Hi. Salam sejahtera kepada semua. Nama saya Sera. Saya ada kisah seram yang hendak saya ceritakan. Saya tak pasti kisah ini seram atau tidak, tapi bagi saya ianya sangat extreme kerana seumur hidup saya tak pernah alaminya. Harapnya kisah ini disiarkan oleh admin FS. Jika cerita ini disiarkan, terima kasih saya ucapkan.
Kisah ini terjadi sekitar Disember 2015, saya dapat menyambung pelajaran di satu IPTA di Johor. Seperti yang kita tahu, pelajar baharu sememangnya akan menetap di asrama supaya senang untuk kami mengikuti semua program yang dianjurkan. Untuk pengetahuan semua, asrama kami memang agak jauh dari kampus. Sangat-2 terpencil lokasinya. Memang perlu berjalan kaki sedikit.
Nak dijadikan cerita, saya dan roommate saya, Fahira mendaftarkan diri ke kelab silat. Setiap malam pada hari Selasa, memang kami akan menghadiri aktiviti silat yang diadakan. Lokasi untuk ke tempat dimana aktiviti silat diadakan agak jauh dari asrama kami. Kami terpaksa berjalan kaki melalui kaki lima yang disediakan pihak IPTA.
Untuk pengetahuan pembaca, selepas sahaja keluar daripada kawasan asrama kami akan lalu di sebuah Jabatan (lebih kurang macam fakulti) iaitu Jabatan Mekanikal. Jabatan itu sangat-2 sunyi memandangkan Jabatan itu paling kecil antara Jabatan-2 yang ada di IPTA ini. Sebelum itu memang kami ada dengar cerita yang kurang enak daripada pelajar senior tentang Jabatan tersebut sejak hari pertama menghadiri orientasi.
Pada awalnya kami hanya anggap ianya gurauan daripada pelajar senior. Mungkin mereka hanya ingin menakut-nakutkan pelajar baharu sahaja. Maklum lah, pelajar senior memang suka menyakat pelajar baharu.
Saya masih teringat semasa hari orientasi, kami pernah lalu Jabatan itu beramai ramai semasa hendak pulang ke asrama pada pukul 12 pagi. Ada seorang pelajar senior marah kerana terlalu bising dan cakap “jangan bising-2 sangat boleh tak? Kalau lalu sini tolong senyap dan mulut jangan celupar. Baca lah apa-2 doa yang korang hafal.” Masa tu kami terdiam. Tapi dalam hati rasa macam mereka bergurau sahaja kut dan tidak hiraukan kata-2 mereka.
Okay berbalik kepada cerita tadi, tepat jam 10 malam aktiviti silat pun selesai. Kami bersurai dan ingin pulang ke asrama semula. Ada beberapa orang pelajar lain juga dalam perjalanan pulang ke asrama, makanya kami tidak lah rasa sunyi untuk pulang ke asrama pada waktu malam-2 begitu.
Sepanjang perjalanan, tidak lah terasa apa-2 yang menyeramkan sehingga kami ternampak Jabatan Mekanikal yang sunyi sepi itu di bahagian kanan saya. Tempat itu tidak lah gelap, ada sahaja lampu tetapi ianya agak suram. Tiba-2 sahaja teringat apa yang pelajar senior pernah beritahu tentang tempat itu. Tapi saya persetankan sahaja apa yang bermain di dalam benak fikiran ketika itu. Sebelum itu, di hadapan kami ada beberapa orang pelajar senior lelaki juga turut serta untuk pulang ke asrama.
Pelajar senior lelaki tadi tiba-2 sahaja berhenti di hadapan Jabatan itu. Kami tersentak kerana terkejut tiba-2 sahaja pelajar lelaki itu berhenti dan memandang tajam ke arah bangunan Jabatan itu. Saya dan Fahira yang sedang berjalan ketika itu turut berhenti dan mulai rasa tidak sedap hati.
“Korang jalan saja. Jangan banyak cakap, jalan cepat.” pelajar lelaki itu bersuara kepada kami sambil mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu dan matanya terpejam.
Kami jadi tak tentu arah sebaik sahaja dia berkata begitu. Yelah. Sesiapa pun pasti akan tidak keruan jika tiba-2 sahaja ditegur begitu. Pada waktu lewat malam pula tu! Saya dengan Fahira pun mempercepatkan langkah kami untuk pulang ke asrama. Saya tidak tahu mengapa hati saya ingin berpaling ke arah bangunan Jabatan itu.
Saya pun toleh ke belakang dan lihat ke arah kelas-2 yang ada di Jabatan itu. Entah mengapa mata saya tertancap pada sebuah kelas dimana tingkap kelas itu terbuka. Tingkap itu jenis sliding. Tiba-2 saya ternampak ada satu sosok berambut panjang sedang mengintai di sebalik tingkap itu. Selepas saya terpandang sosok itu, cepat-2 sahaja sosok itu hilang. Seolah-olah ianya boleh tahu yang saya nampak ‘dia’.
Pelajar senior yang berdiri tadi menjerkah “saya dah kata jangan pandang apa-2! Jalan balik asrama terus!”
Saya pun apa lagi, saya istighfar dalam hati dan cepat-2 saya tarik tangan roommate saya. Jantung laju berdegup tak payah cakap. Memang laju macam baru lepas berlari. Bulu roma berdiri tegak. Keesokan harinya saya terus demam panas.
Lama saya simpan cerita ini dan tidak ceritakan kepada Fahira. Masuk sahaja semester baru, kami putuskan untuk tinggal di rumah sewa dan tidak lagi tinggal di asrama. Selepas pindah rumah sewa baru saya ceritakan pada Fahira tentang kejadian itu.
Tidak lupa juga pada satu peristiwa yang agak seram terjadi di sepanjang kami menetap di asrama. Macam biasa lah, d***h muda memang suka melepak dengan kawan-2 sampai tak ingat nak balik ke bilik. Pada suatu malam, saya dengan kawan-2 bilik yang lain melepak di bawah asrama. Memandangkan keesokan hari adalah hari Jumaat. Hari cuti bagi negeri Johor. Di situ ada meja batu yang disediakan. Kami melepak di situ gelak-2, makan, bergossip dan macam-2 lagi.
Tengah seronok kami berbual dan ketawa sakan, tiba-2 sahaja kami terdengar ada bunyi sesuatu yang jatuh daripada pokok. Pokok itu terletak di sebelah asrama kami, sejajar dengan meja batu yang kami duduk. Tidak nampak pun pokok itu kerana terlindung dengan tembok & tangga tapi kami boleh dengar ada sesuatu jatuh daripada pokok itu. Kami terdiam seketika. Masing-2 berpandangan antara satu sama lain.
Suasana sunyi seketika, tiada apa yang jadi dan kami sambung berbual seperti biasa. Ketika itu jam menunjukkan pukul 1 pagi. Masa itu saya perasan Fahira tiba-2 sahaja senyap. Dia tidak banyak bercakap macam tadi. Dia kelihatan gusar dan matanya meliar di sekeliling. Tapi saya buat endah tak endah saja.
Tengah seronok ketawa, tiba-2 sahaja ustaz keluar. Ustaz itu warden kami dan meja batu itu terletak berhadapan dengan rumah warden.
“Kamu semua ni buat apa pagi-2 buta tak tidur lagi?” tanya Ustaz.
“Melepak dulu ustaz. Nanti kami balik lah. Esok kan cuti” jawab rakan saya, Annissa.
“Ha yelah. Lepak, lepak jugak. Kamu kena ingat sekarang dah pukul berapa. Tak manis anak dara duduk luar lama-2. Lagi pulak pagi buta macamni. Jangan lama sangat dekat luar. Sekejap lagi balik bilik terus. Jangan bising-2 sangat waktu macamni.” ujar Ustaz sambil matanya menerawang di sekeliling asrama.
Kami pun hanya tersengih-sengih saja selepas ditegur. Dan sambung berbual sejurus warden masuk kembali ke dalam rumahnya. Tidak lama kemudian, tiba-2 sahaja Fahira cuit lengan saya.
“Sera, jom lah balik bilik. Saya dah mengantuk ni. Jom lah balik cepat.” Fahira mendesak untuk balik ke dalam bilik. Saya pun tanpa mempersoalkan, terus balik bilik dengan Fahira.
Alhamdulillah ketika itu tiada apa yang jadi pun. Tetapi setelah kami tidak tinggal di asrama, Fahira memberitahu saya cerita yang sebenar pada malam kami melepak jam 1 pagi itu.
“Sera, awak taknak tahu ke kenapa Ustaz tegur kita malam tu? And awak tak tertanya tanya ke kenapa saya senyap malam tu? Awak tak pelik ke bunyi apa yang jatuh dari pokok kelapa tu?”
“Kenapa pula?” soal saya pada Fahira dengan penuh tanda tanya. Kerana saya langsung tidak mengesyaki apa-2 dan anggap hanya buah kelapa yang jatuh ketika itu.
“Awak lupa ke? Saya boleh sense benda-2 macamni. Malam tu, selepas sahaja bunyi benda terjatuh berdekatan pokok tu saya ternampak lembaga hitam besar dekat tepi tu. Sebab itu juga lah Ustaz pun keluar tegur kita. Dan sebab itu lah saya diam & ajak awak balik bilik cepat-2” ujar Fahira. Saya hampir terlupa, Fahira memang ada keistimewaan yang boleh merasakan ‘benda’ itu.
Saya apa lagi, terus meremang bulu roma. Ujar Fahira, dia tak nak ceritakan hal itu semasa sepanjang berada di asrama kerana risau jikalau saya ketakutan kerana Fahira sering pulang ke rumah keluarganya setiap kali hujung minggu dan tinggal saya seorang diri di bilik since Fahira pun memang berasal daripada Johor.
Okay ini adalah cerita terakhir, juga berlaku di asrama yang sama. Cerita ini agak ringkas. Pada suatu malam, saya dan rakan-2 bilik yang lain order makanan daripada luar. Kami bosan asyik makan di kafe sahaja. Jadi malam itu kami order burger. Macam biasalah, saya dan Fahira yang selalu ambil order dan kami juga lah yang pergi ambil makanan di pintu belakang asrama.
Apabila makanan sudah tiba, kami diarahkan untuk ambil makanan di pintu belakang asrama. Saya dan Fahira berdua sahaja pergi ambil makanan. Dalam perjalanan ke pintu belakang, saya nampak ada pondok kecil yang terletak di belakang asrama lelaki. Untuk pengetahuan, asrama kami memang sebelah menyebelah sahaja dengan asrama lelaki. Asrama kami itu dulu asalnya asrama lelaki tetapi sebab intake pada tahun itu sangat sikit pengambilan pelajar lelaki yang tinggal di asrama berbanding perempuan. Asrama perempuan sudah penuh, jadinya pelajar perempuan yang berlebihan ditempatkan di asrama lelaki.
Ketika itu, tiada siapa pun yang melepak di pondok itu. Memang jelas saya lihat tiada orang langsung di pondok itu. Sudah lah ketika itu hanya tutup kepala menggunakan kain batik sahaja, risau juga kalau-2 ada pelajar lelaki yang keluar dan lepak di situ.
Sampai sahaja kami di pagar belakang, kami pun ambil makanan & membayarnya. Sewaktu ingin pulang ke asrama pun saya tinjau pondok di situ. Masih kosong tiada orang. Lega lah saya ketika itu. Jika diikutkan, pelajar perempuan mesti pakai tudung jika berada di luar asrama. Tetapi saya hanya berbekalkan kain batik menutupi kepala HAHAHA. Sangat degil. Sementara tiada orang, saya dan Fahira mempercepatkan langkah risau jika ada warden atau pelajar lelaki yang nampak.
Setiba di bilik, kami pun mesej rakan-2 supaya ambil makanan mereka di bilik kami. Seusai sahaja semua sudah ambil makanan mereka, tiba-2 Fahira bersuara.
“Sera, tadi masa dekat pondok tu kan awak ada nampak sesiapa lepak dekat situ tak?”
“Hm? Setahu Sera, memang pondok tu takde orang. Kenapa?” soal saya hairan.
“Masa pergi tadi ada nampak?” soal Fahira. Saya menggelengkan kepala sahaja.
“Masa balik tadi?” saya menggelengkan kepala juga.
“Sumpah? Awak tak tipu? Sebab saya memang Nampak ada beberapa pelajar lelaki lepak dekat situ.” ujar Fahira.
“Sebab tu saya tinjau pondok tu dan risau jika mereka nampak awak sebab awak hanya tutup kepala guna kain batik saja.” tambahnya lagi.
“Sumpah Wallahi memang pergi balik tadi pondok tu kosong la Fahira. Buat apa saya nak tipu, saya sendiri toleh ke pondok tu tadi memang tiada orang langsung.” saya meyakinkan Fahira.
Apapun, Fahira memang mendakwa yang dia ada nampak sekumpulan pelajar lelaki melepak di pondok itu. Hanya melepak macam biasa. Tiada apa yang pelik. Saya memang tak tipu, memang tiada orang langsung di pondok ketika itu. Tak pasti lah Fahira nampak apa masa tu.
Setelah kami tinggal di rumah sewa, baru lah saya dapat tahu banyak kisah seram yang terjadi di asrama itu. Cuma mereka tidak mahu menceritakan kepada saya bimbang jika saya ketakutan. Hampeh betul. Apa pun, itu lah kisah seram yang saya alami sepanjang saya tinggal di asrama. Seumur hidup saya, saya tak pernah tinggal di asrama kerana saya asalnya dari sekolah harian sahaja. Dan itu lah kali pertama dan terakhir saya menetap di asrama.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit