Budak Hantu: Apa Jadi Dengan Pan?

Baca dulu: Budak Hantu

Terima kasih FS dan para pembaca. Ada yang tanya apa terjadi pada Pan. Secara jujur, aku tidak berniat untuk menulis lagi mengenai Pan kerana aku sendiri tidak tahu di mana Pan kini dan apa terjadi padanya. Aku juga tidak sanggup ingat kembali pengalamanku bersamanya. Bukan semuanya pahit, tapi walau yang manis pun ada tercampur rasa sedih, malu. Bersalah.
Setelah aku lihat sendiri apa yang aku tulis mengenai Pan, ada juga rasa lega kerana dapat meluahkan apa yang aku rasa selama ini secara ‘incognito’. Harapanku, selepas selesai penulisan ini, aku boleh terima apa yang terjadi dengan hati yang terbuka.
(Edit: Minta maaf kerana penulisan agak panjang)

Pan. Ezfan. Budak Hantu. Aku menyambung persekolahan peringkat menengah di sekolah yang sama dengan Pan. Ini bukan satu kebetulan kerana kawasan perumahan kami kecil dan agak baru, jadi sekolah rendah dan menengah bersebelahan. Kawan-kawan sekolah rendah boleh dikatakan semuanya berada di sekolah menengah yang sama. Pada masa ini hubungan aku dan Pan banyak berubah. Bila dah remaja, ada rasa segan nak jalan balik sekolah sama. Apa lagi menghabiskan masa selepas sekolah bersama. Aku sibuk dengan tugas pengawas, aktiviti-aktiviti ko-kurikulum dan kumpulan kawan-kawanku yang semua perempuan. Apabila Pan lalu, aku selalu menundukkan kepalaku, buat tak nampak. Aku tahu Pan sedih bila aku tak endahkannya. Pan masih lagi Budak Hantu. Bila sudah remaja, jadi budak hantu boleh dikatakan ‘cool’ juga. Ala ‘Emo/Goth’ yang pendiam. Tangannya hitam kerana selalu melukis dalam buku lukisannya.

Walaupun secara fizikal, Pan adalah seorang remaja yang normal, masih ada lagi orang-orang yang menyisihkannya. Keadaan menjadi teruk apabila ada kes histeria di sekolah. Beberapa orang pelajar perempuan mula menjerit-jerit ketakutan kerana mereka nampak sesuatu yang menakutkan di sekolah. Terutama di tepi padang sekolah. Aku tidak terkesan, Alhamdullilah. Sebenarnya, aku berpendapat yang pelajar-pelajar histeria ini mengalami stress, kebetulan waktu itu musim peperiksaan. Dalam kekalutan, aku ditugaskan untuk menjaga pintu masuk belakang sekolah. Aku lihat Pan tengah mundar-mandir berjalan di padang sekolah seorang diri, bawa kayu hoki sambil menghayun-hayunkannya . Aku risau nanti ada yang cedera dipukul dengan tidak sengaja oleh Pan. Apabila aku jerit padanya, Pan berlari ke arahku, ditariknya aku keluar mengikut pintu belakang sekolah. Aku diheret balik ke rumahku tanpa sebarang penjelasan dan ditinggalkan aku di pagar rumahku. Aku tidak pernah keluar dari sekolah sesuka hati atau ponteng. Jadi bayangkanlah betapa marah dan kelirunya aku ketika itu. Petang hari yang sama, Pan pulangkan beg sekolahku yang tertinggal di sekolah.

Kekecohan kes hysteria masih terasa keesokan harinya kerana agak ramai pelajar yang tidak hadir. Ramai ibubapa yang datang ke sekolah ingin penjelasan dari pihak sekolah. Kami yang hadir tidak dapat tumpukan perhatian pada pelajaran. Iffah kawan sekelasku yang rajin ‘gossip’ menceritakan versi seramnya. Kata Iffah, sehari sebelum kes histeria tersebut, dia ada nampak Budak Hantu mengamuk. Budak Hantu telah mengugut kontraktor yang ditugaskan untuk memotong pokok-pokok di kawasan padang untuk membina gelanggang bola tampar supaya hentikan kerja mereka. Guru Displin kemudiannya memanggil Budak Hantu ke pejabat untuk diambil tindakan. Kesimpulannya, Budak Hantulah penyebab pelajar-pelajar perempuan terkena histeria.

Aku tidak percaya Pan boleh jadi ganas atau jahat. Dia tidak pernah meninggikan suara padaku, apatah lagi bertidak secara fizikal. Tapi aku malu untuk bersuara, takut dikatakan kawan Budak Hantu pula. Apabila ada beberapa pelajar lelaki memukul Pan di belakang sekolah dan yang lain bersorak, aku juga bersorak. Setiap tumbukan yang kena pada Pan, dia terima tanpa melawan. Matanya berair bercampur darah perhatikan aku bersorak. Dan setiap tumbukan yang kena pada Pan, aku pun terasa. Pipiku terbakar,rasa malu padanya.

Beberapa tahun berlalu.

Banyak yang terjadi dalam beberapa tahun itu. Menurut ibubapaku, Pan mendapat diagnosa dari doktor pakar. Autism spectrum disorder, with high functionality. Ini bermaksud yang Pan sebenanya mempunya masalah berkaitan dengan kelakuan dan deria yang sensitive tetapi masih boleh berfungsi seperti orang biasa dengan bantuan. Diagnosa ini banyak membantu menjelaskan perkara-perkara pelik yang terjadi pada Pan, tetapi tidak semua.

Aku pula sibuk dengan persediaan untuk peperiksaan PMR dan duniaku sendiri. Aku tidak lagi berkomunikasi dengan Pan kerana… oh banyak sebab. Rancangan yang aku tonton di tv tidak tipu. Rumitnya hidup sebagai seorang remaja.

Sehinggalah satu malam, agak lewat, terdengar Pan memanggil namaku di luar tingkap. Ada berita yang hendak disampaikan. Dia memberitahuku yang dia dan ibunya hendak lari dari rumah. Baruku tahu selama ini yang Pan dan ibunya menjadi mangsa dera bapanya. Pan anak tunggal mereka. Dia tidak tahu di mana mereka akan pergi tetapi ibunya ada rancangan rahsia. Aku terkedu, tidak tahu bagaimana untuk menerima berita mengejut ini. Pan meminta aku merahsiakan perkara ini pada semua termasuk ibubapaku dan tentu sekali bapanya. Aku lihat dia membawa sebuah beg galas yang besar.

‘Nah, Gee, ambik ni. Ingat tak Mr. Top?’ dia menghulurkan sesuatu dalam beg kertas sambil tersenyum. Aku keluarkan orang Lego kecil beruniform seperti posmen. Mr. Top adalah orang Lego yang aku curi ketika aku melawat rumah sepupuku semasa aku berumur lebih kurang 6 ke 7 tahun. Sepupuku mempunyai sebuah bilik yang khas untuk koleksi Legonya. Apabila aku tengok sebuah bandar kecil Lego ketika itu, aku teringat Pan yang amat inginkan set Lego sendiri tetapi ibubapanya tidak mahu membeli untuknya. Tanpa berfikir panjang, aku masukkan seorang posmen Lego dalam poket seluarku sebagai hadiah untuk Pan. Tersenyum lebar bila aku berikan posmen Lego, yang kami namakan Mr. Top itu, seakan-akan ada yang menghadiahkannya syurga Lego padanya. Selepas hari itu, Mr. Top menjadi maskot kami ketika main apa-apa jenis permainan.

Malam itu, Mr. Top dikembalikan pada aku. Okay, sebenarnya, aku telah mengaku pada sepupuku yang aku curi posmen Legonya beberapa bulan kemudian. Ya, memang aku lurus bendul. Aku tipu, kata sudah hilang dan menggantikan dengan duit RM10. Sepupuku tidak perasan pun yang mainannya dicuri. Jadi Mr. Top sudah jadi milikku. Aku tidak sangka yang Pan selama ini menyimpan permainan lama kami. Pan janji akan tulis surat apabila keadaan kembali tenang. Imej terakhir Pan sebagai seorang remaja yang terpahat di mindaku adalah masa dia berlari menuju ke arah ibunya di rumah sebelah, kedua-duanya berpelukan melambaiku dalam keadaan kabur kerana tanpa disedari, aku menangis.

8 tahun kemudian.

Aku mendapat satu emel berbahasa Inggeris yang agak pelik.

Dear Gee,
Ingat tak Auntie Zu? Mama Pan? Gee sihat? Auntie nak minta tolong sikit…

Auntie Zu, ibu kepada Pan rupanya. Dia menyatakan kebimbangannya terhadap Pan yang kini menghadapi kemurungan. Dia mula mencederakan dirinya. Auntie Zu tidak tahu siapa lagi yang hendak dia hubungi kecuali aku. Sememangnya dalam tempoh 8 tahun sejak kali terakhir aku mengucapkan selamat tinggal pada Pan dan Auntie Zu, Pan ada juga hantar surat-surat dan kemudiannya emel kepadaku. Mereka pindah ke Canada kerana Auntie Zu takut suaminya mengekori mereka. Di situ, Auntie Zu bekerja sebagai penterjemah selepas mengambil kelas malam. Pan pula berjaya menghabiskan pengajiannya dan bekerja secara ‘freelance’ untuk beberapa syarikat majalah dan komik ‘indie’ di Amerika Syarikat. Bakat melukisnya diakui hebat oleh peminat-peminat komik dan fiksyen sains, dan rakan-rakan sekerja. Aku memang bangga dengan pencapaian Pan. Dia selalu menggunakan ‘pseudonym’ untuk karya-karyanya, tetapi aku boleh kenal lukisannya. Aku simpan semuanya kerana akulah peminat nombor satu Pan. Komunikasi kami pada mulanya agak kerap tetapi lama-kelamaan menjadi jarang, kerana masing-masing sibuk. Kali terakhir, aku mengucapkan Selamat Hari Raya padanya. Pan tidak membalas emelku.

Emel tersebut diikuti dengan pangilan telefon dari Auntie Zu beberapa minit selepas itu. Dia kata dia akan hantar duit untuk aku terbang dan tinggal di Los Angeles, di mana Pan berada. Pan sudah beberapa tahun tidak bercakap dengan ibunya setelah mendapat tahu yang ibunya berkahwin lain. Auntie Zu hanya mendengar berita mengenai anaknya dari rakan-rakan Pan dan hari itu, seorang rakannya memberitahu yang Pan dimasukkan ke hospital atas percubaan bunuh diri. Aku bersetuju untuk pergi bantu Pan, temankan Auntie Zu. Alangkah geramnya aku ketika itu kerana proses untuk ke Amerika Syarikat dari Malaysia bukan begitu mudah. Buat visa sahaja memakan masa sebulan lebih. Banyak disoalnya. Mengapa aku pergi bersendirian? Mahu berkahwin dengan rakyat sanakah? Pfft!

Masa yang ditunggu tiba dan aku menaiki pesawat ke Los Angeles melalui Narita. Perjalanan yang lama dan memenatkan tidakku rasa. Setelah tiba di lapangan terbang, aku rasa berdebar-debar mencari Pan. Mataku terpaku pada satu kertas kadbod yang ditulis ‘WANITA MELAYU CUPCAKE TERAKHIR’ dan lelaki yang memegangnya tersengih. Ya itu Pan. Dan ya aku ada kedai kek yang menjual cupcake. Aku hampir tidak mengenalinya kerana Pan sekarang sudah berubah. Tinggi, kulit kuning langsat dahulu telah gelap diulit matahari California, rambut panjang diikat kemas. Memakai t-shirt hitam dan jeans. Dahulu tubuhnya kurus seperti Hang Kebun, tetapi kini dada bidang, tidak sado cuma sederhana. Kaca mata telah berganti kanta lekap. Cuma mata dan senyumannya sama. Dia tergelak lagi sekali kerana mukaku merah padam ter’kantoi’ melihatnya dari atas ke bawah.

Sekejap sahaja rasa janggal, kemudian bersembang tak berhenti sehingga tiba di hotel penginapanku, yang telah di bayar oleh Auntie Zu.

“Mama Pan mana?” aku bertanya.
“Didn’t work out with her,” jawab Pan ringkas, muka mencuka. Dia ajak aku pergi makan selepas barang-barangku diletak di dalam bilik.

Menurut Pan, dia bergaduh sekali lagi dengan Auntie Zu dan Auntie Zu balik Canada. Auntie Zu tinggalkan nota dan wang yang lebih dari cukup untuk perbelanjaan penempatan dan makanan sepanjang 2 minggu aku bercadang untuk tinggal di sini.

Dari saat itu, mulalah percutianku dengan Pan. Aku hairan sebenarnya. Di depanku Pan kelihatan sihat, mungkin mata cengkung sedikit tetapi tiada yang membimbangkan. Kenapa pula aku dipanggil untuk kononnya membantu Pan? Kami menyewa sebuah RV, caravan yang mempunyai tempat tidur kecil, bilik air dan dapur. Bergilir-gilir kami memandu dari California Utara ke Nevada dan Arizona, dan melalui San Diego kembali ke tempat Pan di Long Beach, Los Angeles. Dalam tempoh menjelajah jalan di sini, aku rasa cukup bahagia. Beginilah aku bayangkan kehidupan idamanku dengan lelaki yang perlahan-lahan, setelah bertahun-tahun mengenalinya, membuatkan aku jatuh cinta. Tapi kisahku ditakdirkan bukan kisah cinta bahagia.

Aku tahu yang Pan tidak dapat tidur lena. Kadang-kala mengelamun, fikiran entah ke mana. Semasa kami bermalam di padang pasir di Arizona, Pan pernah menghilang diri selama satu hari satu malam. Dia balik dalam keadaan berlumuran darah. Katanya jatuh dari cerun bukit dan kemudiannya pengsan. Aku agak marah kerana aku tahu dia tipu dan aku ditinggalkan keseorangan di tempat yang tiada orang langsung, dan sedih kerana Pan kini tidak sejujur dahulu. Di dalam RV juga, aku selalu rasakan seperti ada orang memerhatikan kami. Pintu bilik air terbuka dan tutup dengan sendiri, katil yang di kemas berselerak – mungkin juga disebabkan pergerakan kenderaan. Aku tak pasti.

Satu kejadian yang aku tak boleh memberi justifikasi yang logik adalah semasa kami di San Diego, baru balik dari Comic Convention. Kami sama-sama teruja dapat melihat banyak pelakon Hollywood dan para seniman terkenal di sana. Susahnya dapat ticket masuk. Pan telah membelinya berbulan-bulan sebelum itu, cadang nak bawa kawan tapi akhirnya aku juga bertuah dapat ticket. Kami ambil keputusan untuk bermalam di sebuah perhentian RV di tepi pantai. Waktu sudah agak lewat malam, tiada lagi kenderaan lain selain dari RV kami. Di sana, kami tidak boleh meletak RV di tempat meletak kenderaan biasa kerana RV dikira kenderaan berat. Seperti biasa, aku tidur di katil kecil di belakang dan Pan bentang sleeping bag di luar RV. Apabila aku nak terlelap, kedengaran suara-suara di luar RV. Pan mula menengking. Ada juga suara-suara lain yang bercakap dalam bahasa yang aku tidak pernah dengar. Riuh rendah sehingga aku keluar menyiasat. Dalam keadaan gelap aku kira ada 4 orang tengah bertengkar dengan Pan. Pan tolak aku ke dalam, pesan supaya jangan dibuka pintu kecuali dia yang suruh. Dalam keadaan cemas, aku dial 911 minta bantuan polis. RV kami dirasakan seperti ditolak-tolak dari luar. Aku dari dalam terasa seperti bola ‘pinball’ terlanggar segala perabut. Tingkap bersebelahan dengan katil di ketuk dan aku lihat ada tubuh sasa. Besar orangnya. Tinggi seperti pemain bola keranjang tetapi berbadan tegap. Apabila polis datang, keempat-empat penyerang telah hilang entah ke mana. Pan cedera ringan tetapi ada kesan lebam di bahagian bahu dan belakang. Kami diminta membuat laporan di balai polis. Balai polis di sana bukan seperti yang kita lihat di tv, penuh orang jahat. Tempatnya kecil sahaja, seperti pejabat biasa.

Keesokan harinya, kami balik semula ke tempat Pan di Long Beach. Dalam perjalanan 4 jam itu, Pan diam sahaja sampailah dia hantarku balik ke hotel yang sama. Dia balik apartmentnya.
Sejak balik dari ‘roadtrip’ kami, Pan tidak jumpa aku. Aku sebenarnya mahu memberikan ruang untuk Pan berfikir, jadi aku hanya hubungi Pan 3 hari kemudian. Waktu itu, ada 2 hari lagi dari tarikh aku pulang ke tanah air menurut ticket kapal terbang. Tidak berjawab. Aku ambil teksi pergi ke apartmentnya. Tidak pernah lagi menjejak kaki di situ. Bila pintu dibuka, aku terperanjat lihat Pan. Mukanya bengis, pakaian tak terurus dan bila masuk saja, bau busuk menerkamku. Bau makanan basi, bau badan yang tak mandi, entah bau apa lagi. Macam nak muntah tapi berjaya dikawal. Paling membimbangkan, aku jumpa syringe terpakai. Berbagai lagi alatan yang aku rasa tak patut ada di situ bertaburan di lantai dan katil. Keadaan apartment gelap dan bersepah. Barulah aku tahu Pan sebenarnya penagih dadah. Bila aku tanya, dihalaunya aku. Bukan sahaja keluar dari rumahnya, tapi keluar terus dari Amerika Syarikat. Kurang ajar!

Aku ingat aku tampar Pan. Bukan sekali tapi bertalu-talu. Siapa dia, yang ingat aku boleh lepas segala-galanya, hidupku, tunangku di Malaysia, datang terhegeh-hegeh separuh dunia nak selamatkan dia. Ya aku sudah bertunang. Dengan lelaki yang baik, bakal suami soleh. Bila dia tahu niatku pergi ke Amerika, dia diam. Dia hanya minta, bila aku balik, aku boleh buat keputusan yang sebaiknya. Perasaan marah membuak-buak sehingga aku tak ingat aku keluar dari apartment Pan dan berlari beberapa blok dari situ. Aku berhenti pun kerana bunyi telefon dari nombor yang tidak dikenali. Pihak Polis dari San Diego yang menyiasat kes serangan kami tempoh hari yang memanggil ku. Polis itu bertanya padaku adakah Pan menggunakan dadah atau minum alkohol? Mana mereka tahu?! Aku mengaku, ya ada. Polis itu memberitahu yang dia telah melihat video dari CCTV tempat parkir RV tersebut dan, cuba bayangkan ini, tiada seorang penyerang pun dalam video. Cuma nampak aku keluar dan masuk dari RV dan Pan di luar sedang berlawan sendiri, seperti tengah ‘high’. Sebelum mengakhiri perbualan, polis tersebut memberi satu nombor telefon ‘Narcotics Annonymous’, satu kumpulan sokongan untuk penagih dadah. Fikiranku kacau. Apa sebenarnya yang aku nampak di luar RV itu? Apa sebenarnya yang aku dengar? Bagaimana Pan boleh tumbuk bahagian belakang dirinya sendiri? Dia bukan ‘contortionist’ sarkis. Aku cuba mendapat penjelasan rasional tetapi fikiranku kembali pada zaman kanak-kanak aku dan Pan. Pelbagai insiden aneh yang aku sendiri mahu lupakan. Agak sukar untuk dipercayai terutama dalam usiaku kini dan tambahan pula dengan pengunaan dadah oleh Pan.

Aku sedar hari telah gelap dan aku sebenarnya sesat. Sesat di hutan konkrit, jauh dari rumah, di sebuah jalan yang sunyi. Cuma kedengaran bunyi kenderaan dari jauh dan bunyi radio dan tv dari apartment atas rumah-rumah kedai. Semua kedai telah tutup. Kawasan di sini penuh dengan grafiti yang menjolok mata. Dari jauh, aku nampak lampu stesen minyak dan aku berlari menuju ke sana. Lebih ramai orang lebih selamat. Semasa aku berlari, aku terlanggar dinding yang tidak dapat aku lihat. Bila aku jatuh, punggung terhentak jalan, aku ditumbuk di bahagian dada dan perut, terus aku terbaring. Dalam keadaan sakit, aku cuba bangun meminta tolong tapi mulutku berasa tebal, suara tidak boleh keluar. Tak sempat nak rasa apa-apa. Rasa macam nak mati saja. Dalam hati, aku sudah mengucap. Aku ditumbuk bertubi-tubi di kepala dan sebelum aku tidak sedarkan diri, aku rasa leherku dicekik. Tapi aku tak nampak siapa yang menyerangku.

Itu sahaja yang aku ingat sehingga aku sedar kembali. Mulanya gelap, walaupun sedar dan boleh dengar bunyi bising di sekeliling, tapi mataku tidak terbuka. Aku dengar suara lembut mengatakan dalam Bahasa Inggeris yang aku berada di hospital, mataku tertutup kerana bengkak. Jururawat rupanya. Diminta aku bertenang kerana saudaraku ada di sini. Suara Pan. Celaka. Pasal dia aku di sini. Hampir mati. Aku membisu.

Pan mula bercakap denganku tapi aku buat tidur. Aku hanya bercakap dengan pihak hospital dan polis. Hari kedua aku difahamkan ada dua tulang rusuk patah, prosedur kecemasan dijalankan untuk mengelak dari peparuku ditembusi. Hati dan limpa bengkak. Kepalaku ada ‘concussion’. Ibu dan bapaku di Malaysia panik. Mereka menghubungi kedutaan Malaysia di sini. Hari ketiga di hospital agak sibuk kerana pihak kedutaan datang melawat. Polis setiap hari datang menyoalku. Batang hidung Pan tidak kelihatan. Hari kelima dia datang balik. Dia ditahan di balai polis rupanya, disyaki menyerang aku, atau membayar orang menyerang aku. Polis melepaskannya kerana tiada bukti kukuh. Tiada saksi. Tiada CCTV kali ini. Pan pula selepas kami bergaduh, telah pergi ke hotelku dan tunggu di lobi sehingga pagi. Ada rakamannya tercongok di lobi hotel. Aku kurang pasti bagaimana dia boleh tahu aku masuk hospital. Aku tahu sebenarnya bukan salah Pan semua ini, tapi dalam keadaan sakit dan kekeliruan, aku masih menyalahkannya.

Aku berada di hospital lebih kurang 2 minggu. Hospital di sini juga bukan seperti yang kita tonton di tv. Memang besar tapi tidaklah sesibuk yang aku gambarkan. Mungkin di Jabatan Kecemasan sama agaknya dengan kisah ER. Aku tak pasti. Aku berkongsi wad dengan 5 lagi pesakit di sini. Trauma dipukul masih lagi ada. Aku takut untuk tidur kerana mimpiku agak ngeri. Aku bermimpi ada seorang lelaki bertubuh sasa datang mencekikku berkali-kali. Mukanya berubah-ubah, seperti orang memakai topeng bersilih-ganti. Kadang-kadang aku nampak lelaki itu masuk dalam wad dan duduk di kerusi berdepanan denganku sambil tersenyum. Tapi itu mungkin juga halusinasi dari ubat tahan sakit yang doktor berikan.

Pan datang melawat setiap hari. Bawa lauk dari rumah, jadi aku tak perlulah makan makanan ‘vegetarian’ atau ikan sahaja. Tiada pilihan halal di sini. Dia beritahu perkembangan dari Malaysia dan Auntie Zu. Auntie Zu pada waktu itu pergi ke Dubai kerana tugasnya melibatkan lawatan ke luar negara. Ibu dan bapaku setiap hari akan menelefonku. Setelah disahkan aku semakin pulih, aku dibenarkan balik dengan temujanji di Klinik Orthopaedic dan fisioterapi seminggu dari tarikh ‘discharge’. Balik di sini, bermaksud balik ke apartment Pan kerana aku tidak di benarkan menaiki kapal terbang dengan keadaan aku yang tidak berapa boleh bergerak. Aku juga tidak boleh berseorangan di hotel kerana aku memerlukan bantuan untuk makanan dan membersihkan diri. Berat hatiku melangkah masuk ke apartment Pan tetapi kali ini, sekali lagi aku terkejut melihat transformasi apartmentnya.

Pan telah mengemaskan tempatnya dengan bersungguh-sungguh seperti tempat baru. Siap ada pasang pewangi di sekeliling apartment. Apartment Pan ada satu bilik, ruang tamu, bilik air berkembar dengan bilik, dan dapur kecil. Aku hanya boleh duduk di kerusi roda yang disewa dari hospital, dan dengan bantuan Pan pergi ke bilik air dan baring di katil. Nasib baik aku boleh buang air, mandi dan ambil wudhu’ sendiri. Agak segan juga kerana aku tidak pernah lagi mengharapkan orang lain sedemikian. Aku dapat bersimpati dengan orang yang lumpuh dan ahli keluarga yang membantu mereka. Pan tidak kisah. Dia kembali ceria, buat lawak, masak dan mengemas seperti dia dilahirkan untuk menjadi suri rumahtangga.

Dia juga kembali melukis kerana ‘deadline’ tugasnya sudah dekat. Aku pun dalam kerisauan dan kesakitan, turut terhibur. Tapi kadang-kadang aku paksa senyum walaupun aku sebenarnya masih trauma. Aku tidur dengan sebatang kayu panjang aku ambil dari tingkap, bekas palang tirai lama. Langkah berjaga-jagaku bertempat, kerana selang dua tiga hari aku di kediaman Pan, aku diserang lagi. Pan waktu itu keluar sekejap ke kedai membeli barangan runcit untuk dapur.

Aku pula pada masa itu duduk di kerusi roda melihat padang permainan di hadapan kompleks apartment Pan dari tingkap bilik. Mula-mula macam salah nampak kerana aku lihat lelaki yang sama merenung aku dari tiang lampu di padang permainan. Kemudian lelaki itu berlari menuju ke arahku dan melompat ke bahagian luar tingkap. Dia seolah-olah melekap pada cermin tingkap sambil mengetuk-getuk tingkap.

Apartment Pan terletak di tingkat 4. Tiada manusia yang boleh melompat setinggi itu. Aku seperti baru bangun dari tidur. Barulah sedar bahawa lelaki ini bukan manusia. Aku tak boleh berfikir, naluriku hanya membenarkan aku bertindak. Aku capai palang kayu tirai di katil, sambil menjerit “Allahuakbar! Allahuakbar!” tingkap terbuka dengan sendiri dan makhluk menyerupai lelaki tadi telah masuk, perlahan-lahan jalan ke arahku. Dalam hatiku hanya kemarahan, semuanya terjadi dalam keadaan ‘slow-motion’. Aku hunuskan palang kayu pada badannya. Tertembus. Dia gelak. Mungkin aku bayangkan yang gelak penjahat seperti ‘MUA-HA-HA-HA.’ Tidak sebenarnya. Semua ‘stereotype’ dalam tv semua salah. Bunyi gelaknya perlahan, seperti mengekek tapi berbisik. Makhluk itu menarik tubuhku ke lantai, di balingnya aku di dinding, nyaris beberapa inci nak terbang keluar tingkap. Aku di julang sekali lagi seperti patung. Dalam keadaan hampir pengsan, aku terdengar satu lagi suara. Pan! Dia bercakap dalam bahasa yang aku tidak faham dan tidak pernah dengar. Suaranya garau, kuat, tetapi aku pasti itu adalah suara Pan. Aku rasa tubuhku dijatuhkan dan Pan menyambutku dari bawah. Lembaga itu telah hilang.

“Apa dah jadi ni Pan?! Kenapa semuanya jadi pada Gee? Sial ke Gee ni? Berdosa ke?” aku menangis masa tu. Rasa seperti putus harapan. Tiada siapa boleh tolong. Kalau penjahat, boleh panggil polis. Kalau hantu setan, nak panggil siapa? Bomoh? Ghostbuster? Manalah ada ustaz berilmu paranormal di sini. Aku sendiri baca ayat-ayat suci Al-Quran, dirasakan serba kekurangan.

“Bukan Gee sebenarnya. Gee tak ada salah apa-apa,” Pan turut menangis. Kami menangis seperti anak-anak kecil. Memang hodoh betul. Tak serupa kisah romantika di tv langsung.

Lebam yang dahulu tidak baik lagi, bertambah lebam baru. Kami pergi sekali lagi ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Alhamdullilah kali ini tiada patah apa-apa. Aku beritahu doktor yang aku berdiri dan jatuh dalam bilik air. Doktor tersebut melihat aku dengan penuh keraguan tapi aku dibenarkan pulang.

Kami duduk di ruang tamu, mula-mula tidak bercakap, tapi kemudian Pan bersuara,
“Dia takkan benarkan kita bersama, Gee. Dia suruh Pan pilih, nak mati ke atau nak dia bunuh Gee.’

Aku terdiam. Berat untuk terima kata-katanya tetapi inilah kali pertama Pan jujur padaku. Barulah semuanya terbongkar malam itu. Sejak dari dulu, Pan memang cintakan aku. Banyak malapetaka terjadi padaku adalah kerana ada makhluk-makhluk ghaib ini amat bencikan Pan. Ada sahaja caranya Pan menghalang mereka dari mengacau manusia dan mewujudkan kekecohan sesama kita. Jalan yang paling berkesan untuk menyakiti Pan adalah dengan memusnahkan orang yang Pan sayang. Aku ingat balik, Auntie Zu, betapa hancur hatinya bila Pan tinggalkan dia. Tidak menghubungi dia langsung. Pan sayangkan ibunya. Tidak terhingga. Aku saja tidak nampak. Dan Pan sayangkan aku.

Cukuplah.

Seminggu selepas kejadian malam itu, aku dihantar ke lapangan terbang LAX. Aku boleh jalan sendiri, cuma tidak boleh menunduk. Kami tidak banyak bercakap. Apa yang hendak diperkatakan sudah ada jawapannya. Kami tidak langsung mengucapkan selamat tinggal kerana ungkapan tersebut seperti sesuatu pengakhiran. Seperti program tv, bila ditulis TAMAT, bermakna tamat. Tiada ‘post-credit’ dalam kehidupan. Allah saja yang tahu betapa peritnya perasaan aku ketika melangkah masuk dalam pesawat. Tiada buah tangan atau gambar kenangan. Semuanya telah dipadam dalam handphoneku. Aku dan Pan berjanji tidak akan berhubung lagi. Tiada satu bukti pun yang kami bercinta kecuali dalam ingatanku. Dalam hatiku.

Mengapa aku tidak melawan balik demi cinta? Pengecutkah aku? Tiada cara lainkah seperti berubat? Aku letih. Untuk melawan sesuatu yang aku tidak akan mengerti. Yang ghaib mahupun halangan-halangan lain. Jika dikatakan aku penakut, biarkan. Aku harap dan berdoa agar tiada siapa di dunia ini berdepan dengan apa yang aku alami. Ya, mungkin ada ujian yang lagi besar Allah berikan pada hambaNya. Buatku, aku bersyukur atas apa yang dikurniakan olehNya selama ini dan ujian yang diberikan membuatkan lebih kuat.

Kembali ke tanah air, aku kemurungan. Post-traumatic Stress Disorder – PTSD. Secara rasmi, jawapan yang aku berikan adalah pengalamanku menghadapi trauma serangan. Berbulan-bulan juga untuk aku kembali dengan perniagaan kedai kek aku. Aku ambil segala pesanan kek tanpa hari cuti. Aku bekerja keras sehingga aku dapat mengambil dan melatih beberapa pekerja dan pelajar. Ini saja cara untuk aku melupakan dia.

Dua tahun kemudian.

Aku dapat panggil dari Auntie Zu. Suaranya perlahan, agak sukar untuk mendengar.

“Gee, Ezfan dah tak ada lagi.”

Aku minta dia ulangi. Kali kedua Auntie Zu meraung. Katanya Pan ambil dadah kerana ada kesan dadah di apartmentnya. Kemudian ada saksi-saksi yang nampak Pan berjalan ke arah pantai dekat dengan kediamannya dan mula berenang sehingga ke tengah laut. Tiada yang boleh menyelamatkannya kerana ombak begitu tinggi. Pasukan penyelamat mencari Pan sepanjang 48 jam selepas itu. Mayat Pan tidak dijumpai.

Solat jenazah ghaib dilakukan beberapa minggu kemudian di masjid berdekatan dengan rumah Auntie Zu dan surau berdekatan dengan rumah ibubapaku, tempat Pan dan aku mengaji dulu.

Aku tidak percaya yang Pan sudah tiada kerana aku dapat merasakan kehadirannya. Cuma aku tidak tahu di mana dia berada.

Kini.

Bila aku ada kelapangan, walaupun sekejap, sementara menunggu anakku bangun menyusu, aku akan melayari internet di waktu sebelum subuh. Aku jumpa apa yang aku cari selama ini sebulan lalu. Di sebuah platform untuk para pelukis mempamerkan karya mereka, aku lihat set lukisan komik, 24 muka surat panjangnya. Aku kenal sangat gaya dan teknik lukisannya. Ia menceritakan tentang 2 watak bercinta melawan kuasa jahat seakan-akan manusia bertukar muka. Mereka akhirnya berjaya mengalahkan kejahatan dan dapat bersama selamanya. Penulis dan pelukis, orang yang sama: Mr. Top.

GeeWhiz.

GeeWhiz
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

55 comments

  1. Geeeeee!!! Adakah ini betul² kisah benar atau fiksyen semata??? Klu kisah benar mmg betul² rasa hidup dlm kisah komik romantik.. Kisah dia sedih sgt.. x dpt bayangkn klu diri sndiri yg mengalamai.. apa pun bila baca part akhir rasa mcm “pan masih wujud”.. tetiba rasa mcm happy ending plk.. serius mcm baca komik romantik…

  2. Aku tak tau nak cakap.. aku baca macam aku faham dan tak faham, betul atau tidak… agaknya… budak ni rajin tengok anime agaknya…

  3. Tak tahu nk ckp pe. Rase nk menangis baca psl pan…. 😭😭😭
    Pan ni mcm kisah Alif dalam 7 dimensi.
    Kesian dia. Berat ujian dia..

  4. Sedih nyer time awk ckp turut sorak masa dia kena pukul…. Kalo sy pan x tegur dh kot org yg sorak sy… Tp sb hati dia mmg baik… Kesian dekat Pan… Actually dia mmg perlukn bantuan… Utk nk hilangkan smua gangguan agaknya tu yg dia amik dadah ……benda tu kalo dh amik tau lah kan….nk elak bahaya kt org yg dia syg terutama ibu..sanggup gtau kononnya benci…. Dok kt sana kan maybe susah sket nk cr perawat.. Ada jin kot yg mmg suka kt dia dr kecik n dh sebati …Alfatihah utk Pan..walaupn kita x tau dia betul dh meninggal atau tak… Amin.

  5. Terima kasih semua. Terpulang pada saudara saudari untuk percaya atau tidak. Itu bukan tujuan utama saya menulis. Cuma saya ingin bertanya: pernahkah dengar cerita Hansel dan Gretel, bagaimana mereka meninggalkan cebisan roti supaya mereka dapat kembali ke tempat asal mereka?

    This this one of my many breadcrumbs, left here, in this exact spot, at the exact time so he would know it’s truly me. To know that after all these years, I am here, safe and that I remember. Always.

    1. Love the story GeeWhiz. I believe you. It’s a kind of sad ( I was overwhelmingly sad) but I’m glad that you both are safe. Semoga Allah SWT memudahkan semua urusan anda dan keluarga anda berdua.

  6. Best cite ni. Penulisan yg sgt baik. Berdebar2 bace part kene tumbuk kt dada n kepala tu. Alhamdulillah semuanye selamat n Gee dah kawen pun. Kat mane pun Pan berada, harap dia baik2 saja.

  7. OMG.. Another mind blowing story after cerita Nani yang misteri tu.. Dah lama mokcik x tinggal komen kat FS tapi cerita ni best sangat, so memang nk kena bagi credit kat writer GeeWhiz kerana telah menghasilkan karya yang lain dari yang lain.. Be it cerita tersebut dari pengalaman sendiri atau fiksyen, mokcik turut sama rasa debaran dari penceritaan tu.. Semua perencah ada dalam cerita ni.. rasa seram, thriller, romance, sedih dan happy diolah dengan sgt subtle.. Well done, terima kasih kerana berkongsi dengan kami..

  8. first time baca cerita yg lain dari lain..congrats..dlm baca menitis air mata mcm2 perasaan bercampur baur..keep it up ghee..

  9. nenek susah nak percaya cerita ni melalui logik akal.. bkn pasal benda ghaib tu..tp berkaitan kewujudan cerita ni didunia sebenar.. 1st berani nya cu Ghee ke tempat asing bersendirian, perempuan plak tu..mula2 baca nek ingat cu ni lelaki, rupenya perempuan.. 2nd parents gee bagi plak ke sana tanpa berteman dan tak byk plak soalnya.. 3rd tunang ko cu bole rileks jek erk lepaskan ko pg.. huhu.. tapi gaya penceritaan cu nampak menarik n best… nenek siap tggu cerita seterusnya drp cu bila terbaca Budak Hantu yg pertama…

    jaga2 cu, ada yg memerhati..

  10. What a sad story.. Poor pan..
    What ever it is, even pan is no longer here.
    As muslim we cannot ignore something we cannot see..

  11. Gee, Pakcik ni dah umur lebih setengah abad but I really love your narration. It’s pure n overwhelmingly mengesankan. Keep on writing. Love it.

  12. wpun kisah ni seram..tapi ending nya sangat sedih.saya faham perasaan pan.tentu kehadiran sis di sana merupakan saat yg paling menggembirakan hati nya.mungkin dia fikir dengan membunuh diri itu satu pengorbanan utk org yg dia sayangi agar terus berada dlm keadaan selamat dan bahagia.wpun cara nya salah..semoga roh arwah di cucuri oleh rahmat Allah.

  13. Jalan cerita yg sgt menarik & pembaca pn merasa seolah2 turut berada di sana. Unsur2 seram tenggelam dgn rasa simpati terhadap nasib Pan & penulis. Di akhir cerita, mungkinkah Pan berpura2 mati utk menghilangkan dirinya terus dari org tersayang tapi sebenarnya masih hidup sebab mayatnya tak dijumpai & ada karya yg dipercayai miliknya di sebuah platform?

  14. hmm okay dlm bnyk2 cerita seram yg dah baca kat FS ni..ni story yg pling feel bila baca,serius tertusuk kat ‘dalam’ bila dah nak part2 akhir tu selepas smua nya dah trjawab..kadang2 sesuatu yg nmpak kasar dan kita tak tahu apa isinya ada sebab better dirahsiakan tkut diluahkan kita tak mmpu nak menanggung siksa nya :,)

  15. Sedih nya ending. Bole share kat mana tgk karya mr.top ni?
    Klu tkmo bgtau sni, can write to me at zekzura@gmail.com

    Terkesan sngt dihati cerita ni..sob..sob.. kenangan dan pengalaman hdup mcm ni mmg hnya akan kekal dlm ingtan..dan hati.

  16. Innalillah…..al-fatihah utk arwah pan…semoga arwah tenang disana walaupun cara dia pergi tu salah…semoga gee trus tabah hadapi liku2 kehidupan…msing2 ada kisah yg x blh dilupakan….x kisah laa kisah hitam dlm kehidupan atau takk…semua pernah diuji dahulu sblom menjadi insan yg betul2 kuat skrg…story nii best sgt…x jemu time baca buat hati ni nak truskan baca sbb makin menarik…hehee…truskan bercerita…

  17. Hi, tumpang tny, mcm mana nk jd penterjemah/jurubahasa??? Sbb sy berminat terhadap kerjaya ni, sbb sy Rasa seronok tolong terjemahkan bhsa utk org, tp kerjaya ni kcik je,susah nk Google, sy ada search, Ada org kata penterjemah dgn jurubahasa berbeza… Jurubahasa boleh jd penterjemah​,tp penterjemah x dpt jd jurubahasa,sbb jurubahasa ni kja kat parlimen or Makhamah.. Ada sesiapa yg sdg dlm kerjaya ini ke? Terdetik nk tny kat cni,sbb baca psl Auntie Zu,hehe

    1. flower, yg akk tau nk jd translator benda yg plg penting kena ada ialah sijil penterjemah boleh check kt british coucil klu xsilap sbb mereka de offer course penterjemah. bl dh de sijil penterjemah professional, maka boleh la apply mane2 job or offer service translation sbb skop job ni luas gak. student yg buat master/phd selalu cr org yg boleh translate thesis mereka ke english, corporate pun bl diaorg nk wat document company mmg akn cr translator profesional gak.

  18. Allahu….sgt mendalami cerita sis ni…hebat sungguh dugaan pan n pengorbanan cinta pan pada sis..sis owg terpilih untuk mengenali seseorg seperti pan..
    kalau x keberatan bole share hasil Mr.TOP disini atikahmun69@gamil.com sbb sy da jatuh cinta ngn cite sis ni..rase diri sendiri take over bila bace story ni…sgt sad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.