*Cerita ini adalah cerita benar. Diceritakan kembali oleh saksi kepada penulis*
“Syah, esok free tak? Kalau free, jom hiking.” Hafiz menyoal rakannya sebelum meneguk teh o suam.
Syah mengalihkan pandangan dari skrin telefon pintarnya kearah Hafiz.
Mereka sudah lama berkawan. Sejak dari tahun 2003. Pergi dan pulang dari sekolah pun bersama. Sekarang masing-masing berumur 23 tahun. Syah menggalas tugas sebagai ‘guide’ untuk kumpulan pendaki gunung tempatan. Manakala Hafiz pula penulis buku.
“Esok? Free rasanya. Nak hiking kat mana? Bukit Tok Din?” Syah menyoal kembali.
“Situlah. Kat mana lagi. Gunung Baling jauh. Malas pulak nak pergi. Hahaha.” Hafiz sekali lagi meneguk minumannya.
“Okay saja. Berapa orang nak ikut? Kalau ramai, lebih baik bertolak awal. Bertolak lewat nanti terlepas pulak nak tengok matahari terbit. Kalau kita dua, bertolak lewat pun takpa.” Syah kembali menatap skrin telefon pintarnya.
“Aku rasa kita dua sajalah kot. Kalau ramai nanti susah. Faham-faham jelah. Dah set pukul 5:00 nak bertolak, dekat pukul 6 baru nampak muka.” Nada Hafiz sedikit geram.
“Kita dua pun okay jugak. Cepat sikit sampai puncak nanti. Aku pun tak suka kalau nak tunggu orang ni.” Syah tersenyum sebelum menghirup minumannya.
Suasana dikedai makan itu sedikit terganggu dengan bunyi enjin motor anak-anak muda yang melintas.
Sambil melihat motor-motor itu hilang dari pandangan, Syah bertanya kepada Hafiz.
“Pernah dengar cerita pasal Bukit Tok Din?”
“Cerita apa? Haa, sebut pasal Bukit Tok Din, kenapa nama dia macam tu? Siapa yang bagi nama Tok Din?” Tanya Hafiz kehairanan sambil menggaru dagu.
“Dulu masa tahun 80’an, ada sorang lelaki bernama Tok Din bertapa dalam gua kat bukit tu. Aku pernah masuk dalam gua tu. Gua tu dekat dengan trek mendaki. Dekat sangat. Cuma orang tak perasan.”
“Dalam gua tu ada apa?” Hafiz sedikit teruja.
“Dalam gua tu ada banyak barang-barang lama. Nanti aku bawak kau masuk. Dalam gua tu. Tak tau la tembus kemana. Sekarang aku tak nak cerita pasal gua. Aku nak cerita pasal kejadian baru-baru ni. Orang sesat.”
“Hah? Orang sesat? Kat situ pun boleh sesat?” Hafiz kehairanan.
Sebut saja Bukit Tok Din, dia terbayang bukit setinggi 300 meter. Hampir 60% digondolkan untuk menanam pokok getah. Jika melihat pada ‘rupa’ bukit tersebut, sangatlah mustahil untuk orang sesat. Treknya pula sangat mudah. Bukit itu ada 3 puncak. Puncak kedua menjadi tumpuan para pendaki untuk bergambar.
“Macam mana boleh sesat?” Hafiz tidak berpuas hati.
“Okay, macam ni. Minggu lepas, aku dengan team hikers naik Bukit Tok Dun. Kami naik petang. Waktu tu orang dah tak ramai. Kami naik nak siapkan pondok dan tandas kat puncak.”
Syah mula bercerita…
****************
“Ni la yang tak best. Orang lain hiking, dia pun teringin nak hiking. Lepas tu sampah buang merata-rata.” Encik Lan membebel sambil mengutip sampah-sampah ditrek. Sampah yang dikutip dimasukkan kedalam plastik sampah yang dibawa. Syah yang mengikut dari belakang hanya mendiamkan diri. Apa yang ayahnya bebelkan itu ada betulnya. Dia sendiri melihat dengan matanya sendiri. Bahkan pernah mengutip sampah-sampah yang dibuang oleh pengunjung-pengunjung yang datang ke bukit itu.
“Kat bawah dah bersepah. Entah kat atas macam mana la nanti.” Tambah Encik Kamal. Encik Kamal adalah ahli dari team hikers itu.
Selepas 10 minit, mereka bertiga sampai kepuncak. Kelihatan beberapa orang pendaki sedang bergambar disitu. Mereka bertegur sapa. Kebiasaan bagi team hikers itu, apabila terjumpa dengan orang, mereka akan beramah mesra. Mengeratkan silaturahim.
Mereka meninggalkan pendaki-pendaki itu dan bergerak ke puncak 3. Sedang mereka melihat-lihat keadaan disitu, telefon Encik Lan berbunyi.
Pendaki-pendaki tadi mula bergerak turun. Waktu sudah menginjak ke senja.
“Aduh. Lori yang bawak barang rosak pulak.” Encik Lan mengeluh selepas menamatkan perbualannya ditelefon.
“Habis tu pondok tak siap jugak la hari ni?” Tanya Encik Kamal untuk kepastian.
“Tak siap jugak la. Tapi tadi Bang Li (pemandu lori) cakap InsyaAllah Subuh kejap lagi dia hantar.” Jawab Encik Lan. Syah hanya mendiamkan diri.
“Aku nak balik kejap. Ada hal ni. Orang rumah mesej tadi.” Encik Kamal bingkas bangun.
“Maghrib ni. Jangan balik lagi. Tunggu lepas azan.” Encik Lan cuba menghalang. Dia sedar risiko kalau turun waktu macam tu.
“Jangan risau. Tadikan budak-budak tu baru turun. Aku join depa la.” Encik Kamal menjawab sambil melangkah laju. Syah hanya memerhati Encik Kamal sehingga lenyap dari pandangan.
“Jom rehat kat pondok kat puncak 1.” Encik Lan mengajak anaknya sambil melangkah perlahan. Syah mengikut dari belakang. Tiba-tiba bulu romanya merinding. Hati berasa tak senang. Diatas puncak itu, hanya ada mereka berdua.
Kalau nak diikutkan, pondok 1 lebih kecil dari pondok di puncak 2. Tapi cukup lah untuk mereka berdua berehat. Suasana pada ketika itu sangat sunyi. Aman. Tenang.
“Syah, tau tak kat sini ada batu bersurat?” Encik Lan memulakan perbualan seraya mereka melabuhkan punggung dipondok itu.
“Batu bersurat? Kat mana?” Syah terkejut. Belum pernah lagi dia terjumpa batu bersurat. Gua dan sungai pernah la dia jumpa.
“Ada. Tapi ramai yang tak tau. Ada kat bawah.” Jawab Encik Lan sambil tersenyum.
Sedang mereka berbual, telefon Encik Lan berbunyi lagi. Kali ni dari Encik Kamal.
“Hello Lan. Tolong aku. Aku tak nampak apa ni. Gelap. Tolong aku.” Kedengaran suara Encik Kamal. Cemas.
“Okay okay. Tunggu situ. Jangan bergerak kemana-mana.” Encik Lan menamatkan perbualan. Mukanya sedikit cemas.
“Jom cari cik Kamal. Dia sesat.” Encik Kamal mengajak Syah sambil turun dari pondok.
“Tapi nak cari kat mana?” Syah mengikut ayahnya. Diaturnya langkah dengan cepat.
“Kita cari kat kawasan kayu balak tu.” Encik Kamal melangkah turun dengan pantas dan berhati-hati.
Ketika mereka sampai dikawasan itu, kelibat Encik Kamal tidak kelihatan. Encik Lan menelefon Encik Kamal.
“Kamal. Kat mana? Kami kat kayu balak ni.”
“Aku tak nampak apa. Gelap ni. Bunyi pun tak ada langsung.”
“Okay. Cuba baca ayat Kursi sambil pejam mata. Lepas baca, bukak mata. Jangan letak telefon.” Encik Lan memberi cadangan.
Selepas beberapa minit, Encik Kamal bersuara.
“Aku kat hutan ni. Kat jalan belakang.”
“Okay tunggu situ.”
Encik Lan dan Syah mula bergerak jalan belakang. Jalan belakang selalunya digunakan oleh lori-lori dan motor-motor pekerja yang menanam anak-anak pokok getah diatas puncak bukit itu. Jarang pendaki-pendaki menggunakannya kerana jaraknya agak jauh.
Langit semakin gelap. Masing-masing menggunakan pelita picit untuk menyuluh jalan. Keadaan dijalan belakang lebih gelap dari trek biasa. Mereka memeriksa dikiri dan kanan sambil berjaga-jaga.
“Jangan toleh belakang.” Encik Lan memberi pesan kepada Syah.
Syah tahu. Sejak dari tadi lagi dia merasa ada sesuatu sedang mengikut mereka berdua. Seperti ramai yang sedang mengikut.
Mereka terus mengatur langkah sambil membaca ayat Kursi didalam hati. Tiba-tiba Syah terpandang sepasang mata berwarna merah disebelah kanan mereka. Dia terus menghalakan lampu suluhnya kearah mata tersebut. Jantungnya berdegup laju.
Kelihatan sepasang mata merah seperti sedang marah. Rupanya seakan-akan seekor beruk tetapi lebih buruk. Taringnya panjang ke dada. Mulutnya ternganga sambil air liur menitis. Badannya besar berbulu hitam. Syah segera mengalihkan pandangannya kehadapan sambil terkumat-kamit membaca beberapa ayat al-Quran. Makhluk itu hanya memerhati mereka. Dia tahu ayahnya juga nampak.
Dari jauh mereka ternampak cahaya lampu suluh berkelip-kelip.
“Assalamualaikum! Kamal ke tu?” Encik Lan menegur dari jauh dengan suara yang kuat.
“Waalaikumussalam! Ya! Aku ni, Kamal!” Encik Kamal menjawab.
“Okay tunggu situ!” Encik Lan nampaknya berpuas hati. Mereka berdua berjalan pantas ke lokasi Encik Kamal.
“Aik. Mana pulak dia ni hilang?” Encik Lan menggaru kepala yang tak gatal apabila Encik Kamal tiada disitu. Tiba-tiba telefon Encik Lan berbunyi.
“Hello Lan. Aku kat puncak ni. Puncak 2.”
“Kat atas pulak? Aduh benda ni main-main. Okay tunggu kami naik.” Encik Lan sedikit geram.
Mereka berdua berpatah balik keatas. ‘Benda-benda’ yang tak dapat dilihat oleh mata kasar masih mengikut mereka sampai keatas.
Tiba diatas, mereka terus kepuncak 2. Mereka mencari dikawasan sekitar dan juga dipondok yang belum siap itu tetapi kelibat Encik Kamal tidak kelihatan. Telefon Encik Lan berbunyi.
“Lan. Aku ada kat puncak 1 ni.” Kedengaran suara Encik Kamal dihujung talian sebelum putus.
“Jom cari kat puncak 1.” Encik Lan mengajak Syah. Ini bukan Encik Kamal main-mainkan mereka, tetapi makhluk halus. Mustahil mereka tak nampak Encik Kamal kat puncak 1 tadi. Kalau nak guna jalan belakang, kena melalui puncak 1 dulu.
Apabila mereka sampai kepuncak 1, Encik Kamal masih belum kelihatan. Sekali lagi telefon Encik Lan berbunyi.
“Lan. Aku kat puncak 3 ni. Kau kat mana?” Encik Kamal cemas.
“Aku kat puncak 1 ni. Kau azan kuat-kuat. Benda tu nak main-mainkan kita nampak gayanya. Azan sampai kami sampai sana.” Encik Lan mematikan telefonnya. Mereka melangkah deras menuju kepuncak 3.
Peluh membasahi dahi mereka sejak dari tadi. Penat jangan cakaplah. Syah tahu ayahnya sedang geram. Sayup-sayup kedengaran laungan azan. Setelah mengamatinya, suara itu milik Encik Kamal. Mereka berdua melangkah dengan lebih pantas sehingga kepuncak 3.
“Syukur alhamdulillah dah jumpa.” Encik Lan segera memeluk Encik Kamal yang sedang duduk berhampiran batu besar. Wajah Encik Kamal pucat. Tangannya sedikit menggeletar.
“Jom balik. Lagi lama kat sini lagi teruk la nanti.” Encik Lan mencadangkan. Syah dan Encik Kamal bersetuju. Mereka turun dengan berhati-hati. Masing-masing bagai dikunci mulut. Tapi ayat Kursi sentiasa dibaca didalam hati. Gelap malam sedikit menyukarkan pandangan. Tidak sampai 30 minit mereka sudah sampai dibawah.
Mereka berehat dikereta Encik Lan.
“Macam mana boleh sesat?” Tanya Encik Lan setelah dia pasti keadaan Encik Kamal kembali tenang.
“Mula-mula aku ikut budak-budak tu turun. Tapi semakin aku ikut rapat, semakin laju pulak kumpulan tu berjalan. Bila aku panggil, masing-masing macam tak peduli. Buat tak dengar. Sampai la aku tertinggal jauh kat belakang, sampai kumpulan tu hilang.”
Encik Kamal berhenti bercerita seketika sebelum menyalakan api rokok. Dihembusnya asap 2-3 kali sebelum menyambung kembali cerita.
“Lepas tu aku rasa ada angin kuat datang dari sebelah kanan aku. Tiba-tiba pandangan aku jadi gelap. Lepas tu aku ada kat jalan belakang tu. Dari jauh aku nampak 3 ekor entah apa benda warna hitam pekat tengah tengok aku. Saiz masing-masing besar sikit dari pondok kat atas puncak tu. Bila nampak kau datang, benda-benda tu datang kat aku. Lepas tu pandangan aku gelap. Sedar-sedar aku kat pondok atas. Sampai la aku kat puncak 3. Bila aku azan, benda-benda tu mula hilang.” Encik Kamal menamatkan ceritanya sambil mengelap peluh didahi. Rokoknya masih dikepit dijarinya.
“Aku dah pesan. Tunggu lepas azan dulu baru turun. Nasib baik jumpa balik. Kalau tak, hilang 3 hari macam pekerja yang tanam pokok tu. Boleh balik tak ni? Kalau tak boleh, tumpang kereta aku. Motor tinggal kat sini.” Encik Lan bangun sambil membuang debu tanah yang terlekat diseluarnya. Syah menyimpan beg-beg mereka di bonet belakang.
“Tak apa la. Boleh balik ni. Risau pulak nak tinggal motor aku tu kat sini.” Encik Kamal menjawab sambil melangkah ke motosikalnya.
******************
Syah berhenti bercerita sejenak. Minumannya diteguk sehingga habis.
“Kami follow Encik Kamal dari belakang. Masa tengah follow tu, ada benda gegar kereta kami. Kami follow Encik Kamal sampai kerumah dia. Alhamdulillah tak ada apa yang selepas tu.” Ujar Syah sambil merenggangkan tangannya.
Hafiz sepertinya tidak berpuas hati.
“Dah habis dah ke? Kau kan selalu naik bukit tu. Mesti banyak lagi pengalaman boleh cerita. Cerita la lagi.”
“Cerita? Aku tak nak cerita lagi. Aku nak kau rasa sendiri. Jom pukul 1:30 kejap lagi nanti ikut aku. Kita hiking.” Syah menjawab sambil tersenyum.
“Kejap lagi? Okay on.” Hafiz mengangkat ibu jarinya.
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Menarik. ??
bukit tok dun kan?
bukit tok dun kat Perlis ada ar..pakat gila hiking .. aku yg x suka p tempat mcm tu.bg yg minat teruskan la..
Cancel..hahahahaaa..seram lak…
Aku xpernah hiking..walopn dh ada niat nk hiking..
Pernah aku nak hiking dgn kawan2 seramai 17 org..tiba2 dh gerak dlm 15 minit..ada pulak sorg kawan aku ni dtg penyakit semput dia..hok aloh..dh aku le kena sukarela xpergi ke atas sbb kesian ke kawan sorg ni dh muka pucat tangan biru..nak turun bawah berdua rasa seram pulak..sudahnya berdua dok tunggu kt pondok berzikir banyak2..sib le fon xde line..sekian..