TOK

Uuuuuu…..uuuuuuu…. dari kecil aku sudah terbiasa dengan bunyi itu. Bunyi yang datang dari suara tok aku. Sedikit pengenalan, tok aku berasal dari Kedah dan berpindah ke Negeri Sembilan. Seperti sedia maklum, apabila berpindah dari negeri yang jauh, selalunya mereka akan ditempatkan di felda-felda. Sudah lama tok dan tokwan aku duduk di felda itu bersama orang-orang yang semakin dimamah usia sekarang.

Tok dan tokwan aku seorang yang baik hati, ringan mulut dan tidak pernah sombong dengan sesiapa. Jadi, ada saja orang yang akan bertandang ke rumah mereka kerana, tak lain tak bukan disebabkan oleh kopi tok aku la. Dia akan menjamu tetamu yang datang ke rumah walaupun sudah lewat petang.

Nak dijadikan cerita, rumah tok aku betul-betul di tepi simpang dan di sebelah kanan rumah tok aku ada seorang makcik dan keluarganya. Aku namakan makcik itu Makcik Biah dan di sebelah kiri rumah tok aku juga ada sebuah keluarga yang berasal dari Kedah juga. Aku namakan Pakcik itu Pakcik Husin dan Makcik itu Makcik Pah. Jika sudah dinamakan kebetulan, tidak dapat diubah. Ini kerana, Makcik Biah dan juga Makcik Pah adalah adik-beradik.

Tok aku tidak pernah mengambil kisah sampai lah suatu hari, tok aku sakit teruk. Pada waktu itu aku hanyalah seorang budak yang berumur 10 tahun tetapi aku masih ingat lagi tok aku sakit. Oleh kerana perasaan yang ikhlas dan baik, tok aku tidak berburuk sangka kepada sesiapa pun. Cuma, sejak dua beradik itu duduk di antara rumah tok aku, tok aku sakit. Aku juga selalu mendengar di luar bilik air, ada orang yang sedang mencangkul sesuatu. Tetapi, hanya pada waktu malam bunyi cangkulan itu kedengaran.

Pada waktu malam, tok aku tidak boleh tidur. Dia akan melilau berjalan dalam rumah tanpa henti sambil teresak-esak menangis. Sambil itu, dia akan mengurut lehernya seperti sakit dikerongkong. Jika dipujuk suruh tidur, tetap begitu juga. Jika sudah larut malam dan semua orang sudah tidur, dia akan mengeluarkan bunyi yang lebih menakutkan “aaaaaa,aaaaa”.

Aku, walaupun sudah tertidur akan terjaga dan cepat terjaga la senang kata. Aku akan tersedar bila tok aku lalu depan aku di atas kepala. Waktu itu aku tidur di depan tv, jadi lagi cepat tersedar la bila orang lalu. Ditambah pula dengan bunyi yang menakutkan. Kadang-kadang, mak abah aku belum tidur tetapi tok aku sudah mengeluarkan bunyi “aaaaaa,aaaaa”. Aku yang ketakutan terus memandang kepada mak dan abah. Mereka hanya mendiamkan diri dan memandang aku supaya aku berdiam. Kata mereka, “jangan ditegur biarkan sahaja”.

Keadaan bertambah parah apabila tok aku seperti mayat hidup di dalam rumah. Dia tidak bercakap, tidak menjalani kehidupan seperti orang biasa. Solat sahaja yang dia lakukan, itupun apabila siang kerana waktu siang, dia akan menjadi normal. Tiba waktu malam,dia akan sakit semula.

Selepas pelbagai ikhtiar dilakukan, tok dan tokwan aku mengambil keputusan untuk pulang ke Kedah. Mungkin di sana akan ada ubatnya. Lalu berangkatlah mereka ke Kedah selama seminggu jika tidak silap. Tok aku berubat di Kedah, berdekatan dengan Thailand kerana kampungnya di situ.

Orang yang mengubatkan tok aku ni, namanya Maksu Mah. Maksu Mah mengatakan ada yang berdengki dengan tok aku. Disebabkan hasad dengki itu, orang itu telah menghantar sesuatu kepada tok aku dan menyebabkan tok aku menjadi begitu. Tetapi, benda yang dihantar itu terlalu kuat kerana datangnya dari Thailand.

Mujurlah Maksu Mah itu separuh Thailand, jadi dia dapat mengenalpasti apa benda yang dihantar itu dan dari mana datangnya. Berkat kebesaran Allah yang maha Kuasa, tok aku sembuh juga selepas berubat. Sebelum berubat dengan Maksu Mah, sudah berpuluh beratus tok aku mencari tempat berubat tetapi semuanya tidak menjadi.

Mungkin benda itu mahu tok aku kembali ke tanah kelahirannya, barulah dia sembuh. Diizinkan Allah, tok aku sudah kembali sihat seperti sedia kala. Sudah boleh pokpet pokpet bising kat anak cucunya. Sudah boleh memasak, sudah boleh solat dengan betulnya dan sudah boleh tersenyum.

Sebelum penghabisan cerita, tok aku kan pergi berubat di Kedah, dengan tiada niat tok aku hanya berkata kepada Maksu Mah, “aku tidak mahu membalas, Cuma pulangkan kepada tuannya sahaja”. Selepas tok aku balik ke kampung, Makcik Biah telah meninggal dunia. Sebabnya tidak diketahui.

Dan sejak dari itu, Makcik Pah tidak lagi berbaik dengan keluarga tok aku. Tanpa sebarang sebab. Mungkin sudah boleh terfikir bukan, siapa punya angkara?

Ini kisah sebelum Makcik Biah meninggal.

Makcik Biah selalu bertandang ke rumah tok aku, selalunya tiada salam yang diberikan dia akan terus meluru ke meja makan dan membuka tudung saji. Tiada segan silu diwajahnya apabila makan tanpa diajak. Selain itu, adiknya iaitu Makcik Pah dan suaminya juga selalu bertandang pada waktu petang di rumah tok aku. Hampir setiap petang, itu menjadi rutin mereka untuk minum kopi di rumah tok aku.

Malah, setiap hari akan ada kawan-kawan tok dan tokwan yang datang bersembang. Ibaratkan, rumah tok dan tokwan aku sentiasa didatangi orang. Kata tok aku, “apabila tetamu datang, buatkan mereka air, jamu mereka dengan apa yang termampu”. Tidak pernah sekali rumah tok dan tokwan aku senyap,ada saja yang datang menjenguk, ada saja yang datang menyapa.

Tetapi, tok aku tidak pernah marah. Cuma, pada suatu hari, rantai emas mak aku hilang di dalam biliknya. Seperti yang aku beritahu tadi, Makcik Biah selalu masuk ke rumah tok tanpa salam. Kadang-kadang, dari pintu depan dan kadang-kadang, dari pintu belakang. Kami tidak menuduh Makcik Biah yang mengambil emas itu tetapi manusia lah kan, pasti terasa dan dianggap pencuri sedangkan kami tidak berfikir begitu.

Lalu, mak dan abah aku pergi berjumpa ustaz untuk mencari dimanakah gelang itu. Ustaz itu membacakan sesuatu di air dan keluar muka Makcik Biah. Dalam air itu, Makcik Biah sudah tahu yang kami tahu dia pencurinya.

Selepas itu, Makcik Biah datang lagi ke rumah. Selepas dia pulang, mak aku menjerit. Katanya, rantai emasnya sudah dijumpai di tepi almari. Ustaz itu memberitahu, nanti orang yang mencuri itu akan letakkan kembali rantai itu tetapi di tempat yang berbeza.

Rahsia sudah terbongkar, Makcik Biah itu pencuri. Jadi mungkin dia malu dengan kami semua. Tetapi, disebabkan rasa marahnya kerana kejadian itu, dibuatnya tok aku sampai jadi begitu. Sebab itu tok aku sakit.

Dan selepas Makcik Biah meninggal, adik Makcik Biah iaitu Makcik Pah tidak lagi datang ke rumah kami. Tidak lagi bersembang-sembang. Tiada lagi senyuman di wajahnya. Kenduri yang kami buat juga tidak dihadiri. Rupanya,ada yang mahu membalas dendam di atas kematian kakaknya. Di lain kali aku akan bercerita lagi kepada kalian.

Terima kasih pembaca sudi membaca kisah ni. This is a real story okay. Seperti kata KakNasa, cerita betul memang tidak panjang dan tidak terlalu seram tetapi jadikanlah pengajaran. Thanks to admin to publish my story. Jumpa lagi di alam maya. Assalammualaikum

hantar kisah anda: Fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]
farah

22 thoughts on “TOK”

  1. mesti korang pelik kan kenapa Maira tak reply post ni?Sebab post ni #farah punye. Tapi sbb FS tgh tak betul kot, so dia main letak je nama. Sebab tu senyap je bile korang comment. Apapun, terima kasih atas respond yang baik dari kalian. 🙂

    Reply
  2. apelah dengki kt org smpi cmtu sekali kan?aku x phm betul dgn org yg suka main bomoh ni..kat dunia bolehla lepas, kat akhirat nnt menjawablar

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.