Tetamu Tak Diundang

Hati siapa yang tak pedih. Menanggung kesakitan batin pada berbulan lamanya tanpa disangka-sangka. Hanya yang atas sahaja tahu segalanya.

Ada satu cerita aku teringin nak kongsikan kepada pembaca disini. Maafkan aku seandainya kisah ini nampak amat panjang. Kejadian ini boleh dikatakan juga hangat pada halwa telinga masyarakat setempat kampung orang tua ku di belah Selatan Tanah Air. Ianya berlaku pada salah seorang jiran kampung kami.

Cik Man (bukan nama sebenar) merupakan ‘watak’ yang aku sedang ketengahkan kedalam penceritaan ini. Cik Man pada pandangan aku hanyalah sekadar insan biasa dikalangan penduduk kampung kami. Beliau merupakan seorang peniaga makan kecil-kecilan, dimana beliau mempunyai gerai makan sewa di Medan Selera yang tidak jauh dari perjalanan rumahnya. Lupa nak sebut. Beliau meniaga jualan goreng-goreng dan masakan panas.

Berdasarkan pada pengamatan Cik Man sendiri, beliau amat bersyukur serta berasa selesa akan kehidupan yang dijalani beliau selama berniaga di gerai sewa. Tiada yang nak dirungutkan lagipun.

Sehinggalah bermulanya pada saat itu. Dimana Cik Man mula berdepan dengan ‘titik hitam’ dalam sejarah hidup beliau. Permulaan kisah hitam ini meletus setelah Cik Man dan peniaga gerai lain di Medan Selera tersebut mula menerima “tetamu” luar yang juga baru mula menyewa gerai ditempat Cik Man berniaga. Cik Man ada berkata bahawa beliau tak pernah nampak mana-mana orang yang menyewa disana selama bertahun-tahun beliau berniaga situ sampailah sekarang. Baru hari ini Cik Man nampak. Secara ringkasnya, ‘peniaga’ baru itu adalah orang luar dari kawasan perkampungan Cik Man. Tidak berapa mesra alam kepada Cik Man dan juga peniaga-peniaga gerai di Medan Selera tersebut. Malah namanya sendiri tidak diketahui kelompok peniaga-peniaga Medan Selera itu. Pelik sungguh.

Tambah Cik Man lagi, kehadiran ‘peniaga’ gerai baru yang tak mesra alam itu dijangkakan beliau menjadi permulaan kejatuhan perniagaannya. Cik Man mendakwa gerainya secara mendadak kehilangan pelanggan terutama sekali pelanggan setia beliau setelah lebih beberapa bulan ‘peniaga’ tersebut berniaga. Bukan sikit-sikit hilang tu tapi sekaligus terus. Pada hari itu juga ianya berlaku. Ia berlanjutan hampir berminggu lamanya. Sampaikan Cik Man & komuniti peniaga di Medan Selera tersebut bertanya sesama mereka atas sebab kenapa gerai beliau boleh terus tak ada pelanggan. Walhal saban hari pelanggan yang berkunjung ke Medan Selera untuk makan-makan pasti akan melalui depan gerai Cik Man. Tapi cuma kedai rakan seperniaga Cik Man dan ‘peniaga’ itu sahaja yang menerima kunjungan pelanggan. Seolah-oleh gerai Cik Man macam dah ‘diasapkan’ seseorang. Entahlah. Dek kerana tak nak ada timbul isu syak wasangka serta iri hati dikalangan komuniti Medan Selera tersebut, maka Cik Man mengambil keputusan untuk “menutup gerai” hampir sebulan kemudiannya. Dia tidak lagi berniaga.

Ingatkan itu sahaja peristiwa hitam yang menimpa liku kehidupan Cik Man.  Rupanya ada lagi. Kali ini ianya berlaku sehingga kedalam kehidupan harian Cik Man sekeluarga didalam rumah. Cik Man berasa seperti ada ‘seseorang’ yang mengirim sesuatu untuk menjahanamkan hidup beliau. Ia berlaku setelah Cik Man berhenti berniaga disana. Apa tidaknya, Cik Man dan isteri dahpun mula menerima gangguan halus sedangkan tak pernah langsung pasangan tersebut diganggu apa-apa sekalipun. Berikut adalah contoh gangguan yang aku dengar daripada bibir Cik Man sendiri:

– Cik Man pernah dengar ketukan pintu kayu depan dekat berkali-kali pada satu malam tu. Bila disahut, tak dijawab apa salam sekalipun. Cik Man buka pintu depan. Cik Man nampak ada satu ‘sosok’ hitam berupa orang tengah berlari kekiri kekanan diatas halaman rumahnya.
– Pernah terdengar bunyi piring pecah dari arah bawah dapur pada suatu malam. Bunyi bising. Dijengahnya Cik Man dan Isteri. Habis pecah berderai piring-piring kat dapur.
– Pernah terdengan bunyi derapan tapak kaki dibahagian ruang anjung rumah pada suatu malam. Rumah papan lantai papan. Korang fikir sendiri lah macam mana kan.
– Mula kerap kali terdengar bunyi seperti orang berjalan diatas atap zink rumah menjelang waktu tengah malam. Malah juga mula kerap tendengar bunyi orang berjalan mengelilingi rumah. Ia boleh didengar melalui tingkap biliknya.
– Bunyi air paip bilik air. Kadang-kala bunyi flush jamban di bawah dapur sana. Berlaku pada waktu gelap malam. Bukan sekali tapi dah lebih.

Setakat ini Cik Man dan isteri masih lagi cekal hati untuk terus tinggal bersama di rumah mereka. Sampailah ke suatu tahap dimana Cik Man dan isteri dah mula menerima gangguan daripada makhluk halus secara fizikal. Terang lagi bersuluh nampaknya. Akhirnya Cik Man mengambil keputusan untuk tinggal bersama orang tua ku dalam beberapa waktu.

Dikhabarkan hampir berbulan lamanya Cik Man & Isteri dah tak tidur di rumah mereka sendiri. Hanya datang masuk ke rumah bila waktu siang dan petang sahaja.

Ada jua rezeki berpihak kepada Cik Man akhirnya. Masyarakat sekampung Cik Man dan orang tua ku bergabung sama untuk menghalau ‘makhluk halus’ yang sedang bersarang didalam rumah beliau dengan bantuan ustaz dan beberapa orang kampung dari kampung seberang. Dua perkara serentak berlaku disini. Pertama, rumah Cik Man telah kembali bebas daripada gangguan makhluk halus.  Kedua, Cik Man telah menerima kunjungan oleh rakan lama seperniaga Medan Selera di rumahnya dan telah mendapat khabar berita mengenai pemergian ‘peniaga’ yang kurang mesra alam tu. ‘Peniaga’ tersebut dikatakan meninggal dunia akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Tergamam Cik Man seketika sejurus menerima perkhabaran tersebut. Mungkin peristiwa titik hitam yang pernah seketika menimpa dalam kehidupan harian Cik Man ada kaitan dengan si ‘peniaga’ tersebut secara tak langsung. Dakwa Cik Man. Entahlah. Apa jua yang berlaku, aku tak nak dan tak akan letak sebarang andaian dalam kejadian cerita diatas. Biar lah Tuhan yang menjalankan kerja.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 3]
M.Kairul

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.