#nana- Dondang Sayang Sang Pontianak

  • DONDANG SAYANG SI PONTIANAK –

Assalamualaikum semua. Ada satu kisah dari pengalaman abah yang ingin aku cerita dan kongsikan. Berdasarkan kisah benar melalui pengalaman abah sendiri sewaktu bekerja di kilang Maruichi Pipes di seksyen 15 Shah Alam. Kisah ini berlaku pada tahun 90-an. Sewaktu abah bekerja tiga shift di kilang tersebut dan pengalaman seram itu berlaku sewaktu giliran abah bekerja di shift malam. Waktu itu abah masih lagi bekerja di kilang itu. Tetapi sekarang ni tak tahulah keadaan di kilang tersebut memandangkan abah sudah pun pencen. Ok, mari menyelusuri kisahnya….

………………………………………….

Pada malam itu, jam sudah menginjak ke pukul 2:00 pagi. Mesin paip sudah sedia abah hentikan. Tujuannya untuk membiarkan pekerja-pekerja yang lain berehat termasuklah dirinya.

“Sesiapa yang mahu keluar membuang segala hasil mahsul di dalam usus tu, dipersilakan. Yang mana nak tidur tu, pergi cari tempat yang sesuai untuk tidur ya…” arah abah pada pekerja yang lain.

Pekerja yang lain menuruti segala yang disuruh abah. Masing-masing mencari port terbaik untuk tidur. Agar keselamatan diri terjaga, takut nanti terhimpap dengan batang-batang besi paip yang tergantung-gantung di atas pencangkuk mesin.
Abah, seperti pekerja yang lain juga, mencari port untuk tidur. Walaupun rehatnya hanya satu jam tetapi cukuplah untuk melepaskan lelah buat seketika dan dapat menghilangkan mengantuk yang semakin bergayutan di mata.
Kebetulan berhampiran abah, Daud, rakan sekerja abah baring di hujung kakinya dengan beralaskan kotak sahaja. Kaki bertemu kaki. Namun abah membiarkan sahaja Daud tidur di situ. Kebetulan juga abah dan Daud tidur berhampiran dengan pintu, tetapi bukanlah laluan masuk utama. Hanya untuk mengambil angin malam di sebalik daun pintu yang menganga separuh itu.

Sedang abah dalam mencari rentak matanya untuk tidur, tiba-tiba abah terdengar satu suara dari arah luar. Abah cuba memasang telinga. Mujur suasana sunyi di kilang itu, membantu abah dapat menangkap dengan jelas bunyi apakah itu. Bukan bunyi, tetapi suara!

Suara apakah itu?

Suara seseorang sedang humming dari luar kilang. Sayup-sayup sahaja suaranya. Namun sungguh nyaring!

“Mengacau betullah!” Gumam abah dalam hati.

Abah cuba mengintai di sebalik pintu yang terbuka separuh itu. Namun, alangkah terperanjatnya abah sebaik mengintai dibalik pintu itu.

Pontianak!

Terbeliak mata abah seraya memandang makhluk pontianak itu sedang duduk elok di atas kren di luar kilang. Sambil suaranya melantunkan irama dondang sayang secara humming di atas kren itu! Walaupun humming, namun abah dapat menangkap irama itu. Ya, irama DONDANG SAYANG! Antara lagu favorite abah juga. Nampaknya abah dan cik pontianak berkongsi minat yang sama! Jelas kelihatan walaupun abah hanya melihat dari jauh, kaki di dalam kainnya yang putih lusuh itu sedang mengibar-ngibar hujung kaki kainnya seolah-olah berasa seronok dan senang hati umpama dapat gaji.

Saat itu segala bulu roma dibadan abah mencanak naik walaupun jarak abah dan pontianak itu agak jauh. Ketika ini otak abah ligat berfikir, apa yang patut dilakukan? Takkanlah hendak pergi jerkah pontianak tu. Sedangkan saat itu suara humming pontianak dengan pitchingnya yang lari benar-benar mengganggu dan menggugah masa tidur dan rehat abah ketika itu.

Kemudian abah bangun mencari sesuatu untuk menghentikan suara sumbang pontianak itu. Alhamdulillah, mujur abah jumpa batang besi yang panjang berhampiran ditempat pembaringannya. Lalu abah jalan kehadapan sedikit menghampiri satu tong kosong sebesar pemeluk orang dewasa. Justeru itu, terus sahaja abah menghayunkan batang besi sekuat hati pada badan tong itu.

PANGGGG…..!!!!!

PANGGGG…..!!!!!!

PANGGGGG……!!!!!!!!

Sebanyak tiga kali pukulan!

Maka bergema dan bergaunglah bunyi tong yang di palu abah di dalam kilang yang besar itu. Justeru itu, dengan secepat mungkin abah berlari ke pintu mengintai semula pontianak yang duduk di atas kren itu.

Seperti dijangka oleh abah, pontianak itu tersentak apabila mendengar bunyi gema tong di dalam kilang itu. Serta-merta mood humming dia kian menurun dek terperanjatkan bunyi tong itu. Lalu pontianak itu bangun dan terus terbang menghilang di kegelapan malam itu. Merajuklah tu…

Lega abah apabila pontianak itu sudah ghaib dari pandangan. Suaranya yang tak cukup lemak tempoyak itu juga turut lenyap. Dek kerana bunyi pukulan tong yang kuat dan bergaung di dalam kilang itu, maka beberapa orang pekerja dengan segera menghampiri abah termasuklah Daud yang tidur di hujung kaki abah. Kehairanan mereka apabila melihat tindakan abah memukul tong itu dengan begitu kuat sekali.

“Kenapa kau pukul tong tu? Terkejutlah!” Daud bersuara.

“Kau tak dengar ke tadi suara pontianak berdondang sayang tadi?” Abah membalas kembali soalan Daud dengan soalan.

“Dengar. Aku ingatkan suara kau tadi. Jadi itu memang suara pontianak ke? Nasib baik aku fikir itu suara engkau. Syukur Alhamdulillah…”

“Kau ni agak-agaklah Daud, takkanlah macam tu suara aku! ” Abah kembali baring dalam keadaan bengang.

“Aku dah halau pontianak tu pun dah cukup baik!” Gumam abah.

Sebelum itu, beberapa orang pekerja yang sedang baring di tempat lain pun mendengar suara pontianak itu sedang bersenandung. Masing-masing ketika itu fikirkan ada antara rakan-rakan mereka yang sedang bernyanyi ketika itu, tetapi mereka abaikan sahaja.

Namun sebaik sahaja abah beritahu bahawa suara yang mereka dengar itu suara pontianak, masing-masing tidak senang duduk. Waktu bekerja pun masing-masing kelihatan gelisah. Takut dengan kehadiran pontianak itu lagi.

Melihatkan ada yang seperti sedang gelisah ketika bekerja, abah pun menegur pekerja-pekerja itu.

“Dia memang selalu melepak dekat sini. Mungkin rezeki korang agaknya malam ni dengar suara dia menyanyi. Lagipun dia tak kacau orang.” jelas abah.

“Tapi, aku peliklah. Selalu dia tak menyanyi. Hanya berlegar-legar je. Tapi kenapa malam ni dia bernyanyi? Lagu DONDANG SAYANG pula tu…?” Sambung abah bernada pelik.

Selepas kejadian abah memukul tong kosong itu. Tiada kedengaran lagi suara cik pontianak bersenandung. Walaupun kelibatnya masih lagi kelihatan.

Sekian.

#hasilkarya
#kisahbenar
#suhanamatlazim
#nana

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Nana Lazim

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

40 thoughts on “#nana- Dondang Sayang Sang Pontianak”

  1. Dia pun tau tkejut jg eyh..baru akak tau…senang hati ayun2 kaki.mcm.baru dapat gaji.tgh melayan perasaan la tu.haha.klakar dik kau cerita.tgelak akak.niway best!!

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.