DENDAM CIK TIPAH SANGGUL BERBUNGA

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera admin Fiksyen Shasha. Terlebih dahulu terima kasih telah menyiarkan cerita saya yang bertajuk Siapa Zulaikha? dan Misteri Lebuhraya Latar Berhantu. Kali ini, saya mahu berkongsi kisah berkenaan seorang wanita yang mengamalkan ilmu hitam. Cerita ini adalah berdasarkan kejadian benar yang diceritakan kepada saya. Kisahnya bermula begini:

Pada tahun 60-an di sebuah kampung terpencil di Negeri Sarawak tinggal gadis cantik yang bernama Tipah. Tipah merupakan gadis yang sangat cantik dan menjadi kegilaan ramai jejaka di kampung berkenaan. Berkulit cerah,sopan santun dan peramah menjadikan Tipah sentiasa menjadi topik bualan bibir jejaka di kampungnya. Dapat bertegur sapa dengan Tipah merupakan perkara bertuah untuk mereka. Setiap hari jejaka ini akan sengaja melalui kawasan perumahan Tipah untuk melihat kelibat Tipah sama ada semasa Tipah menjemur pakaian ataupun berada di luar beranda rumah.

Tipah tinggal bersama dengan kedua orang tua nya dan merupakan anak tunggal di dalam keluarga. Bapa nya hanyalah seorang pekebun getah dan ibu nya pula hanya suri rumah. Kehidupan Tipah sekeluarga amat naif dan sangat memerlukan. Tapi, bapa Tipah tetap berusaha untuk menyara keluarga mereka. Mereka merupakan keluarga bahagia.

Suatu hari, ketika Tipah menghantar bekal bapanya di kebun satu kejadian malang telah menimpanya. Tipah telah diperkosa oleh sekumpulan lelaki. Tipah pulang ke rumah dengan pakaian yang compang-camping dan ada kesan darah di dahi Tipah petanda dia telah dipukul dan terdapat unsur kekerasan telah berlaku. Tipah merasa sangat sedih, malu, marah dan dendam terhadap pelaku-pelaku tersebut.

Kejadian ini Tipah ceritakan kepada kedua orang tua nya. Sepakat, mereka pergi ke rumah Ketua Kampung untuk menuntut keadilan bagi pihak Tipah. Malangnya, salah seorang dari pelaku tersebut merupakan anak kandung Ketua Kampung sendiri. Ketua Kampung tidak memberikan keadilan sepenuhnya untuk Tipah sekeluarga atas sebab tidak mahu menconteng arang di muka nya selaku Ketua Kampung yang sangat dihormati oleh penduduk kampung.

Tipah dan kedua orang tuanya pulang ke rumah dengan perasaan sedih dan kecewa. Tipah mendapat tekanan yang teramat apabila dia disahkan mengandung hasil daripada pemerkosaan tersebut. Tipah mula berubah sepenuhnya. Dulunya Tipah seorang yang sangat peramah dan sopan santun dari segi tutur bicara sekarang sudah bertukar menjadi sangat aggresif dan mudah melenting. Tipah merasa seolah dunia teramat kejam untuk dirinya dan keluarga. Kemiskinan yang dialami mereka seolah satu kesempatan bagi pihak lain untuk mengambil kesempatan dan sewenangnya berbuat jahat terhadap mereka.

Sejak saat itu, Tipah berfikir dan berusaha bagaimana cara dia dapat membalas perbuatan-perbuatan durjana lelaki-lelaki yang telah berbuat kejahatan terhadap dirinya. Selama tiga (3) tahun lamanya Tipah dan keluarga hilang dari kampung tersebut.

Masa berlalu pantas, kini Tipah kembali semula ke kampung halamannya yang telah lama ditinggalkan. Tipah menghuni semula rumah tua peninggalan orang tua nya yang telah pergi dijemput Illahi dan Tipah pulang berbekalkan satu hasrat iaitu menuntut sebuah keadilan. Pelbagai kejadian aneh berlaku sekembalinya Tipah ke kampung tersebut. Orang kampung mula menuduh dan membuat andaian bahawa Tipah menuntut ilmu hitam sepanjang tempoh tiga (3) tahun dia meninggalkan kampung. Segala kejadian yang pelik berlaku akan dikaitkan dengan Tipah.

Sungguhpun Tipah sudah sebulan di kampung, agak jarang kelibat Tipah keluar dari rumah. Dia hanya akan keluar untuk membeli barangan keperluan di kedai runcit berhampiran untuk beberapa kali. Penampilan Tipah juga agak berlainan, Tipah tampil lebih cantik dari kebiasaanya, manis berkebaya merah dan bersanggul berbunga. Tipah masih lagi kegilaan ramai biarpun ada noda hitam di catatan sejarah hidupnya. Cuma, Tipah sudah tidak semesra dan sesopan dahulu. Tingkah laku nya kasar dengan jelingan mata yang tajam kearah sesiapa yang menyapanya.

Seekor demi seekor ayam disembelih untuk diambil darahnya dan dimasukkan ke dalam botol. Limau purut, kemenyan,jarum, paku dan beberapa alatan tersusun di meja pemujaan. Inilah rutin aktiviti Tipah apabila senja menjelma. Bunga cempaka dimakan satu persatu, tiba-tiba fizikal Tipah yang cantik bertukar menjelma menjadi wanita yang sungguh hodoh. Tipah sudah merelakan jiwanya menjadi hamba iblis oleh kerana amarah dan dendamnya. Tipah sudah bersumpah bahawa yang bersalah akan mendapat pembalasan yang setimpal. Tipah menghilangkan diri untuk menuntut ilmu hitam agar dapat membela dirinya. Pelbagai ritual telah dia lakukan demi memperolehi ilmu tersebut. Jin dan iblis sudah menjadi rakan baiknya. Tipah mula merasa tidak selesa bergaul bersama manusia. Baginya, manusia lebih keji dari jin dan iblis. Dunia Tipah benar-benar berbeza.

Oleh kerana kematian demi kematian berlaku di kampung tersebut, seorang pemuda benama Mamat tekad untuk menyiasat apa sebenarnya yang telah terjadi. Mamat dapat menghidu ada yang tidak kena dengan kampungnya. Malam tersebut, Mamat telah menghendap di sebalik daun kayu rumah Tipah. Maklum saja, rumah orang dahulu kala diperbuat dari daun nipah dan kayu buluh yang agak jarang-jarang. Agak mudah untuk Mamat mengintai di sebalik celahan untuk melihat apa yang terjadi. Dari dalam, Tipah sedang melakukan beberapa pemujaan. Pekat angin malam mula menyebarkan bau asap kemenyan yang menusuk hidung Mamat. Mulut Tipah terkumat-kamit membaca mantera yang tidak difahami.

Seketika, terdengar bunyi lolongan anjing dan burung hantu yang memecah keheningan malam. Peluh jantan mula terbit dari dahi Mamat. Tipah dilihat sedang meminum darah dan ketawa mengilai. Di tangannya terdapat patung yang dibuat daripada benang yang telah ditusuk-tusuk menggunakan pisau. Tipah menyeru dan memanggil dengan nada seakan mengarah

“Wahai jin penghuni rimba, datanglah aku seru namamu”
Tiba-tiba hujan turun selebatnya, Mamat berusaha berselindung di sebalik atap rumah dan masih leka memerhatikan gelagat Tipah di sebalik celah dinding yang lopong. Menggigil ketakutan Mamat menyaksikan satu lembaga hitam besar duduk menyembah kearah Tipah.

“Aku datang menyembahmu tuan, akan ku turut segala kemahuan mu” balas lembaga hitam tersebut. Tipah ketawa terbahak-bahak seakan ada satu kepuasan dalam dirinya. Mamat sudah tidak dapat bertahan, dia berlari sekuat hati menuju ke rumahnya. Malam itu, Mamat tidak dapat melelapkan mata dan sering terfikir akan kejadian yang baru dia saksikan sebentar tadi.

Keesokan harinya, gempar seluruh kampung mayat Iwan mati di dalam keadaan yang mengerikan. Lehernya seperti dicekik, mata tersembul keluar dan terdapat kesan-kesan lebam di bahagian badannya. Iwan merupakan mangsa lelaki keempat yang telah mati secara tragis di dalam bulan tersebut. Kesemua mangsa yang mati merupakan lelaki yang telah menceroboh kehormatan Tipah suatu saat dulu. Mamat hadir di majlis pengebumian Iwan. Di dalam mindanya, dia mengaitkan kejadian malam tadi dengan kematian Iwan. Adakah terdapat perkaitan di antara keduanya? Iwan akan merasa bersalah sekiranya perkara ini tidak dilaporkan kepada Ketua Kampung.

Iwan bergegas menuju ke rumah Ketua Kampung untuk menceritakan kejadian tersebut. Malam itu juga, seluruh penduduk kampung dikumpulkan untuk menghalau Tipah keluar dari kampung. Akan tetapi, Tipah tiada di rumahnya. Rumah Tipah digeledah oleh penduduk kampung. Dengan tidak semena-mena satu dahan pokok tumbang betul-betul menimpa Ketua Kampung. Ketua Kampung mati di tempat kejadian.

Sejak itu, rumah Tipah tidak berpenghuni lagi. Hari demi hari berlalu, sehinggarumah tersebut sujud menyembah bumi. Namun semua warga setempat masih lagi tidak dapat melupakan sejarah yang pernah terjadi di sana. Tipah juga tidak diketahui dimana perginya. Semoga ada sinar hidayah buat Tipah. Sesungguhnya sebenarnya Tipah merupakan seorang mangsa yang hanya ingin pembelaan untuk dirinya. Wallahualam.

MimiJulia/2022

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment