Aku dan Perpustakaan

Assalamualaikum warga FS dan juga admin FS. Kali ini aku nak berkongsi cerita mengenai pengalamanku dengan satu lagi hobiku, lepak di perpustakaan.

Aku ditawarkan untuk sambung belajar di salah sebuah pusat pengajian di Selangor. Bila sampai ke tempat yang ditawarkan ini, beberapa kali ku telan air liur, mana taknya, tempatnya agak terpencil walaupun di sekeliling kawasan itu berderet rumah pangsa. Dalam hati terdetik, betulkah ini tempatnya? Yang cuma ada beberapa bangunan sahaja dan suasananya suram. Akhirnya aku faham, kami cuma ditempatkan disitu untuk matriks dan 1st year degree sahaja, kemudian akan dihantar ke universiti tempatan ataupun luar negara. Course di sini juga tak banyak, kami gelarkan puak-puak yang ada di sini seperti ini; Ausmat, A Level, TESL, Jepun, dan Korea. Untuk satu batch dan course, pengambilan pun tak ramai, dalam 150 orang sahaja. Café pun ada satu, perpustakaan pun tak besar mana. Tempat tinggal dan tempat belajar di kawasan yang berbeza. Ada yang di seksyen 6 dan ada yang di seksyen 18.

Walaupun tempat tinggal dan tempat belajar agak jauh, ianya tidak menjadi masalah bagiku yang suka lepak di perpustakaan, almaklumlah bas ada disediakan. Perpustakaan di tempat belajarku agak terpencil di bahagian belakang bangunan. Bila tiada latihan softball atau kebudayaan, perpustakaanlah menjadi tempat ku menghabiskan waktuku sehingga malam. Keadaan ‘creepy’ di perpustakaan selalunya bermula dari pukul 5 petang hingga ke malam. Beberapa kejadian berlaku di sini, tetapi padaku itu lumrahlah, di mana-mana pun akan ada makhluk lain selain dari kita. Aku kongsikan beberapa darinya.

Cerita 1.

Pada suatu malam ketika hendak menyiapkan assignment yang diberi, aku dan beberapa orang sahabatku rancang untuk stay di perpustakaan sehingga perpustakaan tutup. Ketika mencari bahan assignment, aku ke bahagian arkib journal (tempat yang disiang hari dijaga oleh pustakawan, tapi bila malam tiada pustakawan yang jaga). Tempatnya agak terpencil dari tempat duduk yang ada di dalam perpustakaan. Seperti biasa bila malam, bahagian arkib itu seperti akulah yang punya, ku buka sendiri sliding door bilik itu dan mula mencari bahan yang aku perlukan. Bilik ini penuh dengan rak-rak ‘mobile’, yang perlu ditolak untuk mencari bahan bacaan. Jadi bila ditolak satu bahagian rak, bahagian lain akan tertutup.

Ketika sedang asyik menyelak-nyelak journal sambil melangkah keluar dari rak, pada langkah yang akhir tiba-tiba rak di belakangku tertutup, dihempas kuat bunyinya. Melompat sedikit aku ke depan. Hairan, perkara itu tak pernah terjadi. Nasiblah rak itu tertutup ketika aku sudah keluar, kalau tak, berkemungkinan besar aku akan tercedera. Hati masih tak puas lagi, aku letak journal di atas tangga bergerak yang ada (tangga yang memudahkan untuk mencapai journal di tingkat atas). Aku cuba gerak-gerakkan rak tersebut.

Tak puas hati sebab tak pernah kejadian seperti itu berlaku. Sedang leka meneliti rak-rak itu, dua coursemates ku datang bertanyakan tentang bunyi yang kuat itu. Mereka ingatkan aku mengamuk sebab tak jumpa bahan yang aku cari. Ku terangkan kejadian yang baru sahaja berlaku kepada mereka, mereka pun cuba untuk menggerakkan rak tersebut,

“Tak logik akal eh Nami. Banyak kali cuba, benda ni takkan terhentak kuat,” Ida sampai tertunduk-tunduk untuk lihat di bawah rak.

“Tu lah pasal..” aku juga ikut sama tertunduk-tunduk. Nia yang ikut sama dengan Ida tadi hanya memerhatikan sahaja kami.

“Eh korang..” tiba-tiba Nia bersuara. Kami segera bangun dan berpaling kepadanya.

Cantik sahaja kami berbuat begitu, rak itu bergerak pantas tertutup seperti dihempas. Kali ini kami bertiga serentak menjerit.

“Nasib kau panggil, Nia.. kalau tak kepala kitorang tersepit kat rak tu,” Ida mengurut dadanya.

“Aku panggil sebab tiba-tiba rasa macam ada benda belai belakang aku..” pucat muka Nia.

“Ah.. sudah..,” segera Ida menarik tangan aku dan Nia untuk tinggalkan ruang arkib itu.

“Jap..jap..” aku tarik semula tanganku bila teringatkan journal yang ku letak di atas tangga tadi.

Tiada. Terpaku aku sekejap.

“Kau dah kenapa ni?” soal Ida.

“Tadi ada journal aku letak kat atas tangga ni..” jawabku.

“Dari kitorang masuk tadi takde apa-apa pun kat situ,” Nia pula bersuara.

Kali ini dia yang menarik tangan kami kuat untuk berlalu dari situ. Sempat aku menjeling ke arah bilik arkib semasa ditarik Nia, ada kelibat putih sedang duduk di atas rak-rak itu. Tak dapat nak tengok dengan lebih jelas kerana Nia menarik tanganku untuk berjalan dengan lebih laju.

Bila kami tiba ke meja kami, Wiz, seorang lagi coursemate yang ikut sama untuk buat assignment sedang lena tidur. Disisinya cantik terletak journal yang ku letak di atas tangga.

“Eh.. nilah journal yang aku letak kat tangga tadi,”berkerut dahiku.

“Bukan kerja Wiz ni.. ambil journal kau ni.. dari tadi masa kitorang tinggalkan dia, dia tidur.. penat main badminton dia cakap,” kata Nia berbisik.

“Hmmm.. ada yang nak membantu aku tapi dalam masa yang sama nak bergurau,”kata hatiku.

Cerita 2.

Semasa kami di tahun akhir matriks, perpustakaan diubah suai (dibesarkan). Dalam proses pengubahsuaian itu ada berlaku satu kemalangan. Dinding perpustakaan yang sedang dibina runtuh. Kuat sungguh bunyinya, kami yang berada di dalam kelas ketika itu berlari keluar. Seorang pekerja kontrak meninggal dunia kerana dihempap dinding tersebut. Kelas serta merta dibubarkan kerana lecturer kami turut ke tapak pembinaan untuk membantu mengalihkan dinding batu-batu yang runtuh itu. Kami cuma dibenarkan melihatnya dari jauh. Keesokkan harinya, lecturer kami memberitahu, mangsa bukan sekadar dihempap dinding, kepalanya juga turut tertusuk besi panjang.

Tak lama selepas itu perpustakaan siap diubah suai, tetapi waktu operasinya berubah, sehingga ke pukul 5 petang sahaja. Agak menyusahkan kami untuk membuat assignment. Setelah dirujuk perkara ini ke head of programme, barulah waktu operasi perpustakaan kembali seperti biasa, tetapi tak semua bahagian dibenarkan masuk. Ada dinding cermin dari kawasan arkib ke bahagian belakang yang baru dibuat. Tempat itu akan dikunci bermula dari jam 5 petang. Bila ku tanya pada pustakawan, jawabnya besar sangat nak jaga sampai malam, cukup-cukuplah kawasan depan ni untuk study. Buku-buku yang ada dalam tu pun buku-buku lama katanya.

Sehinggalah pada suatu malam, aku sedang mencari buku di rak yang berhampiran dengan dinding kaca yang memisahkan perpustakaan baru dan lama. Tiba-tiba kedengaran seperti bunyi orang mengetuk-ngetuk dinding tersebut. Perlahan-lahan aku intai ke arah itu. Rupanya ada seorang student sedang menekap mukanya ke cermin itu sambil mengetuk cermin. Cari nahas betul.

Aku tak pergi dekat padanya, jarak antara kami ketika itu adalah dalam tiga meter (ku undur sedikit ke belakang dari rak tempat ku intai). Kenapa ku undur? Kerana di sebalik dinding kaca yang budak ni lekapkan mukanya, berdiri satu makhluk yang sedang merenung gelagatnya dengan muka penuh kemarahan. Bajunya penuh berhabuk dan ada besi yang melintang menyucuk kepalanya. Pemandangan yang di luar jangkaanku, sebab sudah agak lama juga aku tak nampak benda-benda sebegini selepas seorang coursemate ku bawa aku berjumpa pakciknya untuk tutup mata batinku.

“Wei.. budak.. kau buat apa kat situ? Jangan mengarut boleh tak?” aku cuba memanggil student tu supaya berhenti menekapkan mukanya di cermin dan berhenti mengetuk cermin itu.

“Kak..”dia toleh padaku.

“Ada benda tau kat dalam sana. Aku cari buku kat rak tepi ni, asyik dengar dia ketuk dinding kaca ni aje,” ketika ini dia sedang berdiri menghadapku. Syidi, junior aku rupanya.

“Yang kau layan, lepas tu sampai lekapkan muka kat cermin kenapa?” soalku.

“Sebab aku tak nampak apa-apa pun kak,” balasnya sambil tangan kirinya kembali mengetuk-ngetuk kembali dinding kaca itu.

Kali ini makhluk itu mungkin geram dengan tindakan Syidi, dia merapatkan diri ke dinding kaca itu, badan dan kepalanya yang tertusuk besi itu dilaga-lagakan ke dinding kaca, bergegar jadinya dinding itu. Terkejut Syidi, segera dia berlari ke aku.

“Nampak tak dinding tu bergegar kak?” soalnya.

Aku hanya mengeluh dan menyuruhnya meninggalkan tempat itu.

Sejak dari itu, aku sering ternampak makhluk itu berlegar-legar di hadapan pintu dinding kaca tersebut, tapi ku biarkan sahaja. Kadang-kadang bila ternampak student duduk bersandar pada dinding kaca itu di waktu malam sambil membaca buku, cepat-cepat aku akan meminta mereka beralih ke meja yang disediakan, kalaulah mereka nampak makhluk yang sama duduk dibelakang memerhatikan mereka, mahu pengsan rasanya nanti.

Cerita 3.

Aku selalu juga ke bahagian perpustakaan yang baru pada waktu percuma di siang hari. Seperti yang dikatakan oleh pustakawan, bahagian baru dibelakang menempatkan buku-buku lama. Aku suka baca buku-buku lama sebab bila selak bukunya, helaian kertas buku itu ada bau yang sedap padaku. Hehe. Di ruangan ini tak ramai orang yang ada, kerana buku-buku terkini semuanya ada di bahagian perpustakaan lama dihadapan. Ketika itu aku berada di kawasan buku melayu klasik, mencari buku Hikayat Amir Hamzah.

Seperti biasa, raknya bercantum depan dan belakang, jadi jika ada orang yang sedang mencari buku di rak depan, kita akan perasan keberadaan orangnya. Jadi ketika aku sedang mencari-cari buku yang dihajati, terperasan ada juga pergerakkan di rak bertentangan denganku. Bila ku capai buku yang tersusun, orang itu pasti turut serta ambil buku di rak hadapanku, sama pula kedudukan buku itu. Pada mulanya aku rasakan perkara ini kebetulan, tetapi bila sudah masuk tiga buku keadaannya sama, aku mula curiga.

Sengaja aku selak-selak helaian buku yang ku pegang, tempo selakannya ku buat secara rawak, sekejap laju, kemudian perlahan, eh… sama dan tak ada silap pula rentak dia mengikut selakkanku. Segera aku meletakkan buku kembali ke rak, terasa hujung buku kami berlaga apabila ‘dia’ juga meletakkan buku di rak hadapan. Kemudiannya aku nekad, aku akan berjalan sehingga ke hujung rak sambil menepuk-nepuk deretan buku di rak, sengaja berbuat begitu, agar ku pasti ‘dia’ ada mengikut ku dan telahan ku betul, bunyi dan getaran buku ditepuk juga ada dari rak hadapan itu.

Semakin dekat di penghujung, rasa semakin berdebar, tetapi kerana perasaan ingin tahu, geram tapi dalam masa yang sama takut lebih menguasai diri, aku cuba berlagak tenang. Apabila tiba di penghujung rak, secepat yang boleh ku berpusing menghadap ke rak hadapan. Dalam hati memang nekad, nasiblah apa yang ada di hadapan, kalau orang biasa, pastinya dia takkan sempat lari, dan jika bukan orang dan ‘dia’ jelmakan diri depanku, ku hadap ajelah. Apa yang ada di hadapanku ketika itu?

Alhamdulillah, tiada apa-apa, kosong. Tiada orang mahupun makhluk lain. Aku mengurut-urut dada dan beristigfar. Apabila aku mengundurkan diri beberapa tapak ke belakang, tiba-tiba beberapa buku dari rak di hadapanku jatuh bertaburan seperti di tarik. Kali ini aku tak tunggu, terus aku jalan tinggalkan tempat tersebut.

Jika ada yang tertanya-tanya, kenapa aku tak mengendap sahaja siapa yang berada di rak hadapan itu dari celah-celah buku, jawapannya kerana aku tak mahu nampak mata yang lain juga mengendapku. Ye.. aku juga tahu takut, hahaha!! Kerana bab mata bertentang mata dengan entiti ni tak seindah bab mata bertentang mata dengan orang yang kau sayang. Cukuplah pernah sekali ku intai ‘dia’, ‘dia’ pun balas intai dulu.

Cerita 4

Adat zaman study, assignment memang melambak. Yang menyeronokkan buat assignment ni, bukan sahaja dalam bentuk helaian yang berpuluh-puluh, tetapi juga bila perlu buat lakonan, exhibition, public speaking, dan juga drama radio. Pengalaman yang tak dapat dilupakan sewaktu rakaman drama radio. Di fakulti kami tiada studio rakaman, yang ada studio hanyalah di fakulti A Level, itu pun cuma satu dan terpaksa menunggu giliran rakaman. Setelah skrip lulus dan sound effect (dulu buat sendiri bunyi yang nak digunakan) diluluskan oleh lecturer, barulah kami boleh book studio rakaman.

Terkena pula waktu yang available Khamis malam Jumaat. Sebenarnya grup aku boleh buat siang, tetapi dek kerana termakan pujukan housemates yang dapat malam, maka grup aku pun switch dengan grup lain yang dapat malam, jadinya kami serumah akan masuk studio rakaman pada waktu malam.

Rakaman grup kami dibuat selepas maghrib, selepas beberapa kali buat barulah semua berpuas hati, bila masuk giliran grup housemates, jam sudah menunjukkan pukul 9 malam. Memandangkan aku bosan di dalam studio, ditambah pula dengan bau kaki dan stoking yang mengembangkan lubang hidung dan tekak, ku mengambil keputusan untuk ke perpustakaan.

Jarak di antara perpustakaan dan fakulti ini tidaklah berapa jauh, dalam 10 minit perjalanan. Sepanjang perjalanan tiada apa-apa yang berlaku walaupun pemandangan persekitaran agak menyeramkan (aku tak tahu idea siapa tanam pokok beringin di sekitar fakulti A Level dan TESL ni.. siap akar bergayut-gayut dan batang pokok yang menyeramkan).

Apabila tiba di perpustakaan, aku terus ke bahagian multimedia, mahu menggunakan komputer untuk check email ku. Di sini tak banyak komputer yang disediakan, semua komputer menghadap empat penjuru dinding, lima di setiap penjuru. Tak ramai orang yang menggunakan komputer sewaktu aku tiba, lima orang sahaja. Aku memilih untuk menggunakan komputer di sebelah pintu masuk bilik multimedia, senang untuk nampak housemate ku bila mereka sudah habis rakaman (aku pesan untuk panggil aku di perpustakaan bila habis rakaman).

Sedang asyik membaca dan menyemak email ku, tiba-tiba ada mesej yang masuk di skrin komputerku,

“Lama tak nampak, saya tunggu awak lama”

Terkejut juga aku bila mesej itu masuk. Ku toleh ke belakang dan melihat umat-umat yang ada di dalam bilik itu. Bila ku lihat masing-masing sibuk dengan kerja masing-masing, aku pun memutuskan mungkin salah seorang dari mereka ini ingin bergurau denganku, almaklumlah, sama-sama tengah bosan dan stress siapkan assignment.

“Jangan toleh belakang,nanti nampak saya”

Eh.. keluar lagi mesej ini. Aku sekadar padamkan mesej itu dari skrin komputerku. Malas nak layan cara berkenalan yang semacam ini.

“Awak”

Keluar lagi mesej dari entah siapa ini, mengganggu aku yang sedang membaca email dari lecturer ku.

Ku padam mesej itu.
“Awak”

“Awak”

“Awak”

Itulah berulang kali yang keluar setiap kali aku padam mesejnya. Aku geram juga akhirnya, apabila mesej terkini masuk, aku tak padamkannya, tetapi cepat-cepat aku toleh ke belakang, tapi skrin setiap yang ada disitu tertera kerja-kerja yang sedang mereka buat. Tapi orang yang ada di dalam bilik bersamaku tadi kurang seorang, mustahil aku tak perasan dia keluar kerana aku betul-betul duduk di tepi pintu. Tak puas hati, aku pergi dan bertanyakan hal itu kepada orang yang duduk bersebelahan dengan tempat yang sudah tak berpenghuni itu.

“Mana budak perempuan yang duduk sebelah awak tadi?”

Berkerut muka orang yang ku sapa tu.

“Mana ada orang, saya sorang-sorang dari tadi,” balasnya. Aku dijeling tajam.

Ah.. sudah.. tadi ada seorang perempuan duduk bersebelahan dengannya.

Hati makin tak sedap, aku kembali ke tempatku, sekali lagi aku pening, segala mesej yang dihantar terdahulu tiada, seolah-olah ku tak pernah terima sebarang mesej. Nak kata aku berhalusinasi, atau bermimpi, tak mungkin. Aku check bahagian history, tiada juga. Segera aku tutup komputer dan berlalu keluar dari perpustakaan, tengah tiada mood nak layan perkara-perkara mistik ni. Tetapi masa tolak pintu keluar library, abang pustakawan itu tegur,

“Tak tunggu sampai library tutup harini? Mana kawan yang datang saing tadi?”

“Kawan?” soalku.

“Ha’ah, kawan yang ikut belakang kau tadi. Dari maghrib tadi dia berdiri tepi pokok tu, abang ingat kenapalah sanggup berdiri aje kat situ, rupanya dia tunggu kau eh? Tapi nampak pula dia jalan eh, kalau abanglah.. dengan rambut tutup muka, jalan tunduk macam tu, memang tak nampak jalan. Lagilah malam macam ni.”

Tersenyum kelat aku dengar kata-kata abang pustakawan tu. Terbantut niat nak berjalan semula ke studio. Terus aku lepak di tepi kaunter perpustakaan.

“Err.. tu bukan orang eh?” soal abang pustakawan tu.

“Bukan bang..” jawabku. Kali ini muka dia yang berubah pucat.

Begitulah antara pengalaman ketika menghabiskan masa di perpustakaan ketika zaman belajar dulu. Mungkin tak seseram mana pun, tetapi cukup untuk membuatkan hati ku berdegup kencang, peluh segala jenis jantina merecik keluar

Nami

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

29 thoughts on “Aku dan Perpustakaan”

  1. X seram ko kata .. aku yg baca ni pn dh rasa nk terkencing .. x ley imejin aku bnda yg mengekor ko dr pokok tu ..
    Tp rezeki bro tu la dpt tgk .. hahaa
    Btw best sgt cite ko. Nnti share la lg yer. Kipidap.

    Reply
  2. Terbaik. Mmg best, seram dan penceritaan yg teratur. Nota tepi, bangga dgn mereka yg rajin memeriahkan perpustaan. Tahniah.

    Reply
  3. terbaeekk cerita ni…walaupun aku bukan pelajar UITM dulu, boleh agak tempat ni di UITM sebab dulu selalu melepak sana…penunggu cermin itu masih ada lagi ker sekarang?

    Reply
  4. Silahkan di kunjungi ya kawan-kawan 100% Memuaskan
    > Hoki anda ada di sini <
    1 USER ID UNTUK SEMUA GAME
    Kami memberi bukti bukan Janji
    Daftar sekarang juga dan dapatkan bonus menarik dari kami :
    -Bonus Depo Bola 50% (New Member)
    -Bonus Cashback Bola 5% – 10%
    -Bonus Depo Casino 3%
    -Bonus Cashback Casino 5%
    -Bonus Rollingan Casino 0.7%
    -Bonus Depo Tangkas 5%
    -Bonus Referal Bola 3% MenangKalah teman
    -Bonus Referal Casino 1% MenangKalah teman

    PROMO BONUS 5% LIVE CASINO
    -SBOBET CASINO
    -ION CASINO
    -855 CASINO

    Info lengkap hubungi live support custumer service 24 jam di :
    PIN BBM : 7B2EC260
    PIN BBM : D8796C4C
    WHATSAAP : +66615620266
    LINE : mgmcash88

    Reply
  5. nami,
    “Sedang asyik membaca dan menyemak email ku, tiba-tiba ada mesej yang masuk di skrin komputerku:”
    mesej ni keluar dalam bentuk apa ye? yahoo messenger ke? atau Net Send?

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.