#AhmadRusydi – Angka Akhir

Pernah tak, pada suatu hari bekerja yang biasa, kau pulang ke rumah pangsa yang kau duduki sendirian dan kau dapati susunan perabot yang selama ini hanya disentuh oleh kau, berubah.

Kau cukup pasti yang kerusi lengan ini sepatutnya berada di tepi tingkap ruang tamu dan bukannya di tengah-tengah laluan masuk. Dengan tangan masih pada tombol pintu, kau jengukkan kepala, meninjau ke segenap ruang.

Tiada sesiapa. Kau periksa pula tombol pintu. Tiada kesan dipecah masuk. Kau telan air liur.

Perlahan-lahan kau tolak tutup daun pintu. “Hello!” Panggil kau. “Siapa ada dekat sini?” Terasa janggal bertanyakan soalan itu di dalam rumah kau sendiri.

Kau tidak pasti samada ketiadaan sahutan itu membuatkan kau lega atau resah. Kau sentuh pad kerusi lengan di tengah laluan masuk itu. Sejuk. Tiada haba yang ditinggalkan. Kau terkebil-kebil sejenak sebelum kerusi lengan tadi kau seret semula ke tepi tingkap ruang tamu.

Dalam keadaan keletihan bercampur keliru, kau tanggalkan tali leher dan duduk bersandar di atas kerusi lengan tadi. Tangan kau mencapai alat kawalan jauh TV dari rak buku di belakang kau. Waktu itulah kau perasan, betul-betul di atas bucu rak tu terdapat sebuah buku berkulit tebal yang kau tak pernah nampak sebelum ni.

Kau capai buku itu penuh minat.

Tiada tajuk yang tertera pada kulitnya. Kau selak satu-persatu mukasuratnya. Kosong. Langsung tiada sebarang tulisan melainkan nombor mukasurat yang tertera pada bahagian bawah, kanan setiap mukasurat. Kau selak mukasurat terakhir. Nombor 545.

“Mungkin diari yang aku tak pernah pakai,” fikir kau lalu kau letakkan semula buku tadi ke atas rak dan capai alat kawalan jauh TV.

Kau petik butang pasang.

Sebuah drama petang sedang ditayangkan. Memandangkan kau bukannya nak sangat tengok TV, kau biarkan saja sementara kau lelapkan mata di atas kerusi lengan tadi. Di dalam benak kau bermain-main segala senario yang berlaku di tempat kerja hari ini. Kertas-kertas kerja yang kelihatan seakan sama setiap helaiannya. Meja berkomputer kau yang kayu alasnya semakin haus. Jam dinding yang asyik mengeluarkan bunyi detakan yang lebih kuat berbanding jam-jam dinding yang lain. Sehinggalah dalam keadaan tersentak, kau buka mata. Kau terdengar nombor 544 disebut dalam TV di hadapan kau. 544?

Kau tenung TV tu lama-lama. Masih drama petang yang tadi. Babak di mana seorang wanita sedang minum petang bersama rakan-rakannya yang sedang bergossip tentang seorang lelaki. Kau tunggu lagi kalau-kalau nombor tadi disebut semula. Sampai ceritanya habis, langsung tak ada dialog ‘bernombor’ yang disebut. Kau gosok-gosok belakang kepala. Mungkin kau terlelap sampai bermimpi. Tangan kau mencapai semula buku di atas rak di belakang kau tadi. Buat seketika kau tergamam.

Buku tadi dah tak ada.

Dari bahagian paling atas, sehinggalah bahagian bawah rak yang berhabuk tu kau cari buku kosong tadi. Memang tak ada!

Sambil mencekak pinggang, buat seminit kau pandang TV dan rak buku kau bersilih ganti. Kemudian kau melangkah masuk ke dalam bilik tidur, tanggalkan pakaian kerja yang berbau hapak dibasahi peluh dan buat keputusan untuk mandi. Mungkin dengan cuaca petang yang panas, kepala kau terlalu letih.

Air sejuk dari pancuran kau rasakan seperti penawar bagi segala kekusutan. Lama kau sekadar berdiri di bawah juraian air sebelum tangan kau mencapai botol syampu di atas para bercermin. Sepuas-puasnya kau syampu rambut kau yang kau rasa dah terlalu panjang untuk seorang yang bekerja. “Gaji nanti potonglah,” fikir kau sambil membilas saki baki buih syampu di atas kepala.

Belum sempat kau capai sabun pula, lutut kau terasa longgar sebaik sahaja kau terpandang, di atas lantai bilik mandi kau, gumpalan rambut kau sendiri yang membentuk tiga karakter. Seakan disusun.

543.

“Tak mungkin!” Kau pejamkan mata, menggeleng-geleng. “Apa makna nombor-nombor ni?” Kau tanya diri kau sendiri. Apabila kau buka semula mata, kau lihat semula gumpalan rambut tadi. Kau tersengih bodoh. Yang ada hanyalah sekadar gumpalan rambut gugur yang langsung tidak membentuk sebarang aksara.

Kau mengeluh panjang.

Kau luangkan masa sepanjang petang itu separuh menjangka yang kau akan terus nampak atau dengar nombor-nombor tadi. Tapi tidak. Tak ada nombor-nombor yang bermula dengan angka lima itu di mana-mana.

Sehinggalah kau terjaga pagi keesokan harinya. Jantung kau seakan terhenti detaknya sebaik kau menjeling ke arah jam loceng digital kau. Tepat jam 5:42 pagi.

Kau bangkit duduk di atas katil, tercungap-cungap. Dada kau terasa sakit. Pandangan mata kau langsung tidak beralih dari jam loceng tadi, menantikan angka itu berubah. Sangkaan kau meleset. Belum sempat angka pada jam itu berubah, skrin kecilnya terpadam. Seakan kehabisan bateri. Kau capai jam tersebut lalu mencampaknya ke arah pintu bilik. Berdentum, mengejutkan diri kau sendiri.

Pada waktu itulah kau tersedar, terdapat seseorang sedang berdiri di belakang pintu itu tadi. Kau cuma terlihat sekilas pandang. Betul-betul sebelum jam loceng tadi menghentam daun pintu. Kau kecilkan mata. Bilik itu terlalu gelap. Seluruh tubuh kau mengaku. Panik.

“Siapa?!”

Tiada jawapan. Kau tarik nafas sedalam mungkin dan cuba beranikan diri untuk bangun dan petik suis lampu. Sebaik sahaja kau berbuat begitu, kau terus menoleh ke belakang pintu, membuatkan kau tergamam. Betul-betul di dinding tempat di mana kau terlihat seseorang tadi terdapat lorekan yang agak dalam. Kau hampiri dinding itu. Kau lalukan hujung jari-jemari kau ke atas lorekan itu. Habuk-habuk simen yang melekat pada jari kau menandakan yang lorekan itu masih baharu. Namun apa yang paling mengganggu fikiran kau adalah, apa yang dilorekkan pada dinding itu.

Angka 541.

Pada waktu itu kau dah berada dalam keadaan yang terlalu panik sampai kau tak sedar yang kau sekarang sedang berlari menuruni tangga rumah pangsa dalam keadaan berbaju tidur. Jantung kau rasa macam dah berlanggar dengan tulang rusuk degupannya.

Sampai di tinggal paling bawah, lutut kau terasa luar biasa longgarnya. Kau duduk sebentar atas anak tangga, cuba menangkap nafas. Azan subuh yang berkumandang dari surau berhampiran membuatkan kau rasa selamat. Perlahan kau melangkah ke surau itu. Nasib baik saja baju tidur kau menutup aurat. Tidak melayankan pandangan hairan orang-orang surau terhadap baju tidur berbelang kau, kau ikut solat sama.

Selesai solat, kau beranikan diri untuk buat keputusan pulang ke rumah. Langkah kau terhenti sejenak di hadapan anak tangga paling bawah. Kau dongak memandang lima tingkat anak tangga yang harus kau daki. Keadaan terlalu sunyi memandangkan hari ini hari Sabtu. Hari cuti.
Dengan satu keluhan berat kau mula melangkah menaiki anak tangga satu persatu. Sambil itu kau cuba mengingati samada kau sempat kunci pintu rumah atau tidak. Memandangkan langsung tak ada apa-apa dalam kocek kau, kau cukup yakin yang pintu rumah kau tak berkunci.

Sampai di tingkat lima (tingkat paling atas), kau susuri kaki lima yang sarat dengan selipar-selipar jiran, basikal-basikal beroda empat dan pasu-pasu bunga yang sudah kering. Sampai sahaja di hadapan pintu rumah kau, kau tergamam. Kau telan air liur. Nombor unit yang tertera di hadapan pintu kau, kau tatap macam itu kali pertama kau pandang benda tu. Unit 5-4-0.

Dengan tangan terketar-ketar kau capai tombol pintu. Ya, memang tidak berkunci. Kau pulas dan tolak daun pintu cukup perlahan. Kau separuh menjangka yang kerusi lengan kau akan beralih tempat semula. Minda kau dah bersedia untuk apa sahaja perkara pelik sejak semalam.

Kerusi lengan itu masih di tempatnya. Tepi tingkat ruang tamu, hadapan rak buku. Kau menghembus nafas lega.

Nombor-nombor yang kau lihat sejak semalam masih berlegar-legar dalam minda ketika kau mengacau air kopi susu di dapur. Kepala kau jadi kusut! Kau pejam mata, cuba menumpukan perhatin. Bagi kau yang paling menggerunkan adalah lorekan pada dinding belakang pintu bilik kau tu. Apa yang kau nampak di belakang pintu tu sebelum kau campak jam loceng tadi? Perkara tu membuatkan kau rasa terlalu takut untuk melangkah masuk ke dalam bilik tidur.

Bertemankan secawan kopi susu, kau duduk atas kerusi lengan. Butang alat kawalan jauh TV kau petik. Rancangan-rancangan pagi itu tidak lebih dari sekadar mengisi slot-slot kosong. Langsung tak ada apa yang menarik. Atau mungkin kerana sejak dari tadi kau tak tumpukan perhatian sangat pada TV tu pun. Mata kau asyik menjeling ke arah pintu bilik tidur kau yang tertutup. Kau cukup pasti sebenarnya, yang kau tak tutup pun pintu tu masa keluar tadi.

Cawan kopi dalam tangan kau hirup perlahan. Mata kau asyik menjeling ke luar tingkap pula. Menanti sinar pagi hari Sabtu.

Jam sudah menunjukkan pukul 7:30 pagi. Hari di luar pun dah cerah. Kau letakkan cawan kosong kau di atas meja kopi di hadapan kau. Berkira-kira sejenak sebelum kau bangun dan melangkah ke arah pintu bilik tidur. Buat beberapa saat kau sekadar berdiri di hadapan pintu tu. Menilai.

Tombolnya kau pulas perlahan. Daun pintu kau tolak, melimpahkan cahaya dari ruang tamu ke dalam ruang gelap itu. Kau melangkah masuk. Udara di dalam bilik itu terasa padat. Cepat-cepat kau ke arah tingkap bilik tidur tu. Langsirnya kau selak laju. Mata kau terus tertancap pada lorekan di belakang pintu tadi. Masih ada lagi. Tiba-tiba…

PRANGGG!

Kedengaran derakan kaca pecah dari arah ruang tamu. Kau tergamam. Jantung kau kembali berdegup kencang. Kau cuba ingat semula kalau-kalau cawan kopi tadi kau letak atas bucu meja. Tidak. Kau letak betul-betul di tengah meja. Itu memang tabiat yang diajar oleh orang tua kau sejak dari kecil.

Teragak-agak, kau melangkah perlahan ke arah ruang tamu. TV yang masih terpasang mengurangkan sedikit rasa seriau kau. Tapi sebaik sahaja terlihat serpihan-serpihan kaca yang pecah di atas lantai, langkah kau terhenti. Cawan kopi kau pecah betul-betul menghadap ke arah bilik tidur. Seakan ada sesuatu yang cuba untuk masuk ke bilik tidur kau dan terlanggar cawan tu.

BAMM!

Kau melompat menutup telinga. Pintu bilik tidur di belakang kau tiba-tiba tertutup. Tak perlu sebut tentang angin. Memang tak ada angin pun waktu tu.

Ini sudah melampau.

“539… mana 539?” Seakan teringat tiba-tiba, kau menggagau ke merata arah cuba untuk mencari angka 539 pula. Jika betul nombor-nombor tu merupakan kiraan turun bagi sesuatu, itulah turutannya. Kau perhati serpihan-serpihan kaca tadi… langsung tak menggambarkan angka-angka tersebut. Kau tengok pula nombor-nombor yang tertera sekali-sekala dalam rancangan TV. Tak ada juga. Sampailah tiba-tiba kau dengar suara seseorang sedang tergelak kecil dari dalam bilik tidur. Kau telan air liur. Perlahan-lahan kau menoleh ke arah pintu bilik tidur kau.

“539 dekat sini…” suara seorang kanak-kanak datang betul-betul dari balik pintu bilik tidur tu.

Itulah perkara terakhir yang kau ingat sebelum semuanya menjadi gelap…

Sinar berbahang cahaya matahari yang menyinar tepat ke arah mata membuatkan kau terjaga. Dalam keadaan mamai, kau jeling jam dinding atas TV. Pukul 1:30 petang. Kau jeling ke arah pintu bilik tidur kau pula. Masih tertutup. Untuk kau buka pintu bilik tu adalah sesuatu yang mustahil. Apa pun, kau kena keluar dari rumah tu dan mungkin kembali dengan teman. Baju tidur pun baju tidurlah.

Kau bangkit, bersedia untuk melangkah keluar sebelum langkah kau terhenti di tengah-tengah laluan masuk. Kerusi lengan kau tergeletak betul-betul di tengah laluan tu. Kau toleh semula ke depan TV. Ruang yang sepatutnya menempatkan kerusi lengan kau kosong. Kau telan air liur. Kunci kereta kau tergantung betul-betul di sebelah pintu masuk di hadapan kau. Perlahan-lahan, kau alihkan kerusi lengan tu dan capai kunci kereta. Kau capai tombol, bersedia untuk keluar. Tapi di dalam fikiran kau masih tertanya-tanya… macam mana rupanya nombor 539 dalam bilik kau tu? Atas cermin muka? Tompokan d***h atas katil? Entah kenapa kau rasa kau perlu tahu. Seakan nombor 539 tu memanggil-manggil kau. Kau cuba untuk melawan. Tombol pintu masuk kau pulas laju. Tersekat. Kau pulas lagi. Langsung tidak bergerak. Kau terkebil-kebil sebelum di belakang kau, kau terdengar bunyi keriutan daun pintu terbuka. Kau menoleh perlahan. Seperti yang kau jangka, pintu bilik tidur kau terkuak terbuka.

“539…” fikir kau, “539…”

Sewaktu kau berjalan perlahan ke arah bilik tidur semula, kau tak pasti samada kau betul-betul melihatnya, atau sekadar biasan cahaya, kelihatan seperti kelibat seorang kanak-kanak sedang berdiri di dalam bilik tu. Keadaan di dalam bilik tu cukup gelap. Kau tertanya-tanya kenapa langsir bilik tidur yang kau dah selak tadi kembali tertutup semula. “539?” Panggil kau pula.

“Ya, 539…” sahut suara seorang kanak-kanak dari dalam bilik tu. Kau tersenyum.

29 hari kemudian…

BANTING: Seorang penjawat awam lelaki, 26, ditemui m4ti di dalam unit rumah pangsanya di sini petang kelmarin. Mayat mangsa yang sudah mula mereput ditemui di dalam bilik tidurnya selepas kira-kira tujuh hari dan berada dalam keadaan berbaju tidur. Berdasarkan kenyataan pihak berkuasa, punca kem4tian yang dikenalpasti adalah kerana kehilangan d***h. Pihak berkuasa mengesyaki bahawa terdapat sindiket yang mencuri d***h mangsa berhubung ketiadaan kesan d***h di mana-mana bahagian unit rumah pangsa tersebut kecuali pada luka di atas dahinya yang kelihatan seakan-akan angka kosong. Pihak polis juga menemui beratus-ratus lorekan nombor pada dinding dan perabot-perabot bilik tidur tersebut. Berdasarkan siasatan yang dijalankan, pihak polis mendapati bahawa lorekan-lorekan tersebut dihasilkan dengan menggunakan kuku mangsa sendiri, berikutan kesan habuk kayu dan simen yang ditemui dalam celahan kuku mangsa. Namun begitu, terdapat tiga angka paling besar yang dilakar di atas siling bilik tersebut menggunakan d***h yang bukan dari tubuh mangsa. Menurut pakar typografi, aksara bagi angka 539 tersebut mempunyai struktur dan gaya tulisan yang berbeza.

Maksud bagi angka-angka tersebut masih belum dikenalpasti.

-Tamat-

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

AhmadRusydi

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 5 Average: 4.6]

20 thoughts on “#AhmadRusydi – Angka Akhir”

  1. misteri yang menghiburkan. Penceritaan menarik. Kiranya “Kau” m**i kerana makhluk tu yang hisap d***h dia? Punca berlaku?sebab kenapa dia yang m**i? kenapa tidak jiran dia or anyone else? mesti adakan? so harap ada sambungan mengenai misteri ini.

    Reply
  2. Pening nk baca.. 2-3 kali cuba baca.. tp xbole nk hadam… baca sekerat je sbb hilang nafsu nk baca sampai habis… bila penulis terlalu bijak bercerita… kekadang penulis kena faham xsemua pembaca level pemikiran sama dgn penulis… peace yo…

    Reply
  3. Sangat misteri . Best ! Walaupun cerita ni susah nak faham , aku tetap usaha sampai aku faham and finally , wow ! Satu cerita yang sangat menarik dan misteri dan seram . Tahniah untuk penulis .

    Reply
  4. #Ahmadrusydi..antra pnulis yg aku suka bca critanya…Dia pnya tingkt imgnasi yg tngi..sllu buat kita rsa ingn tahu…

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.