Tujuh pintu

Cerpen #1: TUJUH PINTU.

Pernah tak, tengah kau duduk depan TV dalam rumah yang kau dah diami selama lebih dari tiga tahun, tiba-tiba dari ekor mata kau, kau terpandang sebuah pintu. Pintu yang selama tiga tahun, kau tak pernah pun perasan. Mustahil selama tiga tahun kau duduk dalam rumah yang sama, rumah teres setingkat dengan empat bilik tidur dan dua bilik air, kau tak perasan pun sebenarnya ada pintu ketujuh nun di sudut ruang rumah kau sendiri.

Pintu yang tak pernah terbuka.

Kenapa setiap kali kau bercerita tentang rumah kau, kau cuma sebut empat bilik tidur dan dua bilik air? Orang-orang yang datang ke rumah kau pun tak pernah sebut tentang pintu ketujuh tu.

Kenapa?

Sampailah satu hari, mata hati kau terbuka untuk betul-betul melihat pintu itu. Betul-betul terus ke arah pintu itu dan bukan hanya dari ekor mata kau. Sambil pandang pintu tu, kau pun call isteri kau yang masih berada di tempat kerja.

“Hello, Ika. Buat apa?”
“Dekat tempat kerja lagi. Ada sikit jer lagi kerja. Kenapa bang?”
“Ika, rumah kita ada berapa bilik?”
“Empatlah. Bilik air dua. Kenapa? Abang dekat mana?”
“Dekat rumah.”
“Awal abang balik kerja. Bestnya! Anak-anak dah balik?”
“Belum. Dalam van lagi kot. Hmm. Tak apalah. Nak tanya tu jer.”
“Abang ni kenapa? Dah dekat rumah, lepas tu tanya rumah kita ada berapa bilik. Macam baru pindah tadi pulak.”
“Abang dengar bunyi van dekat luar tu. Anak-anak dah balik kot. Okaylah Ika. Bye.”
“Oh, okay. Bye”

Lepas sahaja letak telefon, kau pun terus buat benda-benda lain. Buka pintu untuk anak-anak yang baru sampai rumah dari sekolah. Keluar buang sampah. Buka pagar untuk isteri kau. Dengar isteri kau berceloteh tentang kerja dia. Kau pula bercerita tentang kerja kau. Sampailah si isteri buka balik topik tentang panggilan telefon yang kau buat masa dia di tempat kerja tadi.

“Kenapa abang call Ika tadi sebenarnya?”
“Entah. Saja jer call.”
“Hmm. Kita borak tentang apa tadi bang? Lupa dah.”
“Eh. Entah. Abang pun lupa. Tak ada apa-apa pun rasanya.”
“Yelah. Hmm… Penatnya rasa otak ni bang.”

Isteri kau pun sambung bercerita tentang hari dia.

Beberapa minggu selepas tu masa kau sampai rumah dari tempat kerja, kau tengok kereta Ika belum ada lagi dalam pagar. Kau pun buka pagar dan letak kereta kau bawah porch rumah. Anak-anak pun belum balik lagi ni. Budak-budak sekolah zaman sekarang, mak ayah pula balik kerja dulu. Kelas tambahanlah. Kokurikulumlah. Jam baru menunjukkan pukul enam petang. Kau pun masuk ke dalam rumah.

Dalam perjalanan nak ke bilik tidur, kau terpandang sesuatu dari ekor mata kau. Pintu tu! Kenapa selama seminggu ni kau lupa terus tentang pintu tu? Pintu tu terletak betul-betul di antara hujung sudut belah kanan ruang TV kau, dengan ruang dapur. Kiranya mustahillah sepanjang kau ulang-alik dari ruang TV ke dapur entah buat ke berapa ribu kali dalam masa tiga tahun, kau tak perasan pintu tu. Kau pun teringat yang minggu lepas kau ada call Ika bertanyakan tentang pintu tu. Jantung kau berdegup kencang, sampai hujung jari-jemari kau pun rasa berdenyut ikut rentak jantung kau. Suasana luar biasa sunyinya.

“Macam mana aku boleh lupa?” Kau soal diri kau sendiri.

Perlahan-lahan kau menoleh ke arah pintu tu. Tanpa berkedip. Hampir-hampir saja seminit kau berdiri tercegat di tengah laluan antara ruang TV ke dapur tu. Kenapa kau lupa tentang panggilan telefon kepada isteri kau minggu lepas? Paling penting, macam mana kau boleh lupa tentang pintu tu?

Pintu tu rupabentuknya sama dengan pintu-pintu lain dalam rumah kau. Tinggi lebih kurang tujuh kaki. Warna kuning cair. Malah kalau kau perhatikan betul-betul, pintu tu betul-betul sama dengan pintu bilik anak-anak kau. Maksud aku, betul-betul sama. Lekuk dekat tombol pintu tu. Rekahan cat pada hujung kanan belah atas pintu tu. Semuanya sama. Terlalu sama. Kenapa?

Kaki kau masih kaku tidak berganjak dari tempat kau berdiri tadi. Perlahan-lahan kau angkat kaki nak melangkah ke arah pintu tu sambil otak kau berfikir laju dengan berpuluh-puluh soalan tentang pintu tu. Tiba-tiba telefon bimbit kau berdering. Hampir-hampir saja jantung kau gugur. Terkejut. Kau menggagau-gagau poket mencari telefon sambil mata kau tak beralih dari pintu tu.

“Hel… hello.”
“Hello bang. Jangan buka.”
“Bu… buka?”
“Ya, jangan buka.”
“Pintu ni ke? Ta… tapi… tapi kenapa? Ika pun tahu tentang pintu ni? Kenapa jangan buka pintu ni?”
“Pintu? Pintu apa?”
“Pintu? Pintu apa Ika? Lambat lagi Ika balik?” Tanya kau sambil melihat jam tangan. Jam menunjukkan pukul tujuh malam.
“Taklah. Nak balik dah ni. Jumpa kat rumahlah.”
“Okay. Bye!”

Kau pun terus berjalan masuk bilik, caj telefon dan mandi. Fikiran kau kosong dan runsing dalam masa yang sama. Macam kau lupa sesuatu yang penting! Kau tertanya-tanya, kenapa kau rasa berdebar-debar ni? Mungkin mainan minda.

Lepas buka pintu untuk anak-anak dan kemudian untuk Ika, kau pun baring dalam bilik. Jantung kau masih berdegup kencang. Rasa tak sedap hati betul. Lepas mandi, Ika duduk sebelah kau di atas katil sambil melunjurkan kaki. Lenguh mungkin. Ika senyap. Kau pun senyap. Tiba-tiba Ika bersuara;

“Bang. Anak kita berapa orang?”
“Eh, Ika ni. Kenapa?”
“Berapa orang?” Ulang Ika lagi.

Kau terdiam. Kau rasa kau tahu jawapan kepada soalan tu seolah-olah semacam kau tahu nama kau sendiri.

“Tiga… kan?”
“Bang. Kenapa kita lupa anak kita sendiri ada berapa orang?”
“Apa Ika ni. Tigalah! Firdaus, Anna dan…”

Aku terdiam.

“Firdaus, Anna… dan siapa?”
“Astaghfirullah! Apa ni? Takkan kita lupa nama anak kita sendiri?!”
“Macam mana kalau kita bukannya lupa? Macam mana kalau kita memang tak ada anak nombor tiga?”
“Mustahil Ika! Memang anak kita tiga orang! Kenapa Ika tiba-tiba tanya macam ni?”
“Hmm. Entahlah. Tadi lepas Ika panaskan lauk dekat dapur, Ika duduk tengok TV. Tiba-tiba Ika terpandang satu pintu dekat sudut ruang antara TV dengan dapur. Ika tak pernah perasan pun tentang pintu tu. Ika ingat Ika mimpi. Ika pun bangun, buka pintu tu.”

Dahi kau berpeluh-peluh. Tiba-tiba semua memori kau tentang pintu tu datang semula dalam minda kau. Memori saat pertama kau pindah ke rumah tu. Dengan isteri dan dua orang anak kau. Saat-saat kau ternampak pintu tu entah ke berapa ribu kali. Saat-saat kau nak buka pintu tu tapi akan ada perkara lain yang berlaku untuk halang kau dari buka. Panggilan telefon atau bunyi posmen tekan loceng rumah. Tapi dalam memori kau, tak pernah sekali pun kau buka pintu tu. Fokus kau kembali kepada Ika yang macam tengah menanti kau bertanya apa yang ada di sebalik pintu tu.

“Apa yang ada dalam bilik tu?”
“Bilik? Bilik apa?”
“Bilik… kita tengah borak tentang apa Ika?”
“Eh… entahlah bang. Ika pun dah lupa. Haha.”

Dengar Ika gelak, kau pun gelak. Jantung kau dah tak berdegup sekencang tadi. Kau rasa tenang. Sangat tenang. Kau lupa. Kau lupa yang dah beratus kali Ika duduk sebelah kau selama tiga tahun bertanyakan soalan yang sama. Berapa orang anak kau dengan Ika sebenarnya. Kau rasa luar biasa tenangnya. Kau rasa sangat bahagia dengan hidup kau. Kau ada isteri yang kau sayang. Kau ada dua orang anak, Firdaus dan Anna, yang menjadi keutamaan hidup kau. Kau ada rumah yang selesa untuk anak-anak kau membesar dalamnya. Dan kau ada aku. Penghuni pintu ketujuh rumah kau.

Semuanya baik-baik sahaja. Kan?

47 thoughts on “Tujuh pintu”

  1. acah-acah hebat nak kau kau kau cow cow lembu..
    kalau cerita dengan gaya biasa aku rasa lebih baik.
    Ending pun tak melengkapkan cerita
    Ok…buang masa..next…

    (tapi kejadian ni something to ponder)

    Reply
  2. its ok klu bukan kisah sebenar. this is “fiksyen” bukan kisah benar shasha.. ..aku baca sebab aku suka membaca segala yang aku nak baca. and penulisan ko buat aku rasa terus nak membaca walupun ending dia buat aku reka citer sdri dalam otak aku.

    Reply
  3. Hanya orang yang suka lepak tengok drama pukul tujuh saja yg kurang memahami plot twist cerita dari sang penulis. Bangun dan buka mata, penulis persis ini yg boleh bukakan minda khayal para pembaca yg sebelum ini lebih taksub dengan tipikal cerita melayu yg CEO muda kaya raya bercinta itu ini, projek juta trillion la apa lah. Wake up and open ur mind malaysia. No offense. Cuba pandang dari sisi positif filem negara barat yg sains fiksyen, filem mereka sangat teliti dan cuba untuk mewujudkan unsur fiksyen seperti nyata dan mereka berjaya. Di sana, normal untuk cerita-cerita sebegini di wujudkan. KITA? Entahlah, masih lagi mundur pemikiran mungkin. Aku memuji pada sudut yg patut di puji, dan tidak bermaksud untuk bash cerita hasil tangan orang kita yg hasilkan cerita tiga suku, cuma bukalah minda kalian dengan genre sebegini. Banyak genre bacaan yg tak tercapai dek akal dihasilkan oleh warganegara kita ni, contoh: fixi. Sebab itu sudut atas kanandh siap tertulis “untuk pembaca matang”. Kematangan ni subjektif dalam bekarya. Kalau rasa minda tu masih lagi nak di bayangi dengan cerita drama yg manis terjeluak tak macam realiti, kalian boleh teruskan menonton. Jangan cakap kalian tak layan cerita fiksyen. Habis tu, filem barat LOGAN? TWILIGHT? X-MEN? karya TIM BURTON? Tak pernah menonton? Haih malaysia. Ya, aku tau dh ceramah panjang ni, beri peluang minda kalian dengan bahan bacaan yg mencabar minda untuk berfikir. Akhir kalam, orang yg tipikal dengan bash tiada terpisah. Chow.

    Fantasi dalam realiti. Bukan fantasi dalam fantasi okay.

    Reply
    • xdak button like nk klik tanda setuju…so sy yg silent reader selama ni buat keputusan untuk komen buat kali pertama :’D…sungguh setuju dgn pandangan awk…bg sy cerita ni lain dri cerita sebelum2 ni n ianya agak menarik..gaya bahasa yg digunakan pun menarik..tp bila baca komen ramai yg ckp ntah apa2 cita ni…klo ikut gaya bahasa yg digunakan tu..cita ni bukan dceritakan oleh mangsa tp diceritakan oleh penghuni pintu ketujuh tu sendiri…cerita yg mcm ni buat kita lebih berfikir n berimaginasi..ia cerita yg perlu akal untuk menghadam..bukan mcm cerita2 pkol 7 yg hanya perlu tunggu untuk ditelan :D…so nice ceramah bro/sis

      Reply
  4. Salam. Guys, please give a damn respect to this writer. Aku admire citer ni…3 kali aku baca & in the end the owner of the 7th door is a writer himself. Mmg citer ni sci-fi tapi nilah 1st time dlm FS aku fascinate baca story org lain. Nak faham korang kena imagine dari awal citer sampai akhir…tapi bila part last tu korang akan jadi macam??? Sebab writer belum citer lg pasal AKU…Siapa AKU yang sebenarnya? Adakah AKU itu adalah mirror image kepada AKU si suami ataupun AKU itu adalah someone or something else? Aku suka plot twist citer ni sbb ia boleh trigger otak kau secara automatik…Kau punya tulisan ada ciri2 Stephen Hawking bro. Aku plk jenis hardcore Stephen Hawking so it’s not an issue at all. Keep on writing, ignore the haters because you got others on your side. Salam perkenalan dari saya #CarlitoRocker.

    Reply
  5. serius ni pertama kali baca cerita mcm ni..thumbs up to the writer..#CarlitoRocker punya cerita pn best..bulan ni aku rasa plg banyak cerita publish tp xbanyak yg best..so aku skip mana yg aku rasa xbest tu..nk buat mcm mana,byk cliche almaklum la hantu ada berapa jenis sgt pn..bukan nk kondem writer cuma gaya olahan tu kadang tak menarik minat pembaca. faham yg kita cuma nk berkongsi pengalaman, berkongsi pendapat tp tak salah pun ada yg bukan dr pengalaman tp idea menarik yg ingin dikongsi. tak salah pun kn?kira idea ni dh mcm ilmu. bahasa ni kaya..jangan cepat mengecam sedangkan ilmu yg kita ada ni pun ibarat sebutir pasir di pantai. Allah Maha Kaya, Maha Mengetahui.

    hambik..panjang aku merapu dh ni..tu belum kak yulie lg..

    Reply
    • Hahahahahha…
      Dik…akk bace td berkerut2 kening smpi naik bercantum siap hangit ghondang akk kek dapor tu tau…
      Pastu smbg berkerut smpi naik kedut bace setiap komen yg ala2 Star Wars…
      Tetbe akk tergelak2 besor nmpk name akk muncul kt sini plaaakkk…
      Adeeehhhh…den plak dikaitkan ekkk…

      Sbb ghondang dh hangit makanye akk xleh komen pepanjang…
      Kang jd ghondang kerak plak tu kang…

      Reply
      • masak rendang sempat lg reply komen..dasat x dasat la kak yulie ni..kipas susah mati FS ni..hehehe..amacam kak?sedap ke ghondang hangit?

        Reply
      • Baru ekau tau betapa tegarnye akk ni kaaannn…
        Aaahhhh…
        Ghondang tu pon satu hal…
        Akk tggu lelame idok kering2 santannye…
        Tinggei kejap teghuih naik bau hangit…
        Sbb x komen pepanjang makanye masih blh diselamatkan elok sodap dimakan…
        Excellent org jawa cakap…
        Hahahahahaha…

        Reply
  6. Pernah tgk 1 movie.menarik cerita tu..tajuk pn x ingt sbb dh lama..??
    ending nya baru tahu yg sbnrnya mereka tu yg menumpang d rmh manusia..

    Reply
  7. dia laki bini xtau yang rumah yang dia huni adalah dihuni juga oleh ahli sihir.. dah berapa kali kena ‘obliviate’ dgn ahli sihir tu pon x tau…hahaha (peminat harry potter je yg paham)
    #harrypotter fandom

    Reply
  8. Cerita gini memang best, di penghujung cerita penulis buat aku berfikir tentang pelbagai kemungkinan ada plot twist dan misteri sekali kipidup

    Reply
  9. komen yang negatif tu aku paham..otak mengkome bleh trima benda yang kome nampak dan paham..sdangkan writer nie nak kome pkir logiknya..sbenarnya crita lguni lg mnarik daripada cerita yang hantu yang tetiba keluar ngejut tu…

    Reply
  10. cerita ni seram juga. mungkin juga betul terjadi sebab tak ada yang mustahil. kau pandai menulis. susunan ayat pun bagus..

    Cuma part, “Orang-orang yang datang ke rumah kau pun tak pernah sebut tentang pintu ketujuh tu,”
    Patutnya guna ‘orang’ sahaja.

    Satu sebabdalam penulisan kita tak boleh guna ‘orang-orang’ sebab itu adalah yg kat sawah untuk halau burung daripada makan padi tu.

    Kedua sebab pembaca pun dah tahu kau refer tu ‘ramai’ jadi patut guna ‘orang’ saja.

    Selain drpd itu, tulisan dan idea kau, fabulous!

    Reply

Leave a Comment