Kisah Wana

Assalamualaikum dan hai sekali lagi buat pembaca FS. Saya nak berterima kasih kepada Fiksyen Shasha kerana telah menyiarkan cerita saya sebelum ini bertajuk 3 Ahli Keluarga Meninggal Dalam Setahun.

Saya nak tegaskan kat sini, bukan Ustaz yang mengubat yang bagitahu kepada kami siapa yang menghantar sihir tu, tapi anak Bikyah sendiri yang terlepas cakap pada kami. Masa tu anak dia dan Bikyah ni tengah bergaduh, jadi dia rapat dengan kami. Tapi satu hari tu tengah cerita cerita, dia cakap mak dia yang hantar pada kami. Mulanya saya taknak bagitahu tentang ni kerana ada sebab tertentu, tapi bila ada orang yang pertikai perkara ni jadi saya terpaksa bagitahu juga. Kami memang terpaksa putuskan hubungan dengan Bikyah sebab masa dia datang rumah kami untuk serang kami tu, dia ada bawa juga benda tak elok tu. Mana saya tau? Haa.. ni saya nak cerita tentang anak buah saya yang boleh Nampak makhluk halus tu.

Kami panggil dia Wana (bukan nama sebenar). Dia ni berketurunan raja sebelah ayah. Jadi nama dia depan tu ada Raja. Dia ada 4 adik beradik, tapi dia seorang je yang banyak sangat ikut ciri ciri belah ayah dia. Masa dia kecil, dalam umur 5-12 tahun macam tu, waktu maghrib tu dia memang sensitif. Kalau buat dia marah waktu maghrib, nanti mata dia akan terbeliak, mata putih dia jadi warna merah dan tak berkelip lama. Bila orang panggil pun dia tak menyahut. Dia akan elok bila mak dia usap usap belakang badan dia. Lepas tu ada kalanya dia akan datang gian nak gigit orang. Pernah satu hari tu dekat sekolah menengah, saya, dia dan kakak dia yang tua 2 tahun dalam sekolah yang sama tapi berlainan kelas. Cerita ni kakak dia dan kawan dia yang cerita pada saya. Waktu tu masa pembelajaran, tiba tiba dia cakap dengan kawan dia nak pergi tandas, tapi dia melencong pergi kelas kakak dia. Si Wana ni panggil kakak dia yang tengah belajar ke luar kelas. Kakak dia pun keluar kelas jumpa dia.

Ini dialog mereka berdua yang diceritakan pada saya:
“Nak apa Wana?” Kakak bertanya.
“Kak, nak gigit.” Wana jawab.
“Hah! Apa kau mengarut ni? Kau nak apa sebenarnya?” Kakak rasa pelik dan tiba tiba mata Wana berkaca. Dia nangis dah merayu rayu nak gigit tangan kakaknya. Lalu kakaknya pun hulurkan tangannya sambil berkata “Jangan gigit kuat kuat.” Tapi bila dah dapat, Wana gigit hingga berbekas tangan kakak. Kenapa kakak bagi Wana gigit tangan dia? Sebab kami semua memang dah tau yang Wana ni memang lain sikit dari kecil sebab tu kakak redhakan je tangan dia berbekas gigi, sampai balik sekolah masih ada bekas tu.

Lagi satu, Wana ni jenis yang tak boleh pergi tempat tempat keras. Dia pergi bercuti satu keluarga dan tidur satu malam di rumah tumpangan yang dekat dengan laut. Tapi sampai je tengah malam jam 12, dia buka pintu nak keluar rumah, mata tak berkelip. Mak dia pun tanyalah dia nak pergi mana malam malam ni. Nak tau dia jawab apa? Dia cakap ada seorang nenek tunggu dan panggil panggil dia dari bukit seberang laut tu. Mak dia kata nenek tu sebenarnya moyang ayah dia yang berketurunan raja nak ambil Wana. Mak dia pun apa lagi, heret dia masuk balik dan hadang pintu keluar dengan sofa lepas tu tidur atas sofa tu. Dia bukan sleepwalk tau, sebab mata dia terbuka dan dia jawab pertanyaan mak dia.

Ada lagi satu cerita ni, dia pergi berkhemah dalam hutan untuk lawatan sekolah. Mulanya mak dia tak bagi pergi, tapi lepas dia merayu rayu, mak dia pun bagi. Tapi mak dia dah cakap awal awal dengan cikgu yang ketuai perkhemahan tu untuk bawa ustaz sekali, takut Wana ni kena kacau kat sana. Cerita kali ni bermula semasa satu aktiviti ni, tapi saya lupa apa aktiviti tu.

Wana dan 2 orang lagi kawan dia dalam satu kumpulan dan terpisah dari kumpulan lain. Sementara hilangkan penat mereka duduk di satu pondok ni, macam pondok tunggu bas, tapi dalam hutan. Perkara ni Wana sendiri cerita pada saya. Dia kata masa mula mula duduk tu tak ada apa apa berlaku, tapi dah lama sikit mereka duduk kawan dia cakap macam rasa sejuk sebelah dia. Sebelah kawan dia tu ada lagi tempat kosong untuk orang duduk. Bila Wana ni toleh, dia nampak ada budak kecil duduk sebelah kawan dia tu, tapi dia tahu yang budak tu bukan orang jadi dia hanya diamkan diri.

Malam pun tiba dan semua orang tengah tidur (yang ni diceritakan oleh kawan Wana kepada saya). Mereka tidur dalam khemah, Wana dan kawan dia yang dua orang tadi tidur satu khemah, Wana tidur di tengah tengah. Lepas tengah malam kawan dia yang sorang ni dengar orang mengerang macam kesakitan.

Dia pun buka mata tengok siapa yang mengerang tu. Rupanya Wana, tapi kawan dia ingat Wana ni mimpi. Dia pun gerak si Wana ni bangun. Tapi Wana ni bukan mimpi, lepas kawan dia gerakkan badan dia, dia buka mata dan duduk kaki melunjur. Mata terbeliak dan merah sambil masih mengerang. Bila kawan dia panggil dia tak menyahut. Apa lagi, kawan dia cepat cepat panggil ustaz (kawan dia pun tahu keadaan Wana ni). Bila ustaz datang, baca baca ayat Al Quran, Wana ni boleh baring dan tidur balik macam tiada apa apa berlaku. Esoknya cikgu telefon mak dia bagitahu apa jadi. Sampai rumah mak dia tanya, ingat tak apa jadi malam tu. Tapi dia kata dia tak sedar pun malam tu, dia tidur lena katanya.

Saya paling tak suka kalau naik motor berbonceng dengan Wana pada waktu malam. Satu malam tu kami nak pergi ke pasar malam di kampung sebelah. Kami pun naik motor berbonceng. Jalan ke kampong sebelah ni memang sunyi dan gelap sikit, tapi sebab saya ni tak pernah nampak apa apa jadi saya tak pernah takut pun lalu di jalan tu.

Tapi malam tu Wana dan saya sedang berborak di atas motor, tiba tiba Wana diam. Saya Tanya kenapa diam, lepastu dia cakap “Fira, nampak tak ada benda terbang kat atas tu?” Saya pandang atas tapi tiada apa apa. Kami pun terus diam sampailah ke pasar itu dan perjalanan balik, kami sanggup ambil jalan jauh untuk mengelak jalan tadi. Sampai di rumah Wana cerita yang ada benda terbang atas kami tadi, tapi benda itu tidak mengganggu, mungkin ia hanya lalu sahaja di kawasan itu.

Ada banyak lagi sebenarnya kisah Wana ni tapi kalau nak diceritakan satu satu panjang sangat. Jadi saya akan terus ke cerita pada malam Bikyah datang ke rumah kami. Malam tu masih dalam minggu beraya dan khamis malam jumaat. Petang tu lepas asar si Wana ni tidur, yelah penat balik beraya.

Cerita ini Wana sendiri ceritakan kepada kami sekeluarga. Dia mimpi yang Bikyah ni datang rumah kami nak bagi bayi pada kami, tapi kami tak terima dan Wana dapat rasa yang Bikyah ni akan datang ke rumah kami malam ni dengan benda tu. Malam tu dalam jam 11.30 malam memang betul Bikyah, suaminya dan anaknya datang ke rumah kami. Mereka tak bagi salam, tapi ketuk tingkap rumah kami kuat kuat nak bagitau yang mereka datang.

Macam nak roboh tingkap tu, nampak tak kenapa saya cakap dia datang nak menyerang kami? Lepas dia masuk, dia terus cakap jerit jerit nak mempertahankan diri dia cakap bukan dia yang menghantar pada kami.

Kami dapat agak siapa yang menyampaikan kepada dia tentang perkara ni, sebab kami ada bercerita dengan beberapa orang terdekat yang kami sangka baik, tapi rupanya talam dua muka. Banyak lagi yang dia cakap sambil minta simpati kami yang kalau diceritakan tak berkesudahanlah cerita ini.

Sampailah satu perkara tu, dia cakap “kalaulah Bikyah ni jahat, Bikyah dah lama halau korang dari tanah ni.” Kami pun terfikir, kenapa dia nak halau kami? Sedangkan rumah dan tanah itu memang diusahakan oleh ayah kami. Rumah itu dibina dengan titik peluh arwah mak dan ayah kami, tanah itu diberi oleh arwah atuk kami, dan ayah kami anak lelaki yang sepatutnya ada hak keatas tanah itu.

Kalaulah dia tak pernah berniat untuk dapatkan tanah itu, mesti dia takkan pernah terfikir dan takkan cakap nak halau kami adik beradik. Kami hanya mendiamkan diri sahaja semasa dia bercakap. Tidak mahu melayan orang yang sebegitu. Apabila dia balik, kami terus menabur garam yang telah dibacakan ayat suci Al Quran oleh ustaz yang kami berubat tu. Wana cakap Bikyah ada tinggal benda itu, tapi dia tak dapat masuk sebab rumah dah dipagar.

Sampai disini sajalah cerita saya. Sebenarnya banyak lagi yang saya nak cerita, tapi dah terlampau panjang jadi saya akhirinya disini. Semoga kita sentiasa dirahmati Allah dan dilindungi dari perkara sebegini. Terima kasih kepada pembaca yang sudi membaca kisah saya ini dan terima kasih juga kepada Fiksyen Shasha jika dapat menyiarkan kisah saya kali ini.

Hantar Kisah Anda: fiksyenshasha.com/submit

Firara
FOLLOW FB KAMI.

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.