Taman Permainan

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca Fiksyen Shasha. Aku nak ucapkan terima kasih kerana cerita aku ni disiarkan. Aku nak perkenalkan diri aku, nama aku Azrie. Cerita yang aku nak sampaikan ni adalah pengalaman sebenar aku semasa aku melanjutkan pelajaran di salah sebuah kolej di utara tanah air pada tahun 2003.

Maaf sekiranya ada salah pada tata bahasa. Maaf juga sekiranya tak berapa seram tapi ambillah pengajaran dari kisah benar aku ni dan juga aku terpaksa tukarkan nama sebenar mangsa dan saksi-saksi yang terlibat. Aku mulakan kisah…

Rumah sewa aku ni dalam taman perumahan baru. Memang baru sangat siap. Rumah 2 tingkat tapi rumah sewa aku ni menghadap highway. Memang sejuk. Waktu malam pula sunyi sepi sebab tak ramai penduduk yang duduk di situ. Cuma kami para pelajar sahaja. Kolej kami memang tak menyediakan asrama. Jadi nak tak nak kenalah menyewa luar. Atas cadangan pihak kolej, taman perumahan inilah yang paling dekat dengan kolej. Sebab kolej kami ni pun baru lagi dan kami lah batch yang pertama. 4 bulan berlalu dan 1 kejadian aneh berlaku pada rumah sewa perempuan. Rumah mereka ni cuma belakang lorong rumah kami dan menghadap taman permainan. Oh ya, disebabkan rumah yang kami duduk ni 2 tingkat jadi pihak kolej menempatkan 8 org pelajar (dua org setiap bilik) setiap satu rumah dan kami bebas memilih mana2 rakan untuk dijadikan rakan serumah.

Pada petang tu aku dan kawan-kawan, (Botak, Wan dan Bob) leka bermain. Manakala yang lain ke bandar untuk beli barang keperluan. Dalam tengah leka bermain PS2, aku terdengar sayup-sayup bunyi orang menjerit. Aku fikir mungkin itu bunyi brek lori. Jadi aku biarkan sahaja. Dalam 10 minit selepas itu handphone nokia 3310 aku berbunyi. Aku pass joystick aku pada bob minta dia tolong sambungkan game bola aku. Aku lihat di skrin telefon nama Aiza muncul (dia ni rakan sekelas aku dan duduk di lorong belakang). “Rie, kau datang rumah kitorang. Panggil ustaz sekali. Sara kena rasuk”. Kata Aiza di hujung talian. “Haa?? Rasuk??? Okay2 aku datang”. Aku matikan panggilan. Aku cari nama ustaz dalam list phone aku. “Aahhh.. Mana nih? Aku ada simpan ke nombor ustaz?”. Ngomel aku seorang. “Kenapa nih wei? Siapa kena rasuk?” tanya Wan yang baru keluar dari toilet. “Tak, tadi si Aiza call kata Sara kawan dia kena rasuk. Kau ada nombor fon ustaz tak?” soalku sambil mata masih membelek telefon bimbit. “Rasuk? Patut masa aku membuang tadi dengar orang menjerit kuat. Ingat diorang ni takut lipas ke, tikus ke? Kejap aku ambik fon aku”. Lalu Wan naik ke atas untuk mengambil telefon nya. Sesudah itu aku pun menelefon ustaz dan menceritakan hal yang berlaku. “Sekarang dah masuk maghrib. Baik kita solat dulu, bersihkan diri. Lepas tuh saya akan terus datang bawa 2-3 orang lecturer yang lain” kata ustaz di hujung talian.

Jam di dinding menunjukkan pukul 8.30pm. Terdengar bunyi enjin kereta di luar rumah. Aku mengintai. Alhamdulillah ustaz dah datang. “Assalamualaikum, jom lah kerumah diorang” kata ustaz. Aku mengangguk lalu keluar bersama rakan-rakan serumah ku yang lain. Semua naik motor. Bukan apa, kalau jadi apa-apa senang terus start motor dan pecut… Kikikiki. Sampai sahaja kami lihat pelajar perempuan yang menghuni di rumah tu semua di luar, termenung. “Kenapa duduk di luar? Siapa yang kena rasuk?” soal ustaz. “Kami takut ustaz. Sara makin teruk. Jadi kami kunci dia di dalam”. Kata Mira sambil air matanya meleleh. Jadi kami semua masuk ke dalam. Kami lihat Sara berdiri di tengah rumah dengan kepala menunduk ke lantai. Rambut yang panjang telah menutupi wajahnya. “Yang perempuan tolong pegang dia ni” arah ustaz. “Tak boleh ustaz, kami cuba tadi tapi tak boleh. Dia kuat sangat ustaz”. Kata salah seorang penghuni rumah itu. Ustaz diam seketika. “Kita dalam keadaan darurat sekarang ni. Yang lelaki semua tolong pegang dan dudukkan Sara”. Jadi tanpa membuang masa kami terkam Sara dan cuba duduk kan dia. Dan ternyata kekuatan dia amat luar biasa.

Entah macam mana rakan kami, Farid selitkan kaki Sara dan Sara jatuh terlentang. Jadi kami terus baringkan dia. Ustaz arahkan aku untuk pegang kepala Sara. Masa ni aku boleh nampak muka Sara yang cukup menyeramkan. Langsung tiada mata putih. Oleh sebab Sara ni putih maka boleh nampak biru urat muka timbul. Dia cuba melawan. Tiba-tiba Sara pandang aku “Kau tengok apa? Aku ikut kau!!” kata Sara dengan suara garau. Terkejut aku lalu tangan aku terlepas dari kepalanya. Lalu ustaz merenjiskan air yang di bacakan yassin ke muka Sara. Mengerang Sara kesakitan. Suara menjeritnya cukup nyaring sampai aku rasa nak pecah gegendang telinga.

Ustaz bacakan ayat-ayat suci al-Quran dengan kuat dan meminta 2 orang rakan kami utk azan di luar rumah dan di dapur. Apabila keadaan reda sedikit maka sesi dialog pun bermula.
Ustaz : siapa kamu?
Sara : aku salah seorang penghuni ditempat ini sebelum kamu
Ustaz : kenapa kamu ganggu dia?
Sara. : setiap hari dia datang ke tempat aku dan meratap, sedih, menangis. Aku nampak dia lemah. Lalu aku masuk
Ustaz. : kamu dah nampak dia sedih, kenapa kamu masih nak ganggu?
Sara. : kalau dia sedih kerana takut dengan Allah. Mungkin aku tidak masuk. Tapi dia sedih kerana manusia. Jadi inilah tempat baru aku sekarang. Heheheeee
Ustaz. : kalau kau tak keluar, aku terpaksa b***h kau dengan ayat-ayat suci al-Quran

Setelah hampir setengah jam dialog akhirnya benda di dalam badan Sara bersetuju untuk keluar dan Sara pulih seperti biasa. Jadi ustaz tanya pada rakan serumah Sara tentang masalah sebenarnya. Kata rakan-rakannya, sejak Sara putus cinta dia kerap ke taman permainan selepas habis kelas dan duduk di buaian seorang diri. Sehinggalah pada hari itu kelakuan Sara agak pelik. Semasa mereka bangun untuk solat subuh, mereka dapati pintu sliding terbuka luas. Dan lihat Sara duduk seorang diri di buaian. Mereka memanggil Sara namun tiada respon. Jadi di sebabkan risau mereka pergi ambil Sara dan bawanya masuk ke rumah. Seharian tanpa makan dan minum Sara cuma duduk bersandar di kepala katil tanpa bergerak sambil mata melihat kipas angin di siling berputar. Mereka sangkakan itu cara Sara untuk tenangkan diri.

Sampailah petang tadi sewaktu jam menginjak ke maghrib tiba-tiba Sara turun sambil menangis. Kata mereka suara Sara menangis amat seram. Seolah-olah mendayu-dayu. Apabila maghrib dia tidak semena-mena ketawa sambil menyanyi jadi mereka semua menarik Sara untuk masuk ke dalam rumah. Di dalam rumah barulah mereka sedar bahawasanya Sara di rasuk. Ustaz menggelengkan kepala.

“Betullah apa yang hantu tu kata, bila kita letakkan makhluk lebih utama dari Allah, iman kita jadi nipis. Senang syaitan buat kerja. Jadikan malam ni sebagai satu pengajaran untuk semua. Letakkan Allah paling utama”
Sekian….

Rating Pembaca
[Total: 6 Average: 4.5]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.