Wonderful Indonesia

Dago, Bandung.
2014

Kaki ku melangkah keluar daripada kereta sewa yang menjemputku di Lapangan Terbang Antarabangsa Husein Sasteranegara. Sunyi keseluruhan kawasan penginapan melainkan sesekali kedengaran bunyi menderum kereta dan motosikal. Pada hemat aku, hotel yang aku tempah melalui website Agoda ini antara top 5 hotel mewah pada ketika itu tetapi ia berada jauh dari bandar. Rolex di tangan menunjukkan jam 8:00 malam waktu tempatan tetapi suasananya seperti jam 12:00 malam. Hujan renyai- renyai mengiringi ketibaan ku.

Sebaik melangkah ke lobi hotel, kedengaran alunan muzik klasik Indonesia menyambut kedatangan ku. Terdapat satu tangga “Mohabbatein” menuju ke cafe dan kolam renang di tingkat bawah. Setelah mendaftar masuk, aku dibawa ke bilik oleh kakitangan hotel di tingkat tiga. Kamarku tidak lah luas dan tidak sempit. Sesuai untuk pelancong solo seperti aku.

Dari balkoni kamar, aku dapat lihat kolam renang dan kawasan perkampungan yang agak malap dengan cahaya lampu. Pemandangannya tidak begitu menarik pada waktu malam. Setelah meletakkan barang- barang, aku terfikir untuk turun semula ke lobi untuk melihat kawasan lobi kerana ketika aku tiba di hotel tadi, aku tertarik dengan hiasan patung wayang kulit yang ada di situ.

Ketika leka dengan ukiran halus patung- patung berkenaan, aku tertarik dengan sebuah patung kayu lama yang berada terpencil di penjuru sudut lobi. Patung itu di pakaikan dengan pakaian tradisional masyarakat Jawa Indonesia.

Terdapat sekeping lipatan kertas dalam genggaman patung berkenaan. Ku sangka mungkin ia perbuatan kanak- kanak lalu aku ambil lipatan kertas itu dan bawanya ke bilik. Setelah membersihkan diri, aku duduk di balkoni bilik untuk menikmati angin malam Dago. Aku buka lipatan kertas yang aku ambil tadi. Terdapat bait- bait kata bahasa jawa pada kertas itu yang aku kira ianya mungkin puisi lalu aku bacanya berulang kali.

(Maaf aku tidak nyatakan bait- bait berkenaan disini kerana aku bimbang pembaca akan seru sesuatu yang tidak sepatutnya diseru)
Sesudah aku membaca puisi itu, kurang dua minit tidak semena- mena guruh berdentum kuat di langit. Aku yang terkejut berlari masuk ke bilik dan menutup pintu balkoni. Aku terlelap bersama lipatan kertas tadi.

Jam menunjukkan pukul 2:16 minit pagi dan aku terjaga dari tidur. Aku terdengar seperti zip bagasiku dibuka. Bunyinya makin jelas kedengaran dan aku yakin itu bunyi zip. Aku bingkas bangun dan menoleh ke arah bagasi. Aku lihat zip bagasiku terbuka sedikit. Aku berjalan menuju kearah bagasi tapi belum sempat aku capai bagasi itu tiba- tiba aku disergah oleh patung kayu yang tadi nya aku lihat di lobi hotel. Patung itu mengeluarkan kepalanya melalui zip yang sedikit terbuka. Ia bergerak sendiri ! Ia hidup !

Aku yang ketakutan bercampur mamai berlari lemah keluar dari bilik dan menuju ke lobi. Aku berjumpa manager yang bertugas lalu mengajaknya ke bilikku untuk mengambil patung kayu itu. Aku sempat menjeling ke arah sudut pencil lobi di mana patung itu berada pada awalnya. Tetapi jatungku bagai direntap melihat patung kayu itu telah tiada di tempatnya.

Setibanya manager di bilikku, dia terkejut melihat patung kayu itu. Dia bertanya adakah aku yang mengambilnya. Aku dengan tegas menafikannya. Dia membawa patung itu keluar dari bilikku. Aku menunaikan solat tahajud dan solat hajat.

Tetapi hatiku gusar. Adakah ia hanya imaginasi. Aku tidak dapat tidur dan mundar- mandir di dalam bilik memikirkan perkara tadi. Tiba- tiba bau hangit menguasai ruang udara. Bau seakan- akan colok di bakar. Aku membuka pintu balkoni agar dapat mengalirkan udara ke dalam bilik. Tetapi keadaan semakin teruk. Bau tersebut semakin kuat dan disusuli ketawa seorang wanita. Ketawa itu bukanlah hilaian tawa atau ketawa terbahak- bahak, tetapi seolah- olah ketawa dalam keadaan mulut tertutup rapat dan bunyinya sangat lembut, mendayu- dayu dan menyeramkan.

Malam itu juga aku minta ditukar ke bilik tidur yang lain. Malangnya pihak hotel tidak dapat sediakan bilik yang baru untukku kerana semuanya penuh ditempah. Aku akur dan pulang semula ke bilik ku. Walaupun keadaan ku sangat letih tetapi aku tidak dapat melelapkan mata hingga ke pagi.

Hari kedua di Dago, aku keluar bersiar- siar bersama seorang pemandu pelancong. Aku berbual dan bertanya kepadanya sama ada hotel yang aku tinggal itu mempunya sejarah dan kisah mistik yang tersendiri. Katanya, dia belum pernah lagi mendengar apa- apa cerita mistik berkenaan hotel itu dan hotel itu adalah tumpuan orang kelas atasan Jakarta di hujung minggu. Mungkin aku berimaginasi atau mengigau. Aku pulang semula ke hotel sekitar jam 8:00 malam. Sebelum pulang aku membeli sekotak pizza Dominos dan kepak ayam bakar. Ia sekadar untuk mengalas perut jika aku lapar pada lewat malam.

Setibanya aku di bilik, keadaan bilik sangat bersih, kemas, dan berbau wangi. Aku meletakkan makan di atas meja dan aku ke bilik mandi untuk membersihkan diri. Aku berdiri di hadapan singki untuk memberus gigi, tiba- tiba aku terlihat penampakan wanita lain di dalam cermin sedang berdiri di sebelah aku. Wajahnya sangat cantik dan rambutnya hitam ikal mayang tetapi perutnya berlubang dan berulat.

Aku menoleh, wanita itu tiada. Tetapi ulat di perutnya yang berlubang itu masih berada di atas lantai bilik mandi. Ulat itu begitu banyak bersama lendir merah busuk. Aku telefon bahagian house keeping untuk membersihkannya. Mereka terkejut melihat begitu banyak ulat dan lendir di dalam bilik mandi aku. Tanpa bertanya banyak mereka menyelesaikan tugas mereka.

Bau enak pizza dan kepak ayam bakar membuatkan aku lapar. Aku buka bungkusan kepak ayam bakar dan aku terkejut kepak ayam itu dipenuhi ulat sampah. Ulat itu terlalu banyak hingga menutupi keseluruhan kepak ayam. Aku hairan. Kepak ayam itu masih panas kerana ketika aku membelinya ia baru di angkat daripada pemanggang. Aku bungkus kepak ayam itu dan letakkan nya di tepi. Aku buka kotak pizza dan alangkah terkejutnya pizza yang aku beli di penuhi ulat putih sampah yang merenyut- renyut dan terdapat lender merah busuk di sekeliling roti pizza. Geli bukan kepalang. Tiba- tiba pintu bilik diketuk kuat.

Aku tersentap. Dengan pantas aku membuka pintu bilik. Tetapi tiada orang. aku hanya dengar suara ketawa wanita yang seolah- olah mulut tertutup rapat. Suara itu terasa begitu ngeri pada aku seraya aku melemparkan bungkusan ayam dan pizza keluar dari balkoni bilik. Suara ketawa itu masih kedengaran seolah- olah ia berada di sebelah telinga aku.

Aku tidak dapat bertahan di dalam bilik berkenaan lalu aku telefon pemandu pelancongku untuk menjemputku di hotel. 30 minit kemudian pemandu pelancong tiba dan aku minta bantuannya untuk mengemas barang- barang ku dan tinggalkan hotel itu. Aku tinggalkan hotel itu dalam keadaan tidak check out kerana aku masih ada satu malam lagi di hotel itu. Perancangan ku ingin check out ketika pulang ke Kuala Lumpur pada lusa hari. Aku check in di hotel yang berhampiran iaitu Padma Hotel di sekitar Cidadap yang hanya mengambil masa 15 minit dari Dago.

Ibarat jatuh ditimpa tangga. Aku tidak dapat check in di Padma Hotel kerana aku baru tersedar passportku telah tiada. Hilang kah? Tercicir kah? Berputus asa kerana kehilangan passport, aku kembali semula ke hotel di Dago. Mungkin passportku tercicir di bilik hotel itu. Puas aku dan pemandu pelancong cari passport itu di bilik tetapi tidak juga jumpa. Malam itu aku minta bantuan pemandu pelancongku untuk teman aku di bilik. Kami tidak tidur malah aku menceritakan segala yang berlaku kepadanya. Jam menunjukkan pukul 2:30 pagi dan dia minta izin untuk pulang serta berdoa agar tidak ada apa- apa yang berlaku.

Kerisauan ku hanya tertumpu pada kehilangan passport. Bukan lagi pada patung kayu hidup, suara ketawa ngeri, dan penampakan sundal bolong perut berongga. Aku telan dua biji pil tidur dengan harapan aku tidak terjaga hingga ke pagi. Alhamdulillah aku tidur dengan puas hingga jam 10:00 pagi. Pagi itu aku telefon ke kedutaan Malaysia di Jakarta untuk memaklumkan kehilangan passport. Mereka minta aku hadir ke sana. Aku akan ke sana pada esok hari dan akan menunda penerbangan ku ke Kuala Lumpur. Lega hatiku.

Pagi itu aku menempah package urutan dan mandi lulur di spa di hotel itu. Percutian anda ke Indonesia tidak lengkap tanpa package tersebut. Jam 2:45 petang aku turun ke spa hotel. Aku melalui tangga “Mohabbatein” itu ke tingkat bawah.

Anda akan menjumpai café yang terbuka dan kolam renang. Spa terletak di seberang kolam renang. Di hadapan spa terdapat kolam air panas bersaiz sederhana. Kedatangan ku di sambut manis oleh kakitangan spa. Aku di bawa ke bilik urut yang telah di tempah. Bilik itu bersebelahan dengan bilik sauna. Aku diminta menukar pakaian dan hanya memakai kain batik lepas. Aku dihidangkan dengan secawan air halia hangat sebelum memulakan urutan dan mandi lulur.

Di dalam bilik itu terdapat sebuah tab mandi besar untuk mandi lulur. Hiasan spa sangat cantik dan terdapat patung kayu sama seperti patung hidup yang aku lihat. Aku beranggapan bahawa itu mungkin patung yang lain memandangkan spa itu berkonsep bali. Aku di arahkan untuk meniarap di atas pelantar urut yang di sediakan sementara menunggu tukang urut. Selesai meniarap dan menunggu, aku terdengar pintu kayu bilik dikuak, kedengaran seperti seseorang sedang masuk. Aku tidak menoleh dan hanya bersangka baik itu mungkin tukang urut. Baunya sangat wangi dan menenangkan jiwa. Aku sangka itu mungkin wangian spa yang digunakan. Tanpa memperkenalkan diri, dia terus mengurut belakang badan ku.

Aku dapat rasa tangan lembut menyentuh kulit aku. Sedap betul urutannya. Aku bertanya berapakah umurnya. Dia menjawab 118 tahun lalu ketawa. Aku kenal benar bunyi ketawa itu. Aku abaikan dan anggap dia hanya bergurau. Aku tanya lagi “umur 18 tahun ya?”.. Dia ketawa. Ketawa sambil mulut tertutup rapat. Ngeri bunyi nya. Aku abaikan ketawa itu. Dalam keadaan meniarap aku tidak dapat lihat wajahnya.

Aku meniarap dengan mendepa tangan ke depan dan meletakkan kepala di atas jari- jari tangan kiri serta memalingkan muka ke bahagian kanan. Ketika dia mengurut dari bahu kanan hingga ke siku, aku dapat lihat jari nya halus lembut tetapi berkuku panjang berwarna hitam. Kukunya sangat panjang seperti Pontianak.

Aku terus memalingkan muka melihatnya. Alangkah terkejutnya aku melihat seorang wanita cantik berkuku panjang dengan perutnya berlubang dan berulat. Ulat dari perutnya jatuh merenyut dia atas kain batik lepas yang aku pakai. Akibat terlalu terkejut dan takut, aku terus menolak dia hingga jatuh. Tapi dia pantas menyambar lengan ku hingga terluka dek kerana kukunya yang tajam. Aku merentap lengan ku sendiri untuk melarikan diri. Akibatnya lengan ku luka parah.

Aku berlari keluar dari bilik itu sambil menjerit menangis. Kakitangan spa terkejut dengan tndakan aku seperti orang hysteria dengan luka parah di lengan kanan. Aku kuis ulat- ulat yang masih melekat di kain. Kakitangan spa membantu aku menukar pakaian dan kes itu di laporkan pada pihak atasan hotel. Aku di bawa ke tepi kolam renang dan pramadic datang untuk merawat luka ku. Tetapi aku terpaksa dibawa ke hospital kerana luka ku perlu dijahit. Lengan kananku menerima 12 jahitan kerana lukanya yang besar dan dalam. Setelah selesai, aku kembali ke hotel dan rupanya yang mengurut aku tadi merupakan kakitangan spa yang telah di rasuk oleh sundal bolong perut berongga lalu mata kasarku melihat dia menyerupai sundal bolong perut berongga.

Pihak hotel meminta maaf atas perkara yang telah terjadi sepanjang penginapan ku di sana dan aku tidak perlu membayar apa- apa kepada hotel. Aku mengaku kepada pihak hotel bahawa aku telah mengambil lipatan kerta pada patung kayu itu dan membaca puisi pada kertas itu. Aku di fahamkan bahawa itu bukanlah puisi seperti yang aku sangka tetapi merupakan mantera.

Pihak hotel menjemput seorang dukun untuk menjalankan upacara “pembersihan” pada hotel dan juga pada aku. Selepas isya, aku diberi mandi air limau nipis bercampur lumpur selut dan bunga sundal malam. Penjelasan dukun itu menyatakan bahawa aku telah menyeru sesuatu yang sudah lama tidak diseru.

Aku salahkan pihak hotel kerana meletekkan patung sebegitu sebagai hiasan kerana ia boleh menyebabkan kematian. Selesai segala upacara pembersihan, pemandu pelancong ku menghantar aku ke Jakarta dan menginap di sana sementara menunggu pagi untuk ke kedutaan Malaysia. Aku tinggalkan semua kenangan itu di Dago. Yang pastinya, aku tidak akan serik untuk kembali ke hotel itu lagi.

Ditulis oleh:
AiraSyahireen.

AiraSyahireen

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 2]

13 thoughts on “Wonderful Indonesia”

  1. Lain kali usah gatal tgn usik benda2 yg ala2 mistik & antik tu…lbh2 lg kalo pi Bali…jgn dok suka2 usik…berselfie ngan patung2 yg ada kt situ…deme ni byk yg ada unsur pemujaan…walau excited sekalipon jg tingkah laku lbh2 lg kt tpt org…elakkan bwk budak kecik kalo tgk persembahan barongan kt situ…tpt yg plg angker kt kawasan perkuburan Terunyan…kalo boleh usahlah pergi..cr nahas jer…kalo darat sgt…pergilah

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.