Tajuk Lelaki Sebalik Kabus Bab 6

Cerita ini cuma fiksyen, tiada kena mengena dengan yang hidup atau m**i.

BAB 6

Jika namanya perpustakaan sudah pastinya senyap. Para pelajar sibuk menelaah, ada juga mencari bahan rujukan untuk tugasan. Diana dan Donat khusyuk mengulang kaji subjek kalkulus. Mereka bertiga mungkin bijak dalam sains tetapi sedikit lemah dalam matematik. Divya dari tadi terkinja-kinja menanti ketibaan seseorang.

Perpustakaan itu mempunyai tiga tingkat dan sangat luas. Tingkat pertama di sediakan tempat duduk, kerusi yang selesa bersama meja. Terdapat juga bilik-bilik kecil yang berdinding cermin untuk pelajar membuat perbincangan berkumpulan. Di hujung pula terdapat kafeteria layan diri yang ada mesin air dan mee segera. Tingkat dua dan tiga pula hanya terdapat kerusi dan meja untuk pelajar serta buku-buku rujukan yang di susun mengikut kategorinya.

“Assalamualaikum..” Ada suara menyapa

“Walaikumusalam..” Serentak Donat dan Diana menjawab lalu menoleh.

Di belakang mereka berdirinya Akmal dengan senyuman.

“Ha Akmal, datang sini duduk. Aku ingat kau tak datang dah.” Divya memanggil.

Wajah Divya kelihatan gembira. Akhirnya ada juga orang yang sanggup menjadi guru untuk mereka bertiga dalam subjek matematik. Akmal duduk di hadapan kerusi yang menghadap Diana dan meletak beg sandangnya di kerusi sebelah.

Donat cuma tersenyum melihat Akmal. Lain benar pandangannya bila melihat Diana. Adakah lelaki itu sudah jatuh cinta? Lelaki itu jarang dekati dengan mana-mana wanita. Jika tidak bersama Farid, dia pasti bersama Dora sepupunya. Wajahnya juga boleh tahan kacak walaupun kulitnya tidak putih, cuma sawo matang. Lelaki itu juga berbudi bahasa, bukan lelaki semberono.

Malam itu hanya Diana seorang yang berada di biliknya. Ora pula selepas Isyak tadi tiba-tiba sahaja bergegas pulang. Katanya ada kecemasan. Bila di tanya tidak pula dia menjawab. Cuma berpesan supaya Diana menjaga diri.

Jam 2 pagi sunyi sepi. Warga blok K sudah lena mengembara di alam mimpi. Sesekali terdengar bunyi kucing sedang bergaduh. Puas Diana memaksa mata supaya tidur tapi masih belum berjaya. Dia bangun membasahkan tekaknya yang kering. Putaran kipas di perlahankan kerana sejuk.

Diana mendekati tingkap yang terlupa di tutup. Tangannya yang mahu mencapai kekunci tingkap berhenti. Matanya tajam memandang satu arah. Kabus-kabus memutih. Lampu yang di pasang di gelanggang bola keranjang makin lama makin malap lalu terpadam sendiri. Lembaga itu seperti tidak mahu Diana melihatnya. Lampu jalan juga menerima nasib yang sama. Kini pandangan mata terbatas. Di luar gelap gelita. Cuma sepasang kunang-kunang yang bercahaya kelihatan. Pasti mata milik lelaki itu. Diana tahu itulah gerangan orang yang pernah membantunya menyelamatkan diri dari Didem, wanita berambut bulu jagung dan itulah juga orang yang sama menyapanya di dalam mimpi. Tapi siapa dia? Saka? Pengawal yang di hantar ayah?

Diana melempar senyuman bersama ucapan terima kasih dalam nada berbisik sebelum dia menutup tingkap dan kembali baring di atas katil. Tutuplah mata, mengembaralah di alam mimpi. Moga berjumpa dengan lelaki kabus. Penyelamatnya. Selamat malam.

Lagi dua hari cuti p*****l bakal bermula selama 2 mingu. Ada pelajar yang sudah angkat kaki pulang ke kampung halaman masing-masing. Termasuklah Divya dan Donat. Diana pula masih setia di kampus UTA, perancangannya akan berangkat pulang pada esok hari dengan menaiki teksi dari Green Highland. Terlalu leka menelaah bahan-bahan rujukan seorang diri di perpustakaan membuatkan Diana tidak sedar waktu mula melangkah malam. Sudah ramai pelajar sudah pun pulang ke kediaman masing-masing. Tinggallah beberapa orang orang yang boleh di bilang dengan jari. Seram pula rasa bila berada dalam perpustakaan pada ketika ini.

Diana memandang ke luar jendela. Keadaan di luar kian gelap, langit pula warna ungu bercampur merah tanda senja mula melabuh tirai. Berkumandang suara azan memecah kesuraman alam. Diana sempat melihat skrin smartphone, sudah seminggu Ora itu tidak pulang. Menghilang tanpa berita. Mesej yang di hantar oleh Diana tidak berbalas membuatkan Diana bertambah risau andai ada sesuatu telah berlaku kepada Ora dan ahli keluarga. Tanpa berlengah Diana melangkah menuju ke surau yang berada di hujung aras.

Selesai memberi salam kelihatan ada seseorang duduk bersimpuh memandangnya. Ketika itu dada Diana bagaikan mahu meletup. Belum sempat dia mengundur ke belakang. Didem bagai angin, terus berdiri di hadapannya lalu menutup mulut dan hidungnya dengan kain yang di letak cecair kloroform hingga membuatkan Diana tidak berdaya lagi melawan. Matanya kian lama kian lemah, begitu juga seluruh tangannya yang tidak berdaya meronta lagi. Akhirnya gadis itu menyerah dalam terpaksa.

Banglo usang di tengah hutan seperti biasa. Hanya samar-samar cahaya lilin. Kali ini riuh kedengaran suara orang bertengkar.

“Sikap main-main kau boleh undang bahaya Didem.” Mustafa mencerlung.

Suara lelaki itu kedengaran keras bersalut geram. Geram dengan wanita berambut bulu jagung. Kalaulah dia yang lakukan tugas itu sudah lama gadis manusia itu m**i.

“Sudah lah lambat.” Andrew menambah bara.

“Dia tengah solat la, panas aku nak sentuh. Tak kan kau tak faham?” Didem menjawab dalam nada geram.

“Kenapa kau tak hapuskan dia terus?” Andrew juga turut tidak puas hati.

“Nak hapus sekarang pun boleh, tapi rugi jika hati merah itu di biar m**i bersama tubuhnya. Benda segar.” Didem tersenyum dengan senyuman penuh helah.

“Kak.. apa yang kau rancang sebenarnya? Kerja ni kerja yang tuan beri bukan client kita. Serius sikit kak.” Doruk bersuara lembut duduk di sebelah Didem.

Di dalam sebuah bilik yang dikunci. Jendela di bahagian kiri ditutup dengan kayu yang dipaku dari luar dan dalam. Diana yang sudah lama jaga, cuba mencari jalan keluar sebelum orang-orang yang menculiknya datang. Dia tidak kenal siapa mereka, tidak tahu apa kemahuan mereka. Bahasa mereka juga sungguh asing. Hatinya bimbang.

Diana cuba menarik papan yang menutup jendela itu dengan sekuat tenaga yang ada. Namun gagal. Dia berjalan mengelilingi bilik mencari sesuatu yang dapat membantunya mematahkan papan-papan itu. Tapi tiada satu pun barang yang ada dapat membantu. Bilik itu cuma dipenuhi daun-daun kering dan ranting kayu serta kertas-kertas yang berselerakan selain dari tilam buruk.

“Diana..” Ada suara sedang berbisik memanggilnya dari luar tiba-tiba.

“Ya saya.. Ora ke tu?”

“Ya.. ya.. Ora ni, Diana.. undur ke belakang.”

Diana kurang pasti apa rancangan Ora, dia turuti sahaja. Tidak sampai beberapa saat selepas Diana berundur. Ora memecah masuk melalui tingkap yang ditutup dengan papan dengan hanya sekali tendangan menggunakan dua belah kakinya secara serentak.

“Diana okey, diaorang ada cederakan Diana tak?” Ora memegang bahu Diana sambil meneliti seluruh tubuh gadis itu.

“Diana okey.”

Ora terdiam, dia menunduk memasang deria pendengaran.

“Ya baik..” Kemudian gadis itu mengangguk. Seperti mendapat arahan dari seseorang.

“Ora?” Diana memanggil, pelik dengan tingkah laku Ora.

“Jom Diana, kita keluar dari sini secepat mungkin. Diana pegang belakang Ora kuat-Kuat. Kita keluar melalui tingkap ini.”
Ora berdiri membelakangi Diana sambil menarik tangan Diana menyentuh bahunya.

“Ora, biar betul. Diana berat Ora, bukan budak kecil lagi.”

“Diana, percayakan Ora. Ikut cakap Ora. Jom kita tak banyak masa.”

Kedengaran bunyi berdentum di bawah seperti dinding dipecah. Bunyi jeritan dan riuh rendah seperti ada pergaduhan besar telah berlaku. Tanpa berfikir panjang Diana mengikut sahaja arahan Ora dek kerana mula takut. Sekelip mata dia dan Ora mendarat ke tanah tanpa sebarang kecederaan. Mudah sahaja Ora mendarat. Sangat mustahil fikir Diana. Ora membawa beban tubuh Diana, namun gadis itu berupaya terjun melalui tingkap dengan sangat mudah. Kuatnya Ora. Benarkah dia ada saka? Seperti mana cerita-cerita pelajar UTA.

“Jom ikut sini.” Ora menarik tangan Diana

Selepas beberapa minit berlari di dalam hutan dan kemudian menuruni cerun bukit, kelihatan sebuah jip yang diparkir di atas jalan denai. Di tempat duduk pemandu ada seorang wanita dalam linkungan 40an sedang menunggu.

“Jom bonda.” Ora bersuara sebaik sahaja memastikan Diana selamat naik.

Wanita yang dipanggil bonda itu mengangguk.

“Macam mana dengan diaorang?” Bonda bersuara.

“Ora tak sempat nak jumpa, diaorang suruh Ora terus ke sini.”
Bonda cuma mengangguk, lalu tersenyum lega apabila menoleh ke arah Diana.

“Diana ni bonda Ora.” Ora memperkenalkan bondanya kepada Diana.

“Terima kasih auntie sebab sangup bantu saya.”

“Diana boleh panggil bonda saja.” Sophea sempat menoleh ke arah Diana sambil memandu.

Jip yang di bawa kadangkala bergoyang apabila melanggar batuan. Selepas 50 minit akhirnya kelihatan jalan raya di hadapan. Perasaan lega mula memeluk hatinya yang gusar. Takut juga andai Didem muncul lagi. Wanita itu bagaikan ada 9 nyawa. Walau ada Ora dan bonda sekalipun belum tentu mampu mengalahkan Didem.

Sehingga kini hidupnya diselubungi misteri. Kematian kak long yang di katakan nenek bukan berpunca kerana kemalangan dan kemunculan lelaki kabus yang datang tanpa di undang serta wanita aneh yang bernama Didem muncul memburunya tanpa sebab.

Hampir sejam perjalanan akhirnya mereka sampai di destinasinya. Bonda menghilang di belakang rumah sebaik sahaja turun dari jip. Kalut sahaja langkahnya. Kali pertama Diana menjejak kaki di rumah Ora. Rumah banglo dengan seni bina Inggeris lama. Ada pokok bunga yang menjalar di sekitar dinding rumah membuatkan rumah itu kelihatan sejuk dan mendamaikan. Rumah ini agak unik kerana mempunyai serombong asap. Jarang rumah di Malaysia mempunyai serombong asap. Suhu sejuk di Green Highland ini memang sesuai untuk membina rumah sebegini.

“Diana jom masuk.” Ora kelihatan teruja menarik tangan Diana masuk.

Ora menarik nafas, seolah menghidu sesuatu. Kemudian tersenyum sendiri

“Erm nampaknya mereka sampai awal dari kita. Diana duduk la dulu, kejap lagi Ora turun.” Sambung Ora lagi lalu bergegas naik ke atas.

Di halaman rumah pula ada terdapat pelbagai jenis bunga mawar yang di tanam dan dihiasi pula dengan kolam air pancut yang kecil terletak di sebelah bangku kayu yang bercat putih. Dinding batu rumah ini membuatkannya kelihatan agak suram dan menakutkan tetapi apabila dihiasi dengan bunga yang pelbagai warna dan mempunyai taman mawar yang cantik, ia kelihatan sungguh damai.

Keadaan rumah sunyi sahaja kerana jauh dari kawasan perumahan orang. Cuma kicauan burung dan bunyi air pancut mengalir kedengaran. Diana masuk ke ruang tamu sambil menunggu Ora yang naik ke atas biliknya. Perabot antik dan pelbagai barangan antik menghiasi ruang tamu. Entah berapa usia rumah ini agaknya.

Diana menoleh ke arah atas sebaik sahaja ekor matanya ternampak ada seseorang yang bersandar di tiang rumah bersebelahan beranda. Sebaik sahaja Diana menoleh, lelaki berbaju hitam itu sudah pun berjalan masuk ke dalam salah satu bilik yang berdekatan. Bau mawar menusuk ke rongga hidung. Lembut sahaja baunya. Mungkin minyak wangi lelaki tadi.

“Diana?”

“Ya?”

Aurora muncul menuruni tangga. Air muka kelihatan resah.

“Kenapa Ora?” Diana tertanya-tanya.

“Lepas bincang, diorang nak kita tidur sini je malam ni. Diorang harap Diana tak balik selama cuti p*****l ni. Takut benda tu ikut Diana balik rumah. Diana okey tak?”

Ora melabuhkan punggungnya di sebelah Diana. Dia melirik ke arah Diana. Rasa kasihan, gadis terhadap gadis itu atas apa yang berlaku dan kini Diana tidak boleh pulang ke rumah. Beberapa minggu lalu Diana ada menyatakan rasa rindu untuk bertemu neneknya. Tapi kerana kehadiran wanita aneh itu, dia perlu menghalang Diana daripada pulang. Diana diam seketika.

“Diana, kalau Diana balik kami takut bukan sahaja keselamatan Diana di ancam malah keluarga Diana juga dalam bahaya.”
Diana cuma mengangguk. Jelas kelihatan hampa. Namun demi keselamatan keluarganya, dia akur.

“Diana takut nanti menyusahkan keluarga Ora pula. Tak pasal-pasal korang semua dalam bahaya sebab Diana.”

“Eh tak la, kitaorang happy sangat Diana datang sini. Lagipun bonda cakap biar keadaan reda. Jangan risau Diana, kami mampu lawan dia.”

Diana cuma mengangguk sahaja. Di kepala masih banyak tanda tanya. Siapa gerangan wanita berambut blonde? Manusia atau apa? Dan keluarga Ora juga aneh.

Diana sudah berjanji dengan nenek mahu pulang. Nenek pun dengan gembira berjanji mahu masakan untuk Diana makanan kegemarannya. Tapi kini angan-angan mahu meluangkan masa bersama nenek tidak kesampaian.

“Assalamualaikum Nenek..” Suara Diana memberi salam di dalam talian.

“Waalaikumusalam angah. Amboi dah tak sabar nak balik ke?” nenek berseloroh.

“Rindu nenek..” Sedaya boleh Diana cuba mengawal suaranya yang mula sebak.

“Nenek lagi la rindu cucu nenek sorang ni. Esok angah balik kan? nenek dah suruh Mak cik belikan ikan bilis nak buat sambal untuk angah.” Nenek kedengaran gembira.

“Nenek..” Air mata Diana mengalir di pipi.

“Nenek.. angah minta maaf. Angah tak boleh balik. Tugasan tak siap lagi.”

“Tak apa angah, angah buat dulu tugasan sampai habis, nanti balik ya. Tak apa kalau nenek rindu sangat nanti nenek pergi jumpa angah di sana.”

“Nenek jangan datang. Bahaya..” Nada suara Diana sedikit menjerit. Mula resah andai neneknya datang pada waktu getir ini.

“Kenapa bahaya? Apa yang terjadi di sana?” nenek kedengaran cemas.

“Tak..tak ada apa-apa. Nenek jangan la risau. Nenek jangan datang sini ya. Nanti angah balik la. Angah ada di rumah Ora.”

Nenek termenung sambil memegang dadanya. Dia tahu dengan menyuruh Diana pergi ke sana seolah-olah menyuruh Diana masuk ke dalam kandang harimau. Tapi bila memikirkan dia yang bakal pergi bila-bila masa sahaja, dia perlu melepaskan gadis itu mencari semula rahsia terkubur. Dia perlu tahu siapa dirinya. Insya Allah Diana pasti selamat walau kelilingnya ada bahaya. Hati nenek yakin.

“Diana jom dinner.” Ora menarik tangan Diana keluar dari bilik sebaik sahaja perbualan Diana dan nenek tamat. Dia tahu Diana baru sahaja menangis dan dia akan pastikan Diana gembira berada di rumahnya.

Aroma pizza buatan Ora membuatkan perut Diana yang kosong kian berkeroncong. Seperti di dalam filem Hollywood di mana rumah agam milik orang Inggeris mempunyai meja makan yang panjang bersama lilin yang diletakkan di atas pemegang besi yang diukir dengan ukiran yang aneh. Begitulah ruang makan di dalam rumah ini.

“Kita berdua aje?”

Ora hanya menjamah sekeping pizza yang terhidang di dalam pinggan sambil meneguk air merah yang pekat di dalam gelas kaca sambil tersenyum senang melihat Diana yang enak menjamah pizza buatannya.

“Mana family Ora? Sunyi je.”

“Diorang semua ada urusan, Rafael ada di bengkel mekaniknya pukul 10 malam, baru balik, ayahanda ada di atas sibuk dengan kajian dia, bonda dan Rayyan keluar kejap.” Ora membilang dengan jari.

“Sorang lagi?” Diana teringin bertanya perihal abang Ora yang berbau mawar itu.

Ora kelihatan terkejut. Dia gugup seketika. Tidak menyangka Diana akan bertanya perihal abangnya.

“Macam mana Diana tahu?”

“Rayyan ada cerita pasal keluarga Ora kat Diana dulu. Dia cakap dia ada tiga adik-beradik termasuk Ora. Rafael pernah juga Diana jumpa.”

“Oh! Ya. Itu Abang Adrian, dia pun ada urusan.”
Ora terdiam. Cuba membaca riak wajah Diana. Tapi kosong. Rasa hampa.

Ora khusyuk membaca buku di ruang tamu. Diana pula mendengar muzik dari smartphone. Keadaan rumah agak suram, kerana rumah ini hanya mengguna lampu meja dan lampu dinding yang kurang terang. Mungkin keluarga Ora memang gemar suasana sebegini. Rumah besar cuma tiga orang sahaja penghuninya pada ketika ini, memang sungguh sunyi. Kadang-kadang Diana terbau haruman mawar. Seolah-olah lelaki sebalik kabus itu ada berdekatan dengan mereka. Haruman yang membuat jiwa Diana rasa tenang dan selesa hingga dia terlelap ke alam mimpi.

Sepasang mata amber merenungnya, pandangan matanya redup. Tapi milik siapa mata itu. Kabus-kabus nipis kian menebal. Dingin mulai mendakap seluruh tubuh. Lelaki itu masih disitu. Kemudiannya lenyap di sebalik kabus, yang tinggal hanya baunya.

Diana membuka mata. Jam di dinding baru pukul 6.30 pagi. Mujur dia tidak terbabas solat subuh. Dia termenung seketika. Mengimbas kembali. Mimpi yang sama sering kali bertandang. Kata orang mimpi sebahagian dari memori lama. Ada juga yang berkata mimpi itu adalah imajinasi yang di reka oleh otak sendiri berdasarkan apa yang selalu kita impikan. Tapi yang Diana pasti, mimpi itu mainan syaitan.

Pelik pula, bagaimana Diana boleh tidur di dalam bilik, sedangkan Diana terlelap di atas sofa pada malam semalam. Mungkin dia terlalu mengantuk hingga tidak sedar dia berjalan ke bilik. Tetapi ada bau mawar masih tersisa di dalam bilik.
Jam 8 pagi, mentari pagi mula melebarkan senyumannya dan bunyi kicauan burung mulai riuh kedengaran. Diana turun sebaik sahaja dia selesai mandi. Rumah itu tetap sama seperti di malam hari. Sunyi sahaja. Seperti tiada penghuni pula. Diana berjalan ke dapur mencari kelibat Ora. Tapi tetap jua tidak jumpa. Di atas meja terhidang air coklat dan pencake yang masih lagi panas. Diana mencari penghuni rumah lain. Tapi hampa tiada seorang pun ada.

Diana membuka pula mesej yang masuk di dalam smartphone miliknya.

‘Diana, Ora keluar dengan bonda. Ada urusan penting. Kejap je. Diana tunggu ya. Nanti sarapan, abang Ora dah buatkan untuk Diana. Diana makan je. Tak perlu tunggu kita orang tau.’

Diana merapati meja. Ada nota bersama bunga mawar putih. Tulisan tangan bersambung yang cantik, ditulis dengan dakwat pen cair.

‘Sarapan untuk Cik Diana.’

Diana mencium bunga mawar putih. Sama dengan bau di dalam mimpinya.

Sebaik sahaja sarapan, Diana duduk di ruang tamu sambil membaca Novel yang tersusun di rak buku. Novel-novel bahasa Inggeris berkulit tebal, kertasnya pula sudah berwarna kuning. Entah berapa usia novel ini. Tulisannya pula bukan seperti Novel sekarang yang di cetak menggunakan mesin pencetak.

‘The Beast finding His Love’’

Novel itu menarik perhatian Diana. Sekuntum mawar kering terjatuh dari Novel tersebut sebaik sahaja Diana menyelak halamannya.

Sedang khusyuk Diana membelek Novel tersebut, dia terbau aroma mawar. Tanpa dia sedar ada seseorang yang sedang memerhatinya dari atas beranda. Berdiri sambil menyandar di tiang rumah. Redup sahaja pandangannya.

Seperti biasa keadaan rumah keluarga mereka sentiasa sunyi dan suram walau kesemua penghuninya ada. Mereka duduk berhimpun di bilik bacaan. Kecuali Ora sahaja yang tiada kerana sudah pulang bersama tetamu mereka seminggu yang lepas. Bilik bacaan itu lebih luas daripada bilik lain, di penuhi dengan rak buku setinggi 4 meter yang di susun merapati dinding. Di ruang tengah ada set sofa kayu dan meja kopi. Kesemua ahli keluarga Profesor Farhad berhimpun di situ.

“Saya yakin dengan firasat saya sendiri, kita semua tahu, siapa yang hantar wanita gila tu.” Rafael pula melontar apa yang berada di dalam benaknya selama ini.

“Si Psiko tu memang suka main-main.” Ujar bonda lalu memandang suaminya.

“Rayyan boleh rasa wanita tu masih ada di pekan ni bonda.”

Adrian berdiri sambil menyandar di rak buku. Dia hanya diam dari tadi. Sebenarnya semenjak gadis itu tiba di Green Highland lagi, Adrian bertambah diam dan menyendiri. Sophea sedar akan perubahan anaknya itu. Sesekali dia memandang ke arah Adrian, cuba mentafsir apa yang sedang melanda diri Adrian pada saat ini.

“Kita kena umpan dia.” Rafael mendapat idea.

“Maksud abang, kena minta Diana tolong ke?” Rayyan menjeling ke arah Adrian pula. Menunggu reaksi abangnya itu.”
Tapi Adrian tetap diam.

“Ya kita kena minta Diana tolong. Perempuan tu nak Diana saja kan. Sebab tu kena minta Diana jugak.” Rafael juga memandang Adrian sekilas.

Seperti tadi, Adrian cuma diam. Cuma mendengar.
“Kita kena ada orang yang jaga Diana. Kena ada backup.”
Semua mengangguk setuju.

Diana membelek helai demi helai halaman sebuah Novel yang di pinjam dari rumah Ora buat mengisi masa lapangnya pada cuti p*****l selama dua minggu ini. Kata Ora novel tersebut adalah novel kegemaran abang sulongnya. Sudah beratus kali abangnya ulang membaca. ‘The Beast finding His Love’ bukan tajuk novel itu yang menarik minatnya tapi kata-kata yang ditulis di halaman terakhir itu yang mencuri hatinya bersama setangkai mawar kering. Dia tahu itu tulisan milik abang Ora. Lelaki mawar.

Sekejap lagi senja bakal menjelma. Diana yang selesai sahaja mandi duduk di atas katil sementara Ora masih berada di bilik air. Diana melihat jam di tangan beberapa kali. Hampir sejam dia menunggu Ora yang masih belum selesai mandi. Ora sudah berjanji mahu menemaninya makan malam. Tak sangka pula, hari ini Ora mengambil masa yang lama apabila mandi. Selalunya Ora orang yang tangkas, cepat sahaja dia membuat kerja, malah cepat juga berjalan. Sedar-sedar sekejap sahaja Ora muncul di suatu tempat. Sebab itu ada mulut-mulut jahat yang membuat cerita bahawa Ora membela hantu. Tapi Diana tak kisah. Dia kenal siapa teman sebiliknya. Ora memang adakalanya aneh sedikit, tapi sebenarnya baik.

“Ora, awak cuci bilik air ke, lamanya awak mandi..”

Diana berseloroh sebaik sahaja pintu biliknya di tolak. Namun sangkaannya meleset. Sekali lagi wanita itu tiba. Kali ini dia bertindak lebih berani, dia tersenyum melangkah masuk ke dalam bilik Diana. Biji matanya besar berwarna merah.
Diana cuba menjerit memanggil Ora namun wanita itu dengan pantas mencekik leher Diana. Begitu kuat tenaga wanita itu sambil tersenyum menampakkan kedua taringnya. Wajah Diana bertukar biru, urat muka mulai timbul. Nafasnya makin sesak. Hanya mampu menyebut nama Allah di dalam hati.

Pandangannya makin pudar. Mungkin ini penghujung hayatnya. Diana tak terdaya untuk melawan lagi. Tapi sekelip mata leher Diana di lepaskan. Diana terbaring pengsan si atas katilnya.
Wanita itu terpelanting ke atas dan terkena kipas syiling. Ada tenaga yang kuat telah menendang wanita itu. Kipas syiling lekang lalu jatuh lantai. Nasib baik tidak terkena Diana yang pengsan. Adrian muncul. Dia kelihatan tenang sahaja berhadapan dengan syaitan betina itu. Tapi sebenarnya tiada siapa tahu jiwanya sedang memberontak, jiwanya sedang bergelora marah. Lelaki itu membuka sarung tangan yang tersarung di kedua belah tangannya. Dengan satu sentuhan wanita itu lumpuh.

“Arrrqqqhhhhhhhh…. Dia akan hantar lagi.” Dengan nada terketar-ketar wanita itu tidak mampu melawan.

“Siapa hantar kau?”

“Arghhhhhhhh.. sakit..sakit..”

Didem masih degil tidak mahu menjawab walau tubuhnya sudah mula rasa panas terbakar, bisa sudah menjalar ke seluruh tubuhnya. Wajahnya yang putih mula timbul urat-urat biru. Selama ini tubuhnya kebal dengan sebarang senjata dan racun dan ini kali pertama ada bisa yang mampu membunuhnya.

“Dah Adrian, cukup. Jangan jadi pembunuh.”

Rafael muncul sambil mencempung Ora yang pengsan kerana ditikam dengan buluh di bahagian dadanya.
Sebaik sahaja Adrian mengangkat tangannya. Laju seperti angin, wanita itu hilang di hadapan mata. Keluar menerusi pintu. Adrian menarik nafas dalam-dalam. Cuba mengawal rasa marahnya. Kalau Rafael tidak menghalang tadi, sudah pasti wanita itu sudah m**i di tangannya. Adrian kembali memakai semula sarung tangan kiri lalu turut mencempung Diana dan meninggalkan bilik itu sepantas mungkin.

Istana hitam sekelilingnya kini hanya ada pemandangan pokok-pokok yang bogel tanpa daun. Daun yang kuning kini kering. Sunyi sepi, tiada burung atau haiwan lain berani berbunyi. Mungkin gerun.

Bunyi tapak kaki, langkah demi langkah. Pemuda berkod hitam, mata ambernya kelihatan seperti kolam yang jernih. Dia berhenti di situ, sengaja menikmati suasana luar, adakalanya dia sendiri sunyi tinggal di dalam istana terlalu lama, dia tiada teman mahupun kekasih. Dia sendiri sukar mempercayai orang. Cukup dirinya di khianati. Luka masih rasa pedih. Sebenarnya tiada siapa berani mendekatinya, semua tahu lelaki bernama Adria ini seorang yang kejam. Dia lalu mencapai sehelai daun kering. Sekelip mata daun itu bertukar hijau segar. Adria mengetap gigi, benci melihat apa yang terjadi. Tangan ini sepatutnya memusnahkan bukan memberi kehidupan. Daun yang hijau itu lalu di renyuk.

Luka Ora ditikam buluh sudah pun sembuh. Mujurlah Diana sempat diselamatkan oleh abangnya. Sejak kejadian itu Diana hanya mendiamkan diri. Banyak termenung di dalam bilik.

“Ora cuba terus terang, kenapa wanita tu nak b***h Diana?”

Tiba-tiba Diana bersuara sebaik sahaja Ora mendekatinya.
Ora diam. Berbelah bagi. Perlukah dia menceritakan segalanya kepada Diana. Selepas kejadian dua hari lepas, dia sudah tahu siapa dalang disebaliknya. Ora ada kebolehan membaca memori dan fikiran seseorang apabila tangannya menyentuh tubuh seseorang. Dia nampak bayangan Adria dalam memori Didem, wanita yang menyerang dia dan Diana tempoh hari.

“Diana ada hak nak tahu kan?”

Ora tetap diam. Melarikan pandangannya daripada Diana. Ada rahsia besar yang keluarga perlu jaga. Demi keselamatan semua. Diana pula naik geram. Mengapa Ora tidak berterus terang dengannya sahaja. Segala kejadian ini ada kaitan dengan dirinya juga. Dia sasaran utama Didem.

“Baik, Diana tak nak paksa Ora dah. Biar Diana balik ke rumah nenek saja. Diana pun tak suka menyusahkan orang. Sebab Diana, Ora sekeluarga susah. Ora pun dah cedera teruk. Diana tak suka macam ni.”

“Diana..?”

Diana bergegas keluar dari bilik meninggalkan Ora yang resah. Kali ini dia tidak boleh bersabar lagi. Dia mahu keluar menenangkan diri di luar.

“Diana..Diana…?”

Diana tidak mengendahkan panggilan Ora. Dia berlari menuruni tangga. Kejadian demi kejadian aneh dalam hidupnya dan ditambahkan lagi Ora yang cedera kerana melindungi dirinya juga membuatkan Diana mudah beremosi.

“Diana…?”

Diana terkejut, Ora muncul di hadapannya sebaik sahaja dia membuka pintu rumah. Entah dari mana Ora turun ke bawah tanpa melalui tangga.

“Diana, please.. jangan buat macam ni. Ora minta maaf. Ora tak bermaksud nak sorok kan semuanya dari Diana.” Suara Ora lembut memujuk sambil memegang kedua belah tangan Diana.

Diana cuma diam. Menunggu bicara selanjutnya daripada Ora. Lalu Ora memegang kedua tangan Diana. Tepat matanya merenung ke dalam kornea mata Diana. Gadis itu menghela nafas. Satu titik putih mula kelihatan di dalam mata Ora kemudian warna putih itu mula merebak menutup keseluruhan mata. Tenggelam anak mata ambernya.

“Diana, bertenang…bertenang..” Suara lembut Ora memujuk apabila melihat Diana yang mula gelisah melihat matanya yang bertukar putih.

Beberapa minit kemudian, dunia Diana mula berubah menjadi gelap.

Bersambung Bab 7.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

4 thoughts on “Tajuk Lelaki Sebalik Kabus Bab 6”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.