Hantu Laut Di Kelong

Assalamualaikum pembaca FS dan terima kasih admin FS kerana menyiarkan kisah aku ni. Sesungguhnya semua yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu datang dari kita.
Pak Usop datang lagi uolss… Kali ni aku nak kongsi kisah seram aku ni, dan entiti yang mengganggu tu bukan aku sorang saja yang nampak. Semua orang yang kena nampak benda yang mengganggu.. Rezeki masing-masing kan? Tapi secara jujur kalau boleh aku tak ingin dihadapkan dengan benda ni semua. Letih doh…
Baiklah, kali ni aku nak kongsi kisah yang bagi aku antara yang paling seram pernah aku lalui. Kejadian berlaku di kelong ikan dan pada masa tu aku bersama dengan 9 orang kaki pancing. Adikku 2 orang, anak buah 6, dan sepupu aku, Tam. Aku bukan kaki pancing tapi daripada mereput di rumah, lebih baik aku ikut. Mereka yang 9 orang ini memang sudah biasa memancing di laut termasuk Tam yang bagi aku antara orang yang paling berani yang pernah aku jumpa di muka bumi ni.
Kisahnya bermula apabila semua pekerja di kelong ikan itu berhenti kerana tak tahan diganggu. Tam yang pada masa tu, baru seminggu dapat anak memang tiada pilihan selain kena bekerjja. Kami bertolak ke kelong ikan itu menaiki bot. Sebelum tu sempat kami beli makanan dan minuman, rokok dan jajan yang akan jadi peneman semasa memancing.

Afdal kalau aku explain keadaan kelong. Strukturnya dari konkrit dan dibina di atas laut. Ada rumah kongsi untuk pekerja siap dengan dapur dan tandas. Dari tempat tidur sampailah ke dapur, tingkapnya ialah tingkap kaca jenis sliding.. Bersambung dengan kongsi ialah 10 sangkar ikan dibina memanjang. Hujung sekali ialah 2 bangsal, satu bertutup untuk menyimpan makanan ikan (busuk, aku tak suka) dan satu lagi bangsal untuk barang pelbagai barang seperti tali, torchlight, baldi dan segala mak nenek yang perlu. Di hujung kelong yang kami panggil jeti, ada tangga batu terus ke laut dan di situ bot ditambat.

Kelong ni diterangi cahaya lampu yang sangat terang sehingga melimpah ke laut. Ini untuk mengelak pencuri mungkin. Memang terang benderanglah. Ada 10 lampu sorot mengelilingi kawasan kelong. Memang rasa selamat kerana kelong pun tidak jauh dari darat, Cuma airnya dalam.
Kami sampai di kelong jam 9.30 malam. Ya, malam yang tuan-tuan dan puan-puan. Tam yang sudah biasa dengan keadaan kelong menasihati kami supaya jangan terlalu ghairah dan jangan terlalu bising. Dia dan adikku Awi yang paling otai dalam hal memancing ni berhasrat untuk tidak terus memancing kerana kata mereka, hujan dah nak datang, tapi yang lain degil nak memancing juga.

Setelah meletakkan barang, masing-masing , kami pun mencari tempat strategik untuk memancing. Aku duduk tepi Tam dan tak jauh dari kami, Awi. Kami duduk tidak jauh dari hujung jeti berdekatan bangsal terbuka tu. Kami boleh saling nampak antara satu sama lain kerana kawasannya tidaklah besar dan memang terang benderang.

30 minit berlalu tiba-tiba Awi datang duduk tepi aku. Dia pesan aku jangan panik sambil melambai Tam., Bila Tam sampai adikku berkata “dia buat dah… Hang tengok sapa dok kat tangga tepi bot tu Tam”. Kami 10 orang memang berada di atas kelong dan kalau sesiapa nak turun, pasti akan lalu di belakang kami kerana kami duduk paling hujung. Apa yang kami lihat, ada “ahli” kami yang ke 11, berbaju putih dan bertopi merah duduk di atas tangga jeti membelakangkan kami sambil memegang joran. Perhatian kami tiba-tiba tersentap kerana mendengar sorakan gembira salah orang anak buah aku yang dapat ikan yang agak besar.

Bila kami menoleh kembali ke arah tangga, kami lihat “dia” semakin turun ke bawah (laut). Kami pun berdiri dan serentak itu, “dia” menoleh ke arah kami. Seram aku lihat mukanya yang pucat dengan mata besar tersembul keluar. “Dia” kemudian terjun ke laut. Walaupun “dia” tu taklah besar mana, tapi deburan yang terhasil di tempat dia terjun tu sangat besar dan sangat tinggi. Bunyi terjunannya tu macam bunyi letupan, bukan macam bunyi orang terjun ke air.

Kami berlari ke hujung jeti untuk melihat. Apa yang kami nampak amat menakutkan. Kerana cahaya lampu yang terang, kami lihat sosok putih seperti badan manusia bergerak dengan pantas di bawah permukaan air, seperti di tarik dengan tali. Sangat laju “renangannya”. Anak-anak buahku yang lain pun nampak dan kami semua berlari seolah-olah mengejar “dia”. Memang laju dan bayangan “dia” hilang di rumah kongsi kerana sorotan lampu tidak sampai ke situ
Kelam kabut jadinya kami di atas kelong tu. Tam menyuruh semua masuk ke dalam. Semuanya diam dan keghairahan memancing lebur. Tapi kerana pengalaman, mereka rileks dan ada yang sempat menghisap rokok. Bila semua sudah ada di dalam rumah kongsi, pintu ditutup dan Tam memastikan semua pintu, terutama pintu tandas ditutup. Untuk meredakan suasana, anak-anak buahku memasang dvd gusti WWF sambil minum. Aku dan Tam melepak dekat pintu dan adikku yang dua orang tu sibuk memasak megi di dapur.

Kami seolah-olah melupakan kejadian tadi, sehingga pintu tandas diketuk dan digoncang dengan kuat. Ada 3 tandas dan 2 tempat mandi dan pintu tandas paling hujung tu yang digoncang. Anak-anak buahku yang leka menononton gusti bingkas bangun dan meluru ke dapur tapi ditahan Awi dan sorang lagi adikku Amon. Makin lama ketukan makin ganas dan makin kuat. Tak cukup dengan tu, pintu digoncang seperti hendak bergegar rumah kongsi. Tam yang dari tadi seperti menyimpan marah pergi ke dapur dan mengeluarkan parang dan meluru ke tandas. Seraya itu, ketukan dan goncangan hilang.

Tak lama kemudian, hujan pun turun. Benar kata Tam dan Awi, hujan akan turun. Hujan turun dengan angin kuat, memaksa kami untuk tinggal di kongsi. Hendak balik, memang sangat bahaya. Barulah nampak riak ketakutan di wajah anak-anak buahku (masing-masing sekolah mengengah) tapi Amon, Awi dan Tam tenang sahaja. Amon menyuruh kami membaca surah Qursi dengan kuat. Kami pun membaca apa yang kami tahu sambil mata Tam meliar memandang ke luar.
“Ishh celaka sungguh natang ni. Ketegaq sungguh” kata Tam. Belum sempat habis dia berkata, kami terdengar seperti kaca tingkap dilanggar sesuatu. Semua menoleh ke tingkap kerana tingkap di belakang kami. Kami semua nampak seperti lembaga seorang lelaki melekat di kaca tingkap di luar. Walaupun badannya melekat di cermin tetapi kepalanya seolah-olah bergerak meliuk-liuk memandang kami semua.

Wajahnya tidak jelas kerana hujan dan angin, tetapi itulah yang kami semua nampak. Apa yang pasti. “dia” datang lagi kerana aku kenal kulitnya yang pucat kehijauan serta baju putih yang dipakainya. Hilang juga macho anak–anak buah aku apabila mereka berpeluk ketakutan. Aku pun memanglah sangat takut tapi kerana aku paling tua, aku tak boleh tunjuk perasaan takut. Cuma aku banyak membaca Fatihah dan Al Ikhlas serta Ayatul Qursi.
Sekali lagi Tam mengambil parang, membuka pintu dan mengejar “dia” yang tiba-tiba lenyap. Tam dan Awi berlari dalam hujan sehingga ke hujung jeti tapi setakat itu saja yang kami nampak. Tak lama kemudian, mereka pun balik. Wajah Tam amat serius, berbeza dengan wajahnya yang biasa yang suka buat lawak bodoh.

Sehingga tengah malam, hujan masih menggila di luar tetapi tiada gangguan dari “dia”. Aman sekejap dunia aku rasakan. Kopi pekat dibancuh, jajan semua dikeluarkan dan asap rokok keluar seperti keretapi stim. Keadaan dah kembali seperti normal, kami mula bersembang tetapi Tam masih lagi diam dan serius. “Hampa toksah seronok sangat, dia tak habis lagi ni” kata Tam. Kami semua terdiam dan keadaan menjadi sunyi. Yang kami dapat dengar hanya bunyi hujan yang menimpa bumbung. Tingkap semua ditutup dengan kain. Dalam pada yang sama, mata Tam tak lepas dari memandang ruang di antara bumbung dan dinding bahagian tandas.

Sementara menunggu hujan dan angin reda, kami ambil giliran untuk lelapkan mata. Semua barang memancing telah siap dibungkus. Lampu juga tidak ditutup. Tak lama kemudian, kami mendengar seperti bunyi baldi mengisi makan ikan dipukul-pukul. Makin lama makin kuat. Hujan seperti sudah mahu reda. Semuanya meninjau-ninjau keluar melalui kain yang digantung, tapi tiada apa-apa yang kami nampak.

Dan ketika inilah kami dengar Tam menjerit “Oi b**i celaka! Hang mau apa haaa?” Kami semua menyorot kepada pandangan Tam. Di antara ruang bumbung dan dinding di tandas, kami nampak tangan kurus pucat meraba-raba cuba hendak membuka pintu ke luar yang sememangnya sudah dikunci. Memang tak ada manusia yang boleh buat aksi tu kerana di sebalik dinding tandas ialah laut lepas dan kelong dibina agak tinggi. Tangan sahaja tetapi luar biasa panjangnya. Kurus dan amat pucat kehijauan dengan luka-luka yang jelas.

Sekelip mata, tangan itu seolah ditarik dari luar. Kelam kabut juga sebab kali ni “dia” betul berani mengganggu. “Tak boleh jadi ni. Lagi lama lagi parah” kata Tam lantas menyuruh kami semua pergi ke bot walaupun keadaan masih hujan. Katanya jangan berhenti baca Ayatul Qursi sehingga semua kaki kami menyentuh tanah bila sampai. Segera kami semua keluar dan turun menaiki bot, dah tak kisah basah dan sejuk. Awi dan beberapa anak buah aku sempat mengambil lampu suluh.

Tiada gangguan semasa kami semua sudah di dalam bot walaupun semua sudah kecut perut. Enjin dihidupkan dan bot meluncur ke darat. Setengah jalan dan darat sudah dekat, kami dengar deburan tak jauh dari bot. Beberapa lampu suluh kami nyalakan dan apa yang kami nampak buat semua menjerit ketakutan. “Dia” seolah-olah sedang melompat-lompat di atas air sambil tangannya menggawang-gawang memanggil kami, tetapi tidak mengejar bot. Di kepalanya, tersemat topi merah yang dipakai. Kemudian, “dia” pun tenggelam.

Sampai di darat, dan bot di ikat dengan segala susah payah, berlari kami semua ke pondok yang dibina di situ. Semuanya diam, jelas sekali semuanya ketakutan. Bila semangat masing-masing sudah kuat, barulah kami ke motor masing-masing balik ke rumah. Awi nasihatkan Tam supaya tidur di rumah kami kerana dia ada baby.

Mungkin bahaya.
Bila berjumpa kami selalu bersembang tentang hal itu. Kelong itu pun sudah dirobohkan. Adikku juga sudah jarang memancing di laut kerana dia juga sudah ada anak. Tam membawa anak isterinya menjadi mandur di Perak. Apa yang terjadi tidak kami ketahui kenapa dia mengganggu, mungkin ada silap kami yang menimbulkan “kemarahannya”
Wallahualam..

Pak Usop

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 4.8]

18 thoughts on “Hantu Laut Di Kelong”

  1. Allahu….takutnya. Kongsi lagi Pak Usop kalau ada pengalaman lain. Membaca tentang karekter Tam ini membuatkan saya teringat Allahyarham abang sepupu saya bernama Zaki. Dia suka memburu dan pandai bertukang kayu. Orangnya berilmu macam Tam itu lah. Kalau dada kosong macam saya ni, ligan dengan meriam pun menatang tu tak takut punya. Nak kejar dengan parang pun dada mesti penuh. Ishhh….memang menakutkan peristiwa macam ni.
    Terima kasih kongsi kisah ini. Lama dah tak berdebar macam ni.

    Reply
  2. Saper yg pernah lalui jer yg tahu camner…yg x pernah mmg ckp ni semua cerita dongeng…komer hadaplah sendiri br tau ni betul ker idak…ada mcm2 rupa…

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.