Trip Langkawi Nak Healing…

Salam warga FS. Nama aku Akim. Cerita ni berlaku waktu aku dan empat orang kawan aku,Daus, Ejan, Hazrul dan Taufiq..pergi bercuti ke Langkawi tahun lepas. Kami plan trip ni untuk lari sekejap dari stres kerja dan rutin hidup yang makin menghimpit. Kami nak tenang, nak gelak, nak rasa macam budak-budak balik. Tapi apa yang berlaku dekat sana, sampai sekarang aku tak boleh lupa. Kadang-kadang bila hujan turun lebat malam-malam, aku dengar balik suara tu dalam kepala aku.

Kami sampai Langkawi pagi-pagi. Sewakan kereta, cari sarapan, dan terus bergerak ke tempat penginapan yang Ejan jumpa dekat satu laman tempahan online. Nama rumah tu Villa *******. Rumah kayu klasik dua tingkat yang katanya terletak jauh sikit dari pekan, menghadap sawah dan belakangnya hutan kecil. Gambar dalam talian nampak cantik sangat, siap ada buai rotan dan lampu kuning berkelip waktu malam. Kami terus setuju.

Sampai je, rumah tu nampak lebih tua dari dalam gambar. Tapi still ada rasa tenang bila tengok view belakang rumah.Sawah menghijau, dan ada jalan tanah merah kecil yang macam tak pernah dilalui sesiapa. Rumah tu ada tiga bilik. Dua di atas, satu bawah. Kami kongsi bilik. Aku dengan Taufiq, Daus dengan Hazrul, Ejan tidur sorang sebab dia paling cerewet.

Malam pertama, semuanya okay. Kami gelak sakan main Uno sampai pukul 1 pagi. Lepas tu masing-masing baring, letih. Tapi masa nak lelapkan mata, aku perasan ada satu tingkap dekat dapur yang tak bertirai. Tingkap lain semua bertutup kemas dengan kain putih. Tapi yang tu, terbuka luas. Dan dari bilik aku, aku nampak jelas satu pokok pisang tua berdiri tegak depan tingkap tu. Pokok tu macam… pelik. Tak bergoyang langsung walaupun angin kuat.

Pukul 3 pagi, Daus kejut semua orang. Katanya dia dengar suara orang merengek dekat belakang rumah. Suara perempuan, lemah, sekejap bunyi sekejap hilang. Kami yang lain rasa dia mungkin bermimpi. Tapi Ejan terus bangun dan buka tingkap bilik dia. Dia panggil aku dan yang lain.

“Weh… korang tengok ni kejap,” kata dia dengan suara perlahan.

Kami jenguk ke luar. Dekat belakang rumah, betul-betul dekat hujung jalan tanah merah tu, ada satu bayang putih berdiri tegak. Tak gerak. Tak berpaling. Hanya berdiri. Lama. Kami semua senyap. Masa tu bulu roma aku tegak. Rasa macam ada benda tengah tengok balik ke arah kami.

Keesokan pagi, Hazrul yang bangun awal menjerit dari dapur. Kami semua berlari turun. Dekat lantai dapur, ada tapak kaki lumpur. Kecil. Saiz macam kaki budak. Masuk dari arah tingkap dapur yang tak bertirai tu. Tapak tu terus ke arah peti ais, kemudian hilang. Tak ada jejak keluar. Kami periksa pintu, tingkap..semua berkunci. Tak ada sesiapa masuk. Tapi jelas sangat, tanah merah tu melekat di jubin dapur. Aku cuba bersihkan, tapi bekas tapak tu tak hilang langsung walau guna sabun.

Petang tu kami keluar, malas duduk rumah. Tapi Daus lemah semacam. Dia kata dia rasa pening, macam kepala dia berat sangat. Dia duduk je dalam kereta, tak banyak cakap. Masa kami singgah satu warung nak beli makanan, makcik yang jual laksa tu tiba-tiba tegur Daus.

“Adik, malam semalam ada keluar rumah ke?” tanya makcik tu sambil tengok muka Daus. Kami semua pelik. Daus geleng.

Makcik tu angguk perlahan. “Jangan biar pintu belakang terbuka waktu Maghrib. Rumah tu pernah ada kes dulu…”

Kami terus pandang satu sama lain. Tapi sebelum sempat kami tanya lebih lanjut, makcik tu masuk dapur dan tak keluar-keluar.

Balik rumah, Daus makin teruk. Dia mula meracau. Cakap benda yang kami tak faham. Katanya, “Dia tak suka tempat tu dicemar… dia marah sebab tanah dia dirosakkan… dia dah lama tunggu orang…”

Malam tu, kami semua berkumpul dalam satu bilik. Ejan tak nak tidur sorang. Hazrul baca apa-apa ayat yang dia tahu. Taufiq dah mula cadang tidur dalam kereta. Tapi Daus lemah sangat. Badan dia panas macam bara. Kulit dia macam pucat kehijauan. Kami tak berani nak bawa dia keluar sebab dia kata jangan. “Jangan keluar. Dia ada kat tanah. Dia ikut bunyi langkah.”

Tengah malam, kami dengar bunyi tapak kaki kecil lari-lari atas bumbung rumah. Lepas tu dengar cakaran pada dinding luar. Kayu rumah tu macam diketuk dari luar dengan benda tajam. Paling jelas, ada suara budak kecil menyanyi. Suara tu tak sumbang. Tapi kosong. Lagu dia ulang-ulang.

“Tanah merah, d***h merah, jangan masuk kalau tak berserah…”

Kami semua tak tidur malam tu. Tunggu sampai subuh. Pagi-pagi kami terus kemas barang dan tinggalkan rumah tu. Tak tunggu-tunggu lagi. Kunci rumah kami tinggal atas meja ruang tamu.

Beberapa hari selepas balik, Daus sembuh perlahan-lahan. Tapi dia tak pernah cerita apa dia nampak malam tu. Cuma sekali, masa kami lepak dan cerita pasal trip tu balik, Daus tiba-tiba termenung dan bisik pada aku.

“Kau nampak tak dia senyum dekat dapur tu?”

Aku tanya siapa. Dia jawab, “Budak tanah tu. Dia nak main dengan aku.”

Sampai sekarang, aku tak tahu apa maksud Daus. Tapi aku tahu satu benda..tanah tu bukan kosong. Dan kami tak dijemput. Kami masuk tanpa izin. Dan budak tu? Mungkin dia masih tunggu tetamu seterusnya.

Wallahualam.

Jangan terlepas cerita terbaru.

Akan terus dihantar ke email anda.

We don’t spam! Read our privacy policy for more info.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.