Hari Raya di Rumah Antin

Semasa aku kecil, hari yang paling ditunggu-tunggu adalah hari raya yang diraikan di rumah Antin, nenekku sebelah ayah di Johor.  Bukanlah nak sangat duit raya atau baju baru atau main mercun. Tapi sebab boleh jumpa dan bermain dengan Ajim di tempat yang amat seronok dalam dunia.

Ajim adalah sepupu yang sebaya dengan ku. Kami amat rapat. Kalau cuti sekolah saja ibu Ajim akan menghantarnya ke rumahku sepanjang cuti. Aku rasa Ajim ada masalah dibuli oleh abang dan kakaknya. Jadi akulah teman setia bermain.

Seronok sebenarnya berkawan dengan Ajim kerana dia ikut saja kehendak aku nak main apa. Tapi dia main lagi bersungguh-sungguh, sampai tak makan pun tak apa. Antara permainan yang paling kami gemari adalah permainan ‘adventure’. Waktu itu, antara filem yang paling popular adalah Indiana Jones. Kami pun nak jadi macam Indiana Jones juga.

Tempat yang paling seronok untuk main adventure adalah di rumah Antin. Aku pun tak tau kenapa hari raya saja aku dan Ajim balik ke sana. Bak senikata lagu raya, setahun, hanya sekali aku balik kampung. Bukan tak rapat dengan sanak-saudara. Selalunya hanya ayah dan ibu saja balik Johor. Aku dijaga jiran sehingga mereka balik. Nenek pun selalu datang ke rumah menjengukku.

Sebelum raya, dalam kepala dah ada bermacam-macam rancangan nak ber’adventure’. Balik Johor pada ketika itu mengambil masa yang agak lama kerana highway pun hanya separuh siap. Aku pula dah tak sabar-sabar nak sampai, bila tanya ayah, katanya sikit lagi tapi tak sampai juga. Ibu pun banyak kali berhenti tepi jalan muntah. Katanya aku cakap tak henti-henti. Pening kepala.

Kami tiba sebaik saja berbuka puasa. Malam sebelum raya dulu, nak tunggu Majlis Raja-raja buat pengumuman tu punyalah berdebar-debar takut tak jadi raya keesokan hari. Bila diumumkan keesokan hari sememangnya raya, ayah aku yang ‘hoorey’ dulu. Selepas Isyak, semua pakat keluar ke halaman rumah main mercun yang dibeli oleh setiap keluarga adik-beradik ayah.

Tapi aku dan Ajim dah bawak lari sepelastik bunga api cap kucing hitam bertaring ke belakang rumah senyap-senyap. Kononnya pasang bom nak letupkan stor kayu Antin.

Tengah kami susun bunga api keliling stor, kami terdengar bunyi kocakan air dari kolam air berdekatan dengan stor. Waktu malam kawasan kolam air tu agak gelap. Jadi nampak samar-samar saja.

“Ajim, jom tangkap katak kat kolam”, ujarku.
“Tak nak la, geli,” kata Ajim.

Aku bawa dua tiga batang bunga api dan hidupkan satu. Aku kemudiannya berjalan ke arah kolam air sambil diikuti Ajim. Dipegangnya baju kelawarku sampai bahagian atas baju mencekik leher sebab takut aku tinggalkannya.

Bunyi kocakan air semakin kuat. Bila aku suluh dengan cahaya bunga api, aku nampak ada budak-budak mandi dalam kolam tersebut.

Kolam ikan rumah nenek agak besar dan cantik. Ada jambatan lagi di tengah-tengah kolam. Ikan dalam tu pun banyak. Aku pernah tengok pakcikku masuk ke dalam kolam tersebut tangkap ikan tilapia. Dalamnya takat bahu pakcik yang agak tinggi, jadi bagi budak-budak, agak dalamlah kiranya. Ayah, ibu, nenek dan semua orang-orang tua dah banyak kali pesan – jangan main dekat kolam. Takut jatuh nanti m**i lemas.

Ajim pun dok tarik-tarik bajuku takut aku jatuh. Bukannya aku duduk betul-betul tepi kolam pun.

Mula-mula kami agak hairan tengok budak-budak dalam kolam tu. Mandi siap buat kuak lentang. Nak cakap sepupu-sepupu yang lain, tak juga kerana mereka hampir sebaya dengan aku dan Ajim. Sepupu-sepupu kami yang lain samada dah remaja ataupun masih bayi tak pandai jalan lagi.

“Hoi, kamu buat apa dalam tu ha?! Nanti kita cakap kat Antin!” Aku beri amaran. Nama Antin amat digeruni cucu-cucunya dan anak-anak jiran sekitar kawasan tersebut.

“Marilah berenang sama,” kata seorang dari mereka. Ada tiga orang budak aku kira. Dua lelaki, seorang perempuan.

“Siapa kamu?” Aku tanya.

“Eh takkan tak kenal? Kita sedara la. Aku Along, ni Angah, tu yang pompuan tu Adik.”

Bila dilihat aku dan Ajim ketakutan, mereka tanya, “Nak main lampu-lampu tak?”

Dengar saja permainan baru, terus aku kata, “Naaaakkk!!” Ajim pun dah mula tenang kembali.

Mereka keluar dari kolam. Basah kuyup. Yang lelaki pakai seluar pendek, yang Adik berkemban.

“Tengok ni,” Si Along kata. Dalam tangannya yang bertekup, keluar kunang-kunang berkelipan.

Dulu memang banyak kunang-kunang kawasan rumah nenek tapi tak sebesar ini. Dan taklah terang dan berwarna-warni. Macam lampu ‘lip lap’ raya. Sekor warna merah, sekor biru, sekor hijau. Kami pun berkejar-kejar kumpul sebanyak mungkin. Siap buat pertandingan lagi siapa tangkap paling banyak. Angah menang.

Jauh dari dapur, kedengaran Antin panggil namaku dan Ajim. Kami pun jawab dan bergegas ke arah pintu dapur.

“Esok kita bawak raya rumah kita ye,” cakap Adik, lembut.

“Okey, rumah kamu kat mana?” tanya Ajim.

“Nanti kita bawak la kamu. Cuma tunggu kat sini,” kata Adik lagi.

Kami masuk rumah, tengok pakcik makcik dah tebarkan tilam toto di segala ruang. Bantal dibahagikan mengikut bilangan ahli keluarga.

Aku dan Ajim tak beritahu sesiapa pun mengenai kawan-kawan baru kami. Bukan saja nak rahsia, tapi permainan budak-budak ni macam tak relevent waktu tu untuk dikongsi dengan orang besar.

Pagi raya. Waktu yang penuh cabaran. Cabaran pertama, kena bangun sebelum subuh sebab nak mandi. Kalau dah lepas subuh tu kalut sangat nak pegi bilik air. Nasib bilik air ada dua. Satu di luar rumah, satu di dalam. Cabaran kedua, aktiviti bersalaman dan dapat duit raya. Nanti disoal, puasa penuh ke? Berapa hari tinggal? Kalau tipu, ditenung ibu dari jauh. Salam tu tak jadik masalah. Tapi bila cium tangan tu, aku agak berat sikit. Terutama nak cium tangan pakcik-pakcik kaki rokok atau makcik-makcik yang lepas menyambal. Kena tahan sikit bau semerbak. Antin, aku suka. Dia selalu letak minyak wangi di pergelangan tangannya. Selepas itu kami semua berkumpul di tangga depan rumah ambil gambar raya. Dulu mana ada tongkat selfie. Kamera Olympus pakcik siap dipasang timer dan kemudian berlarilah dia balik ke tangga dengan kami semua, takut kamera ‘klik’ sebelum dia sempat posing.

Cabaran ketiga. Dibuli sepupu yang lebih besar. Lepas dapat duit, kena cepat-cepat bagi kat ibu masuk handbag dia. Kalau tak ada sepupu yang buat ‘tol’. Bila lalu kena bayar. Jahat sungguh. Aku sampai sekarang tak berapa rapat dengan mereka. Masa kecik mintak tol, bila besar jadik scammer. Tapi itu cerita lain.

Setelah semua cabaran dilepasi, barulah aku dan Ajim bebas ke halaman rumah untuk meneruskan ‘adventure’ kami. Sebelum tu dah dipesan oleh Antin. Main kat depan je, jangan keluar kawasan. Jangan main dekat kolam.

Tapi bila nampak kawan-kawan baru kami dah tunggu di tepi kolam, haaaa semua amaran dah lupa.

Mereka masih lagi pakai seluar pendek dan bagi Adik, berkemban. Aku tak lah pelik sangat sebab fesyen raya ni memang tak de minat langsung.

Kami pun mulalah main kejar-kejar. Lepas tu sorok-sorok. Bila dah bosan tu lepak bawah pokok manggis, jolok buah manggis.

“Jom la raya rumah kami pulak,” kata Adik. Along dan Angah mengangguk beria-ria.

Kami pun okey je. Tapi nak pergi rumah mereka ni, agak payah. Kena masuk kolam. Aku dan Ajim macam yakin je. Aku siap buka kain baju kurung. Tinggal baju je. Si Ajim dah sentengkan seluar dan lengan baju Melayu. Oh lupa nak cakap. Kami tiap raya di rumah Antin akan pakai baju sama kain sedondon dengan Antin. Cucu-cucu kesayangan la katakan. Yang lain tu jeles.

Bila kami masuk ke dalam kolam, aku secara automatik berenang tapi nampak Ajim terkapai-kapai cemas. Aku tarik kedua tangannya ke bahuku dan bawa dia ke tengah kolam. Budak-budak tu tunggu dalam air betul-betul  bawah jambatan.

“Macam ni, kalau nak pegi rumah kami, kena selam dalam air. Jangan takut, kami ada. Tak kan ada apa-apa yang akan jadi pada kamu. Percayalah. Muka mereka begitu ikhlas. Kami pula memang tak pernah lagi dapat kawan-kawan yang melayan kami sebaik mereka.
Mereka meminta aku dan Ajim tarik nafas panjang-panjang dan tutup mata. Aku pegang tangan Adik, Ajim pula pegang tangan Along. Kami pun menyelam. Aku dapat rasakan gegendang telingaku mula berdetik kerana tekanan air semakin tinggi. Mataku masih ditutup dan tanganku ditarik oleh adik. Di tepiku, aku dapat rasakan kaki Ajim. Kami ditarik laju sehingga rambutku yang ditocang melibas-libas bahuku.

Bila aku rasa peparuku seperti nak meletup, aku boleh bernafas kembali. Aku lihat Ajim terbatuk-batuk, air keluar dari mulutnya. Tapi dia masih tersenyum sambil menunjukkan ‘thumbs up’ pada Along yang menepuk belakangnya. Kami ditarik ke tebing kolam.

Lah. Menyelam bukan main lama, ingat sampai Tanjung dah. Rupanya baru melepasi jambatan kolam.

Tersusun di tebing kolam, sudah siap barisan baju kurung dan baju Melayu kering yang sudah digosok. Kami semua tanggalkan baju yang basah dah pakai baju-baju tersedia ada. Semua sedondon juga. Warna hijau gelap, kain licin satin kilat. Saiz pun memang ngam-ngam.

Adik beria-ia menarik tanganku dan Ajim ke arah rumah Antin. Tapi itu bukan rumah Antin. Rumah Antin rumah sebuah, rumah batu dua tingkat dengan rekabentuk era kolonial British. Rumah ni lebih pada rumah tradisional Melayu, bertingkap besar cermin hijau. Kain langsir pun hijau.

“Assalamualaikum! Ada orang nak datang beraya!” Jerit Adik makin teruja.

Aku baru perasan yang aku dan Ajim tak berkasut. Segan pula masuk rumah orang kaki kotor. Angah menunding ke arah tempayan dan cebok, untuk basuh kaki sebelum naik ke atas.

Keluarlah seorang perempuan yang mungkin sama usia dengan ibuku. Tapi mukanya saling tak tumpah macam Antin. Kalau Antin muda 3 dekad lah.

“Dah sampai pun dia,” kata perempuan itu, tersenyum lebar, memeluk aku dan Ajim kuat-kuat. Dicekup muka dan dikuncup dahi dan pipi kami.

“Aaaa Ajim, Ina, panggil aje kita Mbah Yong ye,” suaranya pun macam Antin.

Kami dijemput masuk dan ramai dah menunggu kami di ruang tamu. Mereka ada yang memeluk cium kami seperti sudah lama tak jumpa. Muka mereka macam kenal, ada mirip-mirip muka saudara-mara kami. Warisan raut muka keluarga kami agak kuat. Kebanyakkan saudara-mara yang ada pertalian d***h mesti ada ciri-ciri wajah dan warna kulit kuning langsat yang sama. Jadi aku yakin yang mereka ni memang ada pertalian keluarga. Tapi kenapa tak pernah pula ibu dan ayah bawa melawat.

Kami dijamu makan, berbual-bual baik dengan semua. Yang tua mahupun yang muda. Meriah sungguh raya di sini.

Tak lama selepas itu, kedengaran bunyi jeritan.

Antin datang!

“Mana Ina dengan Ajim?! Pulangkan cucu kita,” Antin bertempik di depan rumah

Aku dan Ajim berlari-lari ke arah Antin. Aku tak pernah tengok Antin marah sebegini. Ditariknya aku dan Ajim dibelakangnya seperti main anak ayam dengan harimau.

Mbah Yong pun keluar. Wajahnya sedih, tangannya capai tangan Antin.

“Kita rindu sangat dengan kamu dan keturunan kamu. Dapat tengok sekejap pun jadilah. Kita janji, Dik, kita memang nak hantar budak-budak ni balik pada kamu,” kata Mbah Yong cuba meredakan keadaan.

“Kamu tau kan kenapa kita kena pergi. Itu syaratnya. Kita pilih Mat Yem,” mata Antin berkaca.

“Nanti kita baliklah. Tapi bukan masanya lagi,” katanya lagi, dari marah terus dia menangis. Aku dan Ajim keliru, kami pun menangis sekali.

Aku tengok Antin dan Mbah Yong berpelukan sambil menangis. Sesekali mereka berbisikan sesekali tersenyum. Tapi masih lagi tak berengang.

Antin kemudian dibawa berkenalan dengan ahli keluarga Mbah Yong satu per satu. Mereka bersalaman dan mencium tangan Antin. Selepas keadaan reda sedikit, Antin lagi sekali memeluk Mbah Yong. Kami bertiga kemudian berpimpin tangan keluar rumah, diiringi dengan keluarga Mbah Yong, ke arah kolam air berdekatan.

Antin menyuruh aku dan Ajim pakai balik baju raya kami.

“Jangan bawa benda dari sini kecuali yang ini,” Antin menepuk kedua-dua tangan ke dadanya, nafas tersekat-sekat kepiluan, matanya mengerling ke arah Tok Yong yang masih melambai.

Kami bertiga berenang ke arah bawah jambatan dengan memegang bahu Antin, tarik nafas panjang, tutup mata, kemudian menyelam.

Bila aku buka mata balik, aku terbaring atas rumput di tebing kolam air. Jambatan membelakangiku. Aku lihat Ajim dipeluk ibu dan ayahnya. Ibu dan ayahku pula berlari cemas ke arah ku, muka mereka nampak lega sangat. Antin yang selalu kemas bersanggul, kini basah kuyup. Rambutnya yang beruban melekat di muka. Aku senyum padanya, dia membalas senyuman sambil mengenggam tanganku.

Wah. Inilah ‘adventure’ paling epik aku bersama Ajim. Dan Antin.

Kami ditanya beberapa kali, ke mana kami pergi. Polis pun ada juga bertanya. Aku kata aku pergi raya rumah Mbah Yong. Mereka tak percaya. Mana ada saudara nama Mbah Yong?

Menurut ibu, aku dan Ajim hilang 2 hari! Satu kampung mencari. Ada yang kata kami kena culik lanun Tanjung. Aku masa tu fikir, lain kali aku jumpa Ajim, kami nak main Lanun Tanjung pula.

Antin pula kata,
“Dah, dah. Kita dah jumpa. Budak dah selamat, tak payah jadik benda besar pulak.”

Kami dibawa pulang ke rumah masing-masing di ibu kota. Tinggal Antin, anak sulung dan menantunya di rumahnya.

Begitulah kisahnya.

Semakin kami masuk alam remaja, dan kemudiannya alam dewasa, semakin segan-silu pula aku dan Ajim. Rasa sedih juga ada sebab banyak sangat pengalaman semasa kecil.

Kini Antin sudah tiada lagi. Sebenarnya kami sekeluarga tidak tahu apa yang jadi pada Antin. Satu hari, Antin hilang. Masa tu mereka kata Antik sudah mula menampakkan symptom dementia atau nyanyuk. Ada yang kata Antin keluar rumah dan sesat, kemudian lemas dalam air di muara. Tapi tiada bukti. Tiada mayat dijumpai sehingga kini. Lama-kelamaan, setelah kes tidak selesai, kami anggap Antin telah meninggal dunia.

Anak cucunya semua terkesan kerana setelah peninggalan Tok Yem, atukku semasa Antin masih muda, Antin dianggap ketua keluarga. Dia seorang ibu tunggal yang bersemangat kental.

Masa berlalu dan kami meneruskan kehidupan dalam era penuh cabaran ini.

Sudah dua tahun aku tak balik raya kerana pandemik. Raya tahun 2019, adalah hari raya terakhir aku di rumah Antin. Pada pagi raya itu, setelah bersalaman dengan sanak saudara, aku berjalan keseorangan menuju ke kolam air. Jambatan dah tiada. Kayunya dah reput dan dirobohkan. Sekeliling kolam dipagarkan. Ada baru-baru ni pakcik cadangkan dikambus saja kolam. Aku dan Ajim sekeras-kerasnya menentang. Kalau Antin, Along, Angah atau Adik nak ke sini bagaimana kalau kolam dah tiada? Kami tak pernah beritahu sesiapa. Rasanya tak ada orang akan percaya pun. Kami sendiri pun macam tak berapa ingat apa yang berlaku. Nak kata mimpi, pengalaman ini di kongsi bersama.

Ajim ada menungguku sambil duduk di kerusi batu tepi kolam. Lama kami berdiam. Banyak sangat perubahan dalam dunia masing-masing. Kepala Ajim pun dah botak sekarang. Aku pula dah beranak-pinak. Tapi kami masih lagi ambil kesempatan duduk di tepi kolam setiap pagi raya jika giliran raya pertama di rumah Antin. Tiada apa yang perlu dikatakan cuma aku tahu masing-masing berdoa dan berharap agar Antin, jika dia masih ada, bahagialah dia bersama keluarganya di sana pula.

Amin.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Arkadia

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.