Tinggalkan Laki Kau!!

4 April 2021. Ahad.

Sekitar jam 6.20 petang, handphone saya berdering, adik ipar saya yang bernama Wati call.

Kata Wati, dua minggu lepas, suaminya Hadi kantoi ada hubungan dengan perempuan lain bernama Mira. Disebabkan sikap Hadi yang mencurigakan sejak kebelakangan ini mendorong Wati untuk menyiasat apa sebenarnya yang sedang berlaku. Bangkai yang busuk tak mudah untuk disembunyikan selama-lamanya, akhirnya akan berbau juga…

Daripada beberapa mesej whatsapp antara Hadi dan Mira cukup membuktikan yang mereka ada hubungan istimewa. Sejurus selepas tahu perkara itu, Wati menghubungi Mira dan bercakap elok-elok. Mira masih cuba menafikan yang dia ada hubungan intim dengan Hadi walaupun bukti-bukti yang ada menunjukkan sebaliknya. Hadi juga pernah membawa balik makanan yang diberi oleh emak Mira… bermakna emak Mira juga tahu, malah merestui hubungan mereka walaupun dia tahu Hadi telah berkahwin dan mempunyai anak.

Wati juga ada menceritakan apa yang berlaku kepada ibu mertuanya iaitu emak Hadi. Emak Hadi amat marah kepada Hadi kerana berlaku curang kepada Wati. Ringkas cerita, Hadi mengaku kesilapannya dan berjanji untuk memutuskan hubungannya dengan Mira. Hadi block nombor telefon Mira. Nampak Hadi benar-benar mengotakan janjinya. Namun begitu emak Hadi menasihatkan agar Wati sentiasa memantau kelakuan dan pergerakan Hadi…

Tak lama kemudian rumahtangga Wati jadi panas. Wati jadi panas baran, jadi benci tengok Hadi. Wati juga mudah baran kalau anak lelakinya yang berumur tiga tahun buat perangai. Walaupun Hadi telah berbuat salah, tapi memandangkan Hadi telah berjanji untuk berubah dan nampak ketara perubahannya, jadi Wati sebenarnya telahpun memaafkannya. Tambahan pula Wati sendiri sebenarnya bukan jenis orang yang pendendam dan tak pula mudah panas baran. Setiap hari Wati rasa gelisah dan berdebar tanpa sebab jika berada di rumah, terutamanya sekitar waktu asar, tapi jika Wati keluar kemana-mana, tiada pula rasa gelisah dan berdebar. Anak perempuannya yang berumur beberapa bulan juga selalu terkejut sewaktu tidur dan menangis bila tersedar.

Suatu malam, Wati bermimpi. Di depannya ada seorang makcik yang berdiri tak jauh darinya. Makcik itu menundukkan kepalanya. Kemudian perlahan-lahan dia berjalan ke arah Wati, sampai je depan Wati, makcik tu dongakkan kepalanya, memandang tepat ke wajah Wati dan berkata, “tinggalkan laki kau”. Selepas itu makcik tu bawa Wati ke tempat yang tak diketahui.

Bila Wati menceritakan tentang mimpinya kepada emak Hadi, emak Hadi cakap, “apa pulak Wati yang kena tinggalkan laki sendiri… patutnya dialah yang kena tinggalkan laki Wati,” marah sungguh emak Hadi kepada makcik tu sebab suruh Wati tinggalkan Hadi. Bukan Hadi je yang pernah kena marah oleh emaknya, dengan makcik tu sekali kena marah. Nasiblah. Tapi tak taulah, mungkin ‘dia’ yang emak Hadi maksudkan tu ditujukan kepada Mira.

Dari jam 6.20 petang Wati bercerita sehinggalah masuk waktu maghrib sekitar 7.20 malam. Malam itu juga, selepas solat maghrib, dengan sedikit ilmu yang ada, dan dengan izin-Nya, saya ikhtiarkan sesuatu untuk cuba menyelesaikan masalah panas baran dan berdebar yang dihadapi oleh Wati dan masalah anaknya yang selalu terkejut bila tidur. Tidak ketinggalan juga masalah makcik kurang asam yang suruh Wati tinggalkan suaminya itu. Saya pagarkan juga rumah Wati dan musnahkan semua sihir yang ada.

5 April 2021. Isnin. 1.50 petang.

Wati call dan beritahu saya, rumahnya dah rasa normal. Dah tak rasa panas, gelisah dan berdebar tanpa sebab. Anaknya juga dah tak selalu terkejut waktu tidur. Makcik kurang asam pun setakat ni tak ada lagi muncul dalam mimpi Wati, harap-harap dia dah berambus kalau tak mati pun, suka-suka hati ko je nak suruh orang tinggalkan laki sendiri, hampeh punya makcik.

15 April 2021. Khamis. 2.40 petang.

Sehingga kisah ini ditulis, iaitu pada hari ketiga umat Islam berpuasa, Alhamdulillah tiada apa-apa gangguan lagi yang dihadapi oleh Wati dan keluarganya. Hubungannya dengan Hadi juga bertambah baik. Dalam kes sebegini biasanya ramai yang cenderung untuk menuduh Mira atau emaknya yang menghantar jin dan sihir untuk mengganggu Wati, tapi saya sendiri lebih fokus kepada ikhtiar untuk merawat Wati dan keluarganya.

Kadang-kadang ada juga kes di mana jika seseorang mempunyai saka keturunan, terutamanya yang jenis penjaga seperti panglima hitam, puteri, nenek, tok ayah dan sebagainya, penjaganya itu akan mengganggu orang yang tuannya tak suka tanpa pengetahuan tuannya sendiri, jadi tuan kepada saka tersebut tidak tahu apa-apa dan tidak bersalah.

Dalam kes Wati, jika benar Mira atau emaknya sengaja menghantar jin dan sihirnya kepada Wati dan keluarganya dengan niat untuk memporak-perandakan dan memisahkan Wati dengan suaminya, dan jika saya sendiri ingin membalas atau memulangkan kembali sihir yang dilakukan kepada mereka, saya sebagai seorang insan yang lemah pastinya tidak akan dapat membalasnya dengan adil. Jika terlebih saya membalasnya, saya telah menjadi seorang yang zalim dan harus menjawab di hari pengadilan nanti. Allah itu Maha Adil, jadi biarlah Allah sahaja yang membalasnya dengan balasan yang setimpal.

Untuk kaum lelaki, fikirlah banyak kali jika nak berlaku curang, renungkanlah kesetiaan dan penat lelah isteri, tataplah mata anak-anak… merekalah yang paling terkesan jika berlaku apa-apa kepada hubungan ayah dan ibu mereka. Lagi sakit jika terjebak dengan masalah jin hantaran dan sihir-menyihir, jenuh nak cari orang untuk berubat.

Tapi kalau nak juga ada hubungan dengan perempuan lain, pastikan hubungan tu sampai ke alam perkahwinan dan berlaku adil kepada semua isteri (Ni abang Jamil yang cakap.. bukan saya 😊)

Wallahua’lam.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

6 thoughts on “Tinggalkan Laki Kau!!”

  1. Nasib baik ada perenggan nasihat ‘abg Jamil’ tu. Laki nk kawin lebih takde salahnya. Dlm Islam tak larang pun. Asalkan suami BOLEH JAGA tanggungjawab. Kalau suami dah boleh adil, isteri kena la redha. Banyak juga kes gaduh puncanya isteri tak sanggup bermadu dan bertindak melulu sampai menderhaka pd suami.

    Reply

Leave a Comment