Misteri ‘Kakak’

Assalamualaikum admin dan pembaca sekalian. Kali ini aku kembali untuk mengisahkan pengalaman seramku di tempat kerja.
Tapi sebelum aku memulakan cerita, izinkan aku menjawab persoalan-persoalan tentang rumah yang pernah aku sewa tuh.

Berkaitan dengan Munirah dan Kak Siti, mereka sememangnya wujud ye anak-anak. Haha. Tapi aku jarang dapat berjumpa dorang. Jarang melekat dirumah. Jadi bila timbulnya persoalan dari pembaca, tiba-tiba aku sendiri musykil samada dorang betul-betul manusia atau makhluk lain? Jeng jeng jeng. Haha. Ahh lantaklah, aku pun dah lost contact dengan dorang.

Ok berbalik kepada cerita yg ingin aku kongsikan berkenaan pengalaman aku diganggu di tempat kerja. Untuk makluman pembaca, aku seorang guru, mengajar anak-anak berumur 5 dan 6 tahun. Kisah ini tidaklah seseram mana. Cuma peristiwa yang terjadi benar-benar mengganggu emosiku.

Selepas sekian lama menganggur, aku akhirnya dipanggil berkerja di salah sebuah sekolah swasta di Pulau Pinang. Kelasku terletak dibangunan paling hujung dan bersebelahan dengan Lebuhraya Utara Selatan. Sebelum sampai ke kelasku, aku harus melalui kantin sekolah, surau dan makmal. Di hadapan kelasku adalah padang sekolah yang luas mata memandang. Huhu.
Belakang kelasku pula adalah kawasan perumahan tetapi masih sunyi kerana baru dibina. Belum ramai penduduk.

Diikutkan waktu kerjaku hanyalah 7 pagi hingga 1.30 tengahari. Tapi aku hari-hari stay back sampai jam 5 petang, sebab balik kerja menumpang abah aku. Ye lah, baru kerja kan, manalah nak ada duit lagi untuk beli motorsikal.

Ada suatu hari tuh, aku tiba awal disekolah kerana abahku perlu menghadiri mesyuarat jam 8 pagi. Kalau keluar lambat risau tersangkut jammed. Disebabkan terlalu awal sampai di sekolah, aku tak berani untuk terus ke kelas. Aku lepak-lepak dulu depan pejabat yang belum dibuka. Pintu pejabat adalah pintu cermin sliding yang mana aku boleh lihat pantulan diriku di cermin pintu tersebut. Aku duduk dikerusi sambil membaca majalah yang ada disitu.

Setelah beberapa ketika, bahu aku mulai lenguh dan mataku terasa pedih. Aku mendongak kepalaku ke depan dan secara automatik aku terpandang cermin pintu pejabat. Aku benar-benar terperanjat kerana dalam pantulan di cermin pintu tersebut aku dapat melihat seorang kanak-kanak perempuan berada di kerusi sebelahku dengan mukanya menunduk kebawah. Aku pandang sebelah dan aku mendapati kerusi tersebut kosong. Lambat-lambat aku menoleh semula ke arah cermin pintu dan nafas kelegaan aku hela kerana ternyata memang hanya aku sahaja disitu.

Tapi meremang jugalah bulu romaku ketika itu. Tak tunggu lama, terus aku punch card dan berlalu pergi ke kelasku. Jam ketika itu sudahpun pukul 6.30 pagi dan aku yakin sebentar lagi guru-guru lain serta staf sokongan akan tiba.

Aku melewati kantin sekolah tanpa memandang kiri kanan kerana susana di kantin pada waktu pagi memang suram. Tidak banyak lampu yang dibuka oleh makcik kantin. Mungkin mereka mengambil langkah penjimatan.

Aku membuka pintu dan masuk ke dalam kelas. Aku buka semua suis lampu di dalam dan luar kelas termasuklah lampu tandas. Seram punya pasal. Haha.

Aku mengambil wudhuk, pakai telekung dan terus bersolat di ruang belakang kelas kerana tidak sempat solat subuh di rumah. Semasa tengah solat subuh aku perasan ada murid yang masuk ke kelas. Aku tidak mengesyaki apa-apa dan beranggapan mungkin itu anak muridku yang sampai awal. Ye, solat aku pagi tu kurang khusyuk sebab masih dalam mood seram dan berjaga-jaga. Hmmm.

Usai solat, aku bersiap-siap ala kadar. Sedang aku memakai tudung, aku terdengar suara anak muridku, Damia.

“Cikgu Ella..” panggilnya lembut.

“Ye, cikgu tengah pakai tudung ni..kenapa?” Tanyaku sambil membetulkan muncung tudung. Ini penting sebab kalau muncung tak elok memang sehari tu mood kelaut. Ok serius.

“Sapa kakak hat berdiri kat luaq tuh?” Tanya Damia dengan merendahkan nada suaranya seperti berbisik disebelahku.

Aku melontarkan pandanganku ke luar dan kembali memandang Damia sambil tersenyum kepadanya.

“Damia saja nak mengusik cikgu eh? Mana ada siapa-siapapun kat luar tuh..” kataku sambil mencubit manja pipi Damia.

“Tak tipulah cikgu..tu ada tu kat situ..cikgu tengoklah betul-betul..” Damia bersungguh-sungguh mencuba menyakinkan aku.

‘Aduh..apa pulak lah kali ni Ya Allah..’ rungutku dalam hati.

“Dah..dah..biar je kakak tu kat situ..dia pun nak belajar juga..Damia tolong cikgu tulis tarikh dekat whiteboard boleh?” aku mencuba untuk mengalihkan perhatian Damia.

“Tapi cikgu, kalau kakak tu nak belajar, awat dia tak masuk dalam kelas?”

Aku diam malas melayan.

“Akak..kalau nak belajar mai la masuk kelas..” Damia berkata sambil melambai-lambai tangannya seperti menggamit seseorang.

‘Ish budak ni..boleh plak dia buat drama kat sini..’ dalam hati aku mula mengomel.

“Damia..! Cikgu cakap apa td!?” Terpaksa aku meninggikan suara sebab aku sendiri pun dah cuak dengan kelakuan budak sorang ni.

Damia mengeluh dan berlalu ke hadapan kelas. Tangan kecilnya lincah menari-nari di papan putih. Aku memicit-micit dahiku, sedikit tertekan dengan gangguan kali ini.

12.15 tengahari pada hari yang sama…..
Aku menemani murid-murid di kawasan taman permainan belakang kelas sementara menunggu ibu bapa mereka datang ambil.

Tiba-tiba aku terperasan Damia sedang duduk bersendirian sambil tersenyum. Sesekali aku lihat Damia seolah-olah sedang berbual, tapi tidak tahu dengan siapa.

“Damia..! Buat apa kat situ?? Meh sini..!” Aku melaung kuat memanggil Damia. Geram betul hatiku rasa saat itu. Damia berlari-lari ke arahku sambil tertawa kecil seperti sedang berlumba lari dengan seseorang.

“Damia buat apa kat situ sorang-sorang?” Tanyaku kepada Damia.

“Mana ada saya dok sorang-sorang…kam ada kakak tadi dengan saya..”

Aku terpempam.

‘Ya Allah, hantu setan apa lah yang mengganggu budak ni..’

Belum sempat aku bersuara, bapa Damia datang mahu mengambil Damia pulang.

Beberapa bulan kemudian…..
Damia masih berkelakuan pelik. Tak habis-habis dengan ‘kakak’nya.

Kebetulan pada hari tersebut bapa Damia tidak dapat datang awal untuk mengambil Damia. Jadi selepas semua murid pulang aku membawa Damia masuk semula ke dalam kelas.

Aku meninggalkan Damia sendirian bermain lego di atas tikar bahagian hadapan kelas sementara aku pula dimejaku menyemak buku-buku latihan anak muridku.

“Kakak, jom kita buat robot nak dak? Damia pandai buat robot guna lego..” Damia bersuara riang sambil bergelak ketawa.

“Damia…stop it..! Cikgu dah bosan lah, hari-hari kamu tak habis-habis dengan kakak..kakak..kakak..! Sekali lagi cikgu dengar kamu sebut perkataan tu, cikgu rotan kamu..” terpaksa aku berkeras dengannya kerana kesabaranku benar-benar sudah tergugat ketika itu. Hampir setahun telingaku mendengar perkataan ‘kakak’ dari mulut Damia. Biarpun aku sudah memaklumkan pada ibu bapanya, namun mereka menganggap itu cuma imaginasi kanak-kanak. Adoilah.

Tidak lama kemudian bapa Damia tiba dan menjemputnya pulang. Namun yang membuatkan aku meremang bulu roma adalah ketika Damia membisikkan sesuatu sewaktu bersalaman denganku.

“Cikgu..kakak tu kata sekolah ni tempat tinggal dia..dia selalu teman cikgu sampai petang..ok lah..babai cikgu..jumpa esok..”

Aku terkedu sambil melihat Damia berlari-lari riang menuju ke kereta.

Aku masuk ke dalam kelas. Aku berdiri di tengah-tengah ruangan kelas. Nafas aku sedut sedalam-dalamnya dan aku bersuara, “Aku tak nak tahu kau siapa..aku tak nak tahu kau nak apa..aku tak nak tahu apa-apa tentang kau..yang aku nak tahu kau jangan ganggu aku..jangan ganggu Damia..!! kau tu iblis!! Terkutuk!! Kau tak layak berkawan dengan manusia lah setan..!!”

Entah dimana kewarasan akal aku saat itu. Aku benar-benar marah ketika menuturkan kata-kata tersebut hingga tanpa ku sedar aku menangis sendirian. Menangis kerana letih. Letih emosi. Letih mental.

Tiba-tiba aku mendengar suara dengusan betul-betul dibelakang cuping telingaku. Terperanjat benar aku saat itu.

“Pammm” bunyi pintu toilet terhempas padahal angin pun tak ada tengahari buta tu.

‘Lantak kau lah nak mengamuk ke apa ka..aku yang hampir sakit jiwa ni kau x fikir plak boleh juga nk mengamuk..’ hatiku berbicara sendiri.

Keesokannya…..
Aku buka je pintu kelas, terkejut besar aku sebab whiteboard yang semalam dah aku cuci seputih kapas, tapi bila aku datang pagi tu penuh dengan contengan marker merah. Tiada sebarang tulisan, sekadar contengan sahaja.

Bila aku ke bahagian tandas pula, pili air terbuka. Melimpah-limpah air dari sinki tandas.

Mustahil ada yang masuk ke kelas sebab yang pegang kunci cuma aku seorang sahaja. Tapi terfikir juga aku, makhluk ghaib boleh ka buat semua tu? Macam tak logik tapi memang itu yang berlaku.

Tapi Alhamdulillah selepas sahaja detik aku meroyan sorang-sorang dalam kelas, dah tak ada lagi perkataan ‘kakak’ yang keluar dari mulut si Damia.

Peristiwa ini sebenarnya sudah 4 tahun berlalu. Damia sekarang pun sudah berumur 10 tahun. Dia juga mengaku tidak pernah lagi melihat ‘kakak’ di sekolah tersebut.

Kadang-kadang aku terfikir, adakah ‘kakak’ itu adalah sahabat imaginasi Damia? Atau mungkin juga aku yang terlampau emosi kerana dihantui dengan kelakuan Damia yang gemar berbual sendirian? Apabila ditanya, dia jawab berbual dengan ‘kakak’.

Daripada rasa takut, bertukar jadi marah. Stress kot weh hari-hari nak melayan sahabat imaginasi Damia tuh. Al-maklumlah, aku pula masa tu baru pertama kali mengajar. Ketika itu aku berumur 21 tahun. Mana reti lagi nak handle masalah sebegini rumit. Huhu.

Tapi kalau itu hanya imaginasi, siapa yang mendengus padaku? Siapa yang buka pili air?? Dan siapa pula yang conteng whiteboard aku??

Sekian dariku, Hudna Nabilla.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

16 thoughts on “Misteri ‘Kakak’”

Leave a Comment