Tetamu Tidak Diundang

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca Fiksyen Shasha dan admin –admin yang bertugas. Nama aku Max, berusia 17 tahun dan berasal daripada Sarawak. Aku berbangsa Iban dan beragama Islam. Aku ingin berterima kasih andai diberi peluang untuk menyampaikan pengalaman sulung aku kepada pembaca yang dahagakan cerita-cerita seram.

Pengalaman ini berlaku ketika aku dan keluarga menghabiskan masa cuti sekolah sekitar tahun 2015 di Sematan. Usai solat Jumaat, kami sekeluarga bertolak dari Kota Sxxxxxxxx ke Sematan. Abah memandu dengan ditemani ibu di sebelahnya manakala aku dan 2 lagi adik aku duduk di tempat duduk belakang. Perjalanan mengambil masa 2jam setengah. Kami tiba ke destinasi sekitar jam 5 petang dan terus mendaftar masuk ke rumah penginapan. Suasana ketika itu agak suram kerana tidak ramai pengunjung pada waktu itu. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, sungguh mendamaikan.

Seusai menunaikan solat Isyak, kami berjalan beriringan menuju ke pantai untuk aktiviti ‘barbeque’. Tiada apa-apa yang pelik berlaku ketika itu. Aktiviti berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. Sekitar jam 9 malam, ibu tiba-tiba mengadu sakit kepala dan ingin berehat sahaja di bilik. Aktiviti barbeque diteruskan juga tanpa ibu. Kami sempat mengambil gambar sebagai kenang-kenangan. Kami mengemas segala perkakas dan beredar ke bilik pada jam 10 malam.

Keesokan harinya, kami menunaikan solat Subuh berjemaah tetapi ibu tidak turut serta kerana masih sakit kepala. Kami tidak mengesyaki apa-apa dan beranggapan ibu hanya sakit kepala biasa. Pada pukul 8 pagi, kami bertolak ke rumah. Sepanjang perjalanan, ibu hanya membisukan diri. Apabila ditanya, ibu hanya membalas “hurmm”. Kami masih berfikiran positif pada ketika itu. Setelah tiba di rumah, ibu hanya tidur sahaja sepanjang hari. Barangkali kepenatan.

Detik mencemaskan bermula apabila abah, aku dan dua orang adikku terdengar suara orang ketawa dari dalam bilik ibu ketika kami sedang leka menonton televisyen selepas solat Isyak. Kami beranggapan bahawa ibu sedang menonton video kelakar yang dihantar oleh kawan baiknya seperti biasa. Tetapi ibu ketawa semakin kuat dan kuat seakan-akan mengilai. Abah segera menjengah ke bilik ibu. “Along, cepat panggil ustaz Man. Mak kau kena sampuk!”, jerkah abah. Aku yang sedang sibuk membalas mesej di Whatsapp terkejut dan segera menyarung selipar ke rumah ustaz Man yang terletak selang 2 buah rumah dari rumah kami.

“Ustaz, buka pintu!”, jeritku seperti orang yang hilang akal. Ustaz Man terkocoh-kocoh keluar sambil menyarung kain pelikatnya. “Waalaikumsalam”, ujar ustaz Man. “Ustaz tolong ustaz, mak saya kena sampuk!”. Aku dan ustaz Man bergegas pulang ke rumah. Setibanya di rumah, aku terkaku apabila terlihat ibu sedang duduk mencangkung di atas meja TV sambil matanya melilau-lilau melihat aku dan ustaz Man yang baru sampai. Matanya yang merah tidak seperti ibuku. “Pergi kau orang tua, pergi!! Aku tak nak tengok muka kau!!”, jerit ibu sambil menyengetkan kepalanya. Suaranya juga turut berubah.

Adikku berpelukan sesama sendiri kerana ketakutan yang melampau. Ustaz Man mengarahkan aku untuk membawa adik-adikku ke bilik. Aku akur dan hanya mengintai dari celahan pintu bilik yang sengaja kubiarkan terbuka sedikit. “Mak dah kenapa Along, Mak sakit ke?”, Tanya adikku yang bongsu. Segala pertanyaannya kubiarkan sepi tanpa jawapan. Dari celahan pintu itu, jelas terlihat ibuku sedang dipegang oleh abah. Ustaz Man mula membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Ibu meraung semahunya. “Diam bodoh! Orang tua bodoh!”, ujarnya yang mungkin sedang kepanasan. Ustaz segera memicit ibu jari kaki ibu. Ibu menjerit kesakitan sama seperti cerita seram yang sering kita tonton di TV. Ustaz mula berinteraksi dengan entiti di dalam tubuh ibu.

“Siapa kau, apa kau mahu dari wanita ini?”, Ustaz man memulakan bicara. “Aku nak balik apa yang dia ambil dari aku! Aku nak dia, dia milik aku!!”, jerit ibu. Suaranya sangat menyeramkan bagi sesiapa yang mendengarnya. Jiran-jiran yang berdekatan tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan apa yang berlaku. “Dia milik Allah, kita semua milik Allah. Aku perintahkan kau keluar dari badan hamba Allah ini”, Ustaz Man meninggikan suara. “Tak nak!! Dia ambil hak aku, aku nak ambil nyawa dia!!”, makhluk itu berdegil. “Kau keluar secara baik atau aku hancurkan kau dengan kalimah suci Allah!”, jerkah ustaz Man. Perbualan ini berlanjutan sehingga hampir 30 minit. Makhluk itu kemudiannya berputus asa dan keluar dari badan ibu. Kulihat ibu seperti memuntahkan sesuatu kemudian terbaring lemah. Ustaz memberikan air penawar untuk memulihkan semangat ibu.

Keesokan harinya, ibu menceritakan bahawa dia ada mengambil sesuatu dari tempat kami barbeque. Ianya merupakan sebiji batu sebesar syiling 50sen berwarna hijau. Batu tersebut sangat cantik, dan menarik perhatian ibu. Abah kemudiannya bertolak semula ke Sematan dan meletakkan batu tersebut kembali ke tempat asalnya. Semenjak kejadian itu, ibu mula berjinak dengan alam ghaib. Dia sering mengadu melihat entiti di sekitar rumah kami teruatama di pokok pisang yang terbiar di seberang rumah kami. Ustaz Man mendakwa bahawa hijab mata ibu telah terbuka dan memberikan ayat-ayat tertentu sebagai pendinding kepada ibu.

Nasihat aku kepada pembaca, kita hendaklah sentiasa menjaga tingkah laku apabila berada di tempat orang kerana kita tidak berseorangan di dunia ini. Di saat kita bersendiri, ada mata yang memerhati. Semoga nukilan aku kali ini member pengajaran kepada pembaca semua agar tidak mengulangi kesalahan seperti ibuku. Bak kata orang Sarawak, tangan jangan jelap gilak.Mulut ya pun sik boh nak lebih-lebih kelaka bage tungkup langit, terbak bak suara kau jak kedengaran. Jika diberikan kesempatan, akan aku ceritakan lagi pengalamanku yang lain. Peace!!

-Max-

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 3]
Max

10 thoughts on “Tetamu Tidak Diundang”

  1. Walaupun tak berapa seram kisahnya. Pengajaran dalam kisah ini bagus. Berhati2 di tempat yang kita jejak . Kadang2 jin tu dah claim tu tempat dia .hehee

    Reply
    • maksudnya mulut tu jangan celupar sangat dan pandang kiri kanan dulu kalau nak bercakap. bercakap macam takde hari esok (kiamat). volumn suara tu kena kontrol juga, ini tak macam bercakap dalam gua suara kau je yang bergema hahaha

      Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.