Assalamualaikum,
Bacalah, semoga anda mendapat gambarannya. Aku habiskan usia lebih kurang 18 dekat dengan Yunus sebelum Allah mengatur rezeki kami tidak sama di satu tempat…
Semasa solat, Yunus sahaja budak yang berada di barisan hadapan saf. Semasa menunggu masuk waktu Isyak, selamba Yunus duduk di tempat mandian mayat yang terletak tidak jauh dari kolam wuduk. Aku yang jahil mulanya tak tahu apakah gunanya ‘peti berlubang” itu. Bila Yunus beritahu, kelam kabut aku lari.
Yunus cerita kisah hidupnya semasa kami melepak di kedai kopi. Kedai kopi tepi sungai itu hidup dengan jemaah masjid di sekitar kampung-kampung berdekatan. Ibubapa Yunus meninggal semasa keluar membeli beras. Dilanggar lori. Masa itu Yunus masih bayi. Neneknyalah yang bertegas mahu membela cucu sulungnya. Dari kecil, Yunus diajar ilmu agama, ilmu Quran dan seni persilatan. Sedikit masa lagi, dia sudah boleh hafal seluruh isi Quran. Hebatnya engkau, sahabat. Jemaah masjid juga kenal dengan Yunus, dan selalunya kami makan minum percuma, kerana ada saja yang membayarnya untuk kami.
Dia tinggal di Pulau Pinang dengan Ayah Ngahnya (adik datuknya) selepas gangguan hebat yang terpaksa ditangani datuknya setelah pulang dari Thailand, kampung nenek Yunus. Untuk keselematannya juga, katanya kerana syaitan yang mengganggu sudah suka dengan Yunus. Ayah Ngah (atau Tok Ngah) juga jangan dibuat main. Sama hebat seperti abangnya. Sangat merendah diri dan mahir dalam ilmu patah tulang.
“Weh, esok mau dak kita pi lagi lombong tu?’ kata Yunus sambil menyedut minumannya. Segera meremang bulu tengkuk aku. Berlumba-lumba ingatan tentang petang tadi mengisi otak. “Aku takut la, Yunuih” jujur aku beritahu. “Esok Jumaat. Emak aku dah menyuruh aku menggembur tanah untuk tanaman keledeknya di belakang rumah selepas sekolah. “Sabtu pagi buleh la kot” terpacul janji dari mulut aku. “Ai ai kapten!” kata Yunus. Selepas sekolah esoknya, Yunus menolong aku menggembur tanah. Aku tak suruh pun.
Semasa menggembur tanah, Yunus bercerita mahluk yang dipasung itu ialah anak kepada seekor jin yang sedang merantau. Jin itu sudah menjadikan hutan getah itu tempat tinggalnya. “Nanti, bila makin panjang tanduk dia, dia akan lagi jahat” kata Yunus. Kalau dia dapat pasangan, semakin menjadi-jadi jahatnya. Tidak akan aman tempat itu kerana kawasan daerah kami waktu itu masih penuh dengan hutan. Hutan yang berhadapan dengan hutan getah itu, yang kebetulan juga kebun getah tinggal, dihuni seekor jin betina tua. Tiada tuan dan dia masih menjaga kebun tuannya yang telah lama dipanggil Tuhan.
“Hang buleh nampak depa ka Yunuih?” tanya aku kebingungan. “Insya Allah” balas Yunus sambil menyeka peluh. “Depa terang macam hang nampak aku ka? Atau kaboq (kabur) macam dalam cerita orang putih?” aku mula tertarik untuk tahu. Yunus diam, dan kemudian berkata, kalau kita boleh nampak semua makhluk halus, tak jadi kerja. Terlalu banyak. Dengan amalan dan doa tertentu, hanya makhluk halus yang Yunus hendak lihat saja, Yunus akan boleh lihat makhluk halus seperti dia melihat aku sekarang.
“Aku sebenaqnya nak suruh jin tu lari pindah tempat lain. Aku dah habaq kat Ayah Ngah. Ayah Ngah lagi mampu. Aku cuma mampu pasung dia saja, nak halau aku tak mampu” kata Yunus. Datang emak aku membawa minuman dan mihun goreng. Berselera Yunus makan. “Mak cik, mak cik jadi mak saya, buleh?” kata Yunus. “Buleehh… awat tak buleh pulak” meleret emakku tersenyum. Dan untuk pengetahuan pembaca, emakku sangat sayangkan anak angkatnya bernama Yunus, hingga kadang2 membuat aku rasa cemburu. Kalau beli baju, emakku akan belikan baju yang sama untuk kami, cuma berlainan warna.
Yunus cerita, pertama kali dia melihat jin itu ialah semasa dia berumur 10 tahun. Sengaja hendak mengusik Yunus yang baru pulang dari masjid. Jin itu membonceng basikal Yunus, dan memang berniat untuk menakutkan Yunus hingga Yunus cedera dan mungkin sampai Yunus maut. Setiap kali Yunus lalu, kawasannya akan teruk terbakar. Daripada pokok sentul yang paling besar dan tinggi dalam hutan getah itu, jin itu terpaksa menghuni pondok buruk yang dulunya tempat tinggal pekerja ladang getah itu. Diludahnya Yunus jin itu, terkena dahinya. Terbakar dan cacat, hampir buta sebelah matanya. Dendamnya kuat, tapi ilmu Yunus juga hebat. Dia hanya mampu memandang, tidak boleh menyentuh Yunus.
Dia mula tertarik pada aku kerana aku sering ke sana seorang diri. Tapi, dia juga tak boleh hendak dekat dengan aku. Alasan apa, Yunus enggan beritahu. Ada sekali, dia ikut aku di sekolah, nampak saja Yunus, kelam kabut dia menjauh. Aku jadi macam sasaran mudah kerana seperti menyerah diri kepadanya. Semasa aku pergi ke sana selepas acara pemilihan, dia sudah berada di atas pokok getah. Rancangannya digagalkan Yunus. Ada budak tingkatan 5 disorok oleh jin itu ketika lalu di situ seorang diri. Kasihan budak tingkatan 5 itu, menjadi seperti isim sehingga sekarang. Dia dijumpai anggota bomba di bawah pokok buluh dengan kaki yang kecut terendam di dalam air.
Hari Sabtu datang dengan cepat. Yunus sudah terpacul di muka pintu pagi-pagi lagi. Biasalah, dia akan dijamu oleh emak aku. “Mak masak apa pun sedap sangat” puji Yunus melangit. Terkekeh-kekeh emak aku melihat telatah Yunus yang sangat rindukan kasih sayang seorang ibu. Banyak Yunus makan, walaupun Omakngah (panggilan Yunus pada isteri Ayah Ngah) telah menyediakan sarapan yang jauh lebih gah dari nasi goreng emakku. Selepas mendapat keizinan emakku, kami ke bekas lombong itu, menuju tepat ke kawasan jin itu dipasung.
Mendekati kawasan itu, telinga aku sudah berdesing. Kadang-kadang terdengar seperti bunyi lembu melenguh. “Dia lah tu. Dia tau aku dah sampai” kata Yunus. Yang dapat aku gambarkan, bekas lutut Yunus itu seperti berkarat warnanya, dan melengkung masuk ke dalam. Sekelilingnya berwarna arang, hitam pekat. “Hang duduklah di situ sampai Ngah aku mai, baru hang tau nasib hang” kata Yunus memerhati bekas lututnya bertemu tanah itu. Pandangan Yunus tajam. Seram aku melihatnya. Teringin aku hendak bertanya Yunus, mahkluk itu bagaimana rupanya.
Allah itu Maha Bijaksana. Walaupun kita tidak nampak, masih terasa aura makhluk halus. Kita akan menjadi sedikit panas seperti udara panas menghambur dan menerpa badan. Serentak itu, bulu roma akan meremang, tanda makhluk halus itu dekat. Aku masih takut-takut ketika Yunus mengajak melepak di bawah pokok cenerai itu. “Tak payah takutlah wei. Kalau Allah tak izin, apa pun tak jadi” kata Yunus ringkas sambil duduk bersila, kemudian baring. Aku masih was was, memandang sekeliling. Yunus hanya ketawa melihat tingkah aku begitu.
Yunus berkata, sedikit masa sahaja lagi jika tidak dihalang, jin itu akan membuat onar. Kawasan masih berhutan memang tempat yang sangat disukai mereka. Aku berkata, di negeri orang putih, kami boleh berkhemah beberapa malam di dalam hutan tanpa rasa takut atau seram. Tidak pula diganggu oleh makhluk tak terlihat. “Ya kah?” tanya Yunus sambil melopong. Benar, di sana kalau kita lalu kawasan perkuburan pun, tidak akan terasa seram seperti di sini. “Kalau dah najis berat, binatang itu pun tahu kotor bersihnya” kata Yunus ringkas. Aku sampai sekarang tak faham apa maksud Yunus.
Setelah beberapa hari, Yunus datang ke rumah beritahu aku yang Ayah Ngahnya sudah ke tempat bekas lombong itu dan sudah membuang jin itu jauh dari kawasan barat daya. Mula-mula dia enggan, entah apa yang dibuat oleh Ayah Ngah, jin itu bersetuju tanpa syarat. Itulah yang Yunus beritahu aku. Ironinya, aku jadi takut ke situ selepas itu walaupun keindahan tempatnya sukar ditandingi. Aku seolah berada di alam lain di situ. Aku hanya akan pergi kalau Yunus ada. Atau dengan kawan-kawan sekampung yang lain mencari buah getah untuk dibuat main.
Sejak itu, Yunus sering saja bersama aku. Aku juga selalu melepak di beranda besar rumah Tok Ngah Yunus. Tok Ngahnya memeluk aku selepas Yunus menunjukkan persamaan di lengan kami. Lama dia peluk aku, dikucup atas kepala aku, dan dia nampak girang. Banyak pula celotehnya hari itu. Omakngah tersenyum simpul sambil berkata, Yunus sudah berjumpa “kembarnya”. Hubungan keluarga aku dengan keluarga Yunus menjadi erat.
Semasa aku ditemukan dengan datuk Yunus, melutut orang tua itu di depan aku. Semua yang melihat terpegun. Dipeluknya aku sampai sukar hendak bernafas, dan Yunus beritahu, keluar air mata datuknya. Nenek Yunus pula melopong selepas dibisikkan sesuatu oleh datuknya. Nenek Yunus sangat berprotokol dengan aku. Cakapnya lembut, dan selalu menundukkan kepalanya bila aku lalu, seolah aku anak raja seperti dalam filem P Ramlee. Sudah tentu aku tidak selesa. Bila neneknya datang ke Pulau Pinang dan ibuku membawa aku ke kubur emaknya (nenek aku), lama keluarga Yunus bertafakur di kubur. “Tolonglah jaga kubur ini seeloknya dan selalulah doakan dia” pesan datuk Yunus pada ibuku.
Jadi, secara tak langsung aku mendapat adik, sahabat, kembar dan rakan seperjuangan yang hebat, bernama Yunus. Keluarga Yunus juga sudah menjadi seperti keluarga aku. Anak isterinya juga bila berjumpa dengan aku yang fakir ini, sangat berhemah. Sangat menjaga tutur kata. Bila menyua cawan atau pinggan contohnya, sangat berhemah, aku pun susah hendak terangkan. Padahal, aku ini orang miskin yang gila-gila.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Asalamualaikum…pak engku umur brapa skarang?
Setiakawan yang tak boleh dibeli dgn wang ringgit..
Bila buku nak keluar, Pak Engku?
Dh xdak sambungan dh ka pak engku? Lama cerita yunus menyepi ni..
yeayy!! dah boleh komen..
Apa nama buku Pak Engku..?
Kenapa soalan2 Pak engku tak jawab..?
Nak tahu psal tanda yg sama tu.. Pastu 3 org yg yunus nmpk dkat blkg ku tu
yess habis jugak katam cerita Yunus & Pak Engku ! best bila baca cerita berdasarkan cerita benar , rasa macam berada dan lalui nya sendiri waktu baca , dan teringat dekat kisah² ayah dan mak kalau balik kampung jumpa sanak saudara rakan tauladan ayah . banyak jugak cerita dia orang pasal cerita seram dan lawak 🤣 .
Orng barat daya pulau pinang..saya pon asal dari sana…