Misteri Kondominium

Bismilillahirrahmanirahim…
Assalamualaikum kepada semua warga dan pembaca FS. Terima kasih buat team FS kerana menyiarkan kisah pengalaman seram saya dan keluarga. Pertama kali menghasilkan karya moga dapat menjadi panduan dan pedoman buat semua peminat FS termasuklah saya yang baru sahaja menjebakkan diri setelah sekian lama terhenti membaca kisah-kisah seram sejak 9 tahun lalu. Maklumlah umur makin berusia minat kita pasti akan berubah. Kalau dulu saya suka ikut kisah mistik di dalam thread kisah seram melalui pengalaman seorang wanita dari sejak dia remaja hingga sudah berkahwin. Bukan senang hidup seseorang jika Allah telah bukakan hijabnya untuk nampak alam ghaib, tapi saya terkecuali cuma kadang-kadang saya ada deria untuk rasa energi tidak baik jika ianya hadir dengan izin Allah.
=====================================================================
GANGGUAN SI KECILKU OLEH ENTITI YANG TIDAK DIKENALI

Mac 2011 adalah tahun yang melakarkan seribu rasa duka dan lara buat kami sekeluarga. Awal tahun Abah yang bertahun menderita kencing manis pergi menyahut seruan illahi. Sejak Abah dimasukkan ke wad kecemasan di Hospital Selayang, kami adik beradik bergilir-gilir menjaga Abah di dalam wad. Seminggu sebelum Abah menghembuskan nafasnya yang terakhir, kami adik-beradik ‘berkampung’ di sebuah kondo milik pakcik kami yang berdekatan dengan Hospital Selayang bagi memudahkan kami menukar ‘shift’ menjaga Abah. Abah koma sebelum sempat membuat dialisis di Hospital Sungai Buloh. Lalu doktor merujuk kes Abah ke Hospital Selayang bagi mempercepatkan prosedur menebuk buah pinggang Abah kepada doktor pakar di situ. Belum pun sempat doktor melakukan sebarang mbedahan lanjut,kami dimaklumkan sistem dan organ dalaman Abah makin merosot dan mula tidak berfungsi bermula dari buah pinggang hingga ke kegagalan jantung. Allahuakbar kami seakan-akan tidak percaya sebab beberapa hari selepas Abah keluar dari hospital selepas mendapat rawatan dialisis sepenuhnya, Abah nampak normal dan boleh makan dengan banyak sekali. Abah juga mampu ketawa dan bergurau senda dengan kami. Namun takdir Allah tiada siapa yang tahu. Tiap yang pergi pasti akan kembali. INNALILLAHIWAINNALILLAHIROJIOUN.. Dari Allah kita datang dan kepada Allah juga kita kembali.

ADIK DIGANGGU ENTITI
Hari pertama Abah dimasukkan ke Zon Kritikal di Hospital Selayang, kami telah berpakat sesama adik beradik untuk menjaga Abah secara bergilir-gilir memandangkan kami semua bekerja demi sesuap nasi. Maka pada hari pertama Kakakku yang sulung bersetuju untuk menjaga Abah sekiranya diperlukan oleh pihak hospital. Memang jika pesakit dimasukkan di Zon Krtikal pelawat tidak dibenarkan masuk kecuali seorang bagi tujuan menjaga pesakit. Lalu kami yang lain-lain akan datang dari pejabat bersama keluarga masing-masing bermalam di kondo tersebut. Malam pertama kami telah merancang untuk membacakan Yassin buat Abah. Moga asbab sedekah bacaan Yassin ini Abah lebih tenang dalam mengharungi sakitnya. Selesai bacaan Yassin dan juga Solat Hajat, jam sudah menunjukkan hampir jam 11 malam. Dek kerana kami semua keletihan, masing-masing telah bersedia untuk beradu. Aku dan anak lelaki tidur di ruangan tengah yang agak tertutup, manakala kakak tidur di dalam bilik utama. Anak-anak perempuan kakak ditempatkan di bilik kedua. Ibu, adik lelaki dan anak perempuan pula berada diruang tamu.
Aku ketika itu masih lagi belum melelapkan mata keluar berborak bersama ibu dan kakak. Tepat jam 12 malam, terdengar rengekkan anak lelakiku seperti marah diganggu. Fikirku mungkin terlampau penat bermain dengan sepupunya petang tadi hingga terbawa-bawa ke dalam tidur. Namun makin lama kuat rengekannya dan bersilih ganti dengan jeritan serta esakan tangis. Aku bingkas bangun mendapatkan anak yang tidur berseorangan di ruangan tengah tadi. Usaha untuk mengejutkan anakku yang ketika itu berusia 4 tahun gagal walaupun setelah menepuk lembut pipinya. Jeritannya bertambah kuat malah kaki dan tangannya meronta-ronta untuk lepas dari pelukanku. Berulang kali menyebut namanya, namun matanya masih tetap tertutup rapat seolah-olah berada dalam ketakutan yang teramat sangat. Tiba-tiba bulu romaku meremang tegak, terasa angin sejuk menerpa keseluruh badan. Telingaku berdesing dengan kuat. Aku dapat rasakan ada ‘sesuatu’ yang sedang tegak berdiri memerhatikan kami dipenjuru ruang itu. Walaupun tika itu aku tidak nampak kehadiran makhluk durjana yang mengganggu anakku yang sedang lena diulit mimpi, tapi aku dapat merasakan entiti itu memang sengaja ingin ‘bermain’ dengannya.

Dalam hati aku menggumam, sambil menyumpah pada entiti tersebut. Takut bertukar ganti . Tubuh menggeletar.Maklumlah waktu itu yang tinggal semuanya perempuan kecuali adik lelakiku yang ketika ifu cuma berusia 15 tahun. Buntu, aku mula membaca Fatihah dan Ayat Kursi berulang-ulang kali. Anakku masih tidak menunjukkan sebarang respon. Kaki dan tangannya mula mengganas menendang. Kakak dan mak mula ketakutan. Anak-anak saudara berpelukan sesama sendiri. 30 minit berlalu anakku masih tidak memberi maklumbalas. Lalu aku mengeluarkan handhphone dan memasang bacaan ayat-ayat Quran. Kelihatan anakku mula keletihan seperti baru lepas berlari 100m. Dia beransur-ansur tenang setelah sejam berlalu. Tidur dalam esakan. Sedih aku melihatnya. Moga-moga Allah lindungi kami hingga matahari terbit. Malam terasa panjang. Kami yang kepenatan dan mengantuk meneruskan semula tidur yang terganggu. Aku, masih lagi belum mampu melelapkan mata walaupun jam sudah menunjukkan angka 3 pagi. Selang beberapa minit, segalanya kelihatan kelam. Alhamdulillah malam pertama bermalam di rumah tersebut merupakan satu pengalaman yang agak pelik buat kami. Tapi,kami tidak terlalu memikirkannya kerana kesedihan melihat Abah yang masih terlantar di Zon Kritikal menghapuskan segala memori seram kami malam itu.

CIK PONTI MENUNJUKKAN ‘BELANG’

Hari kedua yang suram. Doktor memaklumkan pada kami agar membuat persediaan kemungkinan Abah tidak lagi mampu untuk menempuh hidupnya. Kami adik beradik telah bersedia. Setiap kali solat saya sedekahkan agar Allah permudahkan ‘perjalanan’ Abah. Biar Abah pergi dengan tenang dan Allah ampunkan semua dosanya. Nadi Abah makin lemah. Menjelang asar kami beransur-ansur pulang semula ke kondo. Kini giliran Abangku pula menjaga Abah di hospital. Kali ini kami ditemani suami masing-masing. Anak-anak yang tidak kenal erti suka duka sibuk bermain-main dibalkoni sambil mendendangkan lagu zaman kanak-kanak. Dari satu lagi ke satu lagu mereka bergurau senda. Seronok melihat mereka yang tidak berdosa. Suci dan telus.

Anak lelakiku yang ketika itu mengalunkan lagi bangau-bangau oh bangau memang gemar buat skrip lagu sendiri. Anak-anak saudara menggelegak ketawa bila mendengar liriknya
Tiba-tiba…
“Pintu oh pintu kenapa engkau ada hantu?” Nyanyian Danial yang jelas sambil menunding jari ke arah hujung balkoni mengejutkan semua yang mendengarnya. Anak-anak semua terdiam memandang sesama sendiri termasuklah anakku . Aku tergamam. Beberapa saat kemudian mereka semua berlari masuk ke dalam memelukku. Ketakutan. Muka mereka pucat.

“Mak langgggg….. Takut” kata mereka hampir menangis termasuklah anakku Danial. Saya peluk kesemuanya. Adik beradik saya yang lain hanya diam. Tak berkata sepatah. Maklumlah waktu tu dah nak hampir maghrib. Saya bangun. Tutup pintu sliding door balkoni. Saya pujuk mereka bagitahu tiada apa-apa. Danial mungikin bergurau. Danial membisu sambil melihatku dengan wajah ketakutan. Lalu saya bertaya bertanya “Danial kenapa nyanyi macam tu?”
“Ada hantu kat luar tu Umi.Dia berdiri kat tepi tu” sambil memuncungkan mulut ke arah balkoni.
“Dah tak payah cakap apa-apa waktu maghrib macam ni tak elok cakap macam tu.Mungkin bayangan adik je tu” pujukku menenangkan semua.

Kami bersiap-siap untuk buat majlis bacaan Yassin dan Solat Hajat lagi malam ini. Seusai majlis, jam sudah menunjukkan angka 11 malam. Seperti semalam aku,suami dan Danial menuju ke ruang tengah untuk tidur. Danial yang begitu mudah lena mengejutkan semua dengan jeritannya. Aku melihat jam. Tepat 12 malam. ALLAH! Dalam hati aku berkata ‘Sah benda ni datang lagi!’. Tapi kali ini ketakutanku bertukar menjadi marah. MARAH yang teramat. Abang iparku datang melihat keadaan Danial. Suami yang panik memeluk Danial yang masih lagi meracau-racau. Tiba-tiba angin sejuk menerpa tubuh badanku. Menggelatar, lalu aku keluar menuju dapur.

Zasss… Mata terpandang kelibat putih. Dalam samar-samar malam. Berderau darahku! ALLAHUAKBAR. Puntianak. Samar-samar tembus ke dinding dapur. Aku berlari sambil menjerit menghadap dinding dapur dimana Pontianak tadi tembus menghilang.

“Celakalah wahai syaitan!Berani kau kacau keturunan aku!Kalau berani kau tunjukkan diri kau!Mari sini aku ajar kau. Aku tak takut pada kau melainkan Allah. KELUAR!!! jerit aku sekuat hati. Adik beradik aku yang lain ketakutan.Anak-anak saudara mula menangis. Abang iparku sebenarnya juga atas izin Allah mampu melihat makhlus halus. Terkumat-kamit mulutnya menghalau Cik Ponti.

“Betul kan Abang Long tu Cik Pon?”Saya bertanya dengan nada geram.
Abang ipar menggangguk kepala.
“Ada lagi kat situ?” sambil menuding jari ke arah dinding tadi.
“Dah makin menghilang”jawabnya perlahan mungkin tidak mahu menakutkan anak-anak lain.

Sejurus selepas itu jeritan Danial berhenti. ALLAHUAKBAR…kali ini kami melalui malam yang penuh dengan ketakutan. Mujurlah jeritan Danial tidak lama berbanding malam sebelumnya. Badanku yang tadi menggeletar menahan marah kembali tenang. Kali ini kalau masih lagi diserang aku serah semua pada Allah. Dia yang Maha Berkuasa.

Alhamdulillah kami tidur dengan lena-selenanya selepas itu.

Hari ketiga

Jam 4 pagi emak mengejutkan kami mengatakan Angah ada mesej. Katanya nadi Abah dah diparas paling rendah. Selesai solat subuh kami semua bergegas ke hospital. Tapi Abah dah tiada. Redha dan pasrah dengan kehendak Illlahi. Abah dah lama menderita. Moga Allah ampunkan dosa-dosa Abah dan ditempatkan dikalangan orang-orang beriman.
2 hari kemudian kami kembali mendapatkan barang-barang yang telah kami tinggalkan dikondo. Namun aku tidak kembali dengan tangan kosong. Sebotol air yang telah diruqyahkan oleh Ustaz yang telah merawat Danial kugenggam erat diitangant. Laluku ‘pagarkan’ rumah tersebut dengan air ruqyah tadi. Mudahan Allah menjauhi segala benda yang tidak baik dari kita semua. Masa nak pagar tu terasa macam diperhatikan. Huhu.Tangkas aku dan suami selesaikan apa yang patut dan keluar dari rumah yang menyeramkan itu.

Setelah disiasat rupanya bangunan kondo yang kami inap itu ada satu kematian seorang perempuan cina bunuh diri dari tingkat yang sama. Haih….patutlah! Pesanku pada pakcik berulangkali agar rumah tu dipagari dengan seelok2nya sebelum disewakan kepada orang lain.

Wallahu’alam.

Kongsi kisah anda: http://fiksyenshasha.com/submit

3 thoughts on “Misteri Kondominium”

  1. Kepada admin.tolong la jgn buat iklan video.dah berapa kali aku terkejut dengar bunyi tiba2.korang tepek la iklan lain.makan data byk tu.hrmm

    Reply

Leave a Comment