KISAH ASPURI – SYAHIRA (BAHAGIAN 4)

“A…ada hantu.”

“Syhh. Jangan sebut, Put.” Aku memberi amaran. Masing-masing yang mendengar terus memandang sekeliling.

“Akak, macam ni. Kita ramai-ramai ambil wudhuk, lepas tu kita tidur bawah, buka lampu.” Aisyah si junior memberi cadangan. Aku dan Puteri hanya menurut.

Sewaktu kami melintas dorm empat, sempat aku kerling ke arah katil Syahira. Dia lena tidur. Kata-kata Syahira tentang Ayu kembali menerjah benak. Betul ke yang Ayu ada di dalam aspuri? Apa niatnya? Sengaja mahu mengganggu kami? Atau sengaja untuk membuktikan apa yang diceritakan Syahira itu benar?

Malam tu kami tidur berjemaah di atas lantai, berhimpit sesama sendiri dengan diterangi cahaya lampu kalimantang. Nasib kami baik, gangguan malam tu tak berpanjangan, dapatlah lelap hingga ke subuh.

Keesokkan harinya, aku, Puteri dan Sakinah sekali lagi menerjah ke bilik warden, bercerita tentang kejadian yang kami alami.

“Saya rasa kita kena buat rombakan dorm semula.”

“Puteri setuju, cikgu!”

“Alahh…” Aku mengeluh. Nyatanya, tak ada siapa suka berhadapan dengan situasi tersebut. Rombakkan dorm merupakan hal yang paling memenatkan. Mengangkut almari, tilam dan barangan sedia ada dari dorm asal ke dorm baru, kemudiannya hendak berkemas semula, sangat meletihkan.

“Awak tak payah nak alahh sangat, Maira. Saya dah fikir lama dah pasal rombak dorm ni. Awak senior, dengan nak SPM lagi duduk dekat atas tu banyak sangat main-main.” Cikgu Hanis bersuara.

“Kalau macam tu, Puteri nak dorm lapan.”

Aku menjeling geram pada Puteri. Dia baru pertama kali tinggal di asrama, belum pernah merasa bagaimana leceh dan letih apabila arahan rombakan dorm dikeluarkan. Sebelum ni dia tinggal di rumah mak ciknya yang berdekatan dengan kawasan sekolah. Memandangkan dia ada kaitan dengan keluarga pengetua, jadi dia diberi sedikit keistimewaan.

“Sakinah, dorm tujuh. Maira dorm enam. Yang lain nanti kamu susunlah, yang penting setiap dorm mesti ada senior. Satu lagi, adik-adik awak yang nakal-nakal tu semua letak dekat dorm bawah, senang saya nak pantau,” arah Cikgu Hanis lagi.

Mendengarkan aku diletakkan di dorm enam, sekali lagi aku mengeluh. Sewaktu aku di tingkatan satu, rakan di sebelah katil aku pernah terlihat kelibat senior kami lengkap bertelekung berjalan ke arah dorm enam dan kemudiannya bertanyakan arah kiblat. Apabila keesokkan harinya kami bertanya semula kepada senior berkenaan tentang perihal yang dilakukannya malam itu, jawapan yang kami terima sangat mengejutkan.

“Nak buat apalah akak nak solat sampai dekat dorm korang. Tengah malam pula tu. Akak tidur awal la malam tadi.”

Logik. Dorm senior aku tu dekat tingkat satu, manakala dorm enam di tingkat bawah, takkanlah setakat nak solat dia sanggup turun hingga ke dorm enam. Itu kisah pertama, kisah keduanya, ada yang pernah melihat kelibat perempuan duduk di hujung dorm tengah-tengah malam. Cerita seram di dorm enam tu ada banyak, aku tak pasti sama ada ianya sengaja direka atau benar-benar terjadi.

“Hah, tu diam tu kenapa? Adalah yang dia plan nak buat apa-apa tu.” Ibu Seri menyergah aku. Sudahnya aku cuma tersengih.

Malam tu aktiviti prep malam seperti biasa dan Syahira juga seperti biasa, jika dia rasa nak datang berjumpa dengan aku, dia akan datang bila-bila masa yang dia suka. Satu hal yang paling aku tak suka apabila berhadapan dengan Syahira adalah memandang mukanya. Ya, aku sebagai perempuan mengakui yang Syahira sememangnya cantik, tetapi senyuman dan lirikan mata dia buat aku takut.

“Akak, akak nak tahu tak, Ayu ada dekat dorm kita.”

“Dorm empat?”

Syahira mengangguk. “Dia selalu perhati akak, akak nak tak tengok dia?”

Cepat-cepat aku menggeleng. Budak ni dah kenapa? Ayu ke kau sebenarnya yang hantu ni?

“Syahira, kenapa Ayu ikut Syahira sampai sini? Dia kan kawan Syahira dekat kampung, kan?”

Dia mengangguk lagi. “Kesian dia tak ada kawan. Kita pun tak ada kawan, sebab tu dia teman kita dekat sini.”

Lepas tu, kawan kau tu mengacau orang lain. Eloklah tu!

“Akak, kita dapat dorm berapa? Boleh tak kalau nak duduk satu dorm dengan akak?”

Aku senyum menggeleng. “Bukan akak yang tentukan kedudukan dorm. Cikgu Hanis dengan Ibu Seri yang buat.” Laju aku berdalih, kalau boleh pun, aku akan pastikan dia jauh dari aku. Cukuplah apa yang dah aku hadap sepanjang dia mula merapatkan diri dengan aku.

“Maira! Nak kena soletape ke mulut tu? Time prep pun nak berbual.”

Perbualan kami terhenti apabila Cikgu Hanis muncul tiba-tiba. Warden yang satu ni pun kalau datang angin kus-kus dia, aku yang tak berapa nak salah pun dia jadikan mangsa pertamanya. Konon nak bagi pengajaran pada pelajar yang lain. Huh!

Aktiviti rombakan dorm berjalan pada cuti hujung minggu tu seperti yang dirancang. Syahira ditempatkan di dorm lima. Masih di tingkat satu dan apa yang paling penting, dia jauh dari aku. Sepanjang tempoh seminggu selepas rombakan dorm dilakukan, Syahira seperti terlupa aktivitinya untuk berjumpa dengan aku. Hinggalah tiba satu hari, Hidayu datang berjumpa dengan aku.

“Kak Maira, akak nak tahu tak, Syahira tu makin teruk.”

“Maksudnya?”

“Dia sekarang ni makin suka duduk sorang-sorang. Lepas tu bila time prep malam je suka lukis gambar yang menyeramkan. Dia kata tu Ayu, terkejut kita.”

Eh? Tak habis lagi ke isu dia ni? Aku sebenarnya dah tak nak ambil tahu, kalau boleh tak nak dengar apa-apa lagi yang berkaitan dengan ‘Ayu’. Tapi satu yang aku perasan, setiap kali Syahira ketawa, bunyi ketawa dia macam orang mengilai. 80 peratus sama macam orang mengilai. Bayangkanlah bila dia tengah sembang-sembang lepas tu ketawa, merinding juga bulu roma.

Sampailah satu hari, sekali lagi Syahira histeria. Kali ini keadaannya sama macam kali pertama. Diserang sewaktu datang bulan. Dan kali ni aku tak terlibat, aku sengaja mengelak untuk terlibat sama membantu mengawal dia.

Macam yang aku pernah kata, dia ketawa dan mengilai sama je. Tak ada beza. Mujur kali ni tak berpanjangan hingga ke berjangkit pada pelajar yang lain.

Kemudiannya, Ustazah Zanariah bagi dia cuti dan pulang ke kampung untuk bertenang dan berubat, mungkin. Syahira di hantar oleh warden dan beberapa pelajar lain yang menemani. Sewaktu tiba di kawasan rumah keluarga Syahira, menurut kata mereka, suasana rumah Syahira agak jauh ke dalam kampung. Rumah kampung yang dikelilingi kebun. Dan tak jauh dari rumah Syahira terdapat tanah perkuburan islam. Betullah apa yang diceritakan Syahira pada aku.

Dan setelah diselidiki, rupanya Syahira tidak berapa rapat dengan orang tuanya. Dia hanya rapat dengan adik-adik, Syahira merupakan anak sulung. Selain dari tu, apa yang aku dengar lagi, Syahira sering menjadi mangsa kemarahan ayahnya.

Sebelum aku terlupa, Syahira pernah bercerita dengan aku yang mana setiap kali dia dimarahi ayahnya, tak kiralah atas kesalahan siapa pun, dia akan lari keluar dari rumah untuk bersembunyi dan menenangkan diri. Destinasi pilihannya adalah kebun pisang yang tidak jauh dari kawasan perkuburan di mana di situlah dia bertemu dan mengenali ‘Ayu’.

Sebut pasal ‘Ayu’, aku rasa makhluk tu tak ikut Syahira balik ke rumahnya. Sebab, ada satu kejadian yang menandakan makhluk tu masih berada di aspuri. Ceritanya macam ni.

“Kita main spirit nak? Siapa pernah main?” Aku memulakan topik perbualan. Waktu tu baru lepas aktiviti gotong-royong.

“Betul ke ni? Kita nak join!” Hidayu menyahut teruja.

“Kak Maira pernah main ke?” Nazira pula menyoal.

“Tak pernah, tapi teringin juga nak tahu macam mana caranya.”

“Alah, sama je macam yang dekat dalam TV tu.” Fiqah pula mencelah.

Aku jadi teruja sama macam mereka. Tiba-tiba Puteri bersuara.

“Kita main jelangkung la. Sama je macam main spirit tapi guna patung, bukan guna duit syiling.” Puteri memberi cadangan.

Waktu tu, pertama kali aku mendengar permainan jelangkung. Menurut kata Puteri, permainan tersebut hampir sama konsepnya dengan permainan spirit of the coin tu. Yang membezakannya cuma alatan dan mentera yang digunakan saja. Oh ya, lupa nak bagitahu, Puteri asalnya dari tanah seberang. Dia merupakan pelajar antarabangsa di sekolah aku.

Setelah diterangkan panjang lebar, maka bermulalah sesi mempersiapkan alatan permainan tu.

“Kak Maira, dekat mana kayu rak kasut yang pendek tu akak simpan?” Hidayu menyoal sewaktu waktu prep malam.

“Dekat belakang rak kasut.”

Hidayu terus berlalu mendapatkan kayu yang dicarinya. Aku cuma memerhati. Dalam diam, aku dah nak tarik diri. Aku jadi takut, takut kalau-kalau terjadi sesuatu. Maklumlah, aku kan penakut.

“Kinah, boleh tolong tak?” Puteri yang entah datang dari mana bersuara.

“Tolong apa?”

“Tolong belahkan kelapa, Puteri tak pandai.”

“Nak buat apa dengan kelapa ni?” Sakinah menyoal hairan. Sakinah ni memang sejenis orang yang tak suka campur hal orang lain. Dia dengan buku-buku dia je.

“Nak minum air kelapa. Puteri minta dekat bibik kantin tadi.” Puteri berdalih.

Aku yang dengar alasan dia mampu tahan ketawa. Minum air kelapa tua? Kalau betul la dia nak minum air kelapa tu, akulah orang pertama yang nak tengok. Air kelapa tua tu kan pedas berangin, tak sedap macam air kelapa muda. Haihhh la.

Tapi, mujur jugalah Sakinah tak bertanya banyak. Diturutkan juga permintaan Puteri setelah dipujuk berkali-kali.

“Thanks Kinah.”

Puteri, Hidayu dan Nazira terus berlalu. Sakinah pandang aku. Aku tahu dia sedang menunggu jawapan dari aku. Tapi untuk berterus terang dengan Sakinah tentang apa yang sedang dilakukan Puteri tu, aku belum berani. Minah sorang ni tegasnya bukan boleh dibawa bincang, sejenis yang patuh pada semua arahan.

Malam tu, selepas waktu lights off aku dah bersiap-siap untuk tidur. Dalam hati berdebar lain macam apabila mengingatkan aktiviti yang bakal berlangsung tepat pukul 12.00 malam tu.

“Kak Maira ada sembunyikan apa-apa ke? Kenapa Fiqah, Hidayu tak balik dorm lagi?” Fatin menyoal aku.

“Fatin, teman akak kejap.”

“Pergi mana?”

“Naik atas, diorang dekat atas.”

Fatin menurut. Dia menemani aku naik ke tingkat satu tapi kami sekadar berhenti di tengah-tengah tangga.

“Diorang buat apa tu?” Fatin menyoal setelah melihat sekumpulan pelajar duduk dalam bulatan di hujung koridor dorm lima.

“Diorang main spirit jelangkung.”

“Spirit???” Fatin menyoal, terkejut gayanya.

“Kak Maira buat apa ni? Kenapa biarkan diorang?”

Aku bungkam. Tak tahu nak jawab apa sebab aku tahu semua tu berpunca dari idea aku. Sudahnya kami balik semula ke dorm.

“Harap-harap tak jadi apa lah pada diorang.” Fatin berseloroh.

Aku menunggu waktu berjalan. Sepuluh minit selepas pukul 12.00 malam, tiba-tiba angin bertiup kuat. Dan tak lama lepas tu Puteri dan budak-budak yang terlibat sama tergesa-gesa balik ke dorm masing-masing. Aku perasan Hidayu dan Fiqah kelam kabut menyorokkan sesuatu di dalam almari mereka. Tapi aku tak tanya apa-apa.

Keesokkan harinya, mereka berlagak tenang. Seolah-olah tak ada apa yang terjadi malam tu.

“Put, apa jadi malam tadi?” Aku menyoal, berbisik agar tidak didengari orang lain.

“Tak ada apa.”

“Iya ke?” Aku menyoal lagi.

“Tak ada apa, hari kan nak hujan, tu yang kitorang terus masuk dorm.” Puteri memberi alasan lagi.

Aku tak percaya, aku rasa mesti ada sesuatu yang cuba disembunyikan Puteri cuma aku tak tahu apa.

Petang tu, sebelum aktiviti musolla bermula, giliran aku untuk mengemas dorm. Tiba-tiba aku terjumpa sebuah patung yang diperbuat dari kayu dan tempurung kelapa. Senang cerita, bentuk patung tu sebiji macam orang-orang dekat sawah cuma dalam versi kecil.

“Apa ni akak?” Fatin menyoal, terkejut.

“Ni patung jelangkung yang diorang buat semalam.”

“Sampai buat patung ni semua? Lepas tu simpan dalam dorm kita? Eh, ni kerja gila tau akak. Fatin tak kira, Fatin nak bagitahu Cikgu Hanis pasal ni.”

Tindakan Fatin terlalu pantas tanpa aku sempat berbuat apa-apa. Petang tu juga, Puteri dan budak-budak yang terlibat termasuklah aku kena menghadap GPK 1, Ustaz Zaid dan pengetua.

“Awak tahu tak awak dah panggil benda-benda tu semua?” Ustaz Zaid menyoal garang.

“Ustaz dah cek ke aspuri? Memang ada?” Pengetua bersuara.

“Ada, banyak dekat dalam tu,” jawab Ustaz Zaid.
Gulp! Aku pandang Ustazah Zanariah, kalau betullah apa yang Ustaz Zaid kata, itu bermakna masalah besar untuk kami semua.

“Sekarang ni nak buat apa? Bagitahu saya, awak semua nak buat apa?” Ustaz Zaid menyoal lagi. Masing-masing hanya mampu menjatuhkan wajah, memandang ke lantai.

“Boleh dibuang tak benda-benda tu ustaz?” Ustazah Zanariah pula bertanya.

“Saya tak pasti, ustazah.” Ustaz Zaid meraup wajah sambil memerhati ke arah bangunan aspuri.

::BERSAMBUNG KE BAHAGIAN AKHIR::

3 thoughts on “KISAH ASPURI – SYAHIRA (BAHAGIAN 4)”

  1. makcik pun terkilan jugak..seriously?kesimpulan yang boleh dikutip dari cerita ni pelakon utama ni penakut, tidak bertanggungjawab, tak ada daya kepimpinan, fikiran cetek…makcik rasa kalau sakinah yang lead, selamat budak2 tu.duduk dorm kot, belajar lagi, nak main2 pun bukan sampai tahap seru setan..eii

    Reply
  2. Problem gak si ‘aku’ ni, dah perasan dari awal cerita dah. kau dah la penakut pastu cadang orang main spirit? pastu jadi ketua aspuri pulak tu.

    Reply

Leave a Comment