Tinder Date dari Pangsun

Assalamualaikum. Hai semua. Namaku Andy. Aku nak menceritakan pengalaman aneh dan sangat misteri yang dialami oleh kawan baikku. Izinkan aku menggunakan kata ganti nama ‘Aku’ untuk menceritakan pengalaman ini. Mungkin lebih menarik, bukan. Baiklah, kita mulakan. Mari!

___________________________________________________________________________________________________

Aku tak pernah menjangkakan yang perjalanan ringkasku dari Pangsun, Hulu Langat ke Subang Jaya pada malam itu akan menjadi pengalaman paling mendebarkan dan menakutkan dalam hidup. Ini kisahku 12 tahun lalu, yang akan aku ingat sampai bila-bila.

Aku ketika itu sudah pun mencecah umur awal 30-an dan masih bujang serta menetap bersama kedua ibu bapaku di Subang Jaya. Aku memilih untuk bujang dan bersendirian bagi memastikan aku dapat menumpukan sepenuh perhatianku terhadapa kerjaya dan kedua ibu bapaku yang telah menginjak umur lewat 60an. Terutama ayah yang sudah mula berulang alik ke hospital dan ke pusat dialisis. Ibuku pula masih cergas ke sana ke mari dan aktif juga pergi bercuti bersama sahabat sahabat baiknya.

Dek kerana tidak tahan dengan bebelan dan leteran kedua ibu bapaku yang kerap kali menyuruhku berkahwin, aku pun mula mencari calon pasangan hidup. Fitrahku yang agak introvert di dunia realiti menyebabkan aku memilih dunia virtual untuk berkenalan dengan gadis gadis yang mempunyai sama tujuan denganku. Lalu membawa aku ke aplikasi Tinder yang baru sahaja popular dan meletop di kalangan kami yang berstatus bujang (dan juga yang sudah berkahwin tetapi tidak sedar diri perasan masih bujang!)

Ya, segalanya bermula dengan Tinder, dating apps yang menemukan aku pada seorang gadis kampung dari Pangsun, Hulu Langat, Selangor yang bernama Ain. Profilnya menarik – wajah ayu dan redup dengan senyuman manis berlesung pipit, berlatarbelakangkan sungai yang jernih. Dalam bio-nya, dia tulis, “Saya suka alam semula jadi,” Aku budak Subang Jaya pula memang suka jalan-jalan ke kampung kampung, jadi aku fikir, apa salahnya mencuba.

Setelah sehari dua berkenalan di Tinder, kami bertukar nombor dan mula selalu berbual di telefon. Ain orangnya ramah, tapi seperti ada sesuatu tentang dirinya kukira agak aneh dan misteri. Dia sangat sopan, tapi ada kalanya dia seperti sangat suka berahsia. Bila ditanya tentang keluarganya, dia jawab sepintas lalu dengan ringkas seringkasnya. Bila cuba diajak bergurau, dia ketawa, tapi kejap sahaja ketawanya, tidak lama. Seolah-olah ada sesuatu yang disembunyikan.

Tetapi aku cuba abaikan perasaan curiga itu. Sejujurnya, aku tidak mampu menipu diri sendiri dengan mengatakan aku tidak tertarik dengan Ain. Dia seorang gadis kampung yang istimewa bagiku. Suaranya merdu dan begitu lembut. Dia selalu menyanyikan lagu kegemarannya, Cindai dari Siti Nurhaliza dan dia sering berbicara tentang kampungnya di Pangsun. Betapa dia menyukai sungai di situ, betapa tenangnya hidup di pedalaman kampung. Aku juga senang mendengar dia menyanyi nyanyi lagu kegemarannya dan celotehnya bercerita tentang kehidupanya.

“Awak kena datang sini nanti tau,” katanya satu malam ketika kami video call.

“Sungai di sini cantik, airnya sejuk,”

Aku tersenyum.

“Boleh, tapi awak janji bawa saya jalan-jalan kampung, ya?”

Dia angguk, tapi tidak semena-mena mataku mula menangkap sesuatu di belakangnya. Aku terfikir mungkin talian internet kami terganggu, tapi bila aku lihat betul-betul, aku nampak sesuatu yang pelik. Bulu romaku meremang tiba-tiba.

Di belakang Ain, cermin meja soleknya memantulkan sesuatu imej. Jelas kelihatan bayangan seorang wanita yang menyerupai Ain dengan berpakaian serba putih, sedang duduk sambil menyisir rambutnya yang sangat panjang sambil tersenyum sinis.

Aku tergamam.

“Ain,” panggil aku, cuba menenangkan diri.

“Siapa kat belakang tu?”

Dia kelihatan terkejut dan segera menoleh.

“Belakang mana?” tanya Ain, suaranya sedikit bergetar.

“Cermin,” jawab aku.

“Ada orang.”

Dia diam seketika sebelum ketawa kecil.

“Awak ni pandai buat lawak. Saya seorang sajalah dalam bilik ni.”

Aku nak beritahu apa yang aku nampak, tapi aku fikir, mungkin aku cuma berhalusinasi. Jadi aku hanya pendamkan sendiri.

Tetapi itu bukan kali pertama aku mengalami kejadian aneh dan menyeramkan ketika aku menghubunginya melalui telefon. Kejadian kedua ini lagi membuatkan aku sentiasa dalam keadaan ketakutan bila membuat atau menerima panggilan telefon darinya.

Malam itu, ketika aku sampai di rumah setelah pulang kerja sekitar jam 11 malam, aku mula baring di sofa sambil melayan telefon. Tiba-tiba, telefon aku berdering. Nama Ain muncul di skrin, membuatkan aku tersenyum ceria. Ain sangat jarang buat video call tiba-tiba macam ni, jadi aku fikir mungkin dia nak bercerita sesuatu yang penting.

Aku segera menjawab panggilan itu. Wajah Ain segera muncul di skrin, tetapi ada sesuatu yang sangat aneh dan menyeramkan membuatkan tanganku mengigil teruk dan bulu romaku terus meremang.

Bilik Ain kelihatan suram. Lampu di biliknya sangat malap, hampir gelap sepenuhnya, cuma ada cahaya samar yang entah datang dari mana. Wajah Ain nampak kusam, kulitnya lebih pucat dari biasa. Rambutnya terurai, kelihatan kusut, dan matanya aku lihat seperti kelihatan hitam sepenuhnya, seolah-olah tidak ada warna putih di dalamnya.

“Err, Ain. Ain, awak okay ke ni?” aku tanya, cuba untuk bersikap tenang walaupun jantung aku mula berdegup laju.

Dia tersenyum, tapi senyuman itu sinis dan agak menyeramkan. “Saya okay je,” dia jawab, tapi suara Ain kedengaran aneh. Perlahan, serak, dan sedikit garau seperti bukan suara Ain yang aku kenal.

“Awak kat bilik awak ke ni? Kenapa nampak suram sangat?” aku tanya lagi, cuba untuk memahami keadaan.

Dia hanya mengangguk, tapi tak berkata apa-apa. Ain memandang dan merenung anak mataku aku lama, terlalu lama, sehingga aku rasa tak selesa. Selalunya aku akan berasa tersipu sipu malu jika Ain merenung begitu tetapi tidak kali ini. Bulu romaku terus menerus meremang. Seram sejuk aku dibuatnya.

“Eh, awak ni kenapa diam? Awak sure awak okay ke? Kalau ada apa-apa, cakaplah,” aku cuba mencairkan suasana.

“Aku cuma….. Rindu kau. Hihihihihi. Hihihihihi,” dia berkata perlahan, dengan nada yang dingin. Kemudian disusuli ketawa kecil yang bersarang di tekaknya.

Aku tergamam. Ain tak pernah cakap macam ni sebelum ni, apatah lagi dengan menggunakan ‘Aku’. Apalagi dengan cara yang sebegitu menyeramkan.

“Yes, Ain. I miss you too. Err… Tapi, awak nampak lain macam je malam ni. Ada makan apa apa ke?” aku cuba bergurau, walaupun hati aku semakin tak sedap.

Dia tersenyum lagi, kali ini senyuman yang lebih lebar. Terlalu lebar sehingga aku rasa ngeri.

“Andy. Aku nak kau datang sini…..” dia berkata dengan suara kasar, serak dan sedikit garau, sambil pandang ke arah pintu biliknya yang tiba tiba separuh terbuka.

Aku cuba untuk tak panik. “Eh, Ain, tak kelakarlah! Alah, bodohlaaaaahh! Hahaha!” aku berkata, cuba ketawa kecil dengan janggal walaupun tangan aku menggigil teruk dan berpeluh.

Tiba-tiba, pintu bilik di belakangnya bergerak perlahan, seperti ada seseorang menolaknya. Tapi tak ada sesiapa di situ.

Aku terkaku. “Ain. Jangan lah main prank prank macam ni! Siapa yang buka pintu bilik awak tu?”

Dia tak jawab. Dia hanya tunduk, kemudian perlahan-lahan angkat wajah dia semula. Kali ini, wajah dia berubah – matanya semakin gelap, senyuman dia semakin menyeramkan, dan dia mula ketawa perlahan, suara dia bergema seolah-olah datang dari dua tempat sekaligus.

Mulut aku terkumat kamit membaca ayat Kursi berserta surah 3 Qul berulang kali ketika aku mulai sedar dan yakin bahawa Ain yang di dalam skrin telefon ini bukanlah Ain yang sebenar.

Tapi dia hanya memandang aku, sambil ketawanya semakin kuat. Kemudian dia mengilai. Tiba-tiba, wajahnya mendekati kamera telefon, terlalu dekat sehingga hanya matanya yang hitam itu memenuhi skrin.

“Datanglah ke sini… Datanglah ke sini… Datanglah ke sini…” ujar ‘Ain” berulang ulang kali dengan suara berbisik, tetapi aku rasa seolah-olah bisikan itu ada betul betul di sebelah telinga aku sehinggakan aku dapat rasa ada helaan nafas di telinga.

Bulu romaku meremang teruk. Aku rasa macam nak terkencing dah. Aku tak tunggu lagi. Dengan tangan menggigil, aku terus tamatkan panggilan. Nafas aku tercungap-cungap, jantung aku berdegup laju.

Aku mencapai kotak rokok dan menyalakan sebatang rokok sambil aku terus hantar mesej pada Ain melalui WhatsApp:

“Assalamualaikum. Ain. Awak tengah buat apa tu?”

Mesej aku hanya bertanda satu ‘tick’. Ain tak jawab. Aku tunggu selama hampir setengah jam, tapi tak ada balasan. Aku cuba yakinkan diri sendiri bahawa kemungkinan bateri telefon Ain m**i atau talian internet di kawasannya teruk sekarang.

Selepas menghabiskan dua tiga batang rokok, walaupun dengan penuh ketakutan aku nekad buat panggilan telefon ke nombor Ain. Kali ini, dia jawab. Suaranya dia kedengaran biasa, suara yang lembut dan ceria – suara Ain yang aku kenal.

“Hello Andy. Haiiiii. Saya baru nak call awak. Dah balik office?” Ain tanya, nadanya seperti biasa.

“Ain, awak kat mana sekarang?” aku terus bertanya tanpa menjawab soalan Ain, suara aku bergetar.

“Saya kat rumah sepupu ni. Saya tidur sini malam ni. Saya ada bagitau awak semalam kan? Kenapa ni? Awak okay tak?” jawabnya dengan bunyi latar belakang jelas seperti ada orang lain di sekelilingnya.

Berderau d***h aku mendengarnya. “Jangan main main Ain. Baru je tadi awak video call saya, Ain. Awak ada kat bilik dalam rumah awak. Awak dahlah macam cikpon tadi!”

Ain ketawa kecil. “Awak, saya tak ada buat video call pun! Dari tengah hari tadi saya kat sini. Lagipun internet coverage sini teruk sangat, awak. Nak hantar dan terima whatsapp pun susah. Awak salah orang tu. Entah awek mana jadi cikpon yang call entah. Hahahaha,”

Aku rasa macam kepala aku berpusing. “Okay, Ain. Jaga diri ya,”

“Andyyy… Tunggu lah dulu. Kita borak-boraklah lagi. Saya rin……”

Belum sempat Ain meneruskan lagi percakapannya, aku terus letak telefon. Aku bingung. Lalu aku berkata dalam hati, “Kau check balik call log kau. Betul ke Ain ada call?”

Dengan tangan menggigil, aku buka call log. Mata aku terbeliak. Tak ada sebarang panggilan masuk dari Ain.

Sejak beberapa siri kejadian misteri dan menyeramkan itu, aku sangat jarang menghubunginya melalui video call. Hanya voice call sahaja dan itupun, sekejap sekejap sahaja. Aku seolah olah sudah serik dan berasa takut untuk melihatnya di dalam skin telefon. Tetapi hubungan kami entah kenapa semakin lama semakin rapat, walaupun hanya bertukar teks ringkas di Whatsapp.

Namun masih ada lagi sesuatu yang baru tentang Ain yang aku tak dapat fahami. Dia ada banyak pantang larang yang pelik. Salah satu yang paling aneh adalah tentang waktu.

“Bila kita keluar date nanti, kita balik sebelum maghrib ya,” katanya.

“Awak kena pastikan saya dah ada di dalam rumah saya sebelum matahari terbenam.”

Aku ketawa besar. Spontan. “Hahahahahahahaha. Kenapa? Awak Cinderella ke?”

Ain tersenyum sejenak, kemudian wajahnya serius. “Bukan. Ada ‘benda’ yang jaga saya. Dia tak suka saya keluar malam.”

“’Benda’?” Aku cuba menyoal lebih lanjut.

“Susah nak jelaskan,” jawab Ain, mengelak.

“Awak ikut saja, ya?”

Aku angguk perlahan lahan sambil merenung matanya yang redup di skrin telefon, tanda bersetuju walaupun seribu satu persoalan bermain di fikiran. Secara jujurnya, ‘benda’ yang dinyatakan oleh Ain itu langsung tidak dihiraukan olehku. Lagipun, aku fikir itu mungkin cuma peraturan atau syarat dikenakan oleh ibu-bapanya. Apa salahnya aku hormat dan menurut saja.

Pertemuan kali pertama kami berjalan sangat lancar. Ain menjemput aku ke kampungnya, sebuah kawasan yang nun jauh di pedalaman. Jalannya sempit, dan pokok-pokok besar serta tinggi di kiri dan kanan jalan seperti melambai-lambai setiap kali aku memandu. Tapi Ain memastikan aku tidak tersesat, dia berkongsi lokasi rumahnya di aplikasi Whatsapp.

Setelah memandu hampir satu jam setengah dengan mengharungi kesesakan trafik yang menggila, aku sampai di kampungnya. Berbaloi sungguh perjalanan aku tadi yang kukira agak menyiksakan kerana pemandangan aku nikmati sekarang serta suasana kampung ini amatlah aku tunggu tunggu. Nyaman dan sentosa.

Kampungnya indah, dengan sebuah sungai jernih yang deras mengalir berhampiran rumahnya. Kami habiskan masa berbual di pondok dan berjalan di tepi sungai. Kami ada juga membeli kuih muih serta air kelapa di warung kecil di tepi Balai Polis Pekan Batu 18.

Tapi setiap kali aku cuba bertanya tentang pantang larangnya, setiap kali itulah Ain akan cuba mengalih tajuk perbualan kami.

“Jom, kita makan dulu,” katanya, mengelak. “Nasi lemak kat sini sedap tau.”

Aku ikut saja.

Selepas beberapa kali keluar, aku semakin selesa dengan Ain. Tapi pada pertemuan keempat, aku telah buat kesilapan besar yang menamatkan segala-galanya. Hari itu, kami keluar makan dan menonton wayang di Suria KLCC sebelum pulang ke kampungnya.

Jam sudah menunjukkan pukul 7:00 malam ketika aku memandu meluncuri jalanraya menghantar Ain pulang.

“Awak tahu kan saya tak boleh balik lepas maghrib?” katanya, suaranya sangat cemas.

Mungkin baru menyedari pantang larangnya akan dilanggari. Sebenarnya aku sengaja buat buat lupa tentang pantang larangnya. Ain pun seolah seolah tidak sedar dan tidak perasan yang kemungkinan dia akan tiba lewat di rumahnya. Masakan dia sendir tidak tahu jarak masa KLCC ini ke kampungnya akan mengambil lebih kurang sejam lebih.

“Iya. Saya tahu, Miss Cinderella,” jawab aku agak sinis dengan nada bergurau, cuba meredakan keadaan, lebih kepada berpura-pura meredakan keadaan.

“Tapi tak apa. Saya hantar awak sampai depan pintu rumah dan terus berjumpa mak ayah awak ya. Saya akan minta maaf dengan mereka. Jangan risau lah,”

Ain diam. Agak lama dia menatap aku dengan wajah kosong sebelum akhirnya berkata, “Baiklah, tapi tak payah jumpa mak ayah saya. Cukup dengan temani saya berjalan sampai depan pintu,”

Ketika keretaku sudah pun melewati kawasan perkampungan Ain, suasana senja ketika itu terasa sedikit janggal. Bulu romaku kerap kali meremang dengan sendirinya. Aku rasa aneh. Di luar kereta, langit yang pada mulanya diliputi warna jingga keemasan semakin pudar, berubah menjadi kelam.

Suram.

Cahaya matahari terakhir melesap di balik bukit, hanya meninggalkan bayang-bayang panjang di sepanjang jalan di kampung itu. Tiada suara manusia, tiada bunyi cengkerik, hanya deruman enjin keretaku yang memecah keheningan.

Dalam kereta, tiba tiba Ain ceria dan dia melakukan sesuatu yang biasa dia buat jika kami berjumpa, dia memegang serta memaut lengan tangan kiriku dan mula menyanyikan lagu Cindai oleh Siti Nurhaliza.

Cindailah mana tidak berkias
Jalinnya lalu rentah beribu
Bagailah mana hendak berhias
Cerminku retak seribu….

Sekali sekali dia membuat bunyi humming mengikuti irama lagu tersebut. Suaranya lembut, hampir berbisik. Sepatutnya aku rasa tenang mendengarkan dia bernyanyi dan humming sebegitu. Tetapi aku kembali merasakan bulu romaku meremang. Kali ini lebih kuat.

Aku memperlahankan kereta ketika memasuki simpang kecil masuk ke lorong rumah Ain. Lorong ke rumahnya amatlah gelap, suram dan sempit. Tiada lampu jalan, tiada sisa lampu di mana mana. Hanya lampu dari keretaku menyuluh jalan. Tampak sayup sayup di hujung lorong, lampu lampu di halaman rumah Ain bernyala. Tidak lama kemudian, kami sampai di hadapan rumah Ain.

Kereta berhenti, namun enjin masih dihidupkan. Aku sedikit mengeluh, cuba meredakan kegelisahan dalam dada. Pada ketika kami hendak keluar dari kereta, angin kencang tiba-tiba bertiup. Angin itu begitu kuat sehingga menggoyangkan pokok-pokok di sekitar halaman rumah. Daun-daun berterbangan, ranting-ranting bergoyang liar, dan bunyi gemerisik angin yang menghantam dedaunan. Kami membantutkan hasrat untuk keluar kereta dahulu.

Lalu kami saling berpandangan, wajah masing-masing menunjukkan kebimbangan yang sama. Ain mendekatkan dirinya dari tempat duduknya, menggapai dan memegang erat tanganku, suaranya bergetar dan bersarang di tekaknya ketika dia bersuara,

“Awak tak payahlah hantar saya sampai depan pintu,”

Walaupun aku tidak bersetuju, aku hanya mengangguk perlahan dan lidahku sedikit kelu. Suasana di sini terasa lain. Udara yang sebelumnya hanya dingin biasa kini terasa berat, seolah-olah dipenuhi dengan aura gelap yang tak dapat dijelaskan. Hati aku berdebar-debar, seolah-olah aku sedang berada di ambang sesuatu yang buruk.

Ain keluar dari kereta terlebih dahulu. Dia berdiri di halaman rumah, memandang ke sekeliling. Angin terus bertiup, dan di kejauhan, aku dapat mendengar bunyi ranting-ranting patah.

Kemudian aku mematikan enjin lalu keluar kereta mengikuti Ain perlahan lahan dari belakang. Langkahku berat dan penuh keraguan. Aku perlahan lahan menuju ke arah pintu rumahnya.

Tidak semena-mena Ain berhenti melangkah, lalu berpaling memandangku, dan gaya tangannya seperti menahanku dari terus melangkah.

“Awak, cukup sampai di situ. Awak dengar cakap saya. Awak cepat cepat pulang ya. Terima kasih untuk semuanya,” ujarnya lemah kemudian dia melambai, dan berjalan masuk ke rumah.

Aku terlopong memandangnya sehinggalah pintu rumahnya tertutup.

Aku menghidupkan enjin dan segera memandu pulang. Malam itu begitu sunyi, hanya deruan enjin kereta dan bunyi unggas hutan serangga malam yang menjadi latar bunyi di sekitar kampung Ain.

Suasana terasa sangat sepi ketika keretaku meluncur perlahan keluar dari perkampungan itu. Lampu-lampu jalan di kampung itu samar-samar memancarkan cahaya kekuningan yang redup. Hatiku terasa berat, seolah-olah aku meninggalkan sesuatu yang belum selesai. Namun, aku tidak tahu apa yang membelenggu perasaanku malam itu.

Aku cuba mengalihkan perhatian, fokus pada jalanraya yang gelap dan berliku. Aku sudah pun melepasi kawasan kampung Ain dan mula berada di jalan persekutuan. Pohon-pohon tinggi di tepi jalan seperti melambai-lambai, bayangannya bergerak mengikuti alunan angin malam. Sesekali, bulu romaku kerap berdiri sendiri dan aku mulai perasan ada bayang bayang putih yang melintasi pandanganku dari sudut tepi, tetapi setiap kali aku memandang, tiada apa-apa pun yang kulihat.

Perasaan tidak sedap hati mula menular ke seluruh tubuh. Aku menggapai telefon bimbit yang terletak di pemegang cawan, membuka aplikasi Spotify, dan menyambungkannya ke radio kereta melalui Bluetooth. Aku memasang lagu-lagu kegemaranku, berharap syahdunya lagu lagu itu mampu menenangkan hati yang mula gundah.

Namun, baru sahaja lagu pertama berkumandang, aku terdengar sayup sayup kejauhan ada lagu lain terpasang. Seperti lagu tradisional melayu. Telingaku cuba lagi bekerja keras untuk benar benar mengamati lagu itu namun gagal. Getusku, mungkin aku cuma berhalusinasi kerana terlalu penat.

Setelah menurunkan sedikit tingkap kereta, aku menyalakan rokok dan menyedut dalam dalam asapnya. Kusedut asap lama lama dan perlahan lahan kuhembus. Berkepul kepul di hadapan mukaku. Kepala kurasa berat sedikit tetapi menenangkan. Tetapi tenang itu tidak lama. Datang kembali perasaan seram yang membuatkan jantungku degup laju.

Jelas kedua dua telingaku menangkap kembali suara nyanyian sayup sayup di sebalik keriuhan lagu di corong radio kereta. Kemudian, tiba tiba hilang. Senyap. Hidungku pula menangkap bau harum yang kukira amat kukenali – bau perfume Ain.

Alangkah terperanjatnya apabila aku terdengar sesuatu yang membuatkan jantungku berhenti seketika. Kedengaran seperti suara Ain menyanyi. Lantas aku segera mematikan radio kereta. Iya, suara Ain. Sangat jelas. Lembut, penuh melodi. Dia menyanyikan lagu Cindai.

Cindailah mana tidak berkias
Jalinnya lalu rentah beribu
Bagailah mana hendak berhias
Cerminku retak seribu….

Aku tersentak. Suara itu datang dari sebelahku—tempat duduk penumpang. Aku segera menoleh. Kosong! Tiada siapa duduk di sebelahku.

Aku memacukan stereng ke tepi dan menghentikan kereta serta-merta di bahu jalan. Tangan aku menggenggam genggam stereng dengan erat, cuba menenangkan diri. Kemudian, aku mengusap-usap muka sendiri lalu menarik nafas panjang, dan peluh dingin mula mengalir di pelipisku.

“Astaghfirullah. Astaghfirullah. Astaghfirullah,” aku beristighfar berkali kali.

“Mungkin aku cuma teringat ingat suaranya tadi,” aku memujuk diri sendiri, walaupun aku mula dilanda ketakutan yang teramat.

Keadaan di dalam kereta senyap sunyi, tiada lagi kedengaran suara Ain bernyanyi-nyanyi. Setelah hampir 5 minit termenung panjang, aku cuba menyambung semula perjalanan, namun semakin jauh aku memandu, suara itu kembali kedengaran! Kali ini, ia lebih jelas. Tidak lagi lembut dan merdu seperti tadi. Suaranya berubah menjadi lebih seram, diselangi humming dan bunyi ketawa kecil.

“Hi… hi… hi…” Bunyi itu bergema di dalam kereta, seperti datang dari setiap penjuru. Bau harum perfume Ain pula semakin menusuk hidung, seolah-olah dia berada betul-betul di sebelah aku.

Aku mula rasa sesak nafas. Peluh dingin mengalir di dahi pula.

“Astaghfirullahalazim…” Aku beristighfar lagi sambil memegang stereng dengan erat.

Tangan aku mula menggigil. Aku capai telefon dan segera mendail nombor Ain.

Panggilan bersambung. Namun, bukan suara Ain yang menjawab. Sebaliknya, aku mendengar bunyi yang lebih menakutkan—ketawa yang sama, tetapi kali ini lebih kuat dan menggema. Di hujung ketawa itu, suara Ain muncul, menyanyikan bait-bait lagu Cindai dengan nada yang lebih menyeramkan.

Gurindam lagu bergema takbir
Tiung bernyanyi pohonan jati
Bertanam tebu di pinggir bibir
Rebung berduri di hati…

Aku tergamam dan kaget. Aku terus membaca Ayat Kursi dengan suara yang bergetar. Telefon terjatuh dari tangan aku, tetapi suara dari talian itu masih bergema di dalam kereta. Bau perfume Ain kini terasa semakin kuat, sehingga membuatkan aku hampir termuntah.

Ketika aku cuba mengangkat telefon untuk memutuskan panggilan, pandangan aku teralih ke cermin pandang belakang. Aku menjerit sekuat hati.

Wajah Ain kelihatan di situ dan matanya hitam pekat tanpa biji mata, mulutnya tersenyum lebar dengan d***h mengalir dari bibir. Wajahnya semakin mendekat, seolah-olah cuba keluar dari cermin itu. Aku segera menoleh ke belakang, tetapi tiada apa-apa di sana.

Aku terus menekan sekuat kuatnya pedal minyak, keretaku menderam kuat dan meluncur laju di jalan bukit Ampang-Hulu Langat itu tanpa mempedulikan apa-apa lagi. Jalannya gelap dan bengkang bengkok memerlukan fokusku tetapi aku terlampau panik dan ketakutan untuk membuat demikian. Suara humming lagu Cindai masih kedengaran, seolah-olah Ain berada di dalam kereta bersama aku.

Tiba-tiba, sesuatu melintas di hadapan kereta. Bayangan hitam besar dengan mata merah menyala.

“Allahuakbar!!!!”

Pekikku sambil memusingkan stereng. Aku sempat menekan brek sekuat hati dan kereta aku berpusing di atas jalan sebelum terhenti di tepi gaung. Aku terhantuk kuat di stereng dan pemandanganku mulai kabur.

Kemudian, aku terjaga di dalam kereta, terparkir di hadapan rumah aku sendiri. Jam menunjukkan pukul 2:00 pagi. Aku tidak tahu bagaimana aku sampai ke situ. Telefon aku tiada, dan lagu Cindai masih bermain di kepala aku, seolah-olah ia sedang dipasang pada volume yang sangat rendah.

Sejak malam itu, aku tidak lagi mendengar apa apa berita dari Ain. Aku cuba mencarinya di Tinder dan jejaknya di media sosial, tetapi tiada apa-apa. Nombornya aku gagal hubungi dan Whatsapp hanya bertanda satu ‘tick’. Seolah-olah dia tidak pernah wujud. Namun, setiap malam, bau perfumenya masih muncul di bilik aku, dan aku sering terbangun mendengar suara humming lagu Cindai, diselangi ketawa kecil yang menyeramkan.

SEKIAN.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 58 Average: 4.7]
Fathi Othman

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.