faiz mendekati Danni yang sedang memelut lutut. Dia memapah Danni dan meletakkannya di atas sofa. Aku dan kak Nas membantu Zatul yang kelihatan lemah. Hanya tunggu masa untuk tumbang.

Sebaik saja Adzfar dan Idham muncul, mereka bertiga berusaha untuk menurunkan Maira dengan berhati-hati. Setelah berjaya menurunkan Maira, mereka meletakkan mayat Maira di atas lantai. Adzfar membuka sweaternya lalu menutup wajah Maira.

Faiz cuba mendail ambulan. Dia merengus kerana nombor kecemasan tidak dapat dihubungi. Beberapa kali dia mencuba namun gagal. Hujan lebat di luar masih belum berhenti, mungkin itu salah satu penyebab mengapa susah untuk membuat panggilan.

“Nampaknya kita terpaksa tunggu esok pagi baru boleh call ambulan. Line teruk sangat sekarang ni.”

“Yang perempuan boleh naik atas tidur dulu. Biar kami yang lelaki berjaga kat ruang tamu. Aku syak ada yang menceroboh rumah kita. Jadi korang kunci pintu sebelum tidur.”

Kami hanya mengangguk mendengar arahan dari Faiz. Aku memapah Hana yang sudah terjaga tapi masih dalam keadaan lemah. Kak Nas dan Iza pula memapah Zatul.

Sampai saja di bilik, terus aku mengunci pintu. Baru saja aku dan Iza duduk di katil, pintu bilik aku diketuk. Aku bangun dan membuka perlahan pintu bilik. Terpacul wajah Hana yang sedang memeluk bantal.

“Boleh tak kalau aku nak tidur dengan kau? Aku takut nak tidur sorang-sorang.” Hana berkata perlahan. Sesekali kepalanya berpusing kebelakang. Tidak tahu apa yang dipandangnya.

“Boleh. Masuklah.” aku menarik tangan Hana untuk tidur sekatil dengan aku. Mujur katil single ini lebar, jadi bolehlah muat untuk dua orang.

Kami berbaring di atas katil. Lampu dibiarkan terbuka. Masing-masing sudah fobia dengan apa yang terjadi tadi. Aku pula, gagal melelapkan mata kerana tiap kali aku memejam mata, figura mayat Maira yang tergantung akan muncul. Akhirnya aku hanya memandang kosong ke arah siling. Iza di katil sebelah sudah tidur, mungkin penat menangis tadi.

“Kau nak tahu tak?” Hana berbisik. Dia mengiringkan badan ke arah aku.

“Tadi masa aku kat dalam bilik, aku nampak Maira keluar dari bilik air. Lepas tu dia terus baring atas katil dia.” Dia menyambung. Laju aku menoleh ke arah Hana. Terkejut dengan apa yang aku dengar. Masakan orang yang telah meninggal boleh hidup semula? Atau…

“Sebab tulah aku datang ke sini nak tidur dengan kau. Sebab aku takut. Maira… dia senyum dekat aku masa aku nak keluar bilik.” Hana memeluk lengan aku. Aku memejam mata dengan rapat. Nafas ditarik dalam, mahu menenangkan diri dari rasa takut.

“Jangan fikir sangat, Hana. Kau penat kot.” aku mengerling kearahnya.

“Dari awal lagi hati aku rasa tak sedap. Aku dapat rasakan yang kita semua takkan selamat.” Hana mula menangis.

“Dahlah tu Hana. Tolong jangan fikir bukan-bukan boleh tak!” Aku mula bengang. Hana cuma diam, hanya esakan kecil saja kedengaran. Aku mengeluh. Tangan diletakkan di dahi. Mata dipejam. Semoga malam itu cepat berlalu.


 

“Syer… Syer… bangun.”

Terasa badan aku digoncang seseorang. Aku membuka sedikit mata, kelihatan Hana sedang bersila di sebelah sambil tangannya masih menggoncang badan aku. Aku bangun dan bersandar di kepala katil.

“Zatul dan Adzfar hilang.”

“Hah?!” Aku meraup muka. Masih lagi terasa mamai. Aku menyeluk tangan ke bawah bantal untuk mencari telefon tapi tiada pula.

“Macam mana…” Belum sempat aku menghabiskan ayat, Hana menarik tangan aku keluar dari bilik. Sempat aku mencapai tudung sarung yang aku letak di tepi katil. Kaki kami melangkah ke ruang tamu. Semua orang sudah pun berkumpul di ruang tamu.

“Aku rasa diorang berdua berkomplot…” Aku mendengar ayat itu sebaik saja tiba di ruang tamu itu.

“Siapa?” Aku menyampuk.

“Siapa lagi kalau bukan Zatul dan Adzfar. Aku yakin… semua ni diorang punya kerja. Habis semua telefon dan kunci kereta mereka ambil. Mayat Maira pun dah hilang. Pagar rumah semuanya dikunci.” Danni bengang. Wajahnya diraup kasar.

Buntang mata aku tatkala mendengar kata-kata Danni. Bukan kehilangan kunci kereta dan telefon yang mengejutkan aku, tapi kehilangan mayat Maira. Ke mana ianya menghilang?

“Kau yakin semua ni kerja diorang?” Aku mula curiga. Kenapa Zatul dan Adzfar perlu bunuh Maira jika motif mereka yang sebenar adalah mahu meninggalkan kami di sini? Atau… villa ini memang berpuaka?

“Ya. Kami yakin.” kata kak Nas.

“Sekarang ni. Aku, Iza dan Danni akan cuba untuk minta bantu dari orang kampung. Yang lain tunggu sini sementara bantuan tiba. Kalau keluar semua sekaligus, aku risau kalau-kalau mayat Maira masih ada lagi di sini. Kita tak boleh tinggalkan macam tu je.” Faiz memberi arahan. Kami semua mengangguk.

Kami membantu mereka bertiga untuk memanjat tembok pagar yang agak tinggi. Aku kira-kira ketinggian tembok ini ada dalam 2 meter. Selesai saja, kami masuk semula ke dalam. Cuaca pun mendung saja.

Sementara menunggu bantuan tiba, kak Nas masakkan kami maggi. Walaupun tiada selera, tapi kami jamah juga untuk bekalkan tenaga.

‘Gedebuk! Prangg!!’

Pergerakan kami terhenti. Terkejut dengan bunyi yang datang dari arah dapur. Kami berpandangan sesama sendiri. Masing-masing menggunakan bahasa isyarat bertanyakan tentang bunyi tadi.

“Idham. Pergilah tengok.” Aku menyiku perlahan lengan Idham. Maggi masih lagi berjuntai di mulutnya.

“Apesal pula aku? Takkan aku nak pergi sorang?” Idham menggelengkan kepalanya. Tidak mahu mengambil risiko.

“Alah! Pergi sajalah!” Aku menolak Idham. Aku tahu Idham cuak, tapi inilah masanya untuk membuktikan kejantanannya.

“Hana. Jom teman aku.” Idham menarik lengan Hana. Hana menggeleng. Beberapa kali juga Hana cuba menarik tangannya, dan akhirnya Hana mengalah. Terpaksa mengikut Idham.

Aku meletakkan cawan maggi di atas meja. Masih banyak lagi berbaki. Dua suap saja sudah kenyang. Selagi kami tidak keluar dari sini, selagi itu selera aku terbantut.

“Arghhhhh..!!!!!!”

Hampir melompat aku tatkala mendengar jeritan Hana. Aku dan kak Nas segera berlari ke dapur.

“Allahu Akbar!” Aku menekup mulut apabila melihat satu lembaga menyerupai Zatul sedang menikam dada Idham dengan sebilah pisau. Lidah lembaga itu terjelir hingga hampir ke lantai. Hana sudah terjelopok di tepi dinding, tidak jauh dari tempat Idham ditikam.

Shit! Memang benar tekaan aku. Villa ini memang berpuaka. Kematian Maira dan kehilangan Zatul dan Adzfar sememangnya ada kaitan dengan benda-benda mistik. Dan hari ini, dengan mata kepala kami sendiri dapat lihat lembaga itu menyerang Idham, walaupun hari masih siang.

Aku segera menarik Hana untuk meninggalkan tempat itu. Kami berlari ke tingkat atas. Baru saja menjejakkan kaki ke anak tangga yang terakhir, Hana terjatuh dan diheret turun. Aku cuba menarik tangan Hana tapi pautan aku terlepas. Hana terbang dan tercampak ke dinding beberapa kali. Kemudian badannya terangkat sehingga ke siling dan kemudian badannya terhempas ke lantai. Aku mula menangis.

Keadaan Hana sekarang ini nyawa-nyawa ikan. Mukanya penuh dengan darah. Darah keluar membuak-buak dari hidung dan mulut. Aku menapak turun. Baru beberapa anak tangga aku jejak, kelihatan satu susuk tubuh keluar dari arah dapur menuju ke arah Hana. Tangannya memegang kapak. Dari sisi aku lihat wajahnya seperti Iza. Jalannya pula terhincut-hincut.

Kak Nas menarik tangan aku. Kami menuju ke bilik kak Nas. Dia membuka almari dan menarik aku untuk bersembunyi di dalamnya. Hana aku tidak tahu keadaannya. Tapi apabila melihat situasi tadi, aku sudah dapat mengagak apa yang berlaku.

Kedengaran tombol pintu digoncang. Aku dan kak Nas menekup mulut. Tidak mahu mengeluarkan sebarang bunyi. Nafas kami begitu kencang.

Dari celah pintu almari, aku dapat lihat Iza masuk ke dalam bilik. Tangannya masih lagi memegang kapak. Dia berjalan ke tengah bilik. Matanya yang merah melilau ke segenap ruang, seperti singa mencari mangsa.

Aku menggengam tangan kak Nas, sambil sebelah tangan lagi menekup mulut. Air mata aku mengalir. Sementara dalam hati meminta pertolongan dari Allah S.W.T. Ya Allah… selamatkanlah kami.

Selepas beberapa minit, Iza berjalan keluar. Tapi apa yang menghairankan aku adalah… Iza bertukar menjadi asap hitam dan hilang begitu saja. Bermakna dia bukanlah Iza. Dia adalah sesuatu yang menyerupai Iza.

Kak Nas menolak perlahan pintu almari. Kami keluar dan menghela nafas lega.

“Kita kena keluar dari tempat ni cepat.” Aku berkata cemas. Perlahan-lahan kaki diatur ke arah pintu bilik. Sambil itu aku cuba memasang telinga, mahu mendengar kalau-kalau lembaga tadi berada di luar. Kak Nas pula hanya menurut dari belakang.

“Syer.” Kak Nas memanggil aku. Aku menoleh ke belakang.

Satu cakaran hinggap di dada aku. Aku terpana. Terpana melihat keadaan kak Nas yang sudah separuh berubah. Tangan kanannya besar dan hitam. Kukunya pula tajam. Wajahnya separuh hitam. Matanya merah dan mulutnya keluar taring. Dia senyum sinis.

“Kau…” Aku jatuh terbaring. Nafas terasa sesak. Kesan cakaran sangat dalam, memberikan rasa sakit yang tidak tertahan. Aku mula batuk darah. Mata aku memandang ke arah kak Nas, meminta simpati.

“Ya… akulah yang buat semua ni.”

Kak Nas mengangkat kaki aku dan mengheret aku keluar. Sakit kepala aku kerana asyik terhantuk pada bucu anak tangga. Aku tidak tahu ke mana dia mahu membawa aku. Aku tidak berdaya untuk lari.

Kak Nas membawa aku ke satu bilik. Gelap dan busuk dengan bau hanyir. Dia mengheret aku ke tengah bilik. Di situ terdapat lilin yang disusun dalam bulatan.

Aku lihat kesemua kawan-kawan aku berada di situ. Semuanya hanya tinggal jasad. Faiz, Iza dan Danni turut ada di situ. Begitu juga Zatul dan Adzfar. Kesemuanya mati dalam keadaan ngeri.

Kak Nas menyalakan lilin. Baru aku tahu, lilin yang disusun bulatan ini rupanya ada lambang pentagram di tengahnya. Lambang iblis!

“Kau mesti nak tahu kan… motif aku bunuh korang?” kak Nas berdiri di hadapan aku. Dibelakangnya pula muncul lembaga berlidah panjang. Terjelir hingga hampir ke lantai.

“Satu… korang ni spesis angkuh. Suka cakap besar. Suka mencabar. Dah lama aku perhatikan korang.” Dia ketawa mengekek.

“Dua… sebab belaan aku lapar.” kali ini dia gelak besar. Makin lama dia mengilai.

Tiba-tiba pintu bilik dibuka dari luar. Muncul seorang pak cik tua yang aku sangat kenali. Dia… pak cik Suardi! Rupanya mereka berkomplot.

“Apesal lambat?!” kak Nas menengking Suardi.

“Sabarlah. Bukti kena bagi hapus dulu. Kau ingat senang nak uruskan budak bertiga tu?? Heh! Ada hati nak keluar cari bantuan konon.” Suardi senyum sinis.

“Kita mulakan sekarang.” arah kak Nas. Dia duduk mengadap kami. Suardi pula duduk bertentangan dengan kak Nas.

Kak Nas dan Suardi mula membacakan sesuatu. Sangat asing bunyinya bagi aku, seperti bukan bahasa melayu yang dituturkannya.

Begitu banyak lembaga muncul di dalam bilik. Bermacam-macam rupa, pelbagai bentuk. ‘Mereka’ mendekati kami. Aku terasa semakin lemah. Nafas pula tersekat-sekat. Terasa seperti ajal semakin dekat. Dalam hati aku memohon ampun kepada Allah. Memohon ampun pada kedua ibu bapaku.

“Nah. Ini makanan korang. Have fun.” kak Yati dan Suardi mula meninggalkan bilik itu.

Beberapa lembaga datang kepada aku. Masing-masing menjilat bibir. Teruja dengan ‘daging fresh’ mungkin. Mereka membuka mulut seluas yang mungkin, bersedia untuk membaham makanan di hadapan. Aku memejamkan mata, sudah tiada daya lagi.


 

“Siap!” Aku menekan save button.

Setelah hampir dua jam akhirnya siap juga cerita terbaru aku. Aku membuka laman Fiksyen Shasha dan aku terus mendaftar masuk. Aku klik pada new post. Cerita yang telah ditaip di Microsoft Word aku copy, kemudian aku paste ke ruangan yang disediakan.

Setelah menyemak semua ejaan dan perenggan, aku menekan submit for review. Aku senyum puas hati. Kemudian aku menekan ikon komen pula. Ralit aku membaca semua komen-komen di cerita Hotel Lived of Luos. Banyak feedback yang positif dan negatif. Sesekali aku tergelak apabila ada yang mengatakan aku meniru karya orang lain. Alahai…

Telefon aku berbunyi, mematikan kekhusyukan aku membaca komen-komen dari pembaca. Tertera nama Fitri. Aku tersenyum dan menekan ikon hijau.

“Assalamualaikum…” aku memberi salam.

“Wa’alaikumussalam, beb. Aku dah jumpa homestay untuk kita bercuti nanti.” kata Fitri dengan nada yang teruja.

“Ohh yeke? Kat mana tu?”

“Homestay ni kat pantai timur. Siap ada barang-barang bbq lagi weh.” Aku tergelak. Teruja betul si Fitri ni.

“Apa nama homestay tu?” aku menongkat dagu.

“Villa Almairia…”

Aku terdiam. Adakah ini hanya kebetulan? Ataupun ianya suratan?

 

-Tamat-

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

19 comments

  1. Cita best..suspen..tp musykil bab Villa ni..biasa org sewa Villa kat tepi laut ke..tmpt peranginan ke..bukit2 ke..Villa ni lak kat kg..ermm..

  2. Sedikit persamaan dgn drama cerekarama tajuk TRAUMA arahan sheila rusly. Lakonan janna nick. Dorang g bercuti kat banglo mana tah. then 1st mati tu janna nick, tetiba mayat dia hilang. Then sorang dan sorang mula mati. Rupanya janna nick sendiri mastermind. Byk persamaan sebenarnya cuma mcm diolah semula watak2 tu. part story lepas tu memang serius nampak sama dlm novel projek seram hotel. So kali ni, kebetulan lagi la ye. Huhu

      1. Bukan diorang dah sedia mati & si Syer ni nampak mayat diorang sekali dgn Zatul & Adzfar… so yg bertiga tu????

  3. Sama ke jalan cerita dgn cite trauma tu? Mana ada janna nick gantung org kat chandelier.. n mana ada komplot dgn orang luar.. persamaan cuma ada di permulaan cerita je.. kenal kat snapchat, sewa vila.. cite fiksyen ni luas, kalo ada persamaan tu mungkin kebetulan. Open la sikit.. cite dammerung pun ada yg sama macam dlm novel fixi apa.. semua org bebas berkarya. Jgn asyik nak cari kesalahan penulis je. Spread peace on the earth bebeh.

    1. Aku rasa sebab story si syer ni dah 2 kali org ckp dia tiru, sebab tu kot admin FS dah keluarkan/remind semula rules supaya jgn copy cerita org..hahaha..alah, takkan nak bagi sama bebetul. Kalo nak sama sebijik better syer ni pegi mintak je skrip dekat sheila rusly tu. then paste n send kat FS. Bila diolah, means dia dh touch up sana sini, tukar sini sikit, tambah situ sikit walhal jalan cerita tetap sama. Nak sama sebijik memang kena banned trus la dari FS. 1st story dia sama dgn novel, 2nd sama dgn drama lak. For 3rd time kalo still sama, hurmmm..i dont know, fikir sendiri la.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *