Kisah Si Rabun: Kuarters Lama Hospital

Assalaamualaikum WBT dan salam sejahtera kepada admin dan para pembaca FS. Aku ingin berkongsi #KisahSiRabun dan terima kasih diucapkan terlebih dahulu kepada admin kerana sudi menyiarkan perkongsian ini.

Tidak seperti sesetengah yang berkongsi pengalaman dalam FS, aku bukanlah seorang yang mempunyai deria keenam. Meskipun begitu, aku mempunyai beberapa orang rakan yang sememangnya boleh ‘nampak’ dan suka berkongsi pengalaman mereka kepadaku. Perkongsian mereka ini menguatkan lagi kesimpulan yang aku tidak mempunyai deria istimewa kerana aku tidak nampak apa yang mereka nampak walaupun ketika itu aku ada bersama mereka. Alhamdulillah.

Walau bagaimanapun, ini tidaklah bermaksud aku selamat daripada mengalami pengalaman yang pelik lagi menyeramkan. Kadang kala aku cuma rasa diperhatikan — daripada kosong hingga meremang, berpeluh dingin dan berdebar secara tiba-tiba. Kadang kala nampak kelibat. Kadang kala mendengar bunyi atau suara. Kadang kala nampak terus, terutama apabila aku sudah meningkat dewasa — mujur aku rabun. Alhamdulillah. Ada hikmah.

Zaman kanak-kanakku dilalui seperti kanak-kanak normal yang lain. Cuma, aku akan demam setiap kali harijadi menjelang. Mesti aku monyok dalam semua gambar majlis harijadiku sendiri. Menyampah pula aku tengok.

Ibu juga pernah memberitahu yang ketika aku kecil, arwah nenek mencadangkan kepada ibu untuk membawa aku pergi berubat kerana aku terlalu panas baran. Kata ibu, aku merupakan seorang budak yang senyap dan tidak banyak hal. Ke sana ke mari dengan buku ditangan. Tetapi, keadaan yang sebaliknya akan terjadi sekiranya aku marah. Mengamuk sampai lupa dunia. Sebenarnya aku sedar, tapi aku tak boleh kawal. Apabila sudah besar, hilang masalah yang satu ni. Rasa marah tu masih ada, biasalah manusia.

Aku juga taksub dengan cerita-cerita seram yang selalu dikongsi oleh abang dan kakak sepupuku. Kadang kala arwah nenek mengupahku dengan cerita seramnya sendiri supaya aku mencabut ubannya — atas permintaanku sendiri. Tentu pembaca menganggap aku seorang yang sangat berani bukan? Tidak. Sebaliknya, aku ketika kecil merupakan seorang yang terlampau penakut. Kadang-kadang, belum habis cerita dikongsi, aku akan mula menangis, menjadi tidak keruan, sehingga ibu perlu membawa aku pulang daripada rumah arwah nenek. Pendek kata, ketika kecil, aku dikenali dalam kalangan sepupu yang lebih tua sebagai budak kememeh. Kememeh tu apa? Sila tanya En. Google.
Sesetengah manusia boleh tidur nyenyak waima dengan guruh berdentam-dentum pun. Aku tidak tergolong dalam kalangan manusia yang bertuah begitu. Tidurku serupa tidur-tidur ayam. Mudah tersedar sekiranya berlaku perubahan dalam bilik tidurku, walaupun di dalam gelap. Keadaan seperti ini berterusan hingga aku dewasa kini.

Aku mulakan perkongsian dengan pengalaman aku ketika menetap di kuarters sebuah hospital di Semenanjung Malaysia. Hospital ini didirikan oleh pihak British pada tahun 1934, sebelum kemerdekaan Malaysia. Reka bentuk bangunan hospital dan kuarters ini dipengaruhi oleh senibina kolonial British. Aku menetap di kuarters hospital sedari kecil lagi hingga ke darjah enam. Kami sekeluarga berpindah-randah sehingga 3 buah rumah, semuanya di dalam kawasan kuarters hospital. Sementelahan, kedua ibu bapaku berkerja syif di hospital. Maka, mudahlah mereka berkerja dan menguruskan masa on-call, cuma perlu berjalan kaki ke tempat kerja.

Kisah aku berkisarkan rumah yang ketiga dan terakhir kami di kuarters tersebut, sebuah rumah semi-D paling hujung, yang mempunyai halaman yang luas, lengkap dengan lereng bukit kecil. Tuan rumah sebelumnya telah menanam pelbagai pokok buah-buahan — rambutan, manga, belimbing, pisang dan sebagainya. Ibu pula melengkapkan lagi rasa kedesaan dengan menanam sayuran dan memelihara satu reban ayam. Rumah tersebut mempunyai 3 bilik tidur — 2 bilik dihubungkan dengan sebuah pintu di antara bilik. Satu bilik lagi terletak di bahagian belakang rumah dan dipisahkan oleh halaman dalam rumah yang tidak berbumbung. Bilik ini juga mempunyai pintu untuk ke luar bahagian belakang rumah. Buka pintu terus nampak reban ayam ibu. Kemungkinan bilik tersebut dikhaskan untuk pembantu rumah. Maka, ayah menyusunkan bilik tersebut supaya menjadi bilik belajar kami.

Rumah tersebut juga mempunyai 3 bilik air, 1 di sebelah bilik dan 2 lagi di kawasan halaman terbuka. Dapurnya mempunyai cerobong asap dan dilengkapi bilik stor yang memanjang. Ruang tamunya seluas 2 bilik tidur kami. Pendek kata, sekiranya seseorang berada di kawasan belakang, agak sukar untuk mendengar bunyi-bunyian di bahagian hadapan rumah. Keadaan rumah tersebut sejuk dan suram, mungkin kerana rumah lama dan reka bentuknya terbuka.

Kami menetap di rumah ini pada tahun 1990, ketika itu aku berada dalam darjah 2. Tidak lama kemudian, adik aku yang keempat, Madu, dilahirkan pada tahun yang sama. Sejurus selepas itu, ayah aku melanjutkan pelajarannya di UKM Bangi dan hanya pulang pada hujung minggu. Maka, hampir setiap masa, tinggal kami 4 beradik dan ibu di rumah. Ibu pula bekerja sebagai jururawat dan tertakluk kepada waktu syif. Maka, sebagai anak sulung, tentulah aku menjadi sandaran ibu untuk melakukan kerja rumah.

Oleh itu, aku memang sangat peka apabila mendengar ibu melaung memanggilku di sebuah waktu tengah hari di hujung minggu.

— Siapa dia? —

“Cahaya!” panggil ibu.
“Sekejap, bu. Bagi Cahaya abiskan ayat dulu,” jawabku. Fikirku, baik aku abiskan sebaris ayat karangan yg sedang aku kerjakan, sebelum terlupa. Terdengar panggilan ibu daripada arah dapur. Pasti ibu sedang memasak makanan tengah hari. Mesti banyak yang perlu ditolong nanti.
Aku baru sahaja mula menulis, “Cahaya!” panggil ibu lagi, semakin kuat.
“Ya, bu. Sekejap,” aku sudah mula mengomel dalam hati.
“Cahaya!” kali ini keras suara ibu, betul-betul di cuping telinga. Tercampak penselku kerana terkejut. Terus aku berlari ke dapur dengan hati yang berdebar.
Kosong. Dapur rumahku kelam dan suram. Sinki kering. Tiada tanda-tanda ada kerja dilakukan. Jadi, kenapa aku dengar suara ibu di dapur tadi?

“Cahaya!” jerkah ibu, kali ini daripada arah hadapan rumah. Belum sempat hatiku tenang, kakiku sudah berlari pantas ke halaman. Separuh kerana aku sudah seriau, separuh kerana takut dimarahi ibu.
“Ya, bu. Kenapa?” Ibu yang sedang menyusun pasu bunga, tercengang memandangku. Dahinya berkerut. “Bila masa ibu panggil awak? Sudah, pergi siap cepat. Kita nak pergi rumah nenek sekejap lagi. Malam ni ada kenduri doa selamat. Ibu nak pergi menolong.”

Heh? Jadi, siapa yang panggil aku?

Perasaanku bercampur baur. Hatiku rasa panas kerana terasa dipermainkan. Tapi ibu nampak jujur dengan jawapannya. Melihatkan aku masih terkemut-kemut di tepi pagar rumah, ibu menyelesaikan kerjanya secepat mungkin sebelum mengajakku masuk ke rumah bersamanya.

Beberapa hari berikutnya, giliran ibu pula ‘terkena’. Petang itu, aku asyik membaca buku di atas katilku,tiba-tiba ibu menjengukkan kepala di pintu bilik. “Cahaya, kenapa mesti menjerit-jerit? Tak boleh tunggu sekejap?”

Heh? Siapa yang panggil ibu?

Kejadian ini berlaku beberapa kali, terutamanya kepadaku. Setiap kali aku cuba bercerita dengannya tentang hal ini, ibu akan memangkah kata-kataku. Katanya, ini semua mainan fikiran. Aku terima sahaja pendapat ibu bulat-bulat. Aku malas nak fikir lebih-lebih, nanti aku yang takut sendiri.

— Pembantu rumah —

Sampai satu masa, ibubapaku memutuskan untuk mencari seorang pembantu rumah, sekurang-kurangnya untuk menjaga Madu yang masih kecil. Ibu pun sudah semakin sibuk dan tidak menang tangan untuk menguruskan kami. Kebetulan, jiran nenekku sememangnya meminta bantuan nenek untuk mencarikan kerja untuk anak gadisnya, yang kami gelar kak Ron, singkatan daripada perkataan ‘round’, sempena matanya yang akan membulat sekiranya dia marah. Kak Ron agak sosial dan asyik bertukar-tukar kerja kilang. Nek Kuntum risau sekiranya dia terjebak dengan perkara yang lebih serius dan mahu menjauhkan kak Ron daripada pengaruh rakan sebaya. Jadi, nenek mencadangkan kak Ron bekerja di rumah kami. Bagai orang haus diberi air, ibubapaku menyambut saranan ini dengan gembira dan kak Ron mula bekerja di rumah kami.

Semuanya berjalan dengan baik untuk beberapa bulan, hingga satu hari, adikku Amy yang baru balik daripada sekolah tadika disambut oleh pintu rumah yang ternganga luas. Ketika itu, aku dan Ben, adikku yang kedua masih di sekolah. Amy masuk ke rumah sambil memanggil-manggil nama kak Ron. Tiada yang menyahut, tetapi Amy terdengar suara bayi tergelak-gelak di bahagian belakang rumah. Madu yang baru mula merangkak, ditinggalkan berseorangan di pintu belakang yang juga terbuka luas. Allah SWT memberikan akal dan kudrat kepada Amy yang baru berusia 6 tahun untuk mendokong Madu dan membawanya ke rumah jiran yang terdekat. Lebih bersyukur lagi, ada jiranku yang bercuti pada hari itu dan membantu menjaga Madu dan Amy.

Perang besar meletus antara ibubapaku dengan kak Ron. Malangnya, kak Ron sudah melarikan diri entah ke mana dan cuma dijumpai lebih seminggu selepas itu. Rupa-rupanya, dia menyorok di rumah salah seorang rakannya. Ayah bersetuju untuk tidak mendakwa kak Ron kerana kasihan dengan ibunya yang sudah tua. Lagipun, Madu sihat walafiat. Kak Ron mengatakan bahawa dia melarikan diri kerana sudah terlampau takut dan tidak tahan dipanggil-panggil setiap hari walaupun rumah itu kosong. Apapun, patutkah dia lari dan meninggalkan Madu seorang diri? Bagaimana pula dengan Amy yang baru balik sekolah?

Selepas kejadian itu, kami bertukar-tukar pembantu rumah. Kak Manis cuma bertahan 3 bulan dan seorang lagi kakak yang tak sempat kuingat namanya, cuma bertahan selama 2 minggu. Hanya seorang sahaja pembantu rumah yang bertahan agak lama, kak Ina, daripada Medan, Indonesia. Tetapi, akhirnya dia diberhentikan atas masalah kelakuan. Kasihan aku melihat ibu, bertungkus-lumus menguruskan kami.

— Ayam putih —

Ayam sereban yang dibela ibu putih kebanyakkannya putih belaka. Setiap kali sebelum Maghrib, memang menjadi kelaziman aku, Ben dan Amy mengejar ayam untuk dimasukkan ke dalam reban. Aku tukang kejar sahaja sebab aku takut nak pegang. Petang itu seperti biasa, kami menjalankan tugas yang diberikan dengan penuh keceriaan. Biasalah budak-budak, kalau berkejar-kejar tu mesti nak menjerit-jerit.

Esok paginya selepas bersiap untuk ke sekolah, aku, Ben dan Amy keluar menunggu Tok Mat untuk menghantar kami ke sekolah. Tok Mat memang mengambil upah membawa budak sekolah dengan keretanya. Disebabkan keretanya hanya muat 5 atau 6 orang, Tok Mat biasanya akan melakukan beberapa kali trip sehingga semuanya habis dihantar. Oleh itu, ibu selalunya menyasarkan trip yang paling awal supaya kami tidak terlewat tiba di sekolah yang terletak agak jauh daripada rumah kami. Lebih kurang pukul 6 pagi, kami sudah terpacak menunggu Tok Mat di hadapan rumah. Pagi itu, kami disajikan pemandangan yang sangat mengejutkan.

Bulu-bulu ayam berwarna putih berterbangan di udara dan bertepek-tepek di atas rumput. D***h tercalit-calit di sana-sini. Macam di alam kayangan, dalam otakku yang masih kecil ketika itu. Terjerit ibuku. Tidak jadi kami bergembira menyepak bulu-bulu ayam melihatkan reaksi ibu.

Kami berlari ke reban ayam di belakang rumah. Daripada jauh kelihatan seperti ayam-ayam ibu sedang duduk mengeram di atas rumput. Bila diangkat, cuma tinggal kelongsong badan dan kepaknya sahaja. Kecuali d***h yang terpalit di hadapan rumah, tiada d***h di tempat lain. Seekor pun tidak dapat diselamatkan. Menurut ayah, mungkin angkara cik musang kerana ayah pernah tersuluh sepasang mata merah di atas siling rumah.

Mungkin juga. Namun, kami rasa pelik sebab malam itu tidak kederangan langsung apa-apa bunyi yang menandakan ayam-ayam tersebut diserang. Maka, berakhirlah usaha penternakan ayam ibu. Trauma jadinya selepas kejadian itu.

— Tukang rumah yang gigih —

Satu kejadian yang terpahat di ingatanku terjadi di satu musim cuti sekolah, sewaktu itu aku dalam darjah 5. Ibu tidur bersama kami adik-beradik kerana ayah tidak dapat balik minggu tersebut lantaran tugasan yang banyak.

Ibu suka menjahit. Jadi, ibu telah menyeret mesin jahit Singernya ke bilik kami supaya dia boleh meneruskan jahitan sebelum tidur. Adik-adikku yang lain sudah tidur lena, langsung tidak terganggu dengan bunyi mesin jahit ibu. Terlampau letih bermain siang tadi agaknya, fikirku. Aku pula membaca novel di atas katil, konon-konon nak teman ibu menjahit. Lampu di bahagian adik-adikku tidur telah digelapkan. Cuma bahagian aku dan ibu yang masih bercahaya.

Dinding bilik kami berkongsi dengan rumah jiran sebelah. Aku boleh melihat halaman rumah jiranku daripada tingkap bilik di tepi katil. Seperti biasa, tingkap bilik kututup pada waktu malam, tetapi langsirnya masih terselak ke tepi.

Jiranku pakcik Suman, selalu balik lambat kerana tuntutan kerja, kadang kala mencecah hingga ke awal pagi. Setibanya di depan rumah, pakcik Suman akan meninggikan lampu keretanya dan menekan hon berkali-kali sehingga isterinya membuka pintu rumah, tidak kira pukul berapa pun. Hal ini memang sangat menjengkelkan ayahku. Sudah resam berjiran, memang macam-macam perangai.

Sedang aku dan ibu asyik melakukan aktiviti masing-masing, tiba-tiba bilik kami dilimpahi cahaya lampu puncak kereta pakcik Suman. Terus silau mataku. Sejurus selepas itu, hon dibunyi kuat, berkali-kali. Tersentak kami berdua. Ibu sudah nampak kurang senang. Nasib baik adik-adikku masih lena.

“Ish, pukul 3 pagi macam ni pun nak bising-bising,” ngomelku sambil membuat muka tidak puas hati.
Ibu meletakkan jari telunjuknya di bibir. “Syhh,” bisik ibu, sambil duduk dipinggir katilku. Ibu membuka tingkap perlahan untuk menjenguk ke halaman rumah pakcik Suman. Aku pun menyibuk juga.

Kawasan rumahnya gelap gelita. Cuma kawasan pintu pagar sahaja yang terbias lampu jalan. Pagar pun berantai mangga. Ibu tutup tingkap perlahan-lahan dan menyuruhku tidur.

Bolehkah aku tidur? Sudah tentu tidak. Tetapi, aku diamkan sahaja kerana masih merasa keliru dengan apa yang baru terjadi. Ibu pula meneruskan jahitannya. Tiba-tiba, terdengar bunyi ketukan di dinding belah rumah jiran kami.

Tok-tok-tok.

Betul-betul macam bunyi orang mengetuk paku ke dinding. Aku pandang ibu, ibu memandang aku. Muka ibu sudah pucat, hatiku tiba-tiba berdegup kencang.

Tok-tok-tok.

Bunyi itu datang sekali lagi. Aku sudah tidak tahan. Aku ambil gunting jahit ibu dan kuketuk dinding bilik kami beberapa kali. Tak tahulah kenapa mesti aku buat begitu.

Keadaan sekeliling senyap sunyi. Mungkin kami salah dengar tadi. Baru sahaja aku mahu berasa lega, tiba-tiba bunyi tersebut datang lagi, kali ini lebih kuat dan berkali-kali. Bersungguh-sungguh betul bertukang.

Belum sempat aku bertanya apa-apa, ibu memegang lenganku dan menyuruhku senyap. Bisik ibu di telingaku, “Mereka sudah 3 hari balik kampung. Balik sini balik minggu depan. Takde orang dalam rumah pakcik Suman.”

Terkebil-kebil mataku hingga ke Subuh.

Ketika aku darjah 6, kami diarahkan untuk mengosongkan kuarters hospital kerana bangunan hospital baru hendak didirikan di kawasan itu. Sungguhpun keadaan rumah tersebut agak suram, aku dan Ben dan Amy masih terkenangkan zaman kami membesar di dalamnya. Rumah baru kami merupakan rumah yang dibeli ibu dan terbengkalai buat beberapa lama sebelum kami duduki hingga sekarang. InsyaAllah, kalau ada kesempatan, aku akan kongsikan pengalaman di rumah ini pula.

Sekian, terima kasih.

Nota: Sebenarnya, draf kisah ini telah kuselesaikan semalamnya, ketika bermalam di sebuah bilik hotel yang dikongsi bersama rakanku. Draf ini juga telah ku ‘save’ beberapa kali sepanjang hari. Setelah itu, aku mula tidur, tepat pukul 12.28 pagi. Aku terbangun lebih kurang pukul 3 pagi kerana terdengar bunyi tapak kaki yang berjalan cepat-cepat tetapi menyeret di atas karpet (lantai hotel tersebut berkarpet penuh). Aku buka mata dan melihat keliling tetapi tiada sesiapa. Esoknya apabila aku ingin membelek dan mengedit kisah ini, kulihat rekod simpanan fail terpapar ’00:31’ dan bila kubuka, yang ada cuma halaman putih. Kosong. Terpaksa kutaip semuanya kembali.

Apa sebenarnya yang terjadi? Wallahu A’lam Bishawab.

Cahaya

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]

14 thoughts on “Kisah Si Rabun: Kuarters Lama Hospital”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.