Hitam

Assalamualaikum warga FS. Cerita yang aku karang ni adalah pengalaman yang jadi dekat diri aku sendiri pada tahun 2010. Masa ni umur aku baru belasan tahun. Aku anak bongsu dan hanya tinggal dengan ibu dan ayah sebab adik-beradik aku yang lain semua dah sambung belajar luar negara atau dah kahwin.

Aku tak pernah lagi berdepan dengan apa-apa pengalaman paranormal ni sampailah satu hari tu aku kerap kena tindih. Atau dalam bahasa mat sallehnya sleep paralysis. Gangguan ni berlarutan berbulan-bulan dan hampir setiap malam aku akan terjaga pada pukul 3, 4 pagi disebabkan badan aku kena tindih dengan entiti yang aku sendiri tak tahu. Suatu malam ni macam biasa aku tidur sorang dalam bilik dan semestinya tak bukak lampu. Tapi malam ni malam yang malang sebab aku kena tindih lain daripada hari-hari lain. Kenapa aku cakap macam tu? Selalunya benda ni akan datang masa aku dalam separa sedar kira dalam keadaan lemah tapi tak betul-betul tertidur lagi. Benda ni akan tindih waktu macam tu tapi aku boleh lawan dengan ayat-ayat suci Al-Quran selagi aku tak betul-betul tertidur.

Berbalik kepada cerita tadi, bulu roma aku mula meremang dan aku langsung tak boleh bergerak. Aku cuba gerakkan jari-jari aku sambil cuba baca ayat kursi atau azan walaupun tak keluar satu apa pun dari mulut. Memang aku jadi keras kat atas katil tu entah berapa lama dan akhirnya aku berjaya terlepas daripada tindihan tu dan terus lari keluar dari bilik. Ibu dengan ayah aku dekat ruang tamu masa tu dan aku terus mengadu dekat ibu. Selalunya lepas aku kena tindih aku cuma akan buka lampu dan tidur balik sebab aku bukan jenis yang akan mengadu pasal benda ni. Lepas aku dah bagi tahu tu ibu boleh diam jer sambil pandang mata aku. Tiba-tiba rambut ibu aku jadi panjang dan mengerbang ala-ala kak limah dengan muka dan mata dia jadi hitam. 2 taring muncul dari gusi ibu dan ibu terus cekik aku yang terpinga-pinga dengan tangan dia yang berkuku panjang hitam tu.

Ibarat scene dalam cerita hantu tiba-tiba aku terbangun dari mimpi lepas kena cekik. Maknanya benda yang aku lalui tadi tu hanya mimpi. Kali kedua bangun dari tidur aku keluar dari bilik dan nampak ayah aku dibungkus dengan kain kapan dan terbaring sorang-sorang kat ruang tamu macam poc*ng. Aku dah menangis masa tu sebab ingatkan ayah dah meninggal. Slow-slow aku jalan nak pergi dekat ayah tapi tiba-tiba ayah bangun duduk dan tenung macam nak makan aku. Nak tercabut jantung tengok ayah aku macam tu dan sekali lagi aku terbangun dari tidur. Ya, kali kedua tu pun cuma mimpi. Jangan risau kali ketiga ni aku dah betul-betul bangun. Memang berpeluh-peluh lepas bangun tu dan aku check kiri kanan dan pegang muka aku mana lah tau aku dalam mimpi lagi ke kan.

Pernah satu malam tu aku teman ibu tidur sebab ayah aku outstation. Pukul 3 pagi macam tu aku tengah tidur dan ada suara garau di sebelah telinga kiri aku menjerit suruh aku bangun. Berdengung telinga lepas aku terbangun dan dalam keadaan mamai aku terus cari bantal panjang nak peluk. Aku pusing ke kiri dan nampak ade benda panjang warna hitam. Dia punya hitam lagi hitam daripada kegelapan bilik tu. Jadinya aku fikir itu bantal aku dan hampir-hampir dah nak peluk tapi aku tiba-tiba rasa macam ade sesuatu kat belah kanan aku. Bila pusing kanan aku nampak bantal aku. Aku pusing kiri balik benda hitam tu dah tak ada. Aku terus tidur tak fikir pun pasal tu.

Pernah jugak sekali aku tertidur kat ruang tamu dengan TV terpasang. Aku kena tindih dan boleh rasa badan aku terapung. Bukan setakat terapung, benda tu pusing-pusingkan badan aku macam kipas tengah berpusing tu. Lepas berperang dengan benda tu nak bangun akhirnya aku tersedar tapi elok jer aku tengah baring atas sofa.

Lama-lama gangguan tu dah makin hilang mungkin sebab benda tu bosan aku tak bagi reaksi sangat bila dia sakat aku. Aku selalu jugak nampak benda hitam tu atas almari, sebelah aku masa aku tengah tidur atau melintas dalam rumah. Tapi benda hitam tu sentiasa ada pada waktu malam dan dalam gelap jer. Maaflah cerita ni tak seram sangat. Kalau ada masa lagi aku cerita pulak pasal zaman aku dekat universiti. Benda hitam ni still ada dan jadi dalang kepada setiap kali aku kena tindih.

3 thoughts on “Hitam”

Leave a Comment