Assalamualikum dah salam sejahtera kepada pembaca. Aku ingin berkongsi pengalaman-pengalaman seram sepanjang hidup aku. Oleh sebab aku dilahirkan dalam kawasan kampung, perkara-perkara mistik bukan benda asing bagi aku sejak kecik. Tetapi berkat usaha dan doa ibubapa aku, aku berjaya melanjutkan pelajaran ke tahap sarjana muda di UITM Puncak Alam….
Sepanjang aku di UITM Puncak Alam, terdapat beberapa perkara mistik yang berlaku. Awal aku menjejak kaki ke bilik sewa yang disediakan oleh pihak UITM, aku dapat rasakan perasaan seram sejuk memandangkan dorm yang aku duduk itu tidak pernah berpenghuni sejak dari awal penubuhan blok asrama. Kira-kira 3 tahun jugaklah aras 8 dan 9 blok tu tak berpenghuni dan langsung tidak disentuh. Aku tinggal seorang diri dalam satu dorm yang mempunyai 4 bilik untuk 3 minggu pertama memandangkan pelajar dari kemasukan rayuan masih belum didaftarkan untuk kemasukan asrama. Selama 3 minggu itu jugaklah aku terpaksa serumah dengan ‘housemate’ dari alam lain.
Pengalaman 3 minggu itu bermula dengan teguran, ibubapa aku pulang ke kampung halaman semula selepas menghantar aku ke bilik dan kemas-kemas sedikit kawasan dalam dorm. Pintu hadapan dorm diketuk 3 kali dan bila aku membuka, tiada orang kelihatan. Aku berfikir mungkin mainan minda. Semasa dibilik, pintu bilik pula diketuk dan kali ini jelas kedengaran ditelinga aku. Aku merasakan angin sejuk melalui muka tapi aku tidak menyahut. Selang beberapa minit, meja menulis pula menjadi bahan ketukannya. Aku hanya mampu istightifar dan membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk jauhkan benda-benda yang tak diingini. Gangguan terhenti seketika pada waktu itu sehinggalah menjelang tengah malam.
Hampir setiap malam gangguan aku terpaksa hadapi seorang diri. Dari bunyi tarikan perabot, pili air terbuka, ketukan pintu dan tingkap sehinggalah ‘dia’ berani menyentuh aku. Gangguan dari ‘dia’ akan menjadi lebih ekstrim apabila aku mengaji al-Quran. Kaki aku ditarik semasa tidur, barang-barang dilempar, dan katil bergegar dirasai hampir setiap malam.
Pernah badan aku dicakar dan terasa pedih dan panas pada malam hari tetapi akan hilang selepas azan subuh. Oh ya, dalam bilik aku terdapat 2 katil single untuk dikongsi oleh pelajar-pelajar asrama. ‘Dia’ pernah menjelmakan diri diatas katil kosong berhadapan katil aku semasa tidur. Memandangkan aku rabun jauh, aku hanya melihat samar-samar didalam gelap ‘tubuh’ yang sedang baring dihadapan aku. Kelihatan sekujur tubuh putih berambut panjang hingga ke lantai. Matanya merah menyala memandang siling dan apabila mata itu bergerak memandang aku, aku pejamkan semula mata dan beralih bertentangan dengannya. Terdengar suara mengajuk dan menyindir aku dengan nada nyaring ”Takut ke” diselangi dengan dengusan ditelinga aku. Aku hanya mampu berdoa agar ‘mimpi’ itu tamat dengan segera. Kelibat ‘dia’ ditandas dan bilik mandi adalah perkara biasa untuk 3 minggu tersebut. Air paip berbau hanyir dan bau bangkai yang kuat menjadi rutin gangguan ‘mereka’.
Aku juga pernah ditolak jatuh didalam tandas. Mujur tiada kecederaan yang serius. Semasa aku dalam kesakitan akibat jatuh, terdengar ketawa kecil di setiap penjuru tandas tersebut. Aku langsung tidak berkomunikasi dengan ‘mereka’ kerana takut ‘mereka’ lebih seronok mengganggu aku. Aku hanya membiarkan saja hidup aku dipermainkan selama 3 minggu tinggal bersendirian di dalam dorm tu. Lama kelamaan, gangguan mulai surut dan setelah housemate aku memenuhi setiap bilik yang ada, gangguan dari ‘mereka’ sudah tiada.
Aku tidak membaca ruqyah kerana khuatir ‘mereka’ akan bertambah panas dan marah. Aku hanya membaca ayat-ayat penenang jiwa untuk diri aku hadapi dugaan ni sehinggalah housemate yang lain tinggal sekali bersama. Alasan untuk tidak dibacakan ruqyah atau ayat-ayat menghalau adalah kerana pesanan dari arwah tokwan aku, yang ‘mereka’ dah menghuni tempat ini lagi lama dari aku dan perlukan masa untuk berpindah ke tempat lain. Dikhuatiri jika aku menghalau ‘mereka’, kaum perempuan pula yang menjadi mangsa kerana blok perempuan bersebelahan saja dengan blok aku.
Cerita aku tak habis di dalam asrama sahaja. Kejadian kedua terjadi semasa diluar UITM pula. Setelah beberapa bulan di tempat orang, aku berjumpa semula dengan sahabat sekampung di Shah Alam. Dia melanjutkan pelajaran di MSU dan pertemuan kami berlarutan dari petang membawa ke malam. Selesai beriadah, jam menunjukkan pukul 4 pagi dan aku bergegas pulang ke UITM semula. Perjalanan dari Shah Alam ke UITM hanyalah 30 minit tetapi aku perlu melalui jalan gelap tanpa lampu jalan yang cukup dikenali dengan aktiviti paranormal, Jalan Puncak Alam. Aku yakin pembaca kenal dan tahu keadaan Jalan Puncak Alam sebelum di’renovate’ pada tahun 2020. Jalannya gelap dikelilingi hutan yang tinggi, lampu jalan yang hanya sekadar hiasan kerana sentiasa rosak, dan jalan berlubang akibat keluar masuk lori ‘construction’.
Di jalan inilah aku mencium bau wangi seakan bunga dan kemudiannya disambung dengan bau busuk bangkai. Motorsikal yang aku tunggang terasa berat tetapi aku mengendahkan kerana keadaan jalan ketika itu dan aku berpendapat bahawa jalan menaiki bukit sememangnya menjadikan motorsikal aku berat. Setibanya aku di pintu gerbang UITM, pakcik guard menghentikan aku untuk diperiksa. Beliau sempat bertanyakan dari mana aku datang dan aku membalas dengan selamber. Beliau mula berleter mengatakan aku tidak sepatutnya pulang ke asrama pada lewat malam takut terjadi apa-apa. Leteran tersebut mula merimaskan aku kerana hampir 10 minit aku ditahan di pintu gerbang tu. Aku cuba berkeras untuk dilepaskan tetapi pakcik tu mula bersuara.
‘Kau dah bawak ‘dia’ datang sini, tak pasal-pasal 1 asrama kena nanti. Kau duduk ja kat sini sampai ‘dia’ dah takda, baru kau bole masuk’
Aku keliru dengan kata-kata beliau. Terlihat di skrin CCTV menghadap motorsikal aku, lembaga putih berbungkus sedang membonceng diatas motorsikal aku. Aku terkejut dan kemudian menoleh kearah motorsikal aku. Melihat tiada apa-apa di atas motorsikal, tiba-tiba muncul bau busuk bangkai yang sama aku hidu semasa diatas jalan sebelum ini. Bulu roma aku meremang hingga ke tengkuk dan aku mula berzikir. Baru saja memulakan baca, motorsikal aku terjatuh menyembah bumi padahal aku sudah menongkat menggunakan ‘double-stand’.
Terdengar suara mendengus dari jauh seakan-akan orang yang sedang marah. Mata aku melilau kearah CCTV, makhluk berbungkus tu sudah tiada di motorsikal aku. Aku perasan pakcik guard memandang kearah hutan yang gelap bersebelahan dengan pondok pengawal. Pakcik guard menyuruh aku berhenti dari bacaan zikir dan meminta aku untuk menunggu sehingga makhluk berbungkus itu menghilang. Lebih 30 minit aku menunggu di pintu gerbang, hanya putaran lagu dari radio saja yang dapat menghilangkan bosan aku disitu. Tiba-tiba pakcik guard mula bersuara,
‘Kau lalu jalan tu malam-malam macam ni, memang dia akan tumpang. Mungkin dia saja nak mengacau, nak ikut kau balik rumah.’
‘Saya tak perasan apa-apa pon tadi masa lalu jalan tu. Ada la terbau benda busuk, ingatkan bau bangkai binatang m**i’
‘Masa kau ada baca-baca tadi, aku nampak dia nak mula marah. Takut kalau dia nak kacau budak-budak dalam asrama nanti. Zikir-zikir menghalau ni sebaiknya dibuat dalam rumah, kalau kau baca kat tempat diorang, diorang panas, kau pulak diterkamnya’
Pesanan yang sama diberikan oleh arwah tokwan. Aku yang tak berapa arif bab-bab mistik ni hanya mampu mengangguk dan sesudah itu diberi kebenaran untuk masuk ke asrama. Alhamdulillah tiada apa-apa perkara pelik dah yang berlaku pada malam tu.
Aku akhiri penulisan aku ni tapi sebenarnya banyak lagi perkara-perkara mistik yang berlaku pada aku yang ingin dikongsikan. Sedikit info berkaitan diri aku, aku pernah join bersilat dan pernah bertapa untuk ilmu kebatinan tapi putus penerimaan ilmu tersebut ditengah jalan akibat masalah kesihatan dan sambung belajar. Mungkin sebab itu aku merasa lebih extra gangguan dari golongan ‘mereka’. Sampai disini dahulu dan berjumpa kita dilain hari. Assamualaikum…
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
terbaik..👍👍
Kesian kena buli dengan ‘housemate’ hahaha🤣🤣