Istinggar Maqbul

Tajuk: Istinggar Maqbul
Oleh: NurhanYusof

====================

Tahun 2017

Cahaya terang benderang muncul tiba-tiba. Menerangi hutan Sintok itu pada waktu malam. Tiada satu manusia pun sedar berlakunya fenomena mistik itu. Lama cahaya ungu itu bersinar dari tiang batu jambatan, bekas jambatan kayu pada zaman penjajah itu. Kemudian seorang lelaki berusia tiga puluh tahun melangkah keluar. Bagaikan wujudnya pintu di dinding batu itu. Sebaik menapak keluar, cahaya ungu itu akhirnya menghilang sikit demi sedikit. Gerbang antara Negara manusia dan Negara Putih akhirnya tertutup rapat. Hutan itu gelita semula.

Lelaki itu berdiri sambil memandang sekelilingnya, kaki seluarnya kebasahan kerana tempat dia berdiri itu merupakan jalan air mengalir. Wajahnya berubah sayu terkenang kampung halamannya yang hilang digulir waktu. Tiada lagi kampung kecil, tiada lagi rumah-rumah kayu beratap nipah yang sedikit tercorok dari pekan yang kian berkembang. Semuanya sudah berpindah mencari penempatan lebih selesa dan selamat dari keganasan komunis pada masa lalu.

Dia kemudiannya melangkah pergi, tubuhnya kian lama kian menghilang. Lesap bersama angin.Misinya cuma satu.

………………………………….

Tahun 2017
Changlon.
Jam 11.00 malam

“Tok Yui tak mau tidoq lagi ka? Cek tidoq dulu la nah, esok pagi nak kena bangun awai.” Cucunya Najwa menjengul kepala di balik pintu. Memandang lagak neneknya yang lain daripada kebiasaan. Selalunya memang begitu, apabila tarikh kehilangan tokwan mereka pada berpuluh tahun lalu itu tiba. Tok Yui akan mula bersedih hati, terkenang suami tercinta.

Tok Yui yang berumur genap seratus tahun itu cuma diam. Hari ini, sebaik sahaja berganjak malam, wajahnya berubah mendung. Sejak maghrib lagi Tok Yui mula termenung panjang. Menyendiri dan berdiam, jauh sekali dengan hari biasa yang selalunya ceria dengan mulutnya yang suka bercerita.

Menerusi jendela yang terbuka separuh, Tok Yui membuang pandangnya keluar. Bulan sabit itu ditatap lama. Rindu itu selalu bertamu, tetapi pada hari ini rindu itu terlalu kuat mencengkam jiwa.

Tanpa diminta air mata mengalir membasahi pipinya yang berkedut seribu. Lantas Tok Yui mengangkat kedua belah tangan, Al-fatihah dijadikan hadiah untuk junjungan Nabi Muhammad s.a.w dan orang di sana. Bersama itu layar ingatan mulai memutar memori lalu. Walaupun Tok Yui sudah tua, namun dia masih ingat.

……………………………………………………

Berpuluh tahun lalu. Merentasi masa. Saat penjajah asing masih bermaharajalela dan tuan tanah pula dilayan seperti hamba.

Tirai malam menyingsing. Pagi mengambil alih bersama jalur emas yang bercahaya. Relung jingganya menerobos masuk ke dalam rumah melalui jendela yang terbuka luas. Pagi itu Maqbul tidak ke mana-mana. Menemani isterinya yang sarat mengandung anak pertama. Sawah tidak dituruni tetapi hanya keluar meranduk tali air, menangkap ikan darat untuk dibuat lauk seharian. Dia sendiri yang memasaknya walau terkial-kial, dipandu isteri yang menemani di dapur.

Demi isteri tercinta, dia tidak segan melakukan pekerjaan itu. Sudah bertahun dia memendam cinta, memohon kepada pemilik hati dan sekalian alam, agar hati Rohayu menjadi miliknya, dan sanggup sehidup semati. Akhirnya doanya termakbul Allah.

Sepasang suami isteri yang masih muda itu duduk di jendela rumah mereka. Rohayu menghadap ke luar jendela memandang ayam dan itik yang sedang mencakar tanah mencari makan. Sementara suaminya abang Maqbul duduk meluntut di belakangnya sambil jari jemari Maqbul menyikat rambut Rohayu yang panjang mengurai.

Dia suka bermain rambut isterinya, rasa terhibur. Selalunya sebaik rambut itu disikat dan diletakkan minyak kelapa campur bunga melur, rambut itu kemudiannya didandan lipan. Itu salah satu cara dia menzahirkan rasa cinta dan memanjakan isteri walaupun ungkapan sayang jarang sekali terbit dari bibirnya. Dia yakin Rahayu faham isi hatinya.

“Rohayu pi masuk dalam, duduk dalam bilik diam-diam.” Abang Maqbul bangun tiba-tiba. Sementara Rohayu terpinga-pinga namun terus masuk ke dalam bilik tanpa menyoal. Riak wajah Abang Maqbul berubah keruh. Keris Luk lima diambil lalu disisip di pinggang. Istinggar juga dicapai.

Tidak beberapa lama, bayang sekumpulan lelaki berbaju seragam Jepun itu muncul dari balik pohon-pohon. Mereka mendekati rumahnya. Maqbul pula sedia menunggu dari dalam rumah. Enam orang lelaki Jepun itu kemudiannya berhenti melangkah. Tercegat sambil memandang pohon kelapa yang melambai ditiup angin. Selajur salah seorang daripada mereka mendekati tangga rumah. Memekik dalam bahasa ibunda mereka, memanggil tuan rumah supaya keluar. Tak lama kemudian, Maqbul muncul. Istinggar berbentuk senapang panjang itu disorok di balik almari.

“Nyyokkk…” Kasar lelaki Jepun itu menyebut. Suaranya besar. Sambil mengarah jari telunjuknya ke arah pohon kelapa.

Maqbul mengangguk faham lantas memanjat pohon kepala dengan mudah. Mereka cuma mahukan buah kelapa. Nama sahaja askar, berjalan gagah bagai pahlawan hebat, mendabik dada minta dihormati kehadiran mereka dan memaksa penduduk menyanyi lagu kebangsaan mereka ‘Kimigayo’. Siapa ingkar diberi penampar ataupun ditumbuk perutnya dengan kasar. Tetapi mahu panjat pohon kelapa pun tidak mampu.

……………………………………….

Mengilas purnama.

Akhirnya Rohayu selamat melahirkan anak pertama mereka. Seorang anak perempuan yang comel dengan kulitnya yang putih bersih. Wajahnya terikut rupa Rohayu yang berdarah siam. Dia diberi nama Siti Fatimah.

Petang itu selepas Asar, Rohayu berjalan di luar sambil mengendong Siti Fatimah, menyambut suaminya yang pulang dari bersawah.

“Siti Fatimah rindu ayah dak?” Maqbul mengacah anaknya yang sudah mula pandai ketawa. Matanya yang bulat terkebil-kebil memandang ayah dan ibunya. Sesekali jari kecilnya dimasukkan ke dalam mulutnya.

“Miyako… Miyako…” Suara itu muncul tiba-tiba. Lelaki Jepun itu meluru ke arah Siti Fatimah tanpa diminta. Mengejutkan Maqbul dan isterinya.

Wajah Rohayu bertukar pucat walaupun puterinya itu kedengaran galak ketawa di acah lelaki Jepun itu. Anak sebesar itu tiada kenal bahaya. Dunianya putih, hatinya bersih.

Manakala suaminya Abang Maqbul kelihatan masih tenang walaupun dia sudah bersiap jika sebarang kemungkinan berlaku. Parang Ladin yang berukuran sama panjang dengan sikunya tersorok di dalam lengan baju.

Dia melayani sahaja askar Jepun itu. Katanya Siti Fatimah itu mengingatkan dia dengan Miyako anaknya yang tinggal di Jepun bersama keluarga. Kerinduan lelaki Jepun itu terubat tatkala melihat Siti Fatimah yang berkulit putih seperti anak orang Jepun. Makin galak askar Jepun itu mengacah, makin galak Siti Fatimah ketawa.

Sejak itu hampir setiap petang sebaik Maqbul pulang dari bersawah, pastinya askar Jepun itu juga turut muncul. Mahu bermain dengan Siti Fatimah, melampiaskan rindu yang terpendam. Namun tanpa sedar, ada mata-mata sedang memerhati gerak-geri Maqbul dan isteri.

………………………………….

Tahun 2017
Pekan Changlon.

Jam 11.00 malam.

Waktu sebegini pekan Changlon sudah mula mahu lena dibuai mimpi. Itu bezanya dengan pekan di bandar lain. Kedai-kedai ditutup awal. Dulunya pekan ini dipanggil pekan koboi. Pekannnya kecil dan tiada apa-apa berbanding sekarang. Kini Changlon sudah pesat, sudah ada Cmart Changlon, sudah ada sekolah dan kemudahan lain. Kepesatan itu kian berkembang disebabkan wujudnya Universiti Utara Malaysia.

Di tengah pekan itu ada seorang lelaki berjalan kaki. Lelaki itu mengelap cecair yang menitis keluar dari hidungnya. Matanya kuyu, berjalan sambil terketar-ketar. Dia melangkah longlai, tubuhnya yang kurus itu berbau hamis dan penampilannya tidak terurus. Matanya terbayang pil kecil yang mampu memberinya kesegaran segera. Dulunya dia sihat tetapi dek kerana hasutan kawan, dia akhirnya turut terjebak ke lembah penagihan ketika umur masih lagi muda. Begitulah segelintir anak Melayu. Saat anak lain berlumba-lumba mengejar kejayaan, anak Melayu ditelan khayalan dadah.

………………………………………..

Jam 12.00 pagi.

Lama lamunan Tok Yui merentasi sempadan. Segala memori digali satu persatu. Namun lamunan itu terbejat apabila kedengaran ada sesuatu mengetuk dinding kayu rumahnya. Selajur Tok Yui bangun dari duduk, jendela kembali ditutup. Dia menapak ke arah kamarnya sendiri, kerana bunyi itu kedengaran kuat dari situ.

Tok Yui melangkah masuk. Dia memandang sekeliling bilik, takut ada gangguan halus seperti tahun lepas itu kembali semula. Gara-gara orang menyihir arwah menantu dan anaknya Siti Fatimah.

Tiada sebarang kelibat muncul. Namun bunyi ketukan itu kedengaran kuat menerjah corong telinga. Tok Yui menghampiri almari bajunya, lantas pintu almari dibuka dengan berhati-hati. Di situ istinggar suaminya Abang Maqbul bergetar hebat.

“Ya Allah…” Hanya itu yang terpacul dari bibir Tok Yui. Dia duduk di birai katil. Masih memandang ke arah istinggar itu. Entah bila istinggar itu ada di situ, padahal ianya hilang bersama suaminya pada malam terakhir itu.

Daya fikir Tok Yui terbejat. Persoalannya tergantung apabila pintu rumahnya diketuk bertalu-talu. Kedengaran suara cucu lelakinya Muhammad Abas, memekik namanya berkali-kali. Tergesa-gesa Tok Yui bangun menuju ke arah pintu utama. Dadanya berdebar. Takut akan keganasan Mat Abas yang kadangkala tidak terkawal.

“Tok Yui, jangan buka.” Najwa muncul, berlari anak menghalang neneknya daripada membuka pintu. Takut dengan abangnya.

“Aku kata buka pintu ni tok. Aku tau tok tak tidoq lagi.” Suara Mat Abas terpekik tanpa segan silu jika jiran sekampung bakal kedengaran.

Tok Yui dan Najwa mendiamkan diri dalam kegelisahan.

“Hangpa tak mau buka ka? Aku bagi pecah pintu ni!!!” Mat Abas mengugut menahan gian.

………………………………….

Berpuluh tahun lalu.

Malam itu hanya cengkerik yang berani bersuara. Manakala penghuni kampung itu berdiam di dalam rumah masing-masing setelah kejadian askar Jepun mengamuk telah menangkap tiga orang lelaki dari kampung itu kerana disyaki cuba menentang Jepun. Maka sejak itu juga Jemaah surau kecil di kampung itu sudah berkurangan. Penduduk tidak lagi berani keluar dari rumah pada waktu malam.

Tetapi…

Di sebuah rumah, ada pemuda kampung itu berkumpul. Mahu menyelamatkan tiga orang sahabat mereka yang diseksa dalam tawanan Jepun. Tujuh orang mereka bersiap siaga dengan senjata, menunggu sahaja masanya tiba. Maqbul antara tujuh pemuda itu duduk bersila sambil memegang erat istinggarnya. Parang Ladin kemas tersisip di siku.

Sedikit jauh dari kampung, askar Jepun itu berkampung. Beberapa orang tawanan diikat ibu jari kaki mereka dan tangan ke atas, dalam keadaan badan mereka tergantung. Lalu muncul seorang askar Jepun berpangkat tinggi membawa sebesen air sabun, wajahnya tersenyum sinis. Tidak sabar mahu menghukum orang tawanan yang disyaki mahu menentang Jepun. Selajur air sabun itu dituang ke dalam mulut orang tawanan sehingga perut mereka menjadi kembung.

“Cakap, dengan siapa kau kerja?” Lelaki Jepun itu menyoal, menyeringai garang. Berbahasa Melayu dengan pelat Jepun.

Orang tawanan itu masih terbatuk-batuk, mual dan serba tidak selesa selepas menelan air sabun sebegitu banyak. Lalu si tawanan menggeleng.

“Jangan tipu!!!” Selajur lelaki Jepun itu menendang perut tawanan yang masih tergantung. Lalu memberi arahan kepada orangnya supaya menurunkan tiga orang tawanan yang puas menelan air sabun. Lantas dia menapak naik ke atas perut salah seorang daripada tiga orang tawanan itu. Dengan suka hatinya tanpa rasa belas kasihan dia memijak perut lelaki itu sehingga keluar air melalui mulut dan lubang hidung serta keluar muntah hijau.

“Cakap atau kepala kau, aku potong.” Jerkah lelaki Jepun itu walau si tawanan sudah layu separa sedar.

Tiba-tiba…

“Berlindung!!!” Jeritan dalam bahasa Jepun itu riuh rendah. Askar-askar Jepun bertempiaran mencari tempat perlindungan. Orang tawanan dibiarkan di situ sahaja. Terkulai layu, tidak mampu berlari menyelamatkan diri sendiri.

Jeritan peluru senjata api bergema. Berlaku kejadian tembak menembak. Dalam masa yang singkat mayat-mayat askar Jepun bergelimpangan. Namun wajah penyerang markas askar Jepun itu masih belum kelihatan.
Serangannya serangan kilat. Ada askar Jepun yang mati disembelih, ada yang mati kerana ditembak di kepala dan ada juga mati dirodok isi perutnya.

“Hassan…” Suara si tawanan dipanggil perlahan. Seorang pemuda yang wajah bertutup dengan kain, muncul dari balik kegelapan hutan.
“Maqbul…” Hassan menyahut lemah.

………………………………….

Tahun 2017

GEDEGANGGG!!!

Pintu rumah Tok Yui terbuka hasil tendangan Mat Abas yang gian dadah. Sebaik pintu itu terbuka dia meluru masuk ke dalam rumah, menerjah bilik Najwa yang pertama. Laci almari diselongkar, termasuk beg tangan Najwa yang tersangkut di belakang pintu almari. Rumah yang tadinya sepi bertukar riuh rendah.

“Jangan abang… duit tu aku nak beli ubat mak.”Najwa menjerit, sekeping not lima puluh ringgit itu cuba dirampas kembali daripada tangan Mat Abas. Namun dirinya pula menjadi mangsa, Mat Abas menampar wajah Najwa sehingga gadis itu terjelepok ke lantai. Bibirnya berdarah.

“Mat Abas bagi balik duit tu cu, kesian la kat mak ngan adik hang.” Tok Yui cuba memujuk. Air matanya bergenang. Kedengaran suara Siti Fatimah yang berusia tujuh puluh lima tahu itu terbaring lumpuh memanggil nama Mat Abas.

Setelah menantunya meninggal pada tahun lepas, keluarga mereka tiada lagi orang lelaki yang dapat membantu mencari nafkah. Tiga orang lagi kakak kepada Najwa pula jarang pulang ke kampung, mengikut suami mereka yang tinggal di negeri lain manakala abang sulong mereka pula meninggal dunia dua tahun lalu kerana sakit. Kini mereka hanya mengharapkan Najwa yang baru saja tamat SPM. Sementara Mat Abas yang dulunya merupakan pemuda yang baik kini bertukar ganas. Dadah menjadi tujuan hidupnya.

Angin malam menderu masuk tiba-tiba. Dinginnya mengigit hingga ke tulang hitam. Langsir jendela terbuai ke atas dihembus sang angin. Pintu bilik pula terhempas ganas. Bulu roma Tok Yui merinding. Kedengaran istinggar Maqbul bergetar buat sekali lagi. Hingga Najwa yang terjelepok turut melihat ke dalam bilik Tok Yui.

Mat Abas pula melangkah keluar. Tidak hirau dengan angin yang bertiup kencang bagai mahu dilanda taufan, tidak kisah dengan bunyi ketukan bertalu-talu dari dalam bilik Tok Yui.

Tiba-tiba…

Langkah Mat Abas mati. Matanya memandang ke satu arah. Seorang lelaki berjanggut nipis berdiri tegak di hadapan pintu rumah. Bau minyak kasturi menjengah rongga pernafasan. Mat Abas tidak hirau, dia mahu melepasi lelaki itu. Namun, tangannya dipegang kejap. Tenaga lelaki itu kuat. Biarpun Mat Abas meronta sehabis daya, tetap jua tidak terdaya.

Mat Abas tertolak ke belakang. Lalu pemuda gian itu bangun cuba menyerang lelaki itu. Tetapi serangannya dimatikan dengan mudah. Tambah pula Mat Abas menyerang membuta tuli dengan langkah songsang. Sudah tentu dia tetap juga tewas.

“Hang orang lelaki sepatutnya jaga orang perempuan.” Tempelak lelaki itu sambil mematah serangan Mat Abas yang naik gila.

“Hang jangan campuq tangan urusan kami. Hang nampak dak ni?” Mat Abas mengeluarkan pisau lipat dari kocek seluarnya. Pisau itu diacah ke arah lelaki itu.

Namun dengan mudah tetap juga serangannya dimatikan dengan hanya gerak langkah buah selendang. Bibir lelaki itu berkumat kamit sambil dia menepuk belakang badan Mat Abas tiga kali. Tepukan terakhir membuatkan Mat Abas muntah. Air matanya meleleh keluar menahan peritnya muntah tanpa henti. Isi perutnya bagai dipulas-pulas tanpa belas.

“Biaq pi dia muntah, biaq keluaq semua racun ‘setan’ tu. Bodoh budak ni, benda haram juga dia nak telan.” Ujar pemuda lalu menapak ke arah Tok Yui yang terdiam sejak tadi. Mata wanita tua itu masih terkebil-kebil. Biarpun kelihatan tenang tetapi dada Tok Yui bagaikan hendak meletus. Air matanya bertakung.

“Abang Maqbul?” Suara Tok Yui bergetar. Tetapi masakan suaminya masih muda belia?

Malam itu Tok Yui hanya menangis dalam dakapan Maqbul. Kelu lidahnya menatap suaminya yang pulang dipenghujung usianya. Namun wajah Maqbul tetap sama seperti malam mereka berpisah. Tidak dimamah masa. Begitu juga dengan cinta mereka.

……………………………..

Imbas kembali

Hasil ledakan bom atom di Hiroshima, akhirnya penjajah Jepun pulang ke Jepun. Beberapa hari semasa peralihan kuasa Jepun dan Inggeris, selama itu Tanah Melayu ketiadaan pemerintah. Akhirnya Bintang Tiga cuba mengambil peluang itu untuk menguasai Tanah Melayu. Maka muncul juga beberapa orang Cina menjadi pemerintah berpangkat tinggi dalam tentera komunis di kawasan Sintok di Changlon.

Bintang Tiga mula mengamuk, berani menunjuk kuasa. Malah isteri Ketua Balai Polis Sintok telah meninggal dunia ditembak sewaktu dia sedang mengerjakan solat. Manakala beberapa orang penduduk berbangsa Cina dan juga Melayu diseksa dan dibunuh dengan kejam kerana dipercayai pernah menjadi tali barut orang Jepun.

Malam dengan hanya bertemankan lampu minyak tanah. Maqbul anak beranak keluar daripada rumah mereka meredahi hutan secara diam. Mujur sahaja Ah Chai dan Munir menyampaikan berita perihal tentera Bintang Tiga bakal menyerang rumahnya pada malam ini, maka sempatlah mereka tiga beranak melarikan diri.

Selajur ketika kakinya melangkah merentasi hutan, kedengaran suara Bintang Tiga bersama jeritan senjata api memecah kesepian malam. Tanpa diduga Maqbul terhumban ke tanah tatkala dirinya diserang empat orang ahli Bintang Tiga. Bersenjatakan istinggar dan juga parang Ladin, Maqbul mempertahankan diri dan keselamatan anak isteri. Pantas dengan ilmu silat yang penuh dalam dada Maqbul mampu mematahkan serangan. Cuma nasib tidak menyebelahinya, kaki Maqbul ditembak.

“Rohayu pi dulu dengan Siti Fatimah. Lari selaju boleh.” Arah Maqbul, selajur terduduk memegang kakinya yang mengalir darah. Menahan sakit. Berhampiran mereka mayat lelaki Bintang Tiga tadi bergelimpangan. Isterinya Rohayu menggeleng laju, mana mungkin dia akan meninggalkan Maqbul di situ.

“Kita hidup sekali, mati pun sama-sama Abang Maqbul.”

“Kita tak mati lagi aih, kalau Rohayu bergerak sekali dengan abang nanti susah. Lambat nak sampai. Biaq abang sorang-sorang, tau la abang nak ajaq depa tu. Pi dulu, Bang Ateh dah tunggu kat hujung sana.”

Dari jauh mulai kedengaran hingar bingar suara Bintang Tiga meredah hutan, kian lama kian mendekati mereka. Mungkin saja kerana bunyi tembakan yang meletus tadi telah menarik perhatian mereka ke sini.

“Pi cepat!!!” Suara Maqbul tegas, wajahnya garang. Rohayu akhirnya akur, berlari merentasi hutan pada malam hari seorang diri. Mujur saja Siti Fatimah seolah mengerti, anaknya itu tetap diam sedari tadi. Sesekali Rohayu menoleh melihat suami tercinta yang sudah bangun dari duduknya. Maqbul yang berjiwa pahlawan pantang menyerah. Keris luk lima, parang ladin yang tersisip di siku bawah lengan baju dan juga istinggar menjadi teman. Dengan izin Allah dia tidak akan tewas.

Masa demi masa, membilang tahun. Maqbul tetap jua tidak pulang ke pangkuan isterinya yang kerinduan. Itulah malam terakhir Tok Yui bertemu suaminya. Mayat dicari namun gagal ditemui. Kata Ah Chai dia melihat tubuh Maqbul ditelan cahaya ungu ketika Maqbul hampir saja tewas. Ada suara-suara sumbang berkata Maqbul diselamatkan oleh penduduk kampung putih, orang halus atau juga dipanggil orang bunian.

…………………………………………………

Tahun 2019

Mat Abas memandang langit malam yang kelam tanpa kehadiran bulan dan juga bintang. Wajah yang dulunya kusam kini kelihatan jernih, tubuh yang kurus sedikit berisi. Nampak tenang, nampak manis.

Dia menghela nafas perlahan, ada rasa kecewa dengan dirinya sendiri. Terlalu banyak masa disiakan dengan najis dadah itu sehingga dia tidak sempat membalas budi arwah Tok Yui dan arwah ibunya dalam menjaganya sehingga besar panjang. Sepanjang Tok Yui dan maknya masih hidup, dia hanya Mat Abas yang tidak berguna. Berperangai iblis ditakluki dadah.

Api jamung tiba-tiba saja bernyala petanda gelanggang silat sudah dibuka sebaik sahaja mereka selesai solat isyak. Di situ lelaki berjanggut nipis, berbadan kekar dan berbaju pendekar itu berdiri tegak. Wajahnya tegas, memandang Mat Abas yang berjalan turun ke gelanggang. Bersama Mat Abas ada enam orang pemuda lain yang turut diajarkan silat, ilmu agama dan dirawat ketagihan mereka oleh Tok Maqbul. Sempat juga Mat Abas memandang ke arah kamar arwah Tok Yui. Di situ istinggar Maqbul itu masih bergetar hebat setiap kali malam jumaat.

“Tok Maqbul, awat istinggar tu qeja dok gegaq ja.” Soal Najwa yang turut sama menjadi anak murid Tok Maqbul. Gadis itu lengkap berpakaian hitam bersama bengkung.

“Dia bergegaq petanda anak melayu kena bangun daripada lena yang panjang. Bersiaga dengan ilmu agama, ilmu hidup dan ilmu silat…” Tanpa sebarang isyarat Tok Maqbul menyerang Mat Abas yang kelihatan leka.

“Anak muda kalau betui merdeka kenapa masih lena? Kenapa leka dengan khayalan dunia. Sedaq dunia kita menghampiri penamat. Tentera Dajal sudah mula bangun. Maka hangpa juga kena bangun!!!”

————-TAMAT————-

Kenapa sejarah itu perlu direnung kembali? Supaya kau tidak pandang bangsa kau sebagai bangsa yang kosong. Agar kau yakin bahawa diri kau berasal dari nenek moyang yang hebat. Anak muda yang lupa asal usul mudah hilang arah, maka bakal sesat dalam permainan dunia. Kita tanpa ilmu dunia mudah ditipu dan tanpa ilmu akhirat kita cuma jasad kosong. Ditiup angin mudah melayang.

Nota Penulis:

-ISTINGGAR merupakan senjata api orang melayu. Pada zaman dahulu ketika Portugis menawan Melaka, mereka mencatatkan bahawa ada sejumlah istinggar telah dirampas. Hasil kajian menunjukkan teknik pembuatan senjata api ini mirip dengan senjata api Turki yang mana agak unik dan berbeza dengan Barat. Selain Istinggar, orang Melayu juga ada membuat Rentaka, ukurannya agak kecil berbanding meriam. Pada zaman dahulu orang Sepanyol sangat takut dengan senjata api ini kerana mampu menyebabkan kemusnahan dan kematian yang besar. Malah orang Sepanyol dan Belanda sangat kagum dengan senjata ini sehingga mereka meniru pembuatannya untuk melengkapkan senjata perang mereka. Ini membuktikan bahawa orang Melayu pada waktu itu sudah pandai membuat senjata api malah bukanlah berlawan dengan penjajah dengan hanya dengan sebilah keris dan tombak sahaja. Nenek moyang kita bukan lemah dan bodoh!!!

-TIANG BATU JAMBATAN merupakan salah satu tinggalan sejarah di Sintok. Merupakan lokasi serangan hendap dan pertempuran antara kumpulan komunis dengan pasukan keselamatan. Sehingga ke hari ini Tiang Batu Jambatan itu masih ada.

-Sintok Kedah, dulunya pernah menjadi lokasi komunis berkampung. Penduduk diugut membantu komunis, malah banyak juga berlaku pertumpahan darah. Lantas Operasi Semai dijalankan oleh kerajaan untuk membanteras komunis. Penduduk dipindahkan dan seluruh Sintok dibakar hingga hangus supaya komunis tidak lagi mampu meminta bantuan kepada penduduk atau menggunakan barangan dan rumah yang ditinggalkan oleh penduduk. Tetapi kini Sintok sudah mula berkembang maju, tidak lagi seperti dulu.

ALLAHUAKBAR…ALLAHUAKBAR…ALLAHUAKBAR
MERDEKA…MERDEKA…MERDEKA…

Cerpen aku hanya cerpen picisan. Tapi mohon kongsi la sebanyak mana yang boleh agar kita yang lena bangun semula. Bangun pahlawan bangun, lindungi agamamu dan lindungi negaramu.

Tulus si tukang karut Nurhan Yusof.
Jemput melawat ke FB kita Nurhan Yusof untuk baca cerpen lain.

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

NURHAN YUSOF
FOLLOW FB KAMI.

8 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.