Assalamualaikum pembaca FS dan terima kasih admin kerana menyiarkan kisah aku ni.
Sesungguhnya semua yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu datang dari kita sendiri.
Kali ni aku nak berkongsi pengalaman aku masa aku beri kelas motivasi kat satu sekolah di satu kawasan pedalaman. Aku ni bukan insan terpilih ke, hijab terbuka ke, tidak ya tuan-tuan dan puan-puan. Aku lagi tak nak. Mungkin sebab darah keturunan, aku selalu dihadapkan dengan benda-benda seram ni. Ingat aku suka ke? Aku kalau boleh nak jadi macam orang lain, normal gitu.
Selalunya untuk job kecil, aku akan handle sorang diri, tapi kawan sepermainan masa kecil beria-ia nak ikut. Dia tak pernah sampai ke kawasan yang aku nak pergi ni dan kebetulan dia lapang. Ada juga teman, ye tak?. Ada sebab kenapa aku ambil job yang di pas pas oleh trainer-trainer ni. Ini kerana ia satu daerah dengan kampung arwah atuk aku. Trainer lain cakap jauh, leceh dan bayarannya pun ciput. Aku pulak pandang dari sisi lain. Kepakaran aku diperlukan. Mengikut pengalaman aku, selalunya sekolah agak berkira untuk aktiviti macam ni. Proses approval mesti datang dari PPD. Proses yang panjang dan leceh. Lagipun aku memang dah lama memendam rasa nak pergi ke daerah ni. Orang mengantuk disorong bantal, cenggitulah kira-kiranya.
Kawan aku ni namanya Zali. Orangnya aku boleh kata warak la dia sekolah agama dan bila dia mengaji, sedap gila suaranya. Sekarang dia ustaz kat Sarawak.
Dipendekkan cerita, kami sampai pun hari sudah agak petang. Jalan lecak dan nak sampai tu kena hati-hati, Tapi serius pemandangannya amat indah. Kerana jauh ke pedalaman, tidak terasa panasnya tetapi matahari seperti cepat sangat terbenam. Sampai saja ke kawasan sekolah, aku sudah tak sedap hati. Susah untuk aku terangkan hal ni, tapi telinga aku akan berdesing kalau “benda” tu ada. Sepanjang di sana, telinga aku tak berhenti berdesing, tapi aku tak hiraukan kerana ia memang tugas dan minat aku.
Kami diberi sebuah rumah untuk bermalam. Rumah kuarters, seluruhnya dari kayu dan bertiang, dua bilik, dan ada beranda kecil. Dari aras tanah, lantai rumahnya setinggi perut aku (aku 176 cm uols). Bawah rumah hanya tanah berdebu. Di belakang rumah kuartes ialah jurang yang agak dalam yang bertemu bukit dan hutan tebal. Rumahnya paling hujung tapi tak jauh dari rumah yang lain. Di sebelah kiri rumah yang kami duduki juga ada sebuah bukit dengan pokok buluh yang merimbun. Kawasan sekolah tak besar, semuanya setempat. Kelas, pejabat, dewan, dewan makan, asrama murid semuanya sepelaung je. Ada satu bangunan kayu dua tingkat berberanda di tepi dewan, dan banyak jenis herba ditanam di tepinya, Ada sepohon pokok kari yang sangat rimbun di situ.
Masuk saja rumah, bertambah berdesing telinga aku. Cikgu tu hanya bersama dengan kami sekejap saja kerana dia kena uruskan hal makanan. Lepas ada macam sedikit majlis makan dengan guru besar malam tu, murid dan kakitangan sekolah, kami duduk dalam dewan makan sambil bersembang. Zali tak banyak cakap, hanya memandang cawan tehnya. Beberapa orang jugaklah, dan bila semua orang minta diri nak balik, kami tolonglah kakak tukang masak basuh pinggan. Bersama kami ada beberapa orang staf lelaki dan perempuan dan dari dewan makan, memang nampak bangunan kosong tu dilimpahi semacam lampu jalan.
Sambil mengatur cawan, aku terpandanglah bangunan kosong tu. Mata aku terpandang seorang perempuan tua, berbaju putih lengan pendek dan berkain batik, rambutnya menggerbang penuh uban berdiri di beranda memandang tepat ke arah aku. Matanya berkilat macam mata kucing disuluh. Terkejut bakhang, terlepas cawan dari tangan. Aku pandang Zali, dia asyik pandang aku. Mulut Zali dah kumat kamit, tapi anehnya yang lain macam biasa saja, masih bersembang dan bergelak ketawa. Mungkin dorang tak perasan. Kemudian aku nampak perempuan tua tu berpaling dan berjalan ke arah hujung beranda dan ghaib. Telinga aku jangan cakaplah, berdesing teruk. Dalam hati, sah, ini bukan manusia.
Setelah selesai, kami pun masuk ke rumah. Telinga masih berdesing non-stop. Selepas solat isyak, kami bercadang tidur di bilik masing-masing. Selepas tengah malam, mata aku susah nak lelap kerana telinga kuat berdesing.
Tiba-tiba aku terdengar seperti bunyi orang berjalan mengelilingi rumah. Banyak kali juga “dia” tawaf. Kemudian, aku dengar seperti ada orang berjalan di bawah rumah, dan aku dengar seperti “dia” sedang menggetap giginya. Kap kap kap gitu bunyinya.. Langkahnya seolah-olah “dia” sedang menyeret kakinya. Tak cukup dengan tu, aku dengar seolah-plah “dia” naik ke beranda. Dengar tangga dipijak dan dengar semacam ada orang bersandar di pintu. Kemudian, sempat “dia” main tepuk-tepuki dinding. Dalam setengah jam juga gangguan tu berlaku. Dada aku sangat berdebar (aku jarang berdebar macam ni walaupun takut nak mati). Segala ayat aku baca. Tapi “dia” ni macam degil.
Tiba-tiba Zali masuk dalam bilik aku bawak bantalnya. Dia berbisik dia cuak. Takut dan debarnya lain macam katanya Kami pun bacalah apa-apa ayat pendinding yang kami tahu. Keadaan sunyi seketika. Kemudian, kami dengar suara perempuan memanggil “uiiitt….uuiiittt” dari atas bukit sebelah rumah. Suara panggilan tu seperti sekejap kuat, sekejap perlahan. Kemudian, kami dia dengar “dia” ketawa terbahak-bahak (macam mengekek) dan disambung dengan panggilan “uuiitt…uiit” tu.
Lepas dengar suara ketawa dan “uiit uuiit” tu, dia ulang balik usikannya dengan tawaf keliling rumah. Kami dapat dengar dia naik tangga dapur pulak. Tingkap di dapur tu ditutup dengan dawai yang selalunya kita buat reban ayam tu. Kami dengar dengan jelas “dia” dok main seret-seret kuku dia di dawai besi tu. Lepas tu, dia masih keliling rumah, berjalan di bawah rumah dan naik ke beranda. Inilah satu gangguan yang paling lama yang pernah aku rasa. Zali yang dah tak tahan, bangun dan azan berkali-kali. Alhamdulillah, redalah gangguan sehingga Subuh.
Gangguannya tak berakhir di situ. Tepat pukul 10.30 pagi, sesi pun bermula. Sesi biasa dan semuanya dibuat di dewan. Muridnya tak ramai, campur guru dan murid cuma 15 orang. Sesi petang ialah sesi yang banyak di luar. Sengaja aku bagi aktiviti supaya budak-budak tak bosan, macam treasure hunt yang perlukan kerja berpasukan, skil penyelesaian masalah, berfikir di luar kotak semua tu lah. Kami kena sorokkan “harta”. Bila semua dah dapat instructions, dorang kena bincang strategi. Sedang murid dan guru asyik berbincang strategi mereka, aku dan Zali pun senyap-senyap sorokkan “harta” di lokasi yang telah kami pilih, dengan bantuan seorang guru.
Nama pun siang, jadi perasaan takut tu kurang dan telinga dah kurang berdesing. 9 tempat “harta” dah disorokkan. Lokasi ke 10, aku dan Zali bercadang nak sorokkan “harta” ni dekat pokok kari tu. Kawasan pokok kari tu ada macam pagar rendah dan aku ingat nak sorok “harta” tu kat belakang pokok kari tu. Sampai saja, Zali pun sua tangan nak letak “harta” di kari tu.
Tiba-tiba dari dalam bangunan buruk tu, kami dengar seperti lantai kayunya ditepuk dengan kuat. Bedebuummm!!!! Terkejut dan hampir nak pitam kami berdua. Tak adi nak sorok “harta” tu kat situ. Kami pun segera berpatah balik dan kami dengar orang berdehem dari dalam bangunan tu. Berlari kami ketakutan. Tiba-tiba pokok kari tu digoncang dengan kuat. Apa lagi, jadi Usain Boltlah kami berlari ke dewan. Aku pandang Zali, dia pandang aku. Tak terkeluar sebarang perkataan dari mulut kami. “Harta” itu aku sorokkan saja di belakang pintu dewan.
Bangunan kayu tu memang dah usang dan memang nampak menyeramkan walaupun di siang hari. Ada satu rasa pelik kalau kita asyik pandang bangunan tu, seperti ada mata yang memerhati. Menurut kata guru tu, bangunan tu dulu adalah bangunan pejabat dan merupakan bangunan yang pertama didirikan di situ. Murid-murid juga dilarang naik atau lalu di tepi bangunan tu seorang diri. Pernah nak dirobohkan tapi sampai sekarang bangunan tu masih ada di situ.
Sesi berjalan dengan tenang. Tanpa aku sedar, tinggal aku seorang di dalam dewan tu kerana aku sibuk menyusun agenda dan hadiah. Yang lain dah keluar mencari “harta”. Tiba-tiba aku nampak Zali menjenguk dari belakang pintu di tempat “harta” yang disorokkan. Peliknya, “Zali” ni hanya tersengih menyeringai sambil memandang tepat pada aku. Matanya tak berkelip pun. Baru aku nak tegur, ada guru dan satu kumpulan murid masuk kerana petunjuk terakhir ialah dewan. Kemudian barulah Zali masuk. Aku tanya apa yang dia buat tersengih di belakang pintu. Zali cakap dia bersama kawanku yang guru tu dan dia tak masuk pun dewan. Terkedu aku sekejap.
Selesai semua, kami cepat-cepat bertolak. Buah tangan untuk kami berupa buah-buahan, ubi kayu, petai, herba-herba, ulam-ulaman jangan cakaplah. Banyak dan segar-segar. Baiknya sungguh hati dorang, tak sepadan dengan kelas aku yang singkat tu. Kerana tak yakin nak drive balik KL sebab keluar daerah tu pun dah malam, kami singgah di sebuah bandar dan sewa hotel. Zali belanja. Lagipun, perut minta diisi.
Di hotel, kami berdua pun buka cerita. Kata Zali, dia hanya diam dan memandang cawan tehnya kerana dia nampak perempuan tua tu melayang turun dan berdiri di belakang tingkap merenung mukanya. Katanya, muka orang tua tu menyeramkan dan retak seribu. Rambutnya putih dan menggerbang. Malamnya pula dia masuk ke bilik aku kerana dia nampak kuku sedang gigih mencungkil celah lantai kayu dari bawah rumah. Masa mula-mula sampai pun, dia dah rasa semacam. Katanya, dia nampak lembaga putih berdiri di atas pokok paling besar di seberang sungai berdepan sekolah. Semasa diganggu dengan panggilan uiit uuit tu, dia dengar suara ketawa macam ketawa mengejek betul-betul di tingkap di tepi katilnya. Hilang juga machonya, dia bawa bantal dan baring tepi aku. Huhuhu…Aku kira bernasib baik tidak diganggu seteruk Zali kena ganggu. Aku pulak masa nak keluar rumah lepas habis sesi, aku tengoklah sekeliling. Dan aku nampak macam perempuan tua tu di celah-celah pokok buluh atas bukit seolah-olah sedang memerhatikan kami.
Ini antara peristiwa yang akan aku ingat sampai mati kerana benda tu aku rasa amat tua dan memang tak sukakan orang luar. Mungkin sebab kami ni Islam, bersolat di situ. Yang lain semuanya bukan Muslim. Faham kan? Dan kalau Zali call sekali-sekala, mesti aku akan usik dia dengan bunyi uiittt uuiit… hahaha…
hahaha sabau ajer lah..tapi niat murni sedara, saya puji sgt tak berkira dimana tempat, sedara tetap memberi perkhidmatan terbaik pada masyarakat..semoga Allah memberkati dan melindungi niat murni sedara 🙂
Nice story line
kt mana sekolah 2?borneo ke?
Pedalaman Pahang.
Agak dah….sebab pernah pergi sekolah ni… penceritaan tu, familiar sangat.
kesian zali uh..haha diusik plak
wah best nyer cerita…terbayang2 pula tempat kampung pedalaman sya..jauh nun dari bandar..mcm yg di ceritakn penulis ni…
kalau ada lagi cerita boleh share lagi yer…
Seram bila baca sorang2 waktu mlm mcmni😅
Menakutkan hantu kat kampung-kampung depa ni. Sekali kena, nak ubat pun susah….Allah saja sebaik-baik penolong.
Terima kasih perkongsiannya.
seram aku bace part zali kene usik tue…bayangkan kalo zali tak ikot kene hadap sesorg..
nasib baik baca time siang hari . boleh imagine weyyy
Selalunye bile kita berkhidmat utk warga ceruk pedalaman ni, lg tggi cara diorg tunjuk cara berterima kasih tu…
Dan setiap usaha kita wpon simple/kecil, amat diorg hargai…