Assalamualaikum dan salam sejahtera admin FS dan para pengikut FS. Ini ceritaku seterusnya berkenaan dengan perkara yang kurang menyeronokkan apabila hijab terbuka.
Hobi aku memancing selain duduk di perpustakaan berjam-jam membaca buku. Dua hobi yang membosankan tetapi padaku sangat menenangkan fikiran.
Memancing membuatkan aku pergi hampir ke merata tempat. Asal ada sahaja tempat yang bagus dan menarik, jika ada kelapangan aku akan pergi, sama ada dengan keluarga ataupun sahabat pancingku. Jika datang mood nak memancing tak perlu pergi jauh sebab rumahku hanya 20 minit perjalanan ke tepi pantai dan sungai, malahan terdapat juga beberapa rakit yang sangat popular yang sering dikunjungi oleh kaki pancing dari seluruh Malaysia.
Cukup cerita berkenaan hobiku, mari kita selam cerita mistik yang terkait dengan hobiku ini.
Lima tahun yang lepas, geng memancingku tanpa pengetahuanku telah menempah beberapa bilik di salah satu rakit yang terdapat di kawasan perumahanku. Dalam banyak-banyak rakit, rakit yang agak jauh juga yang mereka tempah, tapi pemandangannya cantik, ikan pun boleh tahan banyak dan owner pun sudah biasa dengan kami. Nak buat surprise birthdayku katanya. Bila aku check tarikhnya, terkena pada tarikh majlis perkahwinan sepupuku di Nilai, tapi tak sedap pula bila tak dapat nak layan mereka yang akan turun ke Johor. Setelah ku susun atur semuanya, Alhamdulillah untuk kedua-dua aktiviti itu Insyaallah dapat ku hadiri.
Cukuplah sehari semalam di atas rakit dan keesokkan paginya ku akan bawa ibubapaku ke Nilai.
Kejadian mistik bermula apabila aku mahu bertolak balik ke rumahku. Sebelum tu biar aku terangkan keadaan perjalanan ke rakit yang kami sewa. Kami perlu melalui kawasan perkampungan dahulu, kemudian susur di tepi empangan dan bertemu simpang empat untuk kami lalui kawasan ladang kelapa sawit dan juga ladang ubi kayu, dan akhirnya barulah akan jumpa lorong tanah merah untuk masuk ke kawasan jeti untuk ke rakit-rakit yang berada di sekitar sungai itu dan sepanjang perjalanan bermula dari empangan hinggalah ke jeti tiada sebiji rumah pun.
Aku bertolak balik sangat lewat dari masa yang aku tetapkan.
Almaklumlah, sambil memancing, sambil berseronok buat sambutan birthdayku. Nasib baiklah empunya rakit itu sudah biasa dengan kami, jadi bila kami minta untuk hantar ke darat pada pukul 2 pagi dia ok sahaja. Perancangannya aku sendirian sahaja yang akan balik ke darat, tetapi memandangkan gerai makan di atas rakit itu tutup (dalam banyak-banyak hari, boleh terkena hari itu pula dia nak tutup), geng-geng mancingku kebuluran, tak cukup sekadar kek dan jajan, nak makan maggi pun dah muak. Jadi kami berlima (tak termasuk Abang Man si pemandu bot) naik ke darat, tinggal tiga orang yang kemaruk memancing di atas rakit. Aku akan pulang semula ke rumah dan yang lain akan ke restoran mamak yang berdekatan untuk beli nasi dan mi goreng.
Aku gerak dahulu sendirian apabila sudah sampai ke darat kerana mereka masih lagi berbincang dengan Abang Man sama ada nak bawa Abang Man sekali ke restoren atau tunggu sahaja mereka di jeti. Terbit sedikit rasa riak di hati, “Ah.. ini tempat aku, lagipun makhluk-makhluk yang mistik ni bukan asing lagi untuk aku. Setakat drive gelap-gelap redah ladang dengan empangan apa ada hal!”
Alhamdulillah sepanjang perjalanan dari jeti hingga masuk ke kawasan kampung, tiada gangguan kuat yang ku alami, sekadar nampak dua tiga ‘benda’ terbang dan berdiri di tepi jalan sahaja. Tetapi bila sampai ke simpang rumahku, Wiz, salah seorang dari kawanku yang ikut naik ke darat menghubungiku.
“Wei, Nami! Kau dah sampai mana? Kereta Didi rosak ni! Tetiba aje enjin m**i kat ladang ubi kayu,” tak sempat aku beri salam laju sahaja Wiz melaporkan.
“Dah cuba start semula tak? Abang Man ikut korang tak?” soalku.
“Tak.. Abang Man tak ikut, dah cuba banyak kali start semula tak boleh. Aku dah call Abang Man tapi dia tak jawab pula, datang sini ah wey..” ada nada cemas suaranya.
Aku pun tak berfikir panjang, terus berpatah balik ke mereka. Mata dah mula kuyu, jadi ku pasang cd yang sedia ada di dalam cd player. Layan lagu Lenny Kravitz, pasang lagu kegemaranku, ‘It Aint Over Till Its Over’ on repeat mode. Memekak menyanyi di awal pagi. Otak masa tu tak terfikir apa, janji dapat hilangkan mengantuk dan segera sampai ke mereka.
Apabila sampai di kawasan empangan, tiba-tiba kawasan tersebut diselubungi kabus. Dalam hati dah terdetik, tak pernah-pernah berkabus, kali ni berkabus pula, tapi masih cuba bersangka baik, mungkin sebab dah pukul 2.30 pagi, cuaca sejuk.
Dalam 5 minit kemudian aku sampai ke simpang untuk masuk ke ladang kelapa sawit, secara spontan ku toleh ke kiri, tak nampak pula jalan masuk ke lorong kiri, sekali lagi ku cuba bersangka baik, mungkin kabus ini membuatkan pandanganku kabur. Bila belok ke kanan memasuki ladang kelapa sawit, mata semakin mengantuk, jadi ku toleh ke kiri dan kanan untuk menghilangkan rasa mengantuk, baru ku perasan, tinggi-tinggi juga pokok kelapa sawit di ladang ini, tadi rasanya macam tak berapa tinggi.
Aku perlahankan sedikit suara radio apabila terasa agak lama memandu di kawasan ladang kelapa sawit ini, selalunya dalam 10 minit akan masuk ke kawasan ladang ubi kayu, ku cuba hubungi kawan-kawanku beberapa kali tetapi tidak berjawab, membuatkan ku semakin tak senang hati, ada yang nak bergurau ke?
Tak lama selepas itu Wiz menghubungi ku, segera aku bertanya keadaan mereka. Dalam gelak-gelak Wiz menjawab,
“Mana kau ni, kami sejuk ni kat sini.. hehe,” dia gelak lagi.
“Jap.. aku tak tahu kenapa macam jauh pula kali ni nak sampai ladang ubi,” aku sedikit mengeluh.
“Aku macam nampak lampu kereta kau ni, sayup jauh, nanti aku suruh Didi buka lampu juga ya, cepat sikit, makin sejuk..” dia akhiri kata-katanya dengan gelak juga.
“Ye la.. tahan sikit sejuk tu.. cepatlah suruh Didi buka lampu kereta.”
“Hehe.. depan sikit.. jalan depan lagi, kejap lagi nanti kau ikut kami rasa sejuk kat sini,hehe..”
Aku memang tak berasa pelik sebab Wiz memang suka tersenyum dan ketawa, jenis mudah terhibur. Kadang-kadang lawak yang dia buat memang tak terjangkau dek minda.
Tak lama selepas itu dari kejauhan kelihatan sepasang lampu dinyalakan. Hati ku lega. Ku kuatkan semula suara di radio. Selaju yang boleh ku cuba untuk sampai ke mereka.
Kemudian hp ku kembali berbunyi. Panggilan dari Kai, seorang lagi sahabat yang ikut naik ke darat.
“Hoi!! Mana kau ni? Kata nak datang! Dekat setengah jam tak muncul-muncul! Tidur ke??!!” terkejut juga aku apabila disergah sebegitu.
“Wiz dah call kan tadi. Ni pun korang dah buka lampu kereta, aku nampak dah korang, tunggu ah, kejap lagi aku sampai, takkan kau tak nampak lampu kereta aku. Wiz nampak aje..” jawabku.
“Kau jangan nak merepek, luar ni gelap aje, depan pun takde apa-apa lampu. Lampu kereta pun kami tak buka. Wiz tengah sedap membuta dengan Didi ni kat depan,” balas Kai.
“Tak kelakarlah Kai..” terasa segala jenis peluh mula merecik.
“Aku ni jenis buat lawak ke?” soalnya kembali.
“Ingat.. kau tu perempuan. Hati-hati bila drive sorang-sorang kat tempat macam ni. Jangan berani sangat. Ingat Allah,” sambungnya.
Bila dia sebut ingat Allah, terus aku tersentak. Masa masuk simpang tadi tiada lorong masuk ke kiri. Pokok-pokok kepala sawit pun tinggi-tinggi semacam. Perjalanan rasa sangat lama dan jauh. Dari tadi tak sampai-sampai ke mereka walaupun mereka dah pasang lampu kereta. Segera aku menghentikan kereta. Subhanallah, silap aku, aku leka. Memekak menyanyi awal pagi dalam suasana yang macam ni.
Ku tarik nafas panjang-panjang dan membuat pusingan U. Sekali lagi aku tersentak. Pitch black. Depanku sangat gelap. Lampu dari kereta ku seperti tak menyala langsung. Beberapa kali aku switch off dan on, masih gelap pemandangan didepanku. Aku matikan enjin kereta dan cuba untuk tenangkan diri dalam suasana yang gelap itu. Setelah kekuatan ku kumpul aku laungkan azan, sambil mata ku pejamkan, tak mahu lihat apa yang ada diluar dan juga kerana tak mahu ada gangguan dari luar. Tekad aku meminta pertolongan dari Allah untuk lepaskan aku dari kealpaan aku.
Habis azan dan bila ku buka mata barulah nampak keadaan di sekitar. Aku berada di jalan yang seperti lama sudah tidak digunakan. Tak fikir panjang, ku hidupkan kereta dan sehabis laju aku pandu kereta mencari jalan keluar.
Alhamdulillah, tak lama selepas itu aku ternampak jalan utama di tepi empangan. Entah lorong mana yang aku masuk tadi, aku pun tak tahu. Pandangan terus aku fokus ke depan, tak mahu lihat cermin pandang belakang.
15 minit kemudian aku sampai ke mereka. Masing-masing duduk mencangkung di tepi kereta.
“Alhamdulillah!!!” jerit Wiz sambil memelukku.
“Kai kata kau macam kena kacau ke masa nak datang sini? Tu yang kitorang tak sedap hati, tunggu kau kat luar kereta ni,” Didi menepuk bahuku.
“Adalah sikit-sikit,” jawabku sambil tersenyum kelat.
Aku memandang pada Kai yang masih duduk mencangkung tersenyum memandangku. Mereka bertiga, tak cukup seorang, ku alihkan pandangan ke dalam kereta dan kelihatan Apan sedang menongkat dagu memandangku sambil tersenyum.
Aku kemudiannya ikut mereka duduk mencangkung di luar kereta.
“Apa masalah kereta kau ni?” soalku.
“Aku.. kalau cakap mesti kau marah. Bukan rosak, minyak habis,” tersengih Didi.
Satu perangai dia dari zaman belajar, suka ambil mudah perkara-perkara sebegini. Yang bagusnya, umat-umat yang sekereta dengannya pun tak ingatkan dia untuk isi minyak sebelum masuk ke kawasan ini.
“Adoi.. korang tunggu sinilah, aku pergi beli minyak,” aku bangun dan terniat di hati nak ajak Apan menemaniku membeli minyak kereta. Ku bangun dan Apan tiada di dalam kereta.
“Eh.. mana?” ku pandang sekeliling.
Lega hati bila nampak dia tersengih-sengih di tepi keretaku.
“Korang tunggu sini, kitorang pergi kejap aje,” bila ku pusing semula ke arah keretaku Apan sudahpun berada di dalam kereta.
“Kitorang? Eh Nami, kitorang ..” Didi memanggilku.
“Ala korang tunggu je kejap.. Kat kampung tu ada kedai runcit 24 jam buka, diorang ada jual minyak kereta, tempat aku, aku tahulah..” aku memotong kata-kata Didi dan bergegas lari ke kereta. Sekali lagi aku buat silap di sini.
Terlalu yakin.
Apabila sampai di kawasan kepala sawit, tiba-tiba sahaja Apan di sebelahku ‘humming’ lagu It Aint Over Till Its Over dari Lenny Kravitz. Lega sedikit hati sebab dari tadi dia diam sahaja duduk di sebelahku dan pandangannya menghadap luar.
“Eh.. on the way ke sini tadi aku buka cd Lenny.. kau macam tahu-tahu aje kan?” soalku. Apan mengalihkan pandangan dan tersenyum memandangku. Dia kemudiannya memeluk tubuh.
Bila merasakan segalanya ok, aku kembali memasang cd Lenny Kravitz dan ikut menyanyi sekali. Apan hanya memandangku sambil tersenyum sehinggalah kami sampai ke kedai runcit di kampung.
Aku seorang sahaja yang turun membeli minyak, Apan tunggu di dalam kereta.
Ketika sedang menanti pakcik kedai mengisi minyak ke dalam botol, Kai menghubungiku,
“Nami, dah selamat sampai kedai ke?” soalnya.
“Yes.. aku tengah tunggu pakcik ni isi minyak dalam botol, Apan tunggu dalam kereta,” balasku.
“Apan? Apan mana ada, dia teman Abang Man tunggu kat jeti sebab Abang Man tiba-tiba rasa tak sedap hati,” terang Kai.
“Kai.. kan Apan ada dalam kereta time kita ramai-ramai cangkung kat tepi kereta..” mataku memandang Apan di dalam kereta yang sedang tersenyum memandangku, segera ku alihkan pandanganku.
“Tak.. Apan takde.. dia dengan Abang Man..tadi kau dalam kereta kan seorang aje, sebab tu Didi panggil kau, dia ingatkan nak temankan kau,tapi kau suruh dia tunggu sini aje,”ujar Kai bersungguh.
Ku toleh kembali ke kereta. Sah. Apan tiada. Aku berlari ke kereta, pusing keliling kereta dua kali cuba mencari Apan.
“Kai..” terus terbayang Apan yang tersenyum dan memandangku sepanjang jalan ke kedai. Serta merta lutut terasa lembik. Agak kasar juga gurauan makhluk ni kali ini.
“Kau ok tak ni? Boleh tak ni nak drive balik ke kami? Kalau kau takut, takpe.. kitorang tunggu aje dalam kereta sampai cerah. Apan tak bawa phone, nanti aku cuba call Abang Man lagi,” Kai bersuara.
“Insyaallah, aku cuba. Abang Man pun kalau nak datang nak naik apa? Takkan jalan kaki kot,” jawabku.
Setelah membayar harga minyak, aku masuk ke dalam kereta. Menangis puas-puas atas kekhilafan diri aku yang tersangat alpa. Setelah puas menangis dan muhasabah diri, aku beristigfar dan berzikir sambil memulakan perjalanan ke mereka.
Alhamdulillah aku selamat sampai tanpa apa-apa gangguan. Kai segera menuang minyak ke dalam tangki minyak, kali ini dia menemaniku di dalam kereta. Mereka mengikut ku sampai ke rumah, menunggu sehingga aku masuk ke dalam rumah dan kemudian barulah mereka meneruskan perjalanan ke restoren mamak.
Aku bersihkan diri, buat solat sunat syukur kerana di dalam keadaan alpa aku tadi, Allah masih lindungi aku dan geng mancingku kemudian lelapkan mata kerana nanti kena drive ke Nilai.
Alhamdulillah geng memancingku selamat juga membeli bekalan makanan di restoren mamak dan kembali ke rakit.
Ketika sedang mengisi barang ke dalam kereta selepas solat subuh (perancangannya selepas solat subuh kami akan bertolak ke Nilai), tiba-tiba abah datang dan menepuk belakangku. Agak lewat juga dia balik dari solat subuh, dekat pukul 7 pagi baru dia sampai ke rumah.
“Pergi ni biar abah drive, Nami rehat dulu. Lain kali jangan seronok-seronok sangat, tahu kan kat dunia ni bukan kita aje yang ada?” soal abah.
Terkebil-kebil aku memandang abah.
“Pagi tadi lepas Nami masuk rumah, ada yang main ketuk-ketuk tingkap bilik abah. Marah sungguh dia, jadi dia ikut Nami balik,” jelas abah.
“Tapi abah dah hantar dia balik ke empangan tu,”sambung abah lagi.
Subhanallah, nasiblah selepas beli minyak dan sehingga balik tadi, ‘dia’ tak memunculkan diri lagi di hadapanku.
Pengajaran bagiku. Jangan menyombong diri walaupun itu tempat permainan kita. Jangan terlalu berseronok, ingat setiap perbuatan itu ada balasannya. Jangan berani sangat, nanti diri akan diduga hebat.
Nami
best.. kipidap
Besttttt, thumbs up lah !!! seremmmm 8/10
perempuan ae??
berani noh..
Waahhh!!! Best gila olahan cerita dia 😍😍😍😍 *thumbs up*
xsangka aq perempuan rupenye..mmg berani…ape2 pon best
Lagi 1 pengajaran penulis lupa. Sebagai seorang perempuan, lebih senang diganggu dgn bnda2 camni. Sebab tu anak perempuan lebih digalakkan duduk sahaja dirumah. Xpayah nak buat bnda bukan2 lebih2 lagi tgah mlm buta.
lagi 2 tahun nak 2020 dahhhh…atau nak p balik ke 1820..
Tf ? Tu kea cara kau berfikir ? Yes lagi 2 tahun nak 2020 and tak salah pun nak keluar sampai malam-ii buta tapi kau kena ingt kau tu perempuan plus muslim 😌 sorry tak marah sesape pun
Ye..tak kisah la dah nak tahun 2025 atau kembali ke 2005 perempuan tetap tak elok/patut keluar rumah lewat2 malam. Tp x perlu jgk kita tf tf kan org.
Ok jangan marah.
Btw dah tahun 2019 dah ni takpa kot masih reply walaupun dah setahun berlalu
BEST BOH
Kental betol hati dia…kalau dah hobi nk wat mcmane…mesti dah katam hal2 gangguan semua ni… teruskn bercerita lagi…8/10…
serius weiiii best cter ni!
Penulis ni perempuan bujang kan? Selamba je abah dia, anak subuh baru balik?
biasanya klu perempuan yg style lone ranger kaklong kawasan boyish mcm ni muka dia cun..takyah tepek mekap 60 inchi pun lawo.. abah dia sporting sbb anak dia dah biasa ke port tempat mcm tu dgn member group la..klu dia nk sorg2 je gi mancing confirmla abah dia tak bagi.. kn dia kata port mancing dkt je dgn rumah..bnda hobi ni klu dah biasa dari kecik mmg susah nk tinggal..ala mcm bdak2 skrg kcik2 dah mekap nnti dah besar dah tak yakin kluar rumah klu tak mekapla.. tapi aku rasa nami ni anak tunggal atau adik beradik tak ramai…abah dia pula mgkin bapa tunggal.. so approach cara abah dia didik bbeza.. sbb tu nami ni nmpk mcm independent orgnya.
sama la hobi kita..tp belum berani nak mancing lewat malam dlm hutan camtu huhuhuu
cekal betul!👍
Wow…jarang jmpe org pompuan minat mancing…abh awk sporting gilerr…klw abh sy mau kena kejar gan parang balik subuh2..cerita yg bagus dan sy kagum dgn awk sbb awk sgt2 berani wlwpon da kena gurauan kasar mcm tu..huhu…
Berani nya awk ni nami
Thumbs up!!
Wow the best nami..
boleh jadi writer ni
Nami ada tulis cerita apa lg??
budak pelik, aku & perpustakaan, aku & rebana
Aaarr korang ni malam2 gelap gelita jugak nak beriadah…
Best. Ku tunggu nxt cerita ko nami
thanks.. ada yg lain admin FS sudah up kan.
Padu Nami. Terus berkarya. Taksabar nk baca lg.