Usia saya kini 40 tahun. Namun, cerita seram saya semasa kanak-kanak masih segar dalam ingatan. Semuanya bermula apabila kami sekeluarga berpindah ke sebuah kawasan pedalaman di negeri Perak. Perpindahan kami berlaku atas asbab pekerjaan ayah saya. Ketika itu, saya baru berusia 8 tahun.
Pengalaman pertama saya berjumpa dengan makhluk misteri adalah sekitar tahun 1990, iaitu dua tahun setelah kami menetap di situ. Untuk makluman pembaca, kawasan kuaters tempat tinggal kami adalah di dalam hutan dikelilingi bukit-bukau. Kejadian itu berlaku ketika kami tinggal di kuaters B.
Saya adalah anak perempuan sulung. Selepas makan malam, tanpa membuang masa saya terus menuju ke dapur untuk mencuci pinggan. Ketika itu, waktu sekitar jam 10 malam. Belakang rumah ada beberapa batang pokok mangga dan dipisahkan dengan pagar dawai adalah semak tebal. Sinki dapur berada di tepi dinding menghadap semak di belakang rumah.
Sambil mencuci, mulut saya bernyanyi kecil sambil mata kadang-kala menyorot memandang ke luar tingkap. Tiba-tiba, mata saya terpandang sesuatu. Satu sosok yang sedang berdiri di balik pagar dawai. Sosok itu berdiri mengiring, memakai pakaian yang sangat tidak asing. Dari pencahayaan tiang lampu belakang rumah, saya boleh nampak dengan jelas pakaian sosok itu.
Sosok itu memakai pakaian tentera Jepun. Pakaian yang ala-ala jubah hujan. Memakai topi yang ada kain di bahagian tepi menutup sebelah wajah. Dan yang paling ketara, sosok itu memegang senjata jenis zaman perang dahulu yang mana ada pisau di hujungnya. Ya, walau masih kecil saya amat pasti itu pakaian tentera Jepun.
Tapi, apa tentera itu buat di situ malam-malam begini? Mulut saya terus terkunci namun mata masih memerhati sosok itu yang langsung tidak bergerak. Satu perkara yang pasti, saya tidak nampak kaki sosok itu.
Saya tidak berkata apa. Sudahkan mencuci pinggan dan terus berlalu ke bilik tidur. Keesokkan hari, saya disahkan demam dengan suhu yang agak tinggi. Ibu katakan yang saya meracau. Namun, itu semua saya tidak pasti. Apa yang nyata, kisah itu tidak pernah saya ceritakan kepada ibu dan ayah. Entah kenapa, tika itu saya rasakan ingin menyimpan sendiri sahaja peristiwa itu.
Kejadian kedua pula setahun kemudian. Masih di rumah yang sama. Ketika itu, malam sudah pun lewat. Saya dan abang yang ketika itu berumur 12 tahun masuk ke bilik untuk tidur. Untuk pengetahuan semua, bilik itu kedudukannya di belakang. Dari tingkap bilik, kami boleh lihat pintu belakang. Pintu yang diperbuat daripada aluminium tebal.
Dalam keadaan hampir lelap, kami dikejutkan dengan bunyi ketukan pintu belakang. Kuat sekali bunyinya. Ketukan sebanyak 3 kali itu bersambung ke rumah sebelah. Di sebabkan bunyi yang kuat, kami dapat mendengar ketukan itu berlanjutan ke rumah-rumah yang lain. Untuk makluman semua, setiap blok di pisahkan dengan laluan pejalan kaki selebar hampir 3 meter.
Namun, ketukan yang berlanjutan itu bergerak dengan sangat pantas. Pada kiraan saya, ketukan dari rumah ke rumah dipisahkan dengan jarak 1 saat sahaja. Pada pendapat anda, adakah manusia berkebolehan mengetuk pintu dengan kadar yang pantas sebegitu? Sangat mustahil. Kejadian itu juga kami diamkan dari sesiapa. Bukan takut tetapi risau ditertawakan.
Kejadian ketiga berlaku setahun kemudian juga. Ya, masih tinggal di rumah yang sama. Ketika itu awal pagi. Kalau anda semua hendak tahu, sekolah tempat saya belajar jaraknya 20km dari rumah. Makanya, kami akan keluar rumah seawal jam 5 pagi. Sampai di sekolah, hari masih gelap. Yang ada cuma kami yang menaiki satu bas, makcik kantin dan pembantu am sekolah.
Jam menunjukkan pukul 6 pagi. Seawal itu rasanya kawan-kawan yang tinggal berdekatan pasti masih dibaluti selimut. Saya berseorangan di dalam kelas di tinggkat 2 bangunan. Kedudukan kelas saya adalah yang paling hujung. Di belakang bangunan pula, di sebalik pagar dawai adalah kebun getah. Kedudukan kebun getah itu agak tinggi dengan kedudukan pokok bertentangan dengan kelas saya yang di tingkat 2.
Sedang saya mengelamun, tiba-tiba muncul satu objek berwarna hitam pekat terbang memasuki jaring di atas tingkap di kanan kelas dan terbang keluar menerusi jaring kiri kelas. Objek yang pada kiraan saya seperti kain selebar 2 meter itu terbang hilang ke dalam kebun getah. Saat itu saya benar-benar terpaku. Objek apakah itu? Kelawarkah? Mustahil rasanya untuk seekor kelawar untuk terbang menembusi jaring berkelebaran. 7x7cm. Seperti biasa, perkara itu saya diamkan walaupun ketika itu saya telah berusia 12 tahun.
Maafkan saya jika anda semua sudah mulai bosan dengan cerita saya. Pengalaman ini telah lama saya pendamkan. Saya sangat tercari-cari media untuk saya luahkan kisah saya.
Peristiwa seram dan mistik ini tidak terhenti di situ. Pada tahun yang sama, di sekolah yang sama saya mengalami satu lagi kisah mistik. Bezanya, kisah ini berlaku di waktu tengahari. Seingat saya antara jam 12 dengan 1 tengahari. Tidak jauh dari bangunan sekolah saya, terdapat dua blok bangunan sekolah lama. Bangunan itu adalah sekolah lama yang digunakan sekitar tahun 60-an.
Beberapa kelas yang ada situ digunakan untuk menyimpan buku-buku lama. Ini termasuklah buku pada waktu bangunan itu masih digunakan. Buku-buku lama itu kebanyakan dalam bahasa jawi. Saya pula adalah salah seorang murid yang sangat gemar bahasa jawi.
Disebabkan itu, pada satu hari saya ke bangunan itu bersama seorang kawan saya. Kami tidak fikirkan apa-apa memandangkan hari masih siang. Lagi pula, tujuan kami ke sana hanyalah untuk membaca buku-buku jawi. Mungkin benar kami bersalah kerana tidak meminta izin sesiapa. Kami cuma budak-budak yang masih mentah.
Di situ, kami berpecah. Kawan saya masuk ke kelas yang lain manakala saya masuk ke kelas yang paling hujung. Di situ, terdapat satu timbunan buku separas paha saya yang ketika itu cuma setinggi 110cm. Saya capai satu buku yang agak kecil dan mula membaca. Buku itu mengenai sejarah Puteri Hang Li Po. Ya, saya masih ingat dengan tajuk itu.
Ketika leka membaca, tiba-tiba telinga saya menangkap satu suara. seperti sedang berdehem. Suara yang datang dari pojok kelas itu. Namun, tiada apa di situ melainkan cebisan-cebisan kertas yang bertaburan. Saya menyambung bacaan. Kali ini saya terdengar seperti kertas-kertas yang bertaburan itu dikuis-kuis. Kerana saya membelakangi bunyi itu, saya hanya berdehem untuk sedapkan hati. Ketika itu entah kenapa saya tidak terfikir itu adalah kawan saya.
Saya kuatkan semangat menoleh ke belakang. Tidak ada apa-apa yang aneh. Saya teruskan membaca bila mana tiba-tiba ekor mata saya terpandang satu pergerakkan di sebelah kiri kelas. Sangat jelas. Mata saya tidak berkedip. Mulut saya terkunci. Saya hanya melihat sosok itu.
Hari yang terang membuatkan saya dapat melihat sosok itu dengan jelas. Dengan ketinggian seperti bayi baru lahir, berpakaian seperti bangsawan dahilu kala berwarna merah dan kuning, serta mempunyai telinga yang agak runcing ke atas seperti telinga Elf, sosok itu berlari pantas. Mata saya terus memandang sosok itu berlari ke belakang timbunan buku. Entah dari mana datang keberanian, saya berlari ke arah timbunan itu namun, sosok itu hilang. Saya hairan seketika. Ke mana sosok kecil itu menghilang. Apa yang masih segar dalam ingatan saya, tika itu saya tuturkan dalam hati, “aku ke sini sebab nak membaca. Tiada niat untuk mengganggu”.
Setelah itu, saya memanggil kawan untuk kembali ke kantin sekolah. Pada perhatian saya, pakaian sosok kecil itu saling tidak tumpah seperti pakaian watak kartun Awang Kenit.
Ketika saya di alam remaja, saya pernah mengalami satu lagi peristiwa seram. Kali ini betul-betul seram sebab sudah pandai berfikir. Waktu itu , saya dalam semester pertama di sebuah IPT tempatan. Di dalam hostel terdapat beberapa bilik untuk satu rumah. Saya ditempatkan di dalam bilik bersama 3 orang lagi rakan. Ada dua katil double decker dan saya mendapat katil yang atas. Ini adalah pengalaman pertama tidur di double decker. Semasa cuti ( saya tidak ingat cuti apa, tetapi ramai kawan yang pulang ke kampung), saya tidak pulang ke kampung kerana telah merancang dengan rakan di bilik lain untuk buat study group sahaja. Kawan-kawan sebilik saya semua telah pulang ke kampung. Tinggallah saya berseorangan di bilik itu. Dua lagi teman di bilik hadapan. Malam pertama berseorang, tidak ada apa-apa yang berlaku.
Cuma pada malam kedua, saya mulai rasa teramat sunyi di dalam bilik itu. Teman-teman yang lain sudah lena dibuai mimpi. Tidak mungkin untuk saya kejutkan mereka dari tidur semata-mata untuk temani saya. Saya gagahkan diri untuk tidur. Saya pejamkan mata rapat-rapat sambil dalam hati berdoa agar tidak berlaku apa-apa. Akhirnya saya tertidur.
Entah kenapa tiba-tiba saya seakan-akan terdengar ada suara memanggil nama saya. Sayup sahaja suaranya. Dalap kepayahan, saya buka kelopak mata saya. Dalam kesamaran, saya ternampak satu batang tubuh yang sangat saya kenal. Tubuh itu duduk di meja tulis seakan-akan sedang mengulangkaji pelajaran.
“Mai, bila kau sampai? Apa kau buat dalam gelap ni”, soal saya dalam nada serak-serak basah. “Mai” hanya mendiamkan diri. Tidak menjawab sepatah pun. Kalau anda semua nak tahu, Mai adalah rakan sebilik saya. Sebetulnya, Mai sudah pulang ke kampung selama dua hari.
Di sebabkan “Mai” tidak menjawab, saya mengambil keputusan untuk menyambung tidur. Baru sahaja saya mahu pejamkan mata tiba-tiba, saya menggigil. Badan mula berpeluh. Saya cuba untuk melihat “Mai” yang berada di meja tulis tadi. Saya mengangkat sedikit kepala. Ya, “Mai” masih di situ. Tetapi, dia tidak membaca mahupun menulis. Dia hanya membatu di situ sambil menundukkan kepalanya.
Saya yang sudah dibasahi peluh mulai rasa loya. Saya menarik selimut menutupi seluruh badan sehingga kepala. Di bawah selimut saya masih menggigil dan peluh mencurah-mencurah. Entah berapa lama saya dalam keadaan itu, sampai saya tertidur. Keesokannya, saya terus menelefon abang untuk menghantar saya ke stesen bas. Ya, saya ingin balik kampung.
Sebenarnya, sehingga kini saya masih berdepan dengan peristiwa seram. Terlalu banyak untuk saya ceritakan. Apa yang pasti, kita memang tidak bersendirian di dunia ini. Ke mana atau di mana sahaja kita berpijak, ingatlah bahawa Allah itu Maha Hebat. Segalanya yang berlaku atas kehendakNya. Kita diuji untuk melihat sejauh mana taatnya kita kepadaNya.
hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Asal buat cete mcm ni.. Hailah
Jap komen luu bru baca hahahaha
Jap komen luu bru baca hahahaha
Penulisan sangat baik.
Rate:8/10🌟
penulisan okay. Tapi confuse nak cerita apa sebenarnya.