Banglo Berhantu

Assalamualaikum semua peminat FS. Asyik dok baca kisah seram kat fs sampai aku pun terpanggil untuk menceritakan salah satu dari kisah seram yang aku alami sendiri. Aku dan suami bercadang untuk membuat majlis aqiqah anak bongsu di rumah mertua yang terletak di Pasir Mas, Kelantan. Setelah perbincangan dibuat, keluarga aku dari KL termasuk ibu dan bapa saudara serta beberapa orang staff setuju untuk ikut serta memandangkan ianya musim cuti persekolahan. Jadi suami pun meminta abang iparnya di kampung mencarikan sebuah ‘guesthouse’ yang muat untuk menempatkan rombongan keluargaku.

Selepas dua hari, abang ipar suami menelefon semula memberitahu sudah pun menempah sebuah rumah banglo yang terletak di perkampungan Pasir Mas Salor. Memang cantik banglo yang abang ipar tolong sewakan. Kawasannya lapang, rumahnya luas dan cantik serta sewanya yang berpatutan. Penat mengharungi perjalanan yang hampir 8 jam lamanya, semua orang membuat keputusan untuk merehatkan diri sahaja. Setelah berpuas hati dengan keselesaan mereka, barulah aku dan suami pulang ke rumah mertua dan berjanji untuk datang semula selepas isyak.

Seperti yang dijanjikan, selepas isyak aku dan suami sampai untuk bawa semua family keluar makan, tapi sayangnya hanya yang lelaki setuju untuk pergi manakala yang perempuan semuanya memilih untuk berehat. Jadi, aku sendiri pilih untuk melepak atas katil dengan adik bongsu dan sepupuku.

Kisah bermula pada malam pertama keluarga aku di sana. Adik dan sepupuku yang menghuni di bilik kedua sedang berbual kosong sebelum melelapkan mata. Sayup-sayup kedengaran di telinga mereka berdua seperti ada orang sedang rancak berbual di ruang tamu sedangkan waktu tersebut jam sudah menunjukkan ke angka 3 pagi. “Kak Amy, kak Amy dengar tak apa yang Na dengar?”, tanya sepupuku Nabihah pada adik bongsuku. Adik bongsuku Amy menggangguk perlahan. “Dengar”, jawabnya sepatah.

Makin lama, suara berbual semakin perlahan dan berganti pula dengan derapan tapak kaki dengan bunyi loceng gelang kaki menghampiri bilik mereka. Adik dan sepupuku berpandangan sesama sendiri. Masing-masing tidak bersuara namun mereka sangat pasti yang tiada sesiapa pun yang bergelang kaki dalam rumah tersebut kecuali aku yang sudah pun balik kira-kira jam 1 lebih.

Semakin lama semakin dekat bunyi tapak kaki dan loceng gelang kaki tersebut. Semakin bulat mata adik dan sepupuku. Derapan tapak kaki terhenti betul-betul dihadapan pintu bilik mereka. Tiba-tiba, tombol pintu bilik mereka dipulas dan di tolak perlahan-lahan. Berkeriuk bunyinya. Dalam suasana yang kelam dan ketakutan, adik dan sepupuku terus menarik selimut menutup muka sambil menjerit ketakutan. Seisi rumah terjaga dan menerpa masuk ke bilik mereka.

Rupanya, ibu aku juga mengalami gangguan yang sama semasa dia sedang solat isyak. Dia terasa seperti ada orang besar sedang berdiri di sebelahnya. Begitu juga dengan ibu saudaraku yang tidur di bilik yang ketiga. Dia tiba-tiba terjaga bila terdengar seperti ada suara orang sedang rancak bersembang lalu bangun menjenguk ke ruang tamu sedangkan ruang tamu pada ketika itu sudah pun kosong kerana masing-masing sudah pun lena diulit mimpi. Semua berpandangan sesama sendiri. Terkedu. Mungkinkah banglo tersebut berhantu?????

Keesokannya, pagi-pagi lagi aku dan suami datang menghantar sarapan. Sebaik melangkah ke ruang tamu, aku terasa seperti ada deruan angin lembut menampar pipi dan sejurus itu aku terpandangkan lampu chandelier di ruang tamu bergoyang kuat sedangkan pintu hadapan sudah pun aku tutup sebaik melangkah masuk tadi.Meremang bulu romaku dibuatnya.

Masa berkumpul untuk sarapan, riuh adik, ibu ,ibu saudara dan sepupu menceritakan apa yang mereka alami. Lebih menyeramkan bila sepupu lelakiku menunjukkan objek seorang wanita berambut panjang berbaju putih labuh dalam telefon bimbitnya. Ceritanya, petang semalam dia dengan sengaja mengambil gambar setiap ruang yang ada dalam banglo tersebut. Tak ada kerja katanya. Boring. Tetapi semalam dia tak nampak pula apa-apa objek dalam telefonnya, cuma pagi tu pula objek perempuan berambut panjang tu muncul. Bertambah naik bulu roma ku. Berhantu betul ke rumah ni???

Selesai sarapan, ibuku mengajak anak sulung ku yang berumur 5 tahun masuk ke bilik yang pertama, bilik di mana adik lelakiku dan 3 orang lagi staff tidur. Kebetulan anak perempuan sulungku ini memang mempunyai kelebihan boleh melihat makhluk halus sejak dia mula pandai bercakap lagi. Ibu meminta anakku beritahu apa yang dia nampak dalam bilik tersebut sebab ibu memang rasa tak sedap hati dengan bilik utama itu sejak dari awal lagi. Sebaik masuk, anakku dengan nada gembira bagitau dia nampak baby tengah merangkak masuk dalam salah satu dari beg-beg baju yang ada di lantai. Tanpa buang masa, adik lelakiku terus angkat phone dan snap di setiap ruang bilik dan tingkap.

Hasilnya, masyaAllah. Sungguh tak terduga dengan akal yang waras. Ada empat imej pada gambar ditingkap yang ada empat panel kayu berpetak. Di petak yang pertama adalah gambar muka seorang gadis remaja yang sangat cantik. Berambut kerinting paras bahu dan berhidung mancung. Petak yang kedua pula gambar seorang lelaki pertengahan umur yang berwajah bengis. Petak yang ketiga, wajah seorang remaja lelaki yang menyeramkan dan di petak yang keempat, wajah tengkorak kanak-kanak yang berumur sekitar 9/10 tahun. Ya Allah, memang betullah banglo itu berhantu.

Cerita itu kami biarkan begitu saja kerana perlu bersiap pula untuk majlis doa selamat dan aqiqah selepas maghrib nanti. Seperti yang dijanjikan, semua family hadir ke rumah mertua selepas maghrib namun sedikit terlewat kerana majlis bacaan yassin sudah pun dimulakan. Sampai saja dimuka pintu, tiba-tiba pembantu rumah ibuku jatuh terlentang. Mujur adik perempuan aku sempat menyambut kepalanya. Kalau tidak, mahu terhentak di simen lantai. Dalam kekalutan ,bacaan yassin tetap diteruskan manakala pembantu rumah ibuku yang dipanggil Dewi kami bawa masuk ke ruang lain.

Mendengarkan bacaan yassin yang semakin kuat, Dewi meraung-raung dan menjerit meracau. Terpaksa tangan dan kakinya dipegang. Dalam waktu yang sama bacaan yassin yang diketuai imam kampung suami selesai lalu tanpa berlengah suami menjemput pak imam untuk cuba memulihkan Dewi. Sewaktu imam membacakan ayat-ayat suci ditelinganya, Dewi semakin meronta-ronta, menjerit-jerit minta dilepaskan. Dalam waktu itulah adik lelakiku bangun dan mengambil gambar Dewi yang sedang meracau. Ya Allah, sekali lagi. Memang pelik. Memang menakutkan.

Di screen telefon bukan gambar Dewi yang tertera sebaliknya gambar kepala seekor binatang yang seakan-akan monyet berbulu warna oren. Kecoh rumah mertuaku malam tu. Gempar satu kampung dan gambar-gambar makhluk tersebut pun tersebar dari satu tangan ke tangan yang lain. Begitu juga dengan gambar perempuan berambut panjang yang diambil oleh sepupuku. Dalam waktu yang sama, Dewi masih juga belum sedar lagi walaupun dah bermacam ayat yang dibacakan imam. Dia hanya gelak dan terus mengilai sambil bercerita dari mana dia datang, kenapa dia datang dan apa yang dia mahu. Ternganga semua yang mendengar. Benarkah??? Betul ke begitu???

“Nah, ambik air ni dan bagi dia minum”, arah pak imam pada suamiku Tanpa berlengah, suamiku mencapai gelas berisi air yang sudah siap dibacakan oleh imam dengan ayat-ayat suci al-quran. Gelas itu suamiku suakan ke mulut Dewi. “Minum air ni, Dewi”, suamiku cuba memujuk dewi untuk minum. Dengan muka yang tersenyum simpul dan tanpa rasa takut sedikit pun, Dewi meneguk air tawar yang diberikan padanya. “Ermmm, sedap air ni ya”, katanya dengan nada sinis sambil menjeling kepada pak imam.

Nyata selepas air itu Dewi teguk, tiada sedikit pun perubahan padanya malah dia semakin galak dan berani. Tiba-tiba, dengan sepantas kilat dia berdiri. Mengejutkan semua yang sedang mengerumuninya. Dengan suara yang tiba-tiba menjadi parau, dia bertanya, “siapa yang berani sangat telah mengambil gambar isteriku?”. Semua yang ada di kelilingnya jadi terpana, kaku, pelik. Semua berpandangan sesama sendiri.

“Siapa kamu ni??”, tiba-tiba abahku memecah kebuntuan. Dewi terus berpaling ke arah abah. Matanya dijegilkan sedikit. Pada ketika itu, tiada siapa pun yang berani berganjak. “Aku adalah tuan rumah”, jawab Dewi dalam nada agak marah. “Tuan rumah mana?”, abahku berpura-pura tidak tahu. “Yang kamu tinggal dan ceroboh”, jawabnya. “Kami tak ceroboh, kami menyewa di situ. Kami tak ganggu sesiapa”, adik lelakiku pula menyampuk. “Kamu semua dah ganggu privacy aku sekeluarga. Padamkan semula gambar isteriku. Aku berikan tempoh 3 hari”. “Amboi, macam tengok cerita pontianak harum sundal malam pulak”, bisik hati kecilku.

Nampaknya usaha imam untuk memulihkan Dewi memang tidak berhasil. Suamiku cepat-cepat menghubungi sahabat baiknya minta tolong carikan ustaz yang boleh memulihkan Dewi. Jadi sementara menunggu sahabat suamiku sampai terpaksalah kami semua melayan dulu cerita si Dewi.
Melihatkan wajah Dewi yang semakin bengis dan sering mendengus, ibuku cuba memancingnya dengan kata-kata memujuk, “tak apalah encik. Nanti kami akan pastikan gambar isteri encik dipadamkan. Kami pun sebenarnya tak bermaksud apa-apa pun. Mungkin terambil secara tak sengaja. Encik ni dari mana sebenarnya??”.

Bila ibuku berlembut dengannya, muka kelatnya agak kendur sedikit. Dari berdiri tegak penuh lagak tadi, dia mengambil duduk di kerusi. “Aku dan keluargaku dari philipina”, jawabnya agak perlahan. Semua yang memenuhi ruang tamu kedua rumah ibu mertuaku berpandangan sesama sendiri, “Aku adalah saudagar emas yang berdagang ke mari. Tapi suatu hari, rumah kami telah dirompak. Aku telah dibunuh dengan kejam. Isteri dan anak perempuanku telah diperkosa dan dibunuh. Anak lelaki, anak perempuanku yang berumur 9 tahun dan bayiku yang berusia 8 bulan juga telah dibunuh dan rumah kami dibakar hangus oleh perompak tersebut”.

Bulat mataku mendengar cerita yang keluar dari mulut Dewi. Kalau betul ceritanya, itu memberikan jawapan kepada gambar yang adik lelakiku tangkap dibilik utama. Maknanya, perempuan berambut kerinting berhidung mancung tu adalah anak gadisnya. Lelaki pertengahan umur yang bengis tu adalah dia yang sedang menumpang di dalam badan Dewi. Wajah remaja yang menakutkan itu adalah anak lelakinya dan gambar tengkorak itu adalah anak perempuannya yang berusia 9 tahun. Objek perempuan yang berambut panjang berjubah putih yang gambarnya ditangkap oleh sepupuku pula adalah isterinya dan bayi merangkak masuk dalam beg yang dilihat oleh anak perempuanku adalah anaknya yang paling bongsu. Fuhhh, berpeluh aku mendengar ceritanya. Meremang bulu tengkuk.

“Kami x berniat nak ganggu kamu, kami cuma menyewa di rumah tu”, ibuku kembali bersuara. “Aku tau ada antara kamu yang dah nampak seluruh ahli keluargaku. Itu aku x peduli. Aku cuma minta satu saja, padamkan gambar isteriku kerana aku memang tidak suka isteriku dilihat oleh orang lain”, dia menyambung dengan nada suara agak serius. “Cemburu jugak rupanya hantu ni”, bisikku pada adik bongsuku Amy yang duduk bersebelahan. Tergelak kami berdua dibuatnya. Tiba-tiba Dewi menoleh ke arah kami berdua. Menjegilkan biji matanya.”Tapi awas. Kalau dalam tempoh 3 hari gambar isteriku tidak dipadamkan, kecelakaan bakal menimpa pada orang yang mengambil dan menyebarkan gambar isteriku”. MasyaAllah. Terkejut beruk aku dan adik. Berdebar-debar jantung.

“Ok, ok. Kami akan padamkan gambar isteri kau”, janji abahku padanya sebab malas untuk memanjangkan lagi cerita. “Cakap setan bukan boleh pakai”, ngomel abahku. “Kalau janji kau betul, aku akan benarkan kau ambil separuh dari hartaku yang tertanam bawah pokok mempelam depan rumah”. “Haaa????”. Hampir seisi rumah termangu. Harta?? Harta karun??? Biar betul hantu ni..

“Itu semua adalah barangan kemas daganganku yang memang aku tanam untuk mengelakkan aku dirompak. Memang perompak yang membunuh dan membakar rumahku tidak dapat walau satu pun dari harta itu. Jadi, kalau betul janji kalian, aku dengan rela hati membenarkan kalian ambil separuh darinya”. “Wah, besar sungguh cinta hantu ni untuk isterinya ya”, bisikku sendiri dalam hati. Tapi, betul ke harta tu wujud??? Kalau betul, kayo makcik. Kihkihkih.

Episod bercakap dengan jin tamat bila sahabat suamiku datang membawa seorang ustaz untuk memulihkan Dewi. Kesian Dewi. Bila saja hantu tu keluar dari badannya, dia sangat-sangat lemah tak bertenaga sambil terpinga-pinga tidak tahu apa yang berlaku padanya. Ustaz Amir meminta Dewi untuk mengucap syahadah. Dengan suara yang hampir tidak kedengaran Dewi melafazkannya. Namun, apa yang lebih menarik perhatianku adalah amaran hantu tu yang terakhir sebelum dia keluar dari badan Dewi, “kalau gagal padam gambar isteriku, maka celaka pada orang yang ambil gambarnya”. Hrmmmm, boleh pakai ke amaran hantu ni?? Tapi, mana nak cari gambar yang dah banyak tersebar tu. Satu kampung dah ambik gambar tu.

Apa yang berlaku selepas Dewi sedar??? Apalagi, sudah pastinya harta karun yang jadi tajuk besar. Dalam percaya dengan tidak, kami semua setuju untuk memadamkan gambar isteri hantu tersebut. “Yu. Pada siapa lagi kau bagi gambar tu?”, tanya abah pada sepupuku Takiyuddin. “Entahlah abah, ramai sangat yang ambik tadi. Semuanya Yu tak kenal pun”, jawabnya. “habis, macam mana nak padamkan???”. Persoalan tu memamg tiada jawapannya. Mana nak cari siapa yang ambik gambar tu. Mesti orang yang mula ambik gambar tu akan sebarkan pulak pada orang lain. Kami cuma mampu padamkan apa yang ada pada kami sahaja dengan harapan tak akan ada benda buruk yang akan berlaku. Jatuh syirik pulak kalau percaya pada hantu. Itu nasihat abahku.

Walaupun sangat berminat dengan janji harta karun tu, tapi untuk mempercayainya rasa macam tak mungkin. Jadi..kami pulang ke Kuala Lumpur dengan cerita yang boleh dikatakan tergantung. Kalau ikut hati, mau je aku ajak suami sewa jengkaut untuk korek harta karun tu hihi. Mana la tau, kot-kot jadi rezeki. Dan, setelah hampir dua minggu pulang ke KL, tiba-tiba satu hari selepas usai solat isyak, anak perempuaku masuk bilik dan cakap, “mama. Atuk yang kat kelantan tu datang. Dia cakap ada gambar isteri dia belum padam”. Lancar ayat tu keluar dari mulut comel anakku yang sememangnya keletah. “Atuk cakap, orang yang ambik gambar tu memang nak mati'”. Berderau darah aku. Biar betul. Dah la suami belum balik kerja lagi. Terus aku capai quran. Bukak surah yassin dan baca sambil anakku ku dudukkan di riba. “Dah kakak. Kita ngaji ya”, bisik aku ditelinganya.

Petang esoknya, ibuku menerima panggilan dari ibu saudaraku dari Selayang, “Yu accident. Sekarang ada kat hospital. Xtau macam mana lagi keadaan dia. Ada kat emergency, tapi ikut pemeriksaan awal, kaki patah tiga, muka pecah, kecederaan dalaman tak pasti lagi”, sebak suara ibu saudaraku dihujung talian sambil menangis teresak-esak. Memang berita itu mengejutkan. Sungguh tak sangka. Adakah semuanya berkaitan dengan banglo berhantu???

Suratan atau kebetulan??? Tapi aku percaya semuanya sudah ditakdirkan. Mungkin ancaman hantu tu adalah kebetulan saja. Alhamdulillah, sepupuku cuma patah kaki dan mengalami kecederaan luaran sahaja. Berbulan-bulan juga dia bertongkat dan kini mengalami kecacatan kekal kerana kakinya pendek sebelah. Apa pun syukur kerana Allah masih memberinya peluang untuk terus bernafas. Sehingga kini hatiku masih tertanya-tanya. Agaknya kalau betul semua gambar tu dipadamkan, hantu tu bagi betul harta dia kot. Namun untuk menyewa lagi banglo tu, mungkin tidak rasanya. Cukuplah sekali menempuh pengalaman berjumpa dengan keluarga hantu philipina. Sekian….wassalam…

Riza aisyar

Leave a Reply

8 Comments on "Banglo Berhantu"

avatar
Sort by:   newest | oldest | most voted
rabun

rare. terbaik !

Darm

jom cari harta karun hehe

Kak Yulie

Hmmmm…
Die tau mmg mustahil dapat delete semuaaaaa gambar yg dh tersebar tu yg berani bg janji nk bg harta qarun tu…
X aci aaarrr…

che

hahahahaha ye tak ye jugak kan. tak aci

Kak Yulie

Biaseler…
Sejahat2 manusia kan sebaik2 jin…
Bak kate ustaz tu xdenye klu deal ngan syaitonirrajim ni die terus straight to the point…
Mesti ade melencong2 menipunye…

Penulis

Nak tye la hp ape yg dipakai ms tgkp gmbr makhluk halus ni.aku nk beli 10..hahahah

caca

tu la sape suruh jd melayu cepat sgt nk sebar2 benda bukan2. nasib baik tak mati. lg dok fikir pasal harta pulak. nauzubillah.

Tatie

Kamera hp type tu mcm dlm citer thai ‘shutter’ kot.. blh tgkap n jelmakn mende y xnmpk ni…

Seramm… aku dah la suke amik gmbr hotel ke or homestay y aku g…

wpDiscuz