Kvartira —Apartment

Квартира

Sewaktu aku menuntut di Ukraine dulu, kebanyakan pelajar Malaysia tinggal di asrama yang terletak berhampiran dengan perkarangan universiti. Lazim bagi sebuah hostel, peraturannya agak ketat. Itu tak boleh, ini tak boleh. Oleh itu, aku dan beberapa rakan nekad untuk menyewa di квартира (kvar-ti-ra) — kuarters/apartmen.

Memandangkan duit adalah komoditi yang terhad buat seorang pelajar, kvartira yang kami mampu sewa hanyalah sebuah unit kediaman kos murah di yang terletak tidak jauh daripada universiti kami. Kebanyakan penghuni kvartira yang mempunyai rekaan bangunan tipikal zaman Kesatuan Soviet ini adalah warga tua.

Tuan rumah kami adalah pasangan pakcik makcik yang kelihatan sedikit moden, namun masih mengamalkan gaya hidup orang lama. Sejujurnya aku lebih selesa berinteraksi dengan warga tua di sini kerana mereka lebih mesra dan reseptif. Seronok juga dengar mereka bercerita tentang adat resam dan kepercayaan orang Slavik. Namun tidak semua kepercayaan mereka seronok di dengar, ada yang membuatkan aku harap tidak diceritakan kepada aku.

Aku tiba di kvartira petang itu, menggigil. Tangan aku terasa kebas, seperti tanah liat. Cuping telinga aku pedih. Di luar, suhu -15°C di bawah paras beku. Menyesal aku tak naik bas atau teksi untuk pulang dari universiti tadi. Aku fikir, jaket kulit aku cukup tebal untuk menebat ancaman cuaca pada hari itu, sebab itu aku ambil keputusan untuk jalan kaki. Sangkaan aku meleset.

Setelah masuk ke dalam kvartira, aku melucutkan sarung tangan dan jaket aku dan terus ke dapur untuk hidupkan pemanas pili air. Pemanas ini jenis penunu. Perlu buka pili gas dan kemudian guna mancis untuk nyalakan api. Sudah beberapa kali jari aku melecur sewaktu menghidupkan pemanas ini. Mana taknya, selalu hidupkan pemanas sewaktu tangan kebas. Dah terbakar baru terasa.

Kau tahu apa benda yang paling nikmat ketika kau kesejukan? Соля́нка —sup panas! Tapi, nak sediakannya ambil masa yang lama, jadi aku rasa perkara yang paling praktikal sekarang ini adalah berendam dalam air panas! Maka, aku tutup lubang air tab mandi, buka pili air panas. Sementara aku tunggu air dalam tab mandi penuh, aku ke bilik dan berselimut di atas katil sambil melayari internet.

Tiba-tiba, aku terjaga kerana telingaku dicuit!

“ Oi janganlah kacau aku tidur!”, ujarku.

Mungkin kerana selesa dibaluti selimut tebal, aku terlena ketika leka menjelajah dunia tanpa sempadan. Sekali lagi telinga aku dicuit. Tiba-tiba, aku teringat aku tengah tadah air panas dalam tab mandi!

ALAMAK!

Bingkas bangun dari katil, aku meluru ke bilik air. Bilik air di sini tak ada sesalur air di lantainya, kerana di sini amalkan bilik air kering. Kalau air melimpah keluar dari sinki atau tab, alamat banjirlah kvartira kau dan jiran bawah akan naik ketuk pintu kvartira kau sambil bawa parang kerana air bocor ke unit kvartira mereka.

Apabila pintu bilik air terkuak, berkepul-kepul wap air dan bahang menerjah keluar. Namun aku lihat lantai bilik air kering. Pili air sudah tertutup. Air tadahan dalam tab 3 inci dari tebingnya. Aku menghembus nafas lega. Mungkin ada rakan serumah aku yang tutup pili air agaknya. Jam di tangan dijeling, jam 6.30 petang. Lama juga aku tertidur, hampir 1 jam.

“Yie! Hari ni giliran aku masak. Nak makan apa malam ni?”, soalku pada rakan serumahku, Azri.

Setelah seminit tiada jawapan, aku ulang sekali lagi soalan aku. Masih tiada jawapan. Aku keluar dari bilik air dan pergi ke bilik Azri. Manalah tahu dia sedang tidur atau mengelamun. Mamat tu memang suka mengelamun ketika merokok. Entah apa yang selalu difikirkannya. Mungkin Kancil turbonya kesayangan di Malaysia. Mungkin juga nikotin yang membuatkan otaknya beku.

Tiada.

Aku pergi memeriksa di dapur pula. Tiada juga. Hmmm. Mana pula mamat ni pergi? Ke kedai beli stok rokok di магазин— kedai serbaneka, agaknya. Sewaktu di dapur aku perasan api di penunu pemanas air sudah terpadam. Aku menghampiri pemanas dan memeriksa pili gasnya. Tertutup. Maknanya, api itu bukan terpadam, tetapi dipadam.

“Hello, Yie! Kau kat mana? Nak makan apa malam ni?”, tanya ku sebaik sahaja Azri menjawab panggilan telefonku.

“Aku dalam perjalanan balik dari Yalta ni. Ada екскурсия dengan budak-budak kelas aku”, jawabnya.

Ekskursi ke Yalta? Bandar Yalta terletak 2 jam dari pada bandar ini. Jika Azri ke Yalta, siapa pula cuit telinga aku, tutup pili air dan pemanas di rumah tadi? Kemusykilan mengasak minda. Kegelisahan menyelinap ke hati. Ada orang lain ke masuk ke dalam kvartira ketika aku tidur tadi?

“Kau ada bagi kunci kvartira kat siapa-siapa tak?”, soalku sambil membuat rondaan di dalam kvartira. Kedua-dua bilik aku periksa. Dalam almari aku periksa. Bawah katil. Sebalik sofa. Dalam kabinet dapur. Di balkoni. Semua aku geledah, namun tiada sesiapa.

“Tak ada. Kenapa? Apa kau buat bising-bising tu?”, balasnya.

“Tak ada apa. Kemas bilik. Eh kau balik makan tak?”, balasku mengalihkan topik perbualan.

Setelah Azri beritahu dia akan makan malam bersama rakan-rakan sekelasnya, dan kemungkinan besar akan menumpang tidur di bilik rakannya di hostel, aku menjadi semakin resah. Bimbang jika orang yang ceroboh masuk itu, kembali semula malam ini. Secara relatifnya, orang Asia lebih kecil daripada orang tempatan. Jadi, jika perlu bergasak, memang aku pasti, aku akan tewas.

“Siapa lagi yang ada kunci kvartira?”, getusku dalam hati.

Tuan rumah! Ya, tuan rumah! Barangkali dia datang petang tadi untuk kutip duit sewa bulan ini, dan dapati pili air terbuka maka dia tutup air, tutup pemanas dah kejut aku. Satu penjelasan yang munasabah. Jika penceroboh, takkanlah dia nak lakukan semua urusan itu. Kan?

“Hello!”, aku telefon tuan rumah.

Sekuat mana pun aku cuba mempercayai tanggapan aku tadi, hati aku tetap tak tenang. Maka, aku telefon tuan rumah untuk medapatkan kepastian. Aku bertanya sama ada mereka ada bertandang ke kvartira dan menceritakan serba sedikit tentang situasi yang berlaku.

“Это не были мы. Но не стра́шно. Это был домовои”, ujar tuan rumah aku.

Jawapan yang aku terima, tidak sedikit pun membuat aku lega, malah ia semakin membunuh keberanian yang bersisa di dalam tubuh aku. Si tuan rumah memberitahu mereka tidak datang ke kvartira, tetapi tiada apa yang perlu dirisaukan kerana itu semua hanya perbuatan домовои (disebut: damavoi).

Menurut mereka, dalam kepercayaan lama orang-orang slavik, setiap rumah ada penunggunya, yang digelar домовои. Ia digambarkan sebagai seorang lelaki tua berbulu lebat yang tinggal di bawah pendiang. Selalunya ia tidak akan mengganggu penghuni rumah jika rumah dijaga dengan baik. Jika rumah bersepah, kadangkala mereka akan bantu kemaskan, tetapi dengan sedikit habuan— mereka curi makanan di dalam rumah.

Curi makanan?

Selama ini makanan aku— jajan, susu, pisang, roti, biskut, minuman berkarbonat— cepat habis, aku sangka Azri yang curi-curi ambil. Malah aku pernah tuduh dia rembat shaurma yang aku tinggalkan di atas meja sementara aku ke tandas. Nasib baik aku tak pergi serang Azri melulu, aku hanya pendam sahaja amarah aku ketika itu.

Sebelum menamatkan panggilan, tuan rumah memberi amaran kepada aku agar menjaga kebersihan rumah dengan baik, kerana rumah yang kerap berselerak dan kotor boleh menyebabkan домовои menjadi ganas. Dia juga berpesan agar meletakkan sepotong roti di hadapan ketuhar pada malam ini sebagai tanda terima kasih kepada домовои kerana mengelakkan kvatira yang disewa, banjir petang tadi.

“Хорошо”, balasku tanda faham dengan pesanan beliau.

Seperti orang dungu, aku turuti pesanan tuan rumah. Di rumah zaman kini, mana ada pendiang, jadi sebelum tidur aku letakkan sekeping roti di atas pinggan dan tinggalkannya di hadapan ketuhar. Sesudah itu aku tutup lampu dapur dan masuk ke dalam bilik aku.

Tak syirik ke aku buat macam tu? Menjamu mahkluk halus untuk tujuan kesejahteraan. Sudah hampir terlelap baru aku terfikir begitu. Barangkali tadi tidak begitu rasional kerana otak sangat bercelaru. Ish tak boleh jadi! Baik aku buang roti tu. Sewaktu aku melangkah longlai menuju ke dapur, dalam samar-samar lampu ruang tamu yang menceroboh ke dalam dapur, aku nampak roti itu masih di situ. Masih berada di mana aku tinggalkan ia. Masih utuh. Tiada kesan ia diusik atau dimakan.

Masuk sahaja aku ke dapur, aku seraya membongkok sambil tangan kiri menopang belakangku. Tangan kanan pula mencapai roti yang berada di atas lantai itu. Aku tak buka lampu, kerana keadaan tidaklah begitu gelap. Sebaik sahaja aku menyentuh roti itu, kedengaran bunyi desiran seperti seekor kucing jantan yang berang.

Dari bawah ketuhar, terpacul bayang-bayang legap. Pada mulanya kelihatan seperti seekor labah-labah hitam yang mempunyai kaki-kaki yang berbulu perlahan-lahan merayap keluar, namun lama-kelamaan aku sedar ia sebenarnya adalah tangan yang mempunyai jari-jemari yang runcing. Tangan misteri itu kemudian menyentap rakus roti itu ke bawah ketuhar. Aku segera bangkit! Mengundur setapak dua kemudian rebah ke lantai kerana pinggang ku terasa seperti telah dirobek. Sewaktu bangun daripada membongkok dengan pantas, otot belakangku telah tercedera. Kesakitan yang maha hebat merampas kebolehan aku berdiri.

Mata aku terpasung pada ketuhar itu. Kaki ketuhar itu tidak lebih daripada sekadar stad getah. Ruang dibawah ketuhar itu dengan lantai lebih kurang 1 inci, dan dari ruangan sempit itu mata yang mengintai. Anak matanya melilau ke kiri dan ke kanan dan kemudian menjadi pegun setekah bertemu dengan pandangan dengan mataku. Jantung aku meletup-letup bagai ledakan di dalam dada. Bila ketakutan menguasai diri, hilanglah segala kekuasaan terhadap jasad sendiri. Tangan aku menggeletar bagai pesakit parkinson. Kaki aku kebas, kesemutan memeritkan.Tekak aku menjadi loya, seperti isi perutku sedang merusuh untuk keluar. Aku cuba menahan desakan itu. Mata aku pula mula berkunang-kunang.

“Не стра́шно. Это я…”

Itulah kata-kata terakhir aku dengar sebelum kesedaran meninggalkan jasadku. Suara itu agak garau, besar dan sengau. Nadanya ada nuasa sinis, seolah mentertawakan aku. Esoknya aku terjaga bila sinaran matahari yang menerobos melalui tingkap dapur menjamu muka aku. Apabila aku mengangkat diri untuk duduk, aku perasan serdak-serdak roti berguguran dari badan ku. Sakit belakang aku masih terasa namun jauh lebih sedikit daripada semalam.

Mulai hari itu, aku sering rasa diperhatikan. Barang-barang aku seringkali tidak di tempat yang aku tinggalkan. Malam-malam kedengaran seperti ada orang bertukang di dapur. Makhluk itu sudah tidak malu untuk biarkan kewujudan dirinya diketahui. Akhirnya, aku ajak Azri berpindah semula ke asrama. Azri hanya perlu tahu alasan utama aku adalah faktor kewangan. Aku berjaya pujuk dia pindah di asrama dengan alasan, di asrama senang hendak buat belajar berkumpulan.

Malam terakhir aku dan Azri di kvartira itu, Azri tegur aku, “Eh! Kau ambil rokok aku eh? Tadi ada dua batang, ni tinggal satu pula. Kalau nak beritahulah. Jangan main ambil je“.

“Домовой pun hisap rokok ke?”, getus hatiku.

Baki 5 tahun aku di sana, aku selesa tinggal di hostel sahaja. Hostel tak ada домовой kerana penghuninya bertukar ganti, namun setiap hostel pasti ada kisahnya tersendiri.

Follow Kamarul Ariffin Nor Sadan di fb.com/chaku

Kamarul Ariffin Nor Sadan

Leave a Reply

15 Comments on "Kvartira —Apartment"

avatar
Sort by:   newest | oldest | most voted
Kak Yulie

Hashtag #siukraine …

Huntongleerrr ade bibik tlg jage umh yer, heheheheh….
Part yg seram ble mane lantai toilet xleh basah tu…
Klu jenis family ade anak2 kecik masalah besor tu nk menten lantai kering…
Mmg mau setiap hari ade pertarungan pedang terbang ler gamaknye…

Akk suke ekau gune word2 sana tu, tp pasni tlg ejakan cara sebutan tu dlm huruf rumi biase yer…
X gheti plak hakak nk nyebutnye dgn huruf sana tu…

Pasni jgn lupe share lg kesah kt hostel tau…
Nk gak tau patern hantu kt obersi…
Hehehehehe…

Tatie

haha.. teringin jga nk tahu antu omputih..
tp gaya ‘damavoi’ ni mcm hntu raya je.. tp versi omputih… sape bg mkn tu.. tula tuannya… hntu raya kn jenis jgakn rmh n terikat dkat rmh je..

wawa

haha seram pun ade klkr pon aderr…hehe tp bab mncuri mknn tu yg x thn…brg brbh tempat satu hal huhu at least dia pndai mgemas bkn mcm hntu mlysia kje nk tkt kn org jr

D

cun, ayat dak dak educated nie

makcik gemok

Housemate /azri x dgr bunyi bising dari dapur malam2 ke?

Karpet Hijau

Macam baca novel weh. Terbaik ..Ayat dan jalan cerita kemas. Nak tau cerita kat hostel pulak .hehe

Ezaf

Terbaik. Rasa macam baca novel. Ayat dan jalan cerita kemas. Nanti cerita pasal kisah kat hostel pulak ye. Hehe

Lala

Haha.. terus aku copy ayat ko, google translate.. siap play lg audio, biar tau cara sebutannya..huhu

Kak Yulie

Oooo camtu ekkk…
Nnt nk cube plak…
Tq…

Lin Comot

Best. Citer pun unik. jarang-jarang sekali dpt baca cerita drp oversea. Nnt, klau ada yg lain, cerita la lagi ok 🙂

jebat

hmmm..cerita kopi pes pengalaman doktor kamarul arifin nor sadan.. boleh trngok FB dia..

No Name

Doktor tu sendiri hantar cerita ni kat page FS..boleh tengok die komen kat FB..

Cik S

Ad cite baru dia “Forensik”..meremang aku bace..pegi laa jenguk fb dy..ad pic tgn berflash tu..

feyna

mcm haiwan dlm cite fantastic beasts dh si damavoi nim .. huhu

Haibara

Best..best….penggunaan ayat yg kemas dan tersusun.

kalau dpt buat hashtag, senang cari cerita seterusnya.

wpDiscuz