Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera pembaca FS sekalian,
Aku sebenarnya sedang kebosanan di hari jumaat menunggu pukul 5 petang supaya aku boleh memulakan hujung minggu aku. Aku terfikir dengan menulis untuk FS ini mungkin masa lebih cepat berlalu. Yelah kalau dekat office ni, kau rasa dah termenung 3 jam dah tapi hakikatnya baru 8 saat berlalu. Kalau ikutkan ini cerita ke empat yang aku hantar pada FS. Mungkin aku bukan penulis yang baik tapi aku suka membaca cerita cerita di sini, jadi terpanggil juga rasa nak ceritakan cerita aku. Aku masih ingat kejadian itu seperti berlaku semalam, walaupun dah 9 tahun berlalu. Jadi mari mula kan.
Aku melanjutkan pelajaran aku di peringkat diploma di satu institusi di Melaka, Alor Gajah. Aku tak nak sebut tempat tu, tapi tempat tu memang terkenal dengan perkara perkara mistik, walaupun begitu, tempat itu bagi aku adalah tempat paling best untuk kehidupan belajar dan juga tempat untuk kenal kehidupan. Aku ditempatkan di satu kolej kediaman lama, biliknya kecil tapi bagi aku kerana kolej itulah aku kenal erti berkawan dan sebagainya. Kalau ditengok dari segi luaran, tidak lah seram kolej itu dan aku juga suka dan selesa tinggal di kolej itu.
Satu bilik menempatkan 4 orang pelajar, dan level aku boleh dikatakan semua pelajar semester satu. Aku dan teman teman sebilik semuanya satu fakulti tapi berlainan kelas. Minggu itu aku dan dua orang lagi teman sebilik aku tidak balik ke rumah kerana kami ada aktiviti di hujung minggu itu. Sepatutnya melibatkan semua pelajar semester satu tapi teman sebilik aku yang seorang itu boleh balik pula (dah terlepas pengalaman menarik ini).
Biasalah kalau tinggal di kolej, sudah semesti nya tidur lambat lebih lebih lagi kalau esoknya hari sabtu. Tapi tak tahu kenapa pada malam itu aku dan teman sebilik aku mengantuk sangat. Mengantuk yang level kalau berdiri pun boleh terlelap. Jadi kami buat keputusan nak tidur. Oh ya, pintu kolej bilik kami rosak, jadi kami pasang selak dan mangga untuk tutup pintu. Setelah pintu itu kami mangga, kami pun tidur. Dalam bilik itu ada dua katil double decker, sorang kawan aku tidur di katil bawah, sorang lagi tidur di katil satu lagi sebelah atas. Dan aku tidur dibawah kipas, aku Tarik tilam aku betul betul di bawah kipas dan tidur dibawah. Sebab kolej kan panas weh.
Malam itu pun berlalu dengan ketiga tiga kami beradu dengan tenang, tapi ketenangan kami di kejutkan dengan ketukkan dan gegaran pintu bilik kami. Pintu bilik kami diketuk dengan sangat kuat, macam nak tercabut pintu itu . Bila aku terjaga aku terus rasa tak sedap hati, kawan kawan aku juga terjaga. Korang bayangkan tengah sedap tidur tiba tiba terkejut sebab pintu bilik diketuk macam nak roboh. Kami bertiga berkumpul di satu katil dan senyap membisu. Dengan keadaan yang gelap, kami tahu yang sesuatu tengah berlaku diluar. Tak da siapa pun berani membuka pintu dan tak terfikir nak buka lampu. Kami dalam keadaan yang terkejut, pintu kami diketuk lagi (nasib baik dah manga) tapi kali ini diikuti dengan dengusan yang kuat macam seekor binatang. Tapi tak kan lah binatang yang ketuk pintu itu kan. Kami hanya mendiam kan diri dan tiba tiba kedengaran seperti orang dibelakang pintu itu berlari menjauhkan diri daripada bilik kami. Rasa sedikit lega tapi masih tidak berani membuka pintu. Kami hanaya duduk di atas katil itu kebingungan dengan apa yang baru berlaku.
Setelah beberapa minit berlalu, terdengar kembali dengusan dan larian seseorang diluar bilik kami dan kali ini “dia” sekali lagi berhenti betul betul di depan pintu kami. Tapi kami menjadi sangat sangat lega apabila terdengar suara polis bantuan di tempat kami yang membaca ayat alQuran. Disitu kami tahu yang memang ada sesuatu yang sedang berlaku. Jadi kami pun cuba membuka pintu, di luar bilik terdapat seorang polis bantuan yang terkenal dengan mengubat orang yang dirasuk, kak siti (bukan nama sebenar) yang terbaring sambil menggelupur dan budak budak level yang lain. Rupanya kak siti telah dirasuk dan perkara ini telah berlaku beberapa jam.
Pada ketika itu, jam menunjukkan pukul 3 pagi dan kak siti telah dirasuk daripada pukul 12 lagi. Kelihatan kak siti dah terbaring kepenatan apabila PB itu membaca ayat ayat alQuran itu dan beberapa kali PB itu ulang “Keluar kau daripada badan dia, keluar kau” dan “dia” yang merasuk kak siti pandai berlakon, seringkali “dia” berlakon menjadi kak siti dan berkata “ye, aku ni siti, dah lah pergi balik, aku dah okay” dan “korang jum lah balik bilik, kenapa ramai ramai kat sini”. Tetapi setiap kali PB itu merenjis air yasin, kak siti akan menggelupur semula dan cakap “sakit, sakit”. Pertama kali kami menyaksikan perkara seperti ini, terasa seperti di dalam movie.
Perkara ini berlaku sehingga selepas subuh, kami pelajar semester satu semuanya harus menyertai aktiviti fakulti dan apabila kami semua meninggalkan kolej, kak siti masih dalam keadaan yang sama. PB tersebut tidak berjaya menghalau “dia” keluar daripada badan kak siti. Apabila aktiviti kami habis dan kami pulang ke kolej. Keluarga kak siti telah pun mengambil kak siti untuk dibawa balik. Beberapa cerita yang kami dengar ialah,
1 – “dia” yang merasuk kak siti merupakan saka belaan keluarga kak siti dan keluarga kak siti mahu menurunkan “dia” kepada kak siti. Terdengar juga yang keluarga kak siti tak mahu menghantar dia berubat.
2 – Seseorang kenalan kak siti yang menghantar “dia” untuk mengganggu dan merasuk kak siti. Dan “dia” dihantar melalui telefon.
Allahualam, tak tahu mana satu cerita yang sebenar. Tapi selama seminggu selepas kejadian itu, kami satu level pasang ayat ayat alQuran sebelum tidur dan kami juga akan renjis air bacaan yasin di setiap bilik. Tidak mahu sesiapa yang lemah semangat untuk berfikir terlalu mendalam, mahu semuanya tenang. Takut juga kalau ada yang histeria kalau terlalu takut. T
api ada satu kejadian menimpa aku dan teman sebilik ku beberapa hari selepas kejadian itu. Aku dan teman sebilik aku mahu mandi, biasalah selepas kejadian itu, mandi pun mahu berteman. Jadi kami ke bilik air dan aku mandi di shower 1 dan dia mandi di shower 2. Masa kami sedang mandi tu, terdengar seseorang meletakkan bakul mandi nya di luar shower aku dan dia cakap “next”. Kalau kau tinggal di kolej atau asrama, ini bermaksud, lepas kau mandi aku mandi tau. Macam tulah. Bila terdengar tu, bulu roma aku terus meremang, aku tau itu suara kak siti. Tapi aku diam lagi, mungkin kak siti dah balik kolej aku terfikir.
Bila keluar daripada shower, teman sebilik aku masih mandi, jadi aku tunggu dia kawasan sinki dan membasuh muka dan tangan. Semasa aku menunggu di sinki itu, seseorang lalu dibelakang aku, disebabkan aku menghadap cermin, aku nampak siapa yang lalu. Yes, kak siti yang lalu, dan dia memandang aku dengan senyuman yang sangat “creepy”, senyuman yang menyeringai. Terasa berdiri bulu tengkuk aku, tapi aku tegur dia. “Kak siti” kataku , yelah aku memang peramah dan aku fikir dah nampak depan mata macam ni, maknanya kak siti dah balik kolej dah ni.
Teman sebilik aku keluar dan kami pun menuju ke bilik. Dia menegur aku di dalam bilik, “Tadi aku dengar kau tegur kak siti, dia dah balik ke?”. Aku pun menjawab “aah, dah balik lah tu, dia yang mandi dekat shower 1 tu lepas aku tadi”. Aku pun bercerita yang dia senyum menyeringai masa lalu dibelakang aku. Tapi perbualan itu habis disitu, kerana kami tak terfikir apa apa yang lain. Aku pun memberi tahu semua orang di dalam bilik yang kak siti dah balik.
Selepas isyak, kakak ketua level yang bilik nya berdepan dengan bilik kami datang lepak di bilik kami. Dia memulakan cerita pasal kejadian yang berlaku dengan kak siti. Kami mendengar sahaja kerana dia merupakan kawan kak siti dan kami hanya kenal kak siti begitu saja. Yelah, junior kan. Di akhir ceritanya dia berkata “Nasib baik family dia dah ambil dia, kalau dia masih kat sini akak pun takut nak keluar bilik”. Aku yang baru berjumpa kak siti petang tadi terus bersuara “eh, tapi kak, dia dah balik kolej lah, petang tadi aku jumpa dia masa mandi tu, elok je dia senyum kat aku”. Akak ketua level tu terus berdiri dan berkata “kau mengarut apa ni, kak siti masih kat rumah keluarga dialah, dia dapat mc sebulan, family dia nak berubat katanya”. Terus berdiri segala bulu yang ada di badan ku, ya Allah, siapa yang aku jumpa menyeringai petang tadi. Tapi aku yang tak nak menakut kan yang lain aku cakap “oh, salah orang lah tu”. Hakikatnya, aku yakin yang aku jumpa itu kak siti, kerana dia mengangguk apabila aku tegur dia petang tu. Siapa yang menyerupai kak siti itu. Nasib baik aku tidak diganggu selepas itu. Yelah, selepas itu kemana saja berteman dan tak nak duduk berseorangan menghadap cermin lagi. Bila terkenang senyuman kak siti tu, boleh demam ooo. Samapai disini sahaja cerita untuk kali ini. Terima kasih membaca.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit