Gangguan Anjing Hitam

Assalamualaikum peminat fiksyen shasha. Ini cerita keduaku selepas Rasukan Dari Sulawesi yang based on true story yang berlaku pada family ku. Ia bukan copypaste dari mana-mana novel dan aku mengolahnya dalam bentuk cerpen. Selamat membaca.

********************

Bunyi lolongan anjing yang panjang mendayu-dayu membuatkan aku terjaga dari lenaku. Kawasan perumahanku yang majoriti penduduknya berbangsa cina memang kebanyakannya membela anjing di rumah mereka. “Baru pukul 4 pagi ni”, bisikku sambil membelek-belek handphone androidku. Bunyi lolongan anjing itu semakin lama seolah-olah semakin hampir dengan rumahku. Rumahku jenis ‘corner lot’ memang selalu menjadi laluan anjing-anjing berkumpul melewati lorong tepi rumahku. Bilikku juga bersebelahan dengan lorong.

“Aaauuuuuuuuu…..Aaaauuuuuuuu….”
Lolongan anjing itu benar-benar menaikkan bulu romaku. Bunyinya yang panjang dan nyaring begitu menusuk ke telingaku. Bunyinya kali ini agak pelik membuatkan aku mula tidak tenteram. Gambaran-gambaran yang menyeramkan mula menerjah ke benakku. Tambahan pula aku baru saja menonton cerita seram Thailand dengan kawan-kawanku di panggung wayang berdekatan lepas isyak tadi. Terbayang-bayang babak pelakon utamanya di kejar pontianak sehingga cedera dilanggar kereta.

Aku menarik selimut selubung menutup mukaku. Ketakutan telah menguasai diriku. Lolongan anjing masih kedengaran begitu hampir dengan bilikku. Agak lama juga bunyinya. Ku kira lebih kurang 15 minit sehinggalah keadaan kembali sunyi. Katilku telah basah dengan peluh jantanku. Setelah keadaan sunyi aku cuba beranikan diri untuk bangun membuka suis lampu. Aku menyelak perlahan-lahan selimutku. Sesekali aku menoleh ke arah tingkap yang samar-samar dilimpahi cahaya lampu jalan. Tiada apa-apa di tingkap. “Line clear” pujuk hatiku.

Aku bangun melangkah perlahan-lahan ke arah suis lampu yang terletak bersebelahan dengan pintu bilik. Keadaan bilik yang agak gelap dari biasa itu membuatkan aku berhati-hati melangkah. Tiba-tiba aku terpijak sesuatu yang lembut dan berbulu. “Bila pulak mak letak carpet dalam bilik ni. Sebelum tidur tadi tak ada pun”, fikirku. Aku meneruskan langkah sehingga ke pintu dan membuka suis lampu.

Alangkah terkejutnya aku apabila sesosok anjing hitam yang besar berada berhampiran katilku. Rupanya sangat menakutkan dengan mata yang merah menyala dan gigi yang tajam dan panjang. Ia mendengus dan cuba menerkam aku. Belum sempat ia menerkam aku, tiba-tiba suasana menjadi gelap. Aku pengsan.

********

Aku tersedar selepas waktu syuruk. Kepalaku terasa berat. Aku duduk menyandar di dinding sambil melihat sekeliling bilikku. Tiada carpet di lantai. “Agaknya malam tadi aku terpijak ekor jelmaan anjing tu”, fikirku. Walaupun seumur hidupku sudah pernah melihat hantu beberapa kali sebelum ini, tapi gangguan kali ini benar-benar mengejutkan. Aku seolah-olah tidak percaya dengan apa yang telah aku alami malam tadi.

“Lan…ooo Lan… Kamu tak kerja ke hari ni? Dah dekat pukul 8 pagi ni”, jerit mak dari luar bilikku memecah lamunan. “Tak mak. Hari ni Lan nak mc je. Badan tak sedap la”, balasku lemah. Aku hanya duduk berdua dengan ibuku. Ayahku sudah 13 tahun meninggal dunia. Abang-abangku yang lain berpindah keluar dari rumah selepas mendirikan rumah tangga. Aku segera mandi dan bersiap-siap untuk ke klinik mengambil ubat dan mc.

“Kamu tak sihat ke? Nampak macam pucat je muka tu?”, tanya mak spontan sambil menuangkan air teh ‘o’ panas ke dalam cawanku. Aku tidak segera menjawab. Aku hirup sedikit air teh ‘o’ yang masih berasap itu. Berkerut muka ku menahan panas. “Badan tak berapa sedap mak. Rasa macam nak demam je ni”, balasku lambat. “Semalam mak ada dengar bunyi apa-apa tak?”, tanyaku spontan. “Tak ada pulak. Bunyi apa?”, balas mak. “Bunyi anjing menyalak ke, melolong ke, ada tak?”, tanyaku lagi. “Semalam mak tidur awal. Lena je tidur. Siap mimpi pergi shopping lagi. Hehehee…”, balas mak berseloroh. Aku ikut tersengih. Jawapan mak tidak banyak membantu.

Aku habiskan air teh ‘o’ yang telah suam itu dengan sekali hirup. Aku tinggalkan ibuku dan segera menghala ke klinik. Sebelum ke klinik aku menyinggah di car wash berhampiran klinik. Kereta ku agak kotor kerana semalam terbabas masuk ke tepi semak selepas pulang dari menonton wayang bersama kawan-kawanku. Keadaan tanah yang berlumpur di kawasan semak itu menambahkan lagi kehodohan keretaku. “Cuci luar dalam ye”, arahku pada pekerja car wash itu yang berbangsa Bangladesh. “Ok bos”, jawabnya ringkas.

Aku masih teringat-ingat insiden malam tadi selepas pulang dari menonton wayang. Kami bertiga rancak berbual-bual tentang filem seram Thailand yang baru saja kami tonton malam itu. Aku memandu kereta. Asri duduk di kerusi sebelah dan Amirul duduk berseorangan di kerusi belakang. Waktu itu lebih kurang hampir pukul 1 pagi. Kami dalam perjalanan pulang. Kami duduk satu taman dan juga satu lorong. Rumahku yang paling hujung di corner lot. Jalan masuk ke kawasan rumahku memang agak gelap. Taman perumahan kami sedikit jauh dari kawasan bandar. Apabila masuk ke simpang terakhir sebelum memasuki lorong pertama taman perumahan kami, tiba-tiba ada seekor anjing melintas. Aku tak sempat mengelak dan terlanggar anjing itu lalu terbabas ke semak di tepi jalan.

Kami turun dari kereta untuk meninjau keadaan anjing itu. Tetapi kelibat anjing itu tidak kelihatan. Hanya ada sedikit kesan calar pada bahagian bumper depan di sebelah kiri. “Bos, sudah siap”. Lamunanku terhenti dengan panggilan pekerja car wash itu. “Berapa?”, tanyaku. “Sepuluh ringgit bos”, jawabnya ringkas. Aku menghulurkan not sepuluh ringgit dan meneruskan perjalanan menghala ke klinik.

********

“Lan, bangun dah nak maghrib ni”, panggil ibuku sambil menepuk-nepuk bahuku. Aku tertidur selepas makan ubat tengah hari tadi. Lama juga aku tidur. Mungkin sebab aku tidak cukup tidur kerana gangguan malam tadi. Aku segera mandi dan menunaikan solat maghrib. Selepas makan malam, aku menonton tv berseorangan. Ibuku keluar menghadiri jemputan kenduri doa selamat di taman sebelah.

Sedang aku asyik ketawa terbahak-bahak melayan Sepahtu Reunion Live, tiba-tiba aku terbau sesuatu yang busuk. Baunya seperti bau bangkai haiwan. Aku terus melangkah ke arah bau tersebut yang datangnya dari tempat parking keretaku. Aku memberanikan diri membuka pintu. Aku terkejut beruk kerana terdapat bangkai seekor anjing hitam di sebelah keretaku. Keadaan anjing itu mengerikan dengan tulang kakinya patah dan perutnya terburai. “Macam mana anjing ni boleh ada kat sini?”, aku tertanya-tanya. Aku berlari ke dapur mengambil beberapa plastik sampah dan juga sarung tangan untuk mengalihkan anjing itu dan membuang bangkainya.

Sekembalinya aku dari dapur, aku dapati bangkai anjing itu telah lesap. Baunya juga telah hilang. Aku menjadi bingung memikirkan apa sebenarnya yang terjadi. Aku segera menutup pintu. Insiden aku melanggar anjing malam semalam kembali mengganggu fikiranku. “Kenapa aku kena kacau dengan jelmaan anjing ni? Tak kan lah sebab malam tadi?”, getus hatiku.

Aku segera menghubungi Asri dan Amirul. Tetapi hanya Amirul yang menjawab panggilanku. Aku mengajak Amirul datang ke rumahku. Ada sesuatu yang ingin aku dapatkan kepastian. Selang beberapa minit Amirul sampai di depan rumahku. “Apa halnya mat? Macam ada hal besar je ni?”, jerit Amirul dari laman rumahku. “Kau masuk dulu. Ada benda nak bincang ni”, sahut aku dari muka pintu.

“Kau ingat tak semalam? Lepas kita balik dari tengok wayang?”, aku memulakan bicara. “Ingat. Aku pinjam kau seratus malam tadi. Tak kan lah malam ni kau dah nak balik hutang kau tu. Aku belum ada duit lagi ni”, balas Amirul bersahaja. “Apa kau merepek ni setan. Hutang tu kan hujung bulan aku suruh kau bayar. Ni pasal kita terlanggar anjing malam tadi. Kau ingat tak?”, balasku serius. “Owhh…pasal tu. Ingat lah. Kenapa?”, tanya Amirul. “Aku rasa anjing tu bukan anjing biasa-biasa la. Aku dari malam tadi kena kacau dengan jelmaan anjing!”, terangku serius. “Ye ke? Habis tu kau nak buat apa ni?”, Amirul meneruskan pertanyaan. “Kau temankan aku pergi tengok tempat kejadian semalam, boleh tak?”, aku mengajak. “Amboi kau, tempat kejadian. Kau ingat ni kes b***h? Nak kejadian-kejadian bagai..”, balas Amirul berseloroh. “Ok, kau nak pergi bila ni?”, sambung Amirul. “Malam ni lah”, tegasku.

Tanpa berlengah kami berdua terus menghala ke tempat yang di tuju. Sampai sahaja di situ, aku terus parking kereta di bawah pokok yang agak rendang. Kami meninjau tempat keretaku terbabas. Bekas tayar keretaku masih ada. Semak di situ agak tebal. Rumputnya tinggi mencecah pinggangku. Banyak pokok-pokok renek liar tumbuh di sekitarnya. Aku menyalakan lampu suluh dan menyuluh kawasan sekitar. “Kat sini lah kita terlanggar anjing tu. Cuba kau tengok dalam longkang tu ada apa-apa tak? Aku nak tengok kat tepi pokok-pokok ni”, arahku pada Amirul. Amirul hanya mengangguk faham.

“Lan…cepat sini. Aku dah jumpa ni..!”, Amirul menjerit kecil. Aku berlari mendapatkan Amirul. “Haaa..ini la diaa..sama macam jelmaan yang kacau aku”, terangku serius. Kami telah menjumpai bangkai seekor anjing hitam yang m**i di dalam longkang itu. Keadaannya mengerikan. Mungkin inilah punca sebenar mengapa ia menganggu hidupku. Aku segera mengeluarkan cangkul dari dalam bonet kereta. Kami mengorek lubang berhampiran tempat ia dilanggar. Setelah lubang agak dalam, aku dan Amirul mengangkatnya lalu menanam bangkainya di dalam lubang itu. Sejak malam itu, tiada lagi gangguan jelmaan anjing yang mengerikan. Yang ada hanyalah salakan anjing yang seperti biasa menemani malam-malamku seperti sebelumnya.

Tamat.

#cencorot

Cencorot

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 5]

2 thoughts on “Gangguan Anjing Hitam”

  1. #sicencorot …

    Kuat gak ekk ko terlanggar anjing tu smpi terburai bagai…
    Seb bek die mtk tanam jer…
    Kot die mtk soh ko bela mau haruuuu…
    Heheheheh…

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.