“Semua dah sedia?” Syah bersuara sambil memeriksa lampu suluhnya. Hafiz dan Adi seakan tersentak dengan soalan itu.
“Of course la dah sedia.” Hafiz menjawab sambil mencekak pinggang. Lagaknya seperti seorang pahlawan Melayu. Sesekali dia memperbetulkan kedudukan beg galasnya. Dia sudah tak sabar untuk merasai satu pengalaman baru bagi dirinya. Perbincangan dikedai makan sebentar tadi masih melekat dimindanya. Kali ini Adi menyertai mereka.
“Ha, jom.” Syah mengajak setelah semuanya sudah bersedia. Cahaya dari lampu suluhnya menerangi jalan dihadapan mereka. Bukit Tok Din megah berdiri menanti untuk didaki.
Pada waktu itu, hanya mereka bertiga sahaja yang berada disitu.
“Sekarang dah pukul berapa?” Tanya Syah yang berjalan didepan.
“Pukul 2:10 pagi.” Jawab Adi pendek.
Mereka bertiga terpaksa meredah laluan kelapa sawit terlebih dahulu sebelum sampai ke kaki bukit. Keadaan disitu sangat gelap. Menyukarkan sedikit perjalanan mereka. Masing-masing membisu. Sesekali terdengar bunyi ranting patah dan daun dipijak serta daun-daun pokok bergerak. Seolah-olah kehadiran mereka bertiga disambut oleh ‘penduduk’ disitu.
Syah berjalan paling hadapan, dibelakangnya Adi. Hafiz berjalan dibelakang.
10 minit kemudian, mereka tiba kaki bukit. Ada yang memanggil pintu rimba. Mereka berhenti rehat seketika.
“Okay, kalau ada apa-apa, jangan lari. Buat macam biasa.” Pesan Syah kepada Hafiz dan Adi. Mereka berdua mengangguk. Perlahan-lahan mereka memulakan pendakian semula.
Tiba-tiba bulu roma Hafiz berdiri tegak. Bulu tengkuknya meremang. Masakan tidak. Dia yang berada dibelakang sekali. Syah dan Adi berada didepan. Tetapi dia merasakan ada seseorang atau sesuatu sedang mengikut mereka di belakang. Hafiz menoleh sedikit dan menggunakan ekor mata untuk melihat apa yang sedang mengikut mereka.
Dalam keadaan yang gelap itu, dia dapat melihat ada sesuatu sedang merangkak tidak jauh dari belakangnya. Makhluk itu berwarna hitam pekat. Tangannya panjang. Jantung Hafiz mula berdegup kencang. Tetapi dia tetap berlagak seperti biasa. Langkahnya masih dijaga. Berhati-hati.
Ketika mereka sampai dilereng bukit, Hafiz memberanikan diri untuk menoleh sekali lagi. Tetapi makhluk tadi telah hilang.
“Kenapa?” tanya Syah.
“Tadi ada benda ikut kita.” Hafiz membalas.
“Biasa la tu. Dia memang selalu ikut orang pun. Siapa-siapa yang naik, dia akan ikut. Orang yang tak nampak dia.” Syah membalas. Dia kelihatan tenang. Mungkin sudah biasa.
“Tak bahaya?”
“Tak pun. Dia cuma ikut. Jom gerak.” Syah mengatur langkah. Mengepalai Hafiz dan Adi. Mereka menapak kehadapan. Sehinggalah sampai ke laluan dimana ada sebatang pokok yang telah lama tumbang. Untuk melalui laluan itu, badan kenalah dibongkokkan.
Jantung Hafiz terasa bagai hendak luruh. Makhluk yang tadinya dibelakang merangkak mengikut mereka kini telah berada dihadapan mereka, bertinggung diatas batang pokok yang tumbang itu.
Tangannya panjang meleret hingga ke tanah. Badannya sebesar meja makan. Taringnya panjang hingga ke dada. Tersenyum melihat mereka bertiga. Kelihatan seperti Ryuk, dewa kematian dalam anime Death Note. Mungkin kedengaran agak kelakar, tapi inilah antara ‘penduduk’ yang mendiami Bukit Tok Din. Cuma yang membezakan antara realiti dan anime adalah makhluk ini tidak kelihatan mata dan hidung. Yang nampak hanyalah mulut yang tersenyum lebar.
“Ah sudah. Macam mana nak lalu ni.” Hafiz bermonolog. Dia kelihat gelisah. Dia pasti Syah juga nampak. Adi berjalan dulu. Membongkok melalui bawah pokok itu. Makhluk itu hanya memerhati Adi yang sedang membongkok dibawahnya. Kemudian makhluk itu mengalihkan pandangan kearah Syah dan Hafiz. Masih lagi senyum.
“Adi tak nampak ke?” Bisik Hafiz kepada Syah.
“Aku rasa tak nampak.” Syah menjawab pendek.
“Macam mana kita nak lalu ni?” Tanya Hafiz lagi.
“Lalu macam biasa. Baca ayat Kursi dalam hati.” Syah memberi tips.
“Weh cepat la. Tunggu apa lagi?” Adi bersuara. Dia kelihatan tak sabar untuk meneruskan perjalanan.
Kaki Hafiz seakan-akan berat untuk melangkah. Makhluk itu mula berdiri. Kemudian hilang perlahan-lahan. Hafiz menoleh kearah Syah. Syah cuma mengangguk. Mereka meneruskan pendakian seperti biasa. Pukul 2:50, mereka bertiga tiba dipuncak.
“Alang-alang dah ada kat bukit ni, apa kata kita buat satu aktiviti.” Syah memberi cadangan.
“Aktiviti apa?” Adi kehairanan.
“Kita buat aktiviti paranormal. Bukit ni ada tiga puncak. Kita pun ada tiga orang. Sorang satu puncak. Macam mana?” Tanya Syah sambil memandang kearah kedua kawannya itu.
“On.” Jawab Hafiz dan Adi hampir serentak.
“Okay. Siapa yang nak duduk kat puncak satu?” Tanya Syah lagi.
“Aku.” Hafiz menawarkan diri.
“Puncak dua?” Syah memandang Adi.
“Apa beza puncak dua dengan puncak tiga?” Adi bertanya.
“Puncak dua, lokasi kita sekarang ni, ada pondok. Puncak satu pun ada pondok. Cuma puncak tiga saja yang takda pondok. Dan jauh sikit.” Jawab Syah sambil menyuluh disekeliling.
“Aku duduk puncak dua.” Laju Adi memilih tempat.
“Okay. Kalau ada apa-apa, kalau nampak apa-apa, kalau dengar apa-apa, jangan takut. Jangan lari. Buat macam biasa. Baca apa yang patut dalam hati. Kalau takut sangat, tundukkan kepala, tutup mata, panggil nama kuat-kuat. Ataupun azan kuat-kuat. Yang paling penting jangan lari. Duduk kat situ.” Syah memberi pesan. Serius. Hafiz dan Adi mengangguk.
“Orait. Jom mula.” Syah bergerak ke kiri, ke puncak tiga. Manakala Hafiz ke kanan menuju ke puncak satu. Adi mengambil tempat didalam pondok dipuncak dua.
Hafiz menoleh kebelakang. Cahaya dari lampu suluh Syah semakin menjauh lalu langsung hilang. Mungkin dimatikan.
Hafiz mempercepatkan langkahnya apabila dia terasa seperti ada sesuatu yang sedang mengikutnya dari belakang. Dia mempercepatkan lagi langkahnya sehingga menemui pondok. Terus dia masuk kedalam tanpa menanggalkan kasut. Duduk bersila ditengah-tengah pondok.
Suasana sunyi. Hafiz mematikan lampu suluh dari telefon pintarnya. Keadaan disekeliling menjadi gelita. Cahaya bulan samar-samar menjadi lampu alam.
Ekor matanya menangkap kelibat berwarna hitam pekat disebelah kiri. Hafiz tahu dia tidak keseorangan disitu. Entah ada berapa ekor yang sedang menemaninya ketika itu. Dia menoleh ke kiri. Walaupun keadaan gelap, tetapi dia masih mampu melihat lembaga yang berdiri tidak jauh dari pondoknya itu.
Tiba-tiba bulu tengkuknya berdiri tegak. Seperti ada sesuatu dibelakangnya. Perlahan-lahan Hafiz menoleh. Terdapat satu makhluk berpakaian putih lusuh sedang bertinggung diatas penghadang yang terdapat ditepi pondok. Rambutnya panjang berwarna kelabu. Hafiz mengalihkan pandangannya kehadapan. Jantungnya berdegup laju. Makhluk itu mula merangkak menghampiri Hafiz dari belakang. Segala surah bagaikan telah hilang dari memori. Mulutnya bagai dikunci. Ingin saja dia lari tinggalkan pondok itu. Tapi dia mengambil keputusan untuk terus kekal disitu, seperti apa yang Syah pesan tadi.
Makhluk itu berada betul-betul dibelakang Hafiz. Mendengus kasar. Degupan jantung Hafiz semakin laju. Beg yang digalas terasa seperti ditarik-tarik. Hafiz memberanikan diri menoleh kebelakang. Jantungnya bagai hendak luruh.
Makhluk berupa orang tua berkedut seribu sedang tersenyum menyeringai menampakkan gigi yang terlalu buruk. Rambutnya kusut. Matanya bulat berwarna putih.
Hafiz lantas melaungkan azan. Makhluk itu yang tadinya tersenyum bertukar riak. Dari bertinggung, dia melompat keatas bumbung pondok. Digoyangnya pondok bagai dilanda gempa bumi. Lantai pondok diketuk kuat dari bawah. Hafiz masih melaungkan azan sambil menutup mata. Tak lama kemudian keadaan kembali normal. Makhluk tadi menghilangkan diri. Ghaib. Dari jauh dia nampak cahaya lampu datang menghampiri.
“Hafiz! Okay ke?” Syah datang bersama Adi. Mereka kelihatan sedikit risau.
“Aku okay. Aku okay.” Hafiz menjawab. Perasaan cemas mula reda apabila melihat dua kawannya itu. Terus dia turun dari pondok itu lalu bergegas mendapatkan Syah dan Adi. Syah menghulurkan tangan seperti ingin bersalaman. Hafiz sedikit hairan namun tangan Syah tetap disambut.
“Jom kita berkumpul kat puncak dua.” Syah mengajak. Hafiz dan Adi cuma mengikut. Hafiz menoleh kearah pondok. Kelihatan sepasang mata berwarna merah sedang memerhati mereka dari bawah pondok.
“Sekarang pukul berapa?” Tanya Syah setelah mereka bertiga sampai dipondok dipuncak dua.
“Pukul 4:20.” Jawab Adi.
“Kita duduk kat pondok ni dulu. Lepas pukul 6 pagi baru turun.” Syah menanggalkan kasut lalu berbaring didalam pondok. Diikuti dengan Hafiz dan Adi.
“Pukul 6? Kenapa pukul 6?” Adi hairan.
“Kalau turun sebelum pukul 6, trek gelap lagi. Bahaya.” Jawab Syah pendek sambil menyalakan api rokok.
“Macam mana Hafiz? Dapat bahan untuk cerita kau?” Tanya Syah sambil mengalihkan pandangaannya kepada Hafiz.
“Dapat. Tapi tu lah. Silap juga tak rakam tadi.” Hafiz menjawab. Sedikit kecewa dalam nadanya.
“Nak rakam buat apa? Benda-benda ghaib ni lebih baik kita simpan untuk diri sendiri. Kalau tunjuk nanti orang cakap palsu. Orang cakap edit. Walaupun benda tu benda betul.” Nada Syah serius. Hafiz bersetuju.
“Benda-benda macam ni kalau nak tau real atau palsu, kena alami sendiri. Rasa sendiri. Baru tau. Aku pernah jumpa dengan orang-orang yang macam ni. Bercakap macam-macam. Tu palsu, ni bohong. Tapi bila ditanya macam mana tau, dia jawab orang cerita. Dia jawab, tengok kat tv. Bila tanya pengalaman, dia cakap tak pernah. Bila ajak cuba untuk cari pengalaman, dia bagi alasan buang masa. Takda faedah. Hebat orang-orang yang macam ni. Boleh cakap tentang apa yang dia sendiri tak tau.” Berkepul-kepul asap dihembus dari mulut Syah. Apa yang dikatakan oleh Syah memang betul.
“Tadi masa kat puncak satu, kenapa kau salam aku?” Tanya Hafiz. Itu yang dia hairan sejak tadi.
“Aku nak tengok betul ke tu kau. Atau jelmaan. Sebab kita tak boleh sentuh jin. Jin tak berjisim. Kalau sentuh, rasa macam sentuh asap. Selalunya kalau jin menyamar jadi manusia, dia takkan salam atau sentuh manusia. Nasib baik kau sambut salam aku tadi. Hahaha.”
“Eh burung apa tu?” Tanya Adi sambil menunjuk kearah makhluk berwarna putih yang sedang terbang di puncak tiga.
“Entah la. Tengok cara terbang macam burung helang tengah perhati mangsa.” Jawab Syah sambil mengecilkan matanya untuk melihat dengan lebih jelas.
Tiba-tiba makhluk itu terbang kecarah puncak dua, puncak dicmana mereka bertiga berada. Semakin lama semakin dekat. Ketiga-tiga mereka terkejut kerana makhluk itu sebesar manusia. Hanya terbang setinggi tiang elektrik. ‘Sayap’nya masih didepakan, tidak bergerak. Ternyata makhluk itu bukan burung. Makhluk itu berlegar-legar diatas pondok mereka sambil mengeluarkan bunyi seperti kain dikibas. Mereka bertiga saling berpandangan. Makhluk itu terbang dari puncak ke puncak dan terus ghaib apabila azan Subuh dilaungkan.
Mereka bertiga solat berjemaah di dalam pondok itu, kemudiannya berehat-rehat sambil menunggu matahari terbit.
“Hari Jumaat ada orang naik bukit ni tak?” Tanya Hafiz.
“Jarang ada. Kalau ada pun, mungkin dari Kedah. Tapi aku tengok macam takda. Sebab selalunya sebelum subuh ada orang kat atas.” Jawab Syah sambil mengemas pondok.
“Kita nak turun pukul berapa?” Adi pula bertanya.
“Kejap lagi kita turun. Sekarang kita tengok awan karpet dulu. Hahaha.” Syah menjawab seraya turun dari pondok. Hafiz dan Adi mengikut dari belakang.
Di hadapan mereka terhidang satu pemandangan indah yang tercipta dari awan-awan yang terhampar diudara seperti permaidani.
“Indahnya ciptaan Tuhan,” Hafiz berbisik di dalam hati sebelum dia dan Adi berganti-ganti mengambil gambar.
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Bahagian 1 manoi? Admin klu blh kisah2 yg bersambung2 ni tarok skali link mcm sblm2 ni plssss thanks muah ciket