Tersepit di Antara Dua

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Terima kasih diucapkan kepada editor FS kerana sudi menyiarkan kisah aku yang tidak seberapa ini. Inilah adalah pengalaman aku sendiri sebagai seorang anak kepada ibunya yang merupakan seorang bomoh kampung.

Bila dengar perkataan bomoh, mesti terlintas di benak fikiran yang bomoh ni adalah syirik dan mengamalkan ajaran yang bertentangan dengan Islam. Tapi, alhamdulillah, mak aku tak seperti yang hangpa fikirkan. Menggunakan ayat-ayat al-quran dan ruqyah sebagai ikhtiar jalan penyelesaian. Tambahan lagi, mak bukan setakat bomoh tetapi juga seorang bidan. So 2 dalam 1. Bomoh boleh, mengurut orang beranak pun boleh. Dulu ja menyambut orang bersalin (ada kad iktiraf jabatan kesihatan), tapi sekarang dah tak buat. Atas faktor usia yang semakin tua.

So berbalik kepada tajuk asal. Aku harap kisah yang aku ceritakan ni menjadi panduan dan pedoman pada kita semua, supaya tidak tunduk kepada hawa nafsu dan telunjuk syaitan laknatullah dan sentiasa waspada terhadap hasad dengki manusia.

Pagi Rabu tu suasana redup sahaja. Tidak panas dan tidak pula lembap. Angin pun lembut bertiup, ibaratnya sepoi-sepoi bahasa. Sedang aku menyapu di luar rumah, tiba-tiba datang mak dari dalam, terlekat sebatang curut cap ikan di mulutnya. Ditenyeh-tenyeh curut ke gusinya lalu diselit curut tersebut di antara celahan bibir dan gigi, lalu mak berpesan, “Chik, pagi ni ada orang nak mai berubat, hang jangan p mana-mana noh. Nanti tolong mak sat.” Rasa hairan dan pelik menerjah di benak hati, sebab selalunya waktu pagi mak akan mengurut orang, malamnya baru berubat. Kalau takdak orang yang mai, mak akan duduk menghadap tv layan drama kesukaan dia kat channel astro prima. Selalunya macam tu la rutin harian mak. Dalam kehairanan aku hanya mengangguk dan mengiyakan saja. Niat hendak bertanya soalan lebih lanjut aku pendamkan, sebab aku tau mak tak suka ditanya banyak, nanti tak pasal-pasal kena marah free.

Seperti yang mak katakan, sekitar jam 10 pagi datang 2 orang wanita menaiki motosikal modenas kriss berwarna merah hati yang dalam perkiraan aku usia kedua-duanya di lewat 20-an. Telahan aku hanya berdasarkan cara berpakaian mereka berdua. Si penunggang hanya mengenakan t-shirt biru berserta cardigan hitam, berseluar jeans straight cut, bertudung bawal cream dan satu sling-bag jenama alpinestar di bahunya. Manakala si pembonceng memakai baju kurung kedah dan hanya bertudung selimpang cara orang malas. Pucat lesi tidak bermaya, tetapi seri di wajahnya masih ada cuma kurang di pandangan mata. Mungkin belum menjamah makanan kot, fikir aku.
“Assalamualaikum adik, mak ada kat rumah tak?” Tanya si penunggang (Kak Aida) sambil melemparkan satu senyuman.
“Ada kak, masuk la dulu. Sat chek nak panggil mak. Kak duduk dulu kat depan tu. Mak kat dapoq kot.” Ujar aku sambil senyuman tersimpul di bibir.
Setelah memanggil mak berkali-kali, barulah mak datang dari bahagian dapur. Lalu dijemput mereka duduk di ruang tamu. Masa berubat, andai kata tiada tetamu lain yang hadir, mak akan berubat di ruang tamu. Kalau ada, barulah mak akan jemput masuk ke dalam bilik. Salah satu sebabnya, mak tak mau aib tetamu yang datang diketahui orang. Nanti mendatangkan malu. Lalu mak pun bertanya, “Barang-barang yang makcik suruh beli tu bawak tak?”
“Alhamdulillah bawak makcik. Lada hitam, sireh pinang dengan ayaq mineral ja kan? Yang tu ja kan makcik?” Jawab Kak Aida sambil mengeluarkan satu persatu barang tersebut. Tambahnya lagi,
“Ni saya bawak mai kawan saya sekali, Azlin nama dia. Makcik tolong tengok-tengokkan dia sat. Saya kawan dengan dia dah lama. Daripada zaman sekolah lagi sampai la sekarang dia dah kawen dan beranak satu. Dulu dia ni badan gemuk, berisi. Tengoklah sekarang makcik, kurus kering, muka pucat pulak tu. Bila makan, muntah. Nak telan ayaq pun kadang-kadang perit di tekak. Kesian saya tengok dia ni, sebab tu saya bawak mai kat makcik.”
Kak Azlin hanya mengangguk setuju. Diam seribu bahasa.
“Ni hang dah bawak dia p jumpa doktor dak? Hospital ka klinik ka, mana tau kot-kot ada penyakit.” Menjadi kebiasaan mak, akan bertanya dulu dah bawak p medical check-up ke belum. Kalau jadi macam tu atas sebab penyakit, mak memang tak mampu nak buat apa-apa. Mak hanya akan pesan suruh makan ubat yang doktor bagi ja.
“Dah bawak p, tapi doktor kata takdak apa. Usus dia apa semua elok. Darah pun tak tinggi mana bila check aritu.” Jawab Kak Aida bersungguh-sungguh.
“Ha kalau macam tu takpala. In shaa Allah ya, kita cuba tengok apa yang tak kena. Dan kita cuba ikhtiarkan semampu boleh. Mai ayaq tu kat makcik.” Jawab mak dengan tenang.
Air mineral dibuka tudungnya lalu dihulurkan. Mak memasukkan jari telunjuk ke dalam botol, disentuh hujung jarinya di permukaan air sambil mulut mak terkumat-kamit membacakan sesuatu. Aku hanya memandang seketika saja, lalu menghadap kaca tv sambil tangan memicit punat remote control mencari rancangan yang best. Aku membiarkan mereka bertiga di ruang tamu, malas aku ambil tahu pasal masalah orang. Nanti apa pulak kata mereka.

Tiba-tiba, satu suara ketawa yang kuat kedengaran. Aku menoleh ke belakang. Nak tahu jugak, benda apa yang kelakar sampai boleh ketawa macam tu sekali. Mak buat lawak ke apa. Tetapi sebaliknya yang aku lihat, Kak Azlin yang sedang duduk bertentangan dengan mak sedang memandang mak dengan mata terbeliak sambil melemparkan satu senyuman sinis. Senyuman yang penuh dengan cemuhan dan perlekehan. Kak Aida yang berada di sebelah Kak Azlin tadi dengan segera menganjakkan kedudukannya ke arah mak. Wajahnya masih lagi mengukir perasaan terkejut. Terdengar seketika tadi dia melatah sedikit. Mak masih lagi steady di tempatnya. Duduk bersila seperti menjangkakan perkara ini akan berlaku.
“Ha, dah tunjuk rupanya yang sebenaq. Hat ni yang aku dok tunggu daripada tadi lagi. Berani hang pijak kaki masuk rumah aku noh. La ni hang bagitau, hang ni sapa?” Soal mak dengan penuh nada kemarahan.
“Hang nak tau sapa aku? Hahaha. Hang tak layak pun ambik tau. Aku tak kacau hidup hang pun. Jadi hang jangan kacau hidup aku.” Jawab ‘benda’ yang ada di dalam badan Kak Azlin.
Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, al-fatihah mak bacakan. Sesudah itu, ayatul kursi pula. Tetapi belum sempat mak habiskan ayat tersebut, yang jadi musibatnya adalah, ‘benda’ tu ikut mak baca sekali!
Dengan penuh nada angkuh ‘benda’ tu berkata, “Aku tau segala apa yang hang baca. Aku baca benda ni lagi lama daripada hang. Tak lut langsung dekat aku. Hahaha.”
Mak dah menyeringai marah. Berkerut dahi mak. Pantang tok nenek mak orang perlekeh dia dan anak cucu dia.
“Kalau hang takmau bagitau aku takpa, hang tunggu sat. Aida, mai kat makcik pinang dengan lada tu. Chik, hang p cari kacip mak sat. Ada kat dalam bekas pinang mak tu”
Apa lagi, berlari aku masuk ke dalam bilik mak. Tergopoh-gapah mencari bekas pinang yang entah letaknya di mana sebab mak selalu letak bekas pinang dia merata! Time nak guna baru kalut nak cari. Dalam saat macam ni, aku tau kacip mak adalah satu benda yang crucial. Satu benda yang penting untuk digunakan based on pengalaman aku sebelum-sebelum ni teman mak berubat orang.

Setelah selongkar sana sini, barulah aku jumpa bekas pinang mak yang terletak di bawah katil. Disitu la tempat mak simpan curut, henset dia sekali. Kacip dihulurkan dengan sepantas kilat. Mak menyambut dengan tangan kirinya, manakala tergenggam erat sebiji pinang di tangan kanan mak sambil mulutnya membacakan sesuatu. Lalu dihembuskan ke pinang tersebut.
“Aku tanya hang lagi sekali, hang ni sapa. Awat hang mai kacau Si Azlin ni? Hang nak bagitau ka takmau?”
“Aku takmau!”
Dan seraya dengan itu, mak letakkan pinang tadi di kacip, lalu ditekan kacip tersebut sampai terbelah sedikit pinang. Maka menjeritlah ‘benda’ tersebut sekuat-kuatnya. Meronta-ronta mahu dilepaskan daripada cengkaman ghaib yang menyakitkan itu.
“La ni hang nak bagitau ka dak? Kalau dak aku tekan kacip ni lagi kuat!” Ancam mak kepada ‘benda’ tersebut.
“Ya, aku bagitau. Aku habaq kat hang. Tolong jangan kacip lagi. Aku sakit. Tolong” Rayuan yang melenyapkan keangkuhan.
Mak tetap tak melepaskan kacip digenggamannya. Tetap ditekan untuk beberapa ketika. Biar ‘benda’ tu tahu erti sakit bagaimana.
“Hang bagitau sebab apa hang kacau Azlin ni? Dia buat salah apa dekat hang? Hang cakap bagi betoi, kalau dak bukan setakat aku tikam hang, aku bakaq hang hidup-hidup!”
“Ok, aku bagitau hang. Aku ni adalah saka keturunan laki kepada Azlin. Laki dia yang hantaq aku mai sini, suruh aku jaga Azlin ni. Dia takmau ada mana-mana laki lain yang berkenan dekat Azlin, jadi aku buat bila orang lain pandang Azlin, orang akan nampak satu benda yang hodoh. Dan depa terus tak berkenan.” Ujar ‘benda’ tersebut sambil menggigil menahan sakit.
Dengan tiba-tiba Kak Aida mencelah, nadanya penuh amarah, “Jaga apanya, ni tengok Azlin ni. Makin kurus kering. Makan pun tak lalu. Bukan jaga namanya, ni seksa!”
Lalu dijawab pertanyaan tersebut dengan
“Dia tak lalu makan sebab aku yang buat. Aku tahan, aku ikat ulu hati dia supaya makanan tak boleh turun. Bila dia makan, dia rasa pedih. Aku buat pun sebab mak mentua Azlin ni yang suruh. Dah depa suruh, aku buat la. Janji taat setia daripada dulu sampai bila-bila.”
Tambah ‘benda’ tu lagi.
“Aku duduk dengan keluarga mentua Azlin ni dah lama. Siap dah beranak pinak lagi. Aku bawak sekali anak cucu aku mai jaga Azlin. Depa semua dok tunggu kat luaq, tak boleh masuk. Dok perati ja daripada tadi.”
Aiseyman, aku dengar pun meremang bulu roma. Haram jadah betul siang-siang dah buat aku takut. Mak bertanya lagi, “Hang kata hang jaga, awat hang buat dia takmau makan lagu tu. Seksa nama dia tu.”
‘Benda’ tu jawab, “Apa aku buat semua laki dia yang suruh. Bukan salah aku. Salah Azlin ni la. Dia yang lari daripada rumah tinggai laki dia, bawak lari dengan anak sekali. Sapa suruh dia lari. Padan muka dia!”
Terkejut mak dengar ‘benda’ tu cakap macam tu. Mak tanya kepada Kak Aida, betul ke apa yang disebut tu. Bukan apa, ambil langkah berjaga-jaga. Syaitan, jin yang dalam kesakitan sekalipun, jika mereka masih ada daya untuk menipu manusia, mereka tetap akan tipu. Sebab tu apa yang mereka cakap jangan ditelan bulat-bulat, jangan genggam dengan erat. Soal selidik terlebih dahulu.

Aida mengiyakan apa yang diperkatakan oleh ‘benda’ tu. Menurut Aida, Azlin tinggal bersama keluarga mentuanya di sebuah kampung di Bukit Kayu Hitam. Pada awal perkahwinan, semuanya masih lagi elok. Tiada apa-apa yang mencurigakan. Tetapi apabila usia perkahwinan masuk 3 bulan, taring sebenar keluarga mentuanya baru nampak di mata. Azlin dipaksa buat kerja rumah dan diperlakukan seperti orang gaji. Sehinggakan waktu Azlin sakit demam sekalipun dia tetap dipaksa. Kadang-kadang dipukul dan disebat oleh mak mentuanya. Suaminya pulak seorang penagih dadah. Tidak bekerja. Hanya mendengar cakap ibunya saja. Kalau tak, suaminya takkan diberi duit oleh ibunya. Benda ni berlarutan sampailah Azlin dah beranak, dan usia anak pun dah mencecah 5 tahun. Dan satu hari dia nekad, nak lari daripada rumah dengan membawa anak dia sekali. Lalu, ditelefon Aida untuk bantuan. Atas dasar sifat setia kawan dan kasihan, Aida menolong sahabatnya itu. Lagipun Aida tinggal sorang di rumah sewa. At least ada peneman dia tiap-tiap hari. Pekerjaan pun Aida sanggup carikan untuk Azlin mencari nafkah untuk anaknya yang tak mengenal lagi perit dunia bagaimana. Dan Aida sendiri tak sangka suami Azlin sanggup buat macam ni dekat isterinya sendiri.

Mendengar kisah daripada mulut Aida sendiri, barulah mak mengerti dan faham akan situasi yang terjadi. Mak hanya menghela nafas panjang. Manusia yang semata-mata mengikut hawa nafsu beginilah jadinya. Manusia lain menjadi mangsa.

Kacip digenggaman ditekan lagi sekali. Meronta kesakitan ‘benda’ tersebut. Lalu mak ambilkan lada yang ada, ditekan di dahi Azlin. Meronta lagi, tetapi kali ini kepanasan. Dengan tegas mak berkata, “Hang cakap, apa lagi depa suruh hang buat dekat Azlin. Cakap benda betoi kalau dak aku kelar leher hang. Biaq mati!”
Terketar-ketar ‘benda’ tu bercerita, “Bukan setakat tu saja, Azlin ni cantik orangnya. Kalau manusia tengok pun dah tergoda. Ni pulak aku jin. Kalau suami dia takdak, aku lah yang dok romen Si Azlin ni. Aku suruh anak bini aku pegang dia, sampai dia tak boleh melawan.”
Mak mengeleng-geleng kepala mendengar. Dah teruk gayanya ni. Aku yang duduk ditepi mendengar pun terasa sakit hati. Manusia apa macam ni. Perangai apa. Hilang moral keislaman dalam masyarakat kita. Sedih!

Mak menekan kembali kacip ditangannya. Raungan kedengaran kembali. Lolongan kesakitan yang tidak tertanggung menyebabkan Azlin bergolek-golek di lantai. Ibarat cacing kepanasan lagaknya.
Seraya itu mak berkata, “Aku nak hang balik, jangan kacau Aida lagi. Dia tak bersalah. Hang balik, hang p tokak laki dia, p tokak mak mentua dia! Kalau dak hang aku bakaq!”
“Aku mintak ampun, aku mintak ampun. Aku tak boleh balik. Depa ikat anak bini aku. Kalau aku balik, depa kata depa nak bunuh anak bini aku. Aku tak boleh balik,” menangis ‘benda’ tu.

Mak ada pernah pesan, kalau ‘benda’ tu menangis jangan sesekali percaya. Air mata yang jatuh tu hanya air mata paksaan. Berlakon semata-mata. Tujuannya hanya untuk meminta belas kasihan daripada manusia. Mohon dilepaskan daripada dibelenggu oleh kalimah-kalimah agung Allah swt.

“Aku tak kira, hang kena balik jugak. Kalau tak, dekat sini jugak aku bunuh hang!” Sergah mak, sambil kacip di tangannya diletakkan di leher Aida.
“Baiklah, baiklah. Aku balik. Jangan bunuh aku. Jangan bakaq aku.” Rayu ‘benda’ tu lagi.
“Sebelum hang balik, aku ada soalan nak tanya dekat hang. Macam mana ayah kepada suami Si Azlin ni dapat saka? Menuntut ataupun pusaka?” Soal mak ingin tahu.

Tetapi ‘benda’ tu hanya tunduk. Diam seribu bahasa. Tidak menjawab soalan mak. Menyembunyikan asal-usul dirinya kepada manusia lain. Manusia yang menjadi musuhnya.

Dan untuk beberapa ketika, Azlin kembali sedar. Dipegang kepalanya dan dipicit-picit. Meminta air sebab kehausan yang amat sangat. Lalu mak hulurkan air mineral yang Aida bawak tadi. Menyuruh Azlin membaca dua tiga ayat untuk memulihkan kembali semangatnya.

Sambil Azlin meneguk air di tangannya, mak berkata kepada Aida, “Benda ni nanti dia akan mai balik sebab ‘ibu’ dia dok ada lagi. Selagi suami dia hidup sebagai pewaris saka, benda ni tetap takkan ke mana. Takkan kita nak bunuh laki dengan mak mentua dia. Kesian pulak kat depa. Depa pun hamba Allah swt, orang yang agamanya Islam. Haram bagi kita menumpahkan darah.” Aida mengangguk faham. Ditanya lagi kepada mak, “Dah tu makcik, nak buat macam mana? Kesian saya tengok Azlin ni.” Mak hanya menyampaikan pesan, ada dua jalan cara dan terpulang kepada Azlin untuk ikut atau tak. Pertamanya, dan paling mudah sekali, Azlin balik ke pangkuan suami dia balik. Dengan cara tu, ‘benda’ tu takkan mai kacau dia dah lepas ni. Keduanya, mintak cerai dan failkan di mahkamah. Dan jangan lupa selalu solat, zikir ingat kepada Allah dan amalkan ayat-ayat pendinding. Sebab di akhirnya, semua benda adalah atas diri kita sendiri yang mencorak hidup kita, kekuatan kita.

Dan lepas dari kejadian ni, aku dah tak dengar cerita apa yang jadi dekat Azlin. Tapi aku doakan moga dia bertemu jalan kebahagian dan dalam lindungan Allah swt. Mintak maaf sebab panjang dan terima kasih sebab sudi baca. In shaa Allah ada masa, aku kongsi lagi pengalaman aku.

Kongsi kisah anda: http://fiksyenshasha.com/submit

5 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *