Malaysia, Tahun 3048.
Damai sungguh suasana hari ini. Aku menghirup udara segar dan mensyukuri nikmat yang diberi tuhan kepada hambanya. Aku memandang langit biru yang cerah disinari cahaya matahari yang gemilang. Aku toleh ke tumbuhan menghijau yang mendamaikan jiwa. Kedengaran riuh-rendah di halaman rumahku. Hari ini adalah hari peringatan buat kemerdekaan manusia sejagat.
Hatiku girang melihat telatah cucuku yang berlari-lari di halaman, bermain dengan anak-anak jiran. Ibubapa mereka pula sedang sibuk menyediakan makanan sambil berbual-bual. Aku tersenyum bahagia. Tiada gajet, tiada teknologi canggih. Cuma ada kehidupan yang sempurna. Alangkah bagus jikalau kau ada, Minna. Aku mengeluh kecil.
Bahuku terasa dipegang lantas aku menoleh. Anakku, Shila, tersenyum manis. Senyuman yang sama seperti ibunya. Sungguh aku rindukan isteriku, Minna, yang telah pergi menghadap tuhan. Shila memapahku sambil dibantu suaminya. Mereka membawaku ke bangku konkrit di halaman.
Aku duduk dan berbual dengan Shila yang dinamakan sempena nama neneknya. Raut wajahnya saling tak tumpah seperti Minna. Dia tertawa dengan lawak cabukku. Dari kecil lagi, memang dia suka dengar apa sahaja yang aku ceritakan. Shila, anak kesayanganku. Buah hati aku dan Minna. Shila meminta diri untuk menyudahkan persiapan makan pagi. Aku mengangguk dan dia mengucup dahiku lalu pergi.
Aku mengalihkan perhatianku kepada budak-budak yang bermain di bawah pokok epal. Cucu lelakiku, Kyle, sudah menjangkau tujuh tahun. Anak yang sangat bijak dan patuh. Kebanggaanku. Tidak pernah melawan atau berkata kasar. Aku sangat sayang padanya.
Aku merasa sangat gembira. Kami masih diberi peluang untuk menjalani kehidupan yang normal seperti sekarang. Aku bersyukur anak dan cucuku tidak merasa zaman aku dahulu. Zaman kegelapan. Zaman kemusnahan.
“Atuk!”
Aku tersentak. Lamunanku dihentikan oleh suara Kyle. Dia berlari ke arahku dengan tangan yang dibuka untuk memelukku. Dengan tawa, aku menyambut pelukannya. Aku mencium pipinya berkali-kali. Dia tertawa riang, geli dengan misai tebalku mungkin.
“Kenapa atuk termenung tadi? Kyle panggil-panggil atuk tapi atuk tak dengar.” Kyle berkata dengan wajah yang polos.
“Oh, Kyle ada panggil atuk, ya? Maafkan atuk, Kyle.” Aku tergelak kecil.
Aku membelai rambutnya yang lembut dan menggeletek telinganya. Terbahak-bahak gelaknya menahan geli. Aku memeluknya erat. Aku berharap dapat melihat Kyle membesar menjadi seorang lelaki dewasa yang sihat.
“Atuk, Kyle suka tengok atuk tersenyum. Senyum lagi, tuk,” kata Kyle sambil tersengih nakal.
“Ya, atuk senyum ni,” balasku. “Kyle nak dengar satu cerita?” soalku.
“Cerita apa?” Mata Kyle bersinar-sinar, teruja.
“Cerita tentang hari bersejarah. Hari di mana manusia merdeka.” Aku memandang ke langit biru kemudian kembali memandang Kyle.
“Nak. Kyle suka dengar atuk bercerita,” katanya sambil menepuk tangannya.
“Baik. Kyle kumpulkan kawan-kawan. Kalau dengar beramai-ramai lebih seronok.”
Kyle mengangguk dan berlari anak ke arah sekumpulan kanak-kanak yang masih ligat bermain. Walaupun hampir setiap tahun aku akan ceritakan benda yang sama pada Kyle, dia tidak pernah jemu mendengar kisah yang satu ini. Aku memerhatikan mereka yang berlumba lari kepadaku. Sudah tentu Kyle sampai dahulu. Dia memang kuat dan cergas.
Masing-masing sudah mengambil tempat duduk di atas rumput di hadapanku. Mata mereka bersinar-sinar, mahu mendengar apa yang ingin aku ceritakan. Termasuk Kyle. Aku berdeham kecil dan memulakan kisahku.
Malaysia, Tahun 2078.
Semasa krisis kematian berjuta penagih melanda negara, rakyat Malaysia digemparkan pula dengan pelancaran satu aplikasi baharu. Semua orang berlumba-lumba menggunakan aplikasi tersebut. Ianya merupakan satu medium pelbagai kegunaan. Boleh melayari internet tanpa had, video, permainan video dan sebagainya tanpa bayaran.
Termasuklah aku yang masih remaja ketika ini. Sentiasa leka dengan gajet dan aplikasi yang dinamakan ‘Heat-16’ ini. Bermacam-macam permainan yang boleh aku main hanya dengan satu klik. Seronok sangat sehingga kadang-kadang tidak perasan siang bertukar malam dan malam bertukar siang. Semacam ketagih.
Ke mana sahaja aku pergi, pasti akan dapat lihat semua orang sibuk dengan telefon masing-masing. Semuanya menggunakan Heat-16, tidak kira tua atau muda. Ibu selalu memarahi aku kerana terlalu asyik dengan telefon. Waktu makan dan tidur sahaja aku berpisah dengan telefon. Kadang-kadang aku tidak tidur malam kerana tidak mampu menolak godaan untuk menggunakannya. Mataku juga sudah gelap dan cerlung.
Suatu hari, setelah setahun aplikasi ini dilancarkan, tiba-tiba ia tidak berfungsi. Bagai dimatikan perkhidmatannya. Aku hairan dan geram. Selama ini, elok sahaja tidak kira berapa lama pun aku gunakannya. Tidak pernah ia terpadam sendiri atau ‘hang’. Kenapa sekarang?
Aku mencuba lagi log masuk, log keluar. Masih tidak boleh. Aku yang bengang mencampakkan telefonku ke dinding dan menjerit memaki hamun. Ibuku bergegas mendapatkan aku.
“Kenapa ni? Kenapa kamu menjerit maki-maki ni?” Ibu mencekak pinggangnya tatkala terlihat telefon pintarku di lantai dan memandangku marah. Nasib sahaja ia tidak pecah atau patah dua, jika tidak pasti aku akan dirotan waktu itu juga.
“Heat-16 tiba-tiba tak berfungsi, bu. Billy baling telefon..” Aku tidak berani menghabiskan kata-kata ataupun memandang ibu.
“Ibu dah cakap banyak kali, jangan asyik leka dengan benda alah ni! Kamu degil. Sekarang, kamu tak perlu gunakannya lagi. Ibu akan simpan telefon ni,” kata ibu yang mengutip telefonku lalu keluar dari bilikku.
Aku ingin bersuara tetapi kerana takut, aku relakan sahaja. Memang salah aku. Walaupun ibu dan ayah mampu beli apa sahaja, mereka tidak akan membazirkan wang membeli yang bukan-bukan ataupun beli satu benda lebih dari satu. Cukup sekadar dapat guna sahaja. Sebab itu aku diam.
Malam itu, aku tidak boleh tidur. Sudah terbiasa dengan telefon kesayanganku. Apa nak buat sekarang? Otakku berjalan sahaja. Puas sudah aku memujuk mata supaya tidur, tetap segar. Aku bangun dari katil dan menapak ke dapur untuk membuat minuman panas kegemaranku, koko marshmellow.
Emm.. Sedap betul. Siapalah yang buat ni? Tergelakku sendirian sambil menikmati minuman yang masih berasap nipis itu di sofa empuk di ruang tamu rumah yang samar-samar, hanya diterangi lampu koridor. Mataku juga mulai berat, aku hampir tertidur di situ.
Tiba-tiba, telingaku menangkap suatu bunyi. Bunyinya nyaring tetapi putus-putus. Semacam bunyi alarm telefon. Aku meneliti dari mana arah datangnya bunyi itu. Aku bangun dan berjalan perlahan-lahan ke arah bunyi itu. Aku berjalan dan berjalan sehingga aku tiba di hadapan bilik stor.
Aku memulas tombol pintu itu sesenyap yang boleh. Aku mengintai ke dalam stor dengan sebelah mata. Gelap. Aku menekan suis lampu yang terletak di sebelah tiang pintu. Isk, aku mendesis kerana silau. Aku menggosok mata dan beberapa ketika, mataku sudah boleh terima keterangan cahaya lampu bilik stor.
Aku menolak daun pintu luas-luas dan melangkah ke dalam stor. Aku mencari-cari lokasi sebenar bunyi itu. Semakin kuat, maknanya aku sudah semakin dekat. Kotak-kotak kecil di kabinet aku selak dan selak hinggalah ke kotak yang terakhir yang berada di belakang sekali. Tanganku dapat merasakan getaran di kotak itu. Pasti dalam kotak ini!
Aku mengambilnya dan membuka penutup kotak itu. Telefon pintarku! Ia sedang berkelip dan bising. Ibu dan ayah sudah terconggok di muka pintu. Entah bila mereka di situ, aku tidak pasti.
“Billy, apa yang kamu buat ni? Ibu dah larang kamu guna telefon kamu, kan?” kata ibu yang mendekatiku.
“Billy.. Billy tak sengaja terjumpa, bu.” Aku menceritakan semuanya yang telah berlaku.
“Tapi, ibu sudah mematikan telefon kamu. Macam mana ia boleh hidup pula?” Ibu menggosok dahi yang berkerut, hairan dengan kejadian ini.
“Tak tahu,” kataku sambil menjungkit bahu.
Ayah mengambil telefonku dan cuba menggodeknya. Tidak boleh ditekan, tidak boleh dipadam. Sentiasa berbunyi dan berkelip. Kepelikan ini membuatkan ayah menggaru kepalanya. Ayah menyuruh kami keluar dari stor dan duduk di ruang tamu.
Baru nak melangkah, bunyi itu kedengaran lagi. Bukan bunyi dari telefonku. Ayah cepat-cepat mengikut arah bunyi itu. Sekarang ayah sedang berdiri di tepi katilnya. Bunyi itu datangnya dari telefon ayah. Kami semua semakin pelik dan bingung.
Kami semua ke ruang tamu. Berfikir dalam kebuntuan. Aku menuju ke tingkap dan meninjau ke luar. Rumah jiran-jiran juga terang. Adakah mereka juga alami apa yang kami alami? Apa yang sedang berlaku? Mindaku berteka-teki.
“Sudahlah, kita tidur dulu. Esok pagi baru kita siasat pasal ni,” kata ayah yang tidak berhenti menguap.
Aku segera beredar ke bilik tanpa mencuci cawan yang aku gunakan tadi. Mataku sudah segar. Aku memikirkan tentang kejadian pelik telefonku itu. Dalam pada aku berfikir, tidak sedar bila aku terlelap.
Ziiinnggggg~
Satu dengungan yang maha kuat mengejutkan seisi rumahku. Kelam-kabut ibu dan ayah datang ke bilikku untuk memastikan keadaanku. Aku memeluk ibu dengan erat, takut akan bunyi tersebut. Ayah berlari ke ruang tamu, diikuti ibu dan aku.
Ayah menyelak sedikit langsir tingkap untuk menjenguk ke luar. Alangkah terkejutnya kami semua apabila melihat langit sangat cerah dengan cahaya jingga sedangkan baru pukul dua pagi. Mataku terbuntang, takjub dengan keadaan sekarang.
Kelihatan jiran-jiran berpusu-pusu keluar dari rumah. Ayah juga turut serta tetapi melarang aku dan ibu keluar dari rumah. Kami hanya melihat dari muka pintu. Mataku menghantar ayah ke tengah jalan di mana semua orang berkumpul. Ayah sedang bercakap dengan mereka, mungkin bertanyakan perihal kejadian cahaya dan bunyi tadi. Kemudian, ayah mendongak ke langit, melihat sesuatu.
Tidak aku sangkakan itulah kali terakhir aku melihat ayah. Mereka yang berada di luar rumah disambar cahaya merah gelap lalu menjadi debu. Aku dan ibu menjerit memanggil ayah tetapi sudah terlambat. Aku mahu berlari ke sana tetapi dihalang ibu.
Dengan pantas, ibu menutup pintu dan menggelapkan rumah. Kami memerhati keadaan di luar hanya dari balik langsir yang diselak sedikit. Airmata ibu melimpah ke rambutku. Aku biarkan sahaja kerana aku juga bersedih dengan pemergian ayah secara tiba-tiba.
Sedu-sedan ibu semakin kuat. Aku memeluk ibu dengan harapan dapat melegakan ibu. Ibu membalas pelukanku dan kami menangis bersama-sama.
Ziiinnggggg~
Dengungan itu berbunyi lagi. Aku dan ibu mengintai ke luar. Kami kaget. Terdapat banyak makhluk mengerikan berlegar-legar di jalanan. Apa yang sedang berlaku? Makhluk apakah itu?
Rupa mereka seperti haiwan tetapi bukan haiwan, lebih kepada manusia yang besar dan tegap. Tubuh mereka pula bermacam warna. Ada yang berwarna hijau, kuning, biru dan merah. Dalam banyak-banyak makhluk itu, ada tiga yang berwarna emas. Mungkin ketua mereka? Suasana sekarang sama seperti filem-filem barat yang pernah aku tonton. Adakah mereka makhluk asing dari angkasa lepas?
Aku hairan, dari mana mereka datang? Untuk apa mereka datang ke bumi? Kenapa ayahku dan jiran-jiran menjadi abu? Pelbagai persoalan bermain di mindaku sekarang ini. Aku memandang ibu yang tercengang. Ibu berjalan laju sambil menarik aku ke arah bilik stor.
Ibu menyuruhku duduk diam-diam di belakang rak di hujung stor lalu ibu keluar dan menutup pintu. Gelap! Kenapa ibu tinggalkan aku seorang diri? Aku takut, tapi aku lebih takut kalau ibu marah. Jadi, aku menurut sahaja kata ibu dan membatukan diri.
Lamanya ibu pergi. Aku risaukan ibu. Kenapa ibu tidak menyorok denganku di sini? Aku ingin bersama ibu.
“Aaahhhh!” Satu jeritan bergema di luar.
Itu suara ibu! Apa yang terjadi pada ibu? Aku bangun mahu berlari kepada ibu. Belum sempat aku melangkah, bunyi bumbung rumahku yang sudah tercabut menghentikan langkahku. Aku terduduk memandang ke atas. Cahaya merah gelap membuatkan bumbung dan dinding menjadi abu. Aku terkesima, tidak tahu mahu berbuat apa.
“Billy!”
Aku menoleh ke kanan seraya terdengar namaku dipanggil. Kawan sekolahku, Kyle, memanggilku supaya mengikutnya. Aku segera bangun dan berlari ke arahnya. Dia membawa aku menyorok di belukar tebal berhampiran rumahku. Kami meniarap di situ dengan senyap sambil memerhati keadaan sekeliling. Kacau-bilau suasana ketika itu dan dipenuhi cahaya pelik serta beratus makhluk asing berkeliaran.
Kedengaran bunyi jet dari atas, aku mendongak. Kita akan selamat! Tentera sudah sampai. Adegan tembak-menembak berlaku antara manusia dan makhluk asing. Saling berbalas serangan. Kyle menutup telinga kerana bunyi tembakan dan bom yang kuat. Menakutkan. Ramai yang terkorban saat ini dan kami tidak mampu berbuat apa-apa.
Mataku mencari-cari kelibat ibu di tapak rumahku. Tiada. Adakah ibu juga menerima nasib seperti ayah? Jika begitu, aku mahu mengikut mereka. Tiada guna jika aku hidup berseorangan. Aku sudah bersedia untuk berlari ke arah rumahku tetapi Kyle memegang tanganku dengan kuat.
“Jangan pergi, Billy. Jangan tinggalkan aku. Kau seorang sahaja yang aku ada sekarang,” katanya bernada sedih dan berharap.
Aku memandang ke arah rumah dan Kyle silih berganti. Apa yang perlu aku buat sekarang? Aku buntu. Aku mahu bersama ibu dan ayah tetapi aku kasihan dengan Kyle. Nasibnya sama denganku, bagaimana aku mampu untuk tinggalkannya dalam keadaan ini?
“Maafkan aku, Kyle. Aku janji takkan tinggalkan kau. Kita harunginya bersama-sama, ya.” Aku menggenggam bahunya untuk memberinya semangat.
“Terima kasih, Billy.” Dia memang perlukannya kerana dia seorang yang berhati kecil.
Telingaku menangkap bunyi tapak kaki di belakang kami. Aku menoleh dan tergamam bila satu makhluk sedang menyeringai ke arah kami dengan taring yang panjang seperti beruang. Kyle yang memeluk lenganku menggigil hebat. Seluarnya sudah lencun.
Makhluk itu mengambil sesuatu di belakang badannya dan menghalakannya ke arah kami. Rupanya seperti alat kawalan jauh tetapi hanya ada dua butang. Ia menekan butang di sebelah kanan dan terpancar cahaya biru. Aku merasa pening. Aku menoleh ke kananku, Kyle juga sudah mamai. Kemudian pandanganku gelap.
Aku dapat merasai tangan yang merangkul aku sangat besar dan kuat. Aku memaksa mataku yang berat untuk terbuka. Aku digendong oleh makhluk tadi di bahunya. Kyle juga sama tetapi dia tidak terjaga.
Aku memandang keliling, rumah-rumah sudah tiada. Debu-debu memenuhi taman perumahan. Pemandangan sekarang sudah seperti padang jarak padang tekukur. Ramai remaja sepertiku digendong makhluk-makhluk itu menuju ke suatu tempat yang aku sendiri tidak pasti.
“Apa yang dah jadi? Di mana tentera yang datang membantu tadi?” fikirku.
Aku meronta-ronta mahu melepaskan diri tetapi rangkulan makhluk itu semakin kuat. Kepalaku rasa berpusing, pandanganku gelap kembali.
“Billy. Billy, sayang. Bangun.”
Ibu? Perlahan-lahan, aku membuka mata. Gelap. Di mana ibu? Tadi aku mendengar suaranya. Di mana aku sekarang? Rasa seperti sudah lama aku tidur. Aku cuba menggerakkan tangan untuk menggosok mata. Tanganku tidak boleh digerakkan! Aku meronta-ronta tetapi tiada guna. Seluruh badanku telah dililit sesuatu.
Aku memandang sekelilingku. Walaupun cuma samar-samar, aku dapat lihat keadaan ruang seperti bilik ini yang kosong dan tiada sesiapa di sini selain aku. Aku di mana? Apa yang sudah terjadi? Aku bingung dan keliru. Aku tidak dapat mengingati apa-apa. Ah! Kepalaku berdenyut-denyut, sakit.
Tap! Tap! Tap! Tap!
Kedengaran bunyi tapak kaki menuju ke arahku. Aku mengangkat muka. Ternganga mulutku. Di hadapanku sekarang ialah satu makhluk yang mengerikan. Ia melepaskan lilitan dan mengangkat aku yang lemah. Ia membawaku ke satu tempat seperti sebuah bilik lain yang berwarna putih. Aku merasa cemas dan mula meronta-ronta.
Ia mencampakkan aku ke dalam sebuah kotak lutsinar yang besar lalu pintu kotak tertutup sendiri. Sakitnya belakang kepalaku yang terhentak ke lantai. Makhluk itu berlalu pergi dari bilik ini bagai tiada apa-apa. Aku mengetuk-ngetuk dinding kotak yang tebal itu. Tiada hasil malah, tanganku yang sakit. Aku cuba menjerit tetapi tiada suara yang keluar dari kotak suaraku.
Aku cuba bertenang. Aku meliarkan pandangan ke sekelilingku. Ada seorang lelaki di sudut kiri. Aku berjalan ke arahnya. Semakin dekat aku dengannya, aku merasakan yang aku kenal dengannya tetapi aku tidak ingat siapa. Dia sedang duduk memeluk lutut dan menggigil. Aku mencangkung di hadapannya dan berdeham.
Dia tersentak dan menyandarkan belakangnya ke dinding lutsinar itu. Dia memandangku dengan riak wajahnya yang jelas terkejut. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja tubuhku bergerak sendiri dan memeluknya. Hatiku merasa satu kelegaan yang aku sendiri tidak faham.
Siapa lelaki ini? Kenapa aku bertindak sedemikian? Semua yang sedang berlaku sangat mengelirukan aku. Lelaki itu juga perlahan-lahan memelukku kembali. Dia membisikkan sesuatu di telingaku dengan perlahan.
“Billy. Aku lega kau selamat.”
Aku yang terkejut melepaskan pelukan. Aku menatap wajahnya sebentar. Dia kenal aku? Dahiku berkerut, kepalaku terasa berpusing-pusing. Siapa dia? Lagi kuat aku cuba mengingati, lagi pening kepalaku.
Pang!
Pipiku terasa panas. Lelaki itu menamparku dengan agak kuat tetapi tidak sakit. Peningku juga hilang. Ajaib!
“Billy. Aku Kyle, kawan kau,” katanya bersungguh-sungguh.
“Kyle?” Macam pernah dengar nama itu. Kenapa aku tidak ingat, ya? Eh, aku boleh bersuara? Dan, kenapa suaraku garau? Apa? Bagaimana?
“Billy, jangan tinggalkan aku.” Tiba-tiba, kata-kata itu terngiang-ngiang. “Kyle, betulkah itu kau?” soalku.
“Ya, kawanku.” Kyle menjawab.
Kami berpelukan sebentar.
“Kenapa lain benar rupa kau, Kyle?” soalku lagi.
“Panjang ceritanya. Kau tak ingat apa-apa?” Kyle memandangku dengan sayu.
“Langsung tak ingat apa-apa. Kenapa suaraku begini? Lihat, tangan kau juga lain. Lebih besar dari biasa.” Aku tergelak kecil sambil membelek tangannya.
“Billy, dengar baik-baik apa yang aku nak cakap ni sebelum mereka sampai.” Wajah Kyle berubah serius.
“Mereka? Maksud kau, makhluk tadi?”
“Ya. Sebenarnya, sudah lama bumi diserang oleh mereka. Kita di sini juga sudah lama. Aku rasa bertahun juga, sebab tu rupa dan suara kita lain. Kau ingat lagi tak malam tu?” Kyle menyoalku pula.
Aku termenung sebentar, cuba mengingat kembali. “Ya, malam itu. Aku sudah ingat. Ayah, ibu dan semua orang!”
“Shh.. jangan cakap kuat-kuat.” Kyle meletakkan jarinya di bibir.
“Maaf. Apa yang jadi lepas tu? Aku langsung tak ingat apa-apa,” tanyaku yang tidak sabar.
“Aku pun tak ingat apa yang terjadi masa tu. Aku tersedar aku berada di satu bilik yang gelap. Badan aku terikat dan makhluk tu bawa aku ke sini. Banyak kali. Aku diuji dengan bermacam cara yang takkan dapat kau bayangkan,” katanya sambil menggeleng.
“Oh, Kyle. Apa yang jadi? Apa yang mereka mahu dari kita?” Aku kebingungan.
“Kau ingat lagi Heat-16?” tanya Kyle.
“Ya. Aplikasi yang buat kita ketagih. Kenapa dengannya?”
“Aplikasi tu sebenarnya bertujuan untuk memanggil mereka ke bumi. Macam… panggilan kecemasan. Aplikasi itu direka oleh seseorang untuk membantu salah satu makhluk yang tersesat di bumi lalu ditangkap oleh kerajaan. Makhluk itu diuji dan diseksa dengan pelbagai cara untuk manusia memahaminya. Frekuensi Heat-16 terlalu lemah dan memerlukan bantuan dari seberapa ramai orang yang boleh. Proses itu juga memakan masa hingga setahun untuk panggilan itu sampai ke planet mereka.” Kyle menerangkan dengan panjang lebar.
“Kejap, aku tak faham.” Aku mengerutkan kening.
“Begini. Sejak aku menjadi bahan ujikaji mereka, aku mendapat imbasan sedikit demi sedikit. Apa yang terjadi pada makhluk itu dari awal hinggalah sebelum kita diserang. Mereka mahu selamatkan rakan mereka tetapi terlambat. Makhluk itu mati sehari sebelum yang lain sampai. Jadi, mereka menyerang dan menculik seberapa ramai manusia yang boleh untuk diuji. Sudah ramai yang mati kerana tidak tahan dengan ujian yang dilakukan ke atas mereka. Tinggal aku sahaja. Sekarang,giliran kau sudah tiba,” katanya.
“Habis tu, macam mana sekarang? Kita perlu pergi dari sini,” kataku, cemas.
“Kita takkan dapat ke mana-mana.” Kyle menunduk.
“Mustahil..”
“Apa yang mustahil? Yang lain sudah tiada. Tinggal kau dan aku saja!” Kyle menyedarkan aku.
Aku terkedu. Apalah nasib kita? Orang lain yang buat, orang lain yang tanggung. “Tapi, kenapa aku yang terakhir?”
“Sebab..” Belum sempat Kyle menghabiskan kata-katanya, makhluk tadi sampai. Ia membuka pintu kotak dan menapak ke arah kami. Kyle mula menggigil, menyorok di belakangku. Aku memeluknya. Makhluk itu mengangkat kami berdua.
Kami dibawa ke bilik yang lain. Terdapat satu benda yang besar dan berbentuk pelik semacam kapsul angkasa. Kami diletakkan di dalam kapsul itu lalu ditutup pintunya. Makhluk itu berdiri tidak jauh dari kapsul dan memerhati kami. Tiba-tiba, seorang wanita tua muncul dari belakang makhluk itu.
Ibu? Bukankah.. Aku mengetuk pintu kapsul sambil memekik memanggil ibu. Ibu tersenyum kepadaku dan menekan sesuatu di badan kapsul. Airmataku mengalir deras, aku sangat rindukan ibu. Ibu berkata sesuatu tetapi aku tidak dapat mendengarnya.
Kemudian, ibu dan makluk itu keluar meninggalkan kami. Kapsul itu mengeluarkan bunyi bising. Aku dan Kyle menutup telinga kerana bingit. Tiba-tiba, terasa seperti kapsul ditarik ke belakang dan terapung-apung di angkasa. Aku melihat dinding kapal tertutup dan kami semakin menjauh.
Aku menganga melihat besarnya kapal di hadapanku sekarang. Inilah kapal makhluk asing yang menculik kami. Menculik ibu dan membunuh ayah. Sekejapan, kapal besar itu hilang dari pandangan. Aku mengetuk dinding kapsul. Airmataku tidak berhenti mengalir.
Kyle menepuk belakangku untuk menenangkan aku. Aku keliru, kenapa ibu berada di sana dan kenapa ibu tidak mengikut aku. Ke mana haluan kami? Adakah kami dibuang ke angkasa lepas untuk mati?
“Billy, kau okay?” tanya Kyle selepas beberapa ketika.
“Okay. Cuma..” Aku tidak dapat menghabiskan kata-kataku.
“Aku faham. Sabar, ya. Tadi kau tanya aku kenapa kau yang terakhir, bukan?”
Aku memandang wajah Kyle yang pucat.
“Sebab, ibu kau adalah orang yang membantu makhluk yang ditangkap dulu. Ibu kau pernah bekerja dengan kerajaan dan dia sebahagian dari staf yang menguruskan makhluk itu. Ibu kau merasakan yang ujikaji ke atas makhluk itu sangat kejam dan tidak patut, jadi dia membuat aplikasi Heat-16 secara senyap-senyap, dibimbing oleh makhluk itu.”
Aku terkedu mendengar penerangan Kyle.
“Tapi, kenapa ibu tidak ikut kita? Kenapa..” Tiada kata yang dapat aku ungkapkan lagi. Ibu sudah membuat pilihannya.
“Billy, lihat tu.” Kyle menunjuk ke luar tingkap.
Wah, aku terkesima melihat pemandangan ini. Siapa sangka aku dapat melihat bumi dari jauh. Cantik betul, lebih cantik dari dalam televisyen. Aku memandang Kyle yang tersengih seperti budak yang nampak gula-gula.
Jadi, ibu menghantar kami pulang. Kenapa ibu tidak mahu ikut sekali? Aku memandang bumi dengan pandangan kosong. Tidak tahu mahu fikir apa lagi. Nampaknya, aku dan Kyle perlu teruskan hidup seperti tiada apa-apa yang pernah berlaku.
Kepalaku merasa pening tiba-tiba. Mataku berpinar. “Kyle..” Aku memanggilnya. Aku menoleh ke arah Kyle.
Kyle tidak sedarkan diri di sebelah. Terasa tekanan yang kuat menghentam kapsul. Benda terakhir yang aku lihat sebelum pitam adalah warna merah jingga seperti api di luar kapsul.
Entah berapa lama aku dan Kyle pitam, aku tidak tahu. Aku tersedar setelah dikejut Kyle. Aku membuka mata dan bangun mendadak. Aku mendesis, terasa ngilu dan sakit di segenap tubuh. Kepalaku merasa pedih. “Apa yang dah terjadi, Kyle?” soalku.
“Aku rasa, kita dah selamat mendarat.” Kyle melihat-lihat sekeliling.
Aku mengikut Kyle memandang sekeliling. Kami tidak begitu jauh dari kapsul yang hitam terbakar luarannya. Aku bersyukur kerana masih hidup. Aku menoleh ke arah lain pula. Keadaan sekeliling kosong, tiada bangunan, cuma ada pokok dan jalanraya yang retak.
Kami berjalan tanpa arah. Mencari sumber makanan dan manusia yang masih hidup. Tidak jauh dari situ, terdapat sebatang sungai yang bersih. Kami meluru ke arah sungai itu dan minum dengan rakus. Kami membersihkan diri dan mula mencari kayu api kerana malam bakal tiba. Kami membina tempat berteduh dan menangkap ikan untuk mengalas perut.
Setelah hari siang, kami berjalan mencari hidupan lain. Bertahun lamanya kami berkeadaan begitu. Hinggalah suatu hari, sekumpulan manusia tiba di kawasan itu. Leganya kami ketika itu. Kesemua mereka terselamat semasa serangan makhluk asing dulu dan berkumpul. Aku dan Kyle mengalu-alukan kedatangan mereka.
Bermacam benda yang kami bualkan dan pelbagai persoalan terjawab. Rupanya, sudah hampir sepuluh tahun sejak peristiwa hitam itu berlaku. Kyle menceritakan semua yang kami alami. Mereka memandang kami bagai tidak percaya kami terselamat. Aku mendiamkan diri. Aku rindukan ibu.
Aku duduk di tepi sungai, merenung ke air yang mengalir tenang. Ikan berenang-renang bebas, unggas berterbangan riang. Kedengaran kocakan air di kananku. Aku menoleh. Itulah kali pertama aku melihat Minna, cinta pertama dan terakhirku.
Kami berkahwin tidak lama kemudian dan selang dua tahun, lahirlah Shila yang putih gebu. Kehidupan kami semua sangat bahagia dan aman. Kami sudah mampu membuat rumah sendiri. Bilangan kami yang terselamat juga semakin bertambah.
Kyle pergi meninggalkan aku semasa Shila berumur dua puluh tahun. Bersemadilah dengan tenang, kawanku.
Kyle dan kawan-kawannya bertepuk tangan.
“Wah, hebatnya cerita atuk. Kyle tak pernah jemu mendengarnya,” kata cucu kesayanganku itu.
“Hehe. Terima kasih.” aku tersengih.
“Kyle dinamakan sempena kawan atuk, kan?” soalnya.
“Ya, Kyle. Tak apakah?” Sengaja aku bertanya.
“Tak apa, bila atuk rindukan dia, atuk panggil Kyle. Nanti Kyle peluk atuk. Hihi,” katanya sambil tersengih.
“Anak-anak, mari makan.” Beberapa orang jiran memanggil anak mereka.
Berlari mereka bila terdengar perkataan makan. Aku tergelak sendirian.
“Mari, ayah,” kata Shila yang entah bila berdiri di sebelahku.
Aku mencapai tangan yang Shila dan Kyle hulur lalu berjalan beriringan.
Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
dah lam tak baca cerita macam ni.
ala2 sincan pon ada
x baca lagi sbb tgk tahun nya.. da ko kata sincan berminat plak nk baca
bosan zz org nak baca yg pglaman real hmmm
Siapa dah baca nanti tolong summary kan utk aku okay.
Alien dtg bumi , alien tu dari dlm game , diorg ambil budak pegi tempat diorg buat kajian , pastu hantar balik bumi , budak2 dah mendarat , jumpa budak2 yg lain, kawin , dpt anak, cucu nama kawan yg meninggal . Sekian .
x baca lagi sbb tgk tahun nya.. da ko kata sincan berminat plak nk baca
Best2
terbaik lah tuan tanah!
umurnya berapa Tahun Semasa 3048…. Tahun mula story 2078… 900++ umur atuk… agak2 la
jauh bebenor thun tue. .kalu dlm reality ntah smpai ke tdk. .ntah2 da trkubur sepi kesepian dn keseorangan. .pape pn best jgk jln citenye. .trbaek dri ladang. .hehe