Gerobok Rumah Atuk

Assalamualaikum kepada semua pembaca fiksyen shasha. Terima kasih kepada fiksyen shasha sebab sediakan ruang untuk berkongsi pengalaman. Pengalaman yang aku nak kongsi ni tak lah se ‘extreme’ orang lain. Tapi cukup laa sekadar mengingatkan kita ni hanya hamba Allah yang kerdil.

Pengalaman aku ni berlaku tahun lepas. Masa tu raya puasa. Benda ni berlaku dekat rumah arwah atuk aku sendiri. Atuk aku dah meninggal dunia. Untuk makluman rumah atuk aku tu lah tempat adik beradik sebelah emak aku berkumpul tiap kali raya. Mak aku ada 5 beradik je. Mana yang jauh ke dekat ke semua akan balik situ. Rumah atuk aku terletak dekat Parit 1, Muar, Johor. Mana yang duduk Muar tahu la katmana.

Rumah atuk aku ni rumah lama. Rumah papan tapi belah atas. Cuma bahagian dapur je belah bawah. Dapur tu pun asalnya rumah atas. Pakcik aku ‘renovate’ jadi bawah sebab masa tu sebahagian bahagian dapur tu ada yang dah reput tiangnya. Tandas pulak mestilah dekat luar. Kat belah dapur pun still ada tandas dengan bilik mandi. Tu pun dekat luar. Kena keluar pintu dapur baru jumpa tandas. Cuma tak seseram tandas asal lah yang terletak dekat luar rumah depan kebun sawit. Tepi2 tandas tu ada pokok2 bunga yang kuning2 tu aku taktahu nama dia.

Rumah atuk aku ni dah sampai 7 generasi. Lama kan? Tapi rumah atas masih kuat. Tiang seri ‘of course’ lah ada. Kalau orang-orang lama mesti tahu tiang seri tu apa fungsinya. Kalau ikut kedudukan dia memang betul-betul dekat pusat rumah. Besar dia ada laaa dalam 4 genggam orang dewasa. Besar jugak tiang seri ni sebab tu dia tak sama dengan tiang2 lain. Nak dipendekkan cerita. Family aku yang kedua sampai rumah atuk aku tu. Even takde orang duduk rumah ni tapi makcik aku(mak andak) yang duduk area situ selalu datang bersih-bersihkan rumah atuk aku tu.

Malam tu lepas terawih semua kitorang bahagi tugas kemas rumah sikit. Sedara mara aku yang jauh ramai yang sampai lewat. Dalam pukul 12 keatas. Jadi aku dengan family makcik aku ni kemas-kemas rumah atuk aku tu sikit-sikit. Malam tu sehari sebelum raya. Maknanya masih ada baki 1 hari puasa esoknya. Rumah atuk aku ni ada 6 bilik. 4 bilik dekat rumah atas, 2 bilik dekat dapur. Mak, mak andak, Zura(adik), Alin(sepupu) tolong dekat dapur. Ayah, pak andak, aku, Abby(sepupu), Aidil(sepupu) dengan Haziq(adik) kemas ruang tamu dan bilik.

Ayah pulak suruh aku dengan abby kemas bilik depan, ada 2 bilik. Lagi 2 orang lagi 2 bilik dekat belakang. Ayah dengan pak andak mengular la tu kemas ruang tamu. Okay aku pun masuk laa bilik utama tu dengan Abby. Bilik tu besar sikit sebab bilik utama. Tu la bilik arwah atuk aku tidur. Tapi lepas atuk meninggal, bila cuti raya bilik tu tak ada yang tidur sebab semua ada bilik masing2. Raya tahun tu pun raya pertama atuk tak dah tak ada. Janggal sikit lah sebab selalu atuk yang banyak kerenah suruh itu ini.

Masa mula2 masuk tu tak ada apa-apa yang pelik pun. Cuma atuk aku ni suka warna terang. ‘Especially’ warna kuning. Jadi dari langsir ke cadar ke kelambu warna kuning. Memang meriah dah aku tengok. Bilik atuk kemas je aku tengok tak berhabuk langsung. Meja solek pun tersusun je barang-barang atas tu. “Lan, kita nak kemas apa ni? Bersih je bilik atuk aku tengok” Abby tanya aku. “Kita usha-usha je lah kot jumpa gambar lama atuk masa muda ke. Untung-untung jumpa wasiat atuk bagi harta karun ke untuk kita” aku berseloroh. Mula lah aku dengan Abby ‘spot check’ bilik atuk. Ni baru kali kedua aku masuk bilik atuk. Atuk memang tak pernah bagi cucu dia masuk bilik dia suka hati masa dia hidup dulu.

Mata aku memang dah ‘aim’ gerobok lama sebelah meja solek atuk tu. Gerobok tu tinggi paras pinggang aku je tapi ada 6 laci. Si Abby terus buka gerobok baju atuk. Baru aku nak buka laci pertama, tiba-tiba Abby panggil aku. “Lan meh kejap. Apa ni ek? Macam kotak harta je. Besar ni”. Aku pun belek-belek kotak tu. Kotak tu macam kotak kayu tapi dibalut dengan kain kuning. “Ntah lah. Tapi dalam dia macam ada something je. Kalau tak takkan la atuk siap balut segala”. Aku dengan Abby memang dah excited masa tu. Rasa nak buka je kotak tu tapi takut bising. Dah nanti abah dengan pak andak serbu pula. Jadi aku dengan Abby pelan-pelan angkat kotak tu letak sebelah katil atuk. Jadi bila orang masuk tak nampak kotak tu, sempat lah nak tolak masuk bawah katil atuk.

Lepas dah keluarkan tu aku suruh Abby tengok ‘line’ dulu. Lepastu pelan-pelan Abby tutup pintu. Cuma bunyi ‘krekkkkk’ pintu lama je lah. Dah okay semua aku dengan Abby terus laa buka balut kain tu. Kotak tu memang cantik. Kotak kayu ‘hand-made’. Ada ukiran kerawang keliling kotak kayu tu. Lepastu ada tempat pemegang kiri kanan. Tapi kotak tu dikunci. Tempat kunci dia pun aku tak tahu belah mana. Sebab dia ‘flat’ je keliling tak ada lubang boleh cucuk kunci. Lagi lah aku dengan Abby pelik. Macam mana nak buka kalau lubang kunci tak ada tapi terkunci.

Jam masa tu dah dekat pukul 12. Sebab taknak kantoi dengan abah, pak andak, aku decide dengan Abby nak buka masa semua dah tidur. Aku tolak je kotak tu bawah katil lepastu keluar bilik macam biasa. Dah keluar tu abah tanya, kitorang jawab je dua-dua bilik dah kemas padahal dari tadi dekat bilik atuk je. Ngam2 selang berapa minit tu maklong, pak itam dengan maksu sampai dengan family masing-masing. Meriah la rumah atuk. Jadi makin ramai laa sepupu sepapat aku datang.

Dalam family aku ni, ‘even’ duduk jauh tapi hubungan aku dengan sepupu yang sebaya aku memang rapat. Umur kitorang ‘average’ 21-24 tahun je. Masa tu memang best lah sebab geng kitorang dah cukup. Zaman(anak maklong), Idham(anak pak itam), Naz(anak maksu). Ni la geng dajal aku kalau kumpul. Sepupu yang lain perempuan. Cuma aku dengan Abby je yang ada adik lelaki.

Lepas salam, letak barang semua kitorang pun port dekat beranda luar rumah. Dekat situ ada kerusi rotan dengan meja minum. Galak la masing2 ‘share’ cerita. Yang golongan berumur lepak dekat dalam hahahaha. Tak lama tengah bual tu Abby potong. “Weh tadi aku dengan Lan jumpa barang baik siot. Malam karang kita buka”. Yang Zaman, Idham dengan Naz kemain lah diorang ‘excited’. Sebab diorang yang duduk paling jauh antara family kitorang. Jadi kitorang plan nak buka masa yang lain tidur. Diorang pun ‘on’ je la kan.

Dipendekkan dalam pukul 2 mostly dah masuk bilik. Cuma sepupu-sepupu dengan adik-adik aku yang tidur dekat ruang tamu. Ada je yang belum tidur main ‘phone’. Jadi kitorang pun duduk dekat ruang tamu kedua area depan bilik atuk tu. Yang sepupu perempuan tidur dekat ruang tamu utama depan rak kaca cawan atuk. Jadi kalau kitorang nak masuk bilik atuk memang diorang tak nampak cuma bunyi pintu je lah. Punya la nak usha ‘line’ yang si Zaman panggil adik dia nak pastikan adik dia yang main ‘phone’ tu dah tidur ke belum. 2-3 kali zaman panggil. Rupa-rupanya dia sumbat earphone. ‘Line clear’ dah masa tu. Yang lain dah hayut sampai london.

Pelan2 si Abby buka pintu bilik atuk sebab taknak bunyi pintu tu kuat sangat. Dah lah bilik atuk tu sebelah je bilik ‘parent’ aku. Lepas terbuka pintu tu dah lega sebab dapat masuk. Kitorang pun pelan-pelan masuk tutup pintu balik. Bila dah okay je aku terus pi katil atuk nak amik balik kotak tadi. Kali ni pelik. Kotak tu tak ada bawah katil. Aku bisik dekat Abby “kau simpan balik dalam gerobok ke?”. “Eh mana ada. Kan tadi kau yang sorok bawah katil” Abby balas. Ahh masa tu aku tak fikir sangat terus pi dekat gerobok. Yang lain ikut je. Zaman, Idham dengan Naz terpinga tengok aku dengan Abby. Kitorang pun amik balik kotak tu dalam gerobok. Terbungkus cantik macam mula-mula kitorang jumpa. Walhal aku tak ikat cantik macam asal pun masa sorok bawah katil tu.

Kali ni aku masih tenang lagi walaupun pelik. Lepas bukak je bungkusan tu yang lain terus serbu. Macam-macam diorang tanya. Ada emas ke, duit ke, barang berharga ke. Tiba-tiba Naz mencelah “japgi dalam tu gambar-gambar atuk je. Sia-sia kita tak bangun sahur esok kang”. Tanpa buang masa aku terus belek- belek kotak tu cari punca nak buka. Tak jumpa. Nak terbalikkan takut bising sebab isi dalam tu macam ‘something metal’. Masa angkat goyang-goyang pun ada bunyi macam besi berlaga dengan cawan. Antara kitorang ni Zaman paling tua. Jadi dia ni macam bijak sikit lah kan. Dia pun belek lah kotak tu kot kot ada punat boleh tekan ke. Tapi tak ada. Dekat 20 minit juga nak cari tempat buka kunci tu. Masa tu jam dah dekat pukul 3 masing-masing dah fed up termasuklah aku. Jadi kitorang decide buka esok malam je masa malam raya. Kotak tu aku letak balik dalam gerobok takut kantoi dengan siapa-siapa macam tadi. Tiba-tiba dah tersimpan balik. Dalam 3 lebih kitorang semua terbongkang tidur.

Malam Raya.

Malam ni la yang busy. Semua tak sabar nak raya lepas seharian bersihkan kawasan rumah masak apa semua. Masa tu dah pukul 11 lebih. Semua ‘stand by’ nak tidur je. Cuma ada pak itam dengan ayah dekat beranda luar tengah berbual. Itu pun tak lama dalam 11.30 diorang dah masuk bilik. Kitorang pura-pura tidur sebab taknak nampak sangat yang kitorang ni ada aktiviti malam. Tepat pukul 12 jam rumah atuk bunyi. Maklum la jam lama yang besar tu kan. Aku cuit semua, pastu kitorang terus bangun pi bilik atuk. Dah masuk tu kitorang terus amik kotak tu. Sekali lagi balutan kotak tu diikat cantik. Aku memang pelik dah masa tu. Abby pun buat muka pelik. Mungkin sebab aku dengan dia je perasan pasan ikatan tu kot. Tak buang masa aku buka bungkusan kotak tu.

Tak kira malam ni nak buka jugak sebab esoknya dah raya. Tak payah bangun sahur dah. Masih lagi dalam situasi sama masing-masing. Mencari punca buka kotak tu. Yang buat kotak tu memang bijak. Tiba-tiba si Zaman suruh sengetkan sedikit kotak tu. Dia buka lampu ‘phone’ dia suluh bawah kotak tu. Jeng jeng jeng. Ada satu lubang halus bawah tu. Besar dia lebih kurang besar lidi sate je. Si Naz terus amik jarum sanggul atas meja solek bekas arwah nenek punya. Cuba cucuk lubang tu kot kot boleh buka. Tak boleh jugak sebab dalam lubang tu macam ada lubang kunci. Maknanya memang ada kunci dia. Jadi semua raba-raba keliling bilik atuk tu berbekalkan lampu telefon.

Tempat aku ‘aim’ memang gerobok laci sebelah meja yang tak sempat buka tu lah. Aku buka satu2 laci. Laci pertama sampai 4 kosong. Cuma laci 5-6 yang bawah sekali sahaja ada isi. Aku bukak laci 5. Ada selendang nenek, jarum sanggul, barang-barang solek lama. Dalam laci 6 ada kotak kecik dua. 1 besar kotak mancis lagi 1 separuh kotak kasut. Aku pun bukalah kotak mancis dulu. Dalam tu ada cincin lama. Ada 3 jenis. Satu ‘full’ kayu, satu tembaga, satu timah. Yang kayu tu ada batu warna kuning. Yang lagi 2 tu dua-dua kayu batunya. Aku try laa sarung suka-suka. Memang ngan dengan jari aku. Lepastu aku buka lagi 1 kotak. Dalam tu cuma ada syiling-syiling lama dengan duit kertas lama. Yang aku perasan duit indon, arab dengan filipina kot.

Takde ‘sign’ kunci langsung. Yang lain pun hampa tak jumpa petunjuk kunci. Dekat sejam kitorang geledah bilik atuk nak cari kunci kotak tu. Kitorang duduk balik keliling kotak tu. Aku pulak lupa nak buka cincin yang aku sarung tadi. Tiba-tiba Zaman tegur. “Lawa cincin?”. “Aku jumpa dalam laci tadi. Saja sarung. Japgi aku letak ler balik”. Lepas tu semua senyap kejap. Masing-masing fikir kot macam mana nak buka kotak tu. Masa makin mencemburui. Jam dah pukul 2 lebih masa tu. Tiba-tiba si Naz ni pulak bersuara. “Aku rasa tadi aku cari dekat gerobok sebelah pintu tu macam ada something tersekat bawah laci. Aku tak tarik sebab takut bising”. Terus je aku pergi gerobok tepi pintu tu.

Aku cuba tarik laci bawah sekali. Laci tu macam tersekat. Sebab perasaan nak buka kotak tu, aku suruh yang lain angkat sikit gerobok tu. Gerobok tu sama macam gerobok laci yang aku buka, cuma yang ni laci dia ada 3 memanjang. Aku raba-raba bawah gerobok tu. ‘Yess’ aku rasa macam ada satu kotak kayu leper. Panjang dia ada la macam congkak tu. Aku tarik keluarkan dari bawah gerobok tu. Kotak kayu tu tak lebar. Sebab kedudukan dia bawah laci tu yang buat laci tersekat. Aku Kotak tu dibalut kain kuning atas, tengah dan bawah. Dari bentuk dia macam keris/pedang lama. Betul jangkaan aku. Tapi bukan pedang/keris. Cuma kerambit berhulu kayu. Corak kerawang dia seaakan akan kerawang pada kotak tadi.

Zaman ambil dan amati kerambit tu. Ada 2 kerambit. Mungkin sepasang kot. Yang membezakan hanya mata kerambit. Satu mata dia tajam. Satu lagi mata dia bercabang. Si Zaman tak habis tenung kerambit tu. Si Idham dengan Naz terpegun kot. Yelaa budak bandar kan. Yang aku dengan Abby saling berpandangan. Aku rasa Abby fikir apa yang aku fikir. Kerambit mata bercabang.

Aku terus ambil kerambit mata bercabang tu. Aku tengok betul2 mata dia. Kalau dari segi kedalaman lubang kunci kotak tu, memang muat untuk masuk. Abby pun fikir yang sama. Aku suruh Zaman dengan Naz sengetkan sedikit kotak kayu tu. Aku masukkan mata kerambit tu dan pusing sedikit. Masih belum terbuka lagi kunci kotak tu. Aku rasa memang ada ‘skill’ dia sendiri. Tak boleh buka macam tu je. Lepastu Zaman pula cuba buka. Masih sama. Selang berapa minit cubaan buka kotak tu, tiba-tiba si Idham tegur “weh aku rasa kita tidur la eh? Macam dah lewat sangat ni. Esok nak bangun sembahyang raya lagi”. Dari segi intonasi dan nada dia memang macam ketakutan tapi cuba diselindungkan.

Si Naz yang tiba-tiba ‘excited’ pula bersuara “lek ah Am. Sikit je lagi ni. Aku nak tahu jugak apa dalam dia”. Aku tengok muka Idham memang ada sesuatu. Tapi aku buang jauh sebab fikirkan apa dalam kotak tu. Pusing sana pusing sini tiba-tiba “ketakkk”. Bunyi macam kunci terbuka. Aku Abby tersenyum. Terus terbuka sikit kotak kayu tu. Perlahan aku buka kotak tu. Dalam tu ada 4 barang. 2 keris lama dengan 2 tembikar sebesar tapak tangan. Semua tidak dibalut cuma diikat sedikit dengan kain kuning. Dalam fikiran aku atuk aku ni bomoh ke? Sebab biasanya barang-barang macam ni bomoh je pakai.

Si Naz belek tembikar kecik tu. Si Zaman dengan keris tu. Aku pula selak kain dibawah kotak kayu tu. Ada lagi barang. Seakan akan jarum-jarum emas tapi ada 6 sahaja diselitkan dibawah kotak tu. Aku tak cabut. Cuma raba sahaja. Dah lah berbekalkan cahaya telefon je. Tiba-tiba ada satu angin lalu dekat kitorang. Semua rasa. Angin tak kuat tapi cukup la menimbulkan rasa pelik sebab bilik atuk ni kalau tak buka tingkap memang takde angin macam tu masuk. Kalau lubang angin dekat bilik ni mustahil anginnya sekuat yang lalu tadi.

Sebab masing-masing dah meremang, Naz ajak simpan balik barang-barang tu dan pergi tidur. Idham yang pertama mengiyakan cadangan Zaman. Jadi dekat pukul 4 pagi juga baru kitorang keluar bilik atuk untuk tidur. Keesokan pagi lepas sembahyang raya kitorang lepak depan rumah atuk. Dekat bawah pokok jambu depan rumah ada pangkin untuk duduk. Tengah duduk berbual tiba-tiba Idham buka cerita. “Malam tadi masa korang tengah godeh-godeh tu kan, aku nampak atuk duduk bersandar dekat dinding belakang kau Lan”. Aku terus meremang. “Eh kau bukan-bukan je. Kau dah mamai la tu kot. Kalau tak Naz sebelah kau mesti perasan jugak” aku balas bersahaja.
Yang lain hanya mengiyakan jawapan aku. Dari riak Idham aku dapat rasakan memang yang dia tidak menipu.

Gangguan Bermula.

Malam pertama raya memang memenatkan. Kami beraya rumah adik beradik atuk yang masih hidup yang tinggal di sekitar Muar. Kami pulang sekitar jam 12 lebih malam. Sampai je rumah aku yang pertama mandi sebab dah tak tahan belengas badan. Masa tu aku mandi bilik air luar sebab bilik air dapur yang perempuan nak guna. Segan la kan kalau selisih dengan sepupu yang perempuan tu. Tengah mandi ni tiba-pulak aku bau wangi. Aku dah tak sedap dah masa tu. Cepat-cepat aku siapkan mandi. Masa tengah mandi tu aku perasan belakang aku macam ada orang. Sebab bila aku jirus air dekat badan, perasaan aku macam ada orang mandi sekali dengan aku. Aku tak toleh. Aku siapkan mandi terus keluar bilik air. Masa tu Idham dekat luar bilik air. Gayanya nak mandi. Tapi hanya menonong masuk lepas aku keluar bilik air tu. Aku terus naik rumah sebab tengah meremang.

Sampai je atas rumah dah siap salin baju semua aku duduk dekat ‘port’ kitorang tidur. Si Zaman dengan Naz terbongkang dah sebab penat jadi driver. Tak lama lepas tu Idham dengan Abby datang dari arah dapur bawak kerepek dengan air. “Aik? Cepat kau mandi siap tukar baju lagi Am?”. “Bila masa aku mandi? Balik tadi aku terus ke dapur dengan Abby” jawab Idham. Aku dah mula tak sedap hati. Idham dengan Abby seperti mengagak apa yang berlaku. Perlahan Abby bisik dekat aku “kau ada nampak atuk ke?”. “Atuk kan dah meninggal.

Apa la kau ni” balas aku nak sedapkan hati.

Masa tu la Abby cerita yang dia ada perasan susuk tubuh atuk masa dia nak tutup pintu bilik malam semalam. Tapi dia tak endahkan mungkin sebab dia dah ngantuk. Malam tu aku rasa gerak geri aku seperti ada mata yang memerhati. Tak lena aku nak tidur. Idham dah hanyut. Tinggal aku dengan Abby melayan telefon pintar masing-masing. Masa tu dah dekat pukul 2 lebih.

Aku pergi sebelah Abby tanya pasal apa yang dia nampak tu. Abby bersungguh mengiyakan. Selang berapa saat aku nampak orang berjalan kedapur memakai baju melayu, berkain pelikat. Gaya seaakan akan arwah atuk. Sekali pandang memang atuk. Berderau darah aku masa tu. Abby pulak tak berkelip mata dia tengok. Masa tu hanya Tuhan yang tahu perasaan tu.

Sebab nak pastikan tu atuk ke bukan aku gagahkan diri. Aku kejut Zaman. Nasib baik dia senang bangun. Dengan mamai-mamai aku tarik dia suruh ikut aku. Kitorang bertiga menapak perlahan lahan nak ke tangga dapur. Dekat laluan tengah nak ke dapur tu ada 3 bilik. Bilik ayah belah kanan. Lagi 2 bilik belah kiri. Sampai dekat tangga tu kitorang intai-intai je. Lampu dapur memang sentiasa bukak.

Dekat meja makan jelas dan nyata nampak orang tengah makan atas meja membelakangkan kitorang. Yang pasti bukan ayah, pak ngah, pak andak, pak itam dan pak su. Susuk dia sebiji memang atuk. Kitorang terkelu memang tak boleh bersuara masa tu. Hanya berpandangan sesama sendiri. Selang berapa minit atuk bangun dari meja makan. Mengelibas semua sembunyi balik dinding tangga tu.

Berdesup kitorang balik tempat tidur terus berselubung. Tak lama lepas tu dengar bunyi orang berjalan naik tangga dan terus ke tempat kitorang tidur. Bunyi tapak kaki tu dah buat aku berpeluh menggeletar. Macam tu jugak Zaman dengan Abby. Aku dapat rasa kaki tu melangkah kaki aku dan baring betul-betul sebelah aku.

Aduh korang bayangkan lah kalau korang kat tempat aku. Nafas aku dah macam kuda masa tu. Tiba-tiba dia tarik gebor aku ‘face to face’ terus. Aku pejamkan mata je tak buka. Idham tampar pipi aku. “Kau dah kenapa? Macam nampak hantu dah gaya”. “Eh kau tu dari mana? Tadi tidur?”. “Aku pi jamban tadi, sakit perut sebab makan macam-macam la kot”. Ahhh sudah aku bercelaru. Baru tadi aku nampak Idham tidur dengan Zaman, Nazrin. Kalau bukan Idham siapa pulak?

Aku dapat rasakan macam ‘something’ dekat rumah atuk. Aku cuit Abby dengan Zaman. Dua-dua hanya intai sedikit dibalik gebor. Masa tu aku dah duduk. Diorang pun duduk sekali. “Aku rasa macam tak sedap hati lah Man. Macam ada tak kena je”. “Aku pun rasa macam tu” jawabnya. Si Abby mengiyakan.

Aku cuit si Idham. Nyata dia pun belum tidur. Hanya menguping aku cakap. Masa tu Naz paling syok tidur. Ahh aku kejut jugak sampai dia bangun. Sekarang kitorang semua dah sedar. Hanya Naz yang mamai. Aku cadangkan untuk ke bilik atuk dan geledah barang yang kitorang jumpa tu. Zaman dan Abby setuju. Idham je yang takut-takut. Sebab taknak duduk luar sorang dia ikut jugak.

Masuk je bilik atuk aku terus ambil semua barang yang kitorang jumpa. Aku letak tengah-tengah. Zaman cadangkan buka tembikar kecik tu. Tapi sebab pengaruh filem aku tak bagi Zaman buka. Takut lagi teruk yang berlaku. Tak lama lepas tu bunyi pintu bilik atuk tertutup. Ahh sudah. Kitorang terpaku dekat keliling barang atuk tu. Semua hanya memandang antara satu sama lain tanpa suara. Dalam samar cahaya telefon, kitorang nampak ada susuk tubuh berjalan dah baring atas katil.

Masa tu memang dah menggeletar lutut. Gigil semua ada. Semua tak berani bergerak dan bersuara. Cuma si Abby yang sedikit berani buka pintu bilik atuk. Masa tu pintu dah terbuka, zasssssssss mengesot semua keluar hahahaha. Berselubung terus. Jam baru pukul 4 pagi. Aku taktahu la malam tu memang rasa panjang sangat.

Sementara nak ke subuh tu memang kitorang tak tidur. Masing-masing baca surah-surah lazim dan ayat kursi. Sejam lebih jugak berselubung panas tapi tak tidur. Bila dengar je bunyi azan dari telefon Naz, baru lah semua menarik nafas lega keluar dari selubung. Berpeluh masing-masing. Aku sedar pintu bilik atuk dah tertutup sedangkan tadi tak ada yang tutup.

Malam terakhir.

Raya kedua kami tak beraya. Hanya berjalan-jalan sahaja. Kami pusing-pusing bandar Muar dan lepak-lepak. Walaupun perasaan takut nak tidur rumah atuk tu ada, tapi kitorang gagahkan jugak. Malam ni Abby paling berani. Mungkin sebab dia paling kerap datang rumah atuk kan. Malam ni kitorang decide kalau susuk tubuh tu muncul, kita ikut dia. Semua mengiyakan kecuali Idham. Tapi Idham terpaksa akur kerja gila sepupu dia sebab taknak kena tinggal tidur sorang. Malam tu kitorang balik awal dalam pukul 10. Lepas mandi apa semua kitorang pun kumpul macam biasa. ‘Parent’ kitorang dah masuk ke bilik. Yang lain pun dah tidur memandangkan jam dah pukul 11 lebih masa tu.

“Okay sekarang kita tunggu je. Tengok dia keluar ke tak” Abby mulakan kata. Kitorang angguk je lah tanda okay. Tepat pukul 12. Jam rumah atuk bunyi. Masa tu mata masing-masing melilau. Padahal takut semua. Dekat setengah jam. Tak ada apa yang berlaku. Kitorang tetap tunggu lagi ni. Sedar-sedar dah pukul 1. Tak ada tanda-tanda seperti semalamnya.

“Malam ni dah boleh tidur lena. Kan malam last. Kita tidur je lah” Naz ngomel. Kitorang pun baring menghadap siling. Cuba untuk lelap tapi masih lagi terbayang peristiwa malam semalam. Tup tup pukul 2 lebih dah. Kemain cepat lagi masa jalan. Khayal main telefon. Zaman dengan Abby pun sama. Masing-masing main COC. Tiba-tiba si Zaman cuit aku. Aku tengok susuk tubuh menyerupai atuk tu ada lagi jalan nak kedapur. Masa tu kitorang selubung terus hahahaha acah berani je mula-mula. Selang berapa minit Zaman cuit lagi buat isyarat ke dapur. Aku, Zaman, Abby dengan Naz je yang jaga. Idham dah tidur masa tu.

Kitorang terus laa hendap macam malam semalam. Gaya yang sama, baju sama, kain sama, tempat duduk sama susuk tubuh menyerupai atuk tu malam ni. Kitorang cadang nak ikut kemana dia pergi lepas makan tu. Selang berapa minit dia bangun. Pergi ke arah sinki. Kitorang turun tangga terhendap hendap di balik dinding bilik dapur. Nampak atuk ke arah pintu keluar dapur. Tapi pintu tak buka. Tak sorang pun berani tengok. ‘Usha’ jauh je semua. Dalam seminit gitu lah si Abby yang jengah. Kitorang ikut belakang. Jeng jeng jeng. Tak ada orang. Kosong. Masa tu dah meremang bulu roma masing-masing.

Masa tu baru je nak gerak naik atas. “Krekkkkkk” bunyi pintu dapur terbuka. Aduhhhhh kelam kabut semua ‘standby’ nak lari. Abby pergi dekat pintu dia rapatkan dan kunci. Kitorang tengok je lah. Lepastu kitorang duduk dekat meja makan dapur tu sebab terang. Sebab takut nak amik air sejuk dekat dapur, kitorang teguk je la air yang ada atas meja. Lama jugak semua senyap. “Pukul berapa sekarang?” Abby tanya. Aku yang pakai jam masa tu. “Nak pukul 3 dah” aku jawab. Sedang termenung tiba-tiba bunyi macam orang merangkak dekat laluan tengah rumah atas nak kedapur. Laluan tu gelap tak buka lampu.

Memang tak nampak apa. Kitorang terpaku je dekat meja makan. Lepastu bunyi tu berhenti. Aduh lagi la ‘curious’ masing-masing. Selang berapa minit bunyi pintu dapur pulak terbuka macam tadi padahal Abby dah kunci. Sekarang ni dalam otak aku kalau apa-apa ketuk pintu bilik maksu dengan pak itam sebab diorang bilik dekat dapur. Tak sempat apa kelibat atuk betul-betul depan pintu masuk nak ke meja makan dari dapur. Tapi hanya menunduk. Masa tu kelam kabut. Nak lari naik atas kaki semua berat dah takut punya pasal. Naz punya ayat kursi dah kelaut. Zaman, Abby dengan aku memang kaku dah.

Nak tahu lepastu apa jadi? Kepala atuk pusing 360 kot. Naz pengsan. Aku dengan Zaman terduduk dekat lantai. Abby je atas kerusi meja makan terpaku. Masa tu darah aku dah tak sampai kepala dah. Nyaris-nyaris nak pengsan. Zaman dah pengsan dekat sebelah aku. Aku taktahu kenapa la aku tak pengsan sekali masa tu. Abby yang tadi terpaku tiba-tiba bangun. Mata dia merah menyala.

Dia tenung aku kottt. “Kau apahal ni? Kau okay tak ni? Jangan laa main-main” suara aku terketar ketar dah. “Jangan kacau barang aku! Pulangkan barang aku!” nada marah dia balas. Sedikit garau yang bukan suara dia. Aku terpaku terdiam terkelu nak nangis semua ada sebab takut. Sebab tengkingan dia tu paksu dengan pak itam terjaga. “Astaghfirullah kenapa semua dekat dapur ni?” Paksu tanya. Zaman dekat lantai pengsan. Naz atas meja pengsan. Aku terduduk dengan berpeluh terketar ketar hanya mampu sebut nama Abby.

Aku gigil gila masa tu aku tunjuk pintu dapur. Paksu pi tengok. Pak itam pi kejutkan yang lain sebab Abby tak ada masa tu. Masa tu penuh dekat dapur. Ikhtiar kemana Abby pergi. Masa tu Zaman dengan Naz dah sedar. Idham pun ada sekali ketakutan. Sepupu yang perempuan semua berpelukan dekat emak masing-masing. Lepas cerita dekat pakcik-pakcik dan ayah, pak itam tepuk dahi. “Korang geledah bilik atuk? Apa korang buat? Astaghfirullahalazim” pak itam geleng kepala. Aku dah tak boleh fikir. Zaman dengan Naz tunduk je. Aku je la kena hadap soalan.

Jam baru beranjak ke 4 pagi. Paksu ikhtiar cari Abby dengan yang lain. Aku berkeras nak ikut. Belakang rumah atuk ni ada pokok buah buahan. Belakangnya lagi barulah kebun sawit. Semua jerit nama Abby. Mak andak dah menangis masa tu. Tengah pusing keliling rumah tiba-tiba Ecah(adik Zaman) meracau tak tentu hala. Dah semua masuk balik dalam rumah. Si Abby tak jumpa lagi. Si Ecah meracau. Nasib baik paksu aku ni macam ustad sikit. Kira berilmu laaa.

Dia suruh maksu sediakan apa yang dia nak. Maksu pantas buat kerja. Macam dah biasa ubatkan orang dirasuk. “Keluar kau dari badan dia. Jangan kau ganggu keluarga aku!” gertak paksu. “Aku nak pewaris si polan. Si polan dah berjanji dengan aku untuk mewariskan aku kepada keturunannya” jawab Ecah yang bukan dia pastinya. Aku terkejut dengar jawapan Ecah. Yang lain semua pun terkejut. “Apa perjanjian kau? Itu adalah perjanjian kau dengan si polan. Tiada hak kau keatas warisnya tanpa izin-Nya!” Gertak paksu lagi. Ecah mengilai nyaring. “Aku telah jaga rumah ni sejak moyang kamu lagi. Segala keturunan si polan aku yang jaga selama ni. Heeeeeeeeeee!” Jawab Ecah mengilai. Dalam otak aku masa ni 1 je. Saka.

Dekat subuh jugak baru paksu dapat pulihkan Ecah. Lepas dialog tu Ecah hanya ketawa, menangis dan ulang sampai dekat subuh. Kesian paksu berpeluh melawan. Ecah pun kesian nampak sangat penat. Mata dia sembab pucat sebab tak terlawan makhluk tu. Selang berapa minit “bammmmmm” bunyi dekat pintu dapur. Terus Zaman, paksu, ayah dengan aku tengok apa yang jadi. Abby dengan baju koyak rabak, luka sana sini tak sedarkan diri.

Aku tolong paksu angkat zaman dan baringkan dekat ruang tamu dapur. Selesai bergilir solat subuh, Abby sedarkan diri. Dia separa sedar. Ingat tak ingat apa yang berlaku. Paksu takna dia kemana. Dia cuma jawab pokok durian. Itu je jawapan dia. Bila tanya lain-lain dia tak ingat. Menjelang pagi tu paksu telefon kenalan dia area Muar. Ustad jugak.

Cuma ustad ni memang ustad yang berubat macam darus syifa tu. Awal jugak ustad tu sampai. Dalam pukul 9 pagi. Kitoranng semua dah dekat ruang tamu utama masa tu termasuk Ecah dengan Abby. Ustad tu masuk je rumah aku nampak Abby dengan Ecah macam jeling tajam. Tapi aku buat-buat tak nampak sebab takut. Paksu pun cerita la dari A-Z. Ustad tu geleng kepala macam dah agak apa yang jadi. Ustad tu tengok aku dia panggil dekat. Cincin.

Cincin dekat tangan kiri jari manis aku. Cincin aku lupa letak balik lepas sarung. Aduhh kantoi masa tu. Ustad tu pegang area cincin tu. Dia kata lawa cincin tu tapi kenapa panas? Aku tak rasa panas pun pakai cincin tu. Tapi sepanjang dia pegang tangan aku yang ada cincin tu, aku dapat rasa tangan ustad tu berpeluh. “Mana kamu dapat cincin tu Lan?” tanya pak andak. Aku pu jawab ler aku jumpa dekat bilik atuk. Ustad tu pun bagi tahu yang cincin tu bukan biasa-biasa. Ustad pun suruh buka bagi dekat dia. Aku pun ikut je lah. Lepastu dia minta benang dekat mak. Mak pun bagi. Dia cakap kalau cincin tu ada khadam, dia akan gerak sendiri. Depan mata aku dia gerak lepas ustad tu tanya. Pertama kali dalam hidup aku. Ustad tu tak gerakkan pun.

Berubat.

Lepastu ustad tu kata dia nak ubatkan Ecah dulu. Sebab masa tu Ecah tengah period jadi paham-paham lah. Nak ubat dia bukan senang sebab ustad kata benda tu lagi senang lekat. Ustad mintak izin pegang ibu jari kaki Ecah. Baru picit Ecah terus mengamuk. Aku terus pergi belakang paksu. Risau apa-apa lekat dekat aku. Maklong dengan paklong pegang Ecah meronta.

Tapi tenaga dia kuat. Siang hari kot macam tak logik pulak benda tu aktif. Ustad tu pun baca ayat-ayat ruqyah. Kesian aku tengok Ecah. Lagi teruk dia meraung menangis daripada paksu ubatkan. “Siapa kau?!! Keluar dari rumah aku!! Ini kawasan aku!! Ini waris aku!!”. Ustad tak endahkan. Dia terus baca ayat ruqyah. Ecah makin teruk. Meronta ronta mintak dilepaskan. Lepastu ustad mintak paksu azan. Paksu pun azan lah. Ecah terus pengsan. Berpeluh peluh. Basah baju paklong dengan ayah. Maklong tak terdaya nak pegang Ecah sampai terpelanting ke belakang.

Selang berapa minit si Abby pulak bersilat harimau. Ni lagi aku takut. Tiba-tiba kot. Tapi kali ni tak ada yang pegang. Sebab ustad cakap yang ni kuat. Dengan mata dia, langkah silat dia, takut aku tengok. Tengah-tengah rumah bersilat. Abby pusing-pusing dekat tiang seri tu ala-ala harimau. Si Abby ni tak serang.

Cuma dia bersilat sorang. Ustad pun baca laa ayat ruqyah dia lagi. Sampai basah kurta dia pakai. Dia kata kalau dia sorang memang dia tak larat. Jadi dia mintak telefon kawan dia. Sementara nak kawal tu paksu yang tolong. Setengah jam lepastu kawan ustad sampai. Segera dia naik nak tolong ustad. Masa kawan ustad datang si Abby terus serang ustad tu. Masa ni tayah cakap lah. Haru satu rumah. Yang perempuan menangis ketakutan. Aku, Idham dengan Naz duduk belakang ayah. Dekat setengah jam bertarung, akhirnya Abby rebah jugak sebab 3 lawan 1 kan.

Abby pengsan masa tu. Ustad pun baca laa ayat al-quran lepastu renjis air dekat muka dia. Alhamdulillah Abby sedar. Dia sedar je dia sebut pokok durian lagi. Pastu paksu pun cerita yang pagi tadi pun perkara sama dia sebut. Aku takut nak tegur Abby sebab dia macam 50-50 waras. Sedar tak sedar dah zohor. Ustad tu minta diri balik tapi akan datang semula lepas maghrib. Dia kata jangan risau. Buat masa yang singkat ni Ecah dengan Abby dah okay. Cuma dia taktahu berapa lama Ecah dengan Abby boleh tahan.

Lepas je solat zohor aku pergi dekat Abby. Tanya dia apa yang dia ingat. Dia kata dia tak ingat apa kecuali pokok durian. Aktiviti yang kitorang buat pun dia tak ingat. Pokok durian je dia ingat. Sampailah ke petang keadaan okay je dalam rumah. Semua tak berani nak kesana sini. Makan pun paklong dengan ayah beli je. Dari pagi sampai ke petang semua duduk dekat ruang tamu.

Pokok Durian.

Selesai je maghrib kitorang pun tunggu laa ustad tu datang. Muka maklong nampak sangat resah memikirkan Ecah. Dekat pukul 8 ustad sampai. Kali ni dia bawa 2 orang anak buah dia. Ustad pun masuk rumah bawak garam, cuka, kicap. Aku tak pasti untuk apa.

Dia bancuh semua barang tu sambil selawat, alfatihah dengan ayat quran sikit. Dah siap tu dia suruh anak buah dia pulak buat. Ustad cakap dia nak ronda rumah dulu. Dia suruh buka semua tingkap rumah dengan pintu. Jadi berani tak berani kitorang tolong la bukak. Tapi rumah atas je lah. Bilik atuk paksu yang bukak. Aku, Zaman dengan Naz buka dekat ruang tamu. Masa nak buka tu memang rasa bahang sangat rumah. Zaman dengan Naz pun rasa cuma kitorang tak cakap masa tu sebab nak cepat.

Dah siap semua, ustad dengan anak buah dia pun masuk bawak spray yang diisi air cuka. Dia sembut dekat setiap penjuru rumah. Habis tawaf satu rumah ustad tu pergi dekat kitorang. Masa tu kitorang semua kumpul dekat kereta depan rumah. Ustad cakap, dekat keliling rumah ni macam-macam jelmaan ada.

Terutama dekat pokok durian belakang rumah. Ustad tu cakap rumah atuk ni memang laluan diorang. Ada yang islam, ada yang kafir. Tapi yang dekat pokok durian tu ustad cakap ‘kuat’. Ustad amik garam yang dia bancuh tadi, sambil baca-baca dia tabur keliling rumah. Bunyi dia jatuh atas zink seram kot. Aku perasan masa dia tengah tabur garam tu tiba-tiba satu pokok sawit betul-betul sebelah Zaman goyang. Satu pokok tu je. Lepastu bunyi dahan patah. Aku cuak dah masa tu. Selesai tabur garam apa semua tu ustad tu pi dekat paksu. Dia kabo dekat rumah atuk ni ada yang jaga. 1 saka. Kedua hantu raya. Aku dengar ustad tu nak cari dekat mana saka tu ditanam.

Teringat tembikar dekat bilik atuk. Aku bagi tahu ustad tu. Kotak kayu yang kitorang jumpa. Ustad suruh anak buah dia ambil bawak keluar. Lepastu nak buka pulak. Aku lupa kunci kotak tu dekat kerambit tu. Dah la dekat bawah gerobok hahahahaha. Dah aku kena ikut amik. Ramai-ramai ikut naik masa tu. Dah dapat buka kotak tu, cuma ada keris je. Tembikar dah tak ada. Aku dah pening masa tu. Seingat aku memang last kitorang tinggal masa ada atuk atas katil. Masa tu tak ada siapa ambil tembikar tu.

Nak tahu apa jadi lepas tu? Keris tu terbang. Haaaaa ni paling tak logik bagi korang kan. Nak tahu dia terbang ke mana? Ke pokok durian belakang rumah tu. Punya la laju anak buah ustad tu ‘detect’. Keris tu terpacak dekat batang pokok durian tu. Ustad baca ayat-ayat sikit dia hembus. Banyak kali jugak dia ulang. Sambil tu setapak setapak dia gerak ke pokok durian tu. Bayangkan ramai-ramai dekat belakang rumah. Semua tak berani nak tinggal dekat kereta sebab jauh dengan ustad. Selang berapa minit tu jelas aku nampak ada benda atas pokok durian. Tak jelas sepenuhnya. Cuma putih lusuh dengan rambut menutupi muka. Masa tu terus ustad berundur setapak macam kena tolak.

Haaaa part ni yang best. Pokok durian tu bergegar. Nasib baik tak ada buah. Paksu tak masal jadi pembantu ketiga. Sepanjang pokok tu bergegar memang dengar jelas bunyi suara mengilai ketawa. Seram. Kalau la masa tu aku terfikir nak rakam. Dapat aku kongsi sekali. Dekat setengah jam diorang keliling pokok tu, lepastu pokok tu tak bergegar dah. Terus ustad tu cabut keris dekat pokok. Dia duduk bersila depan pokok tu, dia pacak keris tu depan dia. Tak lama lepastu dia suruh anak buah dia gali area akar pokok durian tu. Dia suruh cari sampai jumpa tembikar tu. Lama jugak gali. Dah la pakai tangan je. Akhirnya jumpa jugak. Ustad ambil dua-dua tembikar dia bungkus dengan kain putin yang dia bawa. Dia kata InshaAllah malam ni jugak dia hanyutkan dekat tempat yang orang tak jumpa.

Lepas semua pulih macam biasa, kitorang pun masuk rumah. Masa tu nak dekat pukul 12 dah. Rumah pun dah tak rasa bahang macam tadi. Abby pun dah normal aku tengok. Ecah pun sama cuma nampak penat dengan pucat lagi. Mungkin masih terkejut. Ustad tu pun ceritalah. Benda tu semua sebenarnya jin yang menyerupai macam-macam rupa. Bulan puasa cuma syaitan je di belenggu. Jin tidak dibelenggu. Jadi susuk yang menyerupai atuk masa malam puasa tu jin. Hantu tu kira macam panggilan kita je.

Dekat mana-mana ada jin dan syaitan. Cuma kita je tak dapat tengok mereka dengan mata kasar. Mereka boleh je tengok kita. Ustad tu pesan, kita hamba Allah, jadi percaya je lah pertolongan Allah. Jangan sekali kali menyekutukan Allah dengan meminta pertolongan jin dan syaitan. Membawa kepada khurafat dan syirik. Dosa besar tu. “Takutkan Allah je sudahlah. Buat apa nak takut dengan benda-benda tu.

Dia makhluk, kita pun makhluk” ayat ustad yang masih aku ingat. Dia ada cakap jugak, dia tak jamin dapat buang saka tu terus sebab saka ni dah buat perjanjian dengan si polan. Perjanjian pulak dah berjanji dengan darah. Warisnya pulak mestilah perempuan. Memandangkan tak ada yang menurun dekat mak dan makcik aku, tu dia cari cucu cicit perempuan. Ustad pun tak jamin berapa lama saka tu boleh pergi. Sebab lambat laun saka tu akan balik jugak dekat warisnya. Wallahualam. Pasal hantu raya tu pun ustad cakap tak ada apa sangat. Hantu raya tu jaga rumah je. Biasalah kepercayaan orang dulu-dulu kan. Tiang seri dekat dalm rumah atuk tu memang ada ‘isinya’ sejak rumah ni siap. Mana taknya. Kitorang yang bujang ni memang kecut perut lah. Pertama kali jumpa, pertama kali kena teruk macam ni. Ustad pesan, rumah tu jangan biar tak berpenghuni. Seeloknya disewakan lah asal ada yang duduk.

Malam tu kitorang semua tidur dengan ‘parent’ masing-masing dalam bilik. Tak ada yang tidur luar langsung hahahaha. Sebelum terlelap aku ada dengar dekat bilik atuk macam orang bangun dari katil. Tapi aku buat tak endah sebab anggap benda tu tak kacau dah. Esok harinya kitorang semua dah siap nak balik ke rumah masing-masing. Diorang pun dah setuju nak sewakan rumah atuk tu. Lepas je peristiwa tu mak andak dah jumpa penyewa. Tu pun indon yang kerja menyawit area kg atuk. Indon tu satu family. Sewa pun mak andak bagi murah. Rumah tu pak andak dah ‘block’. Cuma bahagian dapur je diorang sewa. Rumah atas dah ditutup dengan ‘play woods’ dekat tangga dapur. Tu lah kali terakhir aku jejak rumah atuk. Raya tahun lepas hahahahaha. Tahun ni tengok dari jauh je kot.

Akhir kata aku nak nasihat sikit. Ni nasihat ustad yang tolong tu eh. Kalau kita nak buat apa- apa, letakkan Allah sebagai yang utama. Sebaik-baik kita merancang, perancangan Dia lah yang lebih baik. Takutkan Allah bukan jin/syaitan. Terima kasih kepada yang sudi baca. Sorry eh terpanjang. Sebab aku nak ingat knonologi peristiwa and susun baik punya biar korang paham. Dialog kitorang tu tak ‘accurate’ sangat. Cuma lebih kurang macam tu laa dialog masa tu. Last one, yang baik datang dari Allah, segala yang buruk datangnya dari Dia juga atas kekhilafan saya. Anggaplah pengalaman saya ni sebagai perkongsian ilmu sahaja. Jazakallah

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit.

Azlan
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

29 comments

  1. Benda tu semua sebenarnya jin yang menyerupai macam-macam rupa. Bulan puasa cuma syaitan je di belenggu. Jin tidak dibelenggu. Jadi susuk yang menyerupai atuk masa malam puasa tu jin. Hantu tu kira macam panggilan kita je.

    ooo mcm tu. sy ingatkan semua kena “ikat”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.