Salam semua!
Cerita ni aku pernah hantar tahun 2017 tapi kali ni telah dimurnikan lagi tatabahasa dan gaya penceritaan. Baik jom mulakan.
Kali ni aku nak bercerita pasal arwah nenek aku (doakan kesejahteraan arwah nenek aku di sana ya) dan ayah saudara yang dipanggil Pakndak dalam keluarga kami. Dorang berdua ni orang paling berani yang pernah aku jumpa. Berani jumpa hantuuuuuu….. hehe.
KISAH PERTAMA
Mak aku cerita masa kecik2 dulu dia selalu ikut nenek aku pergi menoreh getah. Pagi-pagi selepas subuh dah kena lalu jalan yang kiri kanannya hutan tebal dan tanah perkuburan. Setakat lampu di kepala tiba-tiba terpadam masa tengah menoreh dalam kebun getah tu nenek aku dah biasa. Dia boleh buat relax je.. Nenek akan kata “Aku tak kacau kau, kau tak payah lah kacau aku.. aku nak cari rezeki je..”. Hantu-hantu tu pun dah tak sampai hati nak terus kacau agaknya haha.
Satu pagi tu mak aku ikut nenek pergi menoreh.. Masa dalam perjalanan nak ke kebun getah tu dorang perlu melalui satu tanah perkuburan. Pagi tu, mak aku nampak jelas ada satu susuk lembaga berambut panjang dan berjubah putih lusuh tengah tercegat kat tepi jalan.
Masa tu masih sunyi sepi sebab masih awal pagi. Mak aku yang tahu tu mesti jelmaan hantu, dah nak terkencing dalam seluar, mencicit nak patah balik tapi nenek aku yang berjalan dekat depan boleh lalu tepi hantu tu sambil jalan biasa je. Sikit tak menoleh, sikit tak ada riak takut. Nenek kata kat mak aku “buat biasa jelah… Kita lalu, dia hilanglah…”. Dan memang betul pun, lepas lalu tu toleh belakang dah tak ada dah lembaga putih tu tadi. Sekali lagi nampaknya hantu berputus asa nak mengacau orang tua tu haha.
KISAH KEDUA
Ni kisah arwah nenek aku sendiri. Untuk pengetahuan pembaca, semasa hidup nenek aku tinggal seorang diri sebab sayang nak tinggalkan rumah, ayam kucing dia dan paling tak nak sekali adalah menyusahkan anak-anak. Rumah papan dia atas bukit berbatu lada dan agak jauh dari rumah orang lain. Kiri kanan pulak hutan. Berani kan nenek aku? Tapi dia lagi selesa tinggal seorang.
Satu malam tu selepas solat isyak macam biasa nenek akan menonton TV sebelum masuk tidur pada pukul 10. Itulah rutin dia setiap hari. Tapi tiba-tiba satu malam tu nenek terasa satu rumah bergegar. Macam seolah olah ada benda berat menghempap rumah papan dan beratap zink tu. Rupa-rupanya… ada langsuir tengah bertenggek atas tiang kayu yang kita letakkan lampu rumah yang jenis panjang tu.
Elok je dia bertenggek macam burung, berpakaian lusuh serba putih, rambut putih beruban dan bertaring panjang. Matanya merenung tajam ke arah nenek aku. Nenek pun dengan tenang cakaplah,
“Pergilah… aku tak kacau kau, kau pun janganlah kacau aku…”
Nenek aku buat selamba je masa tu sambil mata tetap menonton TV. Kalau aku dah mencicit lari keluar rumah weii. Tapi langsuir tu tak faham bahasa melayu agaknya, dia tetap tak berganjak.
Masih bertenggek atas tiang tu sambil merenung nenek aku. Masih nak test power agaknya. Nenek pun fikir tak boleh jadi ni, dia pun masuk ke dalam bilik dan baca surah Yassin. Sambil dalam hati berdoa supaya langsuir tu pergi. Dan Alhamdulillah bila nenek aku menjenguk ke luar, memang dah tak ada si langsuir durjana itu tadi. Syukur, Allah jualah sebaik baik penolong…
Kalau korang datang rumah nenek aku ni, tengah-tengah malam kalau korang terjaga dari tidur dan terdengar derapan tapak kaki berjalan mengelilingi rumah, korang buat biasa je ye. Sebab nenek pernah bercerita itu sebenarnya tu penunggu rumah yang tengah menjaga rumah… Benda tu milik nenek moyang kepada moyang arwah nenek aku dulu, memang dah tak boleh nak halau dah..
Setakat ni aku tak pernah dengar lagi tapi ada saudara mara aku yang pernah terdengar.. tapi semua buat biasa je.. hehe. Ayah aku sendiri pun pernah ternampak budak kecil bertelanjang seperti toyol di belakang tandas rumah arwah nenek aku sebab dulu2 kan rumah kg semua tandas di luar. Siapa pernah merasa?
KISAH KETIGA
Masih banyak pengalaman nenek aku tapi nanti aku cerita lagi dalam next story k. Sekarang aku nak berkongsi pengalaman Pakndak aku pulak. Pakndak aku ni sejenis hati kering dan tak takut langsung hantu. Ibarat hantu tu seekor nyamuk yang boleh dijentik je. Tapi tak adalah ilmu ke apa, cuma ketakutan kepada Yang Maha Esa lebih tinggi.
Satu hari tu nenek aku buat tahlil arwah atuk.. Ramai lah saudara mara yang ada balik. Bilik Pakndak aku ni pulak di bahagian hujung sekali dalam rumah nenek aku tu. Aku ingat lagi masa tu dalam tengahari Pakndak tengah membuta. Tiba-tiba semua orang boleh dengar bunyi bising macam ada orang tengah bergaduh dalam bilik pakndak. Semua orang tercengang dan perhatikan je bilik Pakndak aku tu.
Tiba-tiba pakndak keluar daripada bilik tengah beraksi macam sedang bersilat dengan seseorang. Siap dengan gaya tangan dan kaki. Part last sekali pakndak macam angkat seseorang dan buang ke luar tingkap rumah. Rumah nenek aku masa tu masih bertiang tinggi di bahagian bawah dan berjendela panjang macam rumah kampung dulu-dulu. Pakndak aku masa tu berpeluh-peluh seperti kepenatan sangat dan baru perasan ramai yang tengah perhatikan dia.
“Ko dah kenapa… Kenapa macam bersilat silat tadi? Mengigau ke?”
Lebih kurang macam tulah nenek aku tanya Pakndak masa tu. Cerita Pakndak, tengah dia sedap tidur dia terasa badan dia kena tindih dengan sesuatu yang berat. Sampai sesak nafas dan tak boleh bergerak. Dalam keadaan mamai tu dia ternampak macam ada orang berpakaian serba hitam seperti seorang pendekar tengah duduk atas badan dia.
Pakndak aku yang cuba melawan akhirnya terlepas dan jelmaan seperti pendekar tadi seolah olah mengajak dia bertarung (bersilat). Itu yang semua orang nampak dia bersilat dan akhirnya pendekar tu tewas bila Pakndak aku berjaya angkat dia dan buang ke luar rumah. Pakndak aku menang tapi memang dia rasa kepenatan sangat-sangat.
Abang sulung Pakndak yang aku panggil Pak Njang mendengar cerita Pakndak tu kata, itu mesti penunggu rumah yang aku ceritakan awal tadi. Mungkin dia cuba nak test kehandalan Pakndak. Sebab kata Pak Njang, dia pernah juga ternampak kelibat pendekar tu dalam rumah tu… tapi Alhamdulillah lah penunggu tu tak pernah kacau lebih-lebih apatah lagi mengacau anak cucu nenek aku..
KISAH KEEMPAT
Ni kisah Pakndak aku lagi. Macam aku cerita awal tadi Pakndak aku seorang yang sangat berani. Semasa masih muda remaja dulu Pakndak aku suka sangat balik lewat malam. Dia bukan naik motor ya, tapi jalan kaki je. Lepas pergi melepak dengan kawan-kawan dekat simpang jalan, barulah dia akan balik. Jauh juga perjalanan balik tu. Kalau korang dapat bayangkan ia satu jalan kampung sempit yang dikelilingi hutan, sunyi sepi dan penuh semak samun kiri kanan.
Suatu pagi macam biasa dalam pukul 1,2 pagi macam tu, lepas dah puas melepak barulah Pakndak akan balik rumah. Dari simpang jalan nak balik ke rumah nenek aku tu agak gelap. Kiri kanan memang hutan dan dia perlu melalui tepi satu perigi lama sebelum sampai. Pakndak aku guna torch light je masa berjalan kaki tu. Yelah masa tu mana ada telefon bimbit lagi.. huhu.
Tengah-tengah berjalan seorang diri tu, bila sampai kat tepi perigi lama, tiba-tiba Pakndak rasa bulu tengkuk dia meremang. Dia pun menoleh.. Rupa-rupanya ada lembaga hodoh berambut panjang, muka berdarah dan lidah terjelir panjang sampai ke pusat tengah berdiri kat tepi perigi tu.
Kawasan tu agak gelap tapi ada sedikit cahaya bulan, Pakndak boleh nampak muka lembaga hodoh tu tengah menghadap dia. Korang mesti ingat Pakndak aku lari lintang pukang kan? Tak guys… Dia lalu selamba je… Dalam hati dia masa tu, “lantak ko lah… aku nak balik rumah je..”. Alhamdulillah lembaga tu tercegat je kat situ dan akhirnya hilang…Tips dia kalau korang jumpa hantu kita buat derk je. Nanti dia putus asa dan terus menghilang hahaha. Sanggupkah anda?
Pakndak aku cerita banyak kali jugak dia akan terserempak dengan ‘sesuatu’ dekat kawasan tu setiap kali balik melepak. Pocong bergolek ke arah dia lepas tu lalu tepi, kemudian hilang. Hantu berpakaian koboi serba hitam datang ke arah dia kemudian hilang. Tapi semua tu tak pernah mematahkan semangat Pakndak aku untuk menjadi seorang kutu embun yang berjaya haha. Ahli keluarga aku pun semua tahu hati Pakndak yang kental kepada usikan membuatkan dia berani lalu situ malam-malam.
Baik, rasanya cukup dulu kisah aku kali ini. Sebelum tu nak mintak sedikit masa korang untuk membacakan Al-Fatihah kepada arwah nenek kesayangan aku yang dah kembali ke rahmatullah pada bulan Mei yang lepas. Rumah nenek aku pun dah sepi tanpa penghuni. Menambahkan lagi keseramannya tapi aku tetap akan balik sekali sekala sambil-sambil menziarahi pusara. Maaf ya kalau keseraman tak sampai. Aku bukan penulis professional, hanya sekadar berkongsi cerita..
Apapun, terima kasih kerana sudi dan tidak jemu membaca. Assalamualaikum! #AtyUmr
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
terbaik..nanti sambung lagi
kata ada penunggu, fungsi penunggu tu utk apa kalua langsuir dtg tenggek kt tiang.. ngarut