MAKCIK JUHARA

Cerpen ini diinspirasikan dari kisah benar. Nama, watak dan jalan cerita diubah sedikit. Kisah misteri seorang wanita berkebaya!

***

Sejuk dingin cuaca pagi itu. Malam tadi hujan turun lebat tidak berhenti. Kilat memancar kuat sehingga memadamkan suis besar elektrik. Mujur tidak lama. Menjelang pagi hujan berubah renyai-renyai sebelum beransur ia terhenti.

Saki baki titisan-titisan air hujan jatuh menimpa atap mengusik pendengaran Ermina. Dia lalu menatap ke luar jendela menyaksikan panorama indah alam ciptaan Allah SWT. Dengan pohon-pohon menghijau. Bunga-bunga berkembang mekar.

Dalam ralit tidak semena-mena pandangan Ermina beralih ke arah seberang jalan. Sosok seorang wanita berbaju kebaya dan berkain batik lepas menarik perhatian Ermina. Dia memerhatikan seketika gaya dan lenggok wanita itu berjalan. Sanggul terlilit kemas sambil sebelah tangan memegang erat sekaki payung. Ermina memandangnya sehingga kelibat wanita itu menghilang.

Wanita berkebaya itu mengingatkan Ermina tentang satu kisah yang berlaku suatu masa dulu. Ketika zaman kanak-kanaknya. Tentang seorang wanita yang dikenalinya sebagai Makcik Juhara!

***

Di dapur Hafeeza sibuk menyediakan makan malam untuk seisi keluarganya. Seperti biasa suaminya, Syarif turut sama membantu apa yang perlu. Biarpun dengan hidangan sederhana, ikan goreng, sambal tumis dan sayur rebus, mereka tetap bersyukur dengan segala kenikmatan yang diberi. Tidak pernah lagi mereka anak beranak kelaparan tak makan semenjak menetap di kawasan felda tersebut. Kata orang rezeki anak-anak itu sentiasa ada.

Sementara di ruangan tengah rumah papan itu, Ermina bersama adik-beradiknya yang lain sudah bersiap sedia dengan Kitab Al-Quran dan Muqaddam masing-masing setelah selesai solat Maghrib. Sebentar lagi ibu mereka akan mengajar seorang demi seorang. Memikirkan rotan disediakan ibunya, Ermina berusaha menghafal apa yang dipelajari semalam.

Usai mengaji mereka sekeluarga menjamu selera. Sambil menikmati makan malam Syarif bertanyakan tentang kerja sekolah anak-anaknya. Ada yang sudah menyiapkannya. Ada yang masih tertangguh.

“Ermina, kalau tak faham kerja sekolah Bahasa Inggeris dengan Matematik tanya abah.” kata Syarif sambil memandang Ermina yang sudah hampir menghabiskan saki baki nasi di dalam pinggan.

Gadis berusia sepuluh tahun itu hanya mengangguk. Dalam banyak-banyak mata pelajaran, bahasa Inggeris yang paling sukar bagi Ermina. Tengok markah pun dah tahu. Banyak soalan yang dijawabnya salah. Nasib baik bapanya membantu kalau kerja sekolahnya dibawa pulang ke rumah.

Walaupun tidak belajar tinggi, Syarif fahamlah juga serba sedikit maksud-maksud perkataan dalam Bahasa Inggeris. Begitu juga dengan Matematik. Mudah untuk dia menunjukkan kepada anak-anaknya jika mereka tidak tahu menjawabnya.

Selesai makan, Ermina membantu ibunya mengemas. Pinggan, mangkuk dan cawan kotor dibawa ke bilik air untuk dicuci. Selepas waktu Isyak Ermina menyiapkan kerja sekolah bersama abang-abangnya.

Kemudian mereka menonton televisyen seketika sebelum masuk tidur. Pagi esok masing-masing perlu bangun awal untuk ke sekolah. Syarif juga akan tempat kerja selepas waktu subuh. Isterinya suri rumah sepenuh masa. Dengan tugas rutin seharian menguruskan rumah dan anak-anak yang masih kecil.

***

Memandangkan kedudukan sekolah Ermina tidak begitu jauh dari rumahnya, Ermina akan ke sekolah berjalan kaki bersama abangnya atau anak-anak jirannya jika bapanya tidak berkesempatan untuk menghantar.

Tiba di sekolah Ermina terus melangkah masuk ke dalam bilik darjah. Tiada perhimpunan. Hanya hari Isnin dan Jumaat sahaja. Ketika baru melabuhkan duduk di kerusi meja belajar, Ermina terdengar rakan-rakan sekelasnya memperkatakan tentang seorang makcik misteri bernama, Juhara. Kononnya, makcik Juhara itu ada membela hantu di rumahnya.

“Kau, tahu tak? Makcik Juhara tu tak ada kawan. Tak ada sesiapa nak kawan dengan dia. Orang tak berani nak kawan dengan dia.”

“Kenapa? Makcik Juhara tu siapa? Kau, kenal ke, dia?”

“Mestilah kenal. Aku duduk dekat kawasan tu juga kut. Mak aku cakap, Makcik Juhara tinggal dalam rumah tu dengan anak lelaki dia dan suami dia je. Anak lelaki dia sebaya dengan abang aku. Darjah enam. Dalam rumah tu pula ada sebuah bilik yang berkunci. Pernah ada orang singgah rumah tu tiba-tiba teringin nak masuk bilik tu. Tapi makcik Juhara tak benarkan.”

“Kenapa? Ada apa dalam bilik tu?”

“Orang cakap, dalam bilik tu ada polong!”

“Hah? Polong! Seramnyaaaa….!”

“Memang seram! Nak tengok rumah dia pun aku tak berani. Lagi-lagi waktu malam. Tapi ada juga orang cakap dia bela hantu raya.”

“Macam mana nak kenal dia? Mana tahu aku terserempak dengan dia nanti.”

“Makcik Juhara ni, gaya dia macam wanita dulu-dulu. Pakai baju kebaya. Kain batik lepas. Bersanggul. Diselitkan bunga sekali dekat sanggul dia tu. Kasut yang dia pakai pula, kasut kayu(terompah). Lepas tu, dia pakai payung. Biasa, dia keluar petang-petang. Tapi tak tahu dia pergi mana. Kadang-kadang naik motor vespa dengan suami dan anaknya.”

“Lagi? Apa yang pelik pasal makcik Juhara?”

“Dia tak pernah senyum atau bertegur sapa kalau terserempak dengan sesiapa pun. Kalau berjalan pula asyik menunduk je.”

“Aduh! Seramnya makcik Juhara ni. Harap aku tak serempaklah dengan dia.”

“Kalau kau terjumpa dia, jangan berani-berani nak tegur dia. Entah-entah itu bukan dia.”

“Tak-tak! Memang taklah aku nak tegur. Kalau aku nampak, terus aku cabut lari!”

Sebenarnya, Ermina juga pernah melihat makcik Juhara lalu lalang di hadapan jalan rumahnya. Tetapi baru hari ini dia mendengar cerita seram tentang wanita tersebut. Patutlah dia selalu nampak makcik Juhara berjalan sendirian. Cuma sesekali makcik Juhara membonceng motor vespa dengan suaminya di petang hari. Yang peliknya, rumah makcik Juhara punyalah jauh. Tetapi dia mampu berjalan kaki dengan laju.

***

Disebabkan ada aktiviti latihan sukan, Ermina pulang agak lewat sedikit dari sekolah. Abangnya juga terpaksa pulang lambat kerana mengikuti latihan badminton di sekolah. Malas menunggu abangnya, Ermina pulang sendirian. Sampai separuh jalan dia terserempak dengan makcik Juhara.

Mengingati kembali cerita daripada rakan sekelasnya, perasaan Ermina diburu kebimbangan. Takut-takut dia melepasi wanita itu yang langsung tidak menghiraukannya. Makcik Juhara hanya terus berjalan pantas tanpa menoleh ke kiri atau kanan. Ermina turut berlari dengan cepat sambil menggendong beg sekolah sehingga tiba di halaman rumahnya.

Tercungap-cungap Ermina. Dia cuba mengatur kembali pernafasannya.

Harap-harap lepas ni janganlah dia terserempak atau berselisih jalan dengan makcik Juhara lagi. Seram.

***

“Dari mana, kak Hara?”

“Daripada kedai tadi. Tak apalah. Akak balik dulu. Nanti lambat pula masak.”

Ermina yang terdengar suara ibunya sedang bercakap-cakap dengan seseorang, bingkas mendekati jendela. Dari celahan langsir dia cuba mengintai. Terkejut Ermina setelah melihat dengan siapa ibunya sedang berbual. Namun tiada keganjilan dilihatnya pada Makcik Juhara. Malah, wanita itu kelihatan tersenyum. Cuma penampilan tetap sama. Berkebaya seperti orang dulu-dulu serta berpayung. Makcik Juhara memiliki tubuh yang langsing dan berkulit cerah. Memang dia tidak pernah melihat makcik Juhara mengenakan pakaian lain, selain baju kebaya.

Malam itu Ermina tidak dapat melelapkan mata. Dia memikirkan bagaimana kalau dia bertembung dengan makcik Juhara lagi ketika pergi dan pulang daripada sekolah. Kalau berteman tak apalah juga. Kalau seorang-seorang seramlah Ermina. Tapi buat apa hendak takut? Makcik Juhara tu takkan tegur orang, kalau orang tak tegur dia. Sibuk berfikir akhirnya, Ermina tertidur juga.

Pulang dari sekolah Ermina melayan kerenah adik-adiknya bermain di halaman rumah. Ibunya sibuk memasak di dapur. Bapanya pula keluar sebentar membeli barang. Sedang Ermina leka bermain dengan adik-adiknya, dia didatangi seseorang yang dikenali. Ermina kaget. Ketakutan menjalar seluruh tubuhnya. Ermina ingin melarikan diri. Dan membawa adik-adiknya masuk ke dalam rumah.

Namun, kakinya bagai dipaku. Dia langsung tidak boleh bergerak apatah lagi berganjak ke mana-mana. Adik-adiknya sudah tidak kelihatan lagi. Ermina ditinggalkan sendirian bersama wanita itu. Tiba-tiba makcik Juhara tersenyum padanya.

“Kenapa kamu, takut dengan makcik? Selalu mengelak bila nampak makcik. Muka makcik ni ada macam muka hantu, ke? Hehehe….” Makcik Juhara tertawa meleret.

Ermina pantas menggeleng dengan perasaan gementar.

“Oh, mungkin sebab kamu pernah dengar ada orang cakap yang makcik ni ada ‘membela’ kan? Ya. Memang makcik ada membela!”

Tersentak Ermina dengan pengakuan selamba Wanita berkebaya itu. Ermina terasa ingin menangis. Macam-macam perkara buruk bermain di mindanya. Apa yang makcik Juhara akan lakukan padanya? Makcik Juhara hendak menghisap darahnya kah? Mana semua orang? Kenapa tak tolong Ermina?

“Jangan takut. Makcik tak membela polong atau hantu raya. Makcik cuma membela kucing dan ayam. Hehehe…Kalau kamu tak percaya, mari ikut makcik ke rumah. Mari? Mari! Hehehe….!” Makcik Juhara segera menarik sebelah tangan Ermina. Meminta agar Ermina mengikutnya.

“Arghhh! Tak nak! Tak nak!” Ermina terus menjerit-jerit ketakutan. Makcik Juhara masih menarik kuat tangannya bersama senyuman menyeringai di bibirnya yang merah menyala.

“Ermina? Kenapa terjerit-jerit ni?” Hafeeza mengejutkan anaknya.

Terpinga-pinga Ermina memandang ibunya.

“Mana makcik Juhara?” Soal Ermina dengan wajah cemas.

“Mana ada makcik Juhara. Kamu tu mengigau. Tadi tidur tak cuci kaki, ke? Lain kali sebelum tidur tu baca doa dulu. Ini main tidur je.” Bebel Hafeeza. Terkejut dia dibuatnya. Pukul satu pagi Ermina terjerit-jerit. Ingatkan apalah tadi.

Usai ibunya berlalu, Ermina menarik nafas lega. Mujur apa yang berlaku cuma mimpi sahaja. Mungkin dia terlalu memikirkan makcik Juhara, sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpinya. Walaupun hanya mimpi, Ermina tetap merasakan ngeri saat terbayang wajah menyeringai wanita itu.

***

Selepas berpindah Ermina sudah melupakan kisah misteri wanita berkebaya yang dipanggil makcik Juhara itu. Cuma hari ini Ermina tiba-tiba teringatkannya kembali.

Agaknya apa khabar makcik Juhara sekarang? Masihkah dia tinggal di sana dengan keluarganya? Jika suatu hari nanti Ermina terserempak dengan makcik Juhara, adakah dia masih mengenali wanita itu?

-TAMAT-

By : byshazlinamdshaat

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 28 Average: 2.3]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.