Yunus – Bertemu Ruas

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Masya Allah, terharu sungguh bila baca komen-komen yang suka cerita Yunus. Aku menulis suka-suka dari pengalaman. Apa pun, terima kasih kerana pujian ikhlas pembaca FS yang suka dengan cerita aku dan Yunus ni. Memang pengalaman aku dan Yunus ni banyak, kerana kami dapat masuk universiti yang sama, tapi lain jurusan. Aku sedang mencari publisher untuk kisah2 aku ni, harap jumpalah dengan publisher yang sudi menerbitkan naskah Yunus ni nanti….

Kali ni, aku nak kongsi kisah Yunus yang bagi aku bertemu ruas kerana sikapnya yang degil dan suka menyakat. Semua orang tahu, Yunus sangat suka menyakat. Leterlah sampai terkeluar tekak pun, bukan nak didengar. Marahlah macam mana pun, esok dia akan buat lagi. Ini kisah tentang Yunus yang bertemu buku dengan ruas kerana sifatnya yang sangat suka menyakat. Bagi aku, aku tidak kisah dengan apa adanya Yunus ni. Bagi aku, dia seorang sahabat yang tiada gantinya.

Petang itu, salah seorang jiran kampung memberi emakku sebakul ketam nipah. Gemuk-gemuk belaka. Katanya, musim ketam sekarang. Kalau jual pun murah, lebih baik buat lauk. Masa tu, aku, dua orang sepupu aku, dan Yunus sedang menunggu kawan2 kami yang lain di pangkin depan rumah. Biasalah, dulu mana ada hiburan dan gajet macam budak2 sekarang rasa. Selalunya dan kalau tak hujan, penuhlah basikal bersusun depan rumah. Melepak kadang2 sampai lewat malam. Semangat setiakawan kami budak2 kampung masa dulu sangat tinggi.

Sedang asyik bersembang, mak aku suruh aku ambil serai di belakang rumah. Aku kalau mak aku suruh, tak pernah aku lewatkan. Bila aku kembali ke pangkin, tahu-tahu, mereka telah sepakat untuk menjerat ketam nipah dan mencari siput sedut. Perangkap ketam akan diletakkan pagi dan mereka akan cari siput sedut selepas itu. Mereka akan mengambil perangkap ketam waktu malam. Beri masa untuk ketam masuk perangkap. Sepupu2 aku memang sangat mahir tentang hal sungai dan laut. Mereka pun tahu sekarang musim apa. Boleh kata semua budak2 kampung tu arif tentang perkara yang sama. Pasang surut laut sudah dihafal. Lubuk itu ini sudah dalam kepala mereka.

Yunus memang tidak suka menangkap benda hidup. Kasihan katanya. Aku pula, lahir dan besar di negara bersalji, manalah ada semua ni di sana. Bila aku berumur 13 tahun, barulah kami berpindah balik ke tanah air. Aku dan Yunus hanya akan mengikut untuk melihat, tidak akan terlibat dalam dua2 perkara yang telah dirancangkan. Ini kerana kami akan ke klinik untuk mengambil x-ray sebagai syarat penting untuk urusan masuk universiti. Jadi, kami berdua dan salah seorang budak kampung itu terlepas peluang mengikut mereka meletakkan perangkap ketam dan aktiviti mencari siput sedut. Kami terpaksa ke bandar menaiki bas, petang barulah sampai ke rumah.

Seperti yang dijanjikan, malam itu, selepas pukul 9, kami berbasikal ke hutan bakau tu. Kami pergi 8 orang. Sepupu aku 2 orang, aku, Yunus dan 4 orang lagi budak sekampung. Ada yang bawa baldi dan ada yang bawa bekas polystyrene putih tu, diikat di belakang basikal masing2. Semuanya membawa lampu suluh dan air, guna untuk minum dan basuh lumpur. Tempat perangkap ketam nipah tu dipasang ialah di hutan bakau yang aku selalu lalu tapi tidak pernah masuk. Ada jalan tanah merah menghubungkan kuala sungai tempat kami pergi dengan kuala sungai kampung cina berdekatan. Jalannya lurus, tepinya ada terusan untuk air masin kembali ke laut. Terusan air payau kalau tak salah aku. Hendak masuk ke dalam hutan bakau mesti melepasi terusan tu melalui satu titi kayu yang dibuat nelayan mungkin. Kemudian jumpalah hutan bakau saujana mata memandang.

Mujurlah jalan tanah merah tu berlampu, walaupun jaraknya jauh2. Mujur juga lampu sorot TNB yang berpagar menerangi kawasan itu. Kami letakkan basikal di bawah tiang lampu. 8 orang pergi, tapi bila kira, cuma ada 7. Yunus hilang entah ke mana. Hal hilang lenyap ni memang Yunus pakar sangat. Tak sedar bila dia hilang. Sebenarnya, Yunus ada mengikut kami tapi berhenti di titi tempat kunci air, tepi pagar bangunan TNB kecil tu. Niatnya memang nak menyakat. Bila masa dia lenyap, tiada sorang pun dari kami perasan. Entah hantu apa yang sampuk Yunus malam tu, agak keterlaluan sakatnya malam tu.

Menyesal aku pakai t shirt lengan pendek. Agas dan nyamuk banyak, jadi aku kembali tempat letak basikal di bawah lampu. Sambil tergaru-garu aku tercari-cari Yunus. Mereka yang masuk ke dalam hutan membawa lampu, jadi aku masih boleh nampak mereka pergi ke tempat mereka letakkan perangkap masing-masing. Aku tidak pula merasa takut, mungkin kerana aku biasa dengan tempat tu. Cerahlah juga, cuma nyamuk yang lahap meratah tangan dan muka. Lagipun, kalaulah anjing liar datang, senjata bahaya aku ada – lastik besi yang sentiasa aku bawa. Nahaslah kalau nak mencari fasal dengan aku. Anjing liar memang banyak di kawasan bakau tu.

Yunus sebenarnya menyeberang terusan tu di belakang kami. Sanggup dia, kalau aku, memang tak lah. Selain airnya kotor berselut, entah apa binatang yang tinggal di dalam air tu. Untuk menakutkan kami, Yunus lumur seluruh badan dengan lumpur, sehingga ke kepala. Lumpurnya juga busuk. Dia merangkak macam biawak di dalam lumpur. Bersungguh betul dia malam tu. Tak lama kemudian dengarlah jeritan terperanjat dari dalam hutan. Kemudian dengar Yunus ketawakan mereka. Nakal tak bertempat Yunus malam tu.

Bila semua berkumpul, kami kira berapa orang. Cukup 8. Tapi “Yunus” yang kami nampak ni hanya tercegat pegun di kawasan gelap atas jalan tanah merah tu. Tidak pun “Yunus” melangkah ke arah cahaya, tercegat memandang kami, tegak berdiri. Kerana ada yang marah dengan Yunus, dia tidak dipedulikan. Masing-masing sibuk dengan tugas mereka mengumpul perangkap ketam. Banyak jugalah ketam yang masuk perangkap malam tu. Hampir selesai mengikat dan masukkan ketam ke dalam bekas, kami nampak “Yunus” terjun ke dalam terusan. “Ah! Biaq pi kat dia lah! Tak habih2 nak mengusik orang!’ kata salah seorang dari kami. Marah sangat dia disakat Yunus. Anjing-anjing liar pula menyalak-nyalak dari dalam hutan. Bersahut-sahutan lolongan salaknya. Berpandangan kami semua. Rasa pelik kerana tadi, anjing2 tu senyap sahaja.

Aku mula bimbang, “Yunus” yang terjun tu tidak menunjukkan tanda dia naik ke jalan. Lama sungguh dalam air. Sepupu aku menyuruh aku menyuluh tempat “Yunus” terjun. Nak nampak apa? Air yang tohor warnanya yang tidak mengalir. ‘Yunuih! Dah la mengusik. Nak balik dah ni!” kata aku sambil mata meliar memandang, mana tahu dia datang arah lain. Tahu sangatlah perangainya yang suka menyakat. Lama aku tunggu, tidak juga “Yunus” keluar dari tempat persembunyiannya. Selalunya bila sudah puas menyakat, Yunus akan keluar dari mana tempat dia menyorok. Anjing-anjing liar masih lagi melolong2 menyalak sesuatu yang kami tak nampak.

“Jom kita baliklah! Toksah tunggu dia. Pandailah dia cari jalan balik. Ingat seronok ka kena sakat malam2 dalam hutan bakau!” kata budak kampung tu sambil mengangkat semua perangkap ketamnya ke basikal. Memang marah sungguh. Serba salah aku, nak tunggu Yunus, aku tak tahu dia di mana. Nak tunggu, takut pula rasanya. Yang lain pun sudah selesai dan bersedia untuk pulang. “Yunuih, kami nak balik dah ni! Keluaqla weii! Sudah sudahlah tu mengusik!’ kata aku melaung ke arah hutan bakau. Sepi. Tiada balasan. Aku tahu sangat, Yunus ni kalau sudah puas mengusik, walau apa pun, dia akan dapatkan kawan2 dia. Tersengih-sengih minta maaf. Janji tak buat lagi kononnya. Tapi bukan sahaja dia tak keluar dari tempat persembunyiannya, sahutan aku pun tidak berbalas.

Empat orang budak kampung tadi dengan tegas menyatakan mereka akan balik. Masa pun sudah melepasi pukul 11 malam. Nyamuk dan agas jangan cakaplah. Lama pula Yunus nak mengusik. Tapi, jauh di dalam hati, aku tahu sudah tentu Yunus berdepan dengan sesuatu. Kalau tidak, dia takkan tinggalkan kawan-kawannya walau berdesing telinga dia dimarahi. Kita datang sama2, kita balik sama2, itu yang selalu Yunus kata. Yang empat orang tadi sudah mula keluar ke jalan utama keluar dari kuala sungai tu. Aku dan 2 sepupu aku sahaja yang tinggal, memanggil-manggil nama Yunus.

Masa berganjak, Yunus masih belum keluar dari tempat persembunyiannya. Sepupu aku yang dua orang tu pun tidak berani hendak masuk ke dalam hutan bakau mencari Yunus. Rasa lain macam, kata mereka. Aku juga rasa lain macam, rasa seperti sedang diperhatikan. Dengan berat hati, kami tinggalkan tempat tu. Bila sampai ke titi kunci air tu, aku nampak basikal Yunus bersandar di pagar TNB. Nyata, Yunus masih lagi ada di dalam hutan bakau tu. Risau aku tersangat risau, lebih takut kena marah. Kami kayuh basikal selaju mungkin pergi ke rumah pakciknya. Walaupun dalam 4km begitu, cepat juga kami sampai ke rumah pakciknya di hujung kampung. Ikut jalan pintas. Masa kami tinggalkan tempat tu, anjing-anjing liar masih bersahut sahutan menyalak. Terbit rasa kasihan pada Yunus. Walaupun dia berani, dia masih seorang budak.

Kami sampai dan mujurlah pakciknya di atas beranda membaiki jala yang rompong. Kami beritahu perkara sebenar. Pakciknya nampak tidak terkejut, tenang saja. Kami tunggu dalam beberapa minit. Aku rasa tentu pakciknya menelefon datuk Yunus, apa untuk dibuat. Cucu kesayangannya yang nakal tentu ditimpa musibah. Salah sendiri kali ni. Pakcik Yunus pun bukan calang-calang orangnya. Seluruh keturunan mereka berilmu, tapi sangat marah kalau digelar dukun, pawang atau bomoh. Pakciknya juga seperti Yunus, hanya bawa lilin 3 batang dan mancis, dan kain pelikat disisip ke bahu. Selalu aku tanya Yunus, kenapa tak bawa lighter saja? Dia hanya senyum tanpa menjawab. Ketam dan perangkapnya kami tinggalkan di beranda rumah pakciknya dan segera ke hutan bakau. Pakciknya naik motorsikal. Kami yang berbasikal, kayuh punyalah laju, boleh kalah Azizul Hasni Awang tu.

Sampai saja di sana, macam Yunus juga, pakciknya susun lilin di depannya, dinyalakan dengan mancis dan bersila, membaca doa. Suasana sangat hening, hanya dengar bunyi unggas malam. Anjing-anjing liar yang tadi bising melolong menyalak, tidak kedengaran pun. Lama juga pakciknya berwirid dan membaca doa. Kami masih atas basikal. Manalah tahu kalau apa terjadi, boleh cepat melarikan diri. Selesai berwirid, pakciknya bangun dan seperti Yunus, membuka langkah silat. Aku biasa lihat Yunus bersilat, tapi kali ni aku nampak pakciknya seperti bersilat seperti dia sedang melawan sesuatu. Bersungguh-sungguh pakciknya dan pukulan buah silatnya aku nampak seperti benar-benar menghentam sesuatu yang tak nampak pada mata kasar. Keras pukulannya, tapi kalau dilihat dengan teliti, menyeramkan. Sekali sekala pakcik Yunus menghayun kain pelikat yang dibawanya.

Masa pakcik Yunus masih bersilat di atas jalan tanah merah, ketika dia menghayun kain pelikat, kami dengar dengan jelas bunyi seperti pasir dibaling ke dalam sungai. Kemudian, pada satu tempat, pokok-pokok bakau bergoyang seperti dirempuh. Sepupu aku hampir nak terlentang kerana terkejut. Pakcik Yunus yang sudah habis bersilat, membaca doa dan kemudian bertanya “Ada bawak toslet (torchlight) dak?. Ada bawak aiyaq kosong?”. Sepupu aku sua lampu suluh dan air kosong dalam botol coca cola pada pakcik Yunus. Kami mengikut langkah pakcikYunus hendak masuk ke dalam hutan bakau walau tidak disuruh. Aku risaukan sahabatku tu. Harapan aku satu saja, kami berjumpa Yunus di dalam hutan bakau tu.

Hutan bakau itu juga sudah cukup menyeramkan. Memang terasa seperti kami diikuti. Manakan tidak, bunyi kaki memijak selut terdengar-dengar di belakang. Bunyinya langkahnya pendek2 sahaja, seperti yang mengikut kami tu orangnya pendel. Kami tahu, tiada siapa yang berani masuk ke hutan bakau malam2 buta begini. Memang mencari nahas. Banyak kejadian juga berkaitan dengan hutan bakau, di mana saja. Hanya yang bernasib baik sahaja yang ditemui masih bernyawa. Kalau hilang di hutan bakau, berhari-harilah usaha mencari dilakukan.

Baru saja nak melangkah naik ke titi kayu, pusaran angin yang sangat kuat datang dari arah laut. Saling tak tumpah macam bila helikopter nak turun. Bunyinya menyeramkan, susah nak aku tulis di sini. Pokok-pokok bakau yang teguh tu macam nak tercabut. Daun-daun pokok di situ dibantai angin menghasilkan bunyi aneh seperti bunyi ular. “Hampa toksah takut! Dia nak uji aku tu!’ kata pakcik Yunus. Aneh, masa atas titi kayu pendek tu, ribut kuat macam nak melayang semua. Pakcik Yunus pijak saja tanah selepas melintas titi, keadaan jadi seperti biasa. Seperti ribut tadi tak pernah terjadi.

Selepas beberapa langkah, pakcik Yunus berhenti, menundukkan kepala dan berdoa. “Ishh..dia main kasaq ni” katanya sambil buka mata, dan mula melangkah ke hadapan. Bagai anak itik, kami mengikut pakciknya hingga sampai pada sepokok pohon yang agak besar. 2 lampu suluh digunakan untuk menyuluh. Di bawah pokok itulah, kami jumpa Yunus dalam keadaan seperti seperti biawak. Keadaan Yunus sangat menyeramkan, sudahlah seluruh badan berlumpur hingga ke muka, lidahnya terjelir-jelir macam biawak. Tapi, bagi aku, aku lihat Yunus seperti sedang menangis dan meminta tolong. Keadaan juga sunyi sepi, tiada sebarang unggas kedengaran, cuma bunyi nafas Yunus yang berat. Macam bunyi nafas orang lelah.

Pakciknya berdiri, mengangkat tangan berdoa dan mengambil kain pelikat lalu dikibas dengan kuat ke belakang Yunus. Mendengus Yunus kesakitan, dan pakciknya ulang sebanyak 3 kali. Selepas itu Yunus rebah. Cepat-cepat pakciknya memangku Yunus di dalam lumpur. Perlahan-lahan Yunus membuka mata. Pakciknya membaca doa pada air yang dibawa, dituang sedikit ke atas kepala Yunus. Selepas doa dibaca dan dihembus ke muka, Yunus muntah lumpur dengan banyaknya. Terbatuk-batuk Yunus sambil muntah selut yang sangat busuk. Makin lama, muntah lumpur Yunus semakin kurang. Kami hanya dapat memerhati, nak tolong aku tak tahan bau lumpur yang busuk tu. Pakcik Yunus juga suruh Yunus berkumur dengan air itu dan luahkan, jangan ditelan. Yunus buat semuanya seperti orang bodoh.

Pakcik Yunus biarkan Yunus duduk lepas Yunus tidak muntah lagi. “Assalamualikum warahmatullah hiwabarakatuh” pakciknya memberi salam. “Waalaikumsalam warahmatullah hibawarakatuh” jawab Yunus memandang pakciknya. “Baca sat surah al Baqarah hat tokwan suka baca kat hang” perintah pakcik Yunus, lembut tapi tegas. Yunus diam seketika, meludah kiri dan kanan, dan kemudian, dengan lafaz bismillah, Yunus membaca surah yang disuruh oleh pakciknya. Jujur, masa tu aku rasa sangat seram walaupun kalam Allah sedang dilantun. Macam2 bunyi boleh didengar di dalam hutan bakau tu. Paling menakutkan, kami dengar seperti pokok itu dipanjat dengan pantas. Tapi, tiada pun kami menyuluh ke atas. Lolongan anjing juga tak putus2 menambahkan ketakutan. Sepupu aku dua orang tetap tenang. Mereka biasa diganggu semasa di laut. Mungkin sudah biasa bagi mereka.

Selesai Yunus baca lima ayat tu, Yunus tunduk kemudian buka mata memandang pakciknya. “Yunuih” panggil pakciknya. “Ya, pakcik” jawab Yunus, lemah. “Dah, jom kita balik. Malam dah ni, nyamuk ngan agaih banyak. Jom” kata pakciknya lembut. Yunus yang nyata lemah berusaha bangun. Aku tolong Yunus bangun dan kami keluar dari hutan bakau tu. Kain pelikat yang pakcik Yunus guna, diikat pada sebatang anak bakau. Yunus guna kain tu untuk mengesat mulutnya selepas muntah.

Semasa berjalan keluar, di depan dalam kira-kira 10 langkah, dibalik akar pokok-pokok bakau, kami nampak satu sosok berkepala botak merangkak di dalam lumpur. Apa yang boleh aku gambarkan, dia bergerak seperti labah-labah. Tangan dan kakinya kurus dan luar biasa panjangnya. Bila dua2 lampu suluh dihalakan, pantas dia mengilangkan diri. Seluruh badannya berlumpur dan bila cahaya lampu tersuluh di muka, bola matanya memantulkan cahaya seperti mata kucing di dalam gelap. “Hang nak cari pasai dengan aku pulak ka!!” bentak pakcik Yunus.

Makhluk itu terus mengilang di dalam gelap. Pakcik Yunus berdiri membaca ayat Quran dan kemudian berkata “Jom. Hangpa baca bismillah, mulakan dengan langkah kanan dan jangan pandang belakang”. Aku yang memapah Yunus merasa tangan aku digenggam. “Dia dah lari masuk laut” bisik Yunus pada aku. Kemudian kami pun melangkah dan keluar dari hutan bakau tu. Yunus berdegil hendak naik basikalnya walau diajak pakciknya membonceng motor. Pakciknya seakan faham dan dia pulang dengan motorsikal.

Masa kami mengayuh basikal, Yunus memuji pakciknya. Semangatnya pun sudah seperti biasa, “Pandai orang tua tu. Dia suruh aku baca surah tu bukan pasai dia nak test aku. Sebab aku yang salah, akulah yang kena halau benda tu. Ayat aku baca tu dari surah Al Baqarah. Setan cukup takut dengan ayat2 tu. Ketika hampir sampai ke rumah pakcik Yunus, rumahnya sudah terang benderang. Kawan-kawan sekampung sudah banyak berkumpul di depan rumah dan ada yang datang menyambut kami di jalan.

Yunus diarah mandi, solat sunat sebelum dia dibenarkan jumpa kami. Sporting betul keluarga pakcik Yunus, bukan sahaja Yunus tidak dimarahi, kami yang berkumpul di depan rumah dijamu makanan dan kopi kampung yang pekat dan sedap. Malam tu, kami ramai-ramai tidur di beranda rumah pakcik Yunus. Berkongsi bantal dan selimut. Senyum saja pakciknya melihat telatah kawan-kawan anak saudaranya tu. Semangat setiakawan kuat dan utuh. Yang 4 orang tadi tu pun ada, minta maaf dengan Yunus kerana balik dahulu akibat marah disakat.

Dua tiga hari Yunus kurang sihat. Tak tahulah berapa bakul dia kena marah dan kena leter. Datuk dan neneknya juga sanggup datang dari Kedah melawat cucunya tu. Tekak, perut dan seluruh sendinya sakit2, tapi senyuman tak lekang dari bibirnya. Kawan2 sekampung tak putus-putus menziarahinya. Dalam bergurau, Yunus bisik kepadaku macam orang datang menziarahi jenazah pula ramainya.

Memang kejadian itu menjadi buah mulut sekampung. Banyaknya tekaan dan spekulasi, tapi Yunus dan pakciknya hanya tersenyum bila ditanya makhluk apa yang mengganggu. Tempat kejadian itu tidak dikunjung orang beberapa lama. Masing-masing takut nak lalu di situ walaupun siang. Aku dengar cerita, beberapa nelayan cina yang mencari ketam di kawasan tu teruk diusik lembaga hitam tak berkepala. Lintang pukang mereka lari. Kata orang, anak bakau yang diikat dengan kain pelikat itu lama-lama layu dan m**i.

Korang fikir Yunus berubah lepas kejadian tu? Jawapannya TIDAK. Degil bukan main si Yunus ni. Bukan nak serik. Tetap kuat menyakat dan mengusik, tak berubah. Selain dari datuk, nenek dan pakciknya, Yunus hanya cerita pada aku apa yang terjadi padanya. Yang bagusnya, Yunus gentleman pergi minta maaf pada semua orang atas perbuatannya. Setahu aku, perangai menyakat Yunus ini turunan dari neneknya. Aku banyak kali bertemu neneknya, tak pernah aku merasa jemu dengan kenakalan orang tua tu menyakat aku. Saling tak tumpah perangai dua bercucu tu. Lepas peristiwa ini, Yunus lebih banyak menghafal surah-surah Quran. Akulah yang untung, ada “guru” yang mempertulkan bacaan Quran aku.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Pak Engku
Rating Pembaca
[Total: 15 Average: 5]

13 thoughts on “Yunus – Bertemu Ruas”

  1. Allah..x jemu sy baca citar best cmni..pengalaman benar tu yg penting..kalau boleh jangan berhenti kongsi kisah2 mistik ye…

    Reply
  2. x penah mis cite dr penulis kisah Yunus nie.. terbaik.. moge terus cemerlang menulis kisah Yunus.. sangat seronok membace kisah dr penulisan anda..

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.