Bomoh Itu Janda Aku (sambungan)

Aku dan Arif masih lagi berjalan di atas jalan raya yang sama sejak tadi lagi. Entah berapa jam sudah berlalu kami sendiri pun sudah tidak tahu lagi. Yang ternyata kini kami sedang kepenatan, mencari tempat untuk berehat dari tadi namun tidak ketemu juga. Yang ada semuanya hutan. Yang anehnya, tidak ada kenderaan yang melalui jalan itu sejak tadi. Walaubagaimana pun, aku tetap bersyukur yang penanggal tadi tu berhenti dari mengejar. Aku ni bukanlah atlet atau pun ahli sukan yang aktif sangat bersenam. Lainlah si Arif, dia memang rajin bersenam pada waktu malam dengan kawan-kawan dia. Lutut aku terasa macam nak tercabut je. Akhirnya aku membuat keputusan untuk berehat seketika. Tidak sanggup untuk aku berjalan lagi. Disebabkan aku sudah berhenti berjalan, maka Arif pun turut serta rehat bersama aku. Kami memilih untuk duduk di tepi jalan saja. Tidak berani untuk duduk dibawah pokok. Risau jika ada pontianak atau langsuir pula yang menetap kat situ. Tak tentu fasal kami kena berlari lagi entah berapa kilometer. Dalam pada masa kami sedang berehat, angin sejuk menyapa di pipi kami. Terasa nyaman dan selesa bila angin tersebut menyapa.

“Haaaa. Arif.. Kenapa tiba-tiba sekarang pukul dua belas tengah malam pulak ek?” aku bertanya untuk kepastian selepas aku melihat jam di tangan. Aku menjadi terkejut bukan alang kepalang apabila jarum jam di tangan aku itu menunjukkan pada waktu itu masih lagi awal. Sedangkan ketika aku bangun dari tidur di dalam kereta tadi, jam sudah pun pukul dua lebih. Malahan, ketika habis berlari tadi aku lihat jam sudah pukul empat lebih. Apa yang sedang berlaku ni? Bila difikir-fikirkan balik, aku dan Arif sudah berjalan sudah lama. Boleh dikatakan sudah lebih dari satu jam setengah.
“Aku rasa jam kau rosak tu. Mungkin masa berlari tadi kau terlanggar pokok ke apa. Manalah nak tau, kita tengah kelam kabut waktu tu.” jelas Arif yang sedikit pun tidak berjaya mengurangkan rasa kerisauan di hati aku.

“Tapi Arif, jarum masih bergerak ni. Mustahillah jam aku rosak.” tanya aku lagi. Aku benar-benar keliru waktu itu dan aku benar-benar menginginkan jawapan yang mutlak.
“Tak apa. Sekarang ni kita tunggu je hari jadi cerah. Lepas tu kita sambung berjalan balik.” kata Arif cuba untuk menenangkan aku dan ianya berhasil. Benar kata Arif, barang kali jam aku rosak ketika sedang sibuk berlari tadi.

Tiga jam berlalu…

“Arif, jarum jam aku tunjuk sekarang pukul tiga pagi.”
“Ha? Tak apa, kita tunggu lagi. Jangan bimbang.”

Dua jam berlalu…

“Arif, pukul dua belas tengah malam.” aku menjadi semakin muskyil dengan keadaan yang sedang berlaku.
“Errr.. Jam kau rosak tu. Kau jangan fikirkan sangat. Kita tunggu je.” kata Arif sekali lagi untuk menenangkan aku dan aku rasa kali ini dia berkata untuk diri dia sekali.

Mungkin lima jam sudah berlalu…

“Arif! Pukul sepuluh malam!” jerit aku.
“Kau buang je jam tangan bodoh kau tu! Teruskan berlari! Kita selamatkan diri dulu!!” balas Arif. Benar kata dia, lebih baik aku fokuskan pada perlarian. Ketika kami sedang duduk menunggu matahari untuk memancarkan sinar paginya, dua ekor jembalang tiba-tiba muncul dari arah hutan sebelah kanan kami dan terus mengejar kami tanpa memberitahu sebab musabab. Walaupun sudah beberapa jam juga kami berehat tadi, namun kepenatan tetap hadir ketika kami sedang berlari. Ini disebabkan kami tidak cukup tidur dan juga kehausan. Ditambah pula kami sedang lapar.

“AH! Aku dah penat berlari!” jerit Arif dan tiba-tiba dia berhenti secara mengejut. Lantas dia menoleh ke arah belakang, secara tiba-tiba dia melayangkan sebuah penumbuk ke wajah aku yang membuatkan aku terus tidak menyedarkan diri.

Aku disedarkan dengan siraman sebaldi air sejuk. Perlahan-lahan aku membuka mata. Aku cuba untuk melihat sekeliling. Aku dapat rasakan diri aku berada dalam keadaan terikat dengan ketat. Mata aku masih kabur. Di dalam keadaan aku separa sedar itu, telinga aku tertangkap suara seorang wanita sedang berbual dengan seorang lelaki. Aku mencuba untuk membuka mata aku seluas yang mungkin. Apa yang aku lihat tidak jauh dari depan aku itu sangat-sangat mengejutkan. Aku benar-benar tidak menyangka akan perkara ini. Aku lihat dua orang lelaki dan seorang wanita. Wanita tersebut adalah isteri aku! Manakala salah seorang dari lelaki itu adalah kawan baik aku sendiri, Arif! Dengan tidak sengaja, air mata aku jatuh menitis di pipi. Hati aku begitu sebak sekali. Adakah Arif sudah lama berkomplot dengan mereka semua? Adakah ini disebabkan dosa-dosa aku tidak menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami?

“Oh, hero kita dah bangun dari tidur dia.” tegur seorang lelaki berbadan sasa. Aku masih kenal wajah dia ini. Dialah lelaki yang tempoh hari aku lihat bermesra dengan isteri aku di dapur rumahku. Dia berjalan mendekati aku. Setelah aku amati wajah dia betul-betul. Barulah aku tahu bahawa dia adalah pak cik Mutalib yang menegur aku dan memberitahu aku lokasi keberadaan isteri dan anak aku. Perkara tersebut membuatkan aku benar-benar terkejut. Apa maksud semua ini?
“Aku rasa kau masih lagi ingat dengan pertemuan kita tempoh hari” katanya lagi.
“Benda ni semua sudah di rancang. Sepatutnya Arif bawa kau pergi ke hutan itu untuk membiarkan diri kau di bunuh oleh jin-jin belaan keluarga aku. Tapi entah kenapa, jin-jin belaan aku semuanya susah sangat nak mendekati diri kau.” tambahnya lagi. Kini jelaslah segalanya, kenapa penanggal itu boleh berhenti dari mengejar kami selepas Arif bertanyakan soalan. Rupa-rupanya Arif adalah sebahagian dari mereka.

“Oh iya, sebelum aku terlupa. Seluruh kawasan perumahan yang kau tinggal tu, adalah milik aku dan mereka yang tinggal di situ adalah konco-konco aku.

Aku tak tahu apa perasaan aku ketika itu, marah, sedih, kelakar. Kenapa aku boleh terjebak dengan perkara-perkara ini? Benarlah kata seorang ustaz yang pernah aku kenali dulu. Seekor syaitan mampu menyamar menjadi sesiapa saja, bahkan menjadi seorang yang sangat alim. Pak cik Mutalib berjalan berlalu pergi dari situ. Arif, kawan baik aku sedang berdiri di antara muka pintu. Dia sedang memandang aku dengan wajahnya sayu. Aku tenung wajahnya. Aku tenung dengan penuh kebengisan.

“Nyah kau dari sini. Aku tak mau tengok muka kau. Kau pengkhianat agama dan bangsa!” marah aku kepada Arif. Tidak dapat aku pendamkan lagi. Tidak pernah aku berdendam dengan sesiapa, tetapi kali ini lain. Aku menjadi seorang yang sangat pendendam. Dendam terhadap mereka ini semua.

“Kau tak boleh nak buat apa-apa, kawan.” kata Arif.

“Kau bukan kawan aku! Setan!” aku membalas. Kemudian, Arif berlalu pergi. Dan tidak lama kemudian, aku terdengar suara ketawa bayi. Terbeliak mata aku ketika aku mendengar suara ketawa tersebut. Difikiranku hanya satu, anak aku! Isteri aku muncul dimuka pintu bersama anak aku yang dingendongnya. Sekali lagi air mata aku jatuh, tidak dapat aku menahan sebak di dada. Dalam pada masa yang sama aku bersyukur kepada Allah kerana anak aku yang tidak berdosa itu tidak diapa-apakan.

“Tengok tu sayang, papa kena ikat. Tengok muka papa tu puas-puas. Lepas tak dapat tengok dah.” kata isteri aku. Hati aku begitu sebak. Apa yang mereka nak lakukan ke atas budak yang tidak berdosa itu?
“Awak jangan apa-apakan dia. Dia tak berdosa!” aku cuba untuk memujuk. Walaupun aku tahu ianya tidak akan berhasil.

“Oh. Kau jangan bimbang. Dia ni akan aku jadikan korban santapan ratu malam. Yang di mana dia ni akan menjadi penyambung warisan keturunan aku. Dia akan menjadi ketua kepada ilmu turun temurun yang seterusnya.” jelas isteri aku.
“Abang tak akan biarkan awak buat macam tu! Kembalilah ke pangkal jalan!” aku cuba lagi untuk memujuk. Aku tak nak anak aku dipersatukan dengan ilmu-ilmu kesyaitanan.
“Apa yang kau boleh buat? Siapa suruh kau berkahwin dengan bomoh?” kata isteriku yang membuatkan aku tergamam.

“Apa maksud awak? Bomoh?” aku meminta perjelasan.
“Ya, aku bomoh. Suami aku adalah pembantu aku. Mutalib tu. Aku ketua dalam kumpulan ni.” jelasnya lagi. Bagai terkena hentakan yang kuat dikepala selepas mendengar penjelasan dan penerangan dari isteri aku itu tadi. Bomoh? Aku selama ni membina masjid bersama bomoh? Betapa bodohnya aku, macam mana aku boleh tidak sedar akan hal ini? Aku lihat isteri aku berjalan membelakangi aku dan berlalu pergi meninggalkan aku.

“Nanti!” langkah isteriku terhenti selepas mendengar arahan dari aku. Dia kembali pusing berjalan ke arah aku.
“Kau nak apa lagi? Kau patut bersyukur sebab kami tak jadi nak bunuh kau sekarang tapi kami akan bunuh kau selepas kau sendiri melihat ritual yang akan dilangsungkan nanti.”
“Kau patut berterima kasih pada Arif sebab yakinkan kami untuk membenarkan kau melihat ritual itu malam esok.”

“Oh.. macam tu ke?” aku memandang ke arah isteri aku dan anak aku.
“Sebelum kau pergi, izinkan aku untuk berkata sesuatu.” aku tatapi wajah anak kecil aku.
“Aku ceraikan kau dengan talak tiga. Dan segala dosa-dosa kau terhadap aku termasuklah menduakan aku serta berbohong dengan aku tidaklah aku ampunkan hingga ke akhirat.” mata aku tidak berkedip dari memandang wajah anak aku. Kemudian, bekas isteri aku berjalan berlalu pergi sambil ketawa.
“Kau fikir aku ada kisah? Kat dunia ni aku berkuasa.” dia memberikan senyuman sinis dan melangkah pergi. Aku tertunduk dan merenung ke atas lantai. Aku kena fikirkan cara untuk melarikan diri dari tempat ini dan selamatkan anak aku.

“PAAAKKK!”

Secara tiba-tiba ada sebilah pisau yang jatuh dihadapan aku. Aku segera mengalihkan pandangan aku ke arah muka pintu. Tiada kelibat sesiapa. Aneh, siapa pula yang bagi aku pisau ni? Aku toleh pula ke arah siling. Pun sama, tiada sesiapa. Kemudian, pintu dihadapan aku ditutup.
“Aik? Macam nak bagi aku senang meloloskan diri je?” bisik aku di dalam hati. Terlintas difikiran aku, Allah sedang membantu aku. Aku mengucapkan syukur ke hadrat Illahi. Kemudian, aku memerhatikan keadaan diri aku. Aku di atas kerusi, diikat bersama dengan kerusi. Tangan disilangkan ke belakang. Tetapi pengelangan tangan aku tidak diikat.

Memandangkan situasi aku ketika itu, aku harus berdiri dan duduk membelakangi pisau yang terpacak di atas lantai tersebut. Nasib baik lantai kayu, jika simen, sudah tentu pisau itu tidak mampu untuk berdiri sebegitu dan sudah tentu ianya akan lebih menyukarkan buat diri aku. Kemudian, aku kena jungkitkan sedikit kerusi aku ke belakang dan seharusnya aku sudah boleh capai pisau tersebut dan boleh memotong tali yang diikatkan kepada aku. Satu jam kemudian…
“Ya Allah, tebal betul tali ni.” keluh aku sendiri. Akhirnya terputus juga tali yang diikatkan itu. Aku bangun perlahan-lahan. Aku melilau sekeliling untuk mencari bahan yang boleh dijadikan sebagai senjata.

“Oh.. Lupa pulak pisau ni boleh dijadikan senjata.” bisik aku di dalam hati. Aku gapai pisau tersebut dan aku berdiri betul-betul menghadap pintu keluar. Aku tak tahu apa yang berada disebalik pintu itu. Dan aku kena bersedia untuk sebarangkalian. Aku pejamkan mata dan berbisik di dalam hati. “Bomoh tu janda aku, dan aku akan pastikan dia terima nasib dia.” kemudian aku membuka mata aku perlahan-lahan. Aku menarik nafas dalam-dalam dan aku lepaskan dengan lafaz bismillah.

Perlahan-lahan aku membuka pintu. Aku tidak ingin sesiapa pun di dalam rumah itu tahu bahawa aku sedang mencuba untuk melarikan diri. Aku melangkahkan kaki kananku keluar dari bilik itu. Aku memerhatikan keadaan sekeliling. Aku berada di dalam sebuah ruang yang tidak besar mana. Ada pintu disebelah kananku. Aku berjalan menuju ke pintu itu. Perlahan-lahan tanganku mendekati tombol pintu tersebut. Aku terdengar suara dari sebelah pintu. Tanganku terhenti.

Apa yang patut aku lakukan? Aku memandang sekeliling bilik itu untuk memastikan jika ada jalan keluar yang lain. Tetapi tiada. Hanya ada satu saja jalan keluar dari bilik itu iaitu melalui pintu yang di mana aku sedang berdiri ketika itu. Aku terdengar suara itu seperti semakin hampir dengan pintu. Dengan segera aku berjalan laju menuju ke dalam bilik yang di mana aku dikurung sebelum ini dan bersedia di sebalik pintu untuk menyerang. “Aku harus keluar dari tempat ini.” bisik aku di dalam hati.

Hampir lima minit aku berdiri di belakang pintu itu tetapi nampaknya suara yang aku kedengaran tadi tidak ada, sudah hilang. Mungkin dia sudah pergi dan tak berniat untuk masuk ke dalam. Aku menghembuskan nafas lega. Aku berjalan kembali menuju ke pintu depan tadi. Aku membuka sedikit pintu dan aku memerhatikan keadaan sekeliling jika ada sesiapa yang berada di situ. Setelah aku yakin bahawa tidak ada sesiapa pun yang berada di situ, barulah aku memberanikan diri untuk keluar dari bilik tersebut.

Perlahan-lahan aku menuju ke pintu hadapan, ianya tidak berkunci. Aku pulas tombol pintu itu tanpa mengeluarkan sebarang bunyi dan aku buka sedikit supaya aku boleh melihat apa yang berada di sebalik pintu itu. Entah mengapa, aku rasakan semuanya seperti senang sekali kerana di sebalik pintu ini pun tidak ada manusia yang berjaga. Terfikir juga aku, apalah bodoh sangat mereka semua ni? Tak takut ke kalau aku berjaya melarikan diri dan membuat laporan polis kemudian polis datang tangkap mereka?

Dengan penuh berhati-hati, aku berjalan di ruangan itu sambil pisau masih lagi di tangan aku. Aku mencari sebarang kemungkinan, jika mereka ingin melakukan serang hendap terhadap aku. Mana lah tahu kan? Tapi, sepatutnya aku lah yang melakukan serang hendap terhadap mereka. Aku buang semua itu ke tepi, apa yang paling penting adalah anak aku. Aku harus selamatkan anak aku. Tidak! Aku wajib selamatkan anak aku! Aku tak akan biarkan janda aku melakukan perkara yang syirik itu suka-suka hati. Setelah agak lama aku berjalan, akhirnya aku tiba dipenghujung jalan.

Dihadapan aku ketika itu ialah pintu kayu antik. Ianya kelihatan cantik dan seakan-akan masih baru. Aku mencuba untuk memulas tombolnya, tidak berkunci. Peluh-peluh resah mulai kelihatan di dahi aku. “Kenapa semuanya tak berkunci?”. Aku lekapkan telinga aku di pintu tersebut untuk mendengar sebarang bunyi di sebalik pintu. Kosong.

Aku membuka pintu seluas mungkin. Dan aku dapati bahawa aku berada di kawasan yang kelihatan seperti ruang tamu. Aku memulakan langkah aku dengan penuh berhati-hati. Mata aku melilau memandang keadaan sekeliling. Aku berdiri dibahagian tengah-tengah ruang itu. Aku pasti ketika itu aku berada di rumah agam kerana sifat rumah tersebut begitu cantik dan antik. Hiasan-hiasan di dinding dan siling rumah tersebut begitu unik dan tidak ada pada zaman moden.

Rumah agam tersebut mempunyai beberapa tingkat akan tetapi, yang anehnya, tidak ada tangga yang menuju ke tingkat atas. Pintu juga tidak ada. Cuma ada satu saja pintu di ruang itu. Iaitu pintu yang aku masuk tadi. Setelah aku amati pintu tersebut, barulah aku sedar bahawa pintu itu sudah tertutup. Aku yakin semasa aku melangkah masuk sebentar tadi, aku tidak tutup pintu itu.

Aku berjalan menuju ke arah pintu tersebut. Ketika aku ingin memegang tombol pintu tersebut, aku dapat rasakan seperti bumi sedang bergoncang. “Gempa bumi?” bisikku di dalam hati. Aku dapat lihat beberapa retakan mula tercipta di dinding dan siling rumah agam tersebut. Perkara tersebut membuatkan aku menjadi semakin takut dan seram. Aku tidak ingin mati dalam keadaan macam ni, dan selagi tidak selamatkan anak aku. Aku berdoa kepada Allah agar aku diselamatkan dari sebarang kecelakaan. Kemudian, aku cuba untuk membuka pintu tersebut tetapi tidak berjaya. Pintu itu berkunci! Aku gegarkan pintu itu sekuat hati dengan harapan agar ianya terbuka, Namun cubaan aku itu tadi tidak berhasil. Sebaliknya hanya membuatkan aku menjadi letih. Beberapa ketuk besar batu sudah mula jatuh dari siling.

Aku berlari dari setiap sudut ke setiap sudut dengan harapan akan ada pintu-pintu yang tersembunyi. Tetapi hampa. Dan akhirnya, rumah agam tersebut runtuh. Tetapi, aku selamat. Aku tidak ditimpa oleh batu-batu konkrit yang runtuh itu. Aku pandang ke langit. Aku dapat lihat kecantikan awan yang putih dan langit yang biru serta kehijauan daun-daun pokok hutan yang berada di situ. Aku memejamkan mata. Dan aku bersyukur ke hadrat Illahi kerana aku masih lagi diberi peluang untuk hidup. Kemudian telinga aku tertangkap satu bunyi yang memang aku kenal. Bunyi air laut. Aneh, masakan di hutan ada air laut? Aku membuka mata dan mengalihkan pandangan ke arah bunyi air laut tersebut. Ternyata ianya benar dan memang jelas air laut. Aku berada di pantai. Batu-batu konkrit yang runtuh tadi tidak ada lagi di situ.

Perkara itu membuatkan aku menjadi terkejut dan mengakibatkan aku jatuh terduduk di atas pasir pantai yang berwarna putih itu. Aku menggaru kulit kepalaku yang tidak gatal tersebut. Segala benda yang terjadi terlalu berat untuk aku terima. Otak aku tidak dapat nak proses dengan betul. Memori dan juga RAM otak aku tidak dapat nak menampung data-data yang sebegini. “Hoi!” aku kedengaran suara seorang lelaki dari arah sebelah kiri aku. Aku terus memandang ke arah suara itu. Dua orang lelaki separuh usia sedang berlari ke arah aku. Aku pun segera bangun dan menunggu mereka. Setelah mereka semakin hampir dengan aku, tiba-tiba mereka berdua di serang dari arah belakang. Aku dapat lihat seorang lelaki sedang menikam mereka. Tikaman tersebut membuatkan mereka mati serta merta. Aku tahu, mungkin aku pula akan menjadi mangsa tikaman selepas itu. Aku redha.

“Kau okay tak?” jelas kedengaran soalan dari pembunuh itu. Adakah dia mengajukan soalan itu kepada aku? Aku tidak dapat lihat siapakah pembunuh itu kerana dia berdiri membelakangi aku. Kemudian, pembunuh tersebut pusing menghadap aku. “Arif??” kata aku penuh dengan tanda tanya. “Ya, terkejut? Sekarang ni ikut aku. Nanti aku terangkan kat kau.” jawab Arif dengan wajahnya yang tenang. Kau dah tumbuk aku lepas tu boleh buat muka selamba pula. Aku melayangkan penumbuk di wajah beliau yang tenang itu. Penumbuk aku tepat hinggap di pipi kirinya. Lalu Arif jatuh ke bumi.
“Okay, aku layak untuk terima tumbukan tu.” balasnya penuh redha.

Aku dan Arif berjalan menuju ke sebuah jeti kecil. Arif memberitahu aku bahawa di pulau itu ada dua orang saja pengawal yang diletakkan. Ianya untuk mengawal aku, andai kata aku terlepas dari bilik kurungan. Pengawal yang Arif bunuh tadi lah yang akan membunuh aku. Jadi, sebelum aku mati di bunuh. Arif telah pun membunuh mereka dahulu demi memastikan aku hidup. Dan Arif pula, dia adalah seorang pegawai polis yang undercover. Arif menyatakan bahawa pihak polis telah lama memburu kumpulan ilmu hitam yang janda aku sertai ni.

Dan sebenarnya, janda aku itu sendiri adalah pengasas dan ketua kepada kumpulan tersebut. Manakala pakcik Mutalib pula adalah suaminya. Mereka memerlukan bayi untuk melakukan ritual syirik dan haram. Kononnya bayi itu akan dipersembahkan kepada tuhan mereka. Dengan melakukan itu, ahli kumpulan mereka akan dikurniakan kehidupan yang lebih lama lagi. Untuk seorang bayi, jangka hayat selama 100 tahun akan diberikan. Dan kini mereka sedang mengumpul 10 orang bayi untuk mendapatkan nikmat hidup sepanjang 1000 tahun. Tetapi syaratnya haruslah bayi tersebut bukan berdarah 100% dari ahli kumpulan tersebut.

“Kelakarkan? Aku kenal kau dah lama. Kau bekerja dengan aku. Tapi aku sendiri tak sedar yang kau ni sebenarnya undercover. Paling memalukan, isteri aku sendiri ketua kumpulan sesat tu. Dan aku tak pernah pun tahu.” kata aku.

“Yang itu, memang salah kau sendiri. Aku tak boleh nak kata apa.” balas Arif tidak ada perasaan. Baru aku sedari bahawa selama ni kenapa susah sangat aku nak menduga perangai si Arif ni. Sebab itu memang tugas dia, dia kena buat orang sekeliling tak boleh nak agak apa yang bermain difikiran dia malahan, dia pula yang boleh meneka dan buah fikiran orang lain. Aku berasa bangga dengan diri Arif.
“Puji sikit-sikit sudahlah, janganlah over sangat.” balas Arif setelah dia mengetahui buah fikiran aku. Ternyata dia memang suka mengusik aku dengan menggunakan kelebihan yang ada pada diri dia itu.
“Kau nampak pulau tu?” tanya Arif sambil jari telunjuknya menghala ke sebuah pulau yang agak jauh dan ianya kelihatan kecil sekali.

“Nampak. Kenapa dengan pulau tu? Anak aku ada kat situ ke?” aku menjawab dan juga bertanya.
“Bukan anak kau saja. Anak orang lain pun turut sama ada.” balas Arif. Aku terdiam selepas mendengar akan hal itu. Aku boleh mengerti perasaan ibu bapa yang di mana bayi mereka hilang dari pandangan mata. Aku mengerti.

Arif memberitahu aku perancangan dia. Lagi dua hari adalah hari Jumaat. Pada malam itu, kumpulan sesat itu akan melakukan ritual tersebut yang di mana 10 nyawa bayi bakal dikorbankan. Arif dan aku akan senyap-senyap menyertai ritual itu, yang di mana semua orang akan pakai jubah hitam menutupi kepala. Bayi-bayi malang itu semua akan diletakkan di tengah-tengah, Mutalib dan juga janda aku akan berdiri di antara bayi-bayi itu. Manakala ahli-ahli yang lain akan berpusing mengelilingi mereka sambil membacakan mantera sehitam jerami.

“Kejap, kejap. Bukan semerah padi?”
“Itu lagu….”
Ketika ritual itu sedang dijalankan, aku dan Arif akan perlahan-perlahan mendekati Mutalib dan janda aku. Apabila aku dan Mutalib berada di belakang dua ekor mangkuk ni. Di situ lah kami akan tikamkan buluh runcing ke arah mereka. Hanya buluh saja yang mampu membunuh dan melemahkan ilmu mereka.

“Macam mana dengan ahli yang lain? Mesti dia orang nak bunuh kita juga.” tanya aku meminta kepastian.
“Tentang perkara tu kau jangan risau. Aku dah laporkan perkara itu kepada orang atasan. Alhamdulillah, dengan bantuan Hj. Jalal kita akan dapat tumpaskan kumpulan sesat tu.” jawab Arif
“Maksud kau?” tanya aku lagi.
“Hanya Hj. Jalal saja yang mampu mematahkan sihir pukau mereka. Macam yang kau kena.” jawab Arif lagi.

“Macam aku kena? Aku tak faham.” tanya aku lagi untuk ketiga kalinya kerana aku langsung tidak faham.
“Kau ingat kau kena kurung dalam rumah ke tadi? Kau cuma kena ikat dekat atas kerusi je sebenarnya.” jawab Arif.
“Itu semua kerja janda kau. Dan pisau yang kau pegang, itu sebenarnya buluh yang aku sengaja letak tanpa pengetahuan sesiapa supaya kau ambil dan kau kena gunakan pisau itu untuk buka pintu terakhir.” tambahnya lagi.
“Tapi aku berjaya jugak keluar dari tempat tu.” kata aku penuh kehairanan.
“Sebab Allah nak bantu kau. Kau patut bersyukur.” balas Arif sambil melemparkan senyuman kepada aku.

“Polis akan datang menyerbu selepas kita berjaya tikam dua pasangan hina tu. Jadi, pastikan kau tak gagal. Aku nak kau tikam Mut…” belum sempat Arif menghabiskan kata-katanya, aku sudah pun potong.
“Biar aku selesaikan janda aku tu.” kata aku.
“Kau pasti kau boleh buat?” tanya Arif meminta kepastian. Dan aku meyakinkan Arif bahawa aku boleh lakukan. Pada hari Jumaat itu nanti, kami harus pergi ke pulau tersebut yang di mana Hj. Jalal dan anggota polis yang lain akan menunggu di kawasan yang tidak dapat di lihat. Mereka akan bersembunyi sementara menunggu isyarat dari kami.

Sementara nak menunggu hari Jumaat, aku dan Arif kena tinggal di pulau itu dulu. Arif memberitahu aku bahawa dua orang pengawal yang dibunuhnya itu tidak boleh pergi ke pulau sana disebabkan tugas mereka adalah mengawal aku. Dan ahli-ahli yang lain pula, yang sudah berada di pulau itu, tidak boleh meninggalkan pulau tersebut. Kerana pulau itu sudah di pagar dengan nikmat dunia, kononnya. Andai ada sesiapa yang sudah memasuki pagar yang sudah dibuat, insan tersebut tidak boleh meninggalkan ia. Jika pantang larang tersebut dilanggar, maka insan tersebut akan menemui ajal. Dan itu adalah alasan yang Arif gunakan kepada mereka, Arif tidak suka tinggal di sesuatu tempat untuk jangka masa yang lama. Jadi, dia minta izin untuk tinggal di pulau ini bersama dua orang pengawal yang dibunuhnya. Jika dia bosan, dia boleh ambil bot dan pusing-pusing pulau lain yang berdekatan.

“Kau ingat dia orang nak percaya ke dengan cerita kau tu? tanya aku.
“Hm..entahlah. Kita tengok je lah nanti.” balas Arif seperti tidak ada apa-apa yang akan berlaku. Aku mulai terasa tak sedap hati dengan semua ini. Tetapi melihatkan Arif begitu tenang, aku yakin semua akan baik-baik saja. In-Shaa-Allah.

Hari yang dinanti-nantikan telah pun tiba. Aku dan Arif menaiki bot berenjin menuju ke pulau di mana kumpulan ajaran sesat itu akan melangsungkan ritual yang haram dan tidak patut. Aku harus segera dan menyelamatkan nyawa anak aku dan anak-anak mangsa yang lain. Arif mematikan enjin bot apabila kami hampir tiba di pulau itu. Kemudian kami harus mengayuh bot tersebut sehinggalah tiba di jeti.

“Nah..pakai jubah ni..Lepas tu cover sikit muka kau supaya dia orang tak perasan.” kata Arif sambil menghulurkan jubah berwarna hitam berserta hoodie. Lalu aku mengambil jubah tersebut dari tangan Arif dan aku sarungkan ia ke tubuhku.

“Ambik ni.. buluh runcing, sorokkan kat sini” sambungnya lagi sambil menyarungkan buluh tersebut di dalam jubah yang aku pakai. Arif telah mengubah suai jubah itu supaya ada poket kecil yang muat-muat untuk masukkan buluh tersebut. Setelah semuanya telah bersedia, kami berdua pun memulakan langkah. Kami meredah sedikit hutan yang ada. Dari jauh aku sudah boleh lihat cahaya.
“Unggun api..” kata Arif. Sambungnya lagi, apabila kami mendekati unggun api tersebut. Akan ada lukisan di atas tanah. Lukisan yang aneh seperti lukisan kuno. Lukisan tersebut dilukis secara bulatan penuh dan besar mengelilingi manusia-manusia yang berada dekat dengan unggun api tersebut. Apabila kami sampai, kami mendapati bahawa semua orang sudah pun memulakan upacara haram tersebut. Di bahagian tengah terlihat adanya unggun api, dan bayi-bayi malang itu semua ditempatkan di sekeliling api tersebut. Dan mereka yang lain-lain sibuk berjalan mengelilingi unggun api tersebut sambil penumbuk kiri dan kanan bertemu dan kepala menghala ke bawah. Aku tidak pasti apakah yang di baca oleh mereka kerana bahasa yang digunakan memang asing sekali. Hanya mereka sahaja yang mengerti.

Arif mengarahkan aku untuk ikut jejak langkah dia. Aku mengikuti dia tanpa ada sebarang bantahan. Ketika berjalan, mata aku tidak berhenti memandang ke arah bayi-bayi tersebut. Setegarnya mereka membiarkan bayi-bayi itu duduk berdekatan dengan unggun api yang sangat besar. Hati aku sebak apabila mendengar tangisan-tangisan dari bayi-bayi yang tidak berdosa itu. Aku harus selamatkan bayi-bayi itu. Tidak lama kemudian, kelihatan dua orang lagi manusia berjubah dan bertutup kepala lain dari yang lain. Dua orang tersebut memakai jubah berwarna merah darah dan ada lambang yang pelik di belakang jubah tersebut. Mengertilah aku bahawa mereka adalah Mutalib dan juga janda aku. Setelah Mutalib dan janda aku mengambil posisi seperti yang Arif beritahu beberapa hari lepas. Aku dan Arif pun memulakan operasi yang di rancang.

Aku mengambil kedudukan aku dibelakang janda aku. Aku pasti dia adalah janda aku kerana dari ketinggian dia. Walaupun wajahnya di tutup. Namun, aku pasti dan yakin bahawa itu adalah dia.
“Kau tak boleh mati dengan peluru dan parang semua. Tak apa. Kau jangan tumpas dengan buluh ni.” bisik aku di dalam hati. Apabila posisi aku betul-betul berada di belakang janda aku. Aku mengeluarkan buluh runcing yang tersedia ada di jubah dan tanpa berfikir panjang, aku terus menikam janda aku dari arah belakang. Arif juga turut melakukan perkara yang sama. Semua orang yang berada di situ berhenti dari berjalan. Dan kedengaran semuanya menjerit seakan-akan marah. Kemudian, kedengaran pula bunyi tembakan beberapa das dilepaskan ke udara. Aku lihat hampir 30 orang anggota polis datang menghampiri. Senjata api diacukan ke arah mereka semua. Dan aku dapat lihat dua orang lelaki seorang berjubah warna putih dan seorang lagi seperti memakai uniform. Aku agak yang berjubah putih itu adalah Hj. Jalal dan beruniform tersebut adalah bos kepada Arif. Anggota polis memberkas semua ahli kumpulan sesat itu dan sesetengah dari mereka menyelamatkan bayi-bayi yang berada di situ. Belum sempat aku nak pergi cari anak aku tiba-tiba Arif membawa aku pergi bertemu dengan Hj. Jalal.

Tiba-tiba kami semua terdengar suara jeritan dua orang anggota polis yang sedang memeriksa tubuh Mutalib dan janda aku itu. Aku toleh ke arah jeritan itu dan aku dapati bahawa dua orang anggota polis tersebut berada dalam keadaan cedera parah. Semua yang berada disitu terkejut dengan perkara yang berlaku. Tidak semena-mena, api yang berada ditengah tersebut menjadi semakin marak dan meninggi. Dan ianya berubah menjadi bentuk seorang manusia. Aku jatuh terduduk. Imej yang terbentuk dari api tersebut teramatlah aku kenal.

“Kau ingat senang-senang je nak bunuh aku? Kau ingat aku tak tahu rancangan kau orang? Ingat aku bodoh ke?!”

“Engkau telah dikuasai syaitan wahai makhluk yang dahulunya manusia.” kata Hj. Jalal tiba-tiba.

“Kau orang semua manusia berdosa. Manusia lemah dan tak tahu apa-apa! Aku akan takluki dunia ini! Semua akan jadi milik aku!”
Tanpa membalas percakapan mahkluk tersebut, Hj. Jalal memejamkan mata dan mulutnya terkumat-kamit seperti membacakan sesuatu. Hj. Jalal merendahkan badannya separuh, kaki kanannya di letakkan setapak ke hadapan. Gaya Hj. Jalal ketika itu saling tidak tumpah seperti seseorang yang sedang bersedia untuk bersilat. Lantas, kaki kiri Hj. Jalal diangkat ke depan di hentak ke tanah sekuat hati. Kemudian, dia melepaskan satu tumbukan keras ke atas bumi. Semua yang berada di situ dapat merasakan gegaran akibat tumbukan tersebut. Arif datang mendekati aku, dia menolong aku bangun.
“Susah jugak janda kau ni nak mati ek? Mana kau kutip dia? Jalan pasar ke?” kata Arif berseloroh. Aku tidak menghiraukan seloroh Arif. Aku menumpukan perhatian terhadap perlawanan yang bakal berlangsung sebentar lagi.

Kelihatan janda aku mengeluarkan sebilah parang yang berapi. Lalu dia melompatkan kehadapan demi menikam Hj. Jalal. Namun, serangan tersebut dapat dibaca oleh Hj. Jalal dan dia mengelak tanpa sebarang masalah. Kemudian, Hj. Jalal menendang pasir ke arah janda aku membuatkan dia menjerit kesakitan. Tetapi janda aku tidak berhenti di situ, dia hayunkan parang tersebut ke arah Hj. Jalal. Parang tersebut mengenai dada Hj. Jalal dan mengakibatkan pendarahan berlaku. Hj. Jalal terbatuk-batuk menahan perit. Janda aku tergelak-gelak melihatkan serangan dia mengenai dada Hj. Jalal. Dia berjalan menghampiri Hj. Jalal. Dan menghembuskan api keluar dari mulutnya. Mengakibatkan Hj. Jalal terbakar dan meronta-ronta kesakitan! Semua yang melihatkan perkara itu menjadi sangat terkejut. Beberapa orang polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah janda aku. Namun ianya tidak mendatangkan sebarang kecederaan kepada dirinya. Manakala yang lain pun berusaha untuk memadamkan api yang sedang lincah menjilat tubuh Hj. Jalal.

Arif yang berdiri disebelah aku mengambil buluh runcing dan terus berlari ke arah janda aku. Kini Arif pula berdepan dengan makhluk berapi tersebut. Arif menghunuskan buluh tersebut ke arah dia tetapi tidak mengena. Jelas kelihatan wajah janda aku sedikit ketakutan apabila buluh itu hampir mengenai dirinya. Arif melakukan beberapa serangan terhadap janda aku namun semuanya dapat di elak.
“Laju betul kau mengelak. Nampak gayanya aku tak ada cara lain lagi.” kata Arif. Entah mengapa, selama ni aku tidak dapat pernah mengagak atau pun meneka apa yang bermain difikiran Arif. Tetapi pada saat itu, aku boleh baca apa yang bakal dia lakukan. Aku tidak akan membenarkan dia melakukan perkara tersebut. Aku lihat Arif mencampakkan buluh tersebut ke arah aku, aku sambut buluh tersebut dan terus berlari mendapatkan Arif. Baru sahaja Arif ingin berlari menuju ke arah janda aku. Aku mematikan niat dia dengan menolak dia jatuh dan aku lemparkan buluh itu ke arah dia. Kemudian aku berlari ke arah janda aku dan aku peluk dia sekuat hati.

“Kau gila! Kau gila! Kau nak sangat mati!” jerit janda aku tetapi aku biarkan saja. Aku dapat rasakan api sedang merebak ke seluruh tubuh aku. Sakitnya tidak terkata. Namun demi menghentikan semuanya, aku harus bertahan.
“LAN!! Apa kau buat ni!!???” jerit Arif setelah dia melihat aku sedang memeluk janda aku.
“JANGAN BANYAK CAKAP! TIKAM DIA CEPAT!” balas aku. Aku dapat lihat wajah Arif berubah 100%. Tidak seperti sebelum ni yang di mana aku lihat dia seperti tidak ada perasaan. Tetapi waktu itu aku boleh tahu dari riak wajahnya, dia marah dan sedih dengan perlakuan aku.

“Aku tak boleh lakukan! Aku belum sempat minta maaf kat kau lagi!” kata Arif.
“Jaga anak aku untuk aku!!!” balas aku.

“LEPASKAN AKU! LEPASKAN AKU!” jerit janda aku.
“Hari ni kau mati bersama aku. Kita sama-sama merangkak di padang masyhar nanti.” balas aku. Arif bangun perlahan-lahan dan aku dapat lihat dia mengalirkan air mata jantan. Dia mengambil buluh dan terus menikam ke arah kami berdua. Jelas kedengaran jeritan dari janda aku. Jeritan kesakitan akibat ditikam objek yang mampu menumbangkan segala ilmu dia dan nyawa dia.

Secara perlahan-perlahan api yang sedang marak tadi hilang. Ketika itu, yang sedang berada di dalam dakapan aku adalah seorang wanita yang tidak kenali. Berwajah sangat tua dan hodoh. Berbau busuk seperti bangkai gajah. Kulitnya berkedut sejuta. Aku menolak tubuh si tua itu dan aku dapat rasakan buluh yang menembusi tubuh aku bergerak sama mengikut si tua tersebut. Setelah aku berjaya melepaskan diri. Aku lihat ke arah bekas tikaman tadi, begitu banyak darah yang mengalir keluar. Aku jatuh melutut. Terlalu sakit dan penat. Semua yang berada di situ dalam keadaan terkejut. Aku dapat lihat beberapa orang paramedik berlari mendapatkan aku.

“Dia tidak boleh mati disebabkan api tadi. Api tadi sebenarnya ilusi. Aku masih belum cukup kuat lagi untuk berlawan dengan syaitan yang macam ni.” kata Hj . Jalal yang aku lihat elok berdiri dan tidak ada sebarang kesan terbakar pada tubuhnya melainkan dadanya yang cedera akibat terkena parang tadi.
“Dia tak apa-apa. Buluh tu tak terkena pada usus-usus penting. Pendarahan pun kita dah berjaya hentikan. Jadi, kita kena segera bawa dia ke hospital untuk melakukan rawatan yang selanjutnya.” kata salah seorang paramedik yang merawat aku.

Aku membuka mata aku perlahan-lahan, terasa sakit apabila melihat cahaya yang terang benderang. Apabila aku sudah boleh membuka mata aku seluasnya, aku mendapati bahawa aku sedang berada di dalam sebuah bilik. Aku berada di atas katil.

“Relakslah. Muka terkejut apa hal? Kau kat hospital sekarang.” kata Arif. Aku dapat lihat Arif bersama Hj. Jalal dan beberapa orang yang lain. Aku tidak kenal pun siapa mereka itu. Seorang jururawat datang menghampiri aku bersama bayi. Dia menyerahkan bayi itu kepada aku dan aku menyambut bayi tersebut. Air mata aku mengalir. Aku gembira. Terlalu gembira kerana anak aku selamat. Kemudian, Hj. Jalal menerangkan semuanya. Dari A hingga Z. Barulah aku faham bahawa Arif sudah bertahun-tahun menyertai kumpulan sesat itu untuk mendapatkan maklumat demi memberkas mereka. Pertemuan aku dengan dia memang sengaja di rancang kerana aku telah pun berkahwin dengan pengasas kumpulan itu.
“Sebenarnya dia memang cintakan kau. Sebab dia pernah mengaku dengan aku. Tapi, syaitan dah kuasai diri dia. Dia tak dapat nak melawan sebab dia terlalu lemah. Dan, akhirnya dia tumpas ke tangan syaitan. Tambahan pula, suami dia tu memang syaitan yang menyamar sebagai manusia.” jelas Arif.

“Syaitan? Apa maksud kau?” tanya aku meminta jawapan.
“Mutalib tu syaitan. Yang kita lawan semalam tu Mutalib lah. Yang jadi mutalib pula, manusia. Konco-konco dia juga. Upacara yang dia orang buat tu sebenarnya untuk Mutalib si syaitan tu.” jelas Arif. Aku semakin bingung dan tak dapat tangkap dengan penerangan yang diberikan.
“Macam ni, janda kau. Dah lama meninggal dunia. Syaitan tu arahkan konco-konco dia untuk bunuh janda kau. Sebab janda kau menyesal dan tak mahu untuk melakukan kerja-kerja haram lagi. Akibat daripada itu, janda kau di bunuh.” jelas Hj. Jalal pula. Aku mengalirkan air mata. Setelah aku mendengar semua penjelasan daripada Hj. Jalal dan Arif. Aku membuat keputusan untuk mengampunkan dosa-dosa janda aku. Walaupun tubuhnya tidak ditemui.

“Arif. Kita kawan dah lama. Aku tak akan maafkan kau sebab kau banyak berahsia dengan aku.” kata aku kepada Arif membuatkan dia terkejut mendengarnya.
“Ha!? Apa?! Wei.. janganlah macam tu! Maafkanlah aku.. aku janji lepas ni tak ada rahsia lagi.” balas Arif bersungguh-sungguh.

–Tamat–

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Perempuan Kalis Peluru @ akustatik

10 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *