HANTU PEREMPUAN SIAM (SAMAD TERAKHIR)

Assalamualaikum para pembaca FS,sudah lama tidak bertemu dan bersua.Mungkin ada yang ingat tentang kisah hantu perempuan siam, yang terakhir aku menulis adalah berkaitan dengan kisah aku dan Samad melakukan pekerjaan bancian di kampung orang asli.Rumah terakhir yang kami banci adalah rumah tok pawang atau dukun mereka.

Sebelum itu, mari sama-sama hadiahkan Al Fatihah buat arwah Samad.Agak sedih untuk meneruskan penceritaan ini kerana sahabat rapat aku sendiri sudah tiada atas dunia yang fana ini. Moga-moga arwah ditempatkan dikalangan orang yang beriman dan dibangkit kelak bersama para Anbiya.

Kisahnya bermula selepas selesai kami melakukan pekerjaan, semua dah settel masa untuk cari pekerjaan baru untuk melangsung hidup demi sesuap nasi untuk dijamah. Ibarat kais pagi,makan pagi,kais petang, makan petang. Sebelum bawa haluan masing-masing aku dan Samad memutuskan berehat dahulu di rumah sewa dalam beberapa hari sebelum menyerahkan kunci kepada tuan rumah.

Sehari sebelum kami keluar dari rumah sewa, aku dan Samad lepak di beranda rumah sambil terkenang kisah² jenaka sepanjang kami bekerja bersama.Makin lama bersembang Samad mula buka cerita yang beliau pendam selama beberapa hari.Samad menceritakan bahawa kerap bermimpi berada pada satu tempat yang cantik di tengah-tengah hutan ditemani bunyian air terjun yang menyenangkan dan selalu terlihat kelibat persis sang puteri dalam mimpinya.

Pada awalnya beliau hanya anggap mainan tidur tapi mimpi tersebut kerap berulang seolah-olah ada petanda yang tak dapat disimpulkan.
Aku pun pada ketika itu acah-acah nujum pak belalang menafsir mimpi Samad bahawa dia akan berkahwin dengan anak raja, sambil kami berdua ketawa.Tidak sangka bahawa itulah gurauan terakhir aku dengan Samad. Esoknya kami pun menyerah kunci kembali kepada tuan rumah, Aku dan Samad berpelukan sebagai tanda perpisahan.

2 Tahun berlalu, Aku ada urusan di daerah Samad menetap.Alang menyeluk pekasam biar ke pangkal lengan, aku call Samad untuk berjumpa tapi panggilan tidak dijawab. Aku mengambil keputusan untuk terus ke rumah Samad.Tiba dihadapan rumah aku memanggil salam seperti diajarkan di dalam sunnah baginda nabi kita.Salam kedua aku dijawab oleh penghuni di dalam rumah tersebut, ternyata mak samad meyambut kehadiran aku.Aku pun bertanyakan adakah ini rumah Samad bin xxxx dan tujuanku datang ziarah.Samad tinggal bersama mak dan adik lelaki nya yang berusia 20 an.

Tanpa berlengah aku tanyakan perihal Samad, adakah beliau ada di rumah? Mak nya membalas bahawa Samad ada di dalam bilik dan mengajak aku naik ke rumah. Adik samad pun keluar selepas dipanggil oleh maknya bahawa ada tetamu datang kerumah.Mak Samad aku namakan sebagai Cik Emah.Selepas adik samad keluar,Cik Emah terus kedapur untuk sediakan makanan dan air untuk menjamu tetamu sebagai memuliakan orang yang datang ke rumah.

Tanpa berbasa basi aku terus tanyakan kepada adik Samad yang aku namakan Azim.”Azim Bang Samad mana?” aku bertanya .,” ada dalam bilik, sebelum tu abang berkawan dengan Abang Samad ka? Tak pernah tengok lagi abang datang sebelum ni ? kawan yang mana? Azim membalas pertanyaan aku dengan pertanyaan.Aku pun menjawab pertanyaan adiknya.

Azim pun mengajak aku masuk bilik Samad, tatkala pintu bilik Samad dibuka bau yang busuk menusuk dan hampir muntah aku disitu sambil terbatuk-batuk.Tak kan nak muntah dalam rumah orang kot, Azim hanya tersenyum seolah sudah lali dengan keadaan seperti itu.Alangkah terkejut saat aku melihat Samad, keadaan nya berubah hampir aku tidak mengenalinya,tidak terurus,kurus kering, kesan lebam dan cakaran memenuhi badan.Hampir menitis air mata saat melihat keadaan beliau seperti itu.Samad hanya termenung seolah-olah aku dan adiknya tidak wujud.

Cik Emah pun menjemput aku untuk menjamah makanan yang disediakan, pada ketika itu lah aku mula bertanya perihal Samad kepada keluarganya.Azim menceritakan bahawa Samad terkena Cinta Alam lain, makhluk tersebut tidak mahu melepaskan Samad dan menjelma kan diri dalam bentuk manusia yang sangat cantik hingga Samad bersetuju untuk bersama dengan makhluk tersebut.Ia seolah jasad nya berada disini tapi jiwanya berada di alam sana.Pelbagai perubatan telah diikhtiar oleh keluarga beliau tapi tidak menunjukkan kesan untuk sembuh.

Cik Emah menceritakan bahawa beliau pernah bermimpi bertemu dengan seorang perempuan berwajah buruk,gigi bertaring meminta untuk melepaskan Samad untuk pergi bersamanya tapi Cik Emah bertegas bahawa Samad anaknya dan tidak akan melepaskannya pergi.

Pada esoknya Samad menyerang Cik Emah dan marah kerana tidak melepaskannya pergi sambil disisip pisau ditangan, nasib pada ketika itu Azim berada dirumah bergelut dengan abangnya.Selepas daripada kejadian itu Samad hanya termenung dan tidak bercakap dengan sesiapapun kecuali pada waktu malam akan terdengar beliau berbual dan gelak ketawa di dalam bilik.

Kejadian ini berlarutan hingga saat aku ziarah beliau.
Hampir 2 jam aku berada dirumah Samad,perasaan berbaur sedih dan kecewa kerana melihat kawan yang baik ketika dahulu jatuh dek percintaan alam sebalik mata.Aku memohon mengundur diri dan mengucapkan terima kasih kerana sudi menerima aku sebagai tetamu.Kesimpulan yang aku dapat buat mungkin Samad terkena panahan cinta anak tok pawang.Tak sangka itulah kali terakhir aku melihat Samad dalam versi yang berbeza .Jasad Samad berada disini tapi jiwanya disana.Benarlah kata orang “cinta itu anugerah yang membutakan, tiada apa yang dapat menghalangi si pencinta untuk mencintai orang yang dicintainya.”.
Al Fatihah buat arwah Samad.
Sekian terima kasih.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 42 Average: 4.8]
Asyraf

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.