Mak Cik Kurung Kedah II

Salam sejahtera semua. Terima kasih admin FS sebab sudi publish cerita Mak Cik Kurung Kedah tu. Seperti yang saya janjikan, kisah kali ini adalah sambungannya. Kepada pembaca terutama pelajar, jadikan kisah ini sebagai iktibar ya.

Peperiksaan akhir semester 3 STPM 2013 akan bermula. Majoriti pelajar sedang sibuk mengulangkaji pelajaran mereka. Tidak terkecuali aku dan lima orang lagi rakan. Seperti malam-malam selalunya, kami akan prep di surau. Selepas kejadian yang menimpa kami satu ketika dahulu, Ustaz Poji (ketua warden) tidak lagi membenarkan para pelajar untuk prep di blok kelas. Kami memilih surau memandangkan keadaannya sunyi tanpa sebarang gangguan. Para pelajar lain lebih gemar untuk menghabiskan masa prep mereka di dewan makan asrama dan di gazebo berdekatan surau.

Pada sebelah pagi keesokan harinya merupakan kertas Pengajian Am 3 dan pada sebelah petang merupakan kertas akhir bagi subjek Geografi 3. Malam itu, kami berenam berhempas pulak membaca nota dan mengingat setiap perkataan yang ditulis. Krinng..kringgg loceng dibunyikan. Loceng tersebut menandakan bahawa masa untuk semua pelajar masuk ke dorm dan menutup lampu. Loceng itu biasanya dibunyikan tepat jam 12 oleh warden asrama. Oleh kerana aku dan lima orang kawan yang pada masa itu boleh dikatakan otai asrama, maka kami tidak mengendahkan langsung loceng tersebut.

Helaian muka surat dalam buku Pengajian Am diselak berkali-kali. Kepala aku terasa sangat padat dan mata ini begitu berat. Aku keluar sebentar untuk menyedut angin-angin malam. Suasana malam itu begitu damai dengan awan berarak tenang. Lebih kurang 5 minit, aku ke tempat mengambil wudhuk dan membasuh muka. Tiba-tiba idea gila dalam kepala ini muncul dengan tak semena-mena. Aku terus berlari masuk ke dalam surau dan mengajak kelima-lima orang sahabat ini untuk melakukan aktiviti paranormal di blok kelas berhantu tersebut.

Oh ya, aku masih belum memberitahu nama mereka berlima kan. Mereka ni ialah Amirul, Afiq, Nadz, Man, dan Pidot. Idea aku ditolak mentah-mentah oleh Amirul dan Man. Amirul mengatakan yang dia sudah serik dengan penampakan pada semester 1 yang lalu. Man ni memang seorang yang penakut. Dengar bunyi kucing bergaduh pun dia dah lari tarik selimut. Afiq, Nadz dengan Pidot ni masih teragak-agak memandangkan esok merupakan hari peperiksaan.

Pujuk punya pujuk, akhirnya Nadz, Afiq dan Pidot setuju untuk ikut aku. Tapi Nadz cuma beberapa langkah saja yang dia berani. Last-last dia masuk balik dalam surau join dua orang lagi tu study. Kami bertiga dengan selamba melompat tembok yang memisahkan surau dengan blok kelas tersebut. Berbekalkan handphone torchlight kepunyaan Pidot, kami menyuluh koridor dan berjalan berkepit antara satu sama lain pada tingkat pertama. Tingkat ini menempatkan bilik guru dan juga makmal komputer. Masa kami berjalan ke arah bilik guru tu. Kami dengar bunyi meja dan kerusi diseret dan bunyi macam orang tengah batuk.

Masa nak naik tangga untuk ke tingkat yang kedua pula, kami terdengar bunyi seperti burung dok mengepakkan sayap dia. Bunyi tu tidak berapa kuat tapi disertai dengan bau seperti bangkai tikus. Setelah sampai di tingkat dua, Pidot dengan tidak sengaja menyuluh seorang perempuan yang sedang berjalan sambil memegang satu kepala manusia. Perempuan tu membelakangkan kami. Aku rasa cuma aku seorang sahaja yang nampak sebab reaksi muka Pidot relaks ja masa tu. Perempuan tu ialah Mak Cik Kurung Kedah tanpa anaknya! Aku mencuit Pidot dan Afiq sambil memberikan signal untuk berjalan mengundur perlahan-lahan. Bayangkan makcik tu depan kami, takkan la kami nak pi tegur dia pulak kan.

Tiba-tiba aku terdengar bunyi ‘gedebuk’. Aku nampak Pidot rebah dan handphone yang dia pegang jatuh beberapa meter dari dia. Afiq masa tu aku pun tak tau dia ada kat mana. Aku cepat-cepat angkat Pidot dan ajak dia lari. Masa nak lari tu Mak Cik Kurung tu tengah dok merangkak sambil tangan dia silang dengan kaki. Kepala dia dongak ke arah kami. Kali ni memang aku nampak jelas muka dia. Rambut hitam panjang tapi kusut gila, disebalik rambut tu aku nampak dekat mata sebelah kiri dia ada macam lubang besar, hidung dia takda. Mulut dia memang total nazak la. Macam tangan yang hancur kena kisar dengan mesin air tebu. Aku dengar masa ni Pidot sebut Allahuakbar!.

Aku menjerit panggil Afiq, tapi dia tak menyahut langsung. Seakan mendapat tenaga yang pelik, aku dengan Pidot terus panjat tembok dan terjun dari tingkat dua tersebut. Masa ni kami memang tak pikir panjang (geng parkour). Belum sempat terjun, aku rasa diri ni macam disepak. Nasib baik aku mendarat dekat jalan tar bawah tu dengan kaki dulu. Kalau jatuh dengan kepala dulu memang nahas la. Lepas tu baru aku nampak Pidot dok pegang besi-besi yang memisahkan antara satu tembok dengan tembok yang lain. Aku menjerit, “woi Pidot! Cepatla lompat”.

Sebab masa ni mak cik tu memang menggila, dia siap bawak keluar bunyi lagi. Bunyi macam gelak ada, nak nangis ada. Lepas Pidot lompat, kami dua orang terus lari masuk dalam surau. Sampai kat surau aku nampak Nadz, Amirul dengan Afiq sedap ja dok terbungkang dalam surau tu. Aku tengok Pidot, Pidot tengok aku. Afiq dok tidur? Bukan ka dia dengan kami sama-sama naik atas blok tu tadi. Aku dengan Pidot cepat-cepat ambil sejadah buat jadi bantal. Esoknya, Pidot menjawab exam dalam keadaan demam.

Lepas ja habis exam Geografi 3, baru aku buka mulut tanya dekat Afiq tentang kejadian tu. Dia cakap memang dia ada ikut, tapi dia dengan Nadz sama-sama patah balik surau sebab memang dia tak sedap hati masa tu. Masa ni memang tangan aku rasa ringan ja nak tampar kepala dia. Tapi aku diamkan ja tentang kejadian tu. Handphone Pidot yang jatuh tu memang tak dijumpai sampai la hari terakhir kami di sekolah tu.

Mungkin ada orang yang terambil masa exam pagi tu atau makcik tu ambik buat call anak dia. Sebab anak dia memang dah lama aku tak nampak lepas Blok tu di pagar lepas kejadian aku di Semester 1 dulu. Yang peliknya makcik tu memang tak nak lari sebab kawasan blok tu merupakan sebuah perigi lama, dan penduduk sekitar ada bagitau yang makcik tu mungkin jelmaan belaan orang yang duduk dekat situ pada zaman Jepun dulu. Wallahualam.

Sampai di sini saja kisah Mak Cik Kurung Kedah. Sepanjang aku bersekolah dekat situ, blok Tingkatan Enam tersebut memang blok yang keras berbanding blok kelas yang lain. Aku akan sambung dengan kisah gangguan aku di Universiti pulak selepas ini. Terima kasih admin dan para pembaca FS.

5 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *