Hostel Tumpang, Rasuk & Nenek Kebayan

Assalamualaikum. Nama aku Nurul. Berumur 27 tahun dan masih belum berkahwin. Serius sedih bila orang asyik tanya bila aku nak kahwin. Aku nak ceritakan tentang pengalaman hidup aku dan berharap sangat tak ada yang kenal aku. Maaflah kalau cerita ni tak best. Apa yang penting, ini kisah benar yang pernah aku lalui.

Terima kasih admin sebab dah siarkan kedua-dua cerita aku.
1) Bayi Hilang, Rasuk & Berubat
2) Rasa Diekori, Sesat, Panahan Cinta & Budak Comot
Cerita yang lepas, aku ada cakap malas nak menaip lagi. Sebab aku ingatkan dah tak ada cerita mistik yang aku nak cerita. Rupa-rupanya masih ada yang tertinggal. So, selamat membaca ye korang……

PENGALAMAN 1 : HOSTEL TUMPANG
Kejadian ni berlaku masa aku masih belajar dekat selangor. Masa tu, batch kami terlalu ramai. Sampai tak muat hostel. Jadi, pihak kolej hantar kami pergi duduk dekat hostel kolej lain. Kira menumpang lah. Hostel yang kami bakal duduk ni ada 12 tingkat. Dari luar macam rumah apartment. Tapi bilik dalam rumah tu macam cubicle. Ada 6 cube / bilik setiap rumah. Dah nama pun macam cubicle, setiap bilik memang tak ada pintu. So, 1 rumah ada 6 orang duduk la. Aku duduk dengan Min, Nana, Ayu, Ira & Iza. Disebabkan jarak hostel dengan kolej agak jauh, pihak kolej sediakan kitorang bas untuk memudahkan kitorang ke kelas. Aku dapat duduk rumah yang tingkat 11. Mengeluh jugak la masa tu sebab aku ni gayat. Huhuhu.

Aku terangkan kedudukan bilik dalam rumah ni dulu ye. Senang untuk korang paham nanti. Bukak je pintu, akan nampak 3 bilik. Bilik pertama bilik Min, kedua bilik Ayu dan ketiga bilik Ira. Masuk kedalam sikit, akan nampak sebelah kiri bilik Nana. Bilik aku yang hujung sekali belah kanan. Sebelah bilik aku bilik Iza. Ok. Harap korang paham la ye.

Mula-mula tak ada kejadian-kejadian pelik yang berlaku. Sebulan kitorang duduk situ, Ira bagitau kitorang yang dia selalu nampak budak kecik mengintai dia tengah tidur. Dia cakap dah seminggu dia perasan. Budak hitam dia cakap. Biasanya, bila kita toleh, benda tu mesti hilang kan? Ni tak. Bila kita toleh, dia statik je berdiri kat situ. Tapi budak tu tak kacau orang lain. Dia kacau Ira sorang je. Pernah sekali, budak hitam tu datang kat Ira dok tarik-tarik rambut Ira. Sejak tu, masing-masing tak berani tidur sendiri. Semua nak tidur berdua. Korang bayangkan katil single tidur dua orang. Nasib baik tak patah je katil tu.

Dalam rumah ni ada 1 bilik air dimana dalamnya ada 2 bilik mandi dan 1 toilet (jamban). Besar jugak bilik air dia. Lebih kurang luas 2 buah bilik kitorang tu tau. Dari first day masuk rumah tu aku macam seram dengan bilik air tu. Bila basuh muka dekat sinki, aku tak berani nak pandang cermin. Aku rasa macam ada yang perhati je dekat cermin tu. Masa ni, aku pikir mungkin perasaan aku je kot. Sebab orang lain elok je bila masuk bilik air tu.

Cuma yang pelik, bilik air kitorang selalu ada kesan kotor. Macam kesan tapak kaki. Masa tu jenuh masing-masing tuduh-tuduh ada yang bawak selipar sampai masuk ke bilik air. Tapi semua tak mengaku. Malas nak panjang cerita, kitorang bersihkan je la.

Hari tu, kelas aku ada buat kuiz. Tapi Min cakap dia tak ada kelas hari tu. So, aku dapat balik awal la. Daripada 35 orang, cuma 8 orang je budak kelas aku yang kene duduk hostel tumpang tu. Dan cuma aku sorang je dalam rumah tu yang dapat balik awal hari tu. Memandangkan malam tadi dah tidur lewat sebab study, mata memang mengantuk sangat-sangat. Kitorang yang dapat balik awal ni berkejar la naik bas. Semangat nak balik sebab nak sambung tidur kononnya. Tapi pakcik bas nak tunggu dulu. Lama kot. Masa tu baru pukul 11. Kelas lain biasanya habis pukul 2. Memandangkan aku dengan pakcik bas dah kamceng, pakcik tu pun hantar la kitorang balik dulu. Lepas tu dia patah balik ke kolej semula. Hehe..

Sampai depan rumah aku, masa tu lah baru kelam kabut nak keluarkan kunci. Dari dalam lif tadi taknak keluarkan. Dah jumpa kunci rumah, aku nak bukak la pintu. Tiba-tiba KKRRRREEKKKK.. Pintu terbukak sendiri. Tak sempat aku nak masukkan kunci dalam tombol. Terpaku aku depan pintu tu. Sebab sebelum tu, memang aku dah pulas tombol tu. Memang confirm berkunci. Tapi masa ni aku just pikir positif. Mungkin diorang tutup pintu tak rapat tadi. Aku masuk je dalam rumah, aku dengar bunyi orang mandi dalam bilik air. Masa ni lega la aku. Sebab aku pikir aku tak duduk sorang-sorang kat rumah. Aku agak Min la yang mandi masa tu. Sementara tunggu Min mandi, aku lepak-lepak dulu dalam bilik Min. Pintu rumah pun aku tak tutup masa ni. Memang waktu tengahari kitorang biarkan pintu terbukak. Nak bagi angin masuk. Malas nak terus ke bilik. Macam jauh sangat. Nak kene lalu depan bilik air tu dulu.

Tengah-tengah mengelamun, tiba BBBAMMM….

Terkejut aku. Rupanya-rupanya botol air kosong yang atas rak tu jatuh. Aku abaikan je la. Mungkin angin. Lepas tu BBBAMMM. Jatuh lagi satu botol. Masa ni aku dah tak sedap hati. Sebab yang jatuh tu bukan botol kosong. Botol yang belum bukak, masih penuh dengan air. Agak mustahil kalau dia nak jatuh kan? Dari berbaring tu aku terus duduk. Min ni lambat pulak mandi.

Tiba-tiba… BBBBBAAAAAMMM!! Pintu pulak tertutup.

Hah sudah!! Semangat aku dah habis melayang. Tak pikir apa, aku terus bangun nak pergi bilik air. Pergi panggil Min. TAPI!! Min tak ada weyh. Bilik air kosong. Lantai kering. Macam tak ada orang masuk. Masa tu pulak mata aku boleh terpandang cermin dalam bilik air tu. Aku nampak ada seseorang pakai baju putih dekat tepi bilik mandi tu. Aku syak mesti dia yang mandi tadi. Masa ni memang nak nangis dah aku. Terus aku ambil fon dalam bilik Min nak lari keluar. Masa tu pulak aku pulas-pulas tombol tapi pintu tak boleh bukak. Dua tiga kali aku pulas. Macam tu jugak. Tiba-tiba aku rasa makin meremang. Macam ada something belakang aku. Perasaan aku masa tu Allah je yang tahu. Macam-macam doa aku baca sambil pulas tombol tu. Masa ni aku cakap dalam hati “Jangan lah kurung aku dalam rumah ni. Ya Allah tolong la aku”.

Tak lama lepas tu, akhirnya pintu tu boleh bukak. Lega sangat-sangat. Terus aku lari pergi bilik kawan aku dekat tingkat 12. Aku tak berani naik lif dah. Aku lari ikut tangga je. Nasib baik kawan aku tu tak tidur. Dia tanya kenapa, aku diam je. Sampai lah aku terlelap dalam bilik dia. Tak lama tu Min datang dekat bilik kawan aku. Min cakap dia keluar tadi. Pergi beli barang sikit. Aku tanya dia, tadi pintu tutup rapat tak. Dia cakap dia memang tutup rapat. Dua kali dia check sebelum turun tu.

PENGALAMAN 2 : RASUK
Seminggu selepas aku hampir kena kurung dalam rumah tu, kawan aku Ira pulak kena rasuk. Kes aku hampir kena kurung tu, aku tak cerita pada sesiapa. Taknak diorang takut. Hostel yang kami duduk ni kena balik sebelum 9 malam. Memandangkan ramai guard dekat situ yang kitorang dah kamceng, tak ada masalah untuk kitorang balik lewat. Lagipun guard dekat situ lebih kurang sebaya kitorang je. Malam tu Apek yang jaga. Apek ni dia tengah tunggu tawaran sambung belajar. Dia dah ada diploma masa tu. Ohh. Dia melayu. Hehehe.

Malam tu aku tak ikut. Banyak assignment yang nak kena siapkan. Ayu, Ira & Iza je yang keluar malam tu. Dekat pukul 11 baru diorang balik. Diorang cakap, malam tu Apek yang jaga. Senang la diorang kawtim. Tapi diorang cakap Apek marah pulak balik lambat malam tu. Aku cakap mungkin dia dah kena warning sebab benarkan student masuk hostel lagi walaupun dah lewat kot. Sebab biasanya selepas pukul 9, student memang dah tak ada keluar masuk dah. Pagar memang dah kunci. Kalau nak masuk hostel. kena tunggu pagar bukak pukul 7 pagi esoknya.

Ira terus masuk tidur selepas balik tu. Tak mandi, tak salin baju terus tidur. Aku tegur dia masa dia balik tadi pun dia buat-buat tak dengar je. Lepas tu aku, Min, Ayu & Iza berbual-bual kejap. Jam pun dah pukul 11.30. Tak lama tu aku dapat mesej dari Apek.

Apek : Ada benda ikut kawan kau balik tadi.Aku dah cuba halau tapi benda tu degil. Mungkin dia dah ada kut dalam bilik korang. Hahaha
Aku : Yang kau mesej aku pasal hal ni kenapa?????
Apek : Aku nak inform je. Apa-apa nanti bagitau aku.

Sakit hati betul aku dengan Apek. Sebelum ni dia cakap dia nampak aku berani. Tak takut dengan benda-benda tu semua. Memang la depan dia aku tunjuk-tunjuk berani. Takkan la nak bagitau aku penakut. Pasal kes kena kacau tu pun aku dah nak menangis tau. Malam tu tak ada kejadian pelik yang berlaku. Esoknya aku dengan Nana tak ada kelas. Tapi aku tengok Ira ni masih tidur. Dah pukul 9 pun tak bangun lagi. Sepatutnya kelas dia pukul 8 pagi tu. Aku pun kejut la Ira ni. Tapi puas aku kejut dia tak bangun. Sampai pukul 2 Ira ni tak bangun lagi. Tak lama tu, kawan-kawan aku yang lain pun balik dari kelas. Semua pelik tengok Ira ni tak bangun. Iza cakap, Ira macam dah kena je ni. Iza pergi bilik air, ambil air letak dalam mangkuk. Baca-baca sikit (aku tak tau dia baca ape), lepas tu Iza renjis dekat muka Ira. Masa ni baru ira gerak-gerak sikit badan dia. Tapi Ira cakap mata dia tak boleh bukak. Macam kena gam.

Ira cakap badan dia sakit-sakit. Mungkin sebab dia tidur lama sangat. Aku pun urut badan dia. Masa ni Ira dah duduk. Tapi mata dia masih tak boleh bukak. Aku pulak saja-saja la nak test. Aku baca ayat kursi, lepas tu hembus kat , muka Ira. Tiba-tiba Ira ni menjerit “AAAAAAAAAAHHHHHHHHHH”. Panjang giler dia punya jerit. Nyaring pulak tu. bingit telinga aku. Aku pulak dah la duduk belakang dia, sebab urut badan dia tadi. Dah dia jerit tu, aku apa lagi. Terlompat la aku. Masa aku nak lompat turun katil tu, kaki aku pulak tersangkut kat cadar. Bedebuk aku jatuh. Masa ni nak cover aku punya malu aku gelak la sikit “Her her her”. Tapi tak ada sorang pun yang sambung gelak aku. Masing-masing muka dah cuak.

Masa ni aku pikir nak turun panggil warden asrama. Memandangkan aku dah tak berani nak turun lif sorang-sorang, aku ajak Ayu teman. Dah, semua nak ikut panggil warden. Kitorang semua turun panggil warden. Tinggal la Ira sorang-sorang dalam bilik dia. Masa kitorang datang dengan warden & ustaz, Ira masih duduk lagi dekat katil dia. Aku dengar Ira menangis. “UUUUUUUUU”. Lain macam je cara dia menangis. Masa ustaz tu cuba ubatkan, aku dengar Ira ni kejap menjerit, kejap menangis. Masa tu kitorang semua duduk dekat luar rumah.

Tak berani nak duduk dalam tu. Lepas tu, ustaz tu keluar. Dia minta kitorang call family Ira. Dia tak boleh ubat sebab ni ada kaitan dengan saka keluarga Ira. Ustaz tu cakap ada dua. Budak kecik dengan perempuan dewasa. Lepas tu aku cerita dekat ustaz, apa yang aku nampak dekat bilik air tu. Ustaz tu cakap tu memang tempat dia. Lagi satu, ustaz cakap ada benda ikut Ira. Benda tu tak masuk rumah kitorang. Ustaz cakap benda tu dia duduk je depan pintu rumah kitorang. Badan besar tinggi, berbulu, warna hitam. Mungkin ni la kot apa yang Apek tu cakap.

Malam tu, ayah ira pun datang. Tapi Ira masih macam tu. Mata dia masih tak boleh bukak. Kejap dia menangis, kejap dia diam je. Masa ni aku dengan ayah Ira papah Ira bawak turun. Masa dah sampai bawah tu, jari telunjuk Ira asyik tunjuk satu arah je. Dia tunjuk depan. Tapi aku tak nampak apa-apa. Aku pun cuba nak turunkan jari Ira ni. Aku cakap dekat Ira “Tak payah la nak tunjuk-tunjuk jari tu”. Seram pulak aku tengok dia dok tunjuk-tunjuk tu. Lepas aku turunkan jari Ira, dia tiba-tiba jerit. Sama macam jeritan dekat dalam bilik tu. Terus terduduk aku masa tu. Terkejut punya pasal. Tapi masa ni aku tak ada gelak-gelak nak cover dah. Aku diam je. Tapi aku dengar ada orang gelakkan aku. Ciss!!

Apek yang gelakkan aku. Datang tak diundang. Sibuk je! Aku tanya Apek, ape yang ada kat tempat Ira tunjuk-tunjuk tu. Apek cakap, belakang tu ada gudang terbiar. Dah lama tak ada orang datang situ. Mungkin benda yang ikut Ira ni datang dari situ.
Malam tu ustaz cakap dia akan hantar benda yang ikut Ira balik tempat asal dia. Lega rasa hati. Huhuhu……

PENGALAMAN 3 : NENEK KEBAYAN

Kali ni aku ceritakan pengalaman kawan aku, Nia. Kalau tak silap aku ni masa semester dua. Kitorang dah balik hostel kitorang. Tak menumpang dah. Hostel ni 1 bilik 3 orang duduk. So, aku Min & Nana dapat duduk sebilik. Masa ni aku dengan Min tidur bilik Nia. Sebab Nia cakap roommate dia semua balik kampung. Nana pun tak ada sebab balik kampung jugak. Malam tu aku tidur awal. Sebab esok sabtu, nak pergi jalan-jalan dengan Min. Tak lama tu, Min pun tidur. Tinggal Nia je berjaga sebab dia seronok main mesej dengan bf. Nia cerita kat aku, malam tu dia susah nak lelap mata. Kejap pusing ke kiri, kejap pusing ke kanan. Akhirnya dekat pukul 3 pagi baru dia rasa mengantuk. Dalam mamai-mamai tu, dia perasan ada benda bertenggek dekat atas almari dia. Dia pun cuba nak cam, tapi tak jelas. Dia cakap badan bongkok, rambut lepas macam tu je. Masa dia cerita ni bulu roma aku pun habis meremang.

Dia cakap puas dia tenung. Macam muke nenek kebayan pun ada. Masa tu dia dah takut dah. Apa benda tu buat atas almari tu. Lepas tu, dia dengar nenek tu cakap “ Satu dah tidurrrr..” sambil pandang katil aku. “Dua dah tidurrrr..” sambil pandang katil Min. Lepas tu dia pandang katil Nia sambil cakap “HAAA!!! TIGA BELUM TIDURRR!!!” Nenek tu terus lompat dari atas almari tu pergi dekat katil Nia. Dia goncang-goncang katil Nia. Nia cakap dia jerit-jerit panggil aku dengan Min. Tapi aku tak dengar apa-apa. Lepas tu Nia terus tak sedar sampai pagi esoknya. Masa Nia cerita tu, dia nangis-nangis. Memang nampak dia takut sangat. Tapi aku memang tak dengar dia jerit-jerit panggil aku. Tak lama lepas tu, aku dapat tau Nia berhenti belajar. Kesian Nia.

Akhirnya habis dah cerita aku. Terima kasih sudi baca. Assalamualaikum.

4 thoughts on “Hostel Tumpang, Rasuk & Nenek Kebayan”

Leave a Comment