Jalan Bukit Putus

Salam sejahtera kepada semua pembaca FS. Pertama sekali, terima kasih admin sebab sudi kongsi kisah seram(?) aku ni. Ini pertama kali aku menulis di sini. Aku dah lama follow FS dan hanya jadi silent reader je sebelum ni. Tiba-tiba hari ni teringin pula nak berkongsi kisah seram dengan pembaca semua. Maafkan aku kalau penulisan aku tak berapa baik dan korang tak faham. Maafkan aku juga kalau cerita ni tak seram.

Baiklah. Kejadian ni bukan berlaku pada diri aku sendiri tapi ayah aku. Ayah aku ni sejak kecil lagi memang boleh tengok benda-benda halus ni. Nak kata ada six sense macam tak sesuai sebab bukan setiap masa dia akan nampak benda-benda ni. Hanya masa-masa ‘beruntung’ je. Ayah aku bekerja sebagai pengawal keselamatan. Dia dah ada hampir 30 tahun pengalaman bekerja dalam bidang ni. Dari pengawal sekolah, kilang, polis bantuan ladang, mall, macam-macam tempat dia dah pernah bertugas. Boleh kata dah ada phD dalam bidang pengawal keselamatan ni hehe.

Yang aku nak cerita hari ni bukan pengalaman dia jumpa hantu dekat tempat kerja, tapi pengalaman dia jumpa hantu lepas habis masa kerja. Dulu, keluarga aku memang suka berpindah-randah. Boleh kata macam orang nomad versi moden pun ada jugak. Aku pernah tinggal dekat kawasan kampung, pekan dan bandar. Macam-macam tempat aku dah merasa. Kisah ni masa kami sekeluarga tinggal di kampung dalam tahun awal 20-an. Masa tu tempat kerja ayah aku dalam 50 km dari rumah. Jadi, hari-hari ayah aku berulang-alik pergi kerja. Kalau dia syif pagi, pukul 5pagi macam tu dia dah bertolak dari rumah. Ayah aku ni rajin orangnya, selalu dia akan bekerja lebih masa. Kalau ada pengawal lain minta tolong ganti tempat pun, jarang-jarang dia menolak. Okay, itu sedikit sebanyak ‘introduction’-nya. Kita mula dengan…

CERITA PERTAMA.
Masa ni ayah aku baru habis kerja syif pagi tambah OT. Dia habis kerja dalam pukul 10 malam gitu. Habis kerja dia terus start motor kapcai nak balik rumah. Motor kapcai faham-fahamlah, selalu 50km dalam sejam lebih juga nak sampai rumah. Lagi-lagi malam kan, kenalah menunggang dengan extra berhati-hati sikit. Masa ni kami tinggal di Negeri Sembilan, kalau orang Nogori mesti tahu jalan Bukit Putus yang lama tu kan. Ya, ayah aku tiap hari berulang jalan tu pergi dan balik kerja. Malam tu ayah aku balik kerja bawa motor macam biasa. Malam-malam dekat jalan lama Bukit Putus tu sunyi. Ada pun kadang-kadang kereta sebiji dua atau lori lalu malam-malam. Jalan lama tu kiri kanan hutan dan gaung.

Tengah syok-syok ayah aku bawa motor, dia perasan sebelah kanan atas bukit sikit ada sekumpulan ‘manusia’ tengah mengusung keranda. Ayah aku berhenti kan motor tepi jalan. Kata ayah, tanda menghormati jenazah. “Biarlah orang bawa jenazah ni jalan dulu.” Itulah yang dia fikirkan masa tu. Dia langsung tak fikir hantu ke apa. Ayah aku pun tengok je la orang-orang tu mengusung jenazah. Semua nampak tunduk dan diam je sepanjang jalan tu. Tak ada dengar orang bercakap ke menangis ke. Diam je berjalan. Adalah dalam 12 orang macam tu. Semua berpakaian serba putih bersih. Yang lelaki berketayap, yang perempuan berselendang. Sampailah orang yang belakang sekali, dia berhenti lepas tu toleh dekat ayah aku.

“Osman(bukan nama sebenar), marilah sama-sama kita hantar jenazah ni ke kuburan.” Dia ajak ayah aku ikut sekali hantar jenazah tu pergi kubur. Mungkin sebab dia tengok ayah aku dok tercengat pandang diorang sebab tu dia berbasa-basi ajak kot. Ayah aku senyum dan cakap minta maaf sebab esok dia kerja. Ayah aku pun malas nak ikut sebab baru habis kerja dan penat. Orang tu pun angguk dan terus jalan. Lepas orang tu pergi, ayah aku pun teruskan perjalanan balik rumah.

Sampai rumah baru dia teringat, macam manalah mamat tu boleh tahu nama dia Osman padahal kenal pun tidak. Ah, sudah. Esoknya masa pergi kerja, ayah aku tengok tak ada jalan pun dekat bahagian bukit yang ‘orang-orang’ tu lalu malam tadi. Yang ada cuma pokok-pokok hutan. Tahulah ayah aku yang malam tadi tu bukan manusia tapi makhluk Allah yang lain. Nasib dia tak ikut, kalau tak, entah ke celah manalah kubur yang dibawanya nanti.

Okay, aku berhenti dekat cerita pertama dulu. Kalau ada permintaan untuk cerita-cerita seterusnya, baru aku sambung.

Terima kasih sudi baca.

GR

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Grace Rahmat
Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 5]

2 thoughts on “Jalan Bukit Putus”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.