Salam warga FS. Terima kasih admin jika cerita aku disiarkan. Ni pertama kali aku menulis. Nama, watak, gambaran dan situasi ada yang aku tokok tambah agar tidak terlalu ketara. Mungkin tak berapa seram, namun boleh dijadikan iktibar.
1996.. Kisah sebuah ikatan yang terlerai. Bertunang atas dasar suka sama suka, berkenalan tatkala si jejaka menjadi jiran baru dikawasan perumahan si dara..
Hari pertunangan.. tempoh 5 bulan berkenalan membawa kakak dan Isa melangkah ke 1 fasa kehadapan. Semua berjalan lancar, majlis dihadiri keluarga terdekat serta 20 orang wakil dari pihak lelaki. Tiada penetapan tarikh perkahwinan.
“Kakak minta tempoh, masih nak sambung study lepas ni”
“Tak ada masalah. Isa boleh tunggu”
Kedua keluarga setuju. Bermulalah episod kakak menjadi tunangan orang..
Isa seorang yang baik, pandai memasak dan bertukang. Sekali sekala datang ke rumah membawa makanan yang dimasaknya. Sering memberi kakak hadiah hasil ukiran kayu yang sangat cantik dan kreatif juga buatan tangannya sendiri. Penuh dinding bilik kakak dengan ukiran kayu, belum ditambah dengan bunga-bunga yang diberi setiap minggu.
Cukuplah diceritakan Isa kerja pejabat, standard waktu bekerja. Kakak pula hanya duduk dirumah, menunggu keputusan SPM. Maka setiap pagi dan petang menjadi rutin kakak menyapu dihalaman rumah, semata mata mahu melihat tunangnya yang menaiki motor pergi dan balik kerja.
Sebulan berlalu.. Tubuh kakak tiba – tiba saja mengalami gatal – gatal. Bermula dengan bintik – bintik hitam, kering seakan menjadi sisik, kemudian menjadi kudis di beberapa tempat. Puas ibu ayah berikhtiar perubatan moden juga perubatan islam. Kudis seakan cepat merebak. Sering aku melihat kakak menangis dalam solat, memohon kekuatan dan petunjuk dengan penyakit misteri yang dihidapi.
Wajah kakak yang dulunya bersih, mulus dan tidak berjerawat kini menjadi kusam, kering serta ditumbuhi jerawat bernanah. Semakin hari kakak semakin menjauhkan diri dari Isa, kakak penat dibawa berubat, kakak derita dengan segala yang terpaksa ditanggungnya. Namun Isa tidak pernah sedikit pun berganjak. Tetap saja setiap hari datang melawat dan kadang kala memasakkan makanan kegemaran kakak.
“Kakak tak mahu pergi.”
Keputusan SPM bakal diumumkan esok.
“Tak apa la kakak, biar ayah saja pergi nanti.”
Kakak rindu kawan-kawan, tapi kakak malu ke sekolah. 3 bulan kakak berkurung dirumah. Selain daripada sakit kulit, tubuh kakak juga semakin kurus dan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan. Alhamdulillah keputusan kakak cemerlang, memperoleh 5 A1 dan selebihnya juga cemerlang. Keputusan SPM kakak menguatkan kembali semangatnya untuk sihat. Kakak nekad mahu menyambung pelajaran. Menjadi seorang guru adalah cita-cita kakak dari dulu. Justeru, kakak kembali mahu meneruskan sesi perubatan islam yang telah terhenti beberapa minggu lalu.
Suatu malam, lebih kurang jam 9 malam. Aku berborak dengan kakak didalam bilik. Alhamdulillah, setelah 2 bulan menjalani proses perubatan islam, kakak beransur pulih. Namun kakak tiba-tiba saja menjerit kepanasan. Berlari keluar terus saja masuk ke bilik ibu. Kebetulan ayah tidak ada dirumah, terpaksa bekerja diluar kawasan. Menjerit, menggigil kakak minta dilepaskan. Seolah-olah kakak sedang diikat dengan sesuatu. Ibu yang sedang solat isyak terpaksa berhenti, segera memeluk kakak. Aku terkial-kial didepan pintu, tidak mengerti. Segera ibu meminta aku memanggil abang sulung yang sedang bermain gitar diluar rumah. Ibu kembali memujuk kakak yang tidak henti-henti menarik telekung ibu, meminta tolong agar dilepaskan.
Berlarilah kami dua beradik menuju ke bilik ibu semula. Aku perasan masa panggil abang, ada burung gagak hitam bertenggek dipagar rumah, entah datang dari mana. Abang berpatah balik, mengambil wuduk sebelum kembali ke bilik ibu. Dengan riak wajah tenang, abang laungkan azan dari depan pintu. Sekali sekala melirikkan matanya melihat kakak. Aku pula bersandar dibucu dinding, juga memerhatikan kakak yang kusut masai. Seperti bukan dirinya sendiri, sekejap menangis, sekejap ketawa, diselangi dengan meninggi suara ke ibu.
“HOIII!!” “PANAS!!!” “BODOH!!!”
Marah benar kakak pada ibu, pandangannya seakan ingin menerkam. Kakak sudah tidak lagi menarik-narik baju ibu. Hanya duduk bersila, tajam memandang tepat wajah ibu dihadapannya.
Sedang abang azan, kedengaran tingkap bilik ibu seperti dibaling-baling batu. Sesekali kedengaran seakan diketuk. Kakak tiba-tiba senyum. Aku berdiri berjalan ke tingkap untuk menyelak langsir. Berat rasa kaki, terketar-ketar tangan memegang langsir, aku takut! Kenapalah ibu suruh aku, getus hati yang berdegup kencang. Gagak tadi! Mematuk-matuk cermin tingkap seolah mahu masuk. Kakak ketawa kecil, pandangannya teralih kepada aku.
“Takut ya..?!”
Lebar senyumnya.
Soalan kakak membuat aku menggigil. Matanya merah sekali! Mungkin kerana airmata yang keluar sedari tadi. Seakan terkunci bibir untuk menjawab, aku tunduk tidak berani membalas pandangan.
Abang selesai azan 3 kali. Segera memasang ayat2 suci dan ruqyah melalui radio kecil. Ibu masih tidak berganjak duduk didepan kakak, sambil mulut berkumat kamit membaca ayatul qursi dan beberapa surah. Kakak masih begitu, seperti tadi. Sesekali meludah ke baju ibu, ibu tidak peduli. Aku pula masih berdiri. Bila berani datang, aku jenguk disebalik langsir melihat gagak yang masih mematuk tingkap. Abang membuat panggilan telefon, meminta bantuan seorang ustaz tempat kakak menerima rawatannya.
“KAU PANGGIL SIAPA UNTUK LAWAN AKU?! DIA AKU PUNYA! INI SALAH KAU SEMUA!”
Suara kakak berubah menjadi suara lelaki! Tiada siapa menjawab.
Kakak berdiri perlahan membuka langkah untuk keluar dari bilik ibu. Abang menghalang, segera menutup pintu. Entah dari mana kekuatan kakak datang, kakak tolak abang hanya dengan sebelah tangan. Abang rebah. Ibu menarik kakak sedaya upaya.
“Kakak!!! Sedar kak… Ini ibu!! Mengucap! Ingat Allah, kak..”
Airmata ibu tidak tertahan, akhirnya keluar juga. Kekuatan yang dikumpul sedari tadi runtuh melihat kakak seakan terkurung didalam tubuh sendiri. Kakak tolak ibu dengan kasar.
“KAU PUNYA SALAH!!”
Pandangannya sekali lagi tajam.
Kudrat kami bertiga belum cukup untuk mengalahkan kakak. Seperti orang sedang berkelahi, berusaha supaya kakak tidak keluar dari situ.
Kakak sudah didepan pintu. Saat kakak ingin memulas tombol pintu, kakak seakan sedang melawan dirinya sendiri. Tangannya sukar untuk diangkat.
“Tolong kakak, ibu….”
Suara itu berubah menjadi suara kakak kembali. Merayu agar dirinya ditahan supaya tidak lari. Dan sekali lagi kakak bertukar-tukar emosi, menangis diselangi marah dan mendengus. Kami hanya mampu menahan kakak, tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan.
Jam hampir ke pukul 11 malam. Handphone abang berbunyi. Ustaz Ali sudah pun sampai, hati aku lapang. Kakak semakin kasar.
Memandangkan kudrat abang lebih kuat daripada aku, maka akulah yang keluar buka pintu dan menjemput ustaz masuk, sedang abang dan ibu memeluk erat kakak agar tidak berlari keluar. Ustaz datang bersama sahabatnya, mereka berenam. Namun hanya 4 orang masuk ke rumah, Ustaz Ali, Ustaz Mat, abang Baim dan abang Lan. 2 orang lagi menunggu diluar mahu melihat sekeliling rumah dan burung gagak tadi selepas aku memberitahu ada gagak hitam mematuk-matuk tingkap bilik ibu. Aku diarahkan menutup pintu tanpa dikunci.
Rumah kami tidaklah besar, sederhana. Ruangtamu, 4 bilik ditengah, dan dihujung sekali dapur, boleh juga ditembusi terus dari ruangtamu kerana dapur berbentuk L. Untuk ke bilik, hanya ada 1 lorong ditengah. Dari ruangtamu, bilik ibu merupakan bilik paling hujung, berhadapan bilik abang.
“Adik pergi hidupkan semua lampu dapur dulu”
Arah ustaz Ali.
Abang Lan mengekori. Di sinki dapur, aku terkejut melihat kelibat manusia berdiri membelakangkan kami. Aku seperti kenal susuk itu tetapi aku tidak tahu siapa. Kakiku kaku.
“Sa.. ya.. takut abang Lan”
“Tak apa, abang teman. Jangan tegur”
“Su.. su.. suiz di.. di.. di.. kiri”
“Istigfar, tundukkan pandangan. Jangan pandang situ”
Dalam samar-samar aku menekan semua suis yang ada. Lampu, kipas, semuanya. Ahh aku tak peduli. Aku ingin segera beredar!
Mataku melirik semula ke sinki, susuk itu hilang!
“ALLAHUAKBAR.. ALLAHUAKBAR……..”
Ustaz Mat dan abang Baim serentak melaungkan azan.
Ustaz Ali melempar sesuatu yang kukira garam kasar bercampur dengan bijian lada hitam dari depan pintu bilik tepat menuju ketubuh kakak.
“SAKIIITTT!! KAU SEMUA TIADA KAITAN DENGAN AKU!! DIA AKU PUNYA!!”
“AAARRRGHHHHHHH!!!!”
Suara kakak jelas kedengaran hingga ke luar bilik. Semakin kuat, begitu juga tenaganya meningkat. Terkapar-kapar tubuh kakak, terbaring kesakitan. Sesekali dia bangkit untuk melawan. Kedengaran bunyi dinding, almari pakaian dan meja solek ibu ditendang, dilemparkan barang, tempat tidur ibu ayah juga habis disepahkan. Aku dan abang Lan segera menuju ke bilik ibu. Melangkah laju, ingin cepat membantu. Sampai di lorong bilik, sekali lagi kaki aku kaku.
Susuk tadi! Kali ini berdiri benar-benar di hujung lorong dari dapur, dekat dengan bilik ibu.
“Abang Asri!”
Benar. Susuk itu milik Asri. Mata aku tidak salah lagi. Abang Lan membaca sesuatu, ayat ruqyah barangkali. Aku masih tersandar didinding, ketakutan. Usai membacakan ayat-ayat suci, abang Lan memanggil aku kembali. Sekelip mata susuk itu hilang entah ke mana. Suara kakak juga tidak lagi kedengaran.
“Kuatkan semangat. Kasihan kakak kamu. Minta Allah bantu.”
Kakak dibawa keluar ke ruangtamu. Lebih luas dan mudah untuk diubati.
Asri.. Sahabat abang sulung, senior sekolah kakak, juga sudah lama hidup berjiran bersama kami. Semua maklum Asri suka kakak sejak dia di tingkatan 3, semasa kakak tingkatan 1. Semua tahu, Asri sedih dan kecewa bila mendapat tahu kakak sambut perkenalan Isa. Semua juga tahu, pada hari kakak bertunang, Asri membawa diri ke negeri seberang. Sejak itu, kami tidak pernah bertemu Asri, mendengar khabar juga tiada sama sekali.
‘Tuktuktuktuk.. Tukkk… Tukkk……’
Kali ini tingkap ruangtamu pula berbunyi. Gagak hitam sedari tadi mematuk tingkap bilik ibu kini beralih ke tingkap ruangtamu, mengekori kakak agaknya. Sahabat ustaz Ali yang masih di luar rumah cuba untuk menangkap gagak tersebut, namun sepertinya belum berjaya. Percikan air garam jelas kelihatan di cermin tingkap. Rumah terang benderang, lampu diluar dan didalam rumah semua terpasang tanpa ada 1 pun yang tertinggal. Kakak didudukkan di tengah ruangtamu, masih tetap mendengus dan cuba melawan. 4 tenaga lelaki memegang kedua bahu dan kaki kakak, masih tetap sesekali bisa terlepas. Abang Baim saja sudah 3 kali ditendang kakak, abang Lan dan Ustaz Mat juga sudah beberapa kali ditampar dan disepak. Begitu juga ibu dan abang, tentu saja tubuh mereka sakit sekali.
“Hantaran orang ni..”
“Nak buat macamana ustaz?”
Derai airmata ibu.
“Kita ikhtiar. In Shaa Allah kak, terus mohon petunjuk Allah.”
Senyuman terukir dibibir Ustaz Ali. Mulutnya terkumat-kamit tanpa henti. Ditangannya ada segenggam garam kasar. Belum sempat Ustaz Ali menghabiskan bacaan, kakak bertindak meludah abang dan abang Baim. Kebetulan mereka memegang tangan kanan dan kiri kakak. Mengilai suara kakak ketawa, sekali lagi mereka diludah berkali-kali, kakak ketawa seakan memperli.
“KURANG AJAR KAU SYAITANNN!!!!”
Abang seperti hilang pedoman, marah dan menjerit. Dia bingkas bangun dan menampar kakak. Kesabarannya hilang setelah acap kali dipukul dan diludah. Abang berdiri mencapai kerusi rotan, sepertinya ingin menghempas kakak yang sedang hilang akal. Suasana menjadi riuh. Abang Lan cuba menahan abang dan meminta abang beristigfar. Bergelut.
“PERGI KAU BALIK!!!”
Tiba-tiba saja perhatiannya teralih kepada ustaz Ali. Kerusi rotan yang disangka untuk dibaling kepada kakak rupanya dihumban kearah ustaz Ali. Nasib baik sempat mengelak, terkena sedikit dibahagian kaki. Ustaz Ali bingkas berdiri. Kakak pula tiba-tiba menjadi longlai, pengsan. Sepertinya ‘benda’ itu berpindah ke tubuh abang! Aku, ibu dan abang Baim memindahkan kakak ke sofa. Sejujurnya aku bingung, tidak mengerti segala yang ku lihat dari tadi. Mulanya kakak seperti orang gila, kini berganti pula pada abang. Kelibat Asri, kenapa boleh ada dirumah? Aku buntu dalam mencari jawapan. Dan dalam keadaan rumah yang terang itupun, aku sebenarnya masih dapat melihat susuk itu, kini lebih dekat.
Serentak dengan kakak pengsan, gagak hitam yang mematuk tingkap tadi turut terjatuh dengan sendiri. Segera Pak Amit dan abang Im membalut gagak tadi dengan kain putih dan dimasukan kedalam plastik hitam. Mereka meletaknya di depan pintu sebelum masuk ke rumah. Pintu rumah sengaja dibuka. Di sanalah aku melihat susuk Asri. Berdiri dan memerhati, pandangannya tepat kepada abang. Seperti sedang mengawal dan memberi arahan.
“Ustaz..!”
Aku semakin menggigil. Lidah kelu, hanya tangan ku arahkan ke depan pintu. Ibu lantas memeluk aku. Abang Baim yang menjaga kakak menghulurkan sebotol air, ku teguk sedikit. Dadaku berdegup semakin kencang. Kalimah-kalimah suci Allah tersekat dikerongkong, hanya dapat kusebutkan didalam hati. Aku menunduk seraya menutup mata semahunya, tidak sanggup rasanya melihat semua yang terjadi. Hanya mampu menguatkan semangat yang berbaki.
Abang dikelilingi Ustaz Ali dan mereka yang lain. Serentak mereka membacakan ruqyah sambil sesekali Ustaz Ali melemparkan garam kasar bercampur bijian lada hitam kearah abang. Abang seakan terikat namun masih juga melawan, hanya pergerakannya terbatas. Dia terduduk melutut. Bertempik, mendengus, sesekali berguling dan menghempaskan kaki. Tangannya kemas berada didada, tidak bergerak. Matanya merah, bibirnya mula luka berdarah kerana sedari tadi dia menggigit-gigit bibir menunjukkan reaksi marah dalam kesakitan. Kakak beransur sedar, masih terbaring. Juga masih keliru dengan segala yang berlaku. Abang Baim meminta kakak terus berzikir dan berehat.
“Aku tahu kamu disini. Untuk apa kau mengganggu anak kami?”
“BUKAN URUSAN KAU! KAU PERGI!!!”
“Kamu mengganggu anak Adam. Itu sama saja dengan mengganggu aku. Kerana ini keturunan kami!”
“TIADA!!! DIA AKU PUNYA!! INI SALAH MEREKA!!!!”
“Aku tahu ini bukan kemahuan kau. Kau boleh tinggalkan jasad ini dengan rela hati?”
“AAAAAARRRGGGHHHHHH…!! DIAMMM!!! PUUIIIHHHH!!”
Abang meludah. Kakinya dihempaskan berkali-kali. Meronta ingin bangun melawan. Darah dari bibir yang luka sesekali menitis.
“Baiklah. Kau berkeras, aku tiada pilihan. Aku….”
“HAHAHAHAHAAAA… KAU SIAPA MAHU MELAWAN AKU?! KAU BUNUH AKU, AKU RAGUT NYAWA JASAD INI!! KAU CUBALAH! HAHAHAHAHAAA…!!”
“Sudah aku katakan, aku hamba Allah berketurunan Nabi Adam. Aku percaya Allah bersama kami.”
Tidak membuang masa, Ustaz Ali dan yang lain menguatkan bacaan ruqyah. Sesekali Ustaz Ali meniup diselangi dengan menekan lada hitam dibawah ibu jari kanan kaki abang.
“SAKIIIT..!! SAKIIITTT..!! KETURUNAN KAU HANTAR AKU!!”
“Dengan apa kau kemari?”
“HELAIAN RAMBUT! BESI KARAT!”
“Mana?”
“LEPASKAN AKU!! AKU TIDAK TAHU!!!”
“Kau masih mahu berdalih.”
Sekali lagi ustaz Ali menekan sebiji lada hitam dijari kaki abang.
“SAKKIITTT!!! HIDUPAN ITU YANG BAWA AKU!!”
Abang meraung.
Ustaz Mat menghentikan bacaan. Bangun dan mendapatkan gagak hitam di dalam bungkusan plastik. Dibelek-belek mencari sesuatu. Benar! Di bawah sayap kiri, Ustaz Mat menjumpai jarum halus berkarat bersimpul rambut.
“Cabut.”
Arah Ustaz Ali.
“Bismillahirahmanirahim..”
Seraya jarum ditarik, abang menjerit. Serentak dengan itu, tubuh abang terbaring, jatuh. Lemah tidak berdaya. Abang Lan segera memangku kepala abang. Pak amit mengambil sebotol air, disapukan ke wajah abang. Yang lain pula masih meneruskan bacaan ruqyah. Bayangan Asri juga sudah tidak lagi kelihatan.
“Alhamdulillah. Untuk malam ini In Syaa Allah sudah selesai.”
Ustaz Ali menarik nafas panjang. Pandangan dialihkan kepada kakak. Ustaz Ali senyum.
“Dalam tubuh kakak tu masih ada lagi yang menumpang. Senyap saja memerhati dari tadi. Tak mahu keluar sendiri?”
Terkebil-kebil mata kakak, tidak mengerti. Semua mata kini tertumpu memandang Ustaz Ali. Ada lagi?
aku ni dahla jenis kalau baca cite seram, auto mata berair. ni dia punya seram tu sampai menangis nangis aku baca
Lembutnya hati huhu…