MAKHLUK HITAM

Kompilasi Cerita
Oleh: Anggerik Desa
Saya pernah nampak hantu tapi bukan hantu langsuir atau hantu raya dan seumpamanya. Ada sekali rasanya saya nampak bayang berjubah yang melayang terawang-awang menuju sebatang pokok. Selain itu, saya hanya nampak makhluk-makhluk hitam atau terdengar suara berbisik di telinga atau tercium bauan wangi di sekitar rumah. Pernah juga nampak cahaya lembut seperti lampu tidur yang bergerak lurus dan turun ke atas sebatang pokok mangga. Jadi, kisah-kisah benar yang saya kongsikan di sini tidaklah terlalu seram, cuma mungkin bukan semua orang dapat mengalaminya. Semua ahli keluarga iaitu ibubapa dan adik-beradik saya biasa dengan pengalaman seperti ini. Selamat membaca sahabat Fiksyen Shasha dan terima kasih.

KEBUN GETAH

“Pagi tadi mak masuk kebun getah atas bukit belakang rumah mak cik Banun tu. Mak kumpul kayu api. Dah bawa balik separuh. Ada selonggok lagi mak tak larat bawa. Boleh tolong ambilkan?”
Aku yang baru duduk di tangga rumah selepas membuka kasut sekolah memandang wajah adikku, Atan, yang muda dua tahun daripadaku. Atan ini perempuan tapi kami panggil dia ‘Atan’ kerana sewaktu dia lahir ibubapa kami mengharapkan anak lelaki. Nama dia dalam sijil lahir tentulah lain, okay? Ketika peristiwa ini berlaku kami masih di sekolah rendah. Aku dalam darjah 6 dan Atan dalam darjah 4.
Kami keletihan sebenarnya tapi masa itu kayu api sangat penting. Berasal dari keluarga susah, kami hanya memasak menggunakan dapur kayu. Ayah kami seorang anggota tentera yang tidak tentu masa keberadaannya di rumah. Jadi, kerana kasihankan mak, kami bergerak juga ke tempat yang diberitahu.
Kami berjalan sehingga tiba di pinggir kampung dan mula masuk ke dusun kecil dan menyeberang satu anak sungai sebelum tiba ke kebun getah yang bukanlah kawasan asing bagi kami. Kami sudah agak biasa dengan kawasan itu kerana selalu mencari kayu api. Jadi, kami mula mendaki bukit sederhana tinggi itu untuk mencari longgokan kayu yang mak tinggalkan. Sewaktu pendakian itu aku tertoleh-toleh ke belakang kerana merasa seperti diekori. Memang aku ada ternampak seperti bayang-bayang hitam yang mengekori tapi menyelinap di sebalik pokok getah apabila aku berpaling. Aku tidak ceritakan kepada Atan apa yang aku nampak. Bimbang kalau-kalau hanya gangguan pandangan mataku yang keletihan dan bimbang perkara itu akan menakutkan dia.
Apabila kami jumpa longgokkan kayu yang mak tinggalkan itu, kami pun mula menunduk untuk mengendong dan membawa pulang ranting-ranting kayu berkenaan. Setelah merasa selesa dan bersedia untuk pulang kami pun bergerak memulakan perjalanan. Tapi, setelah berjalan beberapa langkah, kami terhenti. Kami tidak nampak arah mana harus kami tuju kerana yang ada di hadapan kami ketika itu bukanlah kebun getah biasa yang jadi tempat main kami itu tapi hutan tebal dengan pokok-pokok balak yang besar.
“Eh, mana jalan?” Aku bersuara cemas.
Kami saling berpandangan. Kasihan aku melihat keadaan Atan ketika itu. Pada mulanya kami tidak takut. Aku ajak Atan redah saja hutan itu kerana aku boleh nampak bumbung rumah orang kampung di kejauhan sebelah kanan kami. Tapi memang tidak boleh lalu kerana pokok-pokok besar itu kelihatan sangat rapat hingga kami tidak nampak ke mana harus dituju.
“Tan, meh kita turun ikut belakang lah.”
Terkelip-kelip mata Atan memandang aku.
“Mana boleh turun ikut situ… Tinggi tu. Jatuh atas bumbung orang nanti.”
Aku meletakkan kayu api dalam dan berjalan kearah yang baru kami bincangkan, dalam 2-3 meter saja dari jarak kami berdiri. Jurang. Bukan saja curam menegak, malah tinggi. Kalau kami cuba juga memanjat turun melalui jurang itu, risikonya ialah kami mungkin jatuh dan akibatnya samada mati atau cedera parah.
Kami patah balik dan mengangkat semula kayu api. Lama kami memandang pokok-pokok balak yang entah dari mana datangnya itu.
“Jom kita baca surah-surah yang kita ingat, Tan. Meh baca sama-sama.”
Kami pun sama-sama membaca surah-surah yang kami hafal berulang-ulang kali. Leganya kami, atas izin Allah, hutan balak yang tebal itu makin menipis dan kami nampak semula arah jalan untuk kami pulang.
Sebaik sampai di rumah dan meletakkan kayu api di tempat simpanan, kami pun bercerita kepada mak apa yang telah kami lalui. Sejak itu mak tidak lagi membenarkan kami mencari kayu api di situ tanpa ditemaninya.

BALIK SEKOLAH
Hari itu panas terik. Aku berjalan pulang dari sekolah. Masa itu aku masih di sekolah rendah. Tidak begitu pasti darjah berapa, mungkin darjah 5 atau darjah 6. Tapi peristiwa yang berlaku ini aku memang pasti.
Jarak dari sekolah ke rumah tidak begitu jauh, sekitar 1 atau 2 km. Biasanya aku naik ‘feri sekolah’ iaitu trak 3 tan Angkatan Tentera Malaysia yang digunakan sebagai pengangkutan untuk menghantar dan mengambil anak-anak tentera ke sekolah. Tapi, kadang-kadang trak ini lambat tiba dan aku bosan menunggu. Bila ini berlaku aku akan berjalan kaki pulang bersama-sama Atan, adikku.
Hari itu, macam biasa, trak lambat agaknya, aku pun berjalan kaki pulang ke rumah. Untuk sampai ke rumah aku perlu melalui satu lorong kecil dari jalan besar. Lebih kurang lima meter dari lorong itu ada sebatang pokok ara yang sangat besar. Rambu-rambu akarnya sangat lebat dan kasar. Aku tidak pasti kenapa ketika tiba ke lorong itu hari itu aku bersendirian. Atan di belakang agaknya dengan kawan-kawannya. Aku sedar lebih kurang 10 meter di belakang ada sekumpulan pelajar sedang berjalan arah yang sama.
Rumput lalang di sekitar lorong tersebut kelihatan kekuningan dan sangat kering pada hari itu. Mungkin telah diracun. Tiba-tiba aku terdengar bunyi susup-sasap di celah-celah lalang itu seolah-olah ada sesuatu sedang bergerak di situ. Aku perlahankan langkah dan berpaling lantas kelihatan sesuatu berwarna hitam sedang merangkak ke arah pokok ara di pinggir belukar berdekatan. Jarak aku dengan ‘benda’ itu sekitar 2-3 meter sahaja.
“Ahhh….anjing…” Aku menarik nafas lega.
Namun, belum pun sempat aku mengalihkan pandangan tiba-tiba benda itu berdiri. Langkahku terus terhenti. Kaku. Memang bentuk orang. Warna hitam. Seperti bayang-bayang tapi legap, tidak telus cahaya. Seolah-olah menyedari bahawa sedang diperhatikan, ia berpaling dan dari tingkah lakunya aku dapat merasakan ia terkejut bahawa aku dapat melihatnya. Untuk beberapa saat kami saling berpandangan. Bukan bertentang mata, aku tidak nampak matanya. Dalam keadaan terkejut, aku panik dan tidak tahu apa yang harus aku lakukan.
Dalam minit yang panjang itu tiba-tiba ia berlari pantas ke arah pokok ara yang aku ceritakan tadi. Ya, berlari macam manusia, bukan menyusup celah lalang kering macam tadi. Aku yang masih pana mengekori dengan mata. Bila sampai ke pangkal pokok ara berkenaan ia melompat mencapai akar yang bergayutan untuk melarikan diri dengan pantas. Malangnya, seolah-oleh tidak sempat brek ia terhempas ke batang pokok itu.
“Pap!” Bunyi ia berlanggar dengan batang pokok itu sangat jelas. Jadi, aku tahu ia bukan bayang-bayang.
Setelah melangggar batang pokok itu, ia melepaskan pegangan dan melorot turun, sebaik mencecah tanah terus berlari dengan laju, hilang di celah-celah semak berdekatan sebuah rumah banglo dua tingkat dekat situ.
Aku pula yang seolah-olah baru tersedar terus berlari ke arah yang bertentangan. Bila sudah hampir sampai ke rumah, aku berhenti berlari dan menanti kumpulan pelajar yang tadinya berjalan di belakangku. Anehnya, bila aku bertanya, tiada seorang pun antara mereka nampak makhluk yang aku lihat tadi.

TAMAT

Anggerik Desa
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

18 comments

    1. Terima kasih sudi baca dan komen, Tinie. Mulanya saya pun fikir macam tu tapi lama-kelamaan pandangan saya berubah. Entah kenapa.

  1. itu bibit2 awal dlm tempuh pengalaman misteri. saya gerenti hidup awak selepas itu kerap jumpa pengalaman2 paranormal…. kan.

    1. Terima kasih, Jibby, sudi baca dan komen. Pengalaman paranormal tu memang banyak tapi tidak sehebat mana kalau nak banding dengan pengalaman orang lain di Fiksyen Shasha ini. Hanya insiden-insiden kecil yang biasa-biasa saja. Tapi mungkin saya akan share nanti pengalaman mak dan ayah saya serta adik saya. InsyaAllah.

    1. sheera_schaa, saya pun fikir macam tu juga tapi semakin dewasa saya tidak lagi melihat makhluk hitam ini. Cuma sekali sekala saya dapat rasa kehadiran benda-benda ni melalui perasaan, bunyi-bunyi dan bau-bauan yang entah dari mana. Dalam keluarga saya, adik yang nombor 6 itu saja masih dapat melihat dan merasai pengalaman makhluk ghaib ini, sampai ke anak-anak dia sekali. Menakutkan.
      Terima kasih kerana membaca ya…

  2. fuh boleh jadi risiko kalau kena dekat prempuan,sbb kita tak tahu kan ‘lembaga’ apa sbenarnya baik or jahat..btw terus kan kongsi cerita2 yg lain pula ya 🙂

    1. Betul juga saya rasa pendapat Mat666 itu kerana ada seorang adik saya yang bukan saja didekati makhluk hitam tapi makhluk putih juga. Kedua-dua benda pulak seolah-olah tinggal bersama di rumahnya. Dia pun memang dari kecil telah mengalami peristiwa mistik seperti saya. Cuma, yang bezanya, semakin dewasa saya semakin cuba memperbaiki amalan ibadat, sedangkan adik saya ini suka mengumpul barang antik dan mistik. Jadi, ‘benda-benda’ ini semakin menjauhkan diri dari saya tapi semakin kuat keberadaannya dengan adik saya ini. Kami sekeluarga ada pengalaman masing-masing dengan alam ghaib ini mungkin kerana sebelah datuk saya ada yang menikah dengan bunian. Jadi, kata orang alam kami sudah bertembung. Entahlah, saya memilih untuk tidak terlalu memikirkannya, cukuplah kita percaya ilmu Allah itu sangat luas. Selain yang telah diberitahu kepada kita melalui Al Quran, ada banyak lagi benda yang kita tidak tahu.
      Wallahu’alam…
      Terima kasih kerana sudi membaca cerita ini, ya…

      1. ya betul prnah juga dgr tak smua dlm al-quran diceritakn ada bnyk lagi ‘isi2 kandungan’ yg lain yg belum kita ketahui lagi,smuanya Allah yg lebih mngetahui..but yeah kita org islam memang perlu prcaya dgn alam ghaib tpi yg pnting tahu membezakan yg mne realiti yg mne khayalan kita..good apa2 perlu berpegang dan berpandukan Al-Quran,Hadith dan Sunnah 🙂 Wallahu’ alam.,sama2 and thnks kerana sudi kongsikan pengalaman Anggerik Desa!

  3. Betul juga saya rasa pendapat Mat666 itu kerana ada seorang adik saya yang bukan saja didekati makhluk hitam tapi makhluk putih juga. Kedua-dua benda pulak seolah-olah tinggal bersama di rumahnya. Dia pun memang dari kecil telah mengalami peristiwa mistik seperti saya. Cuma, yang bezanya, semakin dewasa saya semakin cuba memperbaiki amalan ibadat, sedangkan adik saya ini suka mengumpul barang antik dan mistik. Jadi, ‘benda-benda’ ini semakin menjauhkan diri dari saya tapi semakin kuat keberadaannya dengan adik saya ini. Kami sekeluarga ada pengalaman masing-masing dengan alam ghaib ini mungkin kerana sebelah datuk saya ada yang menikah dengan bunian. Jadi, kata orang alam kami sudah bertembung. Entahlah, saya memilih untuk tidak terlalu memikirkannya, cukuplah kita percaya ilmu Allah itu sangat luas. Selain yang telah diberitahu kepada kita melalui Al Quran, ada banyak lagi benda yang kita tidak tahu.
    Wallahu’alam…
    Terima kasih kerana sudi membaca cerita ini, ya…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.